apa yang nampak, apa yang rasa, apa yang dengar

3.7.11

Kes Sosilawati... perbicaraan mulai Isnin 4 Julai

Assalamualaikum.....

Aku yakin semua kita sudah tidak sabar menunggu hasil daripada perbicaraan kes bunuh paling kejam dan menyayat dalam sejarah Malaysia selepas kes Mona Fendi dulu. 

Semoga hukuman dunia yang setimpal dapat dijatuhkan kepada perancang, pelaku, pembunuh yang tidak berperi kemanusiaan, yang sanggup membunuh lalu membakar mayat empat orang Islam termasuklah mayat Allahyarhamah Datuk Sosilawati Lawiya, jutawan Malaysia yang terkenal itu.

Mulai Isnin, 4.7.2011, perbicaraan kes ini akan bermula di Mahkamah Tinggi, Shah Alam. 50 saksi pendakwaan akan dipanggil memberi keterangan dalam kes paling menggemparkan negara pada 2010 itu.

Siapakah yang tidak tumpang sedih bila membaca tentang empat mangsa dalam kes ini yang bukan saja dibunuh dengan kejam, malah mayat mereka dibakar sebelum abunya dibuang di beberapa anak sungai berhampiran tempat kejadian?

Kalau si dalangnya, N Pathmanabhan, 42, tidak dihukum, memanglah pelik sedangkan dua pekerja ladang, K Sarawanan, 20, dan U Suresh, 27, kedua-duanya mengaku meletak mayat mangsa di atas longgokan kayu, dicurah petrol dan diesel sebelum dibakar antara jam 8.30 hingga 9.45 malam, 30 Ogos lalu, sudah dihukum! 

Pada 21 Februari lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam menerusi satu semakan kehakiman mengubah hukuman penjara tujuh tahun terhadap Sarawanan dan Suresh kepada 20 tahun. Hakim Datuk Mohtarudin Baki membuat keputusan itu selepas mendapati hukuman dijatuhkan Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting pada 15 Oktober tahun lalu tidak memadai dengan kesalahan melupuskan bahan bukti kes itu. 

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa membunuh Sosilawati, 47, pemandunya, Kamaruddin Shamsudin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32. 

Perbuatan itu dilakukan di Lot 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting, antara jam 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu. 

Keempat-empat tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. 

Anak sulung Sosilawati, Erni sebelum ini berkata, keluarganya menyerahkan kepada pihak berkuasa dan yakin hukuman setimpal akan dijatuhkan terhadap pembunuh ibu mereka. 
“Kalau hukuman dunia tidak boleh menghukum mereka, saya percaya Allah akan memberi pembalasan di akhirat kelak,” 
Kes akan didengar di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir dan insyaallah, aku akan update tentang perbicaraan kes ini hari-hari mulai Isnin nanti!

Kronologi kes bunuh Sosilawati 

30 Ogos 2010: 
- Sosilawati bersama Kamaruddin, Noorhisham dan Ahmad Kamil dilaporkan hilang selepas ke Banting atas urusan jual beli tanah. Sosilawati kali terakhir dilihat membeli kerepek di Kampung Sungai Lang, Banting, pada jam 4 petang. 

6 September 2010: 
- BMW M5 milik Sosilawati ditemui di parkir Pangsapuri Angsana, USJ 1, manakala BMW milik Ahmad Kamil pula dijumpai berdepan rumah teres berhampiran sebuah hotel di Subang Jaya. 

12 September 2010: 
- Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Zinin mengesahkan semua mereka dibunuh dengan kejam sebelum dibakar di sebuah ladang, manakala abunya dicampakkan ke sungai berhampiran. 

13 Oktober 2010: 
- Pathmanabhan bersama-sama Thilaiyalagan, Matan dan Kathavarayan didakwa di Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting atas tuduhan membunuh semua mangsa. 

15 Oktober 2010: 
- Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun terhadap Sarawanan dan Suresh yang mengaku bersalah melupuskan bahan bukti pembunuhan itu. 

18 Oktober 2010: 
- Pathmanabhan gagal dalam rayuannya terhadap keputusan Lembaga Tatatertib Peguam-Peguam yang membatalkan namanya sebagai peguam berdaftar. 

2 November 2010: 
- Enam anak Sosilawati memfailkan tuntutan saman ganti rugi bernilai RM60 juta terhadap Pathmanabhan dan lima pekerja ladang yang didakwa terbabit dalam kes pembunuhan ibu mereka. 

21 Februari 2011: 
- Mahkamah Tinggi Shah Alam meminda hukuman tujuh tahun kepada 20 tahun penjara kepada Sarawanan dan Suresh kerana melupuskan bahan bukti pembunuhan itu. 

3 Mei 2011: 
- Tuntutan wang dan modal pelaburan saham amanah bernilai RM1.38 juta oleh Sosilawati terhadap dengan bekas suami, Nash di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam dihentikan berikutan kematian jutawan itu.

semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh mereka....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.