Langkau ke kandungan utama

Jangan pisahkan, kucinta dia..

1


5 Januari

Kali pertama menjejakkan kaki ke sekolah baru.

Aku sudah kebosanan. Melihat persekitaran sekolah yang jauh berbeza daripada keadaan di sekolah lama aku dulu, sedikit rasa kesal menggamit hati. Sikit saja, tak banyak!! Iyalah, sebelum ni aku adalah warga salah sebuah sekolah berasrama penuh yang berprestij di Malaysia ni. Sekolah tu dulu pernah melahirkan tokoh-tokoh dalam pelbagai bidang dalam negara. Tapi, itulah, disebabkan satu peristiwa hitam, maka aku pun ditendang keluar. Mak bapak aku usah ceritalah, hangin aje satu badan sekarang ni.

“Tinggal setahun saja lagi, Faridzul Asyraf Faridzuan. Setahun aje lagi! Itupun kamu tak boleh nak kawal diri? Tak boleh nak jadi budak baik?” suara emak aku, Puan Salmi mengaum bagaikan harimau kuat. Di satu sudut pula, bapak aku sedang pandang dengan wajah yang cukup garang, persis hendak menelan aku.

“Berapa kali Joe nak cakap, mak? Joe tak buat kesalahan yang terakhir tu. Joe cakap Joe tak buat, Joe tak buatlah!!” aku masih ingin membela diri.  

Itulah kenyataannya. Memang aku mengaku yang aku ni nakal. Aku pernah buli orang, aku hisap rokok, aku panjat pagar pergi tengok wayang. Bertumbuk, berkelahi tu? Biasalah! Tapi, sejak encik Haris datang dan jadi Ketua Guru Disiplin, langkah aku dirantai. Dia sentiasa cari kesalahan aku. Dia sentiasa saja merekodkan setiap kesalahan yang aku buat. Dah tak main pejam-pejam mata dah! Celik semedang mata dia! Nampak sahaja setiap dosa yang aku buat walaupun sebesar kuman! Tapi, tuduhan terakhir dia buat aku terus naik hantu! Tak fikir panjang, aku tumbuk muka dia! Yalah, siapa yang boleh bersabar bila dituduh buat perkara yang dia tak buat, kan?  

Bapak naik darah. Dia datang berdiri depan aku. “Perbuatan kamu yang terakhir tu memang tak boleh 
dimaafkan! Siapa suruh kamu pergi hendap asrama pelajar perempuan? Siapa suruh kamu jadi stalker? Siapa suruh kamu curi...”

Aku segera mencelah, “Yang ni Joe bantah, bapak!”

Bapak aku tak boleh terima cakap aku. “Bantah? Apa bantah-bantah? Kamu nak cakap apa? Nak bagitahu bapak yang kamu tak buat semua tu?” herdiknya.

“Memang tu Joe tak buat! Joe mengaku Joe ni nakal tapi kalau sampai dituduh mencuri adik kecil budak perempuan tu, itu tuduhan palsu. Bapak, Joe ni ada taste tahu! Setakat adik kecil dari pasar malam tu, buat apa Joe nak ambil? Kalau nak sangat tentu Joe akan cari jenama VS, bapak!”

“VS?”

Laa... mak aku pun tak tahu VS tu apa? Alah, biar dia cari sendirilah....

Jadi, aku di’halau’ keluar dari sekolah tu kerana tuduhan palsu seorang murid perempuan. Aku tak kenalpun dia tapi mungkin agaknya dialah yang merupakan ‘secret admirer’ aku, orang yang selalu hantar surat melayang-layang pada aku mencurah segala perasaan sayang, cinta, rindu..... tapi aku tak layan. Mungkin kerana itu dia marah dan menabur fitnah yang amat menjatuhkan air muka aku.

Bayangkanlah... aku ni dulu tokoh ko-kurikulum sekolah, ketua pasukan bola sepak sekolah, olahragawan sekolah yang memang terkenal, amat terkenal dalam kalangan pelajar perempuan. Kata orang tu, aku ni dambaan setiap wanita, tiba-tiba dikutuk atas perbuatan hina itu. Mana aku nak letak muka?

Yang lebih menyakitkan hati aku, Cikgu Haris sikitpun tak bagi peluang aku untuk membela diri. Kemuncaknya, kami bertikam lidah. Macam-macam dikutuknya aku.

“Kamu ingat, datuk kamu dulu bekas wakil rakyat, kamu boleh sewenang-wenang buat sesuka hati kamu di sekolah ni? Faridzul Asyraf, sekolah ini bukan sekolah datuk atau sekolah bapak kamu. Kerajaan dirikan sekolah ni untuk lahirkan murid yang cemerlang, cemerlang kehidupannya di dunia dan akhirat. Sekolah ni tak perlukan murid berakhlak rendah macam kamu ni!” suara cikgu Haris beralun kuat.

