Social Icons

twitterfacebookgoogle pluslinkedinrss feedemail

07 June 2013

Cintamu Cintaku Satu 5

Bab 5 ini ialah bab pertemuan hero heroin. Yang pertama bagi Hana tapi yang kedua bagi Taufik. Pertemuan penuh debar.....


5


TAUFIK AZHARI sedang tekun menghadap dokumen-dokumen yang baru diserahkan oleh Encik Fauzi, Pengurus Besar Rezzan Holdings ketika setiausahanya masuk ke dalam bilik dengan wajah yang pelik. 


“Kenapa, Su?” tanya dia sambil menyandarkan diri ke belakang kerusi. Jari pula menggoyang-goyangkan Pen Lamy kesayangan sambil sepasang mata tajam menatap wajah Suhana. 

“Ada orang nak jumpa!” Suhana berbisik.

Perbuatan Suhana menggelikan hati Taufik. Memang lucu perangai setiausahanya hari ini. Mengapa perlu berbisik? Dia terus sahaja ketawa. 

“Apa halnya dengan awak ni, Su? Siapa nak jumpa saya? Suruh sahajalah dia masuk.” 

“Bos nak jumpa dia ke?” soal Suhana serba salah. Berbisik lagi. 

Dahi Taufik sudah berkerut-kerut. “Kenapa tanya macam tu? Kalau orang tu nak jumpa saya, suruh ajelah dia masuk!” desaknya. 

Suhana tidak berpuas hati. “Tapi...” 

“Apa?” Taufik sudah meninggikan suara. Baginya Suhana membuang masa yang sangat berharga. Dia tidak suka!

Suhana menudingkan ibu jari ke arah wanita di dalam gambar di atas meja Taufik. Gambar yang sudah lebih tiga tahun berada di atas meja itu. “Perempuan ni yang ada dekat luar tu! Dia yang nak jumpa bos. Sebab tu saya tanya sama ada bos nak ke tidak bercakap dengan dia. Mana tahu, takut luka lama berdarah semula pulak.” 

Taufik menganggap kata-kata Suhana sebagai gurauan. Mana mungkin perempuan itu datang mencarinya. Mereka kenal pun tidak! Ada-ada sahaja lawak si Suhana ni. Hati kecil mengomel.

“Bos, jangan gelak! Memang dia dekat luar tu. Bukan orang lain!” Suhana bertegas.

Taufik masih ketawa. “Su, awak jangan nak bergurau, okey!” 

Suhana menepuk dahi. Aduh, dah bagaikan cerita Pendekar Bujang Lapok pula. Asyik-asyik, cobaan! Asyik-asyik, cobaan! Bos ni pun nampak gaya hendak dilesingkan! Aduh!

“Betul, bos! Dia ni yang datang nak jumpa bos! Dia ni yang di luar tu! Memang dia! Takkanlah saya tak kenal pulak? Dah tiga tahun saya tengok gambarnya kat atas meja bos tu! Memang dia, bukan perempuan lain!” Kali ini Suhana bercakap dengan penuh ketegasan. Bingkai gambar itu dipegang dan berkali-kali dia cuba meyakinkan Taufik. 

“Bos, cepatlah cakap! Nak suruh dia masuk ke tidak ni?” tanya Suhana sambil mengetap bibir. Wajah keliru Taufik Azhari membingungkannya. Tak pernah bosnya kelihatan panik seperti hari ini. Kenapa ya?

Setelah dapat mencerna segala apa yang disebut oleh Suhana, Taufik mengangguk. Ya, kalau betul perempuan ini yang ingin bertemu dengannya, tentulah dia amat bertuah hari ini. 

Sementara menunggu si dia memasuki bilik, gambar itu ditatap seketika. Gambar seorang gadis yang sedang bersedih di dalam feri. Gambar itu disembunyikan di dalam laci. 

Perlahan-lahan Taufik bergerak ke hujung bilik. Di situ, dia berdiri menanti. Ya, sebentar lagi, dia akan melihat gadis itu untuk kali kedua. Aduhai, bergetar jiwa lelakinya! 



PEJABAT ini penuh dengan manusia-manusia yang ganjil, fikir Nurul Hana. Tadi, Suhana, perempuan yang bergelar setiausaha merenungi dirinya dengan wajah yang pelik. Sebaik diberitahu bahawa dia ingin berjumpa dengan Pengarah Urusan syarikat, perempuan itu menonong masuk. Apabila keluar dari bilik, sekali lagi Suhana merenung bagaikan ada sesuatu yang tidak kena. 

