apa yang nampak, apa yang rasa, apa yang dengar

20.5.11

TMKH - saat Hisyam menduakan cinta

novel sulung: tak mungkin kuhindar
petikan bab 48

“Dah lama abang tak dengar suara Lia. Abang rindu.”


Semakin tersentap perasaan mendengar bisikan itu. Semakin pilu rasa hati mendengar Hisyam berkata rindu kepadanya. Benarkah masih ada rindu?
            
Hisyam memegang tangan Maria. Menggenggam dengan erat. Dibawa ke bibir dan dikucupi penuh kemesraan.


“Ya ke rindu? Masih ada ke rindu dalam hati?” Maria bertanya sambil menarik tangannya perlahan-lahan.
            
“Kasih sayang dan rindu abang pada Lia tak pernah kurang.”
            
Maria merenung sayu seraut wajah suaminya. “Kalau dulu, mungkin Lia percaya. Tapi, sekarang... entahlah,” bisiknya lemah. Pandangan dilemparkan ke kejauhan. Membuang pandang. Tidak mahu membalas tatapan mata suami yang redup kepadanya.          


Hisyam menyandarkan diri ke dinding sambil melepaskan sebuah keluhan. Dia tahu, Maria terlalu sedih. Maria merajuk dengannya. Berkecil hati mungkin. Wajah diraup.             


“Lia, apa agaknya yang Lia fikir tentang abang? Zalim? Kejam? Begitukah? Sejak abang buat keputusan tu, Lia langsung tak mahu tengok muka abang. Lia semakin jauh daripada abang.”
            
Lama suasana terbiar sepi.
            
“Lia tak tahu nak fikir apa-apa lagi. Kalau abang kecik hati dengan sikap Lia, maafkan Lia,” bisik Maria penuh sendu.
            
Suasana hening lagi. Masing-masing tidak bersuara. Melayani angan dalam duka.
            
“Boleh Lia tanya satu soalan?”          


Hisyam mengangguk.
            
“Kenapa abang tak mahu percaya segala apa yang Lia beritahu tentang Salina?”
            
Hisyam tersentak. Wajah Maria ditatap dalam-dalam. Soalan terbiar begitu sahaja kerana dia fikir, kalau soalan itu dijawab, pertengkaran akan meletus lagi, sedangkan dia tidak mahu berkelahi dengan Maria malam ini.
            
Diam suami disalah tafsir oleh Maria. Dia berbisik lemah. Memberikan andaiannya sendiri.
            
“Lia isteri abang, yang berkali-kali abang kata abang sayang. Yang kononnya, abang cintai. Tapi, dibandingkan dengan Salina, Lia ni bukan sesiapa pun sebenarnya. Kasih sayang mesti bersalut dengan rasa percaya, kan, bang? Tapi, abang langsung tak percaya pada Lia. Kata-kata Lia abang pandang sepi. Abang tahu tak betapa sakit hati Lia, betapa pedih hati ni? Lia amat terseksa menerima hakikat bahawa abang lebih mempercayai dia daripada diri ini.”
            
“Bukan macam tu, Lia... ” Hisyam ingin membela diri.
            
“Tak mengapalah! Lia dah sedar bahawa tak guna Lia mempertahankan diri lagi. Lia dah tahu di mana kedudukan Lia dalam hati abang.”


Dengan perlahan-lahan, Maria menghulurkan tangan kanannya sambil berbisik. “Buktikanlah pada Lia. Buktikanlah betapa dalamnya kasih dan cinta abang itu. Berjanjilah! Walau sekejap lagi Salina menelefon abang, abang tidak akan menjawab pangggilannya. Berjanjilah bahawa malam ini abang milik Lia seorang. Malam terakhir kita bersama. Berdua!”
            
“Abang berjanji, sayang. Abang janji,” balas Hisyam. Tubuh isteri dibelai penuh kasih sayang. Kerinduan sudah terbebat kini.
            
Maria mendongak, menatap wajah kesayangannya dengan pandangan yang berbalam.
            
“Pagi esok, selepas sembahyang subuh, keluarlah dari bilik ini. Jangan abang menoleh ke arah Lia. Jangan pedulikan Lia. Kalau Lia menangis, biarkan aje. Kalau Lia merayu, meminta abang jangan pergi, usah dikisahkan. Jangan kata apa-apa. Jangan tanya pun. Boleh abang berjanji yang abang akan ikut kehendak Lia ni? Boleh abang lakukannya?”
            
“Kenapa ni? Kenapa suruh abang berjanji macam-macam ni?” tanya Hisyam. Tidak memahami mengapa begitu banyak permintaan isterinya malam ini.
            
Maria menyembamkan wajahnya di dada Hisyam. Mendengar denyutan jantung suami yang deras berdegup. Isyarat rasa ingin bermesra dengannya. Dan, itu menjadikan hatinya semakin sedih. Dia menangis lagi.                
            