“Cikgu buat tuduhan palsu pada saya. Saya tak buat semua tu.”

“Sudahlah! Orang gila tak akan mengaku dia gila. Orang jahat tak akan cakap dia jahat. Orang yang dah buat benda tak elok macam kamu tentu tak akan mengaku jugak. Tapi, saya dah jumpa bukti. Jadi....”

“Bukti tu semua orang boleh letak kat dalam loker saya, cikgu!” aku masih keras menafikan.

Cikgu Haris berdiri depan aku. “Awak nak cakap yang saya orangnya yang dah letakkan benda tu dalam surat cinta tu?”

Aku beranikan diri menatap sepasang matanya. “Mungkin! Cikgu kan tak suka saya? Semua kesalahan saya cikgu dah catat. Jadi, kalau benda begini boleh buang saya dari sekolah ni, saya yakin, cikgu sanggup buatnya!” balasku tegas. Dia kulihat menggenggam penumbuk dan tak lama lepas tu, dia tumbuk muka aku yang handsome ni. Aku apa lagi, geram punya fasal, aku pun balaslah. Cikgu-cikgu lain yang ada dalam bilik Pengetua, yang tadi diam tak bersuara, iaitu cikgu kelas aku, cikgu kaunseling dan Tuan Pengetua sendiri terus cuba meleraikan. Lepas tu.... memang ‘bon voyage’lah jawabnya.

Tapi sebelum aku pergi sempat jugak aku cakap begini kepada cikgu Haris...

“Cikgu nak tahu tak kenapa saya tak buat semua benda tu?”

Cikgu Haris tengok muka aku macam nak telan. Ah, aku dah tak kisah dah. Rasa malu aku buang jauh.  

“Sebab, saya sukakan anak cikgu, si Farah Harissa tu.”

“Ada hati kamu? Faridzul Asyraf, mati hidup balik pun kamu tidak akan jadi menantu saya. Kamu faham 
tak? Tak ingin saya nak bermenantukan kacang hantu macam kamu ni. Jangan kamu mimpi!”
..............................

2

“Nama awak Farah Harissa binti Haris?”

Sambil bertanya, aku cubit sikit pipiku. Sebab apa? Sebab aku rasa macam sedang mimpi. Nama tu... Hisy!! Tak kan kut?

Gadis itu merenung tajam ke wajahku. Agaknya dia geram kerana semua itu dah tercatat dalam resume. No kad pengenalan, tarikh lahir, semua ada dalam salinan-salinan sijil-sijil yang disertakan. Dia tentu pelik tengok perangai aku sekarang.

“Kenapa, encik? Ada yang tak kena dengan nama saya, ke? Tapi, kan.... tu nama yang mak, pak saya bagi. Selama ni, semua orang cakap nama saya sedap disebut. Tak tahulah kut-kut encik tak suka pulak.”

Aku menyandarkan tubuhku ke kerusi empuk. Sepasang mata ini memang tidak aku lepaskan daripada memandang seraut wajah ayunya. Oh ya, dia memang sangat ayu. Jelita, menawan namun serba sederhana dari segi penampilannya yang hanya memakai baju kurung berwarna hijau kosong dengan tudung warna sedondon yang agak labuh. Tidak langsung melilit-lilit seperti mana kebanyakan gadis-gadis sekarang kelihatan.  

Aku baca lagi CV di hadapanku. Memang nama dia itu. Orang Langkawi, tinggal di pekan Kuah. Anak sulung daripada dua beradik. Ayahnya cikgu. Hmm, nama ayahnya Haris bin Nasir. Temgok pada apa yang tercatat dalam surat beranaknya, aku congak-congak umur si bapak tu 15 tahun dulu, 40 tahun. Aku, 17 tahun dan anak dia ni 10 tahun. Sah! Memang anak cikgu Haris ni. Nama emaknya pulak, Zaleha. Memang tepat! Confirm! Gadis ni memang anak si Haris tu! Grr....

Aku tatap wajahnya dalam-dalam. Tak banyak berbeza daripada dulu. Hidung mancung maklum mak dia si Zaleha tu anak mami, orang Penang. Kalau dia ni ikut wajah bapaknya, uisy.... tentu bengis! Ni, manis aje aku tengok! Tapi, dari dia kecil dulupun, dia ni memang comel... sangat!

“Encik??”

Sayup-sayup aku dengar suaranya memanggilku. Aduh! Aku dah mengelamun pula. Aku berdehem sebelum menemuduganya semula.