Koyakkah baju yang dipakai? Rasanya tidak! Atau, perempuan bernama Suhana ini menyangka aku ni hantu? omel Nurul Hana sendirian sambil melangkah memasuki bilik yang sudah siap dibukakan pintu untuknya. Di dalam bilik, Nurul Hana tercari-cari di manakah Pengarah Urusan itu berada. Bukankah seorang pengarah akan duduk di atas kerusi dengan tenang semasa menerima tetamu? Ke mana pula perginya?

Sepasang mata Nurul Hana kemudian dapat menangkap satu pergerakan di sudut bilik itu. Bila tahu Nurul Hana sudah menyedari kehadirannya, lelaki itu datang menghampiri.

Nurul Hana menjadi keliru. Apakah dia sudah tersalah bilik? Siapakah lelaki ini? Apakah bapa mertua kakaknya semuda ini? Isy, tak mungkin! Persoalan terjawab apabila lelaki itu memperkenalkan diri. 

“Nama saya Taufik Azhari bin Ahmad Rizal. Kata Suhana tadi, saudari nak jumpa saya,” ujar Taufik, tegas. 

Taufik Azhari? Lelaki kegilaan kak long? Oh, inilah dia orangnya! Tapi, aku bukan nak jumpa dia. Aku nak jumpa ayah dia. Hati berbisik lalu mulut menyebut, “Sebenarnya, saya datang ni nak jumpa dengan Encik Ahmad Rizal bin Abdul Razak.” 

“Nak jumpa ayah? Untuk apa?” 

“Dia ada tak?” soal Nurul Hana dalam nada yang tegas. 

“Awak ni tentu sudah lama tidak membaca surat khabar atau menonton TV, kan?” Selamba sahaja soalan itu dilemparkan. 

Ah, lelaki ni gila ke apa? Apa pula kaitannya di antara TV, akhbar dengan aku? Sewel! Nurul Hana mendudukkan dirinya di atas kerusi tanpa dipelawa. 

“Dia ada tak?” tanya Nurul Hana bersama sebuah jelingan. 

Taufik menjongketkan kening. Hmm, berani juga minah ni, fikirnya. 

“Saudari, kalau saudari ada baca paper atau tengok TV, tentu awak dah tahu bahawa ayah saya sudah lama meninggal. Dah dua tahun!” 

Tiba-tiba dilihatnya gadis itu termenung, membuat hati merasa kurang enak. Siapakah perempuan ini dan apakah hubungannya dengan ayah? Adakah dia…? Hisy, tak mungkin! Ayah seorang yang baik! Nauzubillah! Tapi, dia asyik bertanyakan ayah. Mengapa? 

Nurul Hana ditujah resah. Hatinya diamuk gundah. Tujuan kedatangannya adalah untuk bertemu dengan Encik Ahmad Rizal. Malangnya lelaki itu sudah meninggal dunia. Kepada siapa harus dia meminta pertolongan kini? Argh, tentulah kepada lelaki ini! Kepada siapa lagi?

Dalam tajam renungan Taufik terhadapnya, Nurul Hana meletak fail di atas meja. Kemudian dia mengeluarkan gambar pernikahan Nurul Liyana dan Roslan. Dia juga mengeluarkan surat nikah mereka dan akhirnya dia meletak sijil mati kakaknya di situ. Dia mengumpul kekuatan untuk berbicara. 

“Gambar ni diambil pada hari pernikahan kakak saya, Nurul Liyana dengan Abang Lan. Mereka bernikah di Masjid Sungai Limau, Kulim, kampung halaman kami. Selepas makan, mereka balik ke Kuala Lumpur dan kami tidak mendapat khabar berita sehinggalah lima bulan selepas tu, bila kakak saya balik ke rumah sambil menangis memberitahu suaminya sudah meninggal dunia.”

Taufik membisu. Hanya sepasang mata tajam memandang seraut wajah Nurul Hana.

Nurul Hana terus memberitahu, “Kakak saya pun dah meninggal.” 

Ayat itu membuat Taufik terpempan. “Liyana dah meninggal?” soalnya, tidak percaya. 

“Ya,” jawab Nurul Hana ringkas. Dia melihat sahaja lelaki itu membaca sijil mati yang diletakkan di atas meja. 

“Sakit apa?” Taufik nampaknya ikhlas ingin tahu. 

Lama Nurul Hana menundukkan wajah sebelum dia berani bertentang mata dengan lelaki di hadapannya. Matanya tepat ke anak mata Taufik bila dia menyatakan, “Kakak saya meninggal dunia tujuh hari selepas dia melahirkan anaknya.” 

