07 June 2013

Cintamu Cintaku Satu 4

Kitamasuk yang ni dulu. Mungkin ada yang ternanti2 hehe... perasan x habis ko sofi ya...

4


SETELAH bermacam ujian dilakukan ke atas tubuh kecil Irfan, akhirnya doktor pakar kardiologi, Dr. Ng Boon Huat berterus terang dengan Nurul Hana dan ayahnya.


“Kami dah jalankan ujian-ujian ini pada Irfan. Elektro kardiogram (EKG) untuk merakam aktiviti dan mengesan lebihan volum pada jantung kanan. X-ray untuk memeriksa imej atau saiz jantung dan organ sekitarnya. Ultrabunyi eko kardiogram bagi mengukur saiz dan mengesan bengkak pada jantung serta visual aliran darah menerusi kebuk jantung. Pak cik, cucu pak cik didapati menghidap Secundum ASD iaitu keadaan jantung berlubang di tengah dinding jantung atas.”

“Dan rawatannya?” Abdullah mencelah, setelah lama wajah doktor Cina itu ditatapnya.

Dr. Ng memberitahu, “Dirawat dengan lebih berkesan menggunakan teknologi pembedahan kesan minimum (MIS) atau keyhole. Pak cik, sejak kira-kira sepuluh tahun lalu teknik pembedahan keyhole dibangunkan untuk menutup jantung berlubang. Ia merupakan prosedur tanpa pembedahan ke atas ASD menggunakan sistem Amplatzer Septal Occluder (ASO), sejenis jaringan wayar diperbuat daripada nikel dan titanium (nitinol). Wayar berkenaan mempunyai sistem yang direka khas untuk memudahkan doktor pakar memasuk dan melepaskan amplatzer di dalam jantung pesakit.”

Entah apakah bendanya yang disebut oleh Dr. Ng, tidaklah difahami oleh kedua-dua beranak itu. Bunyinya sangat penuh dengan komplikasi. Banyak benar istilah saintifik yang digunakan. Yang pasti, tentu sahaja semua yang disebut itu mempunyai nilai dan harganya. 

“Tentu kosnya tinggi ya, doktor?” tanya Abdullah. 

Nurul Hana hanya memasang telinga.

Dr. Ng faham, kalau dia terus menerangkan dari segi teknikal pun, memang payah untuk difahami. Jadi, dia terus memberitahu, “Sekitar RM25,000 hingga RM30,000, pak cik.”

Ayah dan anak saling berpandangan. Nilai yang disebutkan itu terlalu banyak bagi orang miskin seperti mereka!

Dr. Ng yang seolah-olah mengerti akan apa sedang mereka fikirkan lantas berkata dengan lembut, “Pak cik, saya faham pak cik orang susah tetapi keadaan Irfan perlu juga pak cik fikirkan. Dia masih kecil lagi. Kalau kita dapat melakukan pembedahan itu ke atasnya, dapatlah dia menjalani kehidupan seperti kanak-kanak normal yang lain. Jika tidak, kasihan dia!” 

Abdullah hanya dapat merenung kosong ke arah Dr. Ng.



“AYAH, Ana dah jangka ini akan berlaku! Jadi, izinkan Ana cari orang tua itu di pejabatnya. Biar Ana merayu kepadanya!” 

“Tapi, Ana, mahukah mereka menolong kita?” soal Abdullah kepada anaknya. 

“Tak tahulah Ana, ayah! Tapi kita kena cuba, kan?” Nurul Hana pula mengalihkan soalannya. 

“Macam mana kalau mereka menolak?” 

Bulat mata Nurul Hana memandang ayahnya. “Kita fikirkan tentang itu kemudian. Buat satu-satu dulu. Esok, Ana hendak pergi ke Rezzan Holdings. Ana akan tunjukkan laporan doktor tadi kepada Encik Ahmad Rizal. Ayah, Ana rasa, selagi dia bernama manusia, tentu masih ada rasa kasihan dalam hatinya. Kan?” 

Ditulis Oleh : Ana Sofiya Hari: 9:39 AM Kategori:

No comments:

Post a Comment

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.