apa yang nampak, apa yang rasa, apa yang dengar

16.7.11

Sukarnya Memujuk...

"Saya rindukan awak, Lia. Rindu sangat-sangat!" bisik Hisyam manja.

Kata-kata Hisyam itu menyedarkan Maria daripada mimpi. Lantas dengan sekuat tenaga, ditolaknya tubuh Hisyam menjauh.

Hisyam kehairanan. Kenapa? Kenapa Maria menolaknya? Dia ingin menarik Maria ke dalam dakapannya semula, namun gadis itu semakin menjarakkan diri. Kata-kata yang keluar daripada mulut Hisyam menggambarkan kemarahan.

"Rindu? Awak rindukan saya, Encik Hisyam?"

Hisyam mengangguk.

"Selepas awak bermesra dengan perempuan tu? Awak ingat saya percaya?" soal Maria sedih.

Hisyam menghampirinya. "Sumpah, Lia. Saya…"

"Jangan bersumpah. Jangan bohong lagi. Saya tak nak dengar."

Hisyam cuba meyakinkan. "Demi Allah, saya tak bohong. Memang saya betul-betul rindu pada awak."

Maria menatap wajah Hisyam. Dia seolah-olah tidak mempercayai apa yang dikatakan oleh Hisyam.

Tiba-tiba Hisyam tersenyum. Nakal senyuman itu. Dia mengusik. "Cemburu ya?"

Maria menyepikan diri.

"Marah ya?"

Kali ini, Maria memberanikan diri untuk menentang pandangan sepasang mata itu. "Habis, awak nak suruh saya gembira? Ketawa? Awak nak saya rasa seronok tengok awak. Lelaki yang pernah cakap dia sayangkan saya, bermesra, berpeluk, bergurau senda dengan si Farah tu... Awak ingat saya ni…"

Hisyam meletakkan jarinya di bibir Maria. "Lia, lebih baik kita selesaikan perkara ini. Antara saya dengan Farah, tak ada apa-apa hubungan istimewa. Kami hanya kawan. Sejak dulu, hanya itu sahaja. Saya tak pernah ada hati pada dia. Saya tidak pernah mencintainya. Tidak dulu, tidak juga sekarang. Hanya awak sahaja…"

Maria sakit hati mendengar kata-katanya itu. "Saya tidak akan percaya pada awak lagi!"

Wajah Hisyam merah padam mendengar ayat itu. Geramnya dia bila Maria masih tidak mahu percaya. Sungguh kecil hatinya mendengar Maria berkata begitu. Dan, hati membungkam mengenangi sikap gadis itu selama ini. Sikap baik yang penuh kepura-puraan. Masih terbayang di matanya, perlakuan Maria yang memeluk mesra lelaki di atas motosikal dulu. Gambaran itu masih jelas dalam ingatannya kerana saban waktu api cemburunya meledak tidak keruan kerana gambaran itu.

"Sudahlah, Maria, kalau awak tak mahu percaya cakap saya, tak apa. Tapi ingat, saya bukan pembohong. Saya tak berlagak baik. Saya tidak suka berpura-pura. Macam awak!" tengking Hisyam.

Terpinga-pinga Maria mendengar tengkingan Hisyam. Mata tidak dapat dikalihkan. Wajah tampan itu ditatap dalam-dalam. Penuh tanda tanya.

Bila dia berbohong? Bila dia berlagak baik? Bila dia berpura-pura?

Hisyam tidak peduli lagi kali ini. Dia nekad meneruskan kata-katanya. Dia masih tidak puas menyakiti hati perempuan itu. Tidak dipedulikan kesedihan yang jelas di wajah Maria. Tiada lagi rasa kasihan yang singgah di hati. Maria sudah melukakan perasaannya dan dia ingin membalas. Maria pernah melukakan hatinya dan dia ingin melukakan kembali hati Maria. Biar pedihnya sama dirasai. Biar deritanya sama ditanggung.

"Kenapa diam? Tak benar ke apa yang saya cakap ni? Awak ni perempuan murah. Perempuan yang tak ada maruah. Saya setuju dengan Irwan. Perempuan macam awak ni memang sanggup lakukan apa saja asalkan awak boleh bersama dengan kami. Dengan orang kaya. Mujur Irwan beritahu apa niat awak sebenarnya. Kalau tidak, tentu sampai hari ini pun saya masih tertipu."

Maria menarik nafas dalam-dalam. Penghinaan demi penghinaan menujah telinga. Dia tidak sanggup mendengar lagi. Cukup! Hatinya sudah terhiris. Dia ingin pergi dari situ. Tapi…

"Irwan! Kerana Irwan, selama tiga bulan awak buang saya jauh-jauh dari hati awak? Kerana Irwan, awak langsung tak jawab panggilan telefon saya? Tak balas mesej saya? Apa sebenarnya yang berlaku, Syam? Apa Irwan cakap sehingga awak buat saya macam orang bodoh? Sehari sebelum tu, beria-ia awak nak kahwin dengan saya, tapi tiba-tiba esoknya awak terus tinggalkan saya tanpa khabar berita. Awak buat saya macam saya ni tak ada maruah. Awak buang saya macam saya ni sampah," ujar Maria lemah.

Hisyam menjegilkan matanya. "Silap tu! Bukan kerana dia saya tinggalkan awak!" jerkah Hisyam.

"Oh, jadi ada alasan lain, ya? Cakaplah sekarang. Cakap terus terang supaya saya boleh tahu apa sebabnya awak buat saya macam tu," pinta Maria.

"Huh, apa perlunya saya beritahu? Awak dan perbuatan awak pada saya dah cukup menyakitkan hati, tahu tak?"

"Apa yang awak nak beritahu saya, Syam? Bahawa awak tinggalkan saya kerana kesilapan saya, macam tu?" Maria jelas keliru.

"Habis tu? Takkan silap saya pulak, kut..."

"Jangan cakap berbelit-belit, Encik Hisyam. Berterus teranglah! Apa salah saya? Apa yang saya dah buat sampai begini sekali awak buat saya? Benci saya?"

"Pelik betul perangai awak ni. Salah sendiri pun tak tahu? Kenapa, Maria? Perlu ke saya beritahu awak apa yang saya nampak?"

"Apa yang awak nampak?"

"Awak dengan lelaki tu! Mat motor yang awak peluk rapat tu. Hari yang saya ajak awak keluar sama dan awak kata awak ada hal penting. Tapi, apa yang penting sangat? Mat motor tu? Dia lebih penting daripada saya? Daripada perkahwinan kita? Saya betul-betul tak sangka, Maria. Saya benar-benar ingat awak ni perempuan baik, tapi perangai awak kalahkan minah rempit. Dengan saya bukan main alim, tapi bila dengan jantan tu..."

Maria kembali menitiskan air mata. Tidak disangka, Hisyam meninggalkan dirinya hanya kerana salah anggapnya terhadap Mazlan. Tapi, kenapa lelaki itu tidak bertanya? Kenapa tidak mahu bersemuka? Kenapa membiarkan diri mereka dalam keadaan ini?

"Tiga bulan awak mendiamkan diri, awak tak hubungi saya, kerana Lan? Awak tak jawab panggilan saya, tak balas SMS saya kerana awak cemburukan Mazlan?" Maria bertanya walaupun kini dia sudah pasti itulah puncanya.

Mazlan? Nama itu yang Maria sebut tadi. Tapi, itu kan nama…
.......................

tu petikan bab 15 Tak Mungkin Kuhindar. Bagi anda yang belum memilikinya, boleh ke Fajar Novels untuk memesan secara online. RM22.90 sahaja. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.