Follow Us @soratemplates

30.4.11

terima kasih, sayang

April 30, 2011 4 Comments
1

“Apa yang kau paling benci dalam dunia ni?”  Syafika ditanya.

Keadaan sunyi sepi di sekitar pantri. Memanglah sunyi, sebab bukan ramai pun yang ada di situ waktu makan tengah hari. Hanya Syafika, Erra, Mai dan Wani sahaja. Mereka yang dikategorikan sebagai gadis-gadis yang menjaga berat badan.

Syafika berpura-pura tidak mendengar soalan Wani itu. Dia malas hendak menjawabnya. Dah letih sebenarnya. Asyik-asyik soalan yang sama. Dah jenuh dia memberikan jawapan yang satu itu tetapi kawan-kawannya ini macam tak percaya pula.

“Ika? Kenapa diam? Jawablah soalan tu! Bukan susahpun!” Wani memaksa.

Syafika mengetap bibir.

“Aku tak suka soalan tu, sebab tu aku malas menjawabnya. Nanti bila aku jawab, mulut korang ternganga. Lepas tu, korang cakap aku gilalah. Tak betullah! Sakit hati aku ni nanti, korang tahu tak?” balasnya.

“Memanglah kitorang cakap macam gitu sebab jawapan kau tu lain daripada yang sepatutnya.” Tukas Erra.

Syafika yang sedang menuang air ke dalam campuran nesvitanya di dalam mug, tersenyum sinis. Dari dulu, itulah alasan kawan-kawannya ini. Mereka mempertikaikan jawapannya. Kata mereka, jawapannya lain daripada yang lain. Jawapannya tidak boleh diterima akal. Jawapannya tidak menepati kehendak ramai.

Eleh, tidakkah kawan-kawannya ini tahu bahawa mereka hidup di dalam negara demokrasi? Dia bebas bersuara. Dia bebas memilih. Dia bebas untuk membenci! Hak dia, suka hati dialah!

“Cakaplah, Ika! Berikan kami satu jawapan yang bernas. Kalau kami rasa jawapan kau tu dah tak boleh dipertikai, kami akan berhenti bertanya. Dan, kau dibenarkan untuk bebas memilih mengikut dasar demokrasi yang kau war-warkan itu.” Kali ini si Erra Fazlin, bukan Erra Fazira, pula yang bersuara.

Geramnya! Payah sungguh bercakap dengan manusia yang lembam, lambat faham seperti sahabat-sahabatnya ini. Hendak dikatakan bodoh, semuanya ada ijazah. Itulah, mungkin belum lulus kertas hubungan sosial lagi kut, fikir Ika.

“Apa yang korang tak jelas lagi ni, hah?” akhirnya dia bertanya walaupun dia tahu soalan itu akan memerangkap dirinya.

“Yeahh... macam tu baru kawan kami!” balas Maizurah @ Mai. “Okey, berterus terang dengan kami sekarang. Kenapa kau benci sangat dengan Encik Nazmi Iskandar, anak bos kita, Tuan Halim tu?”

Hmm, memang sudah dijangka, itulah soalan yang akan ditanya. Soalan tentang Nazmi Iskandar. Si buaya darat / playboy / lelaki penggoda yang berlagak macho itu.

“Macam mana nak cakap, ya? Okey:-

1. Aku tak suka cara dia sebab aku rasa dia tu berlagak orangnya. Datang ke pejabat untuk main dan buang masa. Dia mana buat kerja. Semua idea, datang daripada PA dia. Kat mesyuarat, asyik sms. Apa orang cakap, dia angguk aje. Bagi aku, dia ni tak ada daya kepimpinan langsung.

2. Aku tak suka perangai dia yang gatal tu. Kalau nak mengurat sangat, menguratlah yang suka diurat. Jangan menggoda perempuan yang tak suka digoda. Ni tak, pantang nampak perempuan aje, sapu!

3.....

“Ika....”

“Apa pulak?” Syafika mengerutkan dahi bila Mai membuat tangan menyilang tanda menyuruh dia berhenti bercakap.

“Tadi korang juga yang nak dengar sebab-sebab mengapa aku benci mamat tu. Jadi, sekarang pasang telinga tu betul-betul sebab aku tak akan ulang lagi di lain masa, tahu! Yang ke 3. Aku tak suka cara dia bercakap dengan bapak dia. Tak beradab langsung. Siiikiittt lagi nak digelar penderhaka. Bila kahwin dengan dia, confirm... dia tak boleh jadi bapak yang baik sebab dia bukan seorang anak yang baik. Puas hati?”

Sebaik soalannya keluar daripada mulut, ada suara terbatuk-batuk di muka pintu. Suara lelaki tu! Syafika telan liur sambil menoleh.

“Bos besar....” hanya itu mampu diucap.

Tuan Halim pandang wajah Syafika tepat-tepat. Lepas tu dengan tegas, dia memberi arahan. “Awak, ikut saya!”

Sebaik Tuan Halim pergi, dia berpaling ke arah kawan-kawannya. “Kenapa korang tak cakap apa-apa bila nampak bos besar?” soalnya.

“Aku dah bagi isyarat tapi kau yang tak mahu berhenti bercakap.” Mai membela diri.

“Matilah aku! Jangan-jangan dia nak suruh aku letak jawatan tak?” soal Syafika. Habislah... ni balik nanti kena buat CV baru, pastu kena surf internet di Jobstreet.com. Sah-sah kena tukar tempat kerja. Yalah kalau dah bos besar mengamuk, kan?

“Ika, apa tunggu lagi tu? Pergilah cepat! Nanti mengamuk pulak bos besar tu!”

Syafika melepaskan keluhan. Langkah diatur perlahan, lemah menuju pejabat bos besarnya.
...................................       

2

“Apa? No way! Saya tak setuju! Buatnya awak jatuh cinta dengan dia, macam mana? Macam mana dengan saya? Dengan cinta kita?” Bulat mata Hazran merenungi anak mata Syafika. Dia kemudian bangun lalu berjalan mundar-mandir, tak ketahuan hala. Hatinya kalut sekarang ni. Risau. Semakin risau bila wajah Syafika seperti tidak berperasaan.

“Hazran, saya belum lagi mengaku yang saya cintakan awak, kan?”

“Tu yang saya takut nak dengar tu! Sebab awak belum declare perasaan awak pada sayalah yang buat saya kelam kabut ni.” Hazran menghampiri Syafika. Cuba memaut tangan gadis itu namun Syafika mengelak cepat. “Kenapalah awak bersetuju dengan cadangan Tuan Halim tu? Sekarang, kan ke dah tak boleh berundur?” soalnya penuh kemarahan.

