apa yang nampak, apa yang rasa, apa yang dengar

17.5.11

Melur Jasmine 4

4

Puan Liza memandang sekujur tubuh yang sedang terbaring lesu di atas katil. Perlahan-lahan, dia menghampiri. Dia sungguh rindu kepada yang empunya diri. Sudah berbulan-bulan dia mencari. Sudah berbulan-bulan dia menjejaki. Akhirnya, yang dicari berjaya ditemui. Yang dirindu, sudah berjumpa.

Dia duduk di birai katil sambil tangannya membelai-belai tubuh seseorang yang sentiasa menemani. Seseorang yang tentu sahaja lebih merindu berbanding dirinya. Seseorang yang sekian lama amat mengharap pada pertemuan ini.

“How are you, sayang? Happy?” soalnya.

Gadis itu mendongak merenung wajah ibunya. Wajahnya muram. Matanya bergelang hitam tanda dia tidak cukup tidur.

“Mami, camne nak rasa gembira bila keadaan dia masih tak berubah? Sejak kita bawa dia ke sini, dia masih begitu. Tak bergerak...dan tak bukak mata. Kesian dia!”

Puan Liza turut melepaskan keluhan. Pastinya dia faham apa yang dirunsingkan oleh anaknya. Kerana, dia juga risau. Dia juga susah hati. Susah hati sangat-sangat!

Kata doktor yang dipanggil untuk merawat, anak yang sedang terbaring lena itu akan sembuh. Anak itu seorang yang kuat dan dia pasti akan berjaya melawan sakit yang ditanggung. Cuma mungkin, emosi si kecil akan sedikit terganggu.

Itulah yang paling Puan Liza tidak mahu terjadi. Dia tidak mahu emosi anaknya terganggu dengan apa yang sedang mereka tempuhi. Dia mahukan anak-anaknya kuat menghadapi dugaan. Mesti! 

Mereka mesti kuat kerana dia percaya hanya dengan kekuatan mental, segala kerenah bekas suaminya akan berjaya mereka hadapi.

Arghh, menyesal sungguh berkahwin dengan Zahar, desis hati wanita berusia 38 tahun itu. Kalaulah dia tidak terlalu mengikut nafsu dulu? Mengenali lelaki itu merupakan satu kesilapan, jatuh cinta kepadanya merupakan satu kebodohan dan mengahwininya merupakan satu mala petaka. Kalaulah dia lebih mendengar kata?

Ibu bapa sudah menegah tapi dia? Langsung tidak mengendahkan nasihat dan kata-kata mereka. Dia tetap mahukan Zahar. Dia tahu kedua-duanya kecil hati namun kerana dia anak tunggal, mereka ikut juga kehendaknya, tanpa rela. Dia dinikahkan juga dengan lelaki itu. Maka episod derita pun bermula.

Puan Liza menjadi kantung duit Zahar. Bila dia perlu duit, Puan Liza mesti memberikannya. Untuk apa? Salah satunya, untuk membeli dadah. Ya, rupa-rupanya, dia berkahwin dengan seorang penagih dadah. Hanya setelah sebulan berkahwin baru dia tahu. 

Arghh, bodohnya dia! Lemahnya dia! Kerana cinta, mata dan hati buta menilai. Kerana kebodohannya, dia diperalatkan. Zahar mempergunakan dirinya, anak seorang ahli perniagaan yang kaya, untuk menyara hidup. Jika dia cuba menentang, tubuh badannya menjadi mangsa. Dia akan disepak terajang oleh Zahar.

Untuk mengadu kepada ayah dan ibu, dia malu. Jadi, semua derita ditanggung sendiri. Namun, semuanya dalam pengetahuan mereka. Mereka berusaha membawa Puan Liza balik ke rumah. Dan satu hari, Puan Liza yang sudah mengandung berjaya dibawa pulang. Niat mereka, sebaik sudah bersalin nanti, Puan Liza yang sudah tidak sanggup lagi menjadi isteri Zahar akan menuntut fasakh. 

