01 June 2013

Cintamu Cintaku Satu - 2 sambungan

Kini, pesanan itu sudah menjadi suatu amanat kerana Nurul Liyana sudah tiada. Mahu ataupun tidak, Nurul Hana dan keluarganya perlu menggalas tanggungjawab untuk memelihara Irfan. Dan demi sebuah janji, Nurul Hana akan merahsiakan kewujudan Irfan daripada pengetahuan Puan Rohani. Tidak, ibu Abang Roslan tidak akan pernah tahu tentang Irfan! Dia, ayah, emak dan adik-adiknya tidak akan sekali-kali membocorkan rahsia!
Ya Allah, Kau tempatkanlah roh kakakku ke dalam golongan mereka yang Engkau kasihi. Ampunkanlah segala dosa-dosanya. Terimalah segala amalannya. Damaikanlah hidupnya di sana, bersama suaminya. Ya Tuhanku, dengarlah permintaan hamba-Mu yang amat lemah ini. Kasihanilah kakakku itu. Aku amat menyayanginya. Kasihanilah dia, wahai Tuhan. Kasihanilah dia!     

PETANG itu, Nurul Hana berpeluang mengemas barang-barang peribadi kakaknya. Baju-baju Nurul Liyana dibawa ke wajah, diciumi untuk melepaskan rasa rindu. Satu per satu dilipat dan disimpan di dalam sebuah beg. Semalam, ayah berpesan bahawa dia ingin menyedekahkan pakaian-pakaian itu ke rumah anak-anak yatim.
Semasa berkemas-kemas itulah, Nurul Hana menemui sebuah diari. Diari milik Nurul Liyana, tempat di mana dia meluahkan segala perasaannya. Lama Nurul Hana memandang diari tersebut. Rasa hati membuak-buak ingin mengetahui apa yang tercoret di dalamnya. Dia terlalu ingin membaca helaian demi helaian. Ingin benar mengetahui cerita yang selama ini disembunyikan oleh kakaknya.

5.1.2006
Hari pertama di pejabat. Aku salah seorang antara empat orang baru yang bertuah kerana dapat bekerja di bawah pengawasan Taufik Azhari. Ah, menatap seraut wajah itu telah menggegar seluruh jiwa dan perasaan perempuanku. Dia terlalu hebat bagiku. Tampannya dia! Segak dan gayanya, aduh mak! Melekakan aku. Tapi, tidak sekali dia menoleh kepadaku!

Nurul Hana berhenti membaca. Dahinya berkerut-kerut tidak mengerti. Siapakah Taufik Azhari? Perasaan ingin tahu membuat dia meneruskan bacaannya.


14.2.2006
Hari ini, hari kekasih. Kuingin nyatakan kepadanya bahawa aku mencintainya.

15.2.2006

Aku sedar kini, dia bukan untukku. Dia terlalu jauh untuk didekati walaupun sebenarnya dia terlalu hampir. Aku hanya dapat melihat senyumannya yang memikat. Aku hanya dapat merenung wajahnya tanpa dia membalas lirikan mataku. Aku hanya boleh menjadi seorang perindu. Aku tidak mampu menawan sekeping hatinya itu. Hanya aku yang gila mencintainya. Penolakannya semalam meremukkan sekeping hatiku ini.

Kak long sudah jatuh hati kepada lelaki itu? Taufik? Kak long jatuh cinta kepada Taufik tetapi cintanya tidak bersambut? Jadi, siapakah Abang Roslan dalam hidupnya? Nurul Hana semakin tertanya-tanya.

30.3.2006

Roslan hadir ketika aku dalam kesedihan yang teramat. Sedih kerana setiap usahaku untuk memilikinya, gagal. Aku tidak mahu melayan Roslan. Namun sikapnya yang keanak-anakan itu mencuit hatiku juga.

30.4.2006

Kini, kami sering keluar bersama-sama. Aku dan Roslan. Dia boleh membuat aku ketawa. Mampu membuat aku tersenyum tapi getaran dalam hati setiap kali Taufik memandang, tidak ada bila Lan menatap wajahku. Debaran dalam hati bila Taufik bersuara, tidak berlaku bila mendengar Lan berbicara. Mengapakah hatiku ini tidak mampu membuang wajah lelaki itu jauh-jauh?
Aduhai, begitukah perasaan seorang perempuan yang sudah jatuh cinta? Suara, senyum, tawa dan lirikan mata semuanya bermakna?

Nurul Hana menggeleng-gelengkan kepala.