“Sebab, kalau saya tak akur cakap dia, saya kena letak jawatan dalam masa 24 jam. Tanpa dapat apa-apa pampasan, Hazran. Boleh awak bayangkan keadaan mak ayah saya di kampung kalau saya berhenti kerja? Dahlah begitu, Tuan Halim kata, dia akan pastikan CV saya dipenuhi laporan buruk kalau saya cuba minta kerja kat tempat lain. Jadi, apa pilihan yang saya ada selain mengikut telunjuk orang tua tu?” balas Syafika panjang lebar.  

Ingatan terimbas kepada peristiwa dalam pejabat bos besarnya itu kelmarin. Wajah mencuka menyambut dia sebaik pintu bilik dibuka. Malah, Tuan Halim langsung tidak mempelawa Syafika duduk pun.

“Awak mengutuk siapa tadi tu?”

Syafika telan liur. Rasa pahit tetiba. Badan pun rasa panas macam nak demam dah.

“Awak kutuk anak saya, kan? Awak mengata Nazmi Iskandar, betul?”

Pelan-pelan kepala terangguk.

“Apa hak awak mengutuk dia? Jawab! Dan, kali ini saya nak dengar suara awak. Jangan asyik mengangguk, faham? Tadi, elok aje awak bercakap dengan lantang. Sekarang, kenapa jadi orang bisu pulak?” ketegasan suara itu buat Syafika sedikit terketar. Takuttt....

“Bos besar, saya tarik balik apa jugak yang saya cakap tadi tu. Anak bos besar tu budak baik, kacak, macho, penuh tang.....”

Tuan Halim bingkas bangun sambil menghentak meja kerjanya dengan kuat. Suara guruh terlontar keras. Di luar, semua orang sedang kecut perut. Tahu, bahawa angin ribut Tuan Halim sudah menyerang. Dan, serangan itu sedang mengena dengan kejam sasaran utamanya, si Syafika. Kesiannya...

“Tadi, lain yang saya dengar! Tadi, kaw-kaw awak kutuk anak saya, Syafika, jadi jangan awak nak berdolak dalih. Cakap! Ulang balik apa yang awak kutuk dia tadi! Sekarang!”

Dengan suara terketar-ketar, dengan mata yang berkaca, Syafika terpaksa mengulangi apa yang dikatakannya sebentar tadi. Sebaik habis apa yang dia cakap, Syafika menghembus nafas.

Tuan Halim duduk dengan gaya korporatnya semula, memandang tajam wajah gadis berusia 27 tahun di hadapannya. Tidak sangka pula, begitu negatif pandangan gadis ini terhadap anak sulungnya yang juga Pengurus Besar di syarikat itu. Patutlah Syafika tidak pernah tersenarai dalam kelompok gadis yang sering dibawa ke sana ke mari oleh anaknya. Rupa-rupanya, gadis ini sangat benci kepada Nazmi Iskandar. Huh!

“Tuan Halim...”

“Saya beri awak masa selama sebulan untuk mengubah sikap buruk anak saya menjadi baik!”

Bulat mata Syafika. Mata itu kemudian digesel-gesel. Lepas tu dia tengok muka Tuan Halim. Betul ke tidak lelaki itu yang bercakap ayat tak masuk akal tu.

“Saya bangkang, Tuan Halim.”

Mata lelaki itu membuntang. “Bangkang?”

“Ya! Pertama, perubahan sikap hanya terjadi jika tuan punya badan itu sendiri yang mahu berubah. Jadi, permintaan tuan supaya saya yang mengubahnya, memang tak masuk akal. Kedua, masa yang tuan bagi tu, terlalu singkat. Sikap jahat anak tuan tu dah sebati dengan diri dia. Tuan ingat, senang-senang ke dia nak berubah jadi baik? Opps!!!”

Hai, Syafika... memang rugi tak ada jual insurans mulut, kan? Kalau tidak, tentulah kau orang pertama yang kena beli insurans tu. Tak sayang mulut punya budak! Haisy....

“Awak nak bekerja di sini atau tidak, Syafika?”

Lontaran soalan itu amat perlahan namun jantung Syafika sudah bergegar mendengarnya. Tahu bahawa nasib badan sudah di hujung pisau. Jawab tidak aje...fuhhh...pasti luka!

“Hmm, fikirlah...tapi sampai esok aje, okey! Saya ulang, saya bagi awak masa sebulan aje untuk mengubah sikap Nazmi Iskandar. Kalau dia masih macam sekarang, automatik, awak hilang pekerjaan, faham?”

“Ika....”

Lamunan terganggu. Keluhan terlontar.

“Mahu tak mahu, suka atau tidak, saya kena buat juga kerja ni, Hazran. Maafkan saya kalau nanti hubungan kita jadi renggang, ya.”

Hazran mengerutkan dahi. “Awak memang nak pikat dia, ya?”

Cepat-cepat Syafika menggeleng. “Bukan itu tujuan saya. Saya kerja dengan Tuan Halim. Tugas saya, misi saya, hanya untuk mengubah jantan tu supaya jadi manusia. Manusia yang berguna kepada agama, bangsa dan negara. Itu aje!” ujarnya.

“Saya pegang cakap awak, Ika. Awak kena ingat yang saya cintakan awak. Kalau saya tengok awak dengan dia dah lain macam nanti, tahulah macam mana saya nak ajar awak.”

Syafika ketawa kecil. “Teruklah awak ni, Hazran. Sampai ke hati awak nak marah saya?” soalnya.

Hazran hanya menggeleng. Bukan itu yang dia nak buat. Bukan....
............................

3

Nazmi Iskandar menoleh sekali lagi. Biar betul, detik dalam hati. Gadis itu sekali lagi menyimpulkan senyuman manis untuknya. Makkk... cair hati macam ni...

Dia segera melangkah ke arah meja kerja Syafika. “Hai, good morning.” Tegurnya.

Syafika melebarkan senyuman. “Assalamualaikum, Encik Nazmi.”

“Err...waalaikumsalam. Awak sihat pagi ni?”

Syafika ketawa pula. Hati menggumam. Buta ke hapa? Tapi dijawab jugalah... “Sihat, alhamdulillah. Encik Nazmi nak apa-apa ke?” soalnya.

“Jom sarapan dengan saya?”

Ulat beluncas dah mula nak keluar kepompong... eh, iya ke beluncas ada kepompong? Ah, senang guna aje kata-kata Pak Ajis Satar.... ulat bulu dah naik daunn.....

“Ermm.. saya dah sarapan di rumah tadi, encik.”

Wajah hampa Nazmi Iskandar buat Syafika rasa macam nak gelak. Tapi, kelibat Tuan Halim segera mengingatkan diri kepada misi dan visi. Dengan lenggok suara manja, dia mempelawa, “Tapi, kalau encik Nazmi sudi belanja saya makan tengah hari?”

“Yes!”

Kening Syafika terjungket sedikit. Amboi mamat ni, suka, ya?

“Pukul 1, kita turun sama-sama, okey!”