Namun Zahar ada agendanya tersendiri. Dia tahu, lambat laun jika dibiarkan Puan Liza di rumah mentua, tentu wanita itu akan dipujuk untuk meminta cerai daripadanya. Jadi, Zahar tetap dengan muka tidak tahu malu, datang ke rumah ibu dan ayahnya. Alasan lelaki itu? Untuk melihat keadaan isterinya.

Hati Puan Liza macam kerak nasilah. Lembut bila direndam dalam air. Cair bila dihujani ayat-ayat cinta, meskipun palsu. Cinta mengatasi benci. Sayang mengatasi marah. Kerana cinta dan sayang, dia masih mahu memberi peluang kedua kepada Zahar. Lagipula, dia tidak mahu anaknya membesar tanpa belaian kasih seorang ayah.  

Sebaik selepas melahirkan, dia kembali ke pangkuan suaminya itu. Sangkanya, tentu sikap Zahar akan berubah menjadi seorang lelaki yang lebih baik dan lebih bertanggung jawab kerana kini mereka sudah ada anak. Malangnya, sekali lagi, kelembutannya menjadi senjata untuk Zahar memperalatkan. Anak menjadi perisai untuk lelaki itu menjadi lebih liar. Kalau dia melawan, lelaki itu mengugut untuk melarikan anak mereka. Kalau dia disyaki mengadu hal kepada ayah dan ibu, Zahar cakap, itulah kali terakhir dia akan melihat anak-anaknya.

Ya, mereka mendapat cahaya mata kembar. Puan Liza menamakan yang sulung sebagai Jasmine Airina dan si adik dinamakan Melur Airina. Kerana anak-anak, dia cuba bertahan lagi. Dan Zahar semakin melampau. Dendamnya kepada Liza yang pernah meninggalkannya membuat dia bertindak semakin liar dari hari ke sehari.

Satu hari, ibu dan ayah Puan Liza terlibat dalam satu kemalangan jalanraya. Kemalangan yang meragut nyawa kedua-duanya. Dunia terasa sepi. Tiada lagi tempat mengadu. Tiada lagi tempat bermanja namun Puan Liza tetap bertahan dan menjadi kuat kerana dia ada anak-anak yang perlu diberikan perhatian dan kasih sayang.

Tiga bulan selepas mereka meninggal Puan Liza mendapat tahu tentang sesuatu yang terlalu menyakitkan hatinya. Sesuatu yang membuat dia hilang kepercayaan terhadap Zahar. Bukan setakat itu, kasih sayangnya, cintanya juga turut mati! Kenapa? Kerana, pihak insurans mendapat maklumat dan memberitahunya bahawa kemalangan yang meragut nyawa ayah dan ibunya itu terjadi disebabkan brek kereta tidak berfungsi akibat dawai brek yang sudah diputuskan. Dan, hasil siasatan yang dijalankan, didapati, semua itu adalah dirancang. Orang yang sanggup memutuskan dawai brek itu ialah seorang lelaki yang merupakan orang suruhan Zahar.

Dengan bukti yang dicari dan kukuh, Zahar dihadapkan ke mahkamah. Jika sabit kesalahan, dia akan menerima hukuman yang setimpal iaitu hukuman penjara seumur hidup. Hatinya puas bila Zahar dijatuhi hukuman itu. Namun, menurut kata peguam, kerana Zahar berkelakuan baik di dalam penjara, dia dibebaskan pada tahun lepas. Dan, sejak itulah, kehidupan Puan Liza yang harmoni kembali berantakan.

Salah seorang anaknya diculik dan dibawa lari oleh bekas suaminya itu. Semua kerana  mendendami dirinya. Puan Liza akur memberikan wang tebusan yang Zahar minta asalkan anaknya dipulangkan kembali namun Zahar tidak pernah menunaikan janji. Sebaik dapat duit, dia akan menghilangkan diri.

