Langkau ke kandungan utama

CERPEN - DILEMA 5


"Kenapa nak berpisah?"

Soalan ustazah Kamilia buat aku tersentak. Suraya juga kulihat sedikit terkejut mendengar pertanyaan tegas itu. Kami berdua sengaja tidak mahu pulang selepas kelas fardhu ain tadi kerana aku ingin bertanyakan pendapat ustazah tentang hasratku untuk meninggalkan Amir.

Aku dan Suraya saling pandang memandang. Rasanya, baru sekejap tadi aku meluahkan ketidak puasan hatiku terhadap suami, buat pertama kali, kepada ustazah ini. Ya, buat julung kalinya, aku terpaksa meluahkan apa yang kurasa kepada orang lain kerana aku sudah tidak mampu membendung rasa yang sudah bercampur baur dalam diri ini. Antara marah dan sayang, Antara benci dan rindu, antara sakit hati dan kasihan... 

Apakah luahanku tidak difahaminya? Tidak didengari?

"Ustazah dengar semuanya cuma ustazah tak faham mengapa selepas 20 tahun kak Ani bertahan hidup bersama-samanya, setelah bersusah-payah meniti hari selama ini, kak Ani memilih untuk berpisah?" 

Soalan ustazah itu buat aku terkesima. Lama masa yang kuambil untuk menjawab, "Mungkin tahap kesabaran saya dah habis kut!"

Ustazah Kamilia ketawa. Berderau darahku, rasa sakit hatilah pulak bila digelakkan begitu. 

"Maaf, kak. Ustazah tak sepatutnya ketawa, kan? Tapi.... okey, gini! Umur kita ni kak, semakin lama semakin hampir ke sana. Baik kak Ani atau suami kak Ani, tak kan tahu bilakah masa ajal datang menjemput. Jadi, dalam masa yang tinggal sedikit lagi ni, kenapakah memikirkan perkara-perkara yang melukakan?"

Aku tersentak. Masih kabur untuk ku memahami kata-katanya itu. 

"Kalau selama 20 tahun, akak pejamkan mata dengan segala kerenahnya, akak bertahan dengan segala sikap buruknya, kenapa dalam sisa-sisa hidup yang sedikit, kak Ani tidak mampu bersabar? Apakah yang mengubah kesabaran menjadi rungutan? Apakah yang mengubah redha?"

Aku terdiam. Memang benar, mengapakah baru sekarang aku tidak tahan sedangkan sikap buruk Amir memang sejak dulu lagi kuketahui? Kuhadapi? 

"Sayang, kak! Sayang merobohkan istana yang dibina bertahun-tahun! Membazir rasanya segala penat lelah, segala titis peluh dan keringat, segala kasih sayang....." ustazah Kamilia berjeda, melatari wajahku dalam pandangannya yang lembut itu. 

"Merobohkan memang senang, tapi mahukah akak membuang semua kenangan pahit manis yang dah dirasa?"

Aduh, emo jadinya aku. Soalan-soalan itu buat aku menangis kerana sesungguhnya, aku tidak mahu melakukannya. Memang benar, aku sudah bertahun-tahun menyemai rasa kasih, rasa sayang, rasa cinta kepada dia, suamiku. Bersamanya aku punya tiga orang cahaya mata. Anak-anak yang telah kami besarkan bersama-sama dengan penuh tanggungjawab. Dengan berusaha menunaikan amanah yang Allah beri. Anak-anak yang baik, yang tidak pernah langsung walau sekali, menyinggung hatiku, mahupun melukakan hati ayah mereka. 

Saat aku nekad, kiranya, aku telah melupakan mereka. Aku hanya memikirkan diriku. Aku hanya memikirkan hatiku. Bertegas dengan perasaanku. 

Bagaimana dengan mereka? Bagaimana dengan hati dan perasaan anak-anakku yang sangat menyayangi dan menghormati ayah mereka? 

Tuhan... betapa aku terlalu mementingkan diri!  

