apa yang nampak, apa yang rasa, apa yang dengar

11.1.14

Masihkah cinta? 16

“Maafkan saya, Encik Luqman. Saya...”

“Tak apa, Shahira. Tak apa. Awak boleh keluar.”

Luqman berkata sambil menyandarkan diri ke belakang kerusi. Wajah wanita yang baru masuk itu dipandang. "You ni main terjah aje! Kesian PA I, tahu tak? Dia takut sebab I dah kasi warning, I tak nak jumpa sesiapa pun hari ni."

“Alah, lama I tak jumpa you, Luqman. Takkan nak jumpa kawan lama pun tak boleh?" balas wanita itu sambil melirik manja.

Luqman mendengus. “Duduklah, Zara. Cukup lama kita tak jumpa, ya? Tiga tahun lebih, kan?"

"Itulah... Ke mana you menghilangkan diri?"

"Dua tahun lebih I di Dubai. Saja ambil job di sana. Baru balik ke sini semula tahun lepas." Sekali lagi dia merenungi wanita di hadapannya. "You nak minum apa, Zara? Kopi? Nescafe? Teh? Boleh I suruh Shahira buatkan untuk you," pelawanya.

Zara ketawa besar. "I tak minum semua tu la! You pun tahu kan apa minuman kesukaan I?”        

Luqman meletakkan pen yang tadi berada di celah jari. “Kalau macam tu, I minta maaf, I dah tak ada stok air tu di pejabat I ni,” ujarnya.

Zara memandang wajah Luqman bersama satu renungan penuh keraguan. “You dah berhenti minum? Betul ke ni? Macam tak percayalah pula!” sindirnya sambil tergelak kecil.

Luqman senyum kecil. Sudah terbiasa mendengar sindiran sebegitu. Begitulah kalau orang jahat nak jadi baik. Susah nak buat orang percaya bahawa dia sebenarnya sudah berubah.

“Iya ke you dah tak minum lagi, Man? Macam mana dengan semua aktiviti-aktiviti lain? Perempuan? Judi? Takkanlah you dah insaf sampai tak nak tidur dengan semua perempuan yang duk gilakan you tu?” cebik Zara.

Biarpun selama ini dia ada juga mendengar cerita tentang perubahan sikap Luqman daripada teman-teman rapatnya, namun dia tidak pernah mahu percaya. Tak masuk di akal, fikirnya. Tapi kini, dia jadi resah terutama bila Luqman dilihatnya lain macam. Kurang mesra dan lembut tutur kata. Drastik betul perubahan diri dan sikap? Macam mana boleh berubah sampai sebegini?

“Alhamdulillah, semua tu dah I tinggalkan, Zara. Sejak...”

“Sejak kawan pondan you tu mati? Jadi, betullah apa yang I dengar selama ni?"

"Apa yang you dengar?"

"Perubahan you tu la! Mungkin sebab you takut mati agaknya!" Selamba Zara mengutuk.

“Ya, I berubah sejak Sameon meninggal. Bila dia mati baru I sedar tentang banyak perkara. Tentang dosa, tentang pahala. Tentang syurga dan neraka. Tentang..."

"Tak apalah, Man. I tak nak dengar. Boring! Kita ni kan muda lagi? Kita mesti seronok habis-habisan, okey!"

"Orang muda pun mati, Zara. Tengok Meon. Umur dia baru 32."

"Alah, itu salah dia. Lelaki lembut memanglah senang dapat penyakit tu, kan? Gay lah katakan?"

Hati Luqman terbakar kerana Zara memburuk-burukkan arwah sahabat baiknya. "Jaga sikit mulut you tu, Zara! Sameon dah meninggal dan you tak payah nak kutuk dia lagi. Dan untuk pengetahuan you, kawan baik I tu bukan lelaki lembut dan tentu sekali dia bukan gay. Jangan lagi I dengar you cakap yang buruk-buruk tentang dia. I tak suka!" Luqman sudah meninggikan suara.

Zara menjuihkan bibirnya. "You betul-betul lain macamlah sekarang, Man? Garangnya bukan main! Takut I, tau!"

Luqman diam. 

"Betul ke you ni dah bertaubat ek?"

Luqman mengangguk laju.

"Eleh, taubat konon? Man, you yakin ke Allah nak ampunkan dosa you yang berbakul-bakul dulu tu? Bukan sikit dosa you! Berapa banyak perempuan yang dah tidur dengan you? Berapa botol air haram yang you dah teguk? Tu, belum lagi diambil kira berapa orang anak tak sah taraf you? Nak masuk syurga? Jangan-jangan berdiri di pintu syurga pun you tak dapat, huh?”

