apa yang nampak, apa yang rasa, apa yang dengar

9.6.11

Lydia, kau cuit hatiku! 4

4

“Shah tak fahamlah. Kenapa Dea nak buat macam ni? Nak perdaya si Haikal tu? Shah rasa dia ikhlas dengan Dea.”

“Apa buktinya dia ikhlas? Bunga-bunga tu? Coklat yang dah penuh bakul tu? Atau SMS yang dia kirim? Belum lagi Dea ambil kira berapa kali Dea nak kena jawab panggilan telefon daripada dia? Kadang-kadang kan, Shah, Dea hairan dengan si Haikal tu. Tertanya-tanya bila masa dia bekerja kalau dah asyik hantar SMS dan call. Rimaslah!”

Masing-masing ketawa. Ketawakan Haikal dan sikap menggodanya. Kaedah mengurat yang stereotaip. Kirim bunga, ayat-ayat cinta, mesej, coklat...uweks, boring!

“Tak baik buat dia mengharap, Dea. Dan lebih tak baik Dea buat dia menyangka yang kita berdua ni ada apa-apa. Kesian dia! Kalau dia tahu yang Dea sengaja nak buat dia jadi burung pungguk, tentu dia marah.”

Lydia ketawa mendengar kata-kata Shahdan. Sengaja nak jadikan Haikal si burung pungguk yang merindukan bulan saban waktu?

Tapi, dia perlu lakukan begitu. Lelaki itu terlalu sombong. Dan dia tidak suka orang yang sombong. Allah juga tidak suka manusia yang sombong.

Biarlah orang sombong itu belajar merendah diri dan terpaksa merayu untuk merebut cintanya. Biarlah dia memberi sedikit kepayahan agar Haikal belajar menghargai dirinya untuk dimiliki. Biarlah Haikal bersusah payah memburu rindu dan menyangka dia terpaksa bersaing.

Yang mudah dapat akan mudah dilepaskan. Yang mudah dipikat akan mudah ditinggalkan. Yang mudah digoda akan mudah dilupakan.

Lydia tidak mahu dilepaskan setelah hatinya diikat. Lydia tidak mahu ditinggalkan setelah hatinya dipikat. Lydia tidak mahu dilupakan setelah dirinya digoda dan terjerumus dalam lubuk cinta.  

“Dia mesti marah kalau dia tahu kita berdua tak ada apa-apa hubungan.”

“Shah, jangan pandai-pandai nak buka rahsia. Biarkan saja dia. Dea nak tengok macam mana Haikal berusaha merampas Dea daripada Shah. Apa cara dia nak guna untuk memisahkan kita. Kalau dia guna cara kuno, kutuk-kutuk Shah, hmm, selamat jalan romeolah jawabnya. Dea tak suka lelaki yang hanya tahu mengutuk orang lain demi kepentingan diri dia.”

Shahdan merenung lembut wajah sepupunya. Ya, Lydia ialah sepupu Shahdan. Ayah mereka adik-beradik. Malah ayah Shahdan adalah wali kepada Lydia kerana ayah gadis itu sudah meninggal dunia.

“Shah  harap, Dea tak biarkan Haikal lama-lama begitu. Gila bayang pada Dea. Nanti kalau dia jemu, siapa yang susah? Dea juga! Dea ada janji yang perlu ditunaikan, tau!”

Lydia segera mengangguk. Ya, benar! Ada janji yang perlu ditunaikannya. Ada hutang yang perlu dilunaskan. Dan, tempoh yang diberi semakin hampir. Dia perlu pastikan Haikal menjadi miliknya sebelum saat itu tiba. Jika tidak....

“Kau suka bunga yang aku hantar tiap pagi?”

Angguk.

“Coklat?”

Angguk.

“Tapi bunga tu kau tak pernah bawak balik ke rumah. Kau biarkan layu di pejabat. Bubuh dalam pasu pun tidak.”

Lydia tersengih. “Awak marah?” soalnya.