“Baru habis belajarlah ni? Well, kenapa awak nak kerja di sini?” aku tanya dia. Mahu tak hairan. Aku mana ada pasang iklan beritahu ada kerja kosong di pejabat audit aku ni. Pejabat ni pun baru nak hidup, aku baru hendak belajar berdikari setelah lima tahun bekerja di syarikat bapak. Kakitangan pun cuma ada lima orang termasuk aku. Kerja bukan banyak mana, maklum bukan senang nak dapat job sekarang ni. Aku terpaksa terhegeh-hegeh ke sana ke mari menagih syarikat-syarikat supaya mendapatkan khidmatku. Sesekali terpaksa juga guna nama besar bapak bila aku diperlekeh. Tapi, aku puas. Taklah jadi anak manja yang bergantung pada harta benda ibu bapa! Aku kena buktikan juga kepada mereka yang aku juga boleh berjaya tanpa bantuan duit daripada mereka. Aku juga boleh berjaya walaupun di mata mereka, aku ni anak paling tidak berguna kalau hendak dibanding-bandingkan dengan abang dan kakakku. Mereka perlu ditunjukkan bahawa anak yang sering memberi masalah dalam hidup mereka ini juga seorang yang hebat! Bukan kacang hantu! Bukan!

Ah, berbalik kepada soalanku tadi, si Farah ni kata, dia ditawarkan kerja ni oleh Siti.

“Kak Siti tu jiran sebelah rumah saya. Dia yang suruh saya datang sini. Katanya, saya boleh gantikan dia selama dia cuti bersalin tiga bulan nanti.”

Aku nak kata apa lagi? Kesianlah pulak kalau aku cakap tak boleh. Si dia ni nampak berharap sangat. Hmm, aku cakap boleh ajelah... tapi ada maksud tersirat.... hehe...

“Awak jadi PA sayalah! Bantu saya di ofis dan ikut saya kalau ada temujanji.” Tegasku.

“Tapi, kata kak Siti dia jurutaip aje.”

“Itupun skop kerja awak juga.”

“Tapi...”

“Eh, berapa banyak tapi ni? Awak nak kerja sini ke tidak?” Sengaja ku tajamkan pandangan mataku, biar dia 
gelabah. Tahu takut?   

Mungkin tak tahan melawan panahan renunganku, dia tunduk. Malu? Hmm, malu, ya? Boleh tak kalau aku 
nak jadikan malu menjadi mahu? Mahu ke dia jadi??

Aku yakin..... dia mahu!
................................

3

Masa memang cepat sangat bergeraknya. Sedar tak sedar sudah sebulan lebih aku ada pembantu baru itu. Senang kerja dengan dia. Suruh buat apa pun, dia akan ikut saja. Hah, jangan salah sangka, okey! Aku tak pernah suruh dia buat yang bukan-bukan. Bagilah kredit pada diriku ini. Takkanlah selamanya aku nak jadi budak nakal, kan? Lagipun, sekarang ni, menurut kata mak aku, aku dah boleh jadi bapak orang. Dalam kata lain, aku dah boleh kahwin cuma masalahnya, aku belum berjodoh! Liat sangat jodoh aku ni. Jangan nanti mak bapak suruh aku mandi bunga, sudah!

Sesekali aku tengok si Farah Harissa ni macam nak menggoda aku pun, ada jugak. Perasan ke? Mestilah! Kalau dah selalu curi-curi pandang, apa kes? Bila aku tengok ke lain, dia intai wajah aku. Bila aku toleh ke dia, dia tunduk malu. Kadang-kadang, dia senyum meleret bila aku usik dia. Kadang-kadang dia merajuk bila aku marah. Eh, tu bukan tanda perempuan angau ke?

Kalau aku mahu, aku boleh aje menggoda dia. Tapi, masalahnya, dia ni anak cikgu Haris! Dia, anak musuh aku! Musuh tu! Sampai bila-bila, aku tak boleh lupa perbuatan cikgu tu menghina aku! Jadi, kira-kiranya, anak dia jugak patut jadi musuh akulah, kan?

Eleh, musuh konon! Kalau musuh, kenapa aku terima dia bekerja di sini dulu? Poyo!

Tapi, kan...semalam aku dah fikir panjang-panjang dah. Dah habis fikir dah ni! Aku dah nekad buat satu keputusan. Ya, aku akan mengurat si Farah Harissa ni. Aku akan goda dia. Akan buat dia jatuh cinta padaku. Sebaik dia mengaku dia cinta, sayang, kasih segala, aku akan cakap pada dia begini...

“Farah, abang tak cinta kau. Tak boleh nak cinta pun. Sebab kau tu anak cikgu Haris.”

Rasa-rasa, dia menangis tak? Hmm, mestilah! Terkoyak hati dia! Luka berdarah yang tak mungkin akan sembuh. Lepas tu, dia akan mengadu pada bapak dia, musuh aku tu. Maka si bapak akan marah aku.

