Langkau ke kandungan utama

Masihkah cinta? 17


Noor Qistina melepaskan keluhan. Sebaik kelibat lelaki itu kelihatan, hatinya bungkam.

‘Kenapalah mamat ni tak reti-reti bahasa?’ Suara hati terlontar kuat.

“Dia ni dah gila talak!” sahut Kak Raihah, meluahkan rasa geram terhadap Safiy.

Dahi Qistina berkerut.

“Selepas tiga tahun?” soalnya kebingungan.

“Tak mustahil, Tina. Tambah pula bila dia sedar yang bini dia sekarang tak sebaik Tina. Tentulah menyesal sangat!”

Safiy sudah berdiri di hadapan bekas isterinya. Tatapan penuh rindu tertuntas dalam pandangan penuh asyik.

“Abang ada benda nak cakap dengan Tina. Tolonglah, Tina! Tolong jangan suruh abang pergi sebelum Tina dengar apa yang abang nak luahkan.”

“Berapa kali saya nak cakap yang saya tak mahu dengar penjelasan awak? Saya...”

Safiy memintas, “Abang mengaku salah, Tina. Abang mengaku semua kesilapan yang dah abang buat. Cuma, abang perlu jelaskan semuanya. Tina, kasihanilah abang, Tina. Berilah abang peluang. Abang tak mintak banyak, cuma sekali ini saja. Kalau lepas Tina dengar cerita abang, Tina masih nak tolak abang, buang abang jauh-jauh dari hati Tina, abang rela. Tapi, untuk sekali ini saja, tolonglah dengar, sayang. Tolonggglah!”

Qistina mendengus kasar. Hati menolak namun mengapa bibir tidak mampu mengungkap kata tidak? Kenapa kelu untuk menyuruh lelaki ini pergi jauh dan tidak lagi datang merayu-rayu? Kenapa ada rasa belas terhadap insan yang sedang menanti jawapannya ini?

“Sayang, pleasee...”

“Kenapa susah sangat awak nak faham bahawa di antara kita dah tak ada apa-apa? Awak yang memutuskan hubungan kita. Awak yang pergi tinggalkan saya! Awak yang tak mahukan saya. Kenapa sekarang, selepas tiga tahun, awak datang cari saya lagi? Tak kesian pada anak bini awak ke? Kalau bini awak tahu, mesti dia marah! Kalau dia marahkan awak, tak apalah jugak! Ini, tentu nanti dia akan mengamuk pada saya.” Luah Qistina penuh geram.

“Abang terpaksa kahwin dengan dia, Tina. Nama dia Zara. Zara Khalida binti Datuk Kamarudin. Abang terpaksa jadi pak sanggup bila ayahnya mengugut untuk mendedahkan satu rahsia. Rahsia papa dengan mama abang. Demi menyelamatkan maruah keluarga, abang yang jadi korban, Tina. Waktu itu, abang tak boleh menolak. Tak mampu menolak! Umpama ditelan mati emak, diluah mati bapak, begitulah!”

Safiy memulakan bicara, tidak peduli sama ada Qistina mahu mendengar atau percaya. Bagi dirinya, inilah masa yang sesuai untuk dia bercerita. Tidak sanggup lagi menahan hati. Tidak sanggup lagi memendam rasa. Dia sudah terlalu lama menderita. Dia ingin mencari bahagia. Dia ingin melupakan semua sengsara. Dan, bahagianya kini ada di hadapan mata.

“Mama memaksa abang supaya berkorban. Abang tak sanggup menolak bila mama menangis dan merayu abang. Tina pun tahu kan betapa rapatnya abang dengan mama? Abang betul-betul tak ada pilihan masa tu. Suntuk sangat untuk berfikir dengan waras. Sebab itu...”

“Sudahlah! Semua perkara tu dah pun jadi sejarah. Awak nak jadi anak yang baik? Awak nak jadi penyelamat maruah keluarga awak? Awak nak jadi hero? Tak ada kena mengena dengan saya langsung! Saya tak hairanlah kalau awak nak teruskan misi menyelamat awak tu!” sinis benar kata-kata yang terlafaz daripada bibir Qistina.

