Langkau ke kandungan utama

Rindu....

Keadaan kelam kabut dalam sebuah rumah di pinggir kota. Kelihatan seorang ibu tua menitiskan air mata. Juga kelihatan seorang lelaki, berdiri menghela nafas, menahan sebak. Seorang gadis sedang memeluk erat tubuh seseorang sambil menangis teresak-esak. Di satu sudut, seorang anak muda tewas menahan perasaan hiba.

“Mak, abang balik, mak! Abang dengan Alif balik tu! Lepaskan Sya, mak. Sya nak dukung anak Sya. Lepaslah, mak!”

Suara yang mendayu-dayu meruntun jiwa sesiapa sahaja yang mendengar. Begitu mendayu permintaan yang keluar dari bibir yang mungil satu ketika dulu. Sepasang mata yang sedang memandang ke arah halaman rumah tidak lagi bersinar seceria dulu. Wajah yang pada satu ketika amat jelita, sudah hilang serinya. Segala-gala sudah sirna daripada diri seorang Syarifah Raihana.

“Sya, anak mak. Dengarlah cakap mak ni, sayang. Suami Sya, Syed Izham dah tak ada. Anak Sya, Syed Alif Munzir juga dah tak ada. Diorang dah meninggal, nak. Dah dijemput Allah!”

Syarifah Raihana termangu seketika sebelum tubuhnya terjelepuk di ruang tamu itu. Sekelipan, kenangan itu menerjah fikiran.....

“Abang, Sya keluar sekejap saja, tau. Tapi tolong tengok-tengokkan bubur lambuk atas dapur tu, ya! Abang yang teringin sangat nak makan.. Nanti hangit pulak! Sya nak pergi beli buah kurma kat kedai Pak Seman. 10 minit saja, okey! Jangan tidur!”

“Iyalah, sayang! Baiklah, permaisuri. Intan payung! Hamba yang menurut perintah!”

Terdengar-dengar usikan suaminya.

“Abang ni, orang serius laaa...”

Terbayang senyuman manis yang terukir. “Sori, baby! Okey, take care. Jaga diri baik-baik. Remember, I love you! Always!”

Air mata semakin deras mengalir. Masakan tidak, itulah pengucapan terakhir yang didengar. Tiada lagi selepas itu, untuk selamanya kerana malang tidak berbau.

Sepeninggalan Syarifah Raihana, Syed Izham yang berada di luar rumah tidak menyedari bahawa Alif Munzir sudah terjaga daripada tidur. Anak comel berusia 2 tahun itu terus meluru ke dapur dan terjadilah peristiwa yang tidak terduga. Tidak disangka-sangka. Api gas dimain-main sehingga terjadi letupan dengan api yang marak serta merta di dapur. Saat Syed Izham melihat semuanya, anaknya sedang menggelupur kesakitan akibat melecur. Ketika cuba menyelamatkan anaknya dan memadamkan api yang membakar pakaian dan tubuh si kecil, sekali lagi letupan terjadi. Tragedi menyayat itu menemukan mayat dua beranak dalam keadaan rentung di dapur, berpelukan, ketika umat Islam menyambut hari pertama Ramadhan, setahun yang lalu.....
.............

“Kamu tak kesian tengok dia, Aiman? Dah setahun keadaan bekas adik ipar kamu tu macam tu. Asyik meracau teringatkan arwah.” Suara Syarifah Azizah memecah hening senja.

“Kesian! Siapa yang tak kesian! Perempuan tu hilang suami. Hilang anak! Tapi, dia kena kuatlah, mummy! Bukan dia sorang saja yang kehilangan Izham. Kita pun! Apa, dia ingat kita semua ni tak sedih?”

“Kamu ni cakap lepas aje! Cuba perlahankan sikit suara tu!”

“Alah, dia bukan ada di sini pun!”

Mencerlung wajah Syarifah Azizah merenung seraut wajah tampan di hadapannya. Wajah anak sulungnya yang bernama Syed Aiman. Syed Aiman tua tiga tahun daripada Syed Izham. Sewaktu kejadian, dia menetap di luar negara namun sejak hari pertama dia kembali ke tanah air, Syed Aiman terpaksa melepaskan semua yang dia ada di sana kerana keadaan tidak memungkinkan dia kembali.

“Daddy rasa, dah sampai masa untuk kamu buat satu lagi pengorbanan, Aiman,” celah Syed Iqbal, si ayah yang diam sedari mula tadi.

Bulat mata Aiman. Tambah membuntang sepasang biji mata bila dilihat ibunya terangguk-angguk.