Puan Liza terus menjejaki. Dia tetap mahukan anaknya kembali. Dengan pertplongan Pak Amin, bekas sarjan polis yang menjadi pemandunya, mereka berusaha mencari. Sebab itu, Jasmine sentiasa berpindah randah. Bertukar-tukar sekolah dari satu daerah ke satu daerah. Sehinggalah mereka akhirnya berjaya menemui Melur dan kini, mereka pula yang menjadi pelarian. Melarikan diri daripada Zahar yang bersumpah akan membalas dendam kepada Puan Liza.

“Mami?”

Suara Jasmine memecah kesunyian. Lamunan pun terhenti. Wajah anak sulungnya ditatap lembut.

“Kalau Melur dah baik nanti, boleh kami pergi sekolah sama-sama, kan? Tak seronoklah ke sekolah sorang-sorang. Asyik kena buli saja!”

Puan Liza ketawa besar. Teringat kepada aduan demi aduan yang Jasmine buat setiap kali balik dari sekolah lamanya dulu. Tentang budak lelaki bernama Badrul Aminudin Haziq.

“Salah Min jugak! Yang Min pergi daftar guna nama Melur, kenapa? Jumpa pulak dengan kaki buli, kan dah kena?” balasnya.

Jasmine mencebik. “Suka hati Minlah nak jadi Melur, mami. Yang dia tu sibuk kutuk-kutuk cakap nama Melur tu sangat kekampungan, kenapa pulak? Mamat tu, kan mami, memang jahat! Menyampah betul!” selanya.

“Tu yang Min letak kala jengking dalam laci meja dia? Sebab marah?”

Jasmine ketawa. “Padan muka dia! Tahu takut!”

Puan Liza menggelengkan kepala. “Jasmine, Jasmine! Nakal!” Hidung anaknya dipicit.

Jasmine menggenggam tapak tangan adik kesayangannya. Dikucup lembut jemari yang dingin. Ditatap lembut wajah yang sedang lena.

“Masa Min daftar di sekolah tu, Min rindu sangat pada Melur. Sebab itu, Min menyamar jadi dia. Min nak rasa apa yang Melur rasa bila setiap kali kami bersekolah. Min jadi Melur yang lembut dan sopan....” dia kemudian ketawa geli hati. Membalas renungan ibunya yang penuh tanda tanya. “Tapi kan, mami. Min tak bolehlah.”

“Tak boleh apanya?” kerut di dahi puan Liza membuat Jasmine ketawa kuat.

“Tak boleh jadi Melur yang lemah lembut dan sopan.”

Ketawa mereka pecah. Masing-masing faham apa yang cuba disampaikan Jasmine. Ya, dari segi fizikal, sukar dicari  perbezaan di antara anak kembar ini kerana mereka kembar seiras. Suara mahupun wajah amat serupa. Hanya si ibu sahaja yang dapat mengecam dengan sekali pandang. Kalau orang lain, memang sukar meneka yang mana Melur yang mana Jasmine.

Bagaimanapun, dari segi kelakuan, perbezaan amat nyata. Melur terlalu lembut dan sistematik orangnya. Terlalu teliti. Sementara Jasmine pula suka pada aktiviti lasak. Dia agak kasar dan selalu gelakkan Melur yang berdisiplin. Sebab itu, Jasmine sering membuli adiknya. Bilik tidur dan katilnya sendiri, Melur yang akan mengemas. Dia? Kakak yang suka memerintah!

“Bila Melur nak sedar ni, mami? Risaulah tengok dia asyik terbaring macam ni?”

Puan Liza segera memeluk tubuh Jasmine. “Jangan risau. Nanti, kejap lagi, jagalah dia.”

“Tapi, Min risau! Takut ayah buat benda tak elok pada Melur. Takut ayah sumbatkan dadah pada adik Min ni!”

