Powered by Blogger.


Blogged.my

teman setiaku

No tiru-tiru!!!

Protected by Copyscape Plagiarism Scanner

Sembang jom!

Followers

komen terkini

Nuffy

Labels

Oder Online

BERMINAT?

A. Ramai juga yang bertanya, macam mana nak oder novel
secara online.

Okey, jawapannya mudah saja.

1. Sila tekan [link FB] Syarikat Fajar Pakeer ini:

2. Anda tekan like dan kemudian bolehlah PM admin yang bertugas.

3. Ikut saja arahan yang admin suruh buat, ya!

B. Bagi yang nak order e-cerpen online pula, selepas anda isi borang, anda hendaklah memasukkan wang bernilai RM10.00 ke akaun-akaun bank yang terdapat di [link] ini.

C. Terkini kepada sesiapa yang ingin memesan secara online novel ke 4 Kak Sofi yang bertajuk Tiada Yang Lain, silalah buat pesanan anda di link berikut. Atau kalau anda mahu, boleh berurusan dengan nama2 yang diberikan di dalam Tiada Yang Lain di atas.

sekian. terima kasih.

Kau Ratu, Aku Raja - versi cerpen

Posted by Luahan

1


“Kau tak boleh lemah sangat, Ariq. Sampai bila kau nak beralah dengan dia?”

Ariq diam tanpa sedikitpun menyahut kata-kata abang sulungnya, Aryan. Dia tunduk memandang lantai namun dia tahu Aryan sedang merenungi dirinya tajam.

“Dah berapa kali abang cakap, pindah keluar dari rumah tu. Bawak bini kau duduk di rumah korang sendiri. Susah senang, biar korang suami isteri aje yang rasa. Ni, tak! Dah dekat dua tahun dah asyik jadi ‘yang menurut perintah’. Dayus tau, Riq, sorang suami yang asyik ikut cakap bini. Kalau betul, tak pe jugak. Ini, kau tu dah kena ‘queen control’ dah! Sampai bila?” Aryan masih ingin menasihati adik bongsunya. Dia sendiri berasa simpati yang teramat melihat keadaan Ariq yang semakin serabut hari demi hari. Banyak benar masalah yang dihadapi oleh adiknya terutama selepas mendirikan rumah tangga. Orang, bila dah kahwin, semakin ceria tapi Ariq? Senyum pun kena paksa dah!

Ariq menghela nafas yang panjang. Dia tahu, sekarang ni dia sedang mendapat nasihat tulus ikhlas daripada abang kandungnya. Melihat Aryan, rasa jeles datang menjenguk hati Ariq. Abangnya itu tua 5 tahun daripada dirinya. Dah kahwin dengan kak Maria masa umurnya 25 tahun kira-kira 10 tahun dulu. Maknanya, sekarang umur Aryan 35 tahun dan dia, 30 tahun. Tapi, dia tengok rumahtangga abangnya aman, damai dan bahagia. Tambah berseri dengan kehadiran Boboy dan Nini, dua orang anak saudaranya yang comel dan petah.

Dia? Anak? Tak mandang – kata orang Perak. Maknanya tak ada. Bukan dia tak mahu ada anak, tapi Adira.

“Alah, Dira muda lagi, bang.” Alasan tipikal perempuan walaupun sebenarnya umur Adira bukan muda sangat. Sudah lebih 26 tahun pun.

“Kau ni, Ariq, tak menyempat-nyempat. Kasilah Dira enjoy ‘honeymoon’ dengan kau dulu. Nanti-nanti, beranaklah!”

Tu, mak mentua dia yang ‘sound’! Dan, sesungguhnya bukan hal nak punya anak sahaja menjadi isu yang terpaksa Ariq kongsi dengan mak mentua dan pak mentua, malah semua hal peribadi, urusan rumah tangga dia dan Adira sudah bukan urusan dia sorang. Semuanya mereka hendak ‘share’ Mentang-mentanglah ‘Sharing is Caring’? Sungguh prihatin!

“Tahulah Adira tu anak tunggal kepada encik Ismail dan cik puan Azrin tapi kalau sampai semuanya diorang nak kawal, apa cer?”

Soalan Aryan buat Ariq tersenyum sinis. Pandai pula abangnya menggunakan bahasa mudah anak-anak muda masa kini.

“Orang cakap, dia senyum pulak.” Aryan tak puas hati tengok Ariq tersengih. Dia geram kerana menyangka adiknya tidak serius menangani masalah yang sedang dihadapi. Namun bila Ariq mengusik bertanya dari mana dia belajar guna ‘apa cer’ dia pula yang tersengih. Alah, benda-benda macam ni, cepat aje belajar....

“Saya ingat saya nak balik ke rumah mak esok. Nak duduk sana dua, tiga hari.” Ariq memberitahu.

“Nak lari dari masalahlah tu!” sindir Aryan.

“Saya dah tak tahan dengar Adira asyik merayu ajak pergi bercuti.”

Aryan membulatkan mata. “Cuti lagi? Kan ke bulan 12 tahun lepas korang baru aje pergi ke Singapura? Mak aii, banyak ke duit kau, Riq?” tanya dia kerana setahu Aryan, kalau dah pergi bercuti, yang pasti, poket Ariq yang rabak sebab semua perbelanjaan dia yang tanggung. Dah tu, cuti bukan sehari malah 5 hari. Lepas tu bila balik, macam-macam yang dibeli sebagai kenangan. Waduh... gunung kalau ditarahpun lama-lama gondol, bisik hatinya. “Nak ke mana pulak sekali ni?”

“Diorang nak ke Sabah. Nak pergi Pulau Sipadan.”

Aryan ternganga. Biar betul!

Ariq ketawa kecil. “Tutup mulut, bang. Saya cakap betul ni. Tu yang saya rimas dengan Dira. Bila mak dia ajak aje, terus melompat, suka! Siap nak tempah tiket ‘Air Asia’ lagi. Tapi, saya cepat-cepat cakap pada diorang macam ni....

“Mak nak sponsor ke? Kalau mak nak tanggung semua kos, baru boleh tempah tiket kapal terbang. Kalau tidak, tak payah.”

Sebab tu, dah dua hari Dira mogok, bang. Tak tegur saya. Tak gosok baju kerja. Tak peduli makan minum saya pun, malah, dia tidur bilik lain. Tapi, entahlah. Saya dah tak kuasa nak pujuk dah. Malas saya! Saya rasa dah letih sangat melayan kerenah anak manja tu. Penat!” ujarnya.

Aryan ketawa. Dia menepuk belakang tubuh Ariq. “Bagus! Satu permulaan yang baik. At least biar si Dira tu berfikir sikit. Jangan dia ingat dia sorang aje yang pandai merajuk. Eloklah kalau kau nak balik ke rumah mak. Kita ni anak lelaki, Riq. Sayang kat bini tu boleh, tapi, mak tetap nombor satu. Iya, tak?”

Ariq setuju sangat. Mujurlah setakat ini, dia tidak pernah mengabaikan emak dan ayahnya sendiri. Adira dan sikap ‘bossy’nya masih tidak berjaya membuat dirinya terlalu akur. Dia sayang Adira namun jauh di sudut hati, kasih sayangnya kepada insan yang melahirkan dan mendidik sejak hari pertama dia melihat dunia, lebih banyak lagi. Adira tidak mungkin merampas hak itu.

2

Adira semakin sakit hati. Sudah tiga hari Ariq tidak pulang ke rumah. Panggilannya tidak dijawab. SMSnya tidak dibalas. Entah ke mana suaminya menghilangkan diri, dia tidak tahu. Sejak dia mogok dan melancarkan perang dingin kerana Ariq tidak mahu pergi bercuti, Ariq semakin menjauh. Tidak seperti selalu bila Ariq akan sentiasa beralah.