"Kak Ani, semua orang buat salah. Silapnya kita, kerana sayang, kita tidak menegurnya dari awal. Kita biarkan dia dengan kesilapannya. Kita fikir, kita mampu menghadapi tapi sampai satu masa, kita hilang akal. Kita hilang keyakinan padanya. Kita mula mencari dan bertanya, di mana hak kita sebagai seorang isteri. Kita mula rimas. Kita mula tidak tenang. Sepanjang masa, kita mahukan hak itu semula sedangkan, sebagai isteri, andai kita mampu menunaikan hak suami kita, kita sudah berada dalam keredhaanNYA. 


Kak Ani, tunaikanlah hak suami, teruskanlah berbakti kepadanya, kerana itu lebih baik daripada memulakan satu hidup baru yang tidak pasti. Kenanglah kebaikannya dan lupakan pada keburukan demi untuk mendapat ketenangan jiwa. 


Kak Ani, lupakanlah bahagia dan derita semalam kerana semua itu hanya tinggal kenangan. Hiduplah untuk hari ini dan carilah kebahagiaan. Dan, jangan lupa untuk bersedia menghadapi hari esok, meskipun ia belum tentu datang." 


"Tapi, dia khianati kasih sayang saya. Dia tipu saya. Dia..."


"Kak, bukankah dia sudah membuat pilihan? Dia pilih kakak, kan? Apa maknanya tu? 


Kak... di luar sana, ramai lagi wanita yang lebih teruk nasibnya diperlakukan oleh suami-suami mereka. Ada yang hari-hari dipukul, didera mental dan fizikal. Ada tu yang terpaksa bersengkang mata siang malam bekerja demi membesarkan anak-anak bila suami tinggalkan mereka tanpa kata. Ada juga yang mendapat suami yang suka berpeleseran dan balik memberi penyakit kepada isteri sehingga isteri terlantar di rumah. 


Hidup adalah ujian, kak Ani tapi, ALLAH memilih dan menguji insan yang memang mampu diuji."


Suraya memaut bahuku. Aku memeluk pinggangnya. Aku bertuah memiliki seorang adik ipar yang amat menyayangi diriku, yang sanggup bersusah payah membela aku dan sentiasa mengharap agar aku berfikir banyak-banyak kali sebelum membuat keputusan maha besar ini. 
...............................


Kami beriringan keluar dari masjid. Ketika menuju ke kereta, aku lihat dia. Kali terakhir nampak dia, waktu dia meninggalkan rumah Suraya, 4 hari yang lalu. Namun dalam ruang waktu sebegitu, hatiku diruntun pilu melihat dirinya kini. 


Sungguh tidak terurus keadaannya. Bauk memenuhi muka. Rambut pun kusut masai sahaja. Sepasang mata bergelang hitam kerana tidak cukup tidur pastinya. Pakaiannya... aduh ingin ketawa pulak kurasakan. Berkedut-kedut dan kasut... ya ALLAH, dia pakai selipar Jepun? Hai, Amir Ridzuan dah sasau ke?


Demi melihatku, dia jadi tak keruan. Seolah-olah ingin menghampiri, tapi takut agaknya. Ewah... takut? Melampau aku ni! Tapi, dia merenungiku tidak berkelip-kelip. Agaknya baru menyedari bahawa walaupun sudah 41 umurku, masih lawa lagi ni.. hehe...


"Ulfah Tihani..."


Kenapa merdu namaku meniti bibirnya? Kurenungi dirinya dalam-dalam. Saat ini, tidakku tahu ke mana menghilangnya amarahku selama ini....


"Tolong jangan hukum abang lagi, Ani. Abang tahu, abang banyak buat salah pada Ani tapi abang rayu Ani. Tolong, tolong jangan minta perpisahan. Abang tak sanggup!"


Bila aku diam, anak-anakku mula memainkan peranan mereka. 