“Dulu, kamu kata yang kamu suka dia? Kenapa sekarang kamu mainkan perasaan dia?”

Tapi aku dah siap sedia untuk menembak dia balik.

“Sebab nama bapak dia ialah Haris bin Nasir. Kalau Farah Harissa tu anak lelaki lain, tak apalah juga. Ni, 
Haris ni, cikgu yang aku paling benci dalam dunia. Mana boleh layan cintun dengan anak dia! Cikgu Haris, kau belalah anak kau yang dah frust menonggeng ni. Semoga nanti ada yang sudi ambil dia jadi bini....”

“Apa maksud kamu, Faridzul Asyraf?”

Hisy, dia ni tak pernah nak panggil aku dengan nama mudah. Joe tak pernah keluar dari bibir dia. Dia mesti nak laung..Faridzul Asyraf jugak-jugak! Hmm....

Dendam tentu akan jadi tersangatlah manis, bila aku dapat membalasnya, kan? Tentu seronok kalau aku dapat sakitkan hati lelaki tu! Tentu seronok kalau aku dapat mengecewakan dia seumur hidup. Padan muka dia!

Nasib kaulah, Farah Harissa! Kenapa kau datang dalam hidup aku? Kenapa kau mendekati aku! Kau tak tahu ke yang aku ni musuh bapak kau?

............................

4

“Farah sayang abang tak?”

“Sayang....”

Comelnya dia bila dia buat pengakuan tu. Tapi, tak boleh! Tak boleh biarkan hati aku tergoda.

Aku dekati dirinya. Tapi, dia ni pelik. Bila aku dekat, dia enjak diri dia menjauh. Kadang aku rasa nak pegang aje dia, nak halang dia daripada lari.  

“Sayang? Kalau sayang, Farah kenalah buktikan.” Bisikku lembut. Kalau hati dia tak cair lagi, entahlah...

Farah Harissa ketawa lalu bangun menjauhi aku. Hisy dia ni, susah betul nak masuk ke dalam perangkap cinta ini.

“Saya sayang abang. Memang betul tu. Tapi abang bukan yang terutama dalam hati saya.”

Mak... nak bersandiwara pulak ke dia ni?

“Kata ayah saya.....”

“Abang tak nak dengar.”

Aku lihat matanya yang redup seakan kecewa. Tapi dia diam aje... tak pula dia tanya kenapa. Dan, tidak juga kelihatan hendak meneruskan kata. Ah, bisu sekejap di antara kami. Tapi, aku perlu terus menggodanya. Aku kena ingat yang dia anak si Haris.

“Farah, boleh abang...”

“Tak boleh!”

Aku ketawa. Aku belum habis cakap, dia dah potong line. Haihh..

“Farah ni! Otak tu dah kuning ek?”

Farah Harissa mengerut dahi. Aku ketawa semakin kuat.

“Abang nak cakap sama ada abang boleh tahu kenapa abang bukan yang terpenting dalam hidup Farah kalau benarlah Farah menyayangi abang.”

Farah Harissa tergelak kecil. Mungkin dia malu kerana tadi entah apa yang berlegar dalam kepala otaknya tu.  Dia kemudian menyahut, “Sebab, abang bukan suami Farah. Kalau kita ada jodoh, insyaallah, Farah tarik balik ayat tu!”

“Tapi, abang tak nak kahwin dengan Farah.”

Aku terpaksa memberitahunya. Hati aku ni tak ada sekelumit rasapun untuk dia. Sejak kenal dirinya, aku kunci rapat pintu hati ini. Aku tak benarkan lirikan mata, kelunakan suara, kelembutan tingkahnya, menyusup masuk sehingga mengganggu tidur aku. Sehingga mandi pun jadi tak basah. Tidak! Aku tak sanggup mencintai anak cikgu Haris!

Farah Harissa kulihat sedikit muram. Namun, dia tidak pula menangis. Dia hanya diam, mungkin sedang cuba  memujuk hati bila cintanya tidakku balas.

“Saya tahu!”

“Apa yang Farah tahu?”

Aduhai, sungguh mengelirukan sikap gadis ini.

“Farah tahu, abang tak mungkin terima Farah. Itu yang Farah dah cakap pada ayah. Tapi, ayah suruh Farah cuba jugak. Kata ayah, belum cuba, belum tahu.”

Aku bingung. Mataku bulat merenungnya. Tertanya-tanya dalam hati kecilku ini apakah maksudnya. Apakah dia ke mari atas arahan bapanya?

