Langkau ke kandungan utama

tmkh - sepi hati seorang isteri, Maria

Tak Mungkin Ku Hindar
“Bila Lia cakap, abang tak mahu percaya. Abang kata abang dah kenal dia dari kecik lagi. Tapi, Lia isteri abang. Dari kecik, emak tak pernah ajar Lia berbohong.”

Maria mendekatkan dirinya kepada Hisyam. Merenung wajah suami tepat-tepat. 

“Tengok Lia, bang. Ini wajah seorang isteri yang takut kehilangan suami dia. Isteri yang cuba mempertahankan haknya. Menjaga miliknya. Salahkah? Salahkah Lia mempertahankan apa yang menjadi kesayangan Lia?”

Hisyam benar-benar tidak dapat mempercayai Maria akan mengeluarkan kata-kata itu.

“Lia takut kehilangan abang? Pada Salina? Biar betul! Lia tak dengar ke apa dia kata tadi? Dia dah lama mengaku kalah pada Lia. Dia dah lama tahu yang abang tak cintakan dia. Jadi, apa yang perlu Lia pertahankan? Apa yang perlu Lia jaga? Abang memang milik Lia!” tengking Hisyam.

Maria akhirnya mengeluh. “Nampaknya abang tak faham. Tak mahu faham.”

Bulat mata Hisyam merenung. Sesungguhnya dia memang tidak memahami.

Maria ketakutan? Takut kehilangan dirinya? Oh, tidak! Malah, dia yang merasa takut sekarang ini. Takut Maria berubah menjadi seorang yang obses. Latar belakang keluarganya, perbuatan ayahnya dahulu, parut yang terdapat di tubuh itu, mungkin semua itu mencetuskan perlakuan pelik Maria kini, fikirnya. Mungkin juga keadaan mereka yang masih belum mempunyai anak, turut menjadi penyebab. Dia bimbang Maria hilang kewarasan.

“Abang tetap tak percaya pada Lia, ya? Bisu abang tu tandanya abang fikir yang Lia sengaja mereka-reka cerita tentang Salina, kan? Sampai hati abang. Agaknya, kalau nanti Salina syorkan abang bawak Lia jumpa pakar psikiatris pun abang akan buat.”

“Lia…”



Perlahan-lahan Maria bangun menuruni katil. Hari ini, dia rasa jauh daripada suaminya. Hari ini, Hisyam meragui kewarasannya. Sedih betul hatinya. 

Dalam linangan air mata, Maria berpaling.

“Abang…” Kata-kata Hisyam terhenti bila Maria menyambungkan ayat itu.

“Abang menyesal kahwin dengan Lia? Lia tahu,” kata Maria sambil berlalu menuruni anak tangga menuju bilik jahit di bawah.

“Tidak, Lia. Bukan itu yang abang nak cakap,” desah Hisyam sendirian.  
.....................................
dah ada novel baru, takkan nak dilupa novel kesayangan ni, kan. hah diatas tu, sebahagian daripada dialog hampa seorang isteri yang punya suami tanpa percaya dirinya. sedih, kan.


belum beli lagi tmkh...? isk isk.... cepat ke mph!!  haha...

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Cerpen: Dia Idaman Jiwa

1
“Hi, boleh aku duduk kat sini?”

Aliah mendongak. Demi terpandang sahaja wajah itu, air mukanya terus berubah. Riak tidak senang ditunjukkan kepada lelaki itu.

“Cepatlah jawab! Senang aje soalan aku tu. Boleh, jawablah boleh...”

“Kalau saya jawab tak boleh?”

Abid terus menarik kerusi yang bertentangan dengan gadis itu.

“Aku tetap duduk sini jugak.” Balasnya sambil tersengih-sengih.

“Macam tak ada tempat lain!”

“Banyak! Sana kosong. Tu, di belakang kau tu pun kosong. Tapi, aku saja aje nak duduk depan kau. Dah sebulan aku cari kau tapi tak jumpa-jumpa. Alhamdulillah, hari ini dapat juga. Kau apa khabar? Sihat?”

Aliah tidak menyahut. Sebaliknya, dia terus menyuap dan kali ini suapannya sengaja dilajukan, tidak lagi menikmati nasi campur yang dimakan. Ketika itu, dia hanya berkeinginan untuk cepat-cepat menyudahkan makan tengah harinya supaya dia dapat pergi dari situ dengan segera. Dia tidak mahu mengadap muka lelaki yang kini sedang berada di hadapannya walau sehebat, sekacak mana se…

Yang Terakhir: Versi Cerpen

1
“Kau dah habis fikir ke, Khairi? Perempuan macam Najiha tu kau nak bawak ke majlis Annual Dinner kita? Tak malu ke nanti bila orang gelakkan kau?” tanya Hafiz sambil mengerutkan dahi. Dia keliru dengan sikap Khairi Iqbal. Rasanya, selama mereka berkawan, belum pernah walau sekali pun, Khairi memuji gadis yang seorang itu. Gadis yang bernama Izzatul Najiha. Tup tup, hari ini, dia buat keputusan hendak menjadikan Najiha pasangannya semasa majlis kemuncak nanti. Hisy, pelik betul!
“Malu, memanglah aku malu! Tapi aku cuma nak gunakan dia saja. Nak buat Amalina cemburu.” Balas Khairi sambil menyisip air lemon perlahan. Sejuk rasa kerongkongnya bila air itu menerobos masuk ke dalam rongga.
Mata Hafiz buntang. Kepala tergeleng-geleng.
“Kenyataan kau tu lagi buat aku tak faham! Kalau kau nak buat Amalina cemburu, kau patut bawak perempuan lain. Bukan si Najiha yang macam hantu bungkus tu!”
Terlambak tawa Khairi Iqbal mendengar kata-kata sahabat baiknya itu. Hantu bungkus? Si Najiha tu?…

Inikah Cinta? : Versi Cerpen

1

"Ouch!"

Cepat-cepat Janet menghisap jari telunjuk yang terhiris tadi. Setelah kesakitan itu hilang, dia segera membasuh jari itu. Dia kemudian mengelap lalu membalut luka dengan plaster.

"Sakit? Itulah pasal. Mak Nah dah cakap, biar mak Nah aje yang buat tapi Janet degil sangat. Hendak jugak main-main pisau," sindir orang gajinya menyebabkan Janet ketawa besar.

"Inilah yang orang cakap, luka di tangan nampak berdarah. Luka di hati tak siapa tahu. Kan, mak Nah?"

Mak Nah melepaskan keluhan sebelum mencuri pandang ke arah wajah ayu di sisinya yang kini sedang tunduk dan berpaling ke arah lain. Hati mak Nah kini turut melagukan irama sedih yang pasti sedang berdendang dalam hati Janet. Biarpun sudah lama ia berlalu, pasti kenangan itu hadir kembali sebaik rangkap pepatah itu diungkap. Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula kisah cinta penuh keindahan. Ke mana hendak dicampakkan?

"Dah enam tahun... dia tentu dah lupakan saya. Tentu dah kahwin…