“Mereka ada anak? Lan ada anak?” soal Taufik dan nada itu seakan kembali bertenaga. 

Bagaimana dia boleh terlupa tentang itu? Taufik menyoal diri. Bagaimana dia boleh melupakan sebab dan alasan kepada pernikahan dua insan itu? 

“Ya, mereka ada anak. Ini surat beranaknya.” Nurul Hana menjawab. 

“Irfan bin Roslan. Dah tiga tahun umurnya. Di mana dia sekarang?” 

“Encik nak jumpa dia ke?” Nurul Hana bertanya. 

“Saya rasa awak tahu yang saya ni abang kepada Roslan, kan?”

Nurul Hana mengangguk. Oh, tentu sahaja dia tahu! Nama itu..... Taufik Azhari ialah nama pujaan hati kakaknya. Masakan boleh dilupa. 

“Jadi tentulah saya hendak berjumpa dengan anak saudara saya tu, saudari,” jawab Taufik tegas. Dahinya berkerut. Pelik gadis ini. Soalan cepumas apakah itu? 

“Dia sakit.” Nurul Hana memberitahu setelah agak lama mendiamkan diri. 

Taufik terpana. Betulkah apa yang baru sahaja didengari? Dia mempunyai seorang anak saudara dan sekarang budak kecil itu sedang sakit? Dengan perlahan-lahan, Taufik cuba mengutip fakta. Sesuatu terkesan di otaknya. Gadis di hadapannya direnung tajam. 

“Saya dah faham sekarang. Saya ada anak saudara yang sudah berumur tiga tahun. Dulu dia sihat tetapi sekarang dia sakit. Itu bererti, jika dia masih sihat sekarang, saya tidak akan tahu tentang kewujudannya. Betul tak, saudari?” soalnya tegas. 

Nurul Hana mendengus kasar. 

“Kalau awak berada di tempat saya, di tempat keluarga Nurul Liyana, awak juga akan melakukan perkara yang sama. Awak juga akan menyembunyikan hakikat itu daripada pengetahuan ibu mertuanya yang zalim!” Nurul Hana tidak melapik kata. Marah yang terpendam diluahkan. Biar lelaki ini tahu betapa sakit hatinya! 

Taufik terpaku di tempat dia duduk. Matanya mencerlung. Wajah merona kemerahan. “Wau! Tahniah! Awak sudah berjaya membuat saya marah! Sudahlah awak dan keluarga awak menyembunyikan suatu hakikat yang penting daripada pengetahuan saya dan umi selama ni, sekarang awak kutuk umi saya pulak?” 

Giliran Nurul Hana pula untuk naik angin. Geram bila lelaki itu menengkingnya.

“Hei, itu bukan kutuk tahu! Itu kebenaran! Mak awak memang zalim sebab mak awak halau kakak saya dari rumah dia! Sebab mak awak buat hidup kakak saya menderita!” Nurul Hana pantas membalas dengan suara yang melengking kuat. 

Mendengar Nurul Hana mencemuh uminya, Taufik tidak dapat bersabar lagi. Dia mendapatkan Ana, menarik gadis itu bangun dan menyeretnya ke pintu. 

“Saya nak awak keluar dari sini sekarang jugak! Saya tak mahu tengok muka awak lagi! Keluar!” jeritnya sambil melangkah semula menuju ke meja. 

Nurul Hana benar-benar tidak menyangka bahawa lelaki itu sanggup menghalaunya. Aduhai, Ana! Apa yang sedang engkau lakukan ini? Engkau sudah menyebabkan lelaki ini marah. Dia tidak suka engkau mengata ibunya! Ana, kau memang berhak mengutuk orang tua itu, tetapi bagaimana dengan Irfan? Ingat Irfan, Ana! Ingat nasib dan masa depannya! 

“Encik Taufik...” Setelah bertimbal balik antara ego dan kasih sayang terhadap zuriat kakaknya, Nurul Hana memilih yang kedua. Beralah bukan bererti kalah. Dia ingin menang walau terpaksa merendahkan hati terhadap lelaki ini. Mendapat apa yang dia mahukan daripada lelaki ini adalah kemenangan baginya. 

Ya Allah, dia belum keluar lagi rupanya. Taufik bergegas mendekati gadis itu semula. 

“Awak tak dengar ke apa yang saya cakap? Saya nak awak keluar sekarang juga!” jerkahnya. 

Wah, terkesima Nurul Hana dibuat Taufik. Marah betul lelaki itu kepada dirinya. Begitu dia menyayangi ibunya sehingga Nurul Hana tidak berpeluang untuk meneruskan kata. Ah, Ana. Cepat minta maaf! Ingat, Ana! Kau lakukan semua ini demi Irfan! 

