apa yang nampak, apa yang rasa, apa yang dengar

8.7.11

Bila anak cakap tentang seks, mak jadi risau!

Assalamualaikum.....

Waktu umur mencecah 12 atau 13 tahun, ia digelar peringkat remaja. Semua orang tahu bahawa pada usia inilah, alam baru tercipta kepada anak-anak gadis dan anak-anak lelaki. 

Alam remaja merupakan fasa kritikal dalam hidup setiap orang sebenarnya. Perubahan diri yang dihadapi baik dari segi perubahan fizikal tubuh badan mahupun perubahan   emosi, kepada siapa harus bertanya? 

Contoh, anak gadis kita yang tetiba mendapati ada benjolan di dada. Tentu risau bukan main. Anak lelaki pula tetiba suara jadi pelik. Dah tu tumbuh bulu di merata-rata termasuk di tempat sulit.  Apa hal? Nak tanya pada siapa? Ayah? Tak fasal-fasal nanti kena jerkah. Emak? Lagilah! Silap-silap kena cubit. 

Membiarkan anak-anak membesar tanpa berbual tentang apa yang berlaku dalam diri mereka serta semua perubahan-perubahan akibat takut melanggar adat dan rasa malu sebenarnya masih menebal dalam kalangan ibu bapa. Apa lagi kalau hendak berbincang tentang seks dan hubungan intim. Mahu pengsan!

Maka, tidak hairanlah kalau anak remaja mendapatkan khidmat nasihat di internet. Haha... khidmat nasihatkah atau khidmat tontonkah? Kita marah mereka sedangkan peringkat usia remaja adalah untuk meng'explore'! 

Tidakpun, kawan-kawanlah yang akan jadi orang sumber. Yang ter'lebih' pengalaman akan mula bercerita dan maklumat yang bertentangan dengan agama sudah tidak dipedulikan lagi. Natijahnya? Tu yang ramai mula mengandung dan berlakulah buang bayi, bagai....

Budaya mengunci mulut ibu dan ayah dalam membicarakan persoalan berkaitan tubuh badan dan transformasi yang berlaku mesti dihapuskan. Bersikap terbukalah supaya anak-anak remaja ini mendapat maklumat yang betul tentang tubuh mereka ataupun tentang seks.

Tak salah untuk ayah berbicara 'men talk' kepada anak terunanya dan ibu menasihati anak gadis, kan? Memang malu nak sembang tentang tubuh badan, perubahan hormon, anggota sulit tapi kalau bukan kita yang mengenali tubuh anak-anak, relakah kita membiarkan anak-anak mendapat informasi melalui orang lain? Dari kawan-kawannya mungkin?

Keterbukaan bukan untuk berlucah hanya untuk menekankan hakikat, yang mana betul dan yang mana tidak boleh dilakukan pada usia serapuh dan semuda itu. 

Haid dan kitarannya, waktu subur, ovulasi, kehamilan, menjaga kebersihan dan banyak lagi perkara, kalaulah ibu yang bercerita tentu anak gadis lebih berterima kasih. Tentu bersedia menghadapi haid kali pertama, taklah terkejut dan menangis bila nampak darah.... 

Bila mula pandai meminati gender berlainan jenis, anak teruna pasti merujuk kepada ayah untuk memberitahu tentang perasaannya. 'Rasa' yang terbit dalam hati dan gemuruh bila dengan si'dia'. 

Waktu inilah ayah harus pandai bercakap tentang sikap tanggungjawab seorang lelaki terhadap seorang wanita. Menasihati tentang halal dan haram. Berterus terang tentang zina dan hukumnya. Perbezaan antara menggunakan akal dan menurut nafsu. 

Di sekolah, semua itu ada diajar tapi tentu berbeza kalau ibu dan ayah yang mendidik anak-anak tentangnya, kan?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.