“Dia tak ‘call’?” Puan Azrin bertanya sambil meletakkan dulang berisi kuih lapis di atas meja.

Adira menggelengkan kepala.

“Hmm, dah mula buat perangailah tu. Kamu, Dira, jangan ikut sangat rajuk dia tu. Bila dia balik nanti, bertegas dengan dia. Katakan, mak dengan ayah tetap mahu dia bawak kita semua pergi bercuti ke Sipadan. Cakap jugak pada dia yang rumah ni bukan hotel, tempat dia tukar baju. Ini rumah. Jangan buat mak dengan ayah macam tunggul. Nak bercakap pun payah. Mak tak suka!” leter si ibu lagi.

Anaknya mengangguk laju. Ya, nanti, pasti dia akan sampaikan pesanan ibunya itu. Dia pun dah tak tahan dengan sikap Ariq. Dahlah selalu benar balik lambat, jarang nak makan sekali pulak tu! Nak berbual apa lagi? Macam mulut tu dah kena zip sahaja. Susah betul nak dengar suaranya.

Tepat jam lima, Ariq sampai ke rumah. Walau hati berat aje nak masuk, tapi disebabkan ada secebis rasa rindu pada isteri, ewah... sebab itu dia balik. Dia harap, ‘kehilangannya’ memberi kesan kepada isteri. Yalah, mana tahu kot-kot Adira rindukan dirinya?

Emak bapak mentua sedang menonton televisyen ketika dia masuk. Bayang Adira langsung tidak ada. Hmm, tunggu dalam biliklah tu, desis dalam hati Ariq. Lepas bersalam dengan encik Ismail dan puan Azrin, mereka ditinggalkan di ruang tamu itu. Dia tak betah duduk dan berbual dengan mereka. Takut kena ‘hentam’. Sakit hati nanti, susah!

Adira menjeling tajam sebaik Ariq melangkah masuk ke dalam bilik.

“Hah, abang pergi mana, 3 hari tak balik? Dah pandai merayap, ya?”

Ariq mula naik angin. Adira ni memanggg..... Bukan nak sambut suami dengan senyuman ke, apa lagi untuk membawa segelas air bagi menyejukkan tekak? Ni, terus aje menjerkah! Panas! Panas!

“Merayap apanya? Abang bukan lipas, tau! Abang berjalan ke rumah mak.” Balasnya, masih dalam nada lembut.

Bulat mata Adira. Jawapan itu lagilah buat dia semakin geram dan sakit hati.

“Abang balik ke rumah diorang? Sorang-sorang?” marahnya dengan suara yang nyaring.

Ariq menjegilkan mata. “Kenapa? Selama inipun memang abang balik sana sorang-sorang, kan?”

Adira tak puas hati. “Tu mesti mengadu entah apa-apa pada emak dengan ayah abang tu. Saja aje nak memburukkan Dira. Entah-entah abang cerita tentang Dira ajak pergi cuti. Mesti mak dengan ayah pun kena kutuk sekali, kan?” mulutnya membebel macam bertih jagung. Terbayang wajah emak dan ayah Ariq buat dia rasa menyampah. Dia sakit hati kerana Ariq selalu mengutamakan ibu dan ayahnya itu. Dia? Mak kata, dia hanya isteri aje, tak istimewa apa-apa dalam hati Ariq.

“Kenapa kalau abang nak kongsi masalah dengan mak bapak abang? Dira sendiri apa  kurang? Dah ada suami tapi, cakap suami langsung tak mahu dengar.”

“Abang jangan nak buat Dira naik angin! Dira dahlah sakit hati abang tinggalkan Dira macam tu aje. Sekarang abang nak ungkit-ungkit pulak pasal Dira tak dengar cakap abang? Abang ingat, abang tu suami mithali sangat ke?”

Ariq menghampiri isterinya. Tubuh Adira digoncang seolah-olah cuba untuk menyedarkan.

“Abang pergi sebab Dira dah pandai menjauhkan diri Dira daripada abang. Siapa yang tidur kat bilik tamu, bukan Dira?” soalnya.

“Alah, tu sebab Dira merajuk. Tapi, kalau abang setuju nak bawak kitorang ke Sipadan, Dira janji tak merajuk lagi.” Bisik Adira manja sambil jari jemari mengusap lengan suami. Nak menggodalah tu.

Dahi Ariq berkerut-kerut. Susah juga rupanya bila punya isteri yang langsung tak mahu faham keadaan suami. Apa dia ingat, Ariq gaji besar, maka mudah-mudah sahaja hendak dibuang duit tu? Macam mana kalau ada kecemasan? Sesak-sesak? Kat mana nak korek? Ke nak pinjam? Dengan siapa nak pinjam? Dengan mak bapak Dira yang tahi hidung masin tu? Huh, duit menantu diorang kebas. Duit sendiri? Simpan ASB!      

Dia menolak tubuh Adira perlahan-lahan supaya berada jauh sedikit daripada dirinya. Dia hendak berfikir. Dekat-dekat ni bahaya.... nanti, lain yang ada dalam kepala, lain yang keluar ikut mulut. Sebelum terlajak kata, lebih baik berundur. Selamat.....

“Abang nak mandi.” Katanya. Namun, isteri yang nekad tidak mahu melepaskan. Dia ada misi. Dia ada visi.

“Alah, kejaplah! Nanti kita mandi sama-sama.”

Ariq mengecilkan sepasang mata. Wajah isteri direnung dalam-dalam. Hati yang sudah hilang kepercayaan dapat meneka bahawa Adira bukan benar-benar ingin bermesra tetapi hanya ingin memastikan dia menjadi Pak Turut sahaja. Tekaannya benar bila Adira merengek lagi....

“Abang, bolehlah....”

“Boleh apa?” tanya Ariq.

Adira tersenyum. Sangkanya, hati Ariq sudah berjaya dicairkan.

“Alah, abang ni! Buat-buat tak faham pulak? Boleh pergi bercutilah! Kita berempat. Mesti seronok, tau...”

Ariq menjuihkan bibir. “Actually....”

Adira dah senyum manja...

“Abang setuju,”

“Yeah... saaaaayanggg abang!” terus tubuh Ariq dipeluk dan bibir disambar dalam kucupan hangat namun Ariq segera mengelak.

“Abang tak habis cakap lagi!”

“Huh?”

“Abang dah tempah tiket untuk kita berempat campur emak bapak abang, abang Aryan sekeluarga dan Kak Afidah sekeluarga.” Selamba Ariq memberitahu.

Pelukan serta merta Adira leraikan. Mata buntang tengok muka suami. Nampak benar dia marah dan tidak boleh menerima kata-kata Ariq.

“Kenapa nak bawak rombongan pulak ni? Ni percutian keluarga Dira. Orang luar tak boleh ikut!” marahnya. Suara melengking kuat.

Lama Ariq terdiam. Lantang suara Adira membuat dia terpaku. Tidak menyangka Adira sanggup berkata begitu. Kemana menghilangnya Adira yang dulu. Amboi, waktu sebelum kahwin begitu sering memuji-muji ibu dan ayahnya. Begitu menyayangi anak-anak saudaranya. Kini, ibu dan ayahnya dianggap sebagai orang luar pula? Kakak dan abang kandung suami sendiri ialah orang asing baginya? Melampau! Adira memang melampau!

