apa yang nampak, apa yang rasa, apa yang dengar

9.6.11

Melur Jasmine 5

5

Suasana dingin mencengkam tubuh di waktu dinihari. Saat semua orang lebih enak dibuai mimpi-mimpi indah, ada yang lain yang memilih waktu ini untuk mendekatkan diri kepada Dia, Pencipta Maha Agung. Saat inilah umat Islam disuruh bangun dan mengerjakan ibadah buat menambah keimanan serta ketakwaan. Dan biasanya, waktu beginilah juga yang sering digunakan murid-murid untuk mentelaah, kerana ketenangan di sekeliling memudahkan diri menghafal, membaca dan mengulangkaji.

Di dalam sebuah rumah, sudah lama keadaan terang benderang. Ia sebagai tanda bahawa penghuni-penghuninya sudah bangun. tidak mahu lagi terus terlena diulit mimpi.   


Puan Liza baru usai mengerjakan solat. Selepas mengemaskan diri, dia keluar daripada biliknya. Dia ingin ke dapur, turun untuk menyediakan minuman untuk Jasmine dan Melur. 


Ketika melintasi bilik anak gadis sulungnya diintainya di sebalik pintu yang sedikit terbuka. Di sudut kiri, di meja belajar, anaknya itu sedang tekun menelaah. Puan Liza tersenyum manis.


Senyuman itu mati bila melewati bilik Melur. Bilik itu masih gelap, membuktikan bahawa penghuninya masih lena lagi.


"Melur??"


Dia masuk dan menarik-narik ibu jari kaki anak keduanya ini.  Memang begitulah cara Puan Liza mengejutkan anak-anaknya iaitu dengan mencuit-cuit ibu jari kaki mereka. Dengan lembut sahaja agar tidak terkejut. Kalau Jasmine, mudah sahaja terjaga. Tetapi nampaknya, Melur seolah-olah tidak menyedari perbuatannya. seolah-olah tidak mahu bangun. 


"Melur, bangunlah! tengok-tengok buku! Min dah lama tunggu Melur untuk belajar sama-sama. bangun cepat!" 


Puan Liza tergamam bila Melur bukan sahaja tidak peduli malah terus menarik selimut hingga menutupi keseluruhan kepala. Lama dia terpaku di hujung katil, memerhati Melur Airina dan kedegilannya yang semakin menjadi-jadi. hendak dimarah? Kasihanlah pula!


Bersama sebuah keluhan, Melur ditinggalkan. Puan Liza terus melangkah turun ke dapur. Orang gaji bernama Imah, sudah bangun dan sedang berkemas-kemas. 


"Selamat pagi puan. Saya dah masak air. Puan nak minum? Saya buatkan air milo, ya?" ucap gadis itu penuh hormat. Baru berumur 23 tahun, budak kampung Binjai, Junjung ini memang tidak pernah bersekolah menengah. Dia datang ke Kuala Lumpur mengikut kawan. Fikirnya, betullah kawannya itu mahu mengajak dia bekerja di kilang sebagaimana diberitahu kepada ibu di kampung. 


Rupa-rupanya, kawan baiknya itu mahu membawa dia ke sebuah rumah pelacuran. Nasib baik Imah dapat menghidu perbuatan jahat kawannya itu. Dia mengambil peluang melarikan diri ketika meminta izin kawannya untuk ke tandas. Di dalam tandas awam itulah dia bertemu dengan Puan Liza dan menceritakan semuanya. Puan Lizalah yang membantu Imah, menyuruh gadis itu menaiki keretanya secara senyap-senyap. Dan kini di sinilah Imah, bekerja dengan gembira untuk keluarga perempuan yang menyelamatkan dirinya. 


"Kamu buatkan saya air kopi. Saya nak bancuh susu untuk Jasmine."


"Melur?"


"Tak payah. Dia tidur lagi."


Imah mengangguk. 


Di antara dua beradik kembar itu, Imah lebih menyenangi sikap Jasmine yang periang. Lagipula, Jasmine mesra dengannya. Suka bercerita itu, ini. Melur pula sangat pendiam orangnya. Jarang pula hendak bertegur sapa. Nak tersenyum pun sukar. Macam orang yang banyak masalah saja, fikirnya.   


"Nanti, kamu tolong rendam bihun, ya. keluarkan isi ayam dengan udang daripada peti ais. kita buat bihun goreng untuk sarapan pagi. Jasmine suka makan bihun goreng untuk lapik perut sebelum pergi sekolah." 


Imah mengangguk. Pantas saja dia mengikut arahan Puan Liza yang ketika ini sudah mengangkat dulang untuk naik semula ke tingkat atas. 