“Oh no! Jangan nak suruh saya kahwin dengan perempuan tak siuman tu! Daddy, mummy! Jangan....”

“Syarifah Raihana tak gila, Aiman! Jangan sesekali kamu cakap begitu lagi! Dia cuma tak sihat dan terlupa. Tapi dia tidak gila! Ingat tu!” tukas ibunya membuat Aiman terdiam. Kesempatan itu digunakan Syarifah Azizah untuk menyambung, “Dia perlukan seorang yang kuat di sisinya. Dan, mummy yakin, dia perlukan kamu. Sikap tegas kamu tentu dapat menolong menyembuhkan luka dalam hati dia. Dapat mengurangkan rasa rindu dia pada Izham. Aiman, mummy dah kehilangan sorang anak, mummy tak mahu kehilangan menantu pulak! Sya tu dah jadi anak perempuan mummy. Mummy sayang sangat pada dia. Mummy tak mahu nanti ada orang lain yang meminang dia. Mummy tak sanggup, Aiman!”

Aiman mengeluh. Wajah ibu dan ayah dipandang silih berganti. “Berapa banyak pengorbanan yang perlu saya buat untuk mummy dengan daddy lagi? Saya dah lepaskan semua milik saya di Australia sebaik Izham mati. Sekarang, saya dipaksa pulak kahwin dengan perempuan yang mummy dengan daddy tahu memang saya tak suka sejak dulu. Bukannya mummy tak tahu yang saya memang menyampah dengan perempuan tu. Dari sejak dia bercinta dengan Izham, sikap dia yang suka mengarah itu ini memang saya meluat. Yang Izham tu pulak macam lembu kena cucuk hidung, ikut aje apa dia cakap. Saya tak boleh terima perempuan macam tu, mummy, daddy! Betul-betul tak boleh!”

Syarifah Azizah bangun bersama tangisan yang menggila. Dia ingin masuk ke dalam bilik. Hatinya sakit mendengar kata-kata Aiman. Dari dulu, Aiman sering buruk sangka dengan Syarifah Raihana.

“Tak apalah, kalau macam tu! Nampak benar kamu tak bahagia sebab kami berdua ni asyik memaksa kamu buat itu ini. Kami paksa kamu balik ke Malaysia. Kami paksa kamu menetap semula di tanah air sendiri. Kami paksa kamu kahwin dengan bekas adik ipar yang kamu benci. Okeylah! Kalau macam tu, mummy tak ada apa nak cakap lagi dah. Kalau sungguh kamu tak rela dengan apa yang mummy dengan daddy buat selama ni, kemaskan barang-barang kamu, Aiman. Pergilah balik ke Australia sana. Tak usah langsung balik ke sini lagi!”

Syed Aiman meraup wajah yang kelat setelah diherdik sebegitu rupa oleh ibunya. Rasa bersalah mula menguasai akal fikiran. Hati mula rasa terbeban. Sikap panas baran dan cakap lepas kini memakan diri. Ibu dan ayah sudah berkecil hati.

“Kita ni dua beradik aje, bang. Yang kau nak duduk jauh-jauh dari mummy dengan daddy tu, kenapa? Tak apa, tak payah jawab. Biar aku aje yang beritahu. Abang aku ni, Syed Aiman hendak hidup bebas, betul tak? Di sana, siapa boleh menegah apa yang kau nak buat, kan? Kau nak minum, nak disko, nak..... entahlah, bang! Semakin kita dewasa, aku rasa kita semakin jauh. Kau yang sengaja jauhkan diri kau dari kami. Tapi itu aku tak kisahlah sangat. Yang aku sedih sebab kau ni dah jauh terpesong. Bang, aku nak bagitau kau satu perkara. Aku harap kau ingat walaupun masa tu, aku dah mati.

Ingat bahawa bila kau jauh dari Dia, bila kau lupa pada Dia, bila kau tak pedulikan Dia, Dia pun jauh dari kau. Tapi, sebaik pintu taubat untuk kau terbuka, Dia paling dekat dengan kau, bang. Sebab Allah itu wujud. Wujud ertinya ada. Dia ada dan sentiasa memerhati setiap apa yang kau buat, bang. Dia ada dan Dia tahu apa yang ada dalam hati kau. Percayalah cakap aku, bang. Pergilah jauh dariNYA, kau tak akan temui kebahagiaan, ketenangan yang kau cari tu. Selamanya tidak!”
..............................