Bermulalah era hubungan Nazmi Iskandar – Syafika. Sejak itu, mereka menjadi belangkas. Ke mana sahaja Nazmi Iskandar pergi, dia mahukan Syafika menemaninya. Dan, Syafika pula cuba memastikan bahawa sejak lelaki itu memilih dirinya untuk ‘coupling’, tidak ada nama perempuan lain meniti pada bibir Nazmi Iskandar. Hanya dirinya sahaja.....

“Ika, awak tahu tak apa yang saya rasa, pagi tu, bila awak senyum pada saya?” soal Nazmi sambil menyisip air kiwi kegemarannya semasa mereka makan malam berdua dalam restoran “The Chilli” di The Mall.

Hubungan mereka sudah berjalan selama dua minggu. Malam ini, Nazmi terlebih gembira. Mengapa? Kerana siang tadi ayahnya dengan gembira memberitahu bahawa satu projek kendaliannya sudah membuahkan hasil. Pihak pembeli sudah bersetuju dengan sebutharga yang ditetapkan syarikat. Ayahnya mengucapkan tahniah khusus kepadanya kerana buat kali pertama, inilah dia hasil usaha dan penat lelahnya sendiri. Dialah yang bertungkus lumus menguruskan tanpa bantuan sesiapapun! Hebatnya dia...

“Manalah saya tahu apa yang encik fikir?” balas Syafika bersahaja.

“Macam nampak bulan...”

Syafika ketawa kecil. Geli hati mendengar jawapan itu lalu dia mengusik. “Sampainya hati encik cakap macam gitu? Muka saya menggerutu sangat ke? Macam permukaan bulan ek?”

Gementar perasaan Nazmi Iskandar melihat Syafika ketawa. Degup jantung laju aje. Memang istimewa perempuan ini di matanya. Dia suka...

“Maksud saya cik adik, awak ni seorang yang sangat istimewa. Selama ni, awak buat tak endah pada saya. Bila tetiba aje awak senyum, saya tanya diri saya, aku mimpi ke ni? Your smile, Syafika, brings joy to my life.”

Syafika tekun memandang wajah tampan kegilaan ramai wanita di hadapannya. Memang menawan! Bila bercakap, bila ketawa, bila memandang.... hati jadi bimbang. Takut misi yang Tuan Halim amanahkan gagal terlaksana, tetapi diri sendiri pula jadi tak keruan nanti..aduh!!!

“Encik tak mahu tahu ke kenapa saya berubah sikap? Tetiba aje senyum pada encik? Sukakan encik?” tanya dia, sekadar menduga.

“Mestikah ada sebabnya?”

“Setiap sesuatu yang berlaku, tentu ada sebab dan akibat.”

“Okey, kalau macam tu, you tell me. Kenapa awak yang memang dulu saya tahu amat bencikan saya, kini suka pada saya?”

“Sebab saya menjalankan amanah seseorang yang mahukan awak berubah menjadi baik.”

Nazmi Iskandar ketawa besar. “Really? Amanah siapa? Ayah ke?” soalnya.

“Tau tak pe...”

“Selama ni, awak tengok saya macam monster, ya? Garang dan suka mengherdik?”

“Lebih teruk lagi. Encik suka cakap yang bukan-bukan. Lepas tu, saya tengok macam encik tak hormatkan bos besar. Bila encik nak tegakkan pendapat encik, encik sanggup bertegang urat dengan dia. Encik, anak tak boleh cakap kasar dengan mak bapak. Cakap ah, ih, uh..pun tak boleh. Inikan pulak menengking, hempas meja, panggil dia, you, bila cakap omputih...hisy..tak sesuai langsung dengan Islam dan budaya Melayu.” Omel Syafika panjang lebar. Dia meluahkan apa yang dia nampak. Kalau lelaki ini hendak marah, apo nak dikato...

Tapi, Nazmi Iskandar tidak marah malah ketawanya lepas. Wajah hairan Syafika buat ketawanya jadi lebih kuat. Lucu ke?

“Syafika, saya lahir dalam keluarga yang berfikiran amat terbuka. Dari kecil, mak dengan ayah didik kami supaya meluahkan apa aje yang kami rasa. Kami akan berbincang dan kemudian mencapai kata sepakat. Mungkin awak tengok cara saya agak kasar dengan ayah, tapi percayalah, saya bukan nak melawan dia dan dia faham.”

Alamak.... jadi, selama ni dia salah sangka? Owhh, patutlah dia selalu tengok bos besar akan peluk bahu bos nombor dua ni selepas mereka bertegang urat. Rupa-rupanya, dah begitu cara mereka berbincang? Lepas berdebat hangat, begitu si hero ini dipujuk. Hmm...

Patutlah mengamuk sakan bos besar kepada dirinya. Dan, patutlah masa yang diberi kepadanya hanya sebulan. Sebenarnya, dia tak perlu mengubah sikap bos kedua ini. Bagi pandangan bos besar, anaknya dah memang baik. Aduhh... dialah yang terlebih laku. Kantoi...

“Awak fikir apa tu? Semacam aje air muka awak tu?” tanya Nazmi Iskandar yang perasan perubahan riak wajah Syafika.

“Saya dah salah sangka.”

“Tentang?”

Syafika menjungket bahu. Malas menjawab.

“Awak ni suka berahsialah, Ika. Suka buat saya tertanya-tanya.” Nazmi Iskandar mengkritik. Itulah yang dia rasa. Gadis di hadapannya ini bagai ada masalah. Sebab itu, dia sering cuba menyembunyikan perasaan.

“Tak ada rahsia. Lagipun, kita berkawan baru dua minggu. Itu belum boleh jadi ukuran untuk saya meluah apa yang saya rasa kepada awak.”

“Hmm, amat berhati-hati, ya?” perli Nazmi Iskandar.

“Mestilah! Terutama dengan buaya macam awak..Opps!”

Lagi sekali Syafika memarahi diri. Tulah dia. Cakap ikut sedap mulut. Hai...

Nazmi Iskandar mendengus. “Jadi, awak anggap saya ni kaki perempuan. Pantang tengok yang dahi dia licin, sapu aje. Tak memilih langsung?” tanya dia.

Syafika tutup mulut rapat-rapat. Tak berani nak sambung takut nanti, lelaki ini merajuk pula.

“Saya kawan dengan semua orang tapi setakat ni, saya belum pernah lamar mana-mana perempuan. Hati ni belum lagi teringin nak kahwin. Kecuali kalau awak nak kahwin dengan saya, kut. Mungkin awak akan jadi perempuan pertama yang saya lamar.”  

“Awak nak lamar saya?”

“Awak nak kahwin dengan saya ke?”

“Hisy, tak boleh! Saya dah ada kawan. Nama dia Hazran. Dia cintakan saya. Jadi, saya tak boleh terima awak.”
................................

5

Tiba-tibalah rindu
Semakin sayu teringatkanmu
Pulang
Pulanglah sayang
Hatiku rindu bukan kepalang....
        