“Jangan nangis, sayang. Abang tak akan sia-siakan Lia. Percayalah! Kalau janji abang yang Lia nak, ya, abang janji. Abang akan ikut semua cakap Lia. Apa sahaja yang Lia mintak akan abang tunaikan,” pujuk Hisyam. Air mata di pipi Maria diseka. Tubuh isteri dibelai manja.
            
Maria membalas pelukan Hisyam. Tingkahnya penuh kasih sayang. Walau air mata masih mengalir deras, kata-kata Hisyam bagai memujuk diri. Memujuk hati agar melupakan seketika segala penderitaan.  Kerana malam ini, Hisyam miliknya sahaja!

SUBUH itu, selepas sekian lama, mereka solat berjemaah bersama-sama. Penuh tenang, Maria mendengar bacaan surah yang dibaca suaminya. Mengaminkan doa yang dipohon. Di saat Hisyam mengucup dahinya, sendu sekali dirasai.


Ketika Maria tunduk mengucup kedua-dua tangan Hisyam, Hisyam mendengar bisikan Maria yang syahdu.

“Selamat pengantin baru, bang. Semoga abang hidup bahagia dengan dia. Semoga abang akan dapat anak bersama dia nanti. Ampunkan dosa-dosa Lia pada abang selama ini. Maafkanlah segala kesalahan yang telah Lia lakukan. Halalkan makan minum Lia selama Lia menjadi isteri abang. Tolong jangan benci Lia. Tolong maafkan diri ini.”

"Kenapa…”

Mata Hisyam berkaca mendengar bisikan isterinya. “Kenapa ni sayang?"

“Abang dah janji semalam yang abang tak akan tanya apa-apa pada Lia. Abang janji akan tunaikan segala permintaan Lia. Tolonglah! Tinggalkan Lia. Masanya dah tiba, bang,” pintas Maria perlahan.

“Tapi, Lia. Lambat lagi majlisnya. Pukul sebelas nanti. Kan masih awal lagi ni? Janganlah halau abang.” Hisyam cuba bergurau.

Melihat Hisyam yang berdegil, Maria lantas bergegas bangun. Hisyam ditinggalkan termangu sendirian.

Kain telekung dibuka tergesa-gesa dan dilemparkan di atas katil. Dia
kemudian berlari memasuki bilik air. Di situ dia menangis sepuas-puas hati.

“Lia!” Kedengaran suara Hisyam memanggil.


Bila Maria masih diam, Hisyam memanggil sekali lagi. Kali ini lebih kuat. “Lia!”

Maria mengelap pipinya yang basah.

“Pergilah, bang. Lia tak apa-apa,” ujar Maria.

“Lia, buka pintu ni. Abang...”

“Abang dah janji pada Lia semalam. Bahawa abang tak akan pedulikan Lia lagi. Abang dah lupa?” Maria mengingatkan Hisyam pada janjinya.

“Abang tak lupa, cuma abang tak sanggup tinggalkan Lia dalam keadaan macam ni. Tolonglah, Lia. Abang susah hati ni. Bukalah pintu ni, sayang. Abang nak cakap sikit dengan Lia,” rayu Hisyam. Dia tidak mahu mengalah. Wajah Maria ingin ditatap sebelum dia beredar keluar.

“Abang, tolong tunaikan janji abang malam tadi. Penuhilah permintaan Lia. Tolong keluar dari bilik ini. Abang perlu pergi. Jangan pedulikan Lia. Jangan toleh ke arah Lia lagi. Tolonglah!”

“Tapi, Lia...”

“Abang dah janji!”




Suara Maria mula tegang. Bimbang Hisyam tidak mengotakan apa yang sudah dikata. Bimbang Hisyam masih berada di luar dan menunggu. Dia tidak mahu lagi melihat seraut wajah itu. Kerana jauh di sudut hati, dia tidak merelakan apa yang bakal terjadi.

Hisyam akhirnya mengalah. Dia tidak mahu lagi memaksa. Dia tidak mahu melihat kekecewaan di wajah isterinya. Kenangan semalam terlalu indah untuk dicemari dengan kedegilannya.

Dalam nada kesal dia berkata, “Lia, maafkan abang sebab buat Lia sedih macam ini. Maafkan abang sebab memilih Salina. Kalaulah masa boleh abang putar semula, mungkin keadaan akan jadi berbeza. Tapi, apa pun, Lia harus yakin dengan abang. Lia mesti percaya bahawa Lia tetap nombor satu dalam hati abang ni.”

Tangan diletakkan di pintu bilik air. Hati rasa amat terkilan kerana tidak berjaya memujuk Maria. Namun, dia perlu menyiapkan diri untuk pergi.

Kira-kira setengah jam kemudian...

“Lia, abang dah nak pergi ni. Jaga diri, ya. Esok abang balik. Assalamualaikum.”

Maria menangis. Dia tahu, itulah kali terakhir dia mendengar suara garau kesayangannya itu. Selepas ini tiada lagi. Tiada lagi... 


sofi: kpd yg belum memiliki...silakanlah beli..hehe... (x malu tol ko sofi, ya!)



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.