Syarifah Raihana memerhati sosok lelaki yang sedang termenung di balkoni. Melihatnya, tidak jemu mata memandang kerana tubuh itu setegap tubuh arwah suaminya. Hiba rasa hati bila mengenangi bahawa kini dia sudah menduakan Izham namun kehendak semua orang tidak mampu dibantah. Terutama bila ibu dan ayah mentua yang beria-ia ingin menyatukan mereka berdua.

Sejak mula berkawan dengan Izham, Raihana tahu bahawa lelaki yang sedang dipandang ini tidak pernah menyukai dirinya. Di antara mereka tidak pernah mesra malah dia kelu untuk bersuara bila mereka bersama, duduk semeja.

“Abang Aiman boleh menolak, tapi kenapa tak buat begitu?” Raihana memecah kesunyian di antara mereka.

“Sebab mummy dengan daddy lebih sayangkan kau daripada aku. Kau pulak, kenapa ikut saja? Tak boleh bantah ke?” sindir Aiman tajam.

“Saya tak sampai hati...”

“Huh, perempuan gila pun ada perasaan, eh? Nak tunjuk baiklah tu!”

“Kalau abang Aiman di tempat saya, abang pun mungkin jadi gila jugak!”

“Banyaklah, kau!” juih bibir Aiman menunjukkan betapa membara rasa benci terhadap Raihana.

“Abang Izham lelaki paling baik pernah saya jumpa, abang Aiman. Dia tak pernah marah. Dia tak pernah tinggikan suara jauh sekali hendak memukul saya. Kata-katanya penuh hemah. Kasih sayang untuk saya terlalu banyak. Bila dia pergi, saya terbeban dengan rasa bersalah. Kerana kelalaian saya.... saya dah bunuh mereka. Suami yang saya cinta, satu-satunya zuriat kami yang kami ada, pergi, sebab saya cuai. Abang Aiman ingat, mudahkah hendak memaafkan diri saya? Betul cakap abang Aiman tu. Saya ni gila. Dan, sekarang, saya buat satu lagi kesilapan. Kegilaan saya ni memerangkap abang Aiman dalam perkahwinan yang abang Aiman tak relakan ini. Maafkan saya, abang Aiman.”

“Maaf, konon? Dahlah, malas aku nak layan kau! Nanti aku pun jadi gila macam kau jugak!” tengking Aiman sambil membaling sebiji bantal kepada Raihana. “Jangan sekali-kali naik atas katil ni, faham! Tengok kau pun aku menyampah, apa lagi nak sentuh. Aku benci kau, ingat tu!”

Raihana termangu seketika tapi bibir kemudian menguntum senyum lega. Sekurang-kurangnya, dirinya masih milik Izham, fikirnya.

...............................

Sepasang mata Aiman membuntang melihat Raihana yang sedang berbaring di atas kerusi. Kepala yang sedia pening, semakin sakit. Rasa berpinar-pinar pandangannya ketika ini. Perut pula sedang bersenandung kelaparan. Hati tentulah panas bila melihat isteri sedang enak dibuai mimpi, di pagi hari seperti ini.

“Weh, bangun! Bangun! Pergi masak! Aku lapar ni!”

Tubuh isteri digoyang dengan kasar menyebabkan Raihana terjaga serta merta. Perkataan masak itu buat nafas Raihana sedikit sesak. Lelaki ini sudah lupa barangkali? Bahawa, selama ini, pendek kata, semenjak kematian Izham dan Alif Munzir, Raihana tidak pernah masuk ke dapur? Malah, semua orang sudah berpesan berkali-kali kepada lelaki yang seorang ini tentang betapa fobia Raihana dengan dapur. Sudah lupakah dia?

“Bangun! Tolong masakkan aku maggi!!”

Menyirap darah hingga ke kepala. Arahan yang kasar itu serta merta membuat Raihana berang. “Dah gila? Nak suruh orang masak pagi-pagi bulan puasa ni? Ke dah tak reti nak mengira? Sampai tak sedar yang semua umat Islam sekarang dah 5 hari berpuasa Ramadhan? Abang Aiman tak puasa, tapi janganlah nak heret orang yang puasa masuk sama ke dalam Neraka!”

Merasa tersindir, Aiman terus naik hantu. Rambut Raihana ditarik dengan kasar sehingga gadis itu dipaksa duduk. Nafas busuk berbaur minuman keras yang diteguk semalaman hinggap ke hidung Raihana, membuat wanita itu kelemasan.

“Eeii, busuknya bau mulut! Abang Aiman minum arak, ya? Ya Allah, apa lagi kejahatan yang nak abang Aiman buat ni? Sembahyang tidak! Malam-malam berpeleser ke sana sini. Minum arak macam minum air. Dah tu, puasa pun tak buat. Abang Aiman tak malu pada Allah ke?”