Syafika menutup telinga. Kenapalah mak dia suka sangat buka siaran Sinar FM ni? Lagu retro tu pulak yang beralun! Haih... tak tahan dengar. Rindu konon! Rindu pada siapa?

Hari ini, dah 3 hari dia balik kampung di Bota Kanan. Puas dah makan durian dari dusun. Seronok, maklum dusun tepi rumah aje. Durian mentah, pengat durian, kuah durian, berbagai-bagai resepi durian sudah dicuba dalam masa beberapa hari ini. Tapi, yang paling best, dapat makan kuah lemak tempoyak ikan patin masakan emak yang..umph... keenakannya sehingga menjilat jari. Jauh lebih sedap berbanding KFC.

Tapi walaupun dia berselera aje makan sampai dua tiga pinggan nasi, kepala tetap serabut juga. Mak dok paksa dia buat pilihan segera. Ayahpun macam mahukan dia segera luahkan keputusan. Tapi dia? Dia pening! Minum air durian berpangsa-pangsa pun, rasa panas tetap tak hilang jugak. Kalau panas pun tak hilang, macam mana pening nak menjauh, kan?

“Dah solat istikharah? Siapa yang kamu nampak?” tanya ayah.

“Tak nampak siapa-siapapun.”

Haji Idris termenung. Tak masuk akal jawapan anak perempuannya ini.

“Takkan tak nampak? Hazran ke? Nazmi Iskandar tu ke? Ke ada muka yang lain?” soalnya. Si ibu pun dah kecilkan mata separuh sepetnya. Puan Rohaya pun tak memahami. Kenapa kedua-duanya tak masuk dalam mimpi si anak?

“Mak, ayah... Ika pun keliru ni. Memang dah solat dah tapi Ika tak ada jawapannya.” Syafika meyakinkan ayah dan ibu.  

“Habis tu? Macam mana? Esok, dua-dua pihak nak datang. Apa jawapan yang mak nak bagi pada diorang?” soal si ibu.

Syafika tersenyum sumbing aje.... “Tak apa, mak. Kalau mak dengan ayah izinkan, biar Ika aje yang beritahu apa keputusan Ika. Boleh tak, mak? Ayah?”

Tuan Halim dan Puan Syamimi bersama-sama Nazmi Iskandar tiba awal pagi esoknya. Sempatlah ke dusun di belakang rumah untuk merasa mengopek durian yang baru gugur. Kekok aje orang KL tu nak buka pangsa. Tapi, semangat kental Nazmi Iskandar untuk makan durian hasil usaha sendiri, akhirnya berjaya. Bangga benar dia dapat buka setiap pangsa. Geli hati semua yang melihat.

“Sedap rupa-rupanya kalau dapat makan dekat dangau macam gini, kan?” Nazmi Iskandar tersenyum menggoda. Syafika buat-buat tak dengar.

“Tapi kat sini tak ada durian D24. Yang ada cuma durian kampung aje.”

“Durian kampung ni sedap. Enak betul. Terutama yang kucing tidur tu.” Balas Nazmi Iskandar.

“Hmm...”

"Tapi, kalau orang tu tak sudi terima diri saya ni, inilah kali pertama dan terakhir saya makan durian kampung, Ika.”

Syafika segera menatap wajah yang baru saja mengalunkan suara sayu mendayu. Sedihnya rasa hati tengok wajah tu. Mendung macam nak hujan. Tapi dia tidak membalas. Sengaja menyimpan jawapan tersimpul kemas dalam sanubari.

Hazran dan keluarganya tiba ketika hampir waktu untuk makan tengah hari. Hendak tah hendak sahaja dia menyalami tangan Nazmi Iskandar. Mukanya serius sangat. Sepasang mata tajam menengok si Syafika. Macam nak terjojol keluar. Sakit hati dan cemburu Nazmi melihat gaya ‘dia hak aku, kau tak boleh rampas dia!’ tu..

Lepas makan, tibalah masa untuk Syafika membuat keputusan. Jenuh nak telan air liur.

“Tuan Halim, boleh saya tanya sikit?”

Tuan Halim mengangguk.

“Err, kalau saya tak pilih anak tuan, saya masih boleh bekerja di pejabat tuan tak?”

Muka tak malu. Pinangan anak bos besar ditolak, tapi masih nak bekerja dan cari makan di syarikatnya. Apa punya olang...

“Takkan tak boleh pulak. Nikah kahwin ni, hal peribadi. Saya kenalah bertindak secara profesional. Bisnes dengan peribadi, saya tak campur. Jadi, Syafika, ya...awak masih boleh kerja dengan saya.” Tuan Halim memberitahu.

“Terima kasih, bos besar.” Syafika membalas.

Tetiba, Nazmi Iskandar bangun. Dia terus mendapatkan Hazran. “Tahniah! Nampaknya Ika dah pilih awak. Beruntunglah awak, Hazran. Saya harap, awak jaga Ika baik-baik.” Ujarnya.

Semua orang melihat dua lelaki muda itu berpelukan. Syafika dan ibu serta ayahnya saling berpandangan. Isyarat mata yang hanya mereka bertiga yang dapat mentafsirkannya.
..............................   
6

“Ika, encik Nazmi Iskandar panggil kau.”

Syafika mengerut dahi. Kali terakhir dia bercakap dengan lelaki itu ialah semasa di kampung. Sejak 3 bulan lepas, tak sepatah mereka bertegur sapa. Lelaki itu pula kembali kepada kelakuan lama. Asyik berdating dan bertukar-tukar girlfriend. Dirinya tidak diendahkan. Apa pulak mahunya sekarang? Mimpi apa semalam? Owhh... mimpi makan durian kut. Kan Nazmi Iskandar suka makan durian? Tapi musim durian dah habis...

“Ika?” Mai pula mengerut dahi. Hairan dengan sikap teragak-agak Syafika.

Sebaik dengar suara jantan Nazmi Iskandar menyuruhnya masuk, Syafika membuka pintu bilik. Si dia sedang berdiri tengok luar. Hari sedang hujan. Apa yang kelihatan? Ah, ha...tentu dia tengok kereta bersesak-sesak kerana jalan ‘jammed’

Syafika terus duduk. Gelisah rasa dia. Dah lama tak berbual-bual, tentulah kekok.

“Malam ni, kita pergi makan di Restoran Berputar.”

“Kita?”

Nazmi Iskandar mengangguk.

“Tak naklah. Saya nak rehat di rumah.” Syafika menolak.

“Esok, dalam pukul 8, Ika tunggu abang datang. Abang ambil Ika sebab mak ajak Ika lunch sama-sama di rumah kami.”

Syafika terpegun. Nak kata salah dengar, suara tu cukup jelas dan dia yakin pendengarannya serta semua saraf masih elok. Tapi, ini sesuatu yang pelik. 3 bulan lelaki itu menjauhkan diri daripada dia, tetiba cakap benda yang tak masuk akal pulak.