Kini Puan Liza sedang memasuki kamar Jasmine. Jasmine dilihatnya sedang tekun mengulangkaji. Bangga sungguh rasa hati memiliki anak yang mahu bertungkus lumus belajar. Doanya, semoga anak ini sentiasa berjaya dan bahagia.

“Nah susu. Ada biskut Oreo tu boleh cicah. Min mesti lapar, kan?” katanya meletakkan piring biskut dan gelas susu di sebuah meja kecil yang kemudian ditarik dan diletakkan di sisi anaknya.

Jasmine tersenyum bahagia. Sepanjang ingatannya, setiap kali dia bangun untuk solat dan stadi di waktu begini, ibunya pasti sudah bangun dan terjaga juga. Dan, tiap kali juga, ibunya pasti menyediakan segelas susu untuknya.

“Terima kasih. Saaayang mami!” ucapnya sambil merangkul leher si ibu dan mencium pipi. Senyumnya meleret  bila puan Liza ketawa bahagia. Terus sahaja dia menikmati hidangan untuk melapik perutnya itu.

“Melur tak bangunpun. Bila mami gerak, dia terus tarik selimut, tutup kepala dia.”

Bukan bertujuan untuk mengadu tetapi Puan Liza risau memikirkan Melur yang jauh berubah sikapnya. Anak itu semakin degil sekarang. Semakin melawan.

“Mami nak Min pergi goncang katil dia?” Jasmine bertanya nakal. Sekadar ingin mengembalikan senyuman di wajah cantik ibunya.

Seperti dijangka, Puan Liza tersenyum manis. “Alah, mami tahu Min dah kejutkan dia, kan? Mami dengar Min marah-marah dia tadi!” si ibu menyindir.

Jasmine pula melepaskan keluhan. “Min tak faham dengan dia, mami. Makin tak kenal dia. Dia makin jauh dari Min. Sekarang ni, cakap Min semua dibidas balik. Asyik cakap nak pergi dapat ayah! Sakit hati Min ni, mami!”

Masing-masing hilang ceria. Bila bercakap tentang Melur, kedua-duanya susah hati. Mahu tak risau? Melur berubah seratus lapan puluh darjah. Sikap lemah lembut, prihatin, mesra, semua dah tiada. Tahunya, hari-hari, asyik hendak mengamuk sahaja.

“Mami takut.”

Jasmine segera mendongak bila mendengar kata-kata ibunya yang kini sedang berdiri di tepi tingkap. Kata-kata ibunya yang membuat hati sedikit berdebar.  

Puan Liza berpaling menatap wajah anaknya yang menunggu dia meneruskan kata. 


“Mami takut Melur tinggalkan kita lagi.” Ujarnya.

Jasmine menghela nafas sebelum membalas, “Tapi, telefon dia kita dah sorok, mami. Kalau dia main komputer pun, Min selalu ada dekat dia. Tak pun, kak Imah yang tengok-tengokkan dia. Jadi, dia tak boleh hubungi sesiapa! Dengan ayah, lagilah!”   

“Entahlah, Min. Harap-haraplah begitu.” lemah saja suara si ibu.

Lama Jasmine menatap wajah ibunya. Dia turut bimbang jika Melur dan ayahnya saling berhubung lagi. Dia tidak mahu ditinggalkan oleh Melur lagi. Dia tidak mahu ayah merampas Melur mereka.

“Suruh uncle Riz tangkap ayah, mami. Mana tahu, kut-kut di rumah dia tu ada dadah ke? Senang! Biar dihukum gantung terus! Menyusahkan orang saja kalau dia tu hidup!”

Jasmine tidak menyembunyikan kebencian terhadap ayahnya. Ya, itulah yang dirasainya. Rasa benci! Marah dan tidak menyukai. Baginya, dalam dunia ini cuma ada dua orang sahaja lelaki yang baik. Yang seorang ialah Rizal, lelaki yang disukai ibunya dan Pak Amin, pemandu merangkap pengawal peribadi mereka. Lelaki lain? Semua hampeh!

“Mana dia duduk di rumah tu lagi? Dah kosong dah! Entah ke mana perginya.” Balas Puan Liza.

Sewaktu pihak polis menyerbu ke rumah Zahar untuk membebaskan Melur, Melur ditinggalkan sendirian. Bila polis tanya Melur di mana ayahnya, dia tidak pun bercakap apa-apa. Sampai hari ini, Rizal sudah mengambil alih tugas menyiasat daripada pihak polis bila Puan Liza menarik balik tuduhan menculik ke atas Zahar. Kaki tangan Rizal memberitahu bahawa rumah itu masih terbiar. Dan menurut kata tuan rumah, Zahar tentu sudah cabut kerana sudah hampir 5 bulan tidak membayar duit sewa.

“Entah di mana ayah kamu sekarang, Min?” tanya puan Liza, penuh hampa.