“Eh, perempuan gila, sebelum aku lempang pipi kau, lebih baik kau diam. Kau bangun sekarang! Bangun! Pergi masuk ke dapur dan masak untuk aku S.E.K.A.R.A.N.G.!! Pergi!!” tubuh isteri ditolak menghala ke dapur. Bukan dia tidak ingat pada tegahan mummy dan emak mentuanya. Tapi kerana sakit hati yang bukan sedikit kepada Raihana, dipaksanya wanita itu bergerak ke dapur. Tidak dibenarkan langsung Raihana berhenti melangkah.      

“Abang Aiman, tolong jangan paksa Sya! Tolonglah! Sya takut, abang Aiman. Sya tak boleh!”

“Takut apa? Tak boleh apa? Sampai bila kau nak lari daripada realiti hidup kau, hah? Sampai bila tak boleh tengok api? Sampai bila tak mahu masak? Tidak! Hari ini, aku nak paksa kau jugak! Jangan manjakan diri tu sangat!”

“Tamo! Takut! Lepaslah! Sya nak balik rumah mak! Sya tak nak duduk dengan abang Aiman lagi! Abang Aiman jahat!!”

“Aku memang jahat!”

Gigil tubuh Raihana semakin menggila. Ketakutan menyebabkan wajahnya menjadi pucat lesi. Saat itu di hadapan matanya, bayangan peristiwa setahun lalu menerpa. Saat diri kembali dari kedai Pak Seman dan jiran-jiran segera menangkap dirinya, menghalang dia daripada masuk. Namun sebaik pasukan bomba selsesai memadamkan api, dia meluru ke dalam, mencari-cari suami dan anak yang disayangi. Suasana sedih pilu akhirnya terjadi bila mayat mereka ditemukan di tengah ruang dapur. Sehingga kini, Raihana tidak pernah dapat melupakannya.

Lutut terasa lemah. Hendak bergerak pun sudah tidak mampu lagi namun Aiman seakan tidak menyedari. Terus sahaja menarik Raihana tanpa mempedulikan titis air mata yang gugur.

“Tengok ni!” Api dapur gas dipasang. Raihana cuba mengalihkan pandangan namun Aiman menahan. Tangannya memegang kejap pipi Raihana, memaksa wanita itu merenung api yang menyala. Meskipun degup jantung isteri yang deras dapat dirasai, dia tetap tidak mempedulikan. Tangan kirinya kemudian mencapai periuk.

“Nah, letak atas api tu!”

Bila Raihana berdiri kaku, dia meletakkannya sendiri. Kemudian, sengaja dituangkan air. Bunyi berdesir yang terhasil menyebabkan Raihana tidak lagi mampu bertahan. Terus dia berpusing, memaut tengkuk Aiman, menyembamkan muka ke dada sasa suaminya.

Aiman terpempan! Dia semakin hilang punca bila Raihana terus longlai di dalam dakapannya.......
..........................

“Kamu memang! Degil! Keras kepala! Nyaris tak mati Sya kamu buat! Menyakitkan hati betul dapat anak macam kamu ni! Kenapa bukan kamu yang mati? Kenapa Izham yang baik tu yang Allah ambil? Kenapa Allah tak ambil nyawa kamu yang kejam ni?”   

Semua orang yang berada dalam wad kelas satu itu tergamam mendengar ayat yang ditutur oleh Syarifah Azizah. Syarifah Maizura terus mendekat, menarik tangan besannya yang sedang memukul dada anak lelaki yang tinggal seorang itu. Mata memandang Aiman, merenung wajah yang kelihatan pucat dan lemah tidak bermaya.

“Aiman, jangan ambil hati cakap mummy tu. Dia tak maksudkannya. Percayalah! Waktu sedang marah, semuanya terlepas cakap, tapi nanti, dia akan sesal sendiri.”

“Zu...”

“Kak Zah, jangan marah Aiman lagi. Biarkan dia bertenang. Aswad, bawak abang Aiman pergi duduk rehat di taman hospital ni.”

Sebaik Aswad berjaya mengajak Aiman keluar, Syarifah Azizah terus menangis lagi...

“Hasan, Zu, maafkan kak Zah dengan abang Iqbal. Ini semua salah kami. Kalau kami tak paksa Aiman kahwin dengan Sya, tentu Sya tak jadi macam ni. Terlantar atas katil hospital dengan degupan jantung yang perlahan. Semua salah kami!”