Suara Jasmine melengking kuat. Kerana dia bimbang. Dia cemas!

“Syy..... Kan doktor dah buat pemeriksaan terperinci pada Melur semalam? Nothing bad happened to her, he said that! Remember? Jadi, tak ada apa yang kita nak risaukan. Mami rasa, Melur ni letih. Letih badan dan letih otak. Hidup dengan penagih macam ayah Min tu, memang perlukan seorang yang kuat. Walaupun Melur ni lembut orangnya, hati dia cukup kental. Mami tahu dan yakin, dia tidak mudah tunduk pada ayah. Lagipun, mami rasa, ayah tak akan sanggup buat tak ketahuan pada Melur. Itu anak dia. Darah daging dia. Takkan hendak dirosakkan hidup anak sendiri, kan?”

Jasmine diam. Ya, memang itu yang dia harapkan. Agar, Melur kuat untuk teruskan hidup walaupun selama hampir 9 bulan dirinya menderita di bawah jagaan lelaki itu. Dia mahu Melur bangkit. Dia rindu untuk bermesra dengan si adik yang manja. Dia rindu saat-saat lama yang penuh keriangan. Dan, dia tidak mahu Melur ‘hilang’ akibat tindakan melampau lelaki yang mereka panggil ayah.....

...........................

Puan Liza merenung wajah lelaki yang kini sedang duduk di hadapannya. Hampir 3 bulan tak berjumpa, rindu juga rasa hati. Tapi, dia tahu bahawa lelaki ini sibuk orangnya. Terutama setelah lelaki itu berhenti kerja dan kini sibuk menguruskan agensi penyiasatan miliknya. Tentu tidak menang tangan menangani pelbagai kes untuk diselesaikan.

“Melur okey?” tanya lelaki itu lembut. Sepasang mata redup memandang wajah wanita berhati kental di hadapannya.

Liza ketawa. “Tanya keadaan Melur aje. Keadaan orang kat depan ni? Tak nak ambil tahu ke?” usiknya.

Rizal tersengih. Dalam hati dia bersyukur dipertemukan dengan Liza. Dia suka pada kekentalan semangat wanita ini yang tabah mengharungi pelbagai kerenah bekas suami. Dia bersyukur kerana dia sentiasa ada untuk membantu dan bantuannya, walau sekecil kuman amat dihargai oleh Liza.

“You sakit ke? tak nampak macam sakit pun? Sihat aje I tengok! Makan pun laju aje..” dia mengusik dan mereka ketawa mesra.

“Jasmine mesti seronok sakan. Maklum, adik kesayangan dia dah dijumpai.”

“Dan, jasa siapa tu? Tentulah jasa bekas Penguasa Polis, Tuan Rizal Hamid, kan?”

“Hisy, you ni...ada ke?”

Liza merenung lembut seraut wajah itu. “Janganlah merendah diri,Riz. Memang you yang banyak bantu I. You yang tolong kembalikan keyakinan saat dia rampas kebahagiaan I. Kalau you tak bagi I kekuatan ni, tak tahulah macam mana I nak menempuh hidup.” Bisiknya penuh ikhlas.

“Kalau I ni baik sangat, kenapa you masih tak nak kahwin dengan I? Dah lama I tunggu you, Liza. Dari I cuma seorang inspektor sampai I dah letak jawatan. Dan sekarang ni, dah 2 tahun I kerja sendiri. Macam-macam alasan you tolak guna untuk tolak I. Tolak cinta I. Dari Jasmine dan Melur kecil, sampai dah 17 tahun umur diorang, you masih nak hidup solo jugak.”

Liza ketawa mendengar omelan itu. Dia tahu, Rizal kecil hati dengan sikap dan penolakannya. Tapi, dia rasa macam dirinya tak layak untuk lelaki ini. Iyalah, dia kan janda? Sedangkan lelaki ini anak teruna terlajak umur. Dah 42 tapi belum jugak kahwin-kahwin.