“Encik Taufik, saya minta maaf! Saya janji, saya tak akan kutuk mak awak lagi! Percayalah!” Nurul Hana merayu. Suaranya lembut dan penuh kesedihan. 

“Untuk pengetahuan awak, saya cukup pantang kalau orang marah dan mengata umi saya! Saya sebagai anak pun tak pernah menuduhnya begitu, siapa awak yang tiba-tiba datang dan melepaskan kemarahan pada dia sedangkan awak tak tahu perkara sebenar yang berlaku? Siapa awak, hah?” Taufik masih lagi menyinga. Marahnya masih bersisa.

“Okey, okey! Saya mengaku salah! Saya janji tak mengata emak awak lagi! Tolong maafkan saya! Tolonggglah!” rayu Nurul Hana bersungguh-sungguh. Dia yakin, sekali ini Taufik akan berlembut hati. 

Lama suasana sepi di dalam bilik itu apabila Taufik tiba-tiba bertanya, “Siapa nama awak?”

Uisy, tanya nama aku pulak? Jawab ajelah, Ana!

“Nurul Hana binti Abdullah.”

“Umur?” 

“24 tahun.” 

“Kerja?” 

“Kerani!” 

“Apa hajat awak sebenarnya, Cik Nurul Hana?” 

Pucuk dicita, ulam mendatang. Tanpa berlengah, Nurul Hana kembali duduk di atas kerusi. Dia kemudian mengeluarkan surat-surat laporan doktor pakar. Semua diletakkan di hadapan lelaki itu. 

“Irfan menghidap sakit jantung berlubang. Saya tak faham dan tak tahu macam mana hendak memberitahu awak apa yang dicakapkan oleh doktor pakar tu pada saya sebab semuanya begitu teknikal. Jadi, awak tengoklah sendiri dan baca laporan tu! Saya mintak daripada Dr. Ng semalam. Dia doktor pakar yang merawat Irfan.” Nurul Hana memulakan sambil melihat Taufik mengambil dokumen yang diletaknya tadi. 

Taufik begitu bersungguh-sungguh membaca, seolah-olah dia tahu dan faham apa yang tertulis. 

“Dia perlu prosedur keyhole ni!” Taufik berkata sambil menatap wajah gadis itu semula.

“Ya! Itulah yang doktor tu cakap.” Nurul Hana mengumpul nafas sebelum menyambung, “Encik Taufik, kami diminta membayar RM25 ke RM30 ribu. Malangnya, keluarga saya miskin, encik! Kami tak ada duit sebanyak itu.”

Taufik mengerutkan dahi. Kata-kata itu menggambarkan bahawa kalau mereka ada duit, tentu mereka tidak akan mencarinya. Tentu Irfan masih sesuatu yang misteri lagi. 

Wajah Nurul Hana merona merah bila dia menyambung, “Saya nak pinjam duit tu daripada awak, Encik Taufik!”

Taufik menyandarkan tubuhnya ke kerusi. Wajah gadis yang baru sahaja habis bercakap dengan penuh emosi itu ditatap lagi. Dia kagum dengan kesungguhan gadis itu untuk menyelamatkan anak saudara mereka! Bukan dia tidak faham betapa Nurul Hana membenci situasi ini. Terpaksa meminjam daripada orang yang menyakiti kakaknya! Argh, sesuatu yang mustahil dilakukan sekiranya mereka berwang. Namun, demi Irfan, dia sanggup datang. Demi Irfan, dia sanggup merendahkan diri meminta-minta. Meminjam! 

Hati tertanya-tanya, apakah gadis ini mahu melakukan satu lagi pengorbanan jika dia, Taufik, meminta?

“Encik, saya tahu, bukan senang awak nak pinjamkan wang sebanyak itu kepada saya, perempuan yang baru hari ini awak kenal. Tapi saya janji, saya akan bayar balik duit tu pada awak. Cuma, masalahnya saya tak dapatlah hendak membayar sekali gus!”

“Jadi?” 

Argh, ada mulut? Ingat tadi bisu. Nurul Hana mengutuk dalam hati kerana selepas panjang lebar dia bercakap, baru ini satu perkataan yang ditanya. 

“Encik, saya bekerja.” Nurul Hana lalu mengeluarkan kad ATM Bank Simpanan Nasional serta kad pengenalannya dan meletak kad-kad itu di hadapan Taufik. “Awak peganglah kad tu. Majikan saya masukkan gaji saya di BSN. Nanti, setiap hujung bulan, awak keluarkanlah duit gaji saya dan ambillah kesemuanya. Tak apa! Saya benarkan! Asalkan awak boleh pinjamkan saya duit untuk pembedahan Irfan!”