“Tak ada siapa yang salah, kak Zah. Takdir dah tersurat.  Lagipun, doktor cakap keadaan Sya baik saja. Tak ada apa-apa yang hendak dirisaukan. Kita berdoa mintak-mintak jodoh diorang kuat, ya kak!”

“Kak Zah rela kalau Sya dah tak mahu pada Aiman lagi, Zu. Tak sanggup nak tengok keadaan Sya begini lagi. Kalau itu nasib dan kesudahan mereka, kita relakan aje, ya, Zu?”
.................................

Gopoh-gopoh, Syed Aiman mengemas beg pakaiannya. Dia sudah tidak sanggup berlama-lama di Kuala Lumpur. Dia sudah tidak sanggup duduk di dalam rumah yang bagaikan Neraka ini. Dia ingin pergi. Menjauhkan diri daripada orang-orang yang membenci dirinya.

Menyakitkan hati betul dapat anak macam kamu ni! Kenapa bukan kamu yang mati? Kenapa  Izham yang baik tu yang Allah ambil? Kenapa Allah tak ambil nyawa kamu yang kejam ni?

Menitis air mata jantannya. Buat pertama kali dalam hidupnya sebagai seorang lelaki, Aiman menangis. Betapa pedih jiwa yang tersingkir daripada hati dan cinta ibu kandung sendiri. Sejak dulu, dia tahu dia hanyalah ‘second best’ namun sumpah seranah mummynya semalam benar-benar membuat dirinya kecewa dan terluka.

Terduduk di atas sofa, wajah ditutup dengan tangan sambil tubuh terhinggut-hinggut bersama deras titis air mata.

“Izham, betul apa yang kau cakap, dik. Aku dah hilang semuanya. Kasih sayang, kewarasan, kebaikan.... semuanya dah tak ada! Salah aku, dik! Salah aku! Kau dah pesan pada aku tapi aku tak dengar nasihat kau,

Bang, aku nak bagitau kau satu perkara. Aku harap kau ingat walaupun masa tu, aku dah mati.

Ingat bahawa bila kau jauh dari Dia, bila kau lupa pada Dia, bila kau tak pedulikan Dia, Dia pun jauh dari kau. Tapi, sebaik pintu taubat untuk kau terbuka, Dia paling dekat dengan kau, bang. Sebab Allah itu wujud. Wujud ertinya ada. Dia ada dan sentiasa memerhati setiap apa yang kau buat, bang. Dia ada dan Dia tahu apa yang ada dalam hati kau. Percayalah cakap aku, bang. Pergilah jauh dariNYA, kau tak akan temui kebahagiaan, ketenangan yang kau cari tu. Selamanya tidak!

Dahlah aku tak bahagia, aku heret Sya sama-sama dalam rasa kecewa aku ni! Aku dera dia, Izham. Hanya kerana aku cemburukan kau, dik! Aku cemburu bila dia asyik memuji kau. Orang semua sayang kau, Izham. Tapi aku? Sejak dulu, aku selalu tewas!”

.........................

“Comelnya anak mak ni. Sya, Sya nak pergi mana? Ayu sungguh mak tengok. Lama Sya tak pakai baju kurung macam ni.”

“Kitorang nak pergi ziarah kubur abang Izham, mak. Kak Sya rindu...” Syarifah Wardah memberitahu bagi pihak kakaknya.

Raihana mengucup tangan ibunya sambil duduk di hadapan wanita itu. “Semalam kan mak, Sya mimpi abang. Dia senyum aje tengok muka Sya.”

“Abang? Izham?” duga si ibu.

Wajah Raihana berubah kelat. Mengingati Aiman, dia dikejar rasa bersalah. Fikirnya, kerana dia, Aiman merajuk dan membawa diri meninggalkannya. Tentulah lelaki itu kecewa kerana kata-kata mummy yang menyakitkan. Sudah dua tahun pemergiannya. Tidak ada khabar berita yang dikirim kecuali wang nafkah setiap bulan. Bagi dirinya sendiri, dia tidak pernah berniat untuk menuntut fasakh. Itu bererti, seolah-olah dirinya dan Aiman redha dengan pernikahan mereka meskipun Aiman sudah menjauh tanpa sepatah kata.

“Sewaktu hidup pun, Izham memang sentiasa tersenyum.” Balas ibunya bila wajah redup Raihana kelihatan kosong. “Kenapa tak tunggu pagi raya, Sya? Lusa? Boleh kita pergi sama-sama.”

“Nanti raya, kita pergi sama-sama. Hari ni, Sya pergi dengan Wardah. Lepas ziarah pusara abang, Sya nak pergi ke pasar. Nak beli lauk untuk masak buka puasa nanti.”