"Mama, papa needs you and so do we. rumah kita tak lengkap jika salah sorang daripada kita tak ada, ma!" Anakku Linda, satu-satunya anak perempuan kami bersuara. Ni, mesti Asyraf punya kerja. Tentu dia yang telah pergi ke asrama dan membawa adik-adiknya pulang demi memujukku. 


Aman, anak bongsuku yang berusia 15 tahun, bakal menduduki PMR tahun ini. Dia terus meluru memeluk tubuhku, mendakapku erat. 


"Sampai hati mama? Kalau mama dengan papa berpisah, Aman nak duduk mana? Mama suka agaknya kami gilir-gilir... minggu ni kat rumah mama, minggu depan kat rumah papa? Mama ingat kami ni tak ada nyawa? Tak tahu penat? Ma... Aman tak mahu mama tinggalkan papa. Tolonglah, mama. Kesian Aman, ma... Aman sayang mama!" 


Kubalas dakapannya dalam linangan air mata. 


Saat ini aku sedar yang aku tidak akan lagi membuat keputusan tanpa berfikir. Saat ini aku berjanji, apa pun yang terjadi, aku tidak akan hanya memikirkan diriku... Biarlah aku jadi lilin, terbakar dan kepanasan sendiri asalkan bahangku menghangatkan dan sinarku memberi cahaya kepada anak-anak.      


Wardah? Aku yakin dia tidak menyesal lagi. Tentu banyak ganjaran yang Amir tawarkan untuk melepaskannya. Tidak mengapalah! Ambillah! Kerana kini aku meyakini bahawa di antara harta dan keluarga, aku tidak perlu berfikir panjang untuk memilih.  
.....................................
inspirasi cerpen ringkas ini datang dari pembacaan ini. terima kasih ustaz, atas satu artikel yang berjaya membuat aku berfikir dan berfikir. 


hidup tidak lama. hargailah apa yang ada padamu saat ini dan jangan dikejar yang tak pasti.


sofi.



==========================================================sini

Ulasan

  1. Minggu sudah saya berjumpa dgn seorang teman yg hidup bermadu... mendengar luahan hati beliau saya "tabik spring" dia telalu sabar dan kuat untuk anak2 supaya anak2 tidak membenci ayah mereka. Cuma sayang madunya yg tidak sedar diri dan sentiasa x puas hati....
    kata beliau.....suami kita bukan hak milik kekal kita...semua yg ada milik ALLAH.....

    BalasPadam
  2. salam ..akak tabik kat wanita tu..dan berdoa agar allah pelihara diri dia dan anak anak dia..
    kadang kadang ia membuat kita tefikir..apakah yg dicari oleh sang suami ni ek..sedangkan diri sendiri pun tak sehebat mana..dan sebaik mana..
    Kalo akak ditempat wanita itu..akak rasa ..akak akan berlalu pergi..kerana akak rasa..akak pun ada hak untuk mengapai bahagia..tak semestinya anak anak akan terabai tanpa sang suami disisi ...kerana selepas bercerai hidup pun ..suami bole berjumpa anak anak..dan memberi kasihnya..bukannya bercerai mati...

    BalasPadam
  3. Sebaiknya kita minta petunjuk dari Allah. kalau memang jodoh kita hanya setakat itu siapalah kita untuk melawan takdir walaubagaimana pun demi kasih sayang kita harus berjuang untuk kebahagian kita. adakah kita akan lebih berbahagia selepas berpisah? atau sebaliknya.

    BalasPadam
  4. thumbs up terbaik. Good job sofi.

    BalasPadam
  5. @Qimi08
    demi ank2, wanita rela beralah, tp ada sj yg ambik kesemptn...

    BalasPadam
  6. idA, mmg ssh nk cari wanita mcm tu....kita? aku? x sekuat mana....

    BalasPadam
  7. Rose,serahkn pd Dia... btol tu!

    BalasPadam

Catat Ulasan

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.

