apa yang nampak, apa yang rasa, apa yang dengar

17.2.11

selembut salju versi cerpen

1
“Johanna, itu bukan ke si Johan, tunang kau? Wah, bukan main mesra lagi? Isy...”

Johanna menoleh ke arah yang dimuncungkan oleh bibir kawan baiknya, Liyana. Dia tersenyum, tak dapat nak tahan tengok betapa panjang bibir yang Liyana juihkan. Hisy, memanglah! Dasar penggosip. Tapi mata tetap jugak mencari kelibat Johan, tunangnya. Nak terkeluar jugak bijik mata tengok adegan mesra yang dilakonkan lelaki itu.

“Eh, Yana, tu bukan PA dia, si Nozi, ke?” Johanna bertanya sambil terus merenung.

“Iyalah... dialah tu! Eh, Jo, kau nak pergi serang diorang? Jomlah! Boleh aku jadi nasik tambah, kang!”

Johanna menoleh ke arah Liyana yang sangatlah teruja. Amboi-amboi, macam tunang dia pulak yang sedang beromen tu, bisik hatinya.

“Jo?”

Johanna tersengih. “Alah, tamolah. Kang, aku nak cakap apa kat depan Johan? Takkan nak menangis kot?” ujarnya selamba.

Liyana menggelengkan kepala. Dia memang dah jadi sebodoh-bodoh manusia sekarang. Memang ‘fail’ kuliah psikologi bila memikirkan kawannya yang sorang ni. Tak ada ke sikitpun rasa cemburu? Muka tu... macam tak beriak. Marah ke? Geram ke? Johanna tak tunjuk langsung!

“Eh, Jo? Bila doktor buat pembedahan keluarkan hati kau dari dalam badan kau tu, ha?” tanya dia keras.

“Alah, lama dah kot. Bukan kau ke yang asyik cakap, aku ni tak punya hati. Rasanya dah bertahun-tahun kau ulang ayat tu pada aku. Meaning, memang dah lama tak adanya. Kenapa?” balas Johanna, selamba lagi.

“Makk...mau jugak aku lepuk kepala budak sorang ni jap lagi! Hey... he is your fiancee. Kau akan kahwin dengan dia. Bukan lama lagi. Lagi sebulan aje! Tu, tunang kau tu, pilihan hati kau dengan restu mak bapak kau, tengah curang dengan kau. Takkanlah kau nak biarkan aje? Do something! Esok-esok kalau dah kahwin, susah!” dalam satu nafas sahaja Liyana memberi ceramah percuma. 

Ceramah yang diharap dapat membuat Johanna bertegas dengan Johan. Supaya Johanna tidak asyik mengalah.

“Tak kuasa aku. Biarkan aje dia nak buat apa, Yana. Lagipun, dia belum mutlak jadi hak aku. Kalau dah kahwin, lainlah. Ini baru bertunang aje, tak payahlah nak kecoh-kecoh!”

Liyana ternganga melihat Johanna. Semakin tidak faham bila gadis itu tersengih kepadanya.

“Okeylah! Okey! Jom!” Johanna sudahpun berdiri. Dia mengerling teman yang masih duduk. “Kau nak ikut ke tidak ni?” tanya dia kepada Liyana.

Liyana terus melompat. “Of course!” katanya dan terus mengekori Johanna yang kini sudah nekad mendekati Johan dan pasangannya.

Begitu ralit pasangan itu sehingga tidak menyedari Johanna dan Liyana yang sudah berdiri di tepi meja. Bila mendengar deheman, barulah memanggung kepala yang tadi rapat benar di antara ke dua-duanya. Yang pasti, Johan amat terkejut melihat tunangnya. Pucat! Toreh pipi tu, tentu tak ada darah punya. Si Nozi pun sama jugak. Terkedu kerana dia amat kenal dengan Johanna. Auww, rahsia sudah terbongkar!