Buntang sepasang mata Safiy.

“Abang tak boleh! Hidup abang selama tiga tahun ni asyik diburu rasa bersalah pada Tina!” keluh Safiy.

Qistina jadi berang. “Jangan babitkan saya, boleh tak? Awak nak rasa segala apa perasaan pun, itu hak awak! Tapi, jangan kaitkan dengan saya lagi!!”

Safiy sedih mendengar herdikan Qistina itu. Sayu dan hiba bila Qistina menafikan rasa yang masih ada dalam dirinya untuk wanita ini.

“Masa tak boleh berpatah balik, Encik Safiy Zahidi. Pilihan dah dibuat.”

Safiy menggelengkan kepalanya. “Abang dah buat pilihan yang salah, Tina.”

“Tak baik menyesal! Semua ni takdir. Kalau saya dah boleh terima, kenapa awak pula yang harus terus diburu rasa bersalah?”

“Sebab abang sayang Tina. Sebab abang nak hidup dengan Tina semula. Sebab abang tak bahagia dengan Zara!”

Suara Safiy melengking kuat, menyebabkan keadaan menjadi sunyi sepi, menghantar pertanyaan di mata dan hati semua yang kini begitu setia memasang telinga.

Perlahan-lahan, Qistina menghembus nafas yang tadi rasa tersekat. Wajah Safiy ditatap penuh sendu.

“Saya faham dilema yang awak hadapi waktu tu. Memang susah hendak memilih antara ibu bapa dan isteri. Saya faham! Yang saya tak boleh terima ialah cara awak buang saya dari hidup awak. Awak nak selamatkan maruah keluarga awak tapi awak injak-injak maruah saya. Awak tuduh saya yang bukan-bukan. Awak tulis dalam aduan awak yang saya ni pemabuk, penzina, nusyuz.... Awak dah lupa semua tu?”

“Tina!”

Tangan wanita itu cuba digapai namun Qistina pantas mengelak. Kerutan di dahi Safiy tidak langsung dipedulikan. Safiy menelan liur.

“Pergilah balik kepada kehidupan yang awak dah pilih. Sebab, dalam kehidupan saya hari ini dan insya-ALLAH, untuk hari-hari akan datang, nama awak tak ada dalam diari. Saya tak akan beri awak peluang kedua, ketiga atau ke seratus sekalipun. Bukan sebab saya tak maafkan awak. Bukan sebab saya hendak balas dendam pada awak tapi sebab saya tak dapat melupakan semua perbuatan awak pada saya. Mungkin awak nak cakap yang antara kita banyak kenangan manis juga. Betul tu! Tapi, yang manis dah jadi racun bila awak jatuhkan talak pada saya. Maafkan saya, Encik Safiy. Dah terlambat untuk kita berpatah balik pada kenangan lama yang tak mungkin berulang lagi!”

“Tak mungkin!” jerit Safiy.

Kak Raihah yang sejak tadi menjadi pemerhati, terus bercekak pinggang. “Sekarang baru nak menyesal? Selepas apa yang dah kamu buat pada Tina? Tak mungkin apanya lagi? Encik Safiy, Tina dah ada kehidupan dia yang baharu. Jangan kacaulah! Dia dah berjaya menempuh hidup sendiri tanpa sokongan kamu. Tanpa bantuan kamu! Tanpa kamu! Usahlah datang balik dan ganggu hidup dia. Tak baik, tahu!”

Nasihat diberi tanpa dipinta sesiapa.

Safiy mendengus kasar. Sukar untuk dia percaya bahawa dirinya sudah tidak bererti kepada Qistina. Sukar untuk dia menerima hakikat bahawa Qistina tidak lagi mencintai dirinya. Sukar! Sukar sungguh!

