Follow Us @soratemplates

13.6.11

Lydia, kau cuit hatiku! 7

7

Bila berjauhan, hanya emel mengganti diri. Hanya suara dapat didengar. Hanya MMS mengganti jasad. Hanya SMS meluahkan hasrat. Rindu makin mencengkam. Resah makin menggila.

Sudah hampir dua tahun, saling berhubung. Mana jiwa yang tidak terusik? Mana hati tidak tercuit? Bila rasa sememangnya ada sedari mula namun dinafikan kerana merasakan si dia bukan lelaki terbaik untuk dirinya.

“Padan muka kau, Lydia. Bila dia senyap sunyi, tahu pulak kau merindukan dia?” diri dimarahi.

Mahu tak marah? Bila siang malam, pagi, petang, tiap saat, tiap minit, wajah itu asyik menerpa pandangan?

“Dea, abang Salih nak cakap sikit.” Teringat panggilan telefon yang diterima daripada Salih beberapa jam yang lepas.

“Banyak pun boleh, bang.” Lydia berlucu.

“Tentang Haikal,” kata Salih.

“Kenapa dengan dia? Sakit?” suara Lydia sedikit cemas.

“Sakit tu tidaklah. Tapi mata abang ni yang sakit tengok dia sekarang.”

Lydia sudah tidak sedap hati. Jantung laju berdenyut. Mungkin ayat Salih itu yang menyebabkannya. Menyebabkan rasa risau melanda.

“Lydia, mungkin Haikal dah berubah hati, kut. Dia....”

“Dia ada makwe baru?”

“Begitulah kira-kiranya. Istimewa kut sebab hari-hari berdua pergi lunch, dinner. Hujung minggu pun diorang dating juga.”

Lydia ketawa. “Abang ni... Macam mana abang tahu hujung minggu pun diorang dating? Abang dok ikut Haikal sepanjang masakah?” soalnya.

“Gelak nampak? Macam orang tak ada jiwa aje kau ni, Dea! Pakwe dah ada girlfriend baru pun, boleh lagi ketawa? Tak takut Haikal tinggalkan kau?”

“Jodoh pertemuan kan di tangan Allah. Kalau takdir dah tertulis antara kami tak ada jodoh, nak buat macam mana?” dia menanya Salih.

Salih terdiam. Memang tak ada perasaan perempuan ni, bentak hatinya.

“Iya jugak, kan? Kalau tak ada jodoh, apo nak dikato? Gigit jarilah ekau...” sindir Salih sebelum menghempas gagang.

Sejak itu, fikiran Lydia kacau bilau. Tak boleh tumpu kepada apa yang sedang dibuat sama sekali. Wajah Haikal ada di mana-mana menggayut pada bola matanya. Nampak sangat dia susah hati. Nampak sangat dia risau. Nampak sangat dia sudah tidak tentu arah.

“Macam mana nak buat ni? Kalau dia benar-benar jatuh cinta dengan perempuan lain? Aku? Apa jadi pada aku?”

“Gigit jarilah!!!”

Kata-kata Salih menggigit perasaan.
.........................

“Mak, jom kita pergi jumpa Lydia?”

Puan Noni macam tak percaya mendengar kata-kata anaknya. Selama ni, bila dia yang mengajak, macam-macam alasan Haikal bagi. Tak nak ganggu Lydialah. Tak nak beri tekanan pada Lydia. Tak apa, biar jangan berjumpa supaya nanti Lydia rindukan dia. Tapi, ni, angin tak ada, ribut tak melanda, tetiba ajak dirinya mencari buah hati. Ajak ke Dubai. Apasal pula?

“Ada benda yang perlu saya selesaikan dengan dia. Hubungan kami ni dah lama tergantung. Saya rasa, dah sampai masa untuk saya noktahkan semua. Daripada menunggu macam pungguk rindukan bulan, baik saya naik shuttle, terus ke angkasa. Senang!”

Puan Noni mengerut dahi. Langsung tak faham apa anak teruna dia sedang mengarut ni, fikirnya.

“Bila nak pergi?”

“Ahad?”

“Lusa?”

Ni memang kes terdesak ni!

“Tapi kenapa? Dah dua tahun kamu okey aje mak tengok. Kenapa pulak tetiba aje nak jumpa Lydia? Rindu dah?” usik si ibu.

Haikal menjuih bibir. “Saya sorang aje rindu-rinduan, tak jadi juga, kan? Lydia tu, mak... semua saya kena mulakan dulu. Saya SMS dia, baru dia balas. Kalau saya tak SMS, jangan harap dia nak mulakan. Tiap kali telefon pun macam tu juga. Ada dia nak tanya khabar saya? Tak! Bil telefon saya melambung tak apa. Dia? Bila tanya kenapa tak call, dia jawab, tak nak ganggu. Bosanlah macam ni, mak!” bebelnya.

Puan Noni renung raut wajah tampan di hadapannya lama-lama. Dia tahu ada maksud tersirat cuba disampaikan. Tapi apa? Haikal nak putuskan hubungan dengan Lydiakah?

Risaulah pula. Terutama bila saat ini, Haikal sedang menyambut panggilan daripada seseorang dan kelihatan gembira, tergelak-gelak mendengar omelan orang di hujung talian.

Hati resah. Sebagai ibu, dapat dirasakan anaknya kian berubah. Aduhai, dah tak rindu pada yang jauh kerana dah ada yang di hadapan mata? Yang lebih manja dan mesra? Bukan macam kayu yang di Dubai tu?