“Jo? You buat apa kat sini? I tak nampak pun you tadi?” tanya Johan setelah suara boleh dilontarkan.

“Eleh, mana nak nampak? Asyik berkepit dengan makwe? Hisy... dah berapa lama dah buat kerja menipu ni, hah?”

Johanna menoleh ke wajah Liyana yang baru sahaja menuturkan kata. Dia tidak dapat menahan senyum. Sifatnya yang mudah ketawa tidak memungkinkan dia marah, walaupun sepatutnya dia sedang mengamuk sakan sekarang.

Liyana mencubit lengan sahabat baiknya. Geram kerana Johanna tidak serius. Di saat-saat beginipun masih mampu gelak. Memanglah, hati dah mati, ke? Grr....

“Sayang, I hantar you balik. Jom!”

Johan sudahpun bangun. Dia risau melihat keadaan Johanna. Diam dan tidak marah? Logikkah?

“Habis tu, I macam mana?” Nozi merengek. Tidak puas hati bila Johan seperti sudah melupakannya sedang tadi begitu manis janji meniti bibir.

“Tak apa. Johan akan hantar you balik, Nozi. I tadi datang naik kereta dengan Liyana. So, kami balik berdualah. Sebenarnya, Johan, I tadi cuma nak ucapkan pada you selamat petang aje. Yang you panik, kenapa? Alah, I dah lama tahu yang you tu the king of crocs, kan... I tak kisahlah apa you buat. Dan dengan siapa?  I dah faham perangai you. Tak payahlah you susah hati, okey! I balik dulu!”

Johanna sempat lagi tersenyum sebelum melangkah meninggalkan pasangan itu berdua. Dia tenang sahaja. Tapi, Johan? Gelabah tak boleh cakap. Mood romantis dah hilang. Terus saja memanggil pelayan dan bayar. Laju sahaja hendak meninggalkan ‘food court’ itu.

Di dalam kereta....

“Are you sure you are alright?”

Wah, cakap omputih pulak si Liyana.

Johanna ketawa sambil mengangguk.

“Sikitpun tak cemburu?”

Johanna menggelengkan kepalanya pula.

“Kenapa?”

Sekilas, Johanna menoleh ke arah Liyana. “Mestikah ada sebabnya?” balasnya yang sudah mula lemas dengan tubi-tubi soalan.

Liyana menoleh, lalu bertanya dengan lembut....

“Kerana Johan bukan Ikram, kan? Kan?”

Sebaik nama itu disebut, Johanna terus sahaja masuk ke ruang kecemasan. Tanpa mempedulikan keselamatan mereka, kereta diberhentikan. Dia kemudian berpaling sambil mengertap gigi...

“Please, jangan sebut lagi nama jantan tu depan aku, okey. Kau tahu, aku tahu, aku fobia nama tu!” marahnya.

“Hah, tengoklah! Bila sebut Ikram aje, bernyawalah kau! Meluap-luap api kemarahan. Tapi bila tunang sendiri buat hal, ke mana kau sembunyikan rasa marah kau tu? Ke mana? Cakaplah!”

“Kau ni pekak ke? Aku cakap, aku tak kisahlah! Suka hati Johanlah nak buat apa pun. Lantak dialah!”

Liyana bertambah geram.

“Tapi, kenapa? Aku nak tau sebab kenapa kau masih tak boleh lepaskan kenangan kau dengan Ikram dan menerima Johan. Aku nak tahu kenapa kau masih tak mampu nak sayang Johan. Ikram dah pergi, dah hilangkan diri dia. Takkan kau masih berharap dia balik pada kau?” soalnya garang.

Johanna kehilangan kata-kata. Mengharap? Ikram pergi tanpa berita. Mati? Kubur tak ada! Hilang? Mak bapaknya tak pernah buat laporan polis pun. Tapi, dia ditinggalkan, itu yang dia tahu. Ditinggalkan bersama rasa cinta yang belum mampu dialihkan kepada lelaki lain walaupun lelaki itu ialah Johan, tunangannya yang curang itu.