“Abang nak kita rujuk semula, Tina. Demi anak kita. Budak lelaki tu anak kita, kan? Benih kasih sayang kita berdua?”

“Ya ALLAH! Jantan apakah dia ni agaknya? Tak reti bahasa betul! Terhegeh-hegeh menempel diri pada orang yang dah benci? Kamu ni dah tak tahu malu ke?” Herdik kak Raihah. Geram betul kelihatannya. Nampak sangat yang dia sakit hati melihat Safiy merayu-rayu.

Safiy tak peduli pada Kak Raihah ketika dia mendekati Qistina. Merasakan diri masih berhak, terus tubuh bekas isterinya itu dirangkul kemas. dalam hati dia nekad. Dia tak ingin melepaskan wanita ini lagi. Cukuplah sekali dia melakukan kesilapan itu. Kali ini, apa hendak jadi pun, jadilah! Yang pasti, dia mahukan persetujuan Qistina untuk hidup bersamanya semula.

Qistina meronta-ronta ingin melepaskan dirinya namun semakin kejap Safiy memeluknya. Safiy bagaikan kerasukan dan Qistina semakin lemas dengan perlakuannya.

“Kak Raihah, telefon polis, kak! Katakan pada dia orang ada orang gila di sini. Cepat, kak!” Qistina menjerit memberi arahan sambil cuba menolak muka yang cuba Safiy dekatkan ke wajahnya.

Safiy tidak peduli. Tindakannya semakin menggila. Rontaan Qistina hanya menyemarakkan rasa ingin memiliki wanita itu semula. Kenangan indah mereka sedang bergelantayang di ruang ingatan. Indahnya waktu itu! Dia ingin memilikinya semula.

Melihat Qistina yang bergelut mengelak cengkaman Safiy, beberapa orang pelanggan datang mendekat dan menarik tubuh lelaki itu dengan kasar. Ada yang sudah tidak sabar lalu menumbuk muka Safiy.

“Tina, tolong abang! Suruh dia orang ni ke tepi! Suruh dia orang berhenti memukul! Abang sakit, Tina! Kesiankan abang! Tina!”

“Lepaskan dia!”

Suara garau Luqman kedengaran keras memerintah. Memaksa anak muda yang bertiga itu berhenti memukul Safiy.

"Lelaki ni melampau, bang! Dah Puan Qistina tak mahukan dia, blahlah! Ini tak! Dia main kasar pulak! Cuba buat perkara sumbang pada puan! Dia ni patut dimasukkan dalam guni aje! Campak ke laut!” marah seorang daripada mereka.

Sepasang mata segera mencari Qistina. Hatinya luluh melihat wanita itu yang sedang menangis dalam pelukan Kak Raihah. Selama ini, dia kenali seorang Qistina yang cekal, tabah dan kuat namun hari ini hatinya pedih apabila sepasang mata bundar itu menatapnya bersama manik-manik halus yang menitis turun dengan laju.

“Kak Raihah, hantar Tina balik ke rumah. Biar dia berehat. Abang Musa, Norsya dengan Siti Haida mana kak?” Luqman bertanya.

“Siti dengan Norsya keracunan makanan agaknya. Dua-dua sakit perut. Dah pergi klinik depan tu, doktor suruh ke hospital pulak. Abang Musa temankan dia orang. Norsya tak boleh bawak kereta.”

Luqman mengangguk tanda faham. Pandangan kembali terarah kepada Safiy yang masih lagi kesakitan, terduduk di atas lantai.

“Nak telefon polis ke? Tadi, masa Tina suruh, kak tak buat sebab sibuk nak lepaskan Tina dari dia.”

Luqman pandang wajah Kak Raihah. Dia menggeleng.

“Kalau macam tu, Man saja yang hantar Tina balik. Lebih selamat! Karang kalau dia tu buat kerja gila, kalau Tina dengan akak, apa sangat akak boleh buat? Man hantar Tina balik, ya? Ya!”

Luqman mengangguk. Terus menghulurkan tangan kepada Qistina.