“Mesti ada di sini, mami! Mesti dia dah tahu yang kita menetap di sini. Kadang-kadang Min hairan, macam mana ayah tu begitu cekap mengesan kita di mana. Dia ada spy ke mami? Mana tahu kut-kut ada kakitangan pejabat mami yang sanggup tolong dia?”


"Entahlah, susah nak cakap..."

“Uncle Riz pun cakap macam tu. Dia suruh Min perhatikan Melur sebab katanya, bila-bila masa, Melur dengan ayah mesti berhubung. Tapi, macam mana? Melur bukan ada telefon pun?" omel Jasmine.


"Alah, Min. Ayah kamu tu bijak. tahu aje dia cara untuk buat hidup kita huru-hara! Min, Mami takut. Takut kalau-kalau sekali ini, bukan saja Melur yang dibawa pergi, tapi kamu juga! Entahlah, Min! Kenapalah mami dapat suami macam dia?”

Jasmine terangguk-angguk. Namun kemudian, dia tergelak kecil.

“Kenapa?” tanya ibunya.

“Mamilah!” dia kemudian mengajuk. “Kenapalah mami dapat suami macam dia?”

Puan Liza ketawa diusik anaknya.

“Mami, kalau mami tak kahwin dengan lelaki yang bernama Zahar tu, macam mana mami nak lahirkan Jasmine dan Melur yang comey lote ni? Kan?” usik Jasmine.

Puan Liza memicit hidung anaknya. Pandai sungguh mempersenda dirinya. Buat dia kembali riang. "Nakal!" gumamnya. 


Jasmine makin kuat ketawa.

“Dah, sambung balik belajar tu! Min mesti score A+ dalam semua subjek, tau!” 


"Alah, mami nak pergi mana?" 


"Nak ke dapurlah! Kan hari ini hari pertama Melur nak ke sekolah? Mami nak masak sarapan dengan kak Imah. Nak goreng bihun."


Jasmine segera bangun dan memeluk pinggang ibunya. 


"Love you much, mami."


"Love you more!" 


"Alaaa..... I love you most!"  


"Dah...dah! Layan kamu ni sampai bila tak habis-habis."  bisik Puan Liza lalu meleraikan pelukan anak gadisnya.  


Jasmine kembali menelaah sebaik ibunya meninggalkan dia. Senyum menghiasi bibir. Ya, dia bahagia kerana hari ini, buat pertama kali selepas sekian lama, Melur akan belajar bersama-sama dengannya di sekolah. harap-harap mereka akan duduk sekelas. senang! boleh ulangkaji sama-sama. 



Hari ini, kali pertama Melur dibenarkan pergi ke sekolah oleh Puan Liza. Hatinya berat untuk membenarkan tetapi sampai bila hendak dibiarkan Melur duduk di rumah? Dia tidak mahu Melur ketinggalan dalam pelajaran. Dia tidak mahu Melur terus dibelenggu rasa marah. Mungkin dengan bergaul, sikap dingin Melur boleh berubah. Siapa tahu?

Dan, buat pertama kali senyum menghiasi bibir Melur pagi ini. Meskipun masih bersikap dingin dengan ibunya, Melur meluahkan rasa gembira kerana dapat bersekolah semula kepada Jasmine. Dia kelihatan tidak sabar-sabar lagi untuk keluar mendapatkan Pak Amin yang setia menunggu di kereta.


"Min nanti tunggu Melur di kelas, tau. Min yakin, kita akan belajar dalam kelas yang sama."


"Okey!"  

Di pejabat sekolah...

Seseorang merenung wajah Melur dengan penuh khusyuk. Kebetulankah atau sudah ditakdirkan mereka bertemu lagi setelah hampir dua bulan terpisah? Ditatap wajah itu tanpa jemu.

“Kenapa kamu? Tengok anak dara orang macam gitu sekali? Tu kaki dah patah sebelah. Papa takut nanti patah pulak yang sebelah lagi.” Bisik si ayah menyindir si anak yang seakan-akan terpukau memerhati anak gadis yang baru memasuki ruang pejabat yang sempit itu.

Badrul Aminudin Haziq segera tersedar. Dia tersipu-sipu malu. Nampak sangat dia seronok dapat jumpa Melur semula. Tapi dia hairan. Kenapa Melur bereaksi seolah-olah tidak pernah melihatnya? Seolah-olah tidak pernah mengenalinya?

“Baru masuk sekolah ini?” tanya encik Hakim kepada puan Liza.

“Ha, ah. Anak saya ni sakit. Dah lama tak sekolah. Ni baru nak daftarkan dia.”

Dahi Badrul berkerut. Dia kehairanan kerana menganggap puan Liza menipu bila berkata begitu. Uisy, menipu? Tapi kenapa? Untuk apa?