“Bukan marah tapi sedih. Kau tak hargai apa yang aku bagi. Mungkin sebab kau tak suka aku. Tapi,”

“Tapi, kalau dah tahu lain kali jangan hantar lagi. Buat membazir aje.”

“Aku tak kisah!”

“Saya kisah! Saya tak suka orang yang boros buang duit hanya untuk bunga-bunga hidup yang akan layu. Buat apa?”

“Kau nak bunga plastik?”

Bulat mata Lydia memandang Haikal. “Bunga plastik? Bunga yang palsu. Eh, cinta awak pada saya palsu ya?”

“Tengok! Kau memang sengaja mengenakan aku. Bagi bunga hidup kau cakap cinta aku tak cukup segar untuk kau. Nak bagi bunga plastik, kau cakap cinta aku ni hanya palsu. Kau nak apa sebenarnya?”

Lydia merenung  ke luar. Lampu neon sudah menyala terang. Sinarnya menyeri Kuala Lumpur. Pemandangan cantik yang amat disukai setiap kali dia makan di tempat tinggi seperti malam ini.

“Aku cintakan kau, Lydia.”

“Tahu! Dah banyak kali awak cakap.”

“Habis, kenapa kau tetap dengan dia? Kenapa kau dengan dia masih bersama? Makan tengah hari sama-sama. Datang kerja berdua. Balik kerja berdua. Kau patut putuskan hubungan kau dengan dia supaya....” terhenti bicara bila Lydia memintanya berhenti.

“Awak, dia lebih dulu merebut hati saya.”

“Tapi, selagi antara korang berdua belum ada apa-apa ikatan, kau perlu bagi peluang pada aku.”

“Peluang untuk melukakan hati saya bila saya alihkan cinta dari dia kepada awak? Saya kecewakan dia dan lepas tu awak kecewakan saya. Itu kan lumrah alam?”

“Lydia, aku cintakan kau lebih daripada cinta, kasih, sayang dia yang dicampurkan pada kau!” bentak Haikal.

“Pandailah awak! Belum dapat selalunya begitulah. Lautan api pun sanggup direnangi tapi cakap ajelah! Buatnya belum tentu!”

Haikal tergelak besar mendengar sindiran itu namun kemudian dengan wajah serius dia menuturkan penuh ketegasan.

“Seumur hidup aku, aku tak pernah peduli pada perempuan, Lydia. Cinta bagi aku hanya mainan perasaan. Tengok kawan-kawan aku yang selalu frust tiap kali gagal dalam bercinta buat aku menyampah memikirkannyapun! Tapi, dengan kau lain jadinya.”

“Lain? Oh, saya memang lain dari kawan-kawan awak yang lain. Saya...”

“Kau pekak? Kan aku dah cakap yang aku tak ada kawan perempuan?”

“Hmm, jadi yang pertama dalam hidup awak lagi susah saya nanti. Sebab lepas nombor 1 akan datang nombor 2, 3 dan seterusnya. Haikal, banyak perempuan di luar sana. Kenal-kenal dulu dengan mereka. cari yang sofistikated. Yang bergaya, yang boleh awak bawak keluar masuk majlis dinner ke hapa. Then, kalau awak rasa pasti yang diorang tu semua tak dapat menandingi saya, datang balik pada saya. Mungkin masa tu saya akan terima awak.”

“Lydia Amani binti Adam. Dengar sini! Aku tak perlu menagih cinta perempuan lain sebab hati aku ni dah jadi milik kau. Sekarang ni, aku  cuma nak kau mengaku, kau cintakan aku lebih dari cintakan Shahdan. Kalau kau nak aku berlutut depan Shahdan, meminta dia melepaskan kau, aku sanggup!”

“Kalau saya mengaku, awak tak akan kehilangan motosikal kesayangan awak tu, kan?”

Mata Haikal buntang.

Macam mana Lydia tahu? Ya! Bagaimana rahsia ini boleh bocor? Siapa yang membocorkannya? Siapa?  

6 ulasan:

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.