Langkau ke kandungan utama

Kau Ratu, Aku Raja 5

5

“Hello, boleh saya cakap sama anaknya puan Azrin?”

Suara lembut seorang wanita menujah pendengarannya. Dia ingin memberitahu bahawa Adira sedang mandi tetapi suara asing itu terlebih dahulu mencelah,

“Mungkin kamu tidak kenal sama saya, tapi saya kenal ibu kamu. Ya, sudah kurang lebih satu minggu saya tunggu dia datang ke rumah tapi tidak juga dia muncul ya. Kenapa, sih? Ubat yang itu disuruh saya buat, udah sedia deh... nanti, kapan mau dikasi makan sama itu...suami? Apa ibu kamu fikir ubat saya itu tidak mujarab makanya dia enggak mahu ambil lagi? Uisy, Katakan sama ibu kamu, ubat saya itu amat berkesan sekali. Bila 
lelaki itu makannya, pasti dia akan tunduk dan ikut cakap kamu macam lembu dicucuk hidung gitu. Hello! Hello!!”

“Ubat itu ibu Azrin yang minta mbah yang buat, ya?”

“Iya, dong. Katanya mau kasi tunduk sama menantu yang sombong itu. Dia janji mau ambil itu hari Ahad dulu tapi sampai sekarang dia tidak ke mari.” Begitu beria-ia perempuan warga asing itu meyakinkannya.

“Mbah pernah jumpa anak perempuannya?”

“Oh, Adira? Tidak pernah. Tapi ini nombor telefonnya, ya? Mana dia? Kenapa kamu yang bicara? Siapa kamu?”

Ariq menarik nafas dalam-dalam. Sepasang mata kini tajam merenung wajah isteri yang baru keluar daripada bilik air.

“Mbah, isteri saya ada ni. Mbah cakap sama dia, ya.”

Adira terpana melihat wajah suami yang masam mencuka ketika memberikan telefon itu kepadanya. Sebaik dia berkata hello, suara yang tidak dikenali di hujung talian menyapa ramah. Namun, Adira tidak mampu walau untuk berdiri tegakpun sekarang. Telefon itu sendiri sudah tercampak jauh dari genggaman.

Ketika mengangkat wajah, dia bertentangan mata dengan Ariq yang kini sedang memandang wajahnya dengan sepasang mata yang mencerlung.

“Jadi, diorang ke Rawang nak jumpa bomoh tu? Nak ambil ubat untuk diberi abang makan? Supaya abang jadi bodoh. Ikut telunjuk diorang? Dan, Dira tahu tentang semua ni. Dira tahu, kan? Cakap! Jangan diam! Dira tahu, kan?”

Adira mengangguk lemah. “Ya, Dira tahu tapi....”

“Masya-Allah, Dira subahat dengan mereka? Sampai hati Dira? Dira lupa pada janji Allah? Perbuatan mak dengan ayah tu syirik! Syirik! Menyekutukan Allah. Dosa besar yang tidak diampunkan kecuali bertaubat nasuha. Kenapa, Dira? Kenapa Dira sanggup buat macam tu?”

Lantang dan nyaring suara Ariq memarahi Adira. Dia kesal! Amat kesal dengan apa yang terjadi.    

“Abang, Dira tak...”

“Jangan sentuh aku! Kau dengan mak kau sama saja! Hati kotor! Aku ingat kau ikhlas dengan aku, Dira, tapi...”

Adira menangis mendengar kata-kata suaminya. Tuduhan dilemparkan amat perit sekali untuk ditelan. Bagaimana harus dia memberitahu bahawa dia...

“Aku sayang kau, Dira. Sayang, cinta, kasih dan aku tahu kau tahu perasaan aku pada kau. Tapi, kau tetap wanita yang kejam. Sampai sanggup hendak membodohkan suami sendiri.”

Adira menggelengkan kepala. “Jangan tuduh Dira macam tu, bang. Dira,”

“Tuduhan ke tu? Habis, perempuan yang telefon kau tadi tu siapa? Kalau kau tak terlibat, macam mana dia boleh tahu nombor telefon kau ni?”

Ariq berjalan mundar mandir, penuh rasa sakit hati dalam diri. Arghh, kalau Adira seorang lelaki, sudah lama ditumbuknya. Tetiba, dia jadi benci. Tetiba dia rasa meluat. Wajah itu sudah tidak mahu dilihat lagi!

“Abang, Dira sumpah, Dira tak...”

“Sudahlah!!! Aku tak mahu dengar lagi.”

“Tapi...”

“Aku nak kau keluar dari rumah aku ni nanti. Bila aku balik, pastikan kau dah tak ada, faham?”