“Anggap Ikram dah mati, Jo. Kalau tidak, sampai bila-bilapun kau akan tetap macam gini. Jadi burung pungguk. Tiap malam, bulat bijik mata tunggu bulan keluar. Buatnya malam tu gerhana, bulan tak ada... ha...terjerit-jerit sedih. Buat manusia takut aje. Dah, jom balik. Dah maghrib ni! Jom!”

2
“Johan, duduklah! Nak fikir, mesti duduk sini, tenangkan fikiran. Berjalan mundar mandir, depan belakang, lagi kusut otak tu, tau!”

Johan berhenti bergerak. Kini wajah perempuan muda di hadapannya ditatap tajam. Dia sedang geram. Rancangannya tidak berjaya. Dia gagal!

“Macam mana dia boleh jadi kayu sampai macam tu? Takkan tak cemburu langsung tengok kami?”

Si gadis yang duduk di sebelahnya sejak tadi sudah terangguk-angguk.

“Betul cakap bos tu! Takkan sikitpun Jo tak cemburu tengok kita semalam? Mana boleh jadi! You tunang dia. Dah bertunang lebih 5 bulan. Dah nak kahwin lagi sebulan. Tak cinta, mana boleh kahwin, kan?” soalnya dengan wajah serius kepada dua orang yang sedang keresahan. Si perempuan terus mendongak, dah tak menghitung bilangan semut di atas lantai dah. Yang lelaki terus duduk, dah penat dah bilang langkah gerakan kakinya.

“Sebab apa pulak kami tak boleh kahwin? Kahwin tetap kahwin, cinta pupuk lepas kahwinlah!” tegas Johan sambil memandang Nozi macam nak telan. Geram dengan minah sorang ni, yang seolah-olah berdoa mintak dia tak ada jodoh dengan Johanna. Mana boleh!

“Selagi dia tak jumpa Ikram, selagi itulah dia macam kayu, si bendul tu! Johan, macam mana aku nak beritahu dia yang Ikram tu dah tak minat dengan perempuan? Kalau aku cerita, mesti dia cakap aku tipu dia. Tapi, kalau aku tak cerita, tak tunjuk, dia mesti terus berharap pada mamat tu.”

“Bukan mamatlah, cikpon!” tukas Nozi. Johan dan Liyana sama-sama tergelak. Tapi tak lama. Keadaan kembali serius.

“Kalau dia nampak, dia mesti kecewa sangat. Dia mesti sedih. Aku tak nak dia sedih. Aku tak nak tengok Johanna menangis.” Johan melahirkan kebimbangan. Satu keluhan dilepaskan. “Apa yang hebat sangat si Ikram tu, Yana? Sampai Jo tak boleh nak lupa? Aku ni dah kira cukup romantis dah, tau. Ayat-ayat cinta dok main kat bibir aku ni tapi, sikitpun dia tak cair. Macam mana aku nak buat lagi ha? Sedihlah macam ni...” bisiknya.

“Alololo.... janganlah sedih, bos! Bos kena bekerja keras untuk memiliki hati Johanna. Nama pun dah sama, kan? Maknanya, ada jodoh tu! Cuma kena cari soft spot dia aje? Yana, cepatlah! Jangan bagi bos susah hati! Apa lagi rancangan bernas kau lepas ni?” Nozi mententeramkan ketua pejabatnya. Dan cuba memberi pendapatnya dengan harapan, ia akan diterima.

“Soft spot? Yes! Ni yang aku sayangkan kau ni Nozi. Terima kasih. Johan, aku dah dapat idea dah.” Liyana yang begitu teruja terus kelu bila Johan menjuihkan bibir.

“Malas aku nak fikir dah. Nanti gagal lagi, camne?” tanya Johan.