“Farah tak harap abang cintakan diri Farah ni. Cukuplah sekadar dapat mengenali diri abang yang selalu ayah sebut-sebut dan ingat. Cukuplah sekadar 3 bulan ini Farah dapat mendekati abang yang baru, yang tidak nakal macam dulu. Yang selalu kacau Farah, tarik tocang Farah... Farah senang tengok abang yang dah berjaya dalam hidup. Bolehlah nanti bila balik ke kampung Farah beritahu mereka tentang abang. Tentu mak akan tarik nafas lega lepas dengar cerita Farah tentang abang nanti.”

Aku renung wajahnya. Dari cakap-cakapnya, aku dapat rasa yang dia hendak berhenti. Dia hendak meninggalkan aku. Tak mahu lagi bekerja di syarikatku ini.

“Farah nak ke mana?”

Dia ketawa. “Dah 3 bulan Farah di sini, bang. Lusa, kak Siti masuk kerja semula, kan? Jadi, tentulah Farah kena berhenti, kan?”

“Tapi...”

Farah ketawa lagi. Ni yang buat aku fed up ni!

“Kenapa gelak, Farah? Suka sangat nak tinggalkan abang?” aku bertanya. Suara dah tentu melengking kuat. Geramlah, katakan.

“Abang ni kan, cuba belajr-belajar kawal marah tu! Nasib baik, Farah. Kalau perempuan yang abang cinta ditengking-tengking, merajuk dia, tau!”

Aku jeling dia... geram! Pandai sangat mengenakan aku. Tiap apa yang dia ucap, mesti ada yang buat hati aku ni terluka sikit. Sikit ajelah, tak banyak!

“Farah seronok bekerja di sini. Tapi, Farah tak seronok duduk di KL ni. Farah lebih suka kerja di tempat Farah. Lagipun, Farah dah dapat kerja kat sana. Apapun, pengalaman kerja dengan abang memang best. Terima kasih sebab abang dah jadi guru Farah yang terbaik. Cuma Farah harap lepas ni, abang jaga diri, ya. Dan, jaga hati tu jugak!”

Aku tatap wajahnya dalam-dalam. Apakah mesej yang dia ingin sampaikan? Aku tak perlu menunggu lama. Suaranya lembut mengalun bait-bait kata menusuk tangkai hatiku.

“Dendam ni, bang...., memang manis kalau dapat dibalas. Tapi, Nabi pernah cakap, memaafkan setiap kesalahan....itu jauh lebih baik lagi! Belajarlah memafkan diri sendiri dulu, sebab setiap kali kita buat salah, kita akan kutuk diri kita padahal kadang-kadang, kita tak sengaja melakukan kesalahan tu pun! Hanya lepas tu baru kita jadi seorang yang reda. Reda dengan takdir yang datang menguji kita. Dan, bila kita reda, baru kita mampu memaafkan kesalahan yang dibuat orang lain pada diri kita. Percayalah, lepas kita memafkan, hati kita akan tenang. Kebencian akan hilang.”

Aku hilang kata hanya merenunginya, itu yang termampu aku buat. Dia cuba menyampaikan sesuatu padaku!

“Ayah Farah mungkin salah menilai abang. Tapi, berbaloikah abang pendam rasa marah pada dia selama bertahun-tahun? Dah 15 tahun, bang. Tak cukup lamakah abang semai benih benci tu? Sampai bila baru abang sudi memaafkan kesalahannya? Jangan lupa, ayah Farah hanya seorang manusia. Dia jugak buat silap. Dan, dia memang silap! Seluar dalam dan surat cinta tu diletak dalam loker abang oleh budak yang diupah oleh budak perempuan yang minat giler pada abang masa di sekolah dulu. Ayah hanya tahu seminggu lepas abang dibuang sekolah sebab bukti tu hilang. Mulanya, ayah ingat abang curi bukti tu dari simpanan dia tapi Allah nak tunjuk, budak lelaki tu yang curi dan simpan. Dia dendamkan abang. Cemburu sebab abang anak orang kaya yang boleh dapat segala-gala dengan mudah..”

Aku terpaku. Rasa macam tak percaya mendengar cerita gadis ini.

“Ayah cari keluarga abang. Dia jumpa emak dan ayah abang, dia ceritakan hal yang sebenar. Dia merayu untuk jumpa abang dan mohon abang dimasukkan semula ke sekolah tapi mereka menolak. Mereka cakap, yang lepas tu sudahlah. Biar abang bina semula hidup dengan sempurna. Biar abang belajar bahawa hidup ni tak mudah.”

“Tapi, abang tak tahupun...”

“Mungkin, sikap abang yang menjadi lebih baik menyebabkan ia tetap jadi rahsia. Mungkin emak bapak abang rasa, dengan merahsiakan hal sebenar, abang akan jadi manusia yang lebih bertanggungjawab. Dan yang penting, boleh berjaya dalam hidup. Kan, abang dah buktikannya?”