Ariq bergegas keluar bersama dada yang sebak. Meninggalkan Adira dalam tangisan sayu seorang wanita yang berjauh hati bila dirinya sudah tidak diingini oleh suami. Dia sudah dihalau pergi. Ariq kini sudah bukan miliknya lagi.
.........................

Sudah lima bulan kini masa berlalu. Adira sudah rasmi bergelar janda. Ariq sudah menceraikannya dengan talaq 1. Dia tidak lagi tinggal dalam rumah mewah lelaki itu. walaupun Ariq melepaskan dirinya dan menamakan dia pemilik baru rumah itu, hatinya mengakui bahawa dia tidak layak untuk berada di situ. Malah, nafkah yang Ariq berikan setiap bulanpun, tidak diusik. Dia telah memulangkan semuanya kepada lelaki itu. Kunci rumah dan duit sudah dikembalikan dengan pesan supaya Ariq tidak lagi memberinya duit, namun Ariq tetap berkeras kerana katanya itu tanggungjawabnya sebagai bekas suami Adira. Lalu Adira simpankan saja semuanya di dalam bank. Tidak diusik, tidak disentuh.

Dia sekarang lebih selesa dengan kehidupannya. Bekerja sebagai tukang cuci di sebuah syarikat. Walau pendapatannya kecil, dia reda. Itulah selayaknya hak dia kerana dia bukan seorang berkelulusan tinggi. Kini Adira menyewa di sebuah bilik, dalam sebuah rumah di Kg Baru. Bukan apa! Dia perlukannya untuk berulang alik ke hospital Kuala Lumpur. Ibunya masih mendapat rawatan di sana.

Puan Azrin sudah semakin sembuh. Sudah boleh membuka mata dan menggerakkan tubuh. Dia hanya masih belum boleh bercakap. Setiap hari, dia menunggu kedatangan Adira. Setiap hari dia ingin melihat raut wajah itu. Tapi, dia hairan, wajah anaknya tidak lagi seceria dahulu. Mungkin, anaknya itu masih meratapi kematian ayahnya, suami dia.

Kadang-kadang bekas ayah dan ibu mentua Adira datang menjenguk puan Azrin. Adira rasa serba salah dengan layanan baik mereka. Dia sedih kerana mereka masih mengambil berat keadaan dirinya walau hubungan sudah lama putus.

“Mak, ayah, Dira rasa, mak dengan ayah tak usahlah datang jenguk mak Dira ni lagi. Dira bukan apa....Dira takut abang Ariq marah. Abang Ariq bencikan kami. Kalau dia tahu...”

Puan Kalsom menyentuh lembut bahu Adira. “Hubungan kamu dengan Ariq memang dah putus tapi dalam hati mak, kamu masih menantu mak lagi. Mak sayang kamu Dira. Janganlah kamu halang mak datang jenguk kamu dengan mak kamu di hospital ni. Dahlah kamu tak bagi tahu di mana kamu tinggal, kamu tak ambil duit yang Ariq bagi. Mak susah hati tengok kamu. Mak kesiankan kamu, Dira.” Bisiknya lembut.

Air mata Adira menitis laju. Baik, memang baik wanita ini. Kenapa dulu, mata hatinya buta untuk menilai? Kenapa dulu, dia bencikan mereka?

Dengki! Hasad! Ya, itulah perkataan yang ada dalam hati busuknya dulu. Dia bimbang kasih Ariq bukan untuk dirinya seorang. Dia bimbang bila Ariq melebihkan Puan Kalsom dalam banyak hal. Dia bimbang dipinggirkan!

“Terima kasih, mak. Dira mintak ampun sebab menyusahkan mak dengan ayah. Dira banyak dosa dengan mak, ayah, abang Ariq...dengan semua orang. Memang patutpun abang bencikan Dira sekarang. Ini semua balasan Allah sebab Dira bukan isteri yang baik.kan, mak?”

Puan Kalsom memeluk tubuh kurus Adira. Jauh di sudut hati, dia dapat merasakan bahawa Adira sudah menginsafi semua perbuatan jahatnya dulu. Sebenarnya, bagi puan Kalsom, dia tidak pernah menyalahkan Adira. Adira anak tunggal, yang menyayangi ibu dan ayah sepenuh hati. Anak yang patuh pada kehendak ibu. Yang tidak sanggup mengecilkan hati ibunya walaupun demi seorang suami yang disayangi.

“Hujung minggu ni, mak buat kenduri doa selamat sikit. Dira datang, ya.”

“Err...”

“Datanglah! Sampai bila kamu nak mengelak Ariq?” ayah mentuanya memintas.

Adira terkedu. Akhirnya, dia hanya mampu berkata insya-Allah saja.
...............

