apa yang nampak, apa yang rasa, apa yang dengar

21.3.11

Melur Jasmine 2

“Aaaaa……”

Seluruh kelas terkejut mendengar tempikan suara yang amat kuat itu. Semua yang ada segera menoleh ke belakang. Ada yang tergelak-gelak bila melihat si dia yang baru saja mengeluarkan suara gegak gempita itu kini sedang terlentang akibat terjatuh. Wajahnya pula kelihatan pucat. Mengapa?

Cikgu Nora yang baru sahaja hendak duduk untuk menulis sesuatu di dalam buku rekod mengajarnya terus berdiri tegak. Kini dia sudah mula menggeleng-gelengkan kepala. Perlahan-lahan, langkah diatur untuk menuju ke bahagia belakang kelas 5S1, lebih tepat lagi, dia hendak ke meja budak lelaki yang terjatuh tadi. 


Sambil berdiri bercekak pinggang, Cikgu Nora merenung tajam. Marahnya dia kepada murid yang sememangnya banyak perangai itu. Hari ini, dia dah tak boleh nak kawal perasaan. Sakit hatinya bila pengajarannya terganggu.

“Kamu ni kenapa Badrul Aminudin Haziq? Asyik nak ganggu cikgu mengajar aje. Tak boleh ke jadi budak baik untuk sehari dan dengar? Susah sangat ke?” Cikgu Nora mula berleter. Tu baru mukaddimah, sekejap lagi..siaplah! Mesti volum pun naik sama. Tapi, ada si Badrul tu kisah? Huh.... 

“Ni, bukan masalah jadi budak baik atau budak jahat, cikgu. Selama ni, ada ke saya kacau cikgu ajar? Saya tak pernah mencelah bila cikgu tengah bercakap, kan? Tapi,” Sepasang mata sedang mencerlung ke arah seseorang yang sedari tadi langsung tidak peduli pada kejadian yang baru berlaku. Gadis itu langsung tidak berkutik. Usahkan gelak, senyumpun langsung tidak merekah di bibir. Menoleh untuk melihat keadaan dirinya pun tidak! Sah! Sah! Mesti dia yang buat ni! Hatinya menuduh. Dan, Badrul lantas bangun!

“Kejap ya, cikgu!” Dia tunduk dan mengambil sesuatu dari dalam laci meja dan tanpa mempedulikan renungan semua orang, dia terus melangkah ke arah meja Melur.

“Nah!”

Begitu berani Badrul memegang haiwan itu dan membuaikannya di hadapan muka Melur. Kini giliran gadis itu pula untuk terjerit-jerit, menggamatkan suasana di dalam kelas. Muka segera dijauhkan daripada hayunan yang dibuat oleh Badrul. 

“Badrullll!!!!” Cikgu Nora bertempik sebaik mengenalpasti haiwan kecil itu ialah seekor kala jengking.

Badrul menyembunyikan senyuman sinisnya. “Cikgu, tadi saya jerit sebab saya nampak kala jengking ni lah! Mana boleh kawal suara bila terkejut, kan?" dia memberitahu.


"Yang kamu hayunkan kala jengking tu di depan muka si Melur, buat apa?" marah Cikgu Nora.  


"Sebab dia, budak bunga Melur ni yang masukkan kala jengking tu dalam laci meja saya, cikgu." Selamba sahaja tuduhan itu Badrul lemparkan. Hatinya bukan main seronok tengok wajah merah padam Melur.   

Melur sudah naik angin. Tidak fasal-fasal budak lelaki ini menuduhnya. Sakit hati betul! 


“Awak jangan main tuduh-tuduh, ya!” marahnya. Matanya buntang macam nak telan si Badrul aje. Grrr....



"Hanya musuh aje yang akan buat begitu pada musuh dia.” tegas Badrul. Dia amat yakin bahawa tidak ada orang lain yang berani buat begitu kepadanya melainkan si Melur ni sorang sahaja. Yang lain-lain dia dah lama kenal. Mereka tidak akan berani berbuat begitu. Mereka tahu padah yang akan mereka dapat jika dia sudah hilang kesabaran. 


"Musuh? Bila masa saya bermusuh dengan awak? Yang saya tahu, awak yang mengisytiharkan saya ni musuh awak hari tu. Bagi saya. saya tak pernah nak bermusuh dengan sesiapapun!" Melur bersuara sebak. 