Bila talian dimatikan, Puan Noni segera berkata, “Okey, lusa, kita ke Dubai. Mak pun dah rindu pada Lydia.”

Haikal renung wajah ibu tanpa perasaan. Membuat sekeping hati tua itu menjadi semakin gundah.
..................................

Di Dubai.....,

Lydia tidak banyak bercakap. Dia diam malah malas menegur Haikal. Dia terasa hati bila Haikal bagai mengelak dirinya. Tanya khabar pun tidak. Main angguk-angguk kepala macam orang Jepun sahaja.

“Lydia sihat?” tanya Puan Noni.

“Alhamdulillah, mak cik. Mak cik pun nampak sihat, ya?”

“Iya. Tu yang bila Haikal ajak datang sini, cepat aje mak cik setuju.” Balas Puan Noni.

“Awak ajak mak cik? Datang sini?”

“Hmm,”

Laa, kenapa jawab hmm aje? Budak Haikal ni dah kena sampuk ke hapa? Bisik hati Puan Noni.

“Kau macam tak suka aku datang sini? Kenapa? Aku ganggu jadual hidup kau ke?”

Lydia tatap wajah Haikal yang merah. Tidak memahami kenapa lelaki itu seakan-akan marah. Bukankah dia yang sepatutnya naik hantu sekarang? Berita yang Salih sampaikan dulu masih menyengat tangkai hatinya. Masih berbekam rasa geram. Ingatkan lelaki ini datang sini sebab rindukan dia tapi datang nak marah-marah pula. Muka tu.... kelat mengalahkan pucuk putat!

“Awak tu kut yang menyesal datang ke sini? Mana tahu kut-kut hati tertinggal di Malaysia?” Lydia menggiat.

“Organ dalam badan aku semua masih elok berfungsi dalam badan aku ni. Tak ada bagi-bagi pada orang lain. Kau kut yang tak ada hati dah. Dengarnya, dah macam belangkas, siang malam asyik berkepit.” Bidas Haikal. Ingat nak bagi jiwa sejuk dulu baru nak tembak. Tapi, dah tahan dah. Sakit hati! Tambah bila tengok gambar MMS yang dia terima beberapa hari lepas. Memang tak boleh tanggung lagi. Lahar nak meletup, dah tak dan-dan!

Di muka pintu, Shahdan yang baru sampai tersenyum lebar. Pelik! Orang di dalam rumah sedang zip mulut, tak berani hendak bersuara kerana ketika ini pasangan Haikal dan Lydia sedang naik angin dan saling berbalas kata, dia pula baik punya tarik sengih. Siap mengusik lagi...

“Aik, baru sampai dah marah-marah, bang? Relakslah, bang!” Shahdan memerhati sekeliling. Matanya terpaku ke wajah orang gaji. “Munni, mana air? Cepat ambil air sejuk. Bagi abang Haikal cool sikit!” katanya sambil tersengih melihat Munni bergerak laju menuju ke dapur.

“Betul juga tu, Dea. Yang kamu ni pun.... cuba senyum sikit! Haikal tu datang dari jauh nak jumpa kamu. Kalau senyum, hilang juga rindu dia pada kamu.”

Rindu konon? Rimdu apa macam tu? Tahu nak marah aje? Cakap entah apa-apa? Belangkas, cicak, biawak semua keluar daripada mulut dia. Entah angin apa yang dia bawa dari KL?

“Kita makan dululah. Boleh kan, mak su?” tanya Shahdan.

“Lydia kenyang lagi.”

“Saya tak lapar lagi, mak cik.”

Serentak kedua-dua mereka menolak. Lepas tu saling pandang memandang. Jeling-menjeling.

“Kenapa tak nak makan? Awak ada temujanji, ya? Ada date dengan pakwe? Jadi betullah awak dah ada lelaki lain dalam hidup awak? Habis saya ni siapa? Punya lama saya tunggu awak, mudah aje awak curang dengan saya?” suara Haikal tinggi melengking, menjerkah menyebabkan suasana sepi, sesepinya di dalam rumah agam yang didiami seluruh kerabat Lydia.

Lydia sudah panas. Panas! Salah dia? Dia curang? Haikal memang nak kena. Dia buka inbox. Terus letak screen iphone 4 nya depan muka Haikal.

“Ini siapa? Siapa? Bukan awak ke? Hah? Pandai nak tuduh orang! Diri sendiri yang khianat, tak nak mengaku. Benci!”

Haikal tergamam. Gambar yang menjadi bukti ditatap betul-betul. Memang itu wajahnya. Memang itu dirinya. Tidak silap lagi. Dia sedang tersenyum kerana di sisinya, seorang gadis manis sedang membisikkan sesuatu di telinga. Penuh romantis. Dan, memang, apa yang terlihat itu bisa membuat hati yang melihat mengesyaki sesuatu.

Tapi, kenapa? Macam mana? Keliru! Tertipu! Siapa yang dah ada orang lain ni? Lydia atau dirinya?

Dia sendiripun tak tahu!
..............................

4 ulasan:

  1. hai..haikal..kalau ko pn konpius aku yg bace ni lg la konpius kuase dua

    BalasPadam
  2. sapa yg buat hal sbnarnya.. ke ada yg kenakan dorang berdua ni...
    kak sambung cpt plzzz

    BalasPadam
  3. @miznza84
    nza, da sambung dah. baca versi cerpen lak.. enjoy!

    BalasPadam

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.