“Waktu petang, kita keluar shopping. Kita bawak mak sekali. Banyak benda yang boleh kita beli sama-sama...”

“Stop! Cop!” wajah Nazmi Iskandar yang tersenyum-senyum direnungi tajam. “Encik mimpi ke? Tapi, siang lagi ni? Mengigau ek? Itulah... suka sangat berpeleseran waktu malam. Ni, kan dah mamai dah?” Syafika merungut.

“Dengarnya, makcik dengan pakcik nak datang sini? Bila? Lusa, kan?” soal Nazmi tanpa mengendahkan wajah berkerut Syafika.

Dari mana pulak mamat ni tahu, soal Syafika dalam hati. Dia semakin keliru.

“Ika, abang tanya Ika ni...”

“Saya dengar tapi saya konpius sikit sekarang ni....”

Nazmi Iskandar ketawa besar. Geli hati mendengar pengakuan Syafika. “Confuse? Kenapa?”

“Awaklah! Cakap pelik-pelik aje? Demam ke?” Syafika menggumam.

“Demam? Hmm, demam rindu. Demam cinta.”

Syafika sesak dada. Lelaki ini dah tak betul ni, fikirnya. Dia hendak keluar. Takut penyakit itu berjangkit kepada dirinya.

“Tu nak ke mana tu? Takkan nak lari bila dengar abang mengaku dan meluah perasaan? Dah lama abang pendam ni. Rasa macam nak meletup dada ni, Ika.”

Syafika tak jadi buka pintu. Dia menoleh ke arah Nazmi Iskandar semula. Wajah tampan itu diamati. Tak ada dah gelak. Serius bukan main sekarang. Lelaki itu melihatnya bersama mesej yang jelas kelihatan di mata. Oh ya, pandangan yang penuh panahan cinta.. huhu...

“Syafika, kenapa blur sangat muka tu? Tak percaya ke yang abang dah jatuh cinta tergolek-golek pada Ika? Tak percaya?”

“Macam mana nak percaya? Sejak balik dari kampung, saya tengok awak asyik tukar girlfriend macam tukar baju. Satu hari seorang. So, bila masa awak jatuh cinta pada saya? Cakap?”

Nazmi tersengih macam kerang busuk. “Jatuh cinta tu dah lama dah. Tapi, sengaja dipendam bila Ika tak pilih abang. Perempuan tu semua hanya untuk buat abang lupakan Ika. Ika pun satu. Kenapa tak beritahu yang Ika tak pilih Hazran jugak? Nasib baik...”

Nasib baik? Apa? Syafika menyoal diri. Tapi Nazmi Iskandar menjawab persoalannya.

“Nasib baik minggu lepas, abang jumpa Hazran dengan makwe dia. Baru pecah tembelang. Nak harapkan Ika bocorkan rahsia..melaralah jawabnya.” Nazmi Iskandar berjeda. Lama... tiba-tiba dia bersuara lagi, “Bodoh betul abang masa tu, kan? Ika sebetulnya nak reject kami berdua. Tapi, abang pulak terburu-buru. Dengar aje Ika tanya ayah macam tu, terus hati abang terusik. Terus merasakan yang peluang untuk abang dah tertutup. Kenapa Ika tak mahu kami?”

Syafika ketawa. “Saya tak boleh kahwin dua, awak.”

Terbeliak mata Nazmi Iskandar. Syafika pula ketawa riang. “Hazran kawan baik saya jadi saya tak sampai hati nak tolak dia. Sedangkan nak terima awak, saya tak yakin. Sebab itu saya reject dua-dua.” Dia memberitahu.

“Sekarang? Ika masih tak yakin pada abang? Pada perasaan abang terhadap Ika?”

Syafika senyum. “Abang? Ika?”

“Habis? Takkan selamanya nak bersaya – awak. Ika bakal jadi isteri abang. Mak bapak abang dah sepakat dengan mak bapak Ika untuk nikahkan kita secepat mungkin.”

“Tapi saya belum...”

“Jatuh cinta pada abang? Amboi, susahnya nak miliki sekeping hati Ika, ya? Tapi, Ika jangan susah hati. Kan orang tua-tua ada cakap, kalau seorang perempuan nak kahwin, kahwinlah dengan lelaki yang mencintainya sepenuh hati. InsyaAllah, dia akan bahagia. Lelaki itu akan membahagiakannya. Dan, itulah janji abang. Abang akan cuba bahagiakan Ika. Berikan Ika apa aje yang Ika mahu. Saat abang lafazkan ijap kabul nanti, yakinlah bahawa cinta abang milik Ika, selagi Allah mengizinkan.”
.................................
Akhir

Mereka berkahwin akhirnya. Bukan kerana Syafika seorang yang gila harta lalu memilih Nazmi Iskandar yang kaya. Tapi kerana sudah jodoh mereka. Ya, jodoh. Ada orang jodohnya jiran sebelah rumah aje. Ada orang, jodohnya orang di seberang lautan. Ada pula, bencinya melampau tapi itulah juga jodohnya, pasangannya. Ada juga, yang berkawan bertahun-tahun, tapi sampai satu tahap baru menyedari bahawa mereka berjodoh.

“Hmm, kita meraikan sesuatu?” Soal Nazmi Iskandar bila Syafika memadamkan lampu dan kini cahaya suram lilin di atas meja makan memberikan suasana penuh romantika. “Candle-lit dinner?” soalnya lagi.

Syafika membiarkan sahaja. Dia memasang CD. Alunan surah al Mulk memenuhi ruang. Nazmi semakin pelik. Syafika macam orang bisu menyuruh dia makan. Tapi iyalah, kan. Ayat suci sedang berkumandang, tak baiklah bercakap-cakap. Lalu mereka makan dalam suasana harmonis tanpa gangguan.

Pinggan sudah dibasuh. Perut sudah kenyang. Bilik pun dah terang benderang. Santai pula keadaan mereka kini. Syafika baring meletakkan kepala di atas paha suaminya. Sengaja nak manja-manja meskipun Nazmi Iskandar begitu asyik menonton bola.

“Abang, jom keluar cari buah durian.”

“Alah, abang nak tengok bola, sayang.”

“Owhh....okey!”

Aik macam merajuk aje bunyi suara isteri aku ni. Kenapa?

“Ika marah?”

Syafika menggeleng.

Marahlah tu.... alah, dah dekat 7 tahun mereka kahwin, dah kenal sangat dia dengan sikap isterinya ni. Marah ke, geram ke, suka..semua dah boleh baca dah....

“Jom!” dia cuba menolak isterinya untuk duduk.

“Betul ni nak bawak Ika makan durian?” si isteri teruja.

“Habis, kalau tidak nanti, menangis pulak isteri abang ni.” Nazmi mengusik.