“Tak apa. saya boleh jalan sendiri,” ujar Qistina lembut.

“Tina...”

Masing-masing memerhati lelaki yang sedang menggagahi diri untuk berdiri.

“Kita belum selesai, Tina.” Safiy merenung wajah Luqman seketika sebelum menyambung, “Tina boleh ikut dia ni balik, tapi dia tak akan memiliki Tina. Sebab Tina hak abang! Tina milik abang. Ingat tu!”

“Man, cuba kamu tumbuk muka dia tu! Ajar sikit jantan kurang ajar yang tak tahu malu tu, Man!”

“Is that what you want me to do, Tina?” soal Luqman dengan renungan yang dalam ke wajah Qistina.

“Tak payah, Man. Just send me home, please.”

“Kejap!”

Luqman menghampiri Safiy. Hati berdebar bila membalas renungan tajam Safiy terhadap dirinya.

“Kau nak tunjuk maco, aik? Nak tunjuk sikap santun dan hormat padahal dalam hati kau tu rasa macam nak bunuh aku aje, kan?” bisik Safiy menyindir lelaki tegap di hadapannya.

Luqman menggeleng.

“Dulu, mungkin! Tapi sekarang, tidak!” balas Luqman perlahan. Hanya untuk pendengaran mereka berdua sahaja.

“Huh? Konon!” Safiy menjuihkan bibir. Geram!

“Semua orang buat kesilapan dalam hidup, Safiy. Kau, aku... semua! Tapi, ada cara yang lebih baik untuk memenangi hati Qistina semula. Kau tentu lebih tahu sebab kau pernah bercinta dengan dia. Kau tak perlu berkeras dengan Tina. Tak perlu berkasar dengan dia. Dia pernah cintakan kau dulu. Pujuklah dia baik-baik. Menangi semula hati dia dengan cara yang betul. Buat dia lupa pada kesilapan kau dulu. Insya-ALLAH, betul cara kau buat, isteri kesayangan kau akan kembali ke pangkuan kau semula. Percayalah!”

Safiy melongo. Direnungi wajah Luqman dalam-dalam. Perlahan-lahan kata-kata nasihat itu berbekas di dalam hati. Perlahan-lahan dia mengangguk. Dan, tersenyum!

Biarkan hati merintih pedih setelah melafazkan. Biarkan hati merasa hampa setelah meluahkan. Demi Qistina, Luqman merelakan. Dia sanggup melepaskan cintanya demi menebus sebuah kesilapan.





“Diam aje?”

Sudah hampir sepuluh minit mereka berada di dalam kereta. Sudah sepuluh minit Luqman memandu tanpa secalit senyuman terukir. Fikirannya bagai melayang jauh. Tingkahnya itu menyebabkan Qistina gundah. Sukar menebak apakah yang sedang difikirkan oleh lelaki itu.

Luqman mengerling wajah ayu di sisi dengan ekor mata. Menarik nafas yang panjang, dia mula mengatur bicara.

“Tina, apa yang awak rasa sekarang?”

Qistina ketawa kecil.

“Rasa? Pada siapa? Safiy?” soalnya sambil memandang Luqman. “Benci, sakit hati, marah...”

Luqman segera mencelah, “Benci lawannya rindu. Sakit hati lawannya sayang. Marah kerana dalam hati masih ada rasa cinta. Tina, cuba tanya hati awak. Masihkah cinta? Pada Safiy?”

Tangan Qistina sedikit terketar mendengar soalan-soalan itu.

Masihkah cinta? Pada Safiy?

Ah, Luqman sudah gila agaknya? Bertanyakan soalan yang tidak masuk akal itu?

“Kalau masih cinta? Kenapa? Awak nak berundur? Nak batalkan hasrat kita? Nak serahkan saya kepada Safiy? Macam tu?”

Luqman tertawa kecil. Bijak! Qistina memang bijak menduga. Namun, apakah yang akan Qistina lakukan terhadapnya andai wanita ini tahu apa yang tersirat di sebalik soalan-soalannya?