“Weh, janganlah cepat putus asa. Kali ini mesti cemerlang punya.Hari tu, tektik tu memang salah. Kau tu memang dah terkenal sebagai buaya tembaga. Jadi, tengok kau dengan Nozi macam tak ada apalah.. Just macam dia tengok kau dengan perempuan-perempuan lain dulu tu!”

“Jadi?”

“Jadi, kita cuba cara lain.”

Nozi memetik jari.

“Ya, ya... aku setuju. Kita buat macam dalam cerita Ali Setan tu, nak? Johan pura-pura jatuh sakit, lepas tu, kita habaqlah yang dia teruk sangat, kan? Biar Johanna susah hati.”

Liyana menunjal dahi Nozi membuat gadis itu terjerit kecil.

“Pandai jugak budak kecil ni, ya!”

Nozi ketawa menerima pujian itu.

“Tapi, kan.... aku tambah sikit. Kau kena hilangkan diri beberapa hari, Johan. Hilang macam si Ikram tu. Biar Johanna tahu erti rindu.”

“No way! Aku bukan Ikram nak main menyorok. Tamo!”

“Bos, kita memang bukan di Norway.” Nozi buat lawak bodoh.

“Hisy...”

Cepat-cepat Nozi mengelak penumbuk yang dikepal oleh Johan. Kalau tidak tadi, kes naya, makk.....

“Johan, bila kau nak pura-pura sakit?”

“Esok pun boleh! Cuma, korang rasa, macam mana? Boleh berjaya ke?” tanya Johan. Dia tak mahu gagal lagi. Dia tak sanggup kecewa. Cintanya kepada Johanna separuh mati. Dia buat semua ni sebab dia mahu Johanna juga cintakan dirinya dan melupakan Ikram. Dia kasihan pada gadis itu. Dia tidak mahu Johanna masih terkial-kial dalam pencarian cinta yang sudah mati!

3
Johanna membaling-baling batu-batu kecil yang telah dikumpulkannya ke dalam kolam ikan milik ibunya. Dia tahu, kalau mummynya nampak, akan menanah telinganya kena leter. Tapi, dia tak peduli jugak. Dia baling dan terus baling. Bukan tak kesian tengok anak-anak ikan tu macam mengelak lontarannya tapi sekarang ni, dia sedang terlalu geram.

“Dasar buaya tembaga! Dengan Nozi cekeding tu pun dia nak berasmaradana. Tak tahu memilih langsung. Tunang sikit punya cun melecun sini, dia boleh main kayu tiga. Eeeii, kalau aku ikut hati aku yang geram ni, Johan, lunyai badan kau tu, aku lipat-lipat! Aku silatkan bagi patah riuk! Arghh, geramnya aku!!!” dia menjerit, mengundang keterkejutan kepada semua yang mendengar.

“You dengarlah tu, papanya! Sejak dia balik semalam, asyik menjerit aje. Pagi tadi, Munah kena bersihkan bilik dia, pa. Habis alat mekap atas almari solek bertabur kat atas lantai. Bau harum semerbak pulak tu.” Si mummy memberitahu suaminya.

“Wangi? Kenapa? Ada hantu dalam bilik dia? Dah merasuk anak kesayangan I tu?” soal si papa, masih ingin bergurau. Tapi, sepasang mata tetap melihat perlakuan anaknya di tepi kolam ikan tu.

“Papa, you ni asyik nak bergurau aje. Your daughter humban habis alat mekap dia, dengan semua botol-botol wangian habis berderai, pecah, tau! Angin pus-pus dia sudah mari!” mummy bercerita penuh perasaan.

“Hmm, tak lama lagi ikan you semua akan mati?”

“Hah?” Mummy terus terjun katil, pergi ke tepi tingkap di sebelah si suami. Bila nampak sahaja si anak sedang baling batu kat dalam kolam, dia menjerit lantang....

“Jo!!! Buat apa tu? Kenapa baling ikan mummy! Mati diorang nanti...Ciannyaa...” terus berlari meninggalkan suami yang sedang menekup telinga.