Ada hikmah di sebalik setiap kejadian. Sejak peristiwa yang berlaku dua tahun dulu, Raihana sudah tidak lagi takut untuk memasuki dapur malah kini, dia sudah boleh memasak semula. Syukur, alhamdulillah!

“Kita nak masak apa, kak Sya?”

Wajah Wardah ditatapi lembut. “Itu nantilah kita fikirkan. Jom! Wardah drive, ya. Kalau tidak, rugi aje ada lesen tapi tak reti-reti bawak kereta.” Usiknya membuat si adik mencubit lengannya. Jeritan halus Raihana mengundang senyum pada bibir Syarifah Maizurah.
.......................

“Sodaqhallahul’azim....”

Surah kecil Yaasin diraup ke wajah. Lelaki yang memakai baju Melayu warna ungu lembut itu membuka songkok yang tersarung di kepala. Rambut yang hitam lebat disisir dengan jemari kasarnya. Bauk tanpa misai menyerlahkan ketampanan dan kematangan.

“Aku dah balik, Izham. Aku balik sebagai seorang lelaki yang berjanji untuk memikul amanah yang kau berikan pada aku. Amanah untuk menjadi insan yang mentaati Allah dan Rasul. Amanah untuk menjadi anak yang patuh pada kehendak mummy dan daddy. Amanah untuk menjadi seorang suami yang berakhlak mulia, yang mampu membimbing seorang isteri sebaik isteri kita, Syarifah Raihana Syed Hasan. Izham, hari ini, aku ingin mintak izin dari kau untuk melepaskan dia kepadaku. Aku tidak sebaik kau, dik, tapi aku harap, dia dapat menerima diri ini seadanya.”

Raihana terpaku di belakang Aiman. Walau kedudukan mereka agak jauh, dia dan Wardah dapat mendengar kata-kata yang terluah dari bibir Aiman itu. Ada air mata yang bakal tumpah namun segera nafas disedut, menghalang ia daripada mengalir. Cukuplah! Raihana tidak mahu menangis lagi. Terutama di pagi Ramadhan yang hening dan dingin ini. Cukuplah! Mengungkapkan kesyukuran padaNYA, kerana, bila Dia berkata,

“Jadilah! Maka Jadilah Ia!”

Tidak perlu berasa hairan pada perubahan suaminya secara total. Kerana tidak ada yang mustahil, yang tidak mampu ALLAH laksanakan. Sikap dan kelakuan, positif atau negatif, bila DIA mengizinkan, pasti boleh bertukar. Ke mana arah dituju, ke mana haluan dicari, hanya DIA Maha Mengetahui!!!

“InsyaALLAH, kalau abang Aiman sudi, Sya juga sudi.”

Aiman segera berpaling untuk menatap wajah yang sengaja dibuang jauh selama dua tahun ini. Raut wajah yang tidak mampu dilupakan. Rasa terbebat rindu demi melihat senyuman yang terukir pada bibir. Buat pertama kali, senyum itu terukir khas untuknya. Hanya untuk dirinya!

“Eh hmm.... abang Aiman, kak Sya, kita ni kat tanah perkuburan. Boleh tak kalau both of you main mata nanti-nanti. Kat sini seramlah...!” Wardah tidak melapik kata, menyebabkan pipi kedua-dua suami isteri itu merona merah, menahan malu.

“Abang Aiman, izinkan Sya baca Yasin sekejap?”

Aiman mengangguk sambil mempelawa isterinya duduk di sisinya. Dengan penuh tawadduk, Raihana membaca. Aiman tunduk, menghayati bacaan yang berkumandang.

Sebaik selesai, tangan isteri digenggam erat. Raihana membiarkan sahaja. Mendengar apakah lagi bisikan suaminya untuk yang telah tiada.

“Izham, abang tak tahu bila abang jatuh cinta pada Sya, tapi, jarak dan waktu mengajar abang erti rindu ini. InsyaALLAH, abang sudah bersedia untuk menggalas tanggungjawab sebagai suaminya. Sya adalah amanah kita bersama. Abang akan cuba membahagiakan dirinya tanpa ada sedikit niatpun untuk menandingi dirimu, adikku.

Izham, semoga kisah silamnya yang manis dengan kau, dik, mampu menghidupkan hari-hari mendatang untuk kami berdua. Abang janji, demi Allah, abang tidak akan membenarkan Sya melupakanmu, adikku. Tapi, abang harap, dia dapat memberi abang sedikit ruang untuk abang dalam diri dan kehidupannya nanti.”