“Jangan jadikan saya barang, Luqman! Jangan menjadi sekejam Safiy! Jangan buat saya benci awak sepertimana saya bencikan dia! Jangan sayang saya hanya untuk melukakan! Jangan buang saya bila awak tak mahu! Dan, jangan cipta alasan untuk menolak saya kepada Safiy! Kalau saya tahu awak buat macam tu...”

Luqman menekan brek sambil melembutkan stereng ke arah kiri. Kini mereka berada di bahu jalan. Masing-masing saling berpandangan. Saling bertentangan mata.

“Tina, sesekali awak kena fikirkan Uwaisy. Safiy ayahnya. Jangan pisahkan mereka kerana dendam yang sengaja tidak mahu awak leraikan!” nasihat Luqman.

Qistina terpana. Cuba memahami maksud tersirat. Cuba memasuki ruang fikir Luqman. Cuba menyelami hati dan perasaan lelaki itu. Namun, sukarnya memahami. Payahnya menyelami...

“Awak, Safiy tu masih ada anak bini.”

“Demi awak, Safiy akan ceraikan...”

“Awak ni kenapa? Dah gila? Nak suruh saya kahwin dengan lelaki macam tu? Kahwin seorang, cerai yang seorang lagi. Awak tak ada perasaan ke Luqman? Bini dia, anak dia? Senangnya awak cakap! Lelaki! Memang semua lelaki macam Safiy agaknya?” marah Qistina.

“Tina!”

“Berhenti! Jangan cakap lagi kalau hanya untuk menyakitkan hati saya!”

“It is for you. Untuk kebahagiaan awak, Tina. Kebahagiaan Uwaisy! Percayalah! Safiy terlalu sayangkan awak. Dia tak akan ulang silap dia dulu tu! Malah, saya yakin dia akan...”

“Cukup! Cukup! Saya tak mahu dengar! Hantar saya balik!”

“Tina?”

“Hantar saya balik! Kalau tidak, saya turun! Biar saya naik teksi.”

Luqman tidak punya pilihan. Dia terpaksa menurut perintah Qistina. Kereta dipandu semula menuju destinasi. Tanpa suara. Tanpa senyuman.

Hati luluh kerana saat ini, di sisinya, Qistina sedang menangis teresak-esak.

Salahkah apa yang aku buat ini, wahai TUHAN?

Ulasan

  1. hope Tina pilih Luq....bukan Safiy yg sesedap dia aje membuat keputusan............and now,.....nak Tina balik......apahal????????????

    BalasPadam
  2. arrh! safiy ni nyibuk je.
    dulu dia yg ceraikn tina skg ni duk ngaku kata dia cintakn tina plak.
    bnci tul la.

    BalasPadam
  3. kak,
    jgn la tina
    b'baik balik ngan safiy
    cpt2 la tina kawen ngan lukman

    BalasPadam
  4. entah apa agknya sbb sbnr safiy ceraikn qistina...
    lukman plk dh brubh n cb jd yg trbaik...
    sy plk yg kliru nk plih mn 1,
    huhuhu...

    BalasPadam
  5. bagai terasa2 angin konflik n dugaan akan melanda lepas ni.. harap2 tina n Mifzal lukhman tabah dah sabar utk mgharunginya..

    BalasPadam
  6. @aqilah
    itulah...jangan tina keliru, sudah

    BalasPadam
  7. @siti
    cinta buat orang jadi gila hehe

    BalasPadam
  8. @miznza84
    ya mmg nnt akan ada kejutan....

    BalasPadam
  9. salam cikgu... ni cerpen ke novel ye? best sangat. hehe.

    BalasPadam
  10. bila nak sambung ni kak... harap nya tina dgn luqman... plsss kak jgn la dia ngan safiy.... x sukaaaaa........

    BalasPadam

Catat Ulasan

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.