Niat untuk mandi terus bantut. Sebaliknya, Ariq terus sahaja membuka almari kabinet yang tinggi. Dari ruang atas itu, dia mengeluarkan beg pakaiannya. Tanpa sepatah kata, dia membuka almari pakaian. Semua baju dan seluar yang bersangkut diambil dan dimasukkan ke dalam beg itu.

“Ni, apahal pulak ni? Kenapa berkemas beg macam orang nak pindah?” Si isteri masih tidak mahu berlembut.

“Memang nak pindahpun!”

“Abang jangan nak buat kerja gila.”

Ariq memandang wajah Adira sekilas sebelum dia zipkan beg pakaian yang sudah penuh dengan semua pakaiannya.

“Kalau lebih lama abang kat dalam rumah ni, nanti abang betul-betul jadi gila.”

“Alah, orang cakap macam tu pun nak marah.” Adira mengeluh.

“Bila isteri menganggap mak bapak dan adik beradik suaminya sebagai orang luar, ya, memang abang sakit hati, marah, geram dan rasa hendak tampar aje muka Dira tu. Kesabaran abang dah habis, Adira. Dah tak ada! Dan, abang memang tak peduli sekarang. Apa nak jadi, jadilah! Abang nekad nak keluar daripada rumah ni. Esok, abang akan datang dan ambil semua barang-barang yang abang dah beli dengan duit abang. Termasuk Dira!” balas Ariq tegas.

“Abang jangan nak buat kerja gila! Dira tak mahu tinggalkan mak bapak Dira.”  Suara Adira melengking kuat.

Ariq mendengus keras. “Terserah! Yang pasti, esok abang akan datang lagi dan ambil semua barang yang abang punya. Kalau Dira nak terus tinggal di sini, tinggallah! Tapi, abang harap Dira tak akan menyesal nanti.”

3

Ariq leka memandang siling. Baring terlentang di atas katil bilik hotel Renaissance yang disewa. Bukan sebarang bilik nih... di sinilah bilik hotel di mana dia mengadakan majlis resepsi perkahwinannya 2 tahun dahulu. Waktu itu semuanya indah dan membahagiakan. Kalau tengok album gambar kahwin, tentu semua orang dapat lihat betapa bahagia dirinya waktu itu.

“Ariq dah fikir masak-masak ke ni? Dah yakin dengan pilihan Ariq?”

Teringat pertanyaan yang ibunya kemukakan. Pertanyaan penuh keraguan yang memang dapat dikesani cuma sehingga kini, dia masih tidak berapa faham mengapa ibunya seolah-olah tidak begitu setuju dengan pilihan hatinya. Nak kata Adira tidak cantik, uisy, Adira sangat-sangat jelita. Gadis tinggi lampai, bermata bundar dan ada lesung pipit di pipi. Gadis promoter yang dikenali semasa membeli belah di Tesco suatu waktu dahulu.

Dia tahu, ibunya sudah ada pilihan hati untuknya. Nama gadis itu, Nur Aliah, ustazah lulusan dari Jordan. Namun, ibunya tidak pula berterus terang, apa lagi untuk memaksa. Semua ini diketahuinya melalui kak ngah Afidah. Dulu, dia tidak pernah menganggap perbuatannya salah namun dengan pergolakan rumah tangga yang dialami, Ariq mula muhasabah diri. Apakah dia berdosa kerana telah mengecilkan hati ibunya tanpa disedari? Apakah ini balasan Tuhan?

Ibu dan ayah tidak pernah pula membaling paku buah keras kepadanya bila dia lari balik ke rumah mereka hari itu. Malah, Hj Rashid menasihati dia supaya terus bersabar dan menjadi lebih bertanggungjawab. Ibunya pula mahu dia bertindak mengikut akal.

“Tak ada rumah tangga yang tak dilanda badai, Riq. Tapi, Riq kena fikir elok-elok. Usia perkahwinan Riq dengan Dira baru 2 tahun. Memanglah susah nak menyesuaikan diri walaupun dulu masa belum kahwin korang bercinta macam nak rak. Cuba kenangkan yang baik-baik tentang isteri Riq tu. Yang dulu berjaya mencairkan hati anak mak ni.”

Kata-kata Hajah Kalsom mengusik perasaan.

Saat indah? Arghh.... semua itu fatamorgana. Hanya waktu belum diijabkabul. Bila dah kahwin, hilang lenyap! Macam ular yang bersalin kulit. Semuanya bertukar, huh!

“Sebenarnya, kamu tak boleh letak semua kesalahan pada isteri kamu. Dari awal lagi, kamu dah tahu yang dia tu anak manja. Begitupun, kamu tak seharusnya bagi muka. Kalau dia buat salah, sejak mula dulu, kamu dah patut tegur dia. Bila kamu pun diam, maknanya, kamu biarkan dia hanyut. Sekarang, bila kamu dah tak mampu nak ikut telunjuk dia, tu yang kamu rasa lemas tu. Ariq, jangan salahkan Adira atau mak bapak dia, bila keadaan jadi kusut begini. Salahkan diri kamu yang tak pernah bersikap tegas dengan dia dari awal. Cuba ajak dia keluar makan malam.... boleh,”

Teringat bagaimana dia ketawa sakan mendengar saranan ibunya yang tidak masuk akal itu.

“Mak, tiap kali nak makan di luar, mak bapak dia yang buta kayu tu akan ikut sekali. Tak faham yang menantu mereka ni nak beromantis dengan anak diorang. Mak bapak mentua saya tu, mak, dah jadi macam lintah dah. Maklum menantu mereka ni kan ke lawyer? Gaji sebulan lima angka? Melekat, cekik darah! Kalau lintah tu, bila kenyang, tahu juga jatuh tapi encik Ismail dengan Puan Azrin tu? Huhu.... entahlah... Agaknya, kalau Riq tukar bubuh nama Dira dalam ‘payslip’ tu kut, barulah mereka nak lepaskan Riq ni.”

“Dah namanya lupa daratan, begitulah, mak, ayah.” Kak ngah mencelah.

Puan Kalsom menggelengkan kepala. “Uisy kamu ni. Ada ke cakap begitu?”

Kak Maria yang sedang menyuap anak-anak makan nasi, menyampuk, “Betul cakap Fidah tu, apa? Dira dengan mak bapak dia tu dah tak sedar diri. Lupa asal usul. Dulu duduk di rumah pangsa Miharja aje. Dah kahwin, dah dibawak pindah duduk di rumah berkembar dua tingkat di Bangi tu, udahlah naik tocang. Sombong!”

Masing-masing terdiam. Kalau hendak difikir-fikirkan, sememangnya tepat apa yang diperkatakan. Ariq mengakui hakikat itu. Betapa sikap boleh berubah begitu sahaja. Cuma yang dia masih tidak boleh terima bila isteri dan ibu bapa mentuanya memandang sinis kepada keluarganya sendiri.

Aduhai, dia jumpa kaca dalam lumpur rupa-rupanya. Dulu, fikirnya itu permata malangnya bila tidak langsung berkilauan, baru Ariq tersedar, dia sudah silap memilih.

“Ariq, marriage is a gamble. If you are lucky, you are happy. If not...”

‘Bercerai? Haruskah aku menceraikan dia? Tidakkah boleh rumah tangga kami ini diselamatkan?’ bisik hati penuh hiba.

..................

Adira termenng memandang kepekatan malam sambil berdiri di balkoni. Sudah dua minggu suaminya pergi meninggalkannya. Tanpa langsung menitipkan berita.

‘Dia dah benci aku ke? Tapi, apa salah aku? Takkan apa yang aku buat selama ni semuanya salah? Dia tak suka?’ bisik hati. Sedihlah pulak. Air mata sudah bergenang lagi di tubir mata.

