background img

The New Stuff

Cintamu Cintaku Satu 2


BAB 2


“HANG dah fikir panjangkah, Liyana? Dia tu anak bos hang. Anak orang kaya! Hang? Kita? Kita ni miskin. Mana padan hang dengan dia? Kita tak setaraf dengan depa!” 


Peristiwa sembilan bulan yang lalu mengimbau ingatan. Ketika itu Nurul Liyana balik ke rumah bersama seorang lelaki. Nurul Liyana memperkenalkan lelaki itu sebagai Roslan bin Ahmad Rizal, anak kepada pemilik syarikat Rezzan Holdings, Encik Ahmad Rizal bin Abdul Razak. Kata Nurul Liyana, Roslan ialah teman lelakinya dan mereka balik dengan tujuan untuk bernikah. 


Seisi rumah terkejut mendengar permintaan pasangan itu yang mahu mereka dinikahkan segera. Abdullah dan Mariam masing-masing terkedu apabila Roslan melamar sendiri Nurul Liyana. Tidak ada wakil daripada pihaknya. Tidak ada sirih junjung. Tidak juga ada tepak sirih. Adat resam sudah diketepikan. 


“Kenapa buat macam ni? Mak, ayah dan adik-beradik Roslan tak setujukah dengan hubungan ni?” soal Abdullah dalam marah yang ditahankan. 


Hampa perasaan seorang ayah, bila anaknya pulang dan inginkan diri menikah ‘koboi’. Sedangkan di dalam kepala penuh mengharap agar dia dapat membuat kenduri secara besar-besaran untuk anak sulungnya itu. Malangnya, lain yang diharap, lain pula yang terjadi. Berita yang dibawa oleh Nurul Liyana melemahkan seluruh urat dan sendi.


“Mak, Yana dengan Lan dah...” Pipi Nurul Liyana serta-merta merona merah. Memandangnya, emak menangis hiba.


“Dosa, Yana! Hang tahu tak yang hang dengan budak Lan ni dah berdosa? Zina tu satu dosa besar, Yana! Sanggup hang melanggar hukum Tuhan? Hang tak takutkah?” Suara emak melengking kuat, kerana ia penuh dengan kesalan. Kesal memikirkan teganya anak yang seorang ini menconteng arang ke mukanya. Kesal kerana anak sulung yang diharap menjadi contoh yang baik kepada adik-adik, menjadi sebaliknya!


Patutlah keluarga lelaki tidak hadir bersama-sama. Tentu mereka dibebani rasa malu juga! 



“Mak, sebab itulah kami hendak kahwin. Nanti, kalau ditangguhkan, besar pulak perut ni. Siapa yang malu? Mak jugak, kan?” Begitu bersahaja Nurul Liyana menutur kata, seolah-olah perbuatannya itu tidak apa-apa. 


“Liyana! Hang ingat dengan kahwin, hang boleh tebus dosa zina tu?” Sekali lagi Mariam menghamburkan kemarahan. Sakitnya hati terhadap perbuatan anak yang tidak bermoral! Perbuatan yang tidak bermaruah! 


“Mak, tolong jangan membebel, okey! Yana cuma nak ayah kahwinkan Lan dengan Yana. Yana tak mahu dengar khutbah! Yana tak mahu dengar nasihat! Betul, kami dah terlanjur, tetapi semua itu dah berlalu. Tak guna diungkit-ungkit. Yang penting sekarang, Lan hendak bertanggungjawab pada Yana, kan? Lan nak bertanggungjawab pada anak Yana yang baru berusia 6 minggu ni!” Kali ini, Nurul Liyana bersuara penuh ketegasan bersama sebuah jelingan. 


Nurul Hana menggelengkan kepala. Sampainya hati seorang anak mengherdik seorang ibu hanya kerana ibu menegur kekhilafan diri. Sanggup kakaknya bersikap kurang ajar begitu. Itukah harga yang perlu dibayar untuk pendidikan tinggi yang diperolehi?