Catatan popular daripada blog ini

Cerpen: Dia Idaman Jiwa

1
“Hi, boleh aku duduk kat sini?”

Aliah mendongak. Demi terpandang sahaja wajah itu, air mukanya terus berubah. Riak tidak senang ditunjukkan kepada lelaki itu.

“Cepatlah jawab! Senang aje soalan aku tu. Boleh, jawablah boleh...”

“Kalau saya jawab tak boleh?”

Abid terus menarik kerusi yang bertentangan dengan gadis itu.

“Aku tetap duduk sini jugak.” Balasnya sambil tersengih-sengih.

“Macam tak ada tempat lain!”

“Banyak! Sana kosong. Tu, di belakang kau tu pun kosong. Tapi, aku saja aje nak duduk depan kau. Dah sebulan aku cari kau tapi tak jumpa-jumpa. Alhamdulillah, hari ini dapat juga. Kau apa khabar? Sihat?”

Aliah tidak menyahut. Sebaliknya, dia terus menyuap dan kali ini suapannya sengaja dilajukan, tidak lagi menikmati nasi campur yang dimakan. Ketika itu, dia hanya berkeinginan untuk cepat-cepat menyudahkan makan tengah harinya supaya dia dapat pergi dari situ dengan segera. Dia tidak mahu mengadap muka lelaki yang kini sedang berada di hadapannya walau sehebat, sekacak mana se…

Yang Terakhir: Versi Cerpen

1
“Kau dah habis fikir ke, Khairi? Perempuan macam Najiha tu kau nak bawak ke majlis Annual Dinner kita? Tak malu ke nanti bila orang gelakkan kau?” tanya Hafiz sambil mengerutkan dahi. Dia keliru dengan sikap Khairi Iqbal. Rasanya, selama mereka berkawan, belum pernah walau sekali pun, Khairi memuji gadis yang seorang itu. Gadis yang bernama Izzatul Najiha. Tup tup, hari ini, dia buat keputusan hendak menjadikan Najiha pasangannya semasa majlis kemuncak nanti. Hisy, pelik betul!
“Malu, memanglah aku malu! Tapi aku cuma nak gunakan dia saja. Nak buat Amalina cemburu.” Balas Khairi sambil menyisip air lemon perlahan. Sejuk rasa kerongkongnya bila air itu menerobos masuk ke dalam rongga.
Mata Hafiz buntang. Kepala tergeleng-geleng.
“Kenyataan kau tu lagi buat aku tak faham! Kalau kau nak buat Amalina cemburu, kau patut bawak perempuan lain. Bukan si Najiha yang macam hantu bungkus tu!”
Terlambak tawa Khairi Iqbal mendengar kata-kata sahabat baiknya itu. Hantu bungkus? Si Najiha tu?…

Inikah Cinta? : Versi Cerpen

1

"Ouch!"

Cepat-cepat Janet menghisap jari telunjuk yang terhiris tadi. Setelah kesakitan itu hilang, dia segera membasuh jari itu. Dia kemudian mengelap lalu membalut luka dengan plaster.

"Sakit? Itulah pasal. Mak Nah dah cakap, biar mak Nah aje yang buat tapi Janet degil sangat. Hendak jugak main-main pisau," sindir orang gajinya menyebabkan Janet ketawa besar.

"Inilah yang orang cakap, luka di tangan nampak berdarah. Luka di hati tak siapa tahu. Kan, mak Nah?"

Mak Nah melepaskan keluhan sebelum mencuri pandang ke arah wajah ayu di sisinya yang kini sedang tunduk dan berpaling ke arah lain. Hati mak Nah kini turut melagukan irama sedih yang pasti sedang berdendang dalam hati Janet. Biarpun sudah lama ia berlalu, pasti kenangan itu hadir kembali sebaik rangkap pepatah itu diungkap. Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula kisah cinta penuh keindahan. Ke mana hendak dicampakkan?

"Dah enam tahun... dia tentu dah lupakan saya. Tentu dah kahwin…