Syafika ketawa riang sambil memeluk leher suaminya. “Actually, bukan Ika yang nak makan. Anak kita kat dalam perut Ika ni yang mintak.” Dia cuba menyampaikan mesej.

“Okey..” balas Nazmi. Dia terus bangun untuk menukar seluar. Tapi tak jauh bergerak dia memberhentikan langkah. Wajah isteri yang sedang tersenyum-senyum ditatap. Lepas tu, dia terus jerit, tak hengat...

“Mak, Is nak jadi ayah dah....”

Mak, mak mentua, bapak, bapak mentua semua keluar bilik. Mereka tengok wajah Syafika yang tersengih.

Puan Syamimi bertanya, “Ika, dia baru tahu ke?”

“Ya, mak.”

“Ya Allah.... dah lima bulan Ika ni mengandung, kamu tak tahu-tahu, Is?”

“Hah, dah 5 bulan?” sepasang mata nakal merenung perut isterinya. “Alah, Ika tak cakap, macam mana Is nak tahu?” Soalnya pula.

“Itulah... tak prihatin! Kata sayang?” perli si ayah.

“Eh, siapa cakap tak sayang, ayah, cuma..”

“Abang sayang Ika, mak. Cuma, dia tak sangka yang selepas 7 tahun baru Ika nak mengandung. Kan, bang?”

Nazmi mengangguk. Dia kemudian baru tersedar bila melihat semua orang sudah siap berpakaian. “Nak pergi mana?” tanya dia.

“Makan durian..”

Nazmi angkat kening. Syafika ketawa. Hari ini kebahagiaannya lengkap. Nazmi Iskandar sudah tahu bahawa tidak lama lagi dia bakal bergelar ayah. Dan, sedikitpun Syafika tidak meragui bahawa Nazmi akan menjadi seorang ayah yang baik sebagaimana lelaki itu telah membuktikan bahawa dirinya ialah suami Syafika yang terbaik.

“Abang sayang Ika. And abang sayang anak kita.” Bisik Nazmi sambil mengelus perut isterinya. Saat itu, ada tendangan dirasakan di kulit, menandakan si dia di dalam turut memahami kata-kata ayahnya. Nazmi ketawa. Riang sungguh!

“Abang akan cuba jadi ayah terbaik untuk anak kita.” Bisik Nazmi sebak.

“Ika tahu...”

“Terima kasih, sayang.”

Syafika tersenyum. Hatinya puas mendengar ucapan itu. Ya, terima kasih, sayang. Terima kasih kerana menjadi penyeri dalam hidup seorang bergelar suami. Terima kasih kerana menjadi penawar bila hati suami diamuk amarah. Terima kasih kerana menjadi sahabat untuk berkongsi masalah. Dan terima kasih kerana sentiasa ada di sisi saat susah dan senang, saat suka dan duka, saat bahagia dan derita.

Terima kasih, sayang...  

    

yang cantik, menarik dan yang pelik semasa majlis kate-will

April 30, 2011 0 Comments

pasangan pengantin terpopular era ini memang ngam kan...
baju kate tu..mmm, sopan pulak tu. suka sangat.
william usah ceritalah..memang handsome giler, kan? hehe...
si baju biru ni adalah antara yang paling menawan datang ke majlis pernikahan tersebut.
topi tu disukai ramai penggemar fesyen
ada yang tak kenal pasangan glamour ni ke?
david dan victoria beckam.
victoria tu sedang mengandung 7 bulan
tu la pasal muka dia agak blur huhu...
ayu sungguh 2 wanita bangsawan spain ini.
yang memakai baju biru tu ibu dan di kiri, isteri.
bertuahnya badan...

ni dua orang anak putera andrew. mereka ni tak pandai beregek..
dan dapatlah title worst dressed royals.
terutama topi yang macam sotong kurita tu.
ibu mereka, sarah ferguson tidak dijemput ke maljlis perkahwinan ini.

pasangan syami 'isteri' gay ini pun dijemput..tapi yalah, kan...
tu Sir Elton John...mana boleh tinggal huhu....

29.4.11

dialog istimewa dalam cintamu cintaku satu

April 29, 2011 6 Comments
Ana Sofiya

Ni antara dialog-dialog yang aku rasakan menarik dalam novel Cintamu Cintaku Satu. Layanzz.....