Karut! Ramai di luar sana punya ijazah seperti Nurul Liyana. Apakah mereka juga berlagak sombong seperti kakaknya ini? Tentu tidak! Bagi Nurul Hana, Nurul Liyana sudah tenggelam dalam arus urbanisasi. Berhijrah dari Kulim ke kota metropolitan Kuala Lumpur turut mengubah sikap dan kelakuan kakaknya yang dulu sopan dalam berbicara serta mesra dan tidak sombong seperti hari ini. 


“Mak cik, pak cik, tolong ampunkan keterlanjuran saya. Saya mengaku, saya silap. Izinkan saya menebus kesilapan itu, izinkan saya bernikah dengan Yana. Percayalah, pak cik, mak cik, saya berjanji, saya akan berikan sepenuh kasih sayang saya pada dia. Saya minta maaf kerana memalukan pak cik dan mak cik. Tolong izinkan kami berkahwin. Tolonglah!”


Kata-kata lembut Roslanlah yang berjaya memujuk ayah untuk melakukannya.


Dua hari selepas itu, Nurul Liyana dan Roslan selamat diijabkabulkan. Tiada majlis kenduri yang besar-besar. Tiada orang kampung yang dipanggil. Hanya mereka sekeluarga dan dua orang kawan baik ayah sebagai saksi.


Selepas majlis akad nikah di masjid, Roslan dan Nurul Liyana membawa mereka sekeluarga menjamu selera di Restoran Pokok Manggis, sebuah restoran yang terkenal di Kulim. Di situlah ayah membaca doa selamat untuk kakak sulung dan suaminya. Bila balik ke rumah, Roslan meminta izin emak dan ayah, untuk membawa Nurul Liyana pulang ke Kuala Lumpur. Dia berjanji untuk menjaga Nurul Liyana baik-baik. 


Betapa sedih wajah emak semasa melepaskan mereka pergi. Diciumnya pipi Nurul Liyana bertalu-talu. Direnungi kereta mereka pergi sehingga hilang daripada pandangan mata. 


Nurul Hana tidak tahu apa yang emak dan ayahnya fikirkan. Dia tidak berani bertanya. Hanya lirikan mata mereka menggambarkan perasaan sedih yang tidak terungkap. 


Sejak itu, Nurul Liyana membisu tanpa sebarang berita walaupun hidup dalam era yang penuh kecanggihan ini. Tidak sekali dia menelefon. Tidak sekali dia menghantar SMS. Tidak sekali berutus surat. Tidak ada e-mel juga! Dia menyepikan diri! Dia mengasing, menjauh, membiarkan emak dan ayah dalam kerinduan. Sehinggalah dia kembali semula ke kampung dalam keadaan yang amat menyedihkan, beberapa bulan kemudian. Nurul Liyana pulang bersama suatu kejutan. 


“Lan dah tak ada, mak. Lan dah tinggalkan Yana. Lan dah mati.” Nurul Liyana memberitahu dalam sedu-sedan. Tubuh yang kurus dilemparkan ke pangkuan ibunya, menyebabkan Mariam terus sahaja mendakapnya dengan erat, seerat-eratnya!


“Bila?” Abdullah bertanya. Rasa simpati melimpah ruah terhadap puteri sulungnya. 


“Kelmarin!” jawab Nurul Liyana sambil menangis.


Abdullah mengerutkan dahi. Ada sesuatu yang tidak betul di sini. Ada sesuatu yang pelik pada pengamatannya. Roslan meninggal kelmarin dan anaknya berada di Kulim? Mengapa? Bukankah sepatutnya seorang isteri berada di rumah suaminya kerana kematian suami bererti isteri berada dalam edah? Aduhai, apakah yang sudah terjadi? Pelik! Memang pelik!


“Umi dia tak bagi Yana tengok mayat Lan. Umi dia cakap, Yana yang menyebabkan Lan mati. Umi dia dah halau Yana. Yana tak boleh balik ke rumah kami lagi! Tapi, Yana tak bunuh dia, mak! Sumpah! Lan diserang sakit jantung. Dia terkejut tengok umi marah Yana. Tu yang dia sakit dada. Tak lama lepas tu, dia terus meninggal. Bukan salah Yana, mak! Bukan!” 