Hisy, dia ni ingat aku Along ke? Suruh simpan kad bank, IC, segala? Helo, cik adik! Saya bukan Along, saya cuma nak tolong, maa!

“Saya nak tengok Irfan!” Taufik sengaja mengubah topik sambil meminta Nurul Hana menyimpan semula kad-kad yang dikeluarkan ke dalam dompet.

“Tapi...”

“Simpan dulu. Kita bincang perkara ni kemudian. Sekarang, bawa saya jumpa Irfan.”

Taufik bangun lalu keluar, meninggalkan Nurul Hana terkial-kial mengemas barang-barang yang sudah dipunggah untuk disimpan semula. Dalam hati, dia berharap agar Taufik lembut hati untuk memberi pinjaman itu selepas melihat Irfan nanti.



NURUL HANA cuba berjalan laju-laju untuk menyaingi derap langkah kaki lelaki di sebelahnya yang panjang-panjang. Ketika di dalam lif dia hanya membisu namun sepasang mata begitu asyik memerhati wajah Taufik yang kini sedang bersandar pada dinding lif itu sambil memejamkan mata. Hati nakal mengakui, mengiakan, apa yang pernah Nurul Liyana catatkan di dalam diari. Sememangnya lelaki ini memiliki segala-galanya dari segi fizikal. Segala-gala yang diidamkan oleh seorang wanita!

Kantoi habis apabila secara tiba-tiba, Taufik membuka mata. Pandangan bertaut. Pipi Nurul Hana terasa panas. Malu sungguh bila tertangkap. Renungan tajam lelaki itu tidak dapat dielak, menyebabkan hati berdegup-degap! Senyuman yang sedang menguntum di bibir itu benar-benar menggoda!

Beginikah kak long dahulu? Beginikah perasaannya bila terpandangkan Taufik Azhari? Beginikah juga apa yang berlaku kepada kakaknya setiap kali melihat wajah dan senyuman Taufik? 

Nurul Hana menggelengkan kepala. Tidak! Dia bukan Nurul Liyana. Dia berbeza daripada kakaknya. Lelaki di hadapannya ini tidak mungkin dapat menggodanya dengan senyuman itu!

p/s: ni bab terakhir di blog: ingin tahu kesudahan? beli ya cintamu cintaku satu. jangan lupa!!

9 comments:

  1. ok akan saya beli di pesta buku sabtu nanti... :)

    ReplyDelete
  2. Tak sabar nak baca buku ni. Agak2 bila buku ni akan sampai JB. I nak pegi KL (dari Singapore) for the bookfair jauh sangat.

    ReplyDelete
  3. hajar, ok, beli ya, hehe...

    faizah... mmm, mmg jauh insyaallah lepas pesta buku akan sampai di jb ya

    ReplyDelete
  4. Salam kak sofi,

    Saya dah beli buku tapi kena tunggu giliran nak baca.

    Tahun ini akak turun PBAKL ya.

    Anieaina

    ReplyDelete
  5. dah beli dan habis baca. best.tapi macam terlalu cepat la plak jln cite die. konflik tak berapa thril la cikgu. overall ok.

    bila buku lagi satu nak kuar cikgu. tak ingat tajuk la plak.(versi cerpen antara dua)

    ReplyDelete
  6. salam kak sofi, dah dapat 'cintamu cintaku satu'... nnt habis baca saya komen ya! bersedialah...hehe

    kak, kenapa kt shout box, tak boleh shout?? function disable?

    ReplyDelete
  7. salam kak sofi,

    maaf, dah lama saya janji nk komen bila habis baca novel CCS. baru habis baca, mengambil masa yg agak lama utk dpt feel dan habiskan juga.

    mcmana nk cakap ek...saya tak suka la novel ni, saya rasa macam org lain yg tulis bukan mcm tulisan kak sofi yg saya baca diblog. saya suka semua cerpen2 yg kak sofi tulis tapi bila baca novel saya rasa lain.

    walaupun saya kurang suka, kak sofi jgn terasa hati ya, mungkin saya saja kot yg rasa macam tu.

    novel tak mungkin kuhindar pun xbaca lagi. teruskan menulis kak sofi.

    ps: kak sofi, tak publish komen ni pun xpe..ini cuma luahan rasa saya utk bacaan kak sofi. salam.

    ReplyDelete

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.

Ping Busuk