“You kan anak teruna. Carilah anak dara untuk buat isteri.” Gesanya.

Rizal mendengus kasar. “Alasanlah tu! Saja aje nak sakitkan hati I.” Marahnya.

Liza terdiam. Susah hati pula bila Rizal marahkannya. Bukan niat nak buat lelaki itu marah. Dia hanya ingin mengusik saja.

“Okeylah..”

“Okey?” kemarahan Rizal hilang bila mendengar perkataan itu. semakin ceria wajahnya bila Liza mengangguk.

“I tak naklah orang tu sedih bila I asyik tolak cinta dia, kan. Jadi, I ingat, I terimalah lamaran dia tu. Tapi, bukan sekarang, ya, Riz. Kita kahwin bila keadaan Melur dah baik nanti.”

Rizal tersenyum. Tidak mengapalah kalau dia terpaksa menunggu lagi. Yang penting, Liza dah setuju nak kahwin dengan dia.

“Melur dah okey, ke?”

“Dah mahu makan dah. Cuma, dia masih tak berapa nak bercakap. Asyik diam aje. Dengan Jasmine aje yang dia nak bersembang. Kalau dengan I ni? Langsung tak mahu tengok pun! Kenapa dia macam tu, entahlah.” Liza memberitahu.

Lama Rizal merenung wajah kesayangannya. Dia kemudian memberikan pendapat.

“Bawak Melur jumpa pakar sakit jiwa.  I rasa, sepanjang 9 bulan dia hidup dengan bekas suami you tu, dia dah kena brainwash. Tentu Zahar ada cakap yang buruk-buruk tentang you pada Melur. Sebab tu, dia tak nak cakap dengan you. Ni semua permainan lelaki tu.”

Liza baru tersedar. Ya, tidak mustahil semua tu. Zahar dendamkan dirinya. Jadi, tidak mustahil, Zahar mahu Melur membencinya. Masa 9 bulan tentu cukup banyak dan lama untuk menimbulkan kebencian itu dalam diri Melur. Oh tidak! Akan hancurlah hatinya kalau itu benar-benar berlaku. Dia tidak mahu dibenci Melur.

......................................

“Kau nak apa sebagai hadiah hari jadi kita nanti? Mami kata, kita boleh minta apa saja, tau!” Jasmine berkata dengan penuh rasa teruja. Dalam kepalanya dia sudah membayangkan sesuatu. Dia yakin, ibunya tidak akan teragak-agak untuk membelikan dirinya hadiah itu.

Melur menjuihkan bibir. Dia tidak suka kata-kata Jasmine. Dia benci mendengarnya.

“Perempuan tu saja aje nak tunjuk dia banyak duit, Min.”

Jasmine tersentak. Matanya buntang. “Apa kau cakap tadi? Aku salah dengar ke?” soalnya menyindir.

“Aku cakap yang betul, Min! Perempuan tu saja nak tunjuk yang dia kaya, banyak duit. Dia ingat, duit dia yang banyak tu boleh beli semua orang?”

Jasmine sudah bercekak pinggang. “Eh, Melur! Kau cakap baik-baik sikit, ya! Tu, yang kau marah tu, yang kau caci tu, mami kita tau! Perempuan yang melahirkan kau, melahirkan aku! Ni apasal perangai kau jadi tak betul? Ada ke marah mami pulak?” jerkahnya.

Mata Melur bergenang air. Dia sedih. Kakak kesayangan marahkannya. Dia tidak dapat menerima.

“Min, kau tak duduk dengan ayah, jadi kau tak tengok macam mana deritanya hidup dia. Kalau kau ada dengan aku selama 9 bulan tu, baru kau tahu yang ayah sangat derita akibat perbuatan mami yang kau sanjung-sanjung sangat tu! Kita kena adil, Min! Selama ni, kita asyik dengar cerita mami aje. Tapi, macam mana dengan ayah? Aku dah hidup dengan dia dan aku tahu, dia jadi macam tu kerana mami!”