Ariq pergi dan menunaikan janji untuk kembali mengambil semua barang-barang yang dibeli. Kini, ruang tamu sudah kosong. Bilik tidur juga hanya tinggal katil sahaja. Sofa, meja makan, home theatre, semua sudah diangkut pergi.

“Apa keputusan Dira?”

Masih terngiang-ngiang soalan itu di telinga.

“Kamu ni suami paling kejam, tahu tak? Habis semua barang-barang dalam rumah ni kamu nak angkut keluar! Dengan Dira-Dira sekali kamu nak bawak! Eh, Ariq! Dira tu anak mak. Dia tetap akan tinggal di sini. Kamu boleh ambil apa aje yang kamu nak tapi bukan Adira.” Suara puan Azrin melengking kuat.

“Patutlah orang pesan, seorang menantu jangan sekali-kali bawa mentua tinggal dengan dia. Inilah sebabnya. Mak dengan ayah asyik hendak mempersoalkan tindakan saya, sebagai seorang suami. Mak dengan ayah asyik tak puas hati dengan apa yang dah saya bagi pada Dira. Mak dengan ayah ni tamak! Sombong! Pentingkan diri sendiri! Sampai bila baru mak nak sedar yang rumah tangga kami jadi kucar kacir macam ni kerana campur tangan mak dengan ayah?”

Teringat bagaimana dia meluru ke arah suami. Teringat bagaimana dia sendiri telah menampar pipi Ariq. Teringat bagaimana kepuasan jelas melarik wajah ayah dan ibunya. Teringat bagaimana Ariq tenang menggosok pipi yang sakit.

“Okey, tamparan ini jawapan Dira, kan? Dira tak mahu ikut abang? Baiklah! Kalau macam tu, Dira boleh tinggal di sini. Tapi sampai habis edah saja. Lepas tu abang nak jual rumah ni. Dan, dalam kepala tu, jangan nak berkira-kira untuk mendapatkan harta sepencarian abang kerana bagi abang, Dira seorang isteri yang nusyuz. Kalau Dira tak faham maksudnya, sila bukak kitab abang yang banyak kat dalam almari tu.”

Air mata merembes laju. Dia sedar kini bahawa sang suami sudah bertekad mahu menceraikannya. Kerana dia nusyuz. Kerana dia ingkar. Dia isteri yang menderhakai suami. Kerana dia lupa syurga seorang isteri terletak atas reda suami, bukan atas ketaatan kepada ibu dan ayah sendiri. Apatah lagi jika ayah dan ibu hanya mementingkan diri sendiri, seperti kedua-dua orang tuanya. Dia lupa!!!

“Adira, mak mahu kamu pergi jumpa suami kamu. Pura-pura mintak maaf pada dia. Pura-pura jadi baik. Pastikan dia tak syak apa-apa. Kali ni, mak tak peduli. Mak akan buat dia tunduk pada kamu. Ikut aje apa kamu cakap.” Puan Azrin bertegas dengan penuh tekad.

“Awak nak buat apa pulak ni? Tak puas-puas lagi ke?” encik Ismail bertanya. Adira turut kehairanan.

“Anak menantu abang tu kena diajar. Kita kena tundukkan dia sampai dia jadi lembik, baru puas hati saya ni. Budak tu dah kurang ajar sangat.”

Adira mengeluh. “Mak, mak janganlah macam ni. Abang Ariq tu suami Dira. Dira sayang dia. Jangan mak pandai-pandai nak apa-apakan dia. Dira tak izinkan.”

Puan Azrin sakit hati sangat. Ada ke patut Adira melawan cakap kini? Saja nak kenalah tu. Lalu ditunjalnya dahi anak kesayangan.

“Dia dah hinakan kita, Dira. Tu, mak tak boleh maafkan. Mak tak peduli. Mak nak ajar dia cukup-cukup. Tapi, kamu kena buat apa yang mak suruh. Pergi cari dia. Goda dia balik. Alah, lelaki, Dira. Kena gayanya nanti, lentuklah dia dengan kamu.”

4

Sepanjang hari Ahad itu Ariq kegelisahan. Entah mengapa, dia sendiri tidak mengerti. Dia tidak tahu. Tapi, dia memang risau. Itu yang pasti. Dalam kepala asyik terkenangkan Adira, isteri yang ditinggalkan bersama-sama ibu dan ayahnya.

“Mungkin sebab surat mahkamah dah sampai, kut?” dia bermonolog sendiri. Ya, dia sudahpun mendapat surat daripada pejabat Agama Islam Kuala Lumpur untuk hadir di mahkamah rendah syariah bagi tujuan melafazkan talaq.

Sebak memikirkan betapa dia tidak bisa mempertahankan rumah tangga yang mereka bina. Adira diam seribu bahasa, tidak langsung mahu berbincang tentang masalah mereka. Tega sungguh menurut kehendak emak dan ayahnya. Dia ingin sekali memaafkan, memberi peluang kedua tapi, mengenangi sikap buruk dan kata caci ibu mentua, dia pasrah. Kalau berpisah ini yang terbaik buat mereka, biarlah....

Sambil mengelap bumbung kereta Honda Jazz oren metalliknya, sepasang mata menyorot ke arah pintu pagar yang sedang terbuka secara perlahan-lahan. Demi melihat kelibat abangnya, dia tertanya-tanya mengapa abangnya turun sedangkan kebiasaan lelaki itu ialah memandu laju memasuki pekarangan.

“Jom! Kita kena pergi ke hospital.”

Mulanya, Ariq diam bila Aryan menarik lengannya tetapi demi mendengar yang mereka terpaksa ke hospital, terus sahaja langkah jadi beku.

“Kenapa kita kena pergi ke hospital? Siapa yang sakit?” Tanya dia.

“Mak bapak mentua kamu kemalangan di Rawang.”

Ariq cemas mendengar. Cepat sahaja dia bertanya, “Adira? Dia pun?” tanya dia.

Aryan menggelengkan kepala. “Mujur dia tak ikut! Kalau tidak...” wajah adik direnung lembut dan penuh simpati. “Ariq, encik Ismail dengan Puan Azrin cedera parah dalam kemalangan tu. Kata polis yang telefon ayah tadi, kereta mentua kamu bertembung dengan kereta lain ketika hendak memotong lori di depannya. Ayah mentua kamu tak dapat mengelak.”

“Kesian Dira.....” 

Ya tentu saja dia kasihankan Adira. Dia tahu, saat ini Adira pasti sedang teramat sedih. Dan, kerana memikirkan Adira, Ariq dengan cepat membuntuti abangnya. Dia hendak cepat sampai ke hospital.

Sebaik sampai, sepasang mata Ariq tertancap pada sekujur tubuh isterinya yang kelihatan amat kurus. Ibunya, puan Kalsom, yang sampai dulu daripada mereka, sedang memujuk Adira yang sedang menangis teresak-esak. Dia segera menghampiri. Demi melihatnya, Adira semakin kuat meraung.

“Abang, mak dengan ayah Dira........”

Ariq terus saja mendakap tubuh isterinya. Ya, saat ini dia tahu bahawa dia tidak sanggup berpisah dengan Adira. Bukan kerana kasihan tapi kerana Adira ialah wanita yang amat dicintainya.

“Shh, abang ada ni. Dira jangan nangis, ya. Jom, jom kita baca Yasin untuk diorang.” Ariq memujuk.

Adira pasrah. Dia berasa tenang bila Ariq bersuara selembut itu kepadanya. Mereka membersihkan diri, mengambil wuduk dan bersama-sama, mereka membaca surah Yasin di luar dewan kecemasan yang menempatkan pesakit-pesakit termasuklah encik Ismail dan puan Azrin. Berdoa agar Allah menyelamatkan kedua-duanya.