Dialog 1:
Suhana: “Perempuan ni yang ada dekat luar tu! Dia yang nak jumpa bos. Sebab tu saya tanya sama ada bos nak ke tidak bercakap dengan dia. Mana tahu, takut luka lama berdarah semula pulak.”
Taufik: “Su, awak jangan nak bergurau, okey!”
Suhana: “Betul, bos! Dia ni yang datang nak jumpa bos! Dia ni yang di luar tu! Memang dia! Takkanlah saya tak kenal pulak? Dah tiga tahun saya tengok gambarnya kat atas meja bos tu! Memang dia, bukan perempuan lain!”
Dialog 2:
Taufik: “Saya dah faham sekarang. Saya ada anak saudara yang sudah berumur tiga tahun. Dulu dia sihat tetapi sekarang dia sakit. Itu bererti, jika dia masih sihat sekarang, saya tidak akan tahu tentang kewujudannya. Betul tak, saudari?” 
Nurul Hana: “Kalau awak berada di tempat saya, di tempat keluarga Nurul Liyana, awak juga akan melakukan perkara yang sama. Awak juga akan menyembunyikan hakikat itu daripada pengetahuan ibu mertuanya yang zalim!”
Taufik: “Wau! Tahniah! Awak sudah berjaya membuat saya marah! Sudahlah awak dan keluarga awak menyembunyikan suatu hakikat yang penting daripada pengetahuan saya dan umi selama ni, sekarang awak kutuk umi saya pulak?”
Dialog 3:
Taufik: “Irfan, itu siapa?”
Irfan: “Mama!”
Taufik: “Ini?”
Irfan: “Papa?”
Nurul Hana: “Irfan, kenapa panggil papa pulak? Ini bukan papa Irfan. Ini pak long, tahu?”
Taufik: “Biarlah dia panggil saya, papa. Apa salahnya? Betul tak, pak cik?”
Dialog 4:
Nurul Hana: “Kalau dah kedekut sangat, kenapa awak buat bayaran kepada doktor tu? Kenapa tak biarkan saja? Biar tak payah bedah Irfan! Simpan sahaja duit awak tu. Ini tidak! Bila dah buat bayaran, dah nak buat pembedahan, baru nak cakap macam gini. Awak ingat senang ke saya nak cari duit sebanyak tu untuk bayar balik kepada awak?”
Taufik: “Saya ada cadangan untuk awak langsaikan hutang tu.”   
Nurul Hana: “Yalah tu! Bila dah sakitkan hati saya, dah buat saya marah, baru nak cakap ada cara. Ada cadangan!”
Taufik: “Kahwin dengan saya,”
Nurul Hana: “Awak cakap apa ni, Encik Taufik? Kahwin dengan awak? Siapa yang awak nak suruh kahwin dengan awak?”
Taufik: “Hai, saya kan sedang berbual dengan awak. Tentulah awak yang saya ajak kahwin!”
Nurul Hana: “Masya-Allah, Encik Taufik. Kenapa dengan awak ni? Demam ke? Kita kan sedang cakap soal duit? Yang awak tiba-tiba cakap hal kahwin apasal? Lawaklah awak ni,”
Taufik: “Ana, tengok muka saya ni! Serius atau sedang bergurau dengan awak?”
Dialog 5:
Nurul Hana: “Awak memang melampau! Awak ingat kami nak jual Irfan ya? Hei, Irfan tu permata hidup kami tau! Dia bukan barang! Bukan bola! Nak ditendang-tendang merata-rata!”
Taufik masih tidak membalas. Kini, dia sedang santai duduk di hujung katil. Dia diam lagi.      
Nurul Hana: “Kenapa dengan awak ni? Kenapa asyik diam? Awak pekakkah?”     
Amboi-amboi, sedap-sedap saja dirinya dikatakan pekak oleh gadis ini. Tetapi apa hendak dibuat, dengar sahajalah!    
Nurul Hana: “Encik Taufik, saya sedang bercakap dengan awak ni!”
Taufik: “Saya tahu, Ana!”
Nurul Hana: “Kalau awak terus-menerus buat perangai macam ni, saya nak balik!” 
Taufik: “Kalau awak balik, Irfan akan jadi milik saya!”
Nurul Hana: “Hah, itulah sebenarnya, kan? Dah sah! Memang niat awak tak betul! Irfan milik awak konon! Macam mana awak boleh kata macam tu? Siapa yang besarkan dia selama ni? Awak ke?”
Dialog 6:
Taufik: “Cuba berterus terang dengan abang. Apakah Ana membenci abang kerana memaksa Ana dalam perkahwinan kita ini?”
Nurul Hana: “Tentulah! Dalam hidup Ana, tak pernah ada sesiapa memaksa Ana melakukan sesuatu yang Ana tak suka. Tapi abang, pandai-pandai abang aje mengatur hidup Ana. Tapi, itulah! Abang ingat abang hebat sangat, kan? Ana pun ada perancangan Ana sendiri jugak, tahu!”
Taufik: “Apa maksud Ana?”
Nurul Hana: “Abang, Ana ni kan Nurul Hana binti Abdullah. Adik kepada Nurul Liyana binti Abdullah. Kalau kak long berjaya menambat hati Abang Roslan, bukan susah untuk Ana menakluki hati abangnya, Encik Taufik Azhari bin Ahmad Rizal ni tau!”
Taufik: “Maksud Ana, sejak abang berjaya buat Ana setuju berkahwin dengan abang di Hotel Sri Malaysia tu, Ana dah mula merancang sesuatu? Sesuatu untuk mengikat abang pada Ana? Macam tu?”
Nurul Hana: “Hmm, Ana nak balas dendam pada abang, tahu!”
Taufik: “Balas dendam?”
Nurul Hana: “Yalah! Abang ingat senang-senang aje ke Ana nak terima abang dengan umi yang pernah buat tak ketahuan pada kak long?”
Dialog 7:
Nurul Hana: “Azim, hari tu awak kata, kak long dengan awak sama-sama belajar di UiTM. Awak dengan dia pernah bercinta ke?”
Azim: “Kak long you tu mata duitan, Ana. I ni dia tak pandang, cik oi! Tu, suami Ana tu yang jadi sasaran dia,”
Nurul Hana: “Taufik? Taufik Azhari?”
Azim: “Siapa lagi? Kan Liyana kerja di syarikat tu?”
Nurul Hana: “Apa maksud awak, Azim?”
Azim: “Ana, Yana dengan Taufik tu pasangan kekasih...”
Nurul Hana: “Azim!!!”
Azim: “Shh! Duduk! Duduk! Tenang!”
Dialog 8:
Irfan: “Mama, kenapa papa mati?”
Nurul Hana: “Sayang, semua orang pun akan mati. Cuma, Allah sayang papa, sebab itu Dia jemput papa pergi dulu.”
Irfan: “Ifan sayang papa, kenapa papa tak bawak Ifan sekali? Kenapa papa pergi sorang-sorang?”
Nurul Hana: “Memang Ifan sayang papa. Mama pun sayang papa jugak. Tapi, papa kena balik ke sana dulu. Papa tunggu kita di sana.” 
Irfan: “Semua orang nanti balik sana ya, mama? Lambat lagi ke, mama, kita nak ikut papa?”
Nurul Hana: “Kalau boleh, mama nak ikut papa, sayang. Sekarang juga, mama ingin berada di sisinya. Tapi, malangnya kita sudah terpisah di dua dunia. Papamu sudah berada di alam barzakh dan kita harus meneruskan hidup dalam dunia fana ini. Tapi, Fan, kenangan yang papa tinggalkan untuk kita terlalu banyak. Buat pengubat rindu kita kepadanya,”
Dialog 9:
Nurul Hana: “Tak! Tak! Tak boleh!! Tak boleh! Jangan dekati saya!!”
Taufik: “Kenapa? Kenapa abang tak boleh dekati Ana? Kenapa tak boleh nak sentuh Ana? Takkanlah baru sebulan lebih abang ‘mati’, Ana dah tak kenal abang dah? Ana...ini abanglah! Abang, Taufik Azhari. Abang ni suami Ana. Taufik Azhari belum mati lagi, sayang!”
Nurul Hana: “Kalau betul awak ni suami saya, Taufik Azhari bin Ahmad Rizal, awak mesti jawab dulu soalan-soalan saya ni!”
Taufik: “Macam mana kalau abang tak dapat jawab soalan Ana tu?” tanya dia. 
Nurul Hana: “Awak mesti lepaskan saya. Saya tak boleh berada dengan awak dalam bilik ni. Kita orang asing!”
Dialog 10:
Taufik: “Assalamualaikum. Nama saya, Taufik Azhari bin Ahmad Rizal. Saudari tentu pernah dengar nama saya, kan?”
Nurul Hana: “Nama saya, Nurul Hana binti Abdullah dan maaf, ini kali pertama saya dengar nama encik.”
Taufik: “Selamat berkenalan, Ana. Boleh saya panggil awak macam tu?”
Nurul Hana: “Err, boleh tolong lepaskan tangan saya tak?”
Taufik: “Kalau saya lepaskan tangan awak ni, awak tak akan pergi daripada saya lagi, kan? Janji?”
Nurul Hana: “Ke mana saya boleh pergi? Sana tu kan laut? Di sekeliling, semuanya laut. Tak boleh nak lepaskan diri lagi,”  
...................................
harap anda suka
sofi

berhutang... perlukah?