Puan Liza yang baru balik dapat mendengar apa yang baru Melur ucapkan. Hati diruntun pilu. Tidak menyangka bahawa sangkaannya dan Rizal sangat tepat. Kini, Melur sudah berani menuduhnya yang bukan-bukan.. sudah berani menyatakan sesuatu yang tidak boleh diterima akal. Aduahi hati.... janganlah berkecil! Melur tidak berniat untuk membencinya.

Jasmine tidak dapat menerima kata-kata Melur dengan mudah. Mustahil dia mahu menyetujuinya. Dia kenal ibunya. Dia tahu hati budi wanita mulia itu. tapi, kenapa Melur tiba-tiba marahkan ibu mereka sedangkan selama ini dia melihat sendiri penderitaan yang mami tanggung?

“Kau ni, Melur... dah kena culik dengan ayahpun masih nak bela dia, kata dia baik?”

Melur naik angin. “Ayah tak culik akulah! Ayah bawak aku pergi jauh dari mami yang jahat!” herdiknya membuat semua orang terkedu. Terkejut!

Jasmine panas hati juga. Dia sudah bercekak pinggang. “Tak culik 
apa namanya bila dia datang ke sekolah dan bawak kau lari? Kalau aku ada dengan kau masa tu, tentu aku pun dibawa pergi jugak. Tapi, masa tu, aku kena panggil dengan cikgu Rossa. Bila aku masuk semula ke kelas, diorang cakap, ayah datang ambil kau sebab datuk meninggal di kampung. Dia bodohkan semua orang. Kalau betul datuk sakit, takkan ambil kau aje? Aku ni? Kenapa dia tinggalkan?”

“Dia tak sempat! Min, ayah kena cepat kalau tidak nanti orang suruhan mami akan tangkap dia macam dulu. Kau tahu tak yang dulu, mami tuduh ayah  yang bukan-bukan sampai ayah kena hukuman penjara?”

“Sayang, mami bukan tuduh. Semua tu memang perbuatan ayah kamu. Mahkamah dapati dia bersalah kerana memang dia yang suruh orang rosakkan kereta nenek dan atuk. Mami sumpah...”

“Melur tak mahu dengar! Mami jahat! Mami kejam! Mami pisahkan Melur dengan Min daripada ayah. Mami buat ayah terseksa rindukan kami. Mami yang rosakkan hidup ayah. Mami yang jadikan dia penagih. Semua ni salah mami! Melur benci mami! Melur benci!”

Melur berlari masuk ke dalam rumah. Hatinya puas dapat memarahi perempuan itu. Perempuan yang dibenci ayah mestilah juga menjadi kebenciannya. Itu tekadnya.

Jasmine termangu. Sedihnya hati melihat ibunya yang kini sedang menangis teresak-esak. Nasib baik ada uncle Rizal yang kini sedang berusaha memujuk. Kalau tidak, entahlah. Mungkin sampai esok pagi maminya akan mengurung diri dan menangis sendiri di dalam bilik.

Perubahan sikap Melur merunsingkannya. Kenapa? Apa yang ayah cakap sampai begini sekali marah Melur pada mami?

Susah betullah! Aku ni dahlah nak SPM. Masalah datang lepas satu, satu. Dulu budak BAD tu jadi masalah pokok aku. Sekarang ni, adik aku pulak timbulkan masalah. Hai, camne nak dapat 10 A + ni? Argh, pening! Pening!

2 ulasan:

  1. wah babak si kembar gunakan reserve physiologic nak bals dndam kat bekas isteri.. kejam...gunakan anak2..
    kak sofi sambung lagi...

    BalasPadam
  2. @miznza84
    nza, akan bersambung juga hehe...

    BalasPadam

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.