Luqman terpanar. Saat itu, rasa berdosa menebal dan, menghimpit perasaan. Sepasang matanya berkaca mendengar cemuhan Zara.

“Encik Luqman, ALLAH itu Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. Selagi kita ialah hambaNYA, ehsan ALLAH tidak pernah berkurang untuk kita. Mintalah apa saja daripada DIA dan bertaubatlah! Sesungguhnya, hanya DIA penerima taubat. Hanya DIA tempat kita berserah diri.”

Kata-kata Abang Musa menyapa telinga, membuang segala rasa cemas yang bertandang. Ya, dirinya yang terlalu berdosa dulu, dia sedar semuanya. Namun, selagi ALLAH masih mahu menerima permohonon doa darinya, selagi ALLAH mahu mendengar keluh kesahnya meminta keampunan, selagi dirinya terdorong untuk merasa keinsafan yang sebenar, Luqman yakin, dirinya tidak sendirian menjalani liku-liku hidup mendatang. Luqman yakin ALLAH sentiasa ada bersama-sama dirinya. Dia hanya perlu terus mencari reda-NYA. Dia tidak akan pernah berputus asa memohon dan meminta agar ALLAH menerima taubatnya.

“Kenapa you datang sini, Zara?”

Sepatutnya dari awal soalan ini sudah ditanya. Tidaklah dia perlu resah dengan kehadiran Zara Khalida.

Zara pandang wajah Luqman dengan rasa jengkel. “I nak bagitahu you yang I dah failkan surat di mahkamah supaya you beri nafkah pada anak kita.”

Mata Luqman bulat menatap wajah tanpa perasaan Zara. “Anak kita?” tanya dia.

“Hai, kenapa macam tak percaya aje tu? Kalau you dah lupalah kan Luqman... Tiga tahun dulu, kita pernah tidur sama. Walaupun sekali tapi I mengandung. Malangnya, bila I beritahu you, you tak mahu bertanggung jawab. You cakap, itu bukan anak you. You tinggalkan I macam tu saja. Perbuatan you tu menyebabkan I terpaksa kahwin dengan lelaki tak guna tu!”

Dada Luqman tersentap. Ada ombak sedang menggila menghentam pantai ketenteramannya. Wajah Zara yang bersahaja ditatap tajam. Kenangan lama itu sedang melayari pandangannya. Saat Zara menangis, merayu dirinya untuk mereka bernikah. Tapi, bukan semudah itu untuk dia percaya. Seperti dulu, dia tetap dengan pendiriannya!
"I pernah cakap pada you, Zara. Kalau itu anak I, I akan nikah dengan you. Lupa?"

"I tak pernah lupa. Cuma, you tak bagi I peluang untuk..."

"Apa?" Luqman pintas. "You dah ada bukti ke yang anak tu, anak I?"

Zara terkelu lidah.

"Anak tu bukan anak I, Zara. You tahu tu! You dah mengandung masa you ugut I untuk kahwin dengan you. You jangan ingat I tak buat homework, okey! I checked di klinik swasta tempat you buat ujian air kencing tu. Doktor tu beritahu I semua tentang you. Sebab itu I tak ikut telunjuk you! So apahal pulak I nak kena bagi nafkah pada anak orang lain?"

Wajah Zara merona merah. Hatinya membungkam. Ingin mengenakan, dirinya yang terkena. Argh, Luqman memang licik. Kenapa susah benar untuk dia melentur sekeping hati lelaki ini?

"I dengar you dah kahwin, kan?"

"Alah jantan tu..."

"Zara, you sepatutnya menghargai dia. Bukan senang seorang lelaki nak jadi pak sanggup, okey! You sepatutnya..."

"Man, dia kahwin dengan I lepas bapak I ugut mak bapak dia tentang rahsia kotor dia orang yang ada anak luar nikah sebelum dia orang kahwin, tau! You ingat, kalau bapak I tak ugut dia orang, si Safiy tu mahu ke kahwin dengan I?"

Luqman tersentak, benar-benar tersentak. Tajam dia memandang raut wajah Zara.

"Siapa nama suami you, Zara? Ulangkan!"

"Safiy. Safiy Zahidi bin Mukhtar."


Malam sudah larut. Suasana sekeliling aman dan tenang. Namun kolam hatinya tetap berkocak hebat. Tetap penuh dengan kesalan. Kehadiran Zara di pejabat mengungkap satu kisah yang cuba dilupakan. Namun kini, diri terjerut dalam kusut perasaan.