Melihat Melur begitu, angin Badrul makin naik. "Memang kau musuh aku sebab itu kau nak kala jengking tu gigit aku, kan? Mengaku sekarang!" suaranya kuat menyuruh Melur membuat semua orang tersentak. 


Melur menagih simpati daripada Cikgu Bahasa Melayu mereka yang terpegun diam. Entah apa sahaja yang ada dalam kepala Cikgu Nora tika ini.

“Cikgu Nora, sumpah, saya tak buat!" rayunya.


"Cikgu, memang dia, cikgu! Saya yakin!" Badrul semakin bertegas.


Melur terus berdiri tegak. "Awak ni memang dah melampau. Saya cakap tidak, tidaklah! Faham?" Ditengkingnya Badrul. Kepada cikgu Nora pula, Melur cuba meyakinkan, "Dia ni sedap-sedap aje menuduh saya. Cikgu, cuba cikgu tengok, siapa yang berani pegang kala jengking tu? Dia ke saya?" 

Cikgu Nora turut mengakui kebenaran kata-kata Melur di dalam hati. Apatah lagi, saat ini, santai benar kelihatan si Badrul memegang binatang berbisa itu seolah-olah sengatnya sudah dibuang. Huh, ini tak lain, mesti hendak membuang masa aku, fikirnya.

“Kamu sengaja nak kacau kelas saya, kan, Badrul? Takut kalau-kalau saya nak tengok karangan yang belum kamu siapkan, betul tak?”

Badrul terkumpal-kumpal. Tekaan cikgu Nora tepat sekali. 

"Dan, kamu memang sengaja hendak mengganggu Melur hari ini kan? Kamu yang berani main dengan kala jengking tu...

"Mana ada, cikgu?"

Badrul yang menyedari betapa sudah agak lama haiwan itu berada di tangannya terus saja membuang kala jengking itu. Apa yang dilakukan itu tentu sahaja menyebabkan seluruh kelas kembali hingar. Maklum, pada ketika ini sudah ramai yang menjerit ketakutan kerana si kala jengking sudah merayap di dalam kelas.

Cikgu Nora langsung bertempik....

“Badrul!!!! Apa nak jadilah dengan kamu ni, hah? Kali ni, saya tak akan lepaskan kamu. Saya dah cukup sakit hati dah. Kerja rumah yang saya bagi dahlah tak pernah disiapkan, dah tu, hari-hari kerja kamu mengacau budak perempuan. Dah, kamu ikut saya. Saya nak bawak kamu jumpa cikgu disiplin. Biar cikgu Halil sahaja yang mengajar kamu ni.” 

“Tapi, cikgu, ini bukan salah saya. Melur yang letakkan kala jengking ni dalam laci saya. Mesti dia, cikgu!” 

“Awak jangan banyak cakap. Jangan nak salahkan si Melur tu.”

“Habis, kalau dah memang dia yang letak...”

“Awak nampak ke saya letak binatang tu dalam laci meja awak? Macam saya tak ada kerja lain selain nak main-main, ya?” marah Melur. Sakit hatinya dengan sikap si Badrul yang masih mahu cikgu menghukum dirinya.  


Cikgu Nora cuba mententeramkan keadaan yang panas antara keduanya. Cuba membuat suasana kembali tenang. 

“Dah, Badrul! Cukup! Jangan nak menuduh orang lain. Memang awak yang salah. Awak saja! Sekarang, awak tangkap balik kala jengking tu. Cepat!" 


Badrul menggumam. Panas hatinya bila cikgu Nora tidak percaya apa yang dikatakan. Rasa ingin sahaja dia mencampakkan kala jengking itu ke muka si Melur. Geram ni... geram!


"Tu, loceng pun dah berbunyi tu. Cepat ikut saya.”  Kata cikgu Nora lalu meneruskan langkah ke meja guru. Nasib baik, sewaktu kejadian, pengajarannya sudah tamat. Dia sudah di dalam bahagian akhir penyampaian iaitu di bahagian refleksi. Sekurang-kurangnya, dia sudah berjaya memberikan kerja rumah. Kerja rumah..hmm, nasib kamulah Badrul. Hari ini, kamu akan dapat hadiah daripada cikgu Halil. Tulah...perangai tak pernah mahu berubah-ubah...

