apa yang nampak, apa yang rasa, apa yang dengar

10.4.11

bila cinta ada 3

Ketika mereka sampai di hotel bertaraf lima bintang itu, masing-masing terkejut dengan kehadiran para wartawan yang ramai. Mereka saling berpandangan. Di mata Ahmad, Hani dapat melihat kemarahan. Ya, tentu lelaki itu sedang menuduh dirinya yang memberitahu kepada semua tentang percutian mereka.

“Awak, saya tak cakap pada sesiapapun tau!” tanpa sebab, Hani terus membela diri. Dia cuba menagih pengertian Ahmad Zharfan. Namun, mengapa Ahmad mendengus kasar? Tidak percayakah lelaki itu kepada dirinya?

“Awak....”

Ahmad Zharfan terus menarik tubuh Hani Faslah merapati dirinya.

“Bagus juga! Biar mereka datang ramai-ramai. Biar hari ini mereka tengok kita berdua. Selama ni, diorang ingat awak tu masih anak dara? Tak ada suami, tu yang sibuk menyibuk nak tahu kisah peribadi awak, kan? Sekarang ni, biar heboh satu Malaysia bahawa model terkenal, Cik Hani Faslah Tuan Adnan sebenarnya sudah punya seorang suami yang kacak, bergaya dan very, very proffesional, tak gitu?”

Eh, biar betik! Laki aku ke ni? Senyum meleret aje... Ahmad Zharfan bin Ismail? Aku tak silap orang, kan?  

Terpesona seketika...

“Kenapa? Dah jatuh cinta pada saya?” Sepasang mata itu memandang bersama senyuman pada bibir yang nipis. Namun senyuman itu lenyap perlahan-lahan. Suaranya kemudian keluar dengan tegas, “Tak payah, Hani. Saya tak perlukan cinta awak tu!”

Kebahagiaan yang hadir seketika tadi terus sirna bila mendengar ungkapan itu. Rasa marah menyebabkan Hani menolak tubuh suaminya menjauh.

“Saya pun tak perlukan cinta awaklah! Banyak lagi lelaki lain yang nak mencintai diri saya ni, okey!” balasnya.

Ayat itu menghentikan langkah Ahmad yang tadinya ingin ke kaunter. Dia kembali dan berdiri tinggi di hadapan isterinya.

“Selagi awak tu jadi isteri saya, jangan perasan nak sambut dan balas cinta kasih sayang daripada lelaki lain, faham!” katanya di celah gigi yang dikertap. Tubuh Hani kemudian didakap erat. “Jalan! Dan, sambil jalan tu, lambai-lambaikan tangan serta berikan senyuman plastik awak kepada wartawan tu semua. Biar diorang semua fikir yang kita ni pasangan paling bahagia di dalam dunia ni, ya, sayang...”

Adoyaiii... keliru! Keliru Hani Faslah dengan tingkah yang dipamerkan oleh Ahmad Zharfan. Kata, tak mahu jatuh cinta pada dirinya tetapi bila dia cakap yang ada lelaki lain yang masih sudi mencintai, kenapa lelaki itu seolah-olah mempamerkan riak cemburu? Cemburu? Tahukah lelaki tanpa perasaan itu merasa cemburu? Hmm, rupa-rupanya banyak yang perlu dia pelajari tentang lelaki yang seorang ini.

“Nek, kenapa nenek nak Hani kahwin dengan anak Pak Mail tu?” tiba-tiba soalan itu mengembalikan dirinya ke masa silam. Dia sedang duduk di sisi katil pesakit. Neneknya sedang memejamkan mata bersama ombak nafas yang perlahan. Saat itu, neneknya sudah tidak mampu bersuara namun dia amat yakin wanita itu mendengar keluhannya.

“Masa kami jumpa kelmarin, dia cakap, dia setuju nak kahwin dengan Hani sebab ini arahan nenek. Dia terhutang budi pada nenek sebab nenek yang biayai pelajaran dia di Tasmania sampai dia berjaya menjawat jawatan pensyarah. Dia jugak cakap yang dia tak akan merayu nenek untuk batalkan hasrat nenek ni tapi, nek.... Hani rasa terbeban sangat. Hani tak boleh terima dia. Oh... bukan sebab wajah dia. Bukan sebab tu... Hani tak kisah kalau dia tak handsome sekalipun, cuma.... Hani rasa dia ni ada muslihat kahwin dengan Hani, nek. Rasanya, dia tau yang Hani ni pewaris tunggal harta Adinda Holdings. Sebab tu dia setuju jadi suami Hani. Dia nak harta tu!”

Ya, tentu itu tujuannya. Sebab itu dia buat baik begini. Berpura-pura. Bentak Hani. Tapi, sampai bila? Sanggupkah lelaki ini bersabar menahan kerenahnya lagi? Masa setahun nampaknya tidak menggugah azam untuk menerajui Adinda Holdings. Apakah ada strategi yang lain? Ahmad Zharfan punya agenda baru yang tersembunyi?

“Lepaslah...”

Ahmad ketawa. Namun dalam tawa itu tersembunyi kemarahan. Ya, dia marah dengan wanita yang seorang ini. Dia bencikannyya. Namun mengapa dalam benci, ada satu rasa yang tak mampu dielak?

Sudah-sudah tu, Fan! Perempuan yang kau nikahi ini menyangka kau kahwin dengan dia kerana kau nak bolot harta dia. Jangan biarkan dia mendekat. Jangan biarkan dia mencuri hati kau tu. Perempuan ni tak akan percaya apa juga alasan yang kau bagi untuk mengahwininya. Bagi dia, kau anak drebar yang gila harta. Selagi tanggapan itu ada kat lubuk hati dia, selagi itulah dia tak layak jadi bini kau. Faham?

Tapi, sampai bila? Sampai bila harus hidup mereka terus macam musuh? Papa dan mama mahu mereka mengekalkan hubungan ini. Nenek pun pesan supaya dia sabar menangani kerenah Hani. Tapi, semakin hari, mereka semakin jauh. Hani terus dengan kesombongannya. Dia pula terus sibuk dengan kerja dan penyelidikannya. Di manakah titik tolak untuk memulakan? 

4 ulasan:

  1. payah2.. masing2 ada tanggapan negatif antara 1 sama lain... rumit la nk selesaikan....

    BalasPadam
  2. haish. hani tu cm da jatuh cinta dgn suami sendiri jek?

    BalasPadam

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.