30.5.2006

Hari ini, genap dua bulan perhubungan kami. Hari ini, Lan melamarku. Aku memang terkejut. Aku sudah tahu bahawa dia sebenarnya adik Taufik Azhari. Argh, lupakan dia!

Lan kata, dia sudah jatuh cinta kepadaku. Dia mahu kami berkahwin. Malam ini, dia mengajakku makan malam bersama-sama lelaki itu...      

Aku baru balik dari makan malam di Hotel Istana. Kami bertiga, aku, Lan dan dia, Taufik. Aduhai, duduk semeja dengan lelaki itu benar-benar mengasyikkan diri ini… Maafkan aku, Lan!      
Aku membiarkan Lan memberitahu rancangannya kepada Taufik. Aku hanya memerhati kalau-kalau ada secalit rasa cemburu terukir pada wajah itu. Gila? Ya, aku memang gila!

Aku sepatutnya bergembira bersama Lan, yang rancak merancang masa depan kami. Tapi, tidak! Aku begitu asyik memerhati dia. Kalaulah aku dapat mendakap sekujur tubuh itu?

Namun aku mesti menerima kenyataan.

Soalannya kepadaku menggetarkan perasaan.
“Awak benar-benar sayangkan adik saya ni?”     

Suara garau itu sahaja meruntun hatiku tetapi aku tetap mengangguk. Dia tersenyum sinis kepadaku. Tentu dia dapat merasakan bahawa aku tidak ikhlas menyayangi adiknya. Aku tidak ikhlas mencintai Lan! Tapi, aku lakukan ini kerana ingin mendekatinya...

Ya Allah, gilanya kak long! Cepat-cepat Nurul Hana menutup diari itu. Dadanya berkocak hebat. Apa yang dibaca benar-benar memeranjatkan dirinya. Dia tidak menyangka sampai begitu sekali Nurul Liyana bertindak hanya kerana seorang Taufik Azhari. Entah mengapa, Nurul Hana jadi benci kepada nama itu!      
Bagaimanalah agaknya rupa lelaki itu sampai begitu sekali seorang Nurul Liyana bertindak? Kacak sangatkah? Tampan sungguhkah? Macam siapa? Zac Efron? Lee Dong Wook?
Daripada pembacaannya, Nurul Hana tahu bahawa lelaki itu terlalu hebat di mata kakaknya. Bagaikan tiada cacat cela! Pelik sungguh!

13.6.2006

Aku disahkan mengandung. Aku tergamam. Roslan juga kulihat kegelisahan. Kini, segala perancangan perlu kami cepatkan. Langsung Lan membawaku ke Teratak Rezza. Katanya, dia ingin meminta restu daripada ibunya. Malangnya, terjadi pertengkaran. Sakit hatiku mendengar tuduhan-tuduhan terhadap diri ini. Hanya bila Taufik memujuk, barulah wanita sombong itu membenarkan.

20.6.2006

Emak dan ayah kecewa denganku. Oh, tentu sahaja aku tahu. Alah, biarlah! Yang penting, aku dan Lan sudah berkahwin.

Orang pertama yang kami temui di KL ini ialah dia. Dia merenungku dengan sepasang matanya itu. Redup mempesona.

Ketika Lan pergi ke dapur untuk mengambil air, Taufik berbisik kepadaku, Awak dah sah menjadi isteri Lan sekarang. Setialah kepadanya!

Aku terpana. Apa maksudnya? Apakah dia tahu?
Tidak!

Tak mungkin!

Nurul Hana tidak mengerti. Apakah maksud itu? Apakah dia tahu? Apa yang Taufik tahu? Tentang apa? Tentang siapa? Aduhai, Nurul Liyana sudah tidak ada untuk memberitahu rahsia itu kepadanya. Hendak bertanya kepada Taufik? Nurul Hana tersenyum sinis. Mustahil!
            Nurul Hana malas meneruskan bacaan. Asyik-asyik Taufik, asyik-asyik Taufik! Lalu diari itu ditutup dan dimasukkan ke dalam suatu kotak yang kemudian diangkat dan disimpan di atas bumbung almari. Baginya, biarlah rahsia cinta kakaknya bersemadi di situ! 

Ditulis Oleh : Ana Sofiya Hari: 11:27 AM Kategori:

3 comments:

  1. thanx atas sokongan tidak henti2 itu, zue. kak sofi sgt hargainya

    ReplyDelete
  2. Sofi ceriter anda memang awesome. Best.Saya x perlu ulas lebih .Thumb up.Sofi.

    ReplyDelete

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.