“Like mother, like daughter. When they are angry, means..money is gone...when they are in good mood, also, money will be gone. Whoa! Johan! This is your fault! Oh yes, I know it!”

Si papa, mat saleh yang sudah peluk Islam sewaktu hendak menikah dengan si mummy, 29 tahun dulu, mula mencari-cari kesalahan bakal menantu. Bagi dirinya, anak tunggal kesayangan tidak mungkin marah tanpa sebab. Hmm, dia hendak bersemuka. Belum kahwin sudah pandai buat anaknya mengamuk begini! Tak boleh jadi! Tak boleh jadi!

“Jo, kenapa bunuh anak ikan mummy?” jerit Puan Maria.

Johanna tersentak. Batu yang masih ada dalam tapak tangan, disorok ke belakang. Hisy, mummy ni tahu aje! Nampak aje!

“Tak matilah, mummy. Semua sedang berenang dengan gembira...tengok tu!!” dia membalas sambil menarik ibunya untuk memerhati gelagat anak-anak ikan kap di dalam air.

Puan Maria mengurut dada. Lega. Tapi dia segera menoleh memandang wajah Johanna. Risau memikirkan keadaan anak gadisnya itu.

“Kenapa marah ni, sayang? Marahkan siapa? Johan?” tanya dia lembut. Begitulah sikapnya. Dengan anak yang seorang memang dia tidak pernah berkasar. Sayang sangat dia kepada ratu hatinya ini. Ditatang bagai minyak yang penuh.

Johanna pun menceritakan tentang kejadian semalam kepada ibunya.

“Owhh..tak dapat lepas geram pada Johan, Jo lepas geram pada anak ikan mummy, ya?” sindirnya.

Johanna tersengih. “Dah jadi tabiatlah, mummy. Jo tak reti nak marah orang depan-depan. Tak pandai nak herdik ke, jerit ke. Jo kesian tengok muka seposen dia. Tak sampai hati nak cakap apa-apa.” Balasnya.

Puan Maria menatap wajah lembut di hadapannya. Tidak lama kemudian, dia pun mula tersengih. “A...ha.. anak mummy dah jatuh cinta dengan Johan, ek? Dah pandai cemburu, tu? Cemburu kan tandanya sayang? Alhamdulillah! Akhirnya!”

Tubuh Johanna dirangkulnya, dipeluk erat-erat. Dicium pipi anaknya bertalu-talu. Kegembiraannya jelas kelihatan.

“Mummy risau takut-takut kamu tu masih teringatkan Ikram. Maklumlah, lama kamu bercinta dengan budak tu. Tapi, Allah maha kaya. Dia tunjukkan kebenaran sebelum kamu teraniaya. Lepas tu kamu dipertemukan dengan Johan. Kata, Wani, sejak Johan kawan dengan kamu, dia dah berubah. Dah tak keluar dengan perempuan lain dah. Bekerjapun dah serius, tak curi-curi tulang. Banyak masa dia luang untuk kamu. Dan, nampaknya berbaloi dah, kan. Berjaya jugak dia buat kamu sayangkan dia. Kan?”

Johanna hanya mampu tersenyum. Tapi dalam kepala, ada sesuatu yang sedang begitu membebankan. “Sayang, sayang jugak, mummy! Tapi, Jo mesti nak buat dia menderita sebelum kami kahwin.”

“Baby! My baby! Why? Kenapa you nak hurt Johan pulak? Dia ada buat.... tak senonoh dengan you, ke, sayang?” si papa, yang dari tadi menjadi pendengar setia sudah menapak untuk duduk di kerusi taman, mengambil tempat di tengah-tengah di antara isteri dan anaknya.

“Hisy, dia ni! Badan dahlah besar, nak juga menghimpit kita?” si isteri menolak suaminya.