Kulepaskan keluhan berat. 15 tahun, aku berdepan dengan rasa marah yang bukan sedikit. 15 tahun aku bawa perasaan ini ke merata-rata. 15 tahun lamanya, dendam aku kepada dia, Haris tidak pernah luntur. Sepanjang masa itu aku rasa bagaikan ingin mencarinya, menumbuk, dan mencederakannya. Semua kesalahan kutuntaskan kepadanya. Mungkin kecil di mata orang lain namun bagi aku... ia cukup memalukan!
Kini, Farah dah balik ke sana. Ke pulau indah penuh lagenda. Aku? Tentulah masih di sini. Menghitung hari-hari sepi...
................................        

5

Farah Harissa duduk di pinggir pusara ayahanda tercinta. Dia baru sudah membacakan surah Yaasin untuk dihadiahkan kepada allahyarham, yang sudah kembali ke rahmatullah kira-kira enam bulan lalu. Air mata yang turun dibiarkan menitis laju di pipi. Biarlah... biarlah dia menangis kerana saat ini, dia benar-benar merindui lelaki itu. Lelaki yang ditakuti, digeruni anak muridnya namun lelaki itulah satu-satu lelaki yang dekat di hatinya. Kerana Haris bin Nasir ialah ayahnya.

“Kenapa Farah tak beritahu abang yang cikgu dah enam bulan meninggal dunia?”

Farah Harissa berpaling bila mendengar soalan itu. Terpempan bila melihat sepasang mata bergenangan. Sedihkah Faridzul Asyraf atau sukakah?

Air mata diseka. Wajah tampan itu ditatap, cuba mencari riak yang sering dilihat sewaktu dulu. Riak benci setiap kali nama ayahnya disebut ketika dia masih bekerja dengan lelaki ini.

“Tak sangka abang sudi jejak kaki ke Langkawi semula. Bukankah abang dah bersumpah yang abang tak akan sama sekali balik ke pulau ni?”

Faridzul Asyraf tersenyum mendengar kata-kata gadis di hadapannya ini. Dalam lembut, diri terasa disindir.

“Soalan abang belum Farah jawab.”

Farah Harissa mengalihkan tubuhnya sedikit demi membenarkan Faridzul mengambil tempat di hujung pusara. Dia terus mendiamkan diri, mendengar dan memerhati lelaki itu membaca Yasin dan berdoa. Hati semakin dihambat pilu. Air mata yang ditahan kini mengalir semula.

“Banyak dosa abang pada arwah. Entah mampu entah tidak abang menebusnya.” Desah penuh sendu kedengaran.

“Abang dah maafkan ayah? Maafkan apa yang dibuatnya pada abang dulu?”

Lelaki itu laju mengangguk. Dia tersenyum dan berkata, “Abang masih ingat apa budah  perempuan ni kata pada abang dulu..... ‘Dendam ni, bang...., memang manis kalau dapat dibalas. Tapi, Nabi pernah cakap, memaafkan setiap kesalahan....itu jauh lebih baik lagi!’”

Faridzul Asyraf  kini menatap wajah ayu di hadapannya. “Farah Harissa, terima kasih kerana memberi nasihat tu! And you know... you are right. Sekarang ni, hati abang tenang aje. Tak keluh kesah memikirkan kisah lampau. Tak ada kemarahan bila teringat nama Haris bin Nasir. Semua dah hilang dah.”

“Syukur alhamdulillah. Kalau ayah masih hidup tentu dia seronok dengar pengakuan abang tu.”

“He was a good man to have a good daughter like you.”

“Jomlah balik. Abang dah jumpa mama?”

“Mak cik yang beritahu anak dara dia ada kat sini.”

Mereka berjalan seiringan menuju ke rumah pusaka yang diduduki Farah, adiknya Sarah dan ibunya, di Kampung Bakau. Tak sampai 5 minit pun menapak, dah sampai. Farah kaget melihat betapa ada orang lain lagi di rumahnya.

“Abang bawak rombongan ya datang rumah Farah? Mentang-mentang cuti sekolah sekarang ni, abang pun ikut rombongan juga ya. Dah pergi sampai mana dah? Dah panjat Telaga Tujuh?”

Faridzul ketawa mengekeh menyebabkan Farah kehairanan. “Abang yang jadi ketua rombongan, tau! Kat atas rumah awak tu ada mak, bapak abang, mak long pak long abang dan adik beradik abang. Diorang tak sabar nak tengok...”

“Oi, Farah! Hang mai sini lekaih! Tetamu kita ni dah nak tercekik tunggu hang buat ayaq!”