Sepasang mata berkaca menatap wajah isteri yang basah, “Syarifah Raihana, jangan menangis lagi. Abang balik bukan nak tengok Sya menangis. Tapi, nak buat Sya tersenyum, mungkin juga ketawa. Abang berjanji yang abang tidak akan ulangi semua perbuatan kejam abang dulu. Percayalah, Aiman itu sudah tak ada lagi!”

............................

“Laa, tidur balik dia ni... Kata nak qiamullail sampai waktu sahur. Baru dua jam dah tak tahan!” suami yang sedang meniarap di atas katil dihampiri. “Abang Aiman, bangunlah! Mummy, daddy, semua orang sedang tunggu kita kat bawah tu. Abang Aiman... eeii, lepaslah!”

Diri yang sudah terbaring dan berada dalam dakapan suami bukan saja tidak dilepaskan malah semakin dibelai manja. Keinginan untuk bermesra tidak mampu ditolak.

“Tapi, nanti apa kata semua orang?” soalnya dalam nafas yang mencungap.

Aiman ketawa. “Diorang faham, sayang. Tentu diorang faham.”

Hanya senyuman menghiasi bibir. Senyuman bahagia dalam rasa ingin bermesra.
.........................

Di meja makan, semua orang sedang laju menikmati hidangan di dinihari terakhir Ramadhan. Riuh rendah tanpa mengendahkan ketiadaan pasangan pengantin lama yang baru.

“Mak, dah dekat pukul lima ni. Kenapa kak Sya dengan abang Aiman tak turun-turun lagi tu? Tahulah waktu sahur elok kalau dilewatkan tapi.......”

“Kamu budak kecik, apa tahu? Dah! Pergi ulangkaji pelajaran tu. SPM tak lama lagi dah ni.” Syarifah Maizurah berdalih sambil melirik senyum pada besannya.

Aswad terus terdiam. Dengan tertib dia meminta izin untuk masuk ke biliknya.

“Alhamdulillah, besar sungguh nikmat Allah, Zu. Akhirnya impian kak Zah dimakbulkan. Hai, kalaulah dikenang-kenang sikap Aiman dulu....”

“Biarkan saja yang dah lepas-lepas tu, kak. Zu pun bersyukur sangat. Sejak peristiwa dulu tu, Sya terus berubah. Tak lagi menung-menung dan meracau teringatkan Izham. Alhamdulillah, kasih sayang Aiman berjaya mengembalikan Sya yang ceria pada kita semua.”

....................................

“Abang Aiman,”

“Cop! Sya, kenapa Sya mesti panggil abang macam tu, sayang? Tiap kali sayang panggil abang, mesti sayang sebut, abang Aiman... Kenapa?”

Raihana ketawa kecil, “Abang Aiman ni! Macam tak puas hati jek! Sya panggil nama penuh abang, kan? Abang Aiman. Salah ke?”

“Tak romantis lah, yang....”

“Pulak...”

“Panggil abang aje, sayang. Jangan risau! Abang tahu Sya tak mahu abang fikir yang Sya panggil Izham, kan? Sebab tu asyik, abang Aiman, abang Aiman. Tapi, abang mahu dengar sayang panggil abang, abang. Ikhlas dari hati ni.”

Raihana tersenyum puas. Pengertian suami keduanya ini sangat-sangat dihargai. Dalam hati dia berjanji untuk membahagikan Aiman. Kerana kini, Aiman keutamaannya. Kerana kini, Aiman kekasihnya. Kerana kini, Aiman suami kesayangannya.
..............................

komenlah kalau sudi. Nak kutuk? Apa salahnya?. Kak sofi pun hanya manusia biasa yang tak lari dari buat silap semasa menulis. Cuma... kenalah berani sikit bila kutuk tu. Tulislah nama, bukan anon, ya!
sofi
     

Ulasan

  1. bestt la cerpen nih!!semua cerpen akk sy dah khatam..hope nti akk tulis cerpen lagi ye!!

    BalasPadam
  2. tak tau nak komen apa..sebab kak nye cite memang sentiasa terbaik...mmg best lah...memenuhi citarasaku...

    BalasPadam
  3. kira aiman msh ada hati ngn perasaan la kn bila dia terasa sbb mummy dia ckp lbh baik dia yg mati...huu..kalau time tu aiman still xrasa ape2 mmg aiman tu dah parah kn...huu

    BalasPadam
  4. best kak sofi...
    alhamdulillah akhirnya mereka tetap bersama...

