Langkau ke kandungan utama

Cintamu Cintaku Satu 1

Tibalah pula giliran Taufik Azahari dan Nurul Hana pula. Untuk tatapan anda....


BAB 1


NURUL HANA sedang berdiri di atas platform jeti Pulau Pinang. Gadis itu sedang gelisah. Wajahnya kelihatan cemas. Sesekali, leher dipanjangkan untuk melihat sama ada feri yang akan membawanya ke Tanah Besar sudah sampai ataupun belum. 

“Lambat sungguh! Kan baik kalau aku naik motor dari Kulim tadi. Tak payah nak tunggu feri ni! Aku pecut kat atas jambatan saja! Dalam tempoh sejam, aku dah boleh sampai semula di hospital.” Nurul Hana atau panggilan manjanya, Ana, merungut sendirian. 

Bagaimanapun, Nurul Hana tahu itu hanyalah angan-angan sahaja. Ayah dan ibunya tidak mungkin akan mengizinkan dia menunggang motosikal sejauh ini, walau dia memang sudah mempunyai lesen. 

“Buat apa nak naik motor? Nampak macam budak jantan saja!” bentak emak kepadanya, di suatu hari. 


Itu bukanlah alasannya. Nurul Hana tahu itu. Emak sebetulnya takut dia kemalangan seperti suatu waktu dahulu. Walaupun kecederaan yang dialami tidaklah seteruk mana, emak masih fobia untuk membenarkan dia menunggang motosikal.

Nurul Hana, anak kepada Abdullah dan Mariam. Dia mempunyai empat orang adik-beradik, kesemuanya perempuan. Nurul Hana berumur 21 tahun, di bawahnya ialah Nurul Nadia, 20, dan adik bongsunya bernama Nurul Aida berusia lima tahun. Kakaknya bernama Nurul Liyana dan kerana kakak sulungnya itulah dia datang ke pulau ini. 

“Ana, nanti Ana pergilah ke Citibank, Pulau Pinang. Kak long nak minta tolong Ana tunaikan cek ni,” pinta kak longnya sambil menghulurkan sekeping cek kepada Nurul Hana. 

Bulat sepasang mata Nurul Hana melihat amaun yang tercatat. 

“Banyak ni, kak long! Nak buat apa dengan duit sebanyak ini?” jeritnya bila melihat angka RM5000 yang tercatat pada cek tersebut. 

“Ana, dah kak long suruh tu, buat ajelah!” Tiba-tiba ibu mereka mencelah. Sepasang mata meminta supaya Nurul Hana tidak bersuara lagi. 

Nurul Hana patuh kepada arahan ibunya. Apatah lagi bila melihat keadaan kakak sulungnya yang tidak bermaya. Kakak yang sedang terbaring dalam keadaan yang cukup lemah di atas katil di Wad 10 Hospital Kulim. 

Seminggu yang lepas, Nurul Liyana dimasukkan ke dalam wad kerana dia sakit untuk melahirkan. Setelah didapati bahawa kandungannya songsang, doktor membuat keputusan untuk melakukan caesarian ke atasnya. Sebaik sudah dibedah, keadaan kesihatan Nurul Liyana bertambah buruk. Dan sejak semalam, doktor mengisytiharkan keadaannya sebagai kritikal. 

Bagaimanapun, pada pagi tadi, ada sedikit kemajuan. Nurul Liyana sudah boleh membuka sepasang mata. Kakaknya itu juga sudah boleh bercakap dengan mereka. Sudah meminta untuk melihat anak lelakinya. Juga, sudah boleh menyuruh Nurul Hana pergi ke Pulau Pinang, sesuatu yang amat berat untuk dilakukan dalam keadaan hati yang dihambat kerisauan!

Dan, baru sebentar tadi, Nurul Nadia menelefon, memberitahu bahawa keadaan Nurul Liyana kembali tenat. Kata Nurul Nadia, pada ketika ini beberapa orang doktor dan jururawat sedang mengelilingi Nurul Liyana untuk membantu selagi mampu. 

Nurul Hana berasa sangat bimbang. Nurul Liyana seorang sahaja kakak yang dia ada. Nurul Liyana, kakak yang sangat disayangi. Kakak yang sangat dikasihi. 

Oh, Tuhan, janganlah terjadi apa-apa kepada kak long! Janganlah! Dia masih terlalu muda untuk pergi. Dia belum puas menatap wajah anaknya! bisik Nurul Hana di hati. 