Badrul terpaksa memberi isyarat supaya Syahir, kawan baiknya membawakan beg sekolahnya balik. Dia tahu, bila terpaksa mengadap cikgu Halil, alamatnya, dia akan berada di bilik khas itu sehingga loceng tamat sekolah berbunyi. Sekilas, dia menjeling geram ke arah Melur. Argh, tidak syak lagi, tentu gadis itu yang melakukannya. Siapa lagi musuhnya di dalam kelas itu selain Cik Melur Airina binti Zahar?

Melur memerhati Badrul melangkah keluar meninggalkan kelas. Hatinya puas. Tersangat puas! Hari ini, dia sampai awal semata-mata untuk memasukkan kala jengking yang dibeli daripada sebuah kedai menjual haiwan eksotik, di Jalan Petaling.

Hmm, itu balasan pada kau sebab kau curi buku latihan matematik tambahan aku, minggu lepas. Banyak cantik muka kau, ya? Aku yang buat latihan sampai pukul 3 pagi, kau sedap-sedap mengaku tu kau punya jawapan. Lepas tu, selamba badak aje aku campakkan buku aku tu balik pada aku, kan? Padan muka kau. Hari ini, kau tahu, siapa Melur. Jangan sedap-sedap nak mainkan aku, okey! Melur bermonolog sendiri.

“Betul ke kau yang buat gitu?” Tini bertanya sewaktu mereka sedang berkemas hendak balik ke rumah.

Melur mengerutkan dahi. “Taklah! Kau ni.... aku takut kala jengkinglah! Ni pulak nak pegang. Kenapa? Korang ingat aku yang buat?” tanya dia.

Saidi, ketua kelas menyampuk. “Tapi, kitorang tak pernah berperang dengan Bad sampai macam gitu, Melur. Kau aje musuh dia sekarang.”

Melur menggeleng-gelengkan kepalanya. “Aku pun bukannya nak buat dia musuh aku. Korang pun tahu kan, yang dia mengisytiharkan perang dengan aku, bukan aku! Aku tak peduli apa dia buat pada aku. Dan aku tak kisah dia nak tuduh aku apa pun. Dia tak ada bukti! Lantak dialah!” balasnya. Tanpa menunggu, Melur melangkah meninggalkan kelas. Di pintu pagar, Pak Amin tentu sudah tidak sabar menanti dirinya untuk dihantar pulang.

Di bilik disiplin, Badrul sedang menahan rasa. Baru sebentar tadi, dirinya disebat dengan rotan, dua kali, di pinggul. Macamlah kesalahan yang sudah dibuatnya hari ini, besar sangat. Argh, cikgu memang tidak adil. Bentak hatinya. Ini semua kerana bunga melur tu, hati berbisik. Geram... geram! Tunggulah kau, Melur. Ada ubi ada batas. Tak mengaku, konon? Penipu!

Apa aku nak buat pada budak tu? Bubuh ular dalam laci meja dia pulak? Hisy... mati dia, susah aku nanti. Silap-silap kena penjara. No..no..tamo!

Badrul Aminudin Haziq kemudian tersengih. Semakin lama, semakin lebar. Rasa tidak sabar menunggu saat dendam terlerai. Saat di mana hutang berbayar. Hmm, tentu nanti seraut wajah itu akan menjadi kelat. Marah.. dan membencinya. Oh ya, dia suka bila gadis itu membencinya. Adalah orang untuk dikacau dan diganggu.

Hmm, Melur, tunggu hukuman aku untuk kau nanti! 

4 ulasan:

  1. best citer ni..teringat zaman sekolah..saya pon orang perak..dulu sekolah kat integrasi gopeng, then matriks perak..dekat je ngan kotak baru tu

    BalasPadam
  2. apalagi la si bad ni..tak abis2 mengacau si melur.. memang x syang diri btul la dia..

    BalasPadam
  3. @syafiqahthank you.. integrasi gopeng..hmm, mesti budak pandai ni...eh awak ni nakal tak?

    BalasPadam
  4. @miznza84
    biasalah, budak nakal mmg mcm tu, kan?

    BalasPadam

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.