Merah padam muka Farah Harissa bila jiran sebelah rumah, Mak cik Enab terpekik terlolong panggil dia dari tingkap dapur. Panggilan yang menyebabkan semua tetamu di atas rumah menoleh dan merenung dirinya. Ada yang bisik-bisik, ada yang sengih-sengih.

Tiba-tiba seorang wanita berlari turun. Mujur slim, kalau tidak dah jadi itik serati mendekati dirinya.

“Farah Harissa! Patutlah orang tu tak boleh lena siang malam teringat... Lawanya bakal menantu mak ni!”

Farah Harissa tergamam. Mata melekat pada wajah Faridzul Azyraf. Ada riak kurang percaya tapi bila wanita itu memeluknya dia jadi kelu. Tidak tahu apa yang harus dibuatnya.

“Joe dah bagi cincin tu?”

“Cincin?” Farah tanya.

Faridzul hanya mampu ketawa sambil mengeluarkan sesuatu dari dalam kocek.

“Abang bawak ni tadi. Tapi bila fikirkan balik, takkan nak lamar Farah di tanah perkuburan pulak? Tak pernah dibuat orang, kan?”

Farah Harissa ketawa riang. Faridzul Asyraf tidak perlu meluahkan isi hati untuk memberitahunya bahawa lelaki itu mencintai dirinya kerana hari ini, dia sudah meyakini bahawa kalau tiada rasa cinta itu, pasti lelaki berhati keras ini tidak akan ke sini. Dia tahu, dia sudah berjaya memiliki kedua-duanya. Hati dan cinta lelaki itu.

Anak cina makan kuaci
Kulit bersepah di kiri kanan
Usah di hina, jangan dibenci
Hati diubah, jadi berkenan

Berkirim salam sewaktu senja
Menatap sayu mentari petang
Sedih terasa menghambat jiwa,
Si dia berlalu terus menghilang

Tanam serai di pinggir gambut
Pandan seikat dibuat pewangi
Kasih termetrai, cinta bersambut
Simpan di hati sampai ke mati.
................................

6

Aku merenungi dia yang kini sah menjadi isteriku. Wajah manis itu kini milikku. Aku bahagia menjadi suaminya. Benar katanya dulu. Bila rasa benci kubuang jauh, aku mampu memenuhkan ruang hati ini dengan rasa cinta. Cinta yang hanya milik dia. Untuk dia!
  
Kiranya perasaan yang kumiliki dulu memang cinta. Tapi, masa tu umurku baru 17 tahun. Manalah menyangka apa-apa, kan? Ditambah dengan segala yang berlaku, langsung, kututup semuanya sehinggalah Farah muncil semula dalam hidupku.

“Kenapa Farah sayangkan abang?”

“Manalah Farah tahu, bang?”

“Takkan tak tahu kenapa abang yang jadi pilihan?”

Isteriku ketawa. Dia menggelengkan kepalanya lagi. Haih, susah betul nak korek isi hati dia.

“Abang tahu kenapa abang pilih Farah?”

Aku termangu. Kalau saat ini Farah inginkan alasan-alasan itu, aku tak akan mampu memberitahu. Macam mana nak cakap apa yang aku rasa? Apa yang aku sedang alami. Sukarnya!

“Tu, dahi dah berkerut-kerut nak fikirkan sebab-sebab yang Farah mintak. Betul tak?”

Aku mengangguk laju.

“Sebanyak mana alasan yang kita beri, tanpa izinNYA, cinta tetap tidak akan lahir. Jadi, cukuplah sekadar kita tahu bahawa rasa indah ini, kurniaanNYA untuk kita miliki dan rasai. Sedetik atau selamanya, bersyukurlah, sebab bukan semua orang dapat bercinta dan berkahwin. Betul tak, bang?”

Ini yang buat aku kagum dengan Farah Harissa Haris. Bekas penuntut di Madrasah Irsyadiah di Pokok Sena yang juga seorang ustazah sebenarnya. Tutur bicaranya lembut dan selalu menenangkan jiwa ini.

Tuhan, jangan pisahkan kami. Aku cinta dia. Walau agak lewat tiba, rasa cinta ini ingin kubawa sepanjang usiaku ini, meniti hari-hari tua kami bersama-sama.

Cikgu Haris, terima kasih kerana mengerti hatiku. Terima kasih memberi amanah agar Farah di bawah jagaanku. Akan ku jaga amanahmu ini. kerana aku cinta dia. Sepenuh hatiku ini.

.........................
Khas untuk seorang guru juga seorang ayah.....
Ketegasanmu dalam mendidik
Memang menjadi cermin ketuanan
Lelaki.....

....................................
Pecah kaca, pecah cermin
Dah baca, tolong komen hehe...


Ulasan

  1. teringat zaman bercinta,waktu sekolah dulu..cuma jodoh tiada antara kami,cerpen cinta yang sgt best!kak sofi..