Dalam sedih dan linangan air mata, Nurul Liyana memberitahu betapa dia sudah merayu agar Puan Rohani mengizinkannya melihat wajah arwah suaminya sebelum melangkah keluar, namun wanita itu tetap enggan membenarkan. 


Kejam sungguh wanita itu, fikir Nurul Hana. Sanggup dia melakukan begitu kepada seorang isteri yang benar-benar mencintai suaminya. Sanggup dia mengenepikan permintaan seorang isteri yang ingin menatap wajah arwah suami buat kali terakhir. Manusia jenis apakah itu? Tinggi benarkah darjatnya? Apakah dia berdarah bangsawan?


Tidakkah wanita itu pernah sedar bahawa Allah memberikannya darah yang sama warna dengan warna darah kak long yang merah? Tidakkah dia tahu bahawa di sisi Allah, dia bukanlah sesiapa jika tidak bertakwa? 


Sejak itu, Nurul Hana menanam kebencian dalam hatinya. Dia benci Puan Rohani! Bagi dirinya, perempuan itu adalah musuhnya! 


Sikap Nurul Liyana turut berubah selepas itu. Tidak ada lagi kesombongan dalam tingkah dan bicara. Dia juga bukan lagi gadis periang seperti suatu masa dahulu. Hidupnya sentiasa berendam dengan air mata. Menangis bagaikan pengubat duka. 


Semakin besar kandungannya, semakin Nurul Liyana bertambah murung. Dia semakin hilang dalam kedukaannya. Dia semakin karam dalam air matanya. Dia semakin sering termenung. Entah ke mana angan-angannya dibawa pergi, tidak siapa pun mengetahui. 


Selalu juga Nurul Hana mendengar, Nurul Liyana menangis di sepertiga malam, ketika Nurul Liyana bangun untuk mengerjakan solat sunat. Rintihannya tidak kedengaran namun tangisannya menghiris perasaan. Sebagai adik, dia bukan tidak berusaha untuk mencungkil rahsia yang kakaknya simpan. Berkali-kali dia meminta penjelasan. Mengharap Nurul Liyana memberitahu kepadanya apakah sebab kakaknya itu asyik menangis dan bersedih. Namun, mulut Nurul Liyana terkunci rapat. Hanya gelengan sebagai menyatakan bahawa rahsia itu milik dia, untuk ditanggung sendirian!


“Mak, bila anak Yana lahir nanti, mak belalah dia. Jaga dia baik-baik, besarkan dia dengan penuh kasih sayang, ya! Rahsiakan kelahiran dia daripada pengetahuan mak mertua Yana. Yana takut, nanti dia rampas anak Yana daripada mak!” 


Pesanan itu kembali terngiang-ngiang di telinga Nurul Liyana.


“Jangan cakap macam ni, Yana. Yana kena sembuh. Nanti, kita boleh besarkan anak Yana sama-sama...” bisik emak dalam sebak.


Nurul Liyana menggelengkan kepala sambil cuba mencapai tangan Nurul Hana. Wajah pucat dan cengkung itu kini terarah kepada wajah adiknya itu. “Kak long tahu, kak long dapat rasa, nanti selepas dibedah, kak long dah tak boleh nak pesan pada hang dah, Ana. Jadi, dengar sini, dik!”


Nurul Hana mengangguk sambil mendekatkan dirinya kepada Nurul Liyana.


“Tolong mak jaga Irfan. Ya, dik, tolong namakan dia Irfan bin Roslan. Apa cara sekalipun, jangan pisahkan anak kak long daripada mak dengan ayah. Ana faham tak ni?” 


Nurul Hana menganggukkan kepala. Terasa berat beban yang terpaksa digalas.


0 komen:

Post a Comment

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.

Novel 6: Kupikat Jandaku

Novel 5: Suami Sebelah Rumah

Novel 4 : Tiada Yang Lain

Novel 2 : Cintamu Cintaku Satu

Novel 1 : Tak Mungkin Kuhindar

cintamu cintaku satu


Novel TMKH telah mendapat pengiktirafan 4 bintang dari Editor Berita Harian 2010. Cetakan yang ke-6. Anda juga boleh melayari LINK INI untuk membaca bab-bab 1 -15

Novel-novel dalam Bikinan

Followers

Nuffy