apa yang nampak, apa yang rasa, apa yang dengar

27.6.11

Kenapa pilih menjadi duda dan menjadi janda?


Assalamualaikum.....


Kenapa ada wanita memilih untuk menjadi janda? Kenapa ada lelaki sanggup menjadi duda?

Menarik kan, soalan-soalan itu? 

Setiap orang mempunyai sebab-sebab tersendiri mengapa mereka sanggup menjadi duda dan sanggup menjanda. Kalaulah kita berada di tempat mereka, tentu kita akan tahu jawapannya. Mungkin bagi mereka, hidup berumah tangga tidaklah semanis yang digambarkan, yang diharapkan?
Bagi saya, tidak pernah terlintas di hati ini untuk berkahwin dalam tempoh masa yang tertentu dan bukan selamanya. Kerana perkahwinan itu suatu ikatan yang suci dan penuh dengan tanggungjawab. Namun, saya terpaksa membuat pilihan untuk berpisah dengan suami dan hidup sendiri dengan anak-anak setelah saya dapati tiada keikhlasan dan kasih sayang di hati suami sejak beliau berkahwin semula dan yang ada hanya dendam dan penganiyaan. 
Duda dan janda ialah lelaki atau perempuan yang bercerai, tidak kiralah sama ada mereka bercerai hidup atau mati.

Antara kedua-duanya, lelaki atau perempuankah yang lebih banyak masalah untuk meneruskan kehidupan tanpa pasangan hidup?

Susah nak jawab sebenarnya. Mungkin lelaki, mungkin juga perempuan. Dari segi pergantungan hidup, rasanya, dah tak sangat dah, sebab kebanyakan wanita masa kini bekerja. 

Di luar sana masih ramai wanita yang ditinggalkan begitu sahaja oleh suami-suami mereka yang tidak bertanggungjawab. Malangnya, mereka tidak mengetahui apa hak-hak mereka. Yang mereka takut nanti dikatakan derhaka kepada suami.

Ada juga kes di mana suami tinggal isteri begitu sahaja bersama anak-anak dan jarang pulang. Kalua balik pun, hanya untuk menuntut hak batin sebagai suami. Yang lain? Pandai-pandailah si isteri menguruskannya!

Pernah seorang bijaksana berkata: 
“Sesungguhnya bencana paling besar adalah bergaul dengan orang yang tidak sesuai dengannya tetapi tidak boleh berpisah darimu.”
Seorang ahli syair Arab berkata maksudnya:
“Orang yang menyusahkan orang yang merdeka, adalah musuh yang selalu harus berteman dengan dia…”
Jadi, tidak salah jika mereka yang bernasib malang ini memilih untuk menduda dan sanggup untuk menjanda. Kan?


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.