Setelah dekat sejam mereka tertanya-tanya khabar berita, akhirnya doktor memberitahu bahawa ayah Adira, encik Ismail tidak dapat diselamatkan sementara puan Azrin pula masih tidak sedarkan diri. Adira meraung lagi dan lontaran suara sungguh-sungguh mengharukan suasana dalam wad. Kini anak manja itu sudah kehilangan sebelah sayapnya. Ibarat burung kepatahan sayap, begitulah dirinya. Kebingungan dan kesunyian.

Tidak sampai hati melihat isteri keseorangan menempuh musibah ini. Jadi, Ariq bertekad untuk berada di sisi Adira. Dia ingin rujuk dengan isterinya itu. Dia mendapatkan restu daripada emak dan ayahnya.. Juga restu daripada abang-abang dan kakak-kakaknya. Ariq amat bersyukur memiliki ahli keluarga yang amat memahami, yang sentiasa menyokong niat baiknya.   

Rutin harian semakin sibuk. Sejak kematian ayahnya, Adira terpaksa berulang alik ke hospital di mana ibunya sedang berada dalam wad ICU. Ariq pula tidak dapat menemaninya saban hari. Sesekali sahaja dia dapat singgah untuk bersama-sama melihat keadaan puan Azrin. Pada kebanyakan masa dia akan hanya menunggalkan Adira di pintu masuk hospital.

Kini, Adira menetap bersama-sama dengannya, di sebuah kondominium mewah di Damansara Damai. Buat pertama kali, Ariq merasa satu kehidupan yang harmoni. Maklumlah, mereka hanya berdua sahaja kini. Dan, sikap Adira juga nampaknya sudah jauh berubah. Mulutnya tak banyak bercakap macam dulu. Malah rajin pula menyediakan makan dan minum untuk dirinya.

Ariq amat bahagia dengan situasi baru ini. mengharapkan agar kebahagiaan ini akan kekal lama. Tapi, mungkinkah? Terutama bila puan Azrin sembuh nanti? Entahlah....


5

“Hello, boleh saya cakap sama anaknya puan Azrin?”

Suara lembut seorang wanita menujah pendengarannya. Dia ingin memberitahu bahawa Adira sedang mandi tetapi suara asing itu terlebih dahulu mencelah,

“Mungkin kamu tidak kenal sama saya, tapi saya kenal ibu kamu. Ya, sudah kurang lebih satu minggu saya tunggu dia datang ke rumah tapi tidak juga dia muncul ya. Kenapa, sih? Ubat yang itu disuruh saya buat, udah sedia deh... nanti, kapan mau dikasi makan sama itu...suami? Apa ibu kamu fikir ubat saya itu tidak mujarab makanya dia enggak mahu ambil lagi? Uisy, Katakan sama ibu kamu, ubat saya itu amat berkesan sekali. Bila lelaki itu makannya, pasti dia akan tunduk dan ikut cakap kamu macam lembu dicucuk hidung gitu. Hello! Hello!!”

“Ubat itu ibu Azrin yang minta mbah yang buat, ya?”

“Iya, dong. Katanya mau kasi tunduk sama menantu yang sombong itu. Dia janji mau ambil itu hari Ahad dulu tapi sampai sekarang dia tidak ke mari.” Begitu beria-ia perempuan warga asing itu meyakinkannya.

“Mbah pernah jumpa anak perempuannya?”

“Oh, Adira? Tidak pernah. Tapi ini nombor telefonnya, ya? Mana dia? Kenapa kamu yang bicara? Siapa kamu?”

Ariq menarik nafas dalam-dalam. Sepasang mata kini tajam merenung wajah isteri yang baru keluar daripada bilik air.

“Mbah, isteri saya ada ni. Mbah cakap sama dia, ya.”

Adira terpana melihat wajah suami yang masam mencuka ketika memberikan telefon itu kepadanya. Sebaik dia berkata hello, suara yang tidak dikenali di hujung talian menyapa ramah. Namun, Adira tidak mampu walau untuk berdiri tegakpun sekarang. Telefon itu sendiri sudah tercampak jauh dari genggaman.

Ketika mengangkat wajah, dia bertentangan mata dengan Ariq yang kini sedang memandang wajahnya dengan sepasang mata yang mencerlung.

“Jadi, diorang ke Rawang nak jumpa bomoh tu? Nak ambil ubat untuk diberi abang makan? Supaya abang jadi bodoh. Ikut telunjuk diorang? Dan, Dira tahu tentang semua ni. Dira tahu, kan? Cakap! Jangan diam! Dira tahu, kan?”

Adira mengangguk lemah. “Ya, Dira tahu tapi....”

“Masya-Allah, Dira subahat dengan mereka? Sampai hati Dira? Dira lupa pada janji Allah? Perbuatan mak dengan ayah tu syirik! Syirik! Menyekutukan Allah. Dosa besar yang tidak diampunkan kecuali bertaubat nasuha. Kenapa, Dira? Kenapa Dira sanggup buat macam tu?”

Lantang dan nyaring suara Ariq memarahi Adira. Dia kesal! Amat kesal dengan apa yang terjadi.    

“Abang, Dira tak...”

“Jangan sentuh aku! Kau dengan mak kau sama saja! Hati kotor! Aku ingat kau ikhlas dengan aku, Dira, tapi...”

Adira menangis mendengar kata-kata suaminya. Tuduhan dilemparkan amat perit sekali untuk ditelan. Bagaimana harus dia memberitahu bahawa dia...

“Aku sayang kau, Dira. Sayang, cinta, kasih dan aku tahu kau tahu perasaan aku pada kau. Tapi, kau tetap wanita yang kejam. Sampai sanggup hendak membodohkan suami sendiri.”

Adira menggelengkan kepala. “Jangan tuduh Dira macam tu, bang. Dira,”

“Tuduhan ke tu? Habis, perempuan yang telefon kau tadi tu siapa? Kalau kau tak terlibat, macam mana dia boleh tahu nombor telefon kau ni?”

Ariq berjalan mundar mandir, penuh rasa sakit hati dalam diri. Arghh, kalau Adira seorang lelaki, sudah lama ditumbuknya. Tetiba, dia jadi benci. Tetiba dia rasa meluat. Wajah itu sudah tidak mahu dilihat lagi!

“Abang, Dira sumpah, Dira tak...”

“Sudahlah!!! Aku tak mahu dengar lagi.”

“Tapi...”

“Aku nak kau keluar dari rumah aku ni nanti. Bila aku balik, pastikan kau dah tak ada, faham?”

Ariq bergegas keluar bersama dada yang sebak. Meninggalkan Adira dalam tangisan sayu seorang wanita yang berjauh hati bila dirinya sudah tidak diingini oleh suami. Dia sudah dihalau pergi. Ariq kini sudah bukan miliknya lagi.

.........................

Sudah lima bulan kini masa berlalu. Adira sudah rasmi bergelar janda. Ariq sudah menceraikannya dengan talaq 1. Dia tidak lagi tinggal dalam rumah mewah lelaki itu. walaupun Ariq melepaskan dirinya dan menamakan dia pemilik baru rumah itu, hatinya mengakui bahawa dia tidak layak untuk berada di situ. Malah, nafkah yang Ariq berikan setiap bulanpun, tidak diusik. Dia telah memulangkan semuanya kepada lelaki itu. Kunci rumah dan duit sudah dikembalikan dengan pesan supaya Ariq tidak lagi memberinya duit, namun Ariq tetap berkeras kerana katanya itu tanggungjawabnya sebagai bekas suami Adira. Lalu Adira simpankan saja semuanya di dalam bank. Tidak diusik, tidak disentuh.