    BalasPadam
  5. best... suka sangat..
    kak xde lagi n3 baru ker??

    BalasPadam
  6. @cactaceous opuntia
    ya btul, sampai satu detik, pasti seorang akan sedar kesilapan yang dah dibuat..

    BalasPadam
  7. @miznza84
    seperti biasa, kena tunggulahhh hehe...

    BalasPadam
  8. Alaaa kaka macam tak puas lak baca nak lagi sambung laa kak

    BalasPadam
  9. kak sofi mmg berani hasilkan karya. luv it.

    BalasPadam

Catat Ulasan

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.

Catatan popular daripada blog ini

Cerpen: Dia Idaman Jiwa

1
“Hi, boleh aku duduk kat sini?”

Aliah mendongak. Demi terpandang sahaja wajah itu, air mukanya terus berubah. Riak tidak senang ditunjukkan kepada lelaki itu.

“Cepatlah jawab! Senang aje soalan aku tu. Boleh, jawablah boleh...”

“Kalau saya jawab tak boleh?”

Abid terus menarik kerusi yang bertentangan dengan gadis itu.

“Aku tetap duduk sini jugak.” Balasnya sambil tersengih-sengih.

“Macam tak ada tempat lain!”

“Banyak! Sana kosong. Tu, di belakang kau tu pun kosong. Tapi, aku saja aje nak duduk depan kau. Dah sebulan aku cari kau tapi tak jumpa-jumpa. Alhamdulillah, hari ini dapat juga. Kau apa khabar? Sihat?”

Aliah tidak menyahut. Sebaliknya, dia terus menyuap dan kali ini suapannya sengaja dilajukan, tidak lagi menikmati nasi campur yang dimakan. Ketika itu, dia hanya berkeinginan untuk cepat-cepat menyudahkan makan tengah harinya supaya dia dapat pergi dari situ dengan segera. Dia tidak mahu mengadap muka lelaki yang kini sedang berada di hadapannya walau sehebat, sekacak mana se…

Yang Terakhir: Versi Cerpen

1
“Kau dah habis fikir ke, Khairi? Perempuan macam Najiha tu kau nak bawak ke majlis Annual Dinner kita? Tak malu ke nanti bila orang gelakkan kau?” tanya Hafiz sambil mengerutkan dahi. Dia keliru dengan sikap Khairi Iqbal. Rasanya, selama mereka berkawan, belum pernah walau sekali pun, Khairi memuji gadis yang seorang itu. Gadis yang bernama Izzatul Najiha. Tup tup, hari ini, dia buat keputusan hendak menjadikan Najiha pasangannya semasa majlis kemuncak nanti. Hisy, pelik betul!
“Malu, memanglah aku malu! Tapi aku cuma nak gunakan dia saja. Nak buat Amalina cemburu.” Balas Khairi sambil menyisip air lemon perlahan. Sejuk rasa kerongkongnya bila air itu menerobos masuk ke dalam rongga.
Mata Hafiz buntang. Kepala tergeleng-geleng.
“Kenyataan kau tu lagi buat aku tak faham! Kalau kau nak buat Amalina cemburu, kau patut bawak perempuan lain. Bukan si Najiha yang macam hantu bungkus tu!”
Terlambak tawa Khairi Iqbal mendengar kata-kata sahabat baiknya itu. Hantu bungkus? Si Najiha tu?…

Inikah Cinta? : Versi Cerpen

1

"Ouch!"

Cepat-cepat Janet menghisap jari telunjuk yang terhiris tadi. Setelah kesakitan itu hilang, dia segera membasuh jari itu. Dia kemudian mengelap lalu membalut luka dengan plaster.

"Sakit? Itulah pasal. Mak Nah dah cakap, biar mak Nah aje yang buat tapi Janet degil sangat. Hendak jugak main-main pisau," sindir orang gajinya menyebabkan Janet ketawa besar.

"Inilah yang orang cakap, luka di tangan nampak berdarah. Luka di hati tak siapa tahu. Kan, mak Nah?"

Mak Nah melepaskan keluhan sebelum mencuri pandang ke arah wajah ayu di sisinya yang kini sedang tunduk dan berpaling ke arah lain. Hati mak Nah kini turut melagukan irama sedih yang pasti sedang berdendang dalam hati Janet. Biarpun sudah lama ia berlalu, pasti kenangan itu hadir kembali sebaik rangkap pepatah itu diungkap. Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula kisah cinta penuh keindahan. Ke mana hendak dicampakkan?

"Dah enam tahun... dia tentu dah lupakan saya. Tentu dah kahwin…