    BalasPadam
  2. suke nye..
    tamau wat part 2 ke kak

    BalasPadam
  3. @princess shinita
    cinta masa remaja, hurmm... kenangan terindah, kan?

    BalasPadam
  4. @MaY_LiN
    sambungan? hehe... insyaallah

    BalasPadam
  5. suka ayat dendam kalo dibalas memang manis tapi nabi pernah cakap memaafkan setiap kesalahan itu jauh lebih baik

    =)

    BalasPadam
  6. GaDiS KaMpUnG sEpArA BaNdAr, sesungguhnya sunah yg difahami memudahkan kita utk berserah kpdnya

    BalasPadam

Catat Ulasan

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.

Catatan popular daripada blog ini

Cerpen: Dia Idaman Jiwa

1
“Hi, boleh aku duduk kat sini?”

Aliah mendongak. Demi terpandang sahaja wajah itu, air mukanya terus berubah. Riak tidak senang ditunjukkan kepada lelaki itu.

“Cepatlah jawab! Senang aje soalan aku tu. Boleh, jawablah boleh...”

“Kalau saya jawab tak boleh?”

Abid terus menarik kerusi yang bertentangan dengan gadis itu.

“Aku tetap duduk sini jugak.” Balasnya sambil tersengih-sengih.

“Macam tak ada tempat lain!”

“Banyak! Sana kosong. Tu, di belakang kau tu pun kosong. Tapi, aku saja aje nak duduk depan kau. Dah sebulan aku cari kau tapi tak jumpa-jumpa. Alhamdulillah, hari ini dapat juga. Kau apa khabar? Sihat?”

Aliah tidak menyahut. Sebaliknya, dia terus menyuap dan kali ini suapannya sengaja dilajukan, tidak lagi menikmati nasi campur yang dimakan. Ketika itu, dia hanya berkeinginan untuk cepat-cepat menyudahkan makan tengah harinya supaya dia dapat pergi dari situ dengan segera. Dia tidak mahu mengadap muka lelaki yang kini sedang berada di hadapannya walau sehebat, sekacak mana se…

Yang Terakhir: Versi Cerpen

1
“Kau dah habis fikir ke, Khairi? Perempuan macam Najiha tu kau nak bawak ke majlis Annual Dinner kita? Tak malu ke nanti bila orang gelakkan kau?” tanya Hafiz sambil mengerutkan dahi. Dia keliru dengan sikap Khairi Iqbal. Rasanya, selama mereka berkawan, belum pernah walau sekali pun, Khairi memuji gadis yang seorang itu. Gadis yang bernama Izzatul Najiha. Tup tup, hari ini, dia buat keputusan hendak menjadikan Najiha pasangannya semasa majlis kemuncak nanti. Hisy, pelik betul!
“Malu, memanglah aku malu! Tapi aku cuma nak gunakan dia saja. Nak buat Amalina cemburu.” Balas Khairi sambil menyisip air lemon perlahan. Sejuk rasa kerongkongnya bila air itu menerobos masuk ke dalam rongga.
Mata Hafiz buntang. Kepala tergeleng-geleng.
“Kenyataan kau tu lagi buat aku tak faham! Kalau kau nak buat Amalina cemburu, kau patut bawak perempuan lain. Bukan si Najiha yang macam hantu bungkus tu!”
Terlambak tawa Khairi Iqbal mendengar kata-kata sahabat baiknya itu. Hantu bungkus? Si Najiha tu?…

Inikah Cinta? : Versi Cerpen

1

"Ouch!"

Cepat-cepat Janet menghisap jari telunjuk yang terhiris tadi. Setelah kesakitan itu hilang, dia segera membasuh jari itu. Dia kemudian mengelap lalu membalut luka dengan plaster.

"Sakit? Itulah pasal. Mak Nah dah cakap, biar mak Nah aje yang buat tapi Janet degil sangat. Hendak jugak main-main pisau," sindir orang gajinya menyebabkan Janet ketawa besar.

"Inilah yang orang cakap, luka di tangan nampak berdarah. Luka di hati tak siapa tahu. Kan, mak Nah?"

Mak Nah melepaskan keluhan sebelum mencuri pandang ke arah wajah ayu di sisinya yang kini sedang tunduk dan berpaling ke arah lain. Hati mak Nah kini turut melagukan irama sedih yang pasti sedang berdendang dalam hati Janet. Biarpun sudah lama ia berlalu, pasti kenangan itu hadir kembali sebaik rangkap pepatah itu diungkap. Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula kisah cinta penuh keindahan. Ke mana hendak dicampakkan?

"Dah enam tahun... dia tentu dah lupakan saya. Tentu dah kahwin…