“You tolak-tolak I, kalau I jatuh, you larat angkat ke?” marah Encik Salleh kepada Puan Maria. Melihat ibunya mencebik, Johanna ketawa sakan. Inilah suasana yang paling menggembirakannya. Berada bersama-sama ibu dan ayah yang suka menyakat antara satu sama lain.

“Papa, mummy, Johan tu baik.”

“Tapi tadi...”

“Oh, itu... Papa, mummy, Jo geram, sebab Johan sama naik dengan si Liyana menyorokkan dari Jo tentang Ikram. Diorang berdua tu dah lama tahu tentang Ikram tapi sengaja tak beritahu Jo. Tu yang berasap kepala Jo ni! Kalaulah Jo tak nampak dengan mata Jo ni.... kalaulah Jo tak pergi mengintip dan hendap dia, sampai sekarang, Jo tak tahu siapa dia dan kenapa dia tinggalkan Jo. Yang diorang berdua tu sanggup simpan rahsia dan nak biar perut diorang pecah baru nak beritahu Jo, kenapa?”

Mulut ayah dan ibu membentuk huruf O. Hmm, patutlah Johanna marah sangat. Johan, Johan? Kenapa dirahsiakan tentang Ikram?

Si papa mengerutkan dahi. “Baby, take the positive side. Mungkin Johan takut you sedih. You kan bercinta dengan Ikram? Tentu dia tak mahu tengok you menangis teringatkan that....gay?” tukasnya.

“Oh, maksud papa, Johan nak melindungi Jo supaya Jo tak kecewa sangat bila Ikram lebih suka lelaki daripada Jo, perempuan cantik dan sempurna ni?” soal Johanna nakal. Dia cuba menyelami apa yang berada dalam kepala otak Johan. Mungkin Johan fikir dia mengalami inferiority complex sebab tewas merebut cinta Ikram dari tangan seorang lelaki?

“Baby, you kan sayang sangat pada Ikram?” Mummy mencelah.

“Mummy, mummy jugak ajar Jo supaya meletakkan Allah di kedudukan paling atas. Jo tahu, Johan dengan Liyana cuba melindungi Jo. Semua tu dibuat sebab mereka sayang Jo. Jo tahu! Tapi, mereka kena faham yang Jo ni kuat. Cinta Ikram, hanya cinta manusia, yang bila-bila masa akan hilang. Jo dah lama bersedia. Nak kata tak kecewa, itu bohonglah sebab kami lama dah berjanji sehidup semati. Tapi, Jo sedar, kalau jodoh Jo bukan dia, Jo redha. Yang Jo kesal, dia pilih jalan hidup kaum Luth itu. Itu, Jo sangat sedih. Jo kesian sangat pada Ikram. Lain daripada tu, nothing!”

Ibu dan ayah terhangguk-hangguk.

“ Yang Jo tak faham sekarang ni... yang buat Jo geram..kenapa tiba-tiba si Johan pula main cinta dengan Nozi? Kalau dah sayang dan mabuk asmara dengan budak tu, kenapa dia luahkan perasaan pada Jo? Kenapa nak kahwin dengan Jo? Kenapa buat perangai bila semuanya dah ditempah? Nanti, Jo nak naik atas pelamin dengan siapa?”

“Johan tahu ke yang kamu tahu tentang Ikram?” soal si ibu.

“Jo tak pernah cerita pun.”

Salleh merenung tajam wajah anaknya. Sedikit sebanyak dia sudah dapat mencerakin. Dia seakan-akan faham mengapa Johan melakukan apa yang dilakukannya. Lalu dia bertanya...

“Johanna, Johan tu... dia tahu ke yang kamu sayang dia? Pernah dia tanya kamu sama ada kamu cinta dia atau tidak?”

Lama Johanna berfikir. Setahunya, dia tidak pernah beritahu apa yang dia rasa. Alah, malaslah nak jiwang karat ni. Buat apa? Sayang tidak perlu ditunjukkan. Cinta tidak perlu dilafazkan. Semua tu senang dibaca melalui bahasa tubuh. Bodohlah kalau itupun Johan tak tahu...   