Dia sekarang lebih selesa dengan kehidupannya. Bekerja sebagai tukang cuci di sebuah syarikat. Walau pendapatannya kecil, dia reda. Itulah selayaknya hak dia kerana dia bukan seorang berkelulusan tinggi. Kini Adira menyewa di sebuah bilik, dalam sebuah rumah di Kg Baru. Bukan apa! Dia perlukannya untuk berulang alik ke hospital Kuala Lumpur. Ibunya masih mendapat rawatan di sana.

Puan Azrin sudah semakin sembuh. Sudah boleh membuka mata dan menggerakkan tubuh. Dia hanya masih belum boleh bercakap. Setiap hari, dia menunggu kedatangan Adira. Setiap hari dia ingin melihat raut wajah itu. Tapi, dia hairan, wajah anaknya tidak lagi seceria dahulu. Mungkin, anaknya itu masih meratapi kematian ayahnya, suami dia.

Kadang-kadang bekas ayah dan ibu mentua Adira datang menjenguk puan Azrin. Adira rasa serba salah dengan layanan baik mereka. Dia sedih kerana mereka masih mengambil berat keadaan dirinya walau hubungan sudah lama putus.

“Mak, ayah, Dira rasa, mak dengan ayah tak usahlah datang jenguk mak Dira ni lagi. Dira bukan apa....Dira takut abang Ariq marah. Abang Ariq bencikan kami. Kalau dia tahu...”

Puan Kalsom menyentuh lembut bahu Adira. “Hubungan kamu dengan Ariq memang dah putus tapi dalam hati mak, kamu masih menantu mak lagi. Mak sayang kamu Dira. Janganlah kamu halang mak datang jenguk kamu dengan mak kamu di hospital ni. Dahlah kamu tak bagi tahu di mana kamu tinggal, kamu tak ambil duit yang Ariq bagi. Mak susah hati tengok kamu. Mak kesiankan kamu, Dira.” Bisiknya lembut.

Air mata Adira menitis laju. Baik, memang baik wanita ini. Kenapa dulu, mata hatinya buta untuk menilai? Kenapa dulu, dia bencikan mereka?

Dengki! Hasad! Ya, itulah perkataan yang ada dalam hati busuknya dulu. Dia bimbang kasih Ariq bukan untuk dirinya seorang. Dia bimbang bila Ariq melebihkan Puan Kalsom dalam banyak hal. Dia bimbang dipinggirkan!

“Terima kasih, mak. Dira mintak ampun sebab menyusahkan mak dengan ayah. Dira banyak dosa dengan mak, ayah, abang Ariq...dengan semua orang. Memang patutpun abang bencikan Dira sekarang. Ini semua balasan Allah sebab Dira bukan isteri yang baik.kan, mak?”

Puan Kalsom memeluk tubuh kurus Adira. Jauh di sudut hati, dia dapat merasakan bahawa Adira sudah menginsafi semua perbuatan jahatnya dulu. Sebenarnya, bagi puan Kalsom, dia tidak pernah menyalahkan Adira. Adira anak tunggal, yang menyayangi ibu dan ayah sepenuh hati. Anak yang patuh pada kehendak ibu. Yang tidak sanggup mengecilkan hati ibunya walaupun demi seorang suami yang disayangi.

“Hujung minggu ni, mak buat kenduri doa selamat sikit. Dira datang, ya.”

“Err...”

“Datanglah! Sampai bila kamu nak mengelak Ariq?” ayah mentuanya memintas.

Adira terkedu. Akhirnya, dia hanya mampu berkata insya-Allah saja.

...............

Majlis kenduri sudah lama tamat. Tetamu yang terdiri daripada ahli qariah masjid Aulia sudahpun balik ke rumah masing-masing. Di dapur, suara Puan Kalsom dan anak menantu sedang mengemas riuh kedengaran.

Dia masih di situ. Bermenung lagi. Hari ini, dia mengharap wanita itu hadir seperti yang diberitahu oleh ibunya namun sampai ke sudah, Adira tidak menjengukkan muka. Mungkin wanita itu takutkannya. Mungkin wanita itu menyangka dia membenci. Mungkin juga wanita itu menyangka marahnya masih bersisa.

“Ada orang termenung jauh, ayah. Sedih kut sebab orang yang ditunggu tak datang-datang.” Usik Aryan. Hj Rashid di sebelah turut ketawa. Hanya Ariq yang diam tanpa riak.

“Buat apalah dikenang pada perempuan tu? Dia kan jahat? Dia nak sihirkan kamu. Jadi, kenapa mesti rindukan dia lagi? Dia tak layak untuk diingatkan pun!” Aryan terus memprovok.

Ariq mengerutkan wajah. Sedikit sakit hati mendengar abangnya mengutuk Adira. “Kami pernah tidur sebantal, bang. Kami pernah bahagia. Dia pernah menceriakan hidup saya. Saya pernah sayangkan dia. Pernah cintakan dia. Semua tu bukan mudah nak lupa.” Balasnya.

“Alah, boleh aje dilupakan kalau mahu! Kahwin aje dengan perempuan lain. Tu, ustazah yang mak pernah nak calonkan untuk kamu, masih solo lagi. Suruh mak meminang dia. Kali ni tentu rumah tangga kamu lebih baik sebab perempuan tu seorang ustazah. Tinggi ilmu agamanya.” Afidah mencelah. Dia runsing melihat keadaan adiknya yang bagaikan gila talak. Asyik terkenangkan Adira sahaja....

Puan Kalsom yang baru tiba bersama satu dulang berisi mug kopi dan biskut kering merenung wajah Afidah dengan riak tidak puas hati.

“Jangan kamu nak serabutkan kepala adik kamu, Afidah. Biarkan dia. Ariq, usah kamu risau. Mak tak akan 
meminang si Nurul tu untuk kamu. Mak tahu, hati kamu tu masih pada Dira. Cuma, kamu keras kepala. Degil! Tak nak mengaku isi hati dan perasaan kamu aje.”

Afidah dan Maria saling berbalas pandang. Mereka tak puas hati dah. Nampak sangat macam mak mengharapkan Dira dan Ariq kembali bersatu.

“Uisy, mak.... ada ke? Entah-entah mak ni dah dishirkan si Dira tu. Tulah mak, ayah. Suka sangat pergi jenguk mak si Dira tu di hospital. Entah-entah...”

Mereka terdiam bila Hj Rashid dan puan Kalsom ketawa serentak. Entah apa yang lucu, entah, fikir mereka.

“Dira tu dah jauh benar berubah perangainya berbanding dulu. Korang tak jumpa dia, jadi korang tak tahu. Kalau dia jahat, dah lama dah dia kebas apa yang Ariq bagi. Ni, tak! Korang tahu tak yang dia sekarang kerja ‘cleaner’? korang tahu tak yang dia menyewa bilik dekat Kg Baru? Duit nafkah yang Ariq masuk dalam akaun dia, dia bagi balik pada mak?”

Terjojol biji mata Afidah dan Maria. Maria tengok Aryan. Dia tak puas hati kerana Aryan tidak berkongsi cerita ini dengannya.

“Abang pun tak tahu. Ni, pertama kali abang dengar.” Bisik Aryan. Aryan bagai memahami isyarat mata isterinya.

“Abang pulak?” Afidah bertanya kepada Rizal, suaminya. Rizal seorang pegawai polis.

“Abang pun tak tahu.” Balas Rizal lembut.