Majlis kenduri sudah lama tamat. Tetamu yang terdiri daripada ahli qariah masjid Aulia sudahpun balik ke rumah masing-masing. Di dapur, suara Puan Kalsom dan anak menantu sedang mengemas riuh kedengaran.
Dia masih di situ. Bermenung lagi. Hari ini, dia mengharap wanita itu hadir seperti yang diberitahu oleh ibunya namun sampai ke sudah, Adira tidak menjengukkan muka. Mungkin wanita itu takutkannya. Mungkin wanita itu menyangka dia membenci. Mungkin juga wanita itu menyangka marahnya masih bersisa.

“Ada orang termenung jauh, ayah. Sedih kut sebab orang yang ditunggu tak datang-datang.” Usik Aryan. Hj Rashid di sebelah turut ketawa. Hanya Ariq yang diam tanpa riak.

“Buat apalah dikenang pada perempuan tu? Dia kan jahat? Dia nak sihirkan kamu. Jadi, kenapa mesti rindukan dia lagi? Dia tak layak untuk diingatkan pun!” Aryan terus memprovok.

Ariq mengerutkan wajah. Sedikit sakit hati mendengar abangnya mengutuk Adira. “Kami pernah tidur sebantal, bang. Kami pernah bahagia. Dia pernah menceriakan hidup saya. Saya pernah sayangkan dia. Pernah cintakan dia. Semua tu bukan mudah nak lupa.” Balasnya.

“Alah, boleh aje dilupakan kalau mahu! Kahwin aje dengan perempuan lain. Tu, ustazah yang mak pernah nak calonkan untuk kamu, masih solo lagi. Suruh mak meminang dia. Kali ni tentu rumah tangga kamu lebih baik sebab perempuan tu seorang ustazah. Tinggi ilmu agamanya.” Afidah mencelah. Dia runsing melihat keadaan adiknya yang bagaikan gila talak. Asyik terkenangkan Adira sahaja....

Puan Kalsom yang baru tiba bersama satu dulang berisi mug kopi dan biskut kering merenung wajah Afidah dengan riak tidak puas hati.

“Jangan kamu nak serabutkan kepala adik kamu, Afidah. Biarkan dia. Ariq, usah kamu risau. Mak tak akan meminang si Nurul tu untuk kamu. Mak tahu, hati kamu tu masih pada Dira. Cuma, kamu keras kepala. Degil! Tak nak mengaku isi hati dan perasaan kamu aje.”

Afidah dan Maria saling berbalas pandang. Mereka tak puas hati dah. Nampak sangat macam mak mengharapkan Dira dan Ariq kembali bersatu.

“Uisy, mak.... ada ke? Entah-entah mak ni dah dishirkan si Dira tu. Tulah mak, ayah. Suka sangat pergi jenguk mak si Dira tu di hospital. Entah-entah...”

Mereka terdiam bila Hj Rashid dan puan Kalsom ketawa serentak. Entah apa yang lucu, entah, fikir mereka.

“Dira tu dah jauh benar berubah perangainya berbanding dulu. Korang tak jumpa dia, jadi korang tak tahu. Kalau dia jahat, dah lama dah dia kebas apa yang Ariq bagi. Ni, tak! Korang tahu tak yang dia sekarang kerja ‘cleaner’? korang tahu tak yang dia menyewa bilik dekat Kg Baru? Duit nafkah yang Ariq masuk dalam akaun dia, dia bagi balik pada mak?”

Terjojol biji mata Afidah dan Maria. Maria tengok Aryan. Dia tak puas hati kerana Aryan tidak berkongsi cerita ini dengannya.

“Abang pun tak tahu. Ni, pertama kali abang dengar.” Bisik Aryan. Aryan bagai memahami isyarat mata isterinya.

“Abang pulak?” Afidah bertanya kepada Rizal, suaminya. Rizal seorang pegawai polis.

“Abang pun tak tahu.” Balas Rizal lembut.

Ariq sudah lama tahu tentang semua itu. Cuma, dia tidak faham mengapa Adira sanggup melepaskan semuanya. Dia tidak faham mengapa Adira perlu bersusah payah memulakan hidup dari bawah sedangkan wang yang dia beri cukup untuk menampung hidup wanita itu.

“Kadang-kadang, bila seseorang itu sudah kehilangan barulah dia tahu betapa pentingnya orang itu dalam hidup dia. Tapi, Riq, Riq hanya berpisah hidup. Masih berpeluang untuk bersama semula. Bayangkan kalau korang dipisahkan oleh kematian? Tentu menyesal kerana tidak dapat meluahkan perasaan sayang pada dia. Rugi, kan?” Puan Kalsom melontar soalan untuk difikirkan oleh Ariq.