April 29, 2011 2 Comments
assalamualaikum


di pagi jumaat ni, biarlah kita bertazkirah pula. mudah mudahan hati menjadi lembut dan hidup menjadi lebih bermakna.


anda ada hutang tak? siapa yang tidak, kan? 


berhutang ialah satu fenomena kurang sihat, tapi dianggap sihat oleh masyarakat hari ini. Ia berpunca daripada kurangnya maklumat mengenai bahaya hutang dalam keadaan berkemampuan.


baca betul-betul, ya! berhutang dalam keadaan mampu. ramai antara kita yang buat tu...


ramai di antara kita ada hutang pengajian, rumah dan kereta tapi segelintir enggan membayarnya malah lebih rela diisytiharkan muflis asalkan tidak perlu membayar hutang yang menimbun. Ia kelihatan enak untuk tidak membayar hutang di dunia, tetapi pasti akan menjadi malapetaka di akhirat.


Nabi Muhammad SAW bersabda: 
“Diampunkan semua dosa bagi orang mati yang terkorban syahid, kecuali jika dia mempunyai hutang (kepada manusia)” 
(Riwayat Muslim, 6/38)


ada juga di antara kita yang meminjam dengan niat untuk tidak memulangkan kembali. 


sabda Rasulullah: 
“Barang siapa meminjam harta orang lain dengan niat ingin mengembalikannya, Allah akan mengembalikan pinjaman itu, namun siapa yang meminjamnya dengan niat ingin merugikannya, Allah akan merugikannya.” 
(Riwayat Al-Bukhari, 2/83) 


Baginda Rasulullah kerap mengajar umat Islam supaya berdoa dilepaskan daripada hutang: 
“Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada dosa dan hutang.” 
Lalu baginda ditanya: 
“Mengapa engkau sering meminta perlindungan daripada hutang, wahai Rasulullah?”
Baginda menjawab: 
“Jika seseorang berhutang, apabila berbicara dia dusta, apabila berjanji dia mengingkari.” 
(Riwayat Al-Bukhari, 1/214) 


jelas aktiviti berhutang itu kurang sihat menurut pandangan Islam. sebab itu kita sewajarnya menjauhi hutang semampu boleh. 


untuk kurangkan hutang, buatlah yang berikut:-

1. usah guna kad kredit tapi gunalah kad debit sahaja. ada duit ada kad, hehe...


2. usah buat pinjaman peribadi kalau sekadar nak meminjam bila orang lain pinjam. Perlu disedari, seluruh jenis pinjaman peribadi secara konvensional diharamkan oleh Islam dengan sepakat seluruh ulama. Cuma hari ini, ada beberapa bank Islam dan perbankan Islam menawarkan pinjaman (pembiayaan) peribadi secara Islam.

Sebagai makluman, tidak semua bank Islam menawarkannya kerana produk ini berlandaskan konsep ‘bai inah’ (jual dan beli semula antara dua pihak sama). Konsep ini sangat kontroversi dan ditolak kebanyakan ulama Timur Tengah, namun ia diterima ulama Malaysia dan Brunei. Apapun, kebiasaannya kadar dikenakan tinggi. Oleh itu, penggunaannya tanpa keperluan yang sangat mendesak perlu dikurangkan atau dihapuskan terus demi mengurangkan beban hutang yang ditanggung.

3. Perumahan dan kereta: Dua item ini mungkin keperluan asas bagi kebanyakan individu. pinjamlah sebab di era ini kita memang kena ada kereta dan rumah cuma biarlah ukur baju di badan sendiri.


harap artikel ini membantu kita supaya kurangkan berhutang. 


28.4.11

jangan ambil mudah bila diserang senggugut...

April 28, 2011 4 Comments



anda senggugut? sakit yang teramat sangat bila period? sampai terpaksa baring, mengerekot kerana kejang di perut bila datang haid?


semua itu mungkin kerana anda mempunyai cyst (sista). di mana? di luar rahim? gejala yang dinamakan sebagai endometriosis...
“Sista endometriosis adalah keadaan di mana tisu yang menyerupai selaput rahim tumbuh di luar rahim seperti di ovari, tiub fallopian, usus, pundi kencing dan pelvis. Ia sepatutnya gugur dan menjadi darah semasa datang haid, tetapi sisa-sisa darah yang tidak gugur dan melekat di kawasan lain ini bertukar menjadi sista. Keadaan ini menjadikan pesakit berasa tidak selesa dan sakit di kawasan bawah perut dan belakang setiap kali datang haid ataupun ketika mengadakan hubungan suami isteri."
Perunding Perbidanan dan Sakit Puan dari Damai Service Hospital, Dr. Mahes Sittampalam



endometriosis juga merupakan punca utama ketidaksuburan wanita. 
“Sista yang terdiri daripada gumpalan darah lama itu biasanya melekat di kawasan tiub fallopian dan ovari. Jika keadaan ini berlaku, ia akan menghalang laluan sperma untuk sampai ke telur. Jika berlarutan, sista boleh membesar dan pesakit sukar untuk hamil." 
Sista boleh membesar dan merebak, tetapi sista tidak boleh bertukar menjadi kanser. 
“Senggugut yang teruk dikaitkan dengan sista yang membengkak disebabkan rangsangan estrogen yang dirembeskan semasa haid.
Tompokan sista yang pecah pula akan memburukkan keadaan kerana perut akan mengalami kekejangan berganda,” 
Kaedah terbaik untuk mengesan ujudnya sista endometriosis adalah melalui ujian laparoskopi di mana doktor akan memasukkan tuib berkamera di sekitar kawasan peranakan. Pembedahan perlu dilakukan jika ukuran sista melebihi lima sentimeter dan wanita ingin mengandung. Jika sista yang ditemui kecil, ia boleh dikawal dengan mengambil suntikan Danazol, Lucrin Depot ataupun Depo-provera. Pil perancang juga boleh digunakan dalam sesetengah kes.


Kehadiran sista bagaimanapun tidak akan mengganggu tumbesaran janin sekiranya pesakit hamil.
“Endometriosis melekat di luar kawasan rahim. Jadi, janin tidak ada masalah untuk membesar.
Namun, jika sista terus membesar dan memberi simptom kesakitan mengejut kepada si ibu sepanjang tempoh kehamilan, pembedahan untuk membuang sista perlu dilakukan. Jika tidak, doktor akan hanya memeriksa tumbesaran sista tersebut. Malah, kalau pesakit hamil, ia adalah petanda bagus kerana mengandung adalah rawatan semula jadi untuk sista ini. Apabila wanita hamil, rangsangan estrogen yang hadir setiap kali datang haid akan terhenti untuk tempoh 10 bulan atau lebih. Keadaan ini menyebabkan sista mengecut dan hilang secara semula jadi,” 
kesimpulan? 

jangan pandang remeh jika anda yang sudah berkahwin masih mengalami senggugut yang teruk setiap bulan. harap artikel ini membantu. 

sumber: kosmo