“Kami baru saja berpindah ke pekan ni. Encik pula?”

“Kami pun! Kebetulan pula saya berpindah ke bandar ni. Atas arahan pertukaran tempat kerja. Terpaksalah angkut anak bujang saya ni. Kalau ikut hati nak tinggalkan aje dia di rumah lama dengan emaknya. Tapi emaknya bimbang dia merempit lagi. Tu dah patah sebelah kaki dah. Kalau ditinggalkan, mahu patah sebelah lagi...”

Mereka ketawa bersama-sama. Badrul malu yang teramat tapi terpaksa berlagak selamba depan Melur.

“Anak saya dua orang. Si kakak dah masuk dalam kelas. Ni adiknya. Nanti, kalau budak berdua ni sekelas, boleh tak anak encik temankan Melur ke sana?”

“Mami?” Melur tarik muka masam.

“Boleh aje mak cik. Tak ada masalah.” Jawab Badrul dalam keadaan amat teruja. Membuat bapanya terjungket kening.

Bila segala urusan dapat diselesaikan kira-kira sejam kemudian, Melur ingin bergegas keluar untuk menuju ke kelas. Namun dia tidak boleh meninggalkan budak lelaki yang sedang terkial-kial dengan tompang kakinya itu. Mahu tidak mahu, terpaksalah dia berjalan perlahan-lahan, seiringan, menuju ke kelas. Kalau ikutkan hati, Melur mahu saja meninggalkan mamat yang sedang terkial-kial melangkah di sebelahnya. Tapi rasa kasihan pulak.

“Kenapa kau ni sombong sangat, Melur? Takkan dah lupakan aku kut?”

Soalan itu menghentikan langkah. Melur memandang wajah Badrul Aminudin Haziq dalam-dalam.

“Awak? Awak kan dah dengar mami saya cakap apa tadi?”

“Habis kau ni nak cakap yang kita tak pernah jumpa sebelum ini? Yang kau tak kenal aku?”

Melur mengangguk laju.

“Kejamnya kau! Kut iya pun masih marahkan aku, takkanlah sampai tak mahu langsung mengaku kita saling kenal. Sampai hati kau!” rintih Badrul.

Lama Melur menatap wajah Badrul yang kelihatan comel seperti Won Bin itu. Tapi dia sudah tidak tahu apa yang hendak dikatakannya lagi. Memang nyata, budak lelaki ini mengenali dirinya. Sangat mengenalinya! Tapi, bagi dirinya?  Entah! Dia yakin mereka tidak pernah bertemu sebelum ini.  


Mereka sudah sampai di hadapan kelas yang ditujui. Dari dalam kelas, seseorang meluru keluar untuk mendapatkan Melur. Begitu teruja untuk belajar sekelas semula.

“Welcome my dear sis....”

Terhentilah kata-kata demi terpandang budak lelaki yang berdiri di sisi Melur. Waduh! Mimpikah atau nyatakah? Badrul Aminudin Haziq sedang berdiri dan melihat dirinya bagai baru nampak hantu. Berkali-kali lelaki itu berpaling di antara dirinya dengan Melur.


"Kau? Apa kau buat di sini?" 


Badrul tidak menjawab sebaliknya bibir mengungkapkan, “Sama!” 


Hanya itu yang mampu dibisikkan.

“Mestilah sama. Kami ni kembarlah!” Jasmine memberitahu sambil menjeling ke arah budak lelaki yang sangat-sangat dibenci itu.

“Aku boleh nampaklah! Korang berdua ni kembar seiras. Saling tak tumpah.” kata Badrul.


"Tau tak apa!"


"So, kalau dia ni Melur, kau.... Jasmine?" Badrul ingin tahu. 

“Tak ada masa nak jawab. Kitorang nak masuk dalam kelas. Nak belajar. Kau nak ke mana?” tanya Jasmine garang.

“Dia pun nak masuk dalam kelas ini, Min. Dia baru pindah ke sini. Sama macam Melur.”

Jasmine ternganga. Tetiba hati rasa cemas.

‘Habislah! Habislah! Rosaklah hidup aku lepas ni. Dia mesti nak kacau aku lagi. Tengok tu! Senyum jahat dia tu dah mula mekar. Mami, tolong Min! Budak BAD ni nak ganggu hidup Min semula. Tolongg!’    


4 ulasan:

  1. huhuhu.. mcm terasa aura hitam dari badrul je... jeng..jeng..

    BalasPadam
  2. lamu nunggu cite ni...baru ad...huhu

    BalasPadam
  3. @miznza84
    haha... nza, kaki sakat sudah mari ....

    BalasPadam
  4. @Anonymous
    sowi, dah kubilang, kepalaku beku deh...

    BalasPadam

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.