Dalam linangan air mata, Nurul Hana berjalan bersama-sama penumpang-penumpang lain menuju ke arah Feri Pulau Angsa yang baru tiba. Dia dalam keadaan tergesa-gesa. Dia ingin segera pulang. Dia ingin mendapatkan kakak kesayangannya. Ya, dalam hati tiada lain yang diingat, hanya kakak sulungnya itu sahaja. Hanya Nurul Liyana!

“WEH, kalau ya pun nak cepat, janganlah langgar orang! Bila awak naik feri tu nanti, awak kena duduk juga! Kalau awak terus berjalan laju macam tu, awak akan jatuh ke dalam laut, tahu!” Taufik Azhari menjerit geram kepada seorang gadis yang baru sahaja melanggarnya. Hatinya bertambah sakit bila gadis itu terus sahaja berlalu tanpa menoleh untuk meminta maaf. Amboi-amboi, pekak agaknya. Lajak menonong-nonong tak peduli kiri dan kanan macamlah jalan ni bapa dia yang punya! marah Taufik dalam hati.

Dengan ketinggian tubuhnya, Taufik memerhati gerak langkah gadis itu memasuki feri. Gadis yang tinggi lampai itu memakai seluar jean berwarna biru yang sudah pudar warnanya. Seluar itu dipadankan pula dengan sehelai blaus berlengan panjang yang dilipat sedikit hujung lengannya. Dari belakang, rambut yang panjang mencecah pinggang itu menarik perhatiannya. Rambut yang terurai, tidak diikat itu sedang terbuai-buai dihembus angin petang. Di dalam feri, gadis itu tidak duduk di bangku, sebaliknya dia berdiri berhampiran pintu keluar. 

Hai, kenapalah kau seolah-olah sudah tidak sabar untuk sampai ke seberang? Harap-harap, janganlah kau terjun ke dalam laut itu, ya!

Entah kenapa, gelagat gadis itu menarik perhatiannya. Dari tempat dia berdiri, Taufik setia memerhati. Semakin galak matanya merenung bila telefon bimbit gadis itu berbunyi, langsung terpukau bila beberapa detik selepas itu, dilihat air mata si gadis sedang menitis menuruni pipi. Tiada bunyi meraung yang kedengaran, namun air mata yang menitis bagaikan hujan, menggambarkan kesedihan dan penderitaan. 

Apakah agaknya berita yang diterima sehingga menyebabkan dirinya sesedih itu?

Alah, tentu ditinggalkan kekasih tu! Perempuan! Itu sahajalah yang dia tahu! Bila sedih sikit, menangis! gerutu Taufik sendirian lalu mengalihkan pandangan namun tidak lama kemudian, dia kembali memberi tumpuan ke arah si dia. Bagai ada satu tarikan gadis itu terhadapnya. Ada aura yang tidak dapat dijelaskan. 

Kesedihan yang terpapar mengusik jiwa lelakinya. Terasa ingin diseka air mata yang mengalir di pipi yang mulus. Terasa ingin menghampiri untuk mendengar keluh kesah yang sedang dideritai. Terasa ingin menolong menyelesaikan apa jua masalah yang sedang dihadapi!

Ketika Taufik ingin melarikan pandangan sekali lagi, buat pertama kali pandangan mereka bertaut. Sedetik cuma... Namun amat mengesankan jiwa lelaki itu. Sepasang mata yang masih basah itu merenungnya seketika sebelum dikalihkan ke laut yang terbentang luas. 

Ketika itu telefon bimbit berkamera milik Taufik, berbunyi. Di hujung talian, ayahnya ingin mengetahui apakah masalah yang sedang dihadapi di tapak pembinaan di Sungai Nibong sudah dapat diselesaikan. Bibir menjawab setiap pertanyaan namun sepasang mata tidak langsung dilarikan ke arah lain. Dan, sebaik tamat, Taufik sengaja menghidupkan kamera lalu terus dihalakan kepada gadis itu. 

Buat pertama kali, Taufik tahu, dia melakukan sesuatu yang gila! Namun momen indah ini tidak mahu dibiarkan begitu sahaja. Dan, wajah itu akhirnya berjaya dirakam. Maafkan aku! Tapi kau terlalu cantik untuk kulupakan! desis hati.

“Ana, kak long dah tak ada!”

Berita sedih itu akhirnya diterima juga. Ayahnya yang memberitahu sebentar tadi. Berita itulah yang menyebabkan deraian air matanya tidak mahu berhenti. Kini, kakaknya sudah benar-benar pergi. Pergi yang tidak akan kembali lagi!