“Mak, apa maksud mak ni? Mak nak Ariq ambil Dira jadi isteri dia balik?”

Puan Kalsom mengangguk. “Dira dah sedar kesalahan dia. Mak yakin, dia akan jadi isteri yang lebih baik kalau Ariq mahu mengambilnya semula.” Ujarnya disambut anggukan suami.


Ulasan

  1. entry kali ni buat sy menangis....mungkin sbb emosi sy harini mmg agak down sikit....
    ...tp letakkan siri kita dlm situasi dira-ariq tu, mmg sgt sedih...

    BalasPadam
  2. @Minsofea
    sungguh bagai dikata... kalau kita jd mereka...hmm

    BalasPadam

Catat Ulasan

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.

Catatan popular daripada blog ini

Cerpen: Dia Idaman Jiwa

1
“Hi, boleh aku duduk kat sini?”

Aliah mendongak. Demi terpandang sahaja wajah itu, air mukanya terus berubah. Riak tidak senang ditunjukkan kepada lelaki itu.

“Cepatlah jawab! Senang aje soalan aku tu. Boleh, jawablah boleh...”

“Kalau saya jawab tak boleh?”

Abid terus menarik kerusi yang bertentangan dengan gadis itu.

“Aku tetap duduk sini jugak.” Balasnya sambil tersengih-sengih.

“Macam tak ada tempat lain!”

“Banyak! Sana kosong. Tu, di belakang kau tu pun kosong. Tapi, aku saja aje nak duduk depan kau. Dah sebulan aku cari kau tapi tak jumpa-jumpa. Alhamdulillah, hari ini dapat juga. Kau apa khabar? Sihat?”

Aliah tidak menyahut. Sebaliknya, dia terus menyuap dan kali ini suapannya sengaja dilajukan, tidak lagi menikmati nasi campur yang dimakan. Ketika itu, dia hanya berkeinginan untuk cepat-cepat menyudahkan makan tengah harinya supaya dia dapat pergi dari situ dengan segera. Dia tidak mahu mengadap muka lelaki yang kini sedang berada di hadapannya walau sehebat, sekacak mana se…

Yang Terakhir: Versi Cerpen

1
“Kau dah habis fikir ke, Khairi? Perempuan macam Najiha tu kau nak bawak ke majlis Annual Dinner kita? Tak malu ke nanti bila orang gelakkan kau?” tanya Hafiz sambil mengerutkan dahi. Dia keliru dengan sikap Khairi Iqbal. Rasanya, selama mereka berkawan, belum pernah walau sekali pun, Khairi memuji gadis yang seorang itu. Gadis yang bernama Izzatul Najiha. Tup tup, hari ini, dia buat keputusan hendak menjadikan Najiha pasangannya semasa majlis kemuncak nanti. Hisy, pelik betul!
“Malu, memanglah aku malu! Tapi aku cuma nak gunakan dia saja. Nak buat Amalina cemburu.” Balas Khairi sambil menyisip air lemon perlahan. Sejuk rasa kerongkongnya bila air itu menerobos masuk ke dalam rongga.
Mata Hafiz buntang. Kepala tergeleng-geleng.
“Kenyataan kau tu lagi buat aku tak faham! Kalau kau nak buat Amalina cemburu, kau patut bawak perempuan lain. Bukan si Najiha yang macam hantu bungkus tu!”
Terlambak tawa Khairi Iqbal mendengar kata-kata sahabat baiknya itu. Hantu bungkus? Si Najiha tu?…

Inikah Cinta? : Versi Cerpen

1

"Ouch!"

Cepat-cepat Janet menghisap jari telunjuk yang terhiris tadi. Setelah kesakitan itu hilang, dia segera membasuh jari itu. Dia kemudian mengelap lalu membalut luka dengan plaster.

"Sakit? Itulah pasal. Mak Nah dah cakap, biar mak Nah aje yang buat tapi Janet degil sangat. Hendak jugak main-main pisau," sindir orang gajinya menyebabkan Janet ketawa besar.

"Inilah yang orang cakap, luka di tangan nampak berdarah. Luka di hati tak siapa tahu. Kan, mak Nah?"

Mak Nah melepaskan keluhan sebelum mencuri pandang ke arah wajah ayu di sisinya yang kini sedang tunduk dan berpaling ke arah lain. Hati mak Nah kini turut melagukan irama sedih yang pasti sedang berdendang dalam hati Janet. Biarpun sudah lama ia berlalu, pasti kenangan itu hadir kembali sebaik rangkap pepatah itu diungkap. Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula kisah cinta penuh keindahan. Ke mana hendak dicampakkan?

"Dah enam tahun... dia tentu dah lupakan saya. Tentu dah kahwin…