Ariq sudah lama tahu tentang semua itu. Cuma, dia tidak faham mengapa Adira sanggup melepaskan semuanya. Dia tidak faham mengapa Adira perlu bersusah payah memulakan hidup dari bawah sedangkan wang yang dia beri cukup untuk menampung hidup wanita itu.

“Kadang-kadang, bila seseorang itu sudah kehilangan barulah dia tahu betapa pentingnya orang itu dalam hidup dia. Tapi, Riq, Riq hanya berpisah hidup. Masih berpeluang untuk bersama semula. Bayangkan kalau korang dipisahkan oleh kematian? Tentu menyesal kerana tidak dapat meluahkan perasaan sayang pada dia. Rugi, kan?” Puan Kalsom melontar soalan untuk difikirkan oleh Ariq.

“Mak, apa maksud mak ni? Mak nak Ariq ambil Dira jadi isteri dia balik?”

Puan Kalsom mengangguk. “Dira dah sedar kesalahan dia. Mak yakin, dia akan jadi isteri yang lebih baik kalau Ariq mahu mengambilnya semula.” Ujarnya disambut anggukan suami.

.............................

Akhir

Sudah hampir 10 minit dia menunggu. Dia tahu, sekejap lagi pasti Adira akan menyudahkan kerjanya. Sekejap lagi, dia pasti lalu di sini. Dia akan bersabar menanti lagi.

Adira menghela nafas panjang. Entah apa lagi yang Ariq mahu, dia pun tak tahu. Lelaki tu dah macam kiambang dalam air. Makin ditolak menjauh, makin datang dekat dan berkumpul. Haih...

“Dira, jom abang hantar Dira balik.” Sapa Ariq sebaik Adira melintas di hadapannya.

Adira merenung wajah Ariq. Dia menarik nafas panjang. “Dira nak pergi ke hospital. Nak jenguk mak.”

Ariq terus membuka pintu. “Jom, abang pun lama tak tengok mak. Teringin nak tengok dia.” Balasnya.

Adira segera menutup pintu kereta lelaki itu. Mendepani Ariq, dia berkata perlahan, “Jangan susahkan diri, bang. Dira bukan lagi tanggungjawab abang. Dira bukan lagi isteri abang. Antara kita, dah tak ada apa-apa. Dira tak boleh jadi beban pada abang lagi.”

“Abang kan dah cakap pada Dira, kalau masih ada rasa sayang untuk abang, abang nak memilikinya semula. Abang tak nak Dira jauhkan diri dari abang lagi. Abang ada untuk...”

“Tuan peguam, di luar sana kan masih banyak perempuan baik untuk tuan buat isteri? Adira hanya masa silam yang tidak indah. Lupakan Adira dan cari perempuan lain untuk ganti tempat dia. Perempuan yang jauh lebih baik!”

Adira berpaling. Dia hendak menjauh. Perlu! Dia takut hatinya lemah bila Ariq terus menggoda. Kesilapan dulu masih membelenggu fikiran. Dia takut, kesilapan itu diulangi sekali lagi bila dia lupa siapa dirinya bila mereka bersama.

“Dira masih marahkan abang? Sebab abang tuduh Dira macam-macam dulu?” tanya Ariq lemah. Dia risau dengan sikap Adira yang sentiasa menolak dirinya, permintaannya dan cintanya sekarang. Kenapa sekeras ini hati bekas isterinya?

“Dira tak bersalah, bang. Jadi, semua tuduhan yang abang lemparkan tu tak sikitpun beri kesan pada Dira. Janganlah abang risau.” Balas Adira.

“Bohong! Abang tahu Dira masih kecil hati dengan abang.” Tekan Ariq.

“Dira tolak abang kerana kita tak seganding. Dulu, Dira tak sedar diri tapi sekarang, Dira tak mahu buat kesilapan itu lagi. Dira tak berhak memiliki abang. Dira tak berhak untuk dicintai abang. Abang, Dira hanya nak hidup dengan tenang. Dira nak jaga mak Dira selagi dia masih hidup. Dira tak mahu seorang lelaki dalam hidup Dira tapi dia tak dapat terima mak Dira yang selama ini selalu menyakiti hatinya. Maafkan Dira, bang. Jahat macam manapun mak Dira, dia masih perempuan yang lahirkan Dira. Yang susah payah besarkan Dira. Jaga Dira. Abang mungkin cintakan Dira tapi Dira tak nak abang ada di tengah-tengah di antara Dira dengan mak. Maafkan Dira, bang. Maafkan Dira.”

Adira berlalu. Hatinya menangis kerana telah melukakan hati Ariq. Tapi, dia tahu inilah keputusan terbaik yang dibuatnya. Dia tidak mahu nanti Ariq menyangka dia melebihkan ibunya dalam segala hal. Dia tidak mahu nanti dia serba salah dalam mengagihkan kasih sayang.

Di hospital, si ibu sedang nazak. Entah bagaimana, dia boleh bersuara. Memanggil-manggil nama seseorang.

“Ariq, ampunkan dosa mak, nak! Mak banyak melukakan hati kamu. Mak jahat! Jangan benci Dira. Dira tak salah apa-apa. Dira tak setuju dengan rancangan mak. Dia tak tahupun yang mak nak pergi jumpa bomoh tu. Jangan benci Dira, Ariq. Nanti kalau mak mati, siapa nak jaga dia?”

Puan Kalsom menitiskan air mata mendengar kata-kata besannya. Dia dan Hj Rashid berbalas renungan. Maha besar kuasa Allah. Wanita yang selama ini seperti sedang tidur lena, kini mampu bersuara.

“Bang, telefon Ariq. Suruh dia ke sini.”

“Adira?” jari jemari Hj Rashid sedang menekan punat handsetnya.

“Kejap lagi dia sampailah tu!” jawab puan Kalsom. Dia kemudian tunduk melekapkan bibir hampir di telinga puan Azrin, membisikkan kalimah syahadah agar dapat diikut ucap.

Adira terlewat sampai. Ketika dia tiba, dia terpempan bila kain putih sudah menutupi sekujur tubuh ibunya. Dalam hati dia terkilan sangat. Dia tidak sempat memohon maaf. Dia tidak sempat memberitahu betapa dia kasihkan ibunya. Dia tidak sempat memberitahu.....

...........................

Adira masih termangu. Kehilangan ibunya membuat hidup bagai kosong, tiada apa-apa lagi. Hanya mampu memerhati semuanya tanpa kata. Jiwa sudah kehilangan.

Suasana di rumah agam milik Hj Rashid sudah lengang. Di suatu sudut, Ariq sedang memarahi Adira. Geram kerana gadis itu masih berdegil tidak mahu menjamah makanan yang dia bawa.

“Sampai bila nak macam ni? Dah 3 hari Dira tak makan apa-apa. Abang susah hati, Dira tahu tak?”

“Dira tak ada selera. Boleh tak abang faham? Nanti, kalau Dira lapar, Dira makanlah.” Balas Adira perlahan.

“No! Abang nak Dira makan sekarang. Meh sini abang suapkan.”

Adira naik angin. “Berapa kali Dira nak cakap yang Dira tak perlukan simpati abang? Dira tak perlukan rasa belas kasihan abang tu! Mak Dira dah mati. Dah tak ada. Tapi tu tak maksud yang Dira tak boleh jaga diri Dira.” Jeritnya.

“Adira!” Ariq pula baran. Sakit hati melihat kedegilan Adira.

Puan Kalsom segera menyentuh bahu anak lelakinya. Dia memberi isyarat mata supaya Ariq menjauh.