Tuhan, akukah yang memisahkan mereka? Tapi, dari mana ayah Zara tahu tentang aku? Bagaimana kisah yang tersembunyi hampir 30 tahun lalu itu tersingkap? Dan, mengapakah Safiy harus berkorban sampai terpaksa meruntuhkan mahligai cintanya dengan Qistina?

Tuhan, akukah yang bersalah?

Akukah yang berdosa?

Wajah diraup sambil hujung jari menyeka air mata yang bergenang.

"Tuhan, ampuni aku. Ampuni dosa-dosaku. Dulu, aku terlalu ikut kata hatiku yang berdendam. Terlalu mengikut perasaan benci yang menggila. Aku tak sedar bahawa dendamku membuat mereka menderita. Terpisah tanpa rela.”

Ada air jernih menuruni pipi. Ada sendu yang kedengaran dalam luahan kekesalan.

“Banyak sungguh dosa-dosa laluku. Banyak sungguh kekejaman yang sudah ku buat. Tapi, penderitaan Qistina? Cukuplah! Aku tak mahu lihat dia menangis lagi. Cukuplah! Aku tak mahu dia terus-menerus bersedih. Dia berhak untuk hidup bahagia.”



“Dia kekasih pertama saya, Luqman. Lelaki yang amat saya sayangi. Berkahwin dengannya, dicintainya, buat hidup saya sempurna. Tapi...”

Luqman menanti ungkapan seterusnya dengan rasa hiba. Pengakuan tulus itu buat hatinya gementar. Merusuh hati dan jiwanya kini. Terlalu kerdil dirinya jika hendak dibandingkan dengan Safiy dalam hati Qistina.

“Dia tinggalkan saya tanpa alasan waktu perasaan cinta saya begitu banyak kepadanya. Dia ceraikan saya bersama-sama tuduhan yang sampai kini masih terdengar-dengar di telinga ini. 3 tahun lamanya, Luqman! 3 tahun lamanya saya cuba mencantumkan hati yang dah berkecai ni. Kenapa di waktu saya sudah dapat melupakan dia, dia hadir dan cuba membuka sejarah lama tu? Kenapa?”

Luqman tidak mampu berkata apa-apa. Hanya wajah itu yang dipandang. Wajah yang kini kelihatan terlalu sedih.

“Safiy Zahidi bin Mokhtar lelaki yang kejam, Luqman. Kalaupun mungkin saya boleh menerima alasan-alasan yang dia berikan, hati ini tetap marah pada perbuatannya dulu. Kalaupun mungkin saya boleh memahami mengapa dia bertindak senekad itu menceraikan saya, hati ini tetap tidak dapat menerima perbuatannya itu. Saya boleh memaafkan, tapi saya tak boleh melupakan. Kesan perbuataannya terlalu sakit untuk saya teruskan hidup. Tapi, demi Uwaisy, saya terpaksa lakukannya. Dan saya dah buktikan pada dia yang saya tidak lemah tanpa dia. Kenapa, kenapa dia mesti datang semula dan kacau hidup saya?”

“Awak masih cintakan dia, Tina?”

Mata Qistina buntang. “Cinta? Nampaknya, awak pun masih belum kenal saya, Man!"

Dengan ayat itu, Qistina meninggalkannya. Dan sekarang, satu lagi perkara sedang menghantui Luqman.

“Safiy Zahidi bin Mokhtar. Mokhtar! Tuhan, lamanya aku tak ingat nama itu. Lama sungguh aku tidak menyebutnya,” bisik Luqman sambil meraup muka.

2 ulasan:

  1. miznza84 said... [Reply]
    alamak kak... awat skit sangat... btul2 mndera... huhuhuhu
    MAR 10, 2011 9:24:00 AM

    miznza84 said... [Reply]
    nak lagi kak...
    tak cukup...

    MAR 10, 2011 1:44:00 PM

    kak sofi jawab komen anda di n3 ini, nza...dah dipanjangkan pun hehe...

    Anonymous said... [Reply]
    sdih bc pe yg qistina tulis 2...
    :(

    MAR 10, 2011 8:01:00 PM

    Anonymous said... [Reply]
    eee.sakitnya nye hati. mcm tak nak cite je. baik tak yah msk n3.

    MAR 10, 2011 11:03:00 AM

    buat anonymous, kak sofi buat pendek sebab masa tu xde mood menulis, harap anda memahami...

    BalasPadam

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.