Aduhai, kasihan Irfan. Dalam usia baru tujuh hari, dia sudah menjadi seorang anak yatim piatu. Betapa malang nasibnya kerana tidak berkesempatan untuk mengenali ayah dan ibu.

Ulasan

  1. novelnye dh kuar ke kak sofi?

    BalasPadam
  2. novel dah ada kat pasaran ke kak sofi?

    BalasPadam

Catat Ulasan

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.

Catatan popular daripada blog ini

Cerpen: Dia Idaman Jiwa

1
“Hi, boleh aku duduk kat sini?”

Aliah mendongak. Demi terpandang sahaja wajah itu, air mukanya terus berubah. Riak tidak senang ditunjukkan kepada lelaki itu.

“Cepatlah jawab! Senang aje soalan aku tu. Boleh, jawablah boleh...”

“Kalau saya jawab tak boleh?”

Abid terus menarik kerusi yang bertentangan dengan gadis itu.

“Aku tetap duduk sini jugak.” Balasnya sambil tersengih-sengih.

“Macam tak ada tempat lain!”

“Banyak! Sana kosong. Tu, di belakang kau tu pun kosong. Tapi, aku saja aje nak duduk depan kau. Dah sebulan aku cari kau tapi tak jumpa-jumpa. Alhamdulillah, hari ini dapat juga. Kau apa khabar? Sihat?”

Aliah tidak menyahut. Sebaliknya, dia terus menyuap dan kali ini suapannya sengaja dilajukan, tidak lagi menikmati nasi campur yang dimakan. Ketika itu, dia hanya berkeinginan untuk cepat-cepat menyudahkan makan tengah harinya supaya dia dapat pergi dari situ dengan segera. Dia tidak mahu mengadap muka lelaki yang kini sedang berada di hadapannya walau sehebat, sekacak mana se…

Yang Terakhir: Versi Cerpen

1
“Kau dah habis fikir ke, Khairi? Perempuan macam Najiha tu kau nak bawak ke majlis Annual Dinner kita? Tak malu ke nanti bila orang gelakkan kau?” tanya Hafiz sambil mengerutkan dahi. Dia keliru dengan sikap Khairi Iqbal. Rasanya, selama mereka berkawan, belum pernah walau sekali pun, Khairi memuji gadis yang seorang itu. Gadis yang bernama Izzatul Najiha. Tup tup, hari ini, dia buat keputusan hendak menjadikan Najiha pasangannya semasa majlis kemuncak nanti. Hisy, pelik betul!
“Malu, memanglah aku malu! Tapi aku cuma nak gunakan dia saja. Nak buat Amalina cemburu.” Balas Khairi sambil menyisip air lemon perlahan. Sejuk rasa kerongkongnya bila air itu menerobos masuk ke dalam rongga.
Mata Hafiz buntang. Kepala tergeleng-geleng.
“Kenyataan kau tu lagi buat aku tak faham! Kalau kau nak buat Amalina cemburu, kau patut bawak perempuan lain. Bukan si Najiha yang macam hantu bungkus tu!”
Terlambak tawa Khairi Iqbal mendengar kata-kata sahabat baiknya itu. Hantu bungkus? Si Najiha tu?…

Inikah Cinta? : Versi Cerpen

1

"Ouch!"

Cepat-cepat Janet menghisap jari telunjuk yang terhiris tadi. Setelah kesakitan itu hilang, dia segera membasuh jari itu. Dia kemudian mengelap lalu membalut luka dengan plaster.

"Sakit? Itulah pasal. Mak Nah dah cakap, biar mak Nah aje yang buat tapi Janet degil sangat. Hendak jugak main-main pisau," sindir orang gajinya menyebabkan Janet ketawa besar.

"Inilah yang orang cakap, luka di tangan nampak berdarah. Luka di hati tak siapa tahu. Kan, mak Nah?"

Mak Nah melepaskan keluhan sebelum mencuri pandang ke arah wajah ayu di sisinya yang kini sedang tunduk dan berpaling ke arah lain. Hati mak Nah kini turut melagukan irama sedih yang pasti sedang berdendang dalam hati Janet. Biarpun sudah lama ia berlalu, pasti kenangan itu hadir kembali sebaik rangkap pepatah itu diungkap. Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula kisah cinta penuh keindahan. Ke mana hendak dicampakkan?

"Dah enam tahun... dia tentu dah lupakan saya. Tentu dah kahwin…