Ariq menarik nafas dalam-dalam. Dia terpaksa menurut kemahuan ibunya. Dengan langkah yang lemah, dia berlalu ke luar. Ingin menghirup udara malam yang dingin agar sejuk hatinya yang sedang panas itu.

Puan Kalsom tenang merenung wajah Adira yang pilu. Dia tahu, ada sesuatu yang masih berbuku dalam hati gadis itu.

“Adira, ada sesuatu yang mak nak bagitahu pada Dira.”

Adira merenung wajah bekas ibu mentuanya dengan pandangan sayu.

“Waktu mak jenguk mak Dira hari tu, dia dapat bercakap.” Adira mendongak. Sepasang mata tajam melatari tampang puan Kalsom. Dahinya berkerut-kerut.

“Dira nak tahu apa dia cakap?”

Adira mengangguk.

“Dia jerit, panggil nama Ariq. Dia mintak ampun pada Ariq. Dia beritahu Ariq yang Dira tak pernah tahu apa dia buat. Dia mintak Ariq terima Dira semula.”

“Tapi....”

“Semua tu kuasa Allah, Dira. Mak tahu, Dira mesti tak percaya. Mak dengan ayah pun terkejut sangat masa tu. Terus ayah telefon suruh Ariq datang. Bila Ariq sampai, mak suruh dia pegang tangan mak Dira. Masa tu, mak Dira buka mata. Bila dia tengok Ariq, dia menangis. Dia bercakap dan beritahu Ariq semuanya. Dalam nafas yang mencungap. Dalam sebak. Dia menangis, Dira. Menangis, mintak ampun pada Ariq. Bila Ariq cakap, Ariq reda dengan semua yang dah berlaku, barulah dia diam dan tenang. Tak lama lepas tu, dia meninggal. Ariq sempat ajar dia mengucap, sayang.” Cerita puan Kalsom.

Kali ini, Adira menangis teresak-esak. Dia melepaskan segala kesedihan. Dia melepaskan segala yang selama ini membelenggu perasaan. Dan hari ini, barulah hati merasa lapang. Tenang dan sedikit bahagia kerana Ariq sudah memaafkan segala kesilapan ibunya.

Ariq kembali menghampiri. Dia mahu berada di sisi Adira lagi. Merenungi seraut wajah yang tidak pernah hilang daripada ingatan. Dan, senyum menghiasi bibir bila Adira dilihat sedang hendak memulakan suapan.

Adira tidak mempedulikan renungan Ariq. Dia baru berasa lapar. Baru hendak menjamah makanan dengan berselera. Kerana, hatinya tenang kini. Emaknya pergi setelah meminta ampun. Ya, dia amat lega. Itulah yang menghantui fikiran sejak emak terlantar akibat kemalangan itu.

.........................

Adira tidak mampu menolak lagi. Semua orang sudah mendesak agar dia menerima Ariq semula. Puan Kalsom lagilah... Adira tidak langsung boleh jauh daripada dirinya. Dia amat menyayangi, mengganti kasih ibu yang sudah pergi.

Mampukah menolak bila itu juga kemahuan hatinya sendiri? Tentu tidak, kan? Kini, hari ini, mereka diijabkabulkan buat kali kedua. Dalam ikatan pernikahan penuh restu daripada seluruh ahli keluarga Ariq.

Ariq kelihatan kacak sekali mengenakan baju Melayu berwarna ungu tua. Kini dia sedang bersiap sedia untuk menyalami tangan tuan kadi. Wajahnya tenang. Maklum, dah pro, kan? Adira tunduk sayu, duduk dikelilingi Afidah dan Maria. Sepersalinan baju kurung dipadankan dengan tudung semakin menonjolkan kecantikan yang dimiliki. Saat itu, hati mengharapkan agar kesilapan sewaktu kali pertama bergelar isteri tidak diulangi kali kedua. Tidak lagi! Itu janjinya.

...........................

“Tak tidur lagi?” tanya Ariq sebaik melangkah masuk ke dalam bilik tidur yang terhias cantik. Kamar pengantin mereka.

“Dira tunggu abang.”

Ariq tersenyum mendekat. Terus menyambar tubuh isterinya dan dipeluk erat. “Hmm, dah tak sabar, ya?” usiknya.

Adira ketawa kecil. Senang dengan gurauan itu.

“Dira nak honeymoon di mana, sayang? Cakap aje. Abang akan bawak Dira.” Tanya Ariq beria-ia.

Adira berbisik lembut, “Di mana saja abang ada, Dira ada. Bukankah itu dah cukup indah?”

“Hmm...isteri abang ni. Orang tanya lain, lain yang dijawabnya.” Tukas Ariq sambil ketawa-ketawa.

“Abang, bulan madu Dira ialah sentiasa di sisi abang. Sentiasa disayangi abang. Cukuplah. Honey moon tu hanya masa. Hanya tempat. Bila-bilapun boleh, kan? Di mana-mana saja pun, tak apa. Yang penting, abang masih mahu Dira menemani abang. Kan?”

Ariq tersenyum. Dalam hati, dipanjatkan rasa syukur kepada Ilahi kerana menjadikan Adira seorang yang lebih matang kini. Tingkah dan perbuatan sudah jauh berubah. Bila berkata-kata, suaranya juga menjadi lembut dan bersopan. Ya, besar sungguh rahsia dan rahmat Tuhan di sebalik setiap kejadian. Jangan menyesal! Jangan bebal! Depanilah dengan tabah kerana ganjaran yang diperoleh amat membahagiakan.

Terima kasih emak, kerana sentiasa percaya pada gerak hati mak tentang rasa dalam diri ini, desis hati Ariq. Ya, itulah naluri seorang ibu. Dia tahu apa jua yang anaknya rasa. Kasih sayang yang menebal kepada seorang gadis bernama Adira.

Bagi Adira, dia tetap bersyukur kerana mempunyai seorang ibu yang amat menyayangi dirinya, yang sanggup melakukan apa sahaja untuknya. Biar orang lain mengutuk ibunya, jahat dan membenci, namun tanpa puan Azrin, dia tidak akan lahir ke dunia ini.

Mak, Dira sayang mak.

Kepada ibu-ibu di luar sana, Selamat Menyambut Hari Ibu.

Kau sinaran bulan
Menyerikan bitang-bintang
Kaulah fajar yang menerbitkan pagi
Kau sirami embun
Menyegarkan pepohonan
Kau bukakan tabir siang untukku
Kau berikan mama
Kasih sayang maha suci
Betapa agungnya
Tiada ternilaikan
Oh mama, oh mamaku
Tiada cinta yang suci
Setulus cintamu
Ku suntingkan mama
Sekuntum mawar putih
Sebagai lambang kesucian cintaku
Lagu khas untuk para ibu....
Mawar putih untuk mama dendangan Sharifah Aini.

   
         

 
     

Related Post



Kak Mah said...

nangis kak, tak berenti2 airmata nieh.... Selamat Hari Ibu buat semua.. Al-Fatihah buat Hajah Mariam ibu saya...

Anonymous said...

TERBAIK KAK!!

sofi said...

@Kak Mah

kak mah, bukan niatku... dan alfatihah utk allahyarhamah...

sofi said...

thanx anon

GaDiS KaMpUnG sEpArA BaNdAr said...

menangis saya baca kak..

sekali lagi cerpen akak sentiasa memberi kesan kepada saya

=)

sofi said...

GaDiS KaMpUnG sEpArA BaNdAr, hanya sebuah coretan...

mizz acu said...

sedihhhhhhhhhhhh :(

MiMi said...

=))). sgt sedih cerpen ni...

sofi said...

ya la, sedih hmm

sofi said...

begitulah..

Post a Comment

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.

Ping Busuk