Catatan popular daripada blog ini

Cerpen: Dia Idaman Jiwa

1
“Hi, boleh aku duduk kat sini?”

Aliah mendongak. Demi terpandang sahaja wajah itu, air mukanya terus berubah. Riak tidak senang ditunjukkan kepada lelaki itu.

“Cepatlah jawab! Senang aje soalan aku tu. Boleh, jawablah boleh...”

“Kalau saya jawab tak boleh?”

Abid terus menarik kerusi yang bertentangan dengan gadis itu.

“Aku tetap duduk sini jugak.” Balasnya sambil tersengih-sengih.

“Macam tak ada tempat lain!”

“Banyak! Sana kosong. Tu, di belakang kau tu pun kosong. Tapi, aku saja aje nak duduk depan kau. Dah sebulan aku cari kau tapi tak jumpa-jumpa. Alhamdulillah, hari ini dapat juga. Kau apa khabar? Sihat?”

Aliah tidak menyahut. Sebaliknya, dia terus menyuap dan kali ini suapannya sengaja dilajukan, tidak lagi menikmati nasi campur yang dimakan. Ketika itu, dia hanya berkeinginan untuk cepat-cepat menyudahkan makan tengah harinya supaya dia dapat pergi dari situ dengan segera. Dia tidak mahu mengadap muka lelaki yang kini sedang berada di hadapannya walau sehebat, sekacak mana se…

Yang Terakhir: Versi Cerpen

1
“Kau dah habis fikir ke, Khairi? Perempuan macam Najiha tu kau nak bawak ke majlis Annual Dinner kita? Tak malu ke nanti bila orang gelakkan kau?” tanya Hafiz sambil mengerutkan dahi. Dia keliru dengan sikap Khairi Iqbal. Rasanya, selama mereka berkawan, belum pernah walau sekali pun, Khairi memuji gadis yang seorang itu. Gadis yang bernama Izzatul Najiha. Tup tup, hari ini, dia buat keputusan hendak menjadikan Najiha pasangannya semasa majlis kemuncak nanti. Hisy, pelik betul!
“Malu, memanglah aku malu! Tapi aku cuma nak gunakan dia saja. Nak buat Amalina cemburu.” Balas Khairi sambil menyisip air lemon perlahan. Sejuk rasa kerongkongnya bila air itu menerobos masuk ke dalam rongga.
Mata Hafiz buntang. Kepala tergeleng-geleng.
“Kenyataan kau tu lagi buat aku tak faham! Kalau kau nak buat Amalina cemburu, kau patut bawak perempuan lain. Bukan si Najiha yang macam hantu bungkus tu!”
Terlambak tawa Khairi Iqbal mendengar kata-kata sahabat baiknya itu. Hantu bungkus? Si Najiha tu?…

Inikah Cinta? : Versi Cerpen

1

"Ouch!"

Cepat-cepat Janet menghisap jari telunjuk yang terhiris tadi. Setelah kesakitan itu hilang, dia segera membasuh jari itu. Dia kemudian mengelap lalu membalut luka dengan plaster.

"Sakit? Itulah pasal. Mak Nah dah cakap, biar mak Nah aje yang buat tapi Janet degil sangat. Hendak jugak main-main pisau," sindir orang gajinya menyebabkan Janet ketawa besar.

"Inilah yang orang cakap, luka di tangan nampak berdarah. Luka di hati tak siapa tahu. Kan, mak Nah?"

Mak Nah melepaskan keluhan sebelum mencuri pandang ke arah wajah ayu di sisinya yang kini sedang tunduk dan berpaling ke arah lain. Hati mak Nah kini turut melagukan irama sedih yang pasti sedang berdendang dalam hati Janet. Biarpun sudah lama ia berlalu, pasti kenangan itu hadir kembali sebaik rangkap pepatah itu diungkap. Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula kisah cinta penuh keindahan. Ke mana hendak dicampakkan?

"Dah enam tahun... dia tentu dah lupakan saya. Tentu dah kahwin…