4
Johan kegelisahan. Sudah hampir satu jam dia menunggu Johanna di kedai makan Selera Utara itu. Dah siap solat Zohor dah pun. Air barli ais dah 3 gelas dia pesan dan habiskan. Perut punyalah lapar tapi dek kerana Johanna janji nak makan sama-sama, dia tunggu juga.

Sudah menjadi tabiat, kalau dia sedang menunggu gadis itu, dia memang tidak akan sms ke, telefon ke. Bukan sebab apa, tau. Dia tak mahulah dikatakan terlalu mengongkong. Kalau boleh, dia mahu Johanna tenang dalam perjalanan ke restoran ni. Tak mahulah kalut bimbangkan dirinya yang sedang terconggok menanti. Namun, bila dibiarkan penantiannya begini, tentulah sakit hatinya. Dah macam pak tonggok, aje? Tuan punya restoran dah jeling banyak kali dah. Hai, nasib, nasib...

 “Jo, lagi 5 minit you tak sampai, kita putus!” marahnya dalam hati.

Sebaik masa selama 5 minit itu sampai, Johan dah tak mampu tahan geram dah. Apa nak jadi, jadilah! Pijar dah naik ke kepala. Terus dia mendail satu nombor.

“Yana, misi kita bermula sekarang!”

Habis ayat tu, Johan terus bayar dan keluar. Tak toleh kiri dan kanan langsung. Tak peduli pun, kot-kotlah Johanna sampai ke, baru nak turun kereta ke. Tak ada! Memang geram tahap meluap ni!

Dalam hati merintih....

“Tak apa, Jo, you buat I macam ni! Tak apa. Biarlah I kena langgar ke, baru you tau yang you sayangkan I. Kalau I mati, I jadi hantu. I cekik you sebab you baru nak menangis rindukan I. Apa guna? I dah tak ada dah?”

.........................

Di sebatang jalan yang penuh sesak, Johanna berdiri tegak di sisi keretanya. Sepasang mata tekun memerhati budak lelaki belasan tahun yang sedang menukar tayar yang pancit. Memang dia rasa malu, nak menangis bila tadi keretanya tetiba sahaja jadi gelong dan terpaksa diberhentikan di tepi jalan. Nasib baik!! Bagaimana kalau tayar tu meletup tadi? Uwaa... tentu dirinya sudah menjadi arwah!

Dia malas nak tengok muka jam. Dia tahu, sudah terlalu lewat sekarang. Entah-entah Johan pun sudah balik. Dia malas hendak menghubungi lelaki itu. Bukan dekat dari Pandan Indah hendak ke Taman Melawati ni. Dengan kereta yang berderet-deret tengah hari ini lagi? Hmm.... biarkan ajelah Johan menunggunya.

“Dah siap, kak. Mujur ada tayar spare, ya?” budak itu tersenyum kepada Johanna.

“Itulah, kan. Nasib baik! Nasib baik adik sudi tolong.” Johanna membalas.

Budak itu ketawa. “”Alah, kak...siapa tak kesian tengok perempuan cantik macam akak berdiri tengah panas terik ni? Kan tadi banyak yang berhenti, bertanya khabar? Memang rezeki saya lah dapat membantu si cantik manis.” Usik si nakal.

Johanna menggeleng-gelengkan kepala. “Kalau dah namanya lelaki, memanglah kerjanya mesti nak mengorat, eh? Okey, berapa nak kena bayar ni, dik?” tanya dia.

“Err....”

“Free?” Johanna mengekeh ketawa melihat budak bernama Omar itu tergagap-gagap untuk menjawab. Dia lantas menghulurkan RM50. Walau Omar malu-malu hendak menerima, dipaksanya juga!

“Belanja adik-adik makan KFC. Adik-adik, okey, bukan girlfriend. Okey, akak pergi dulu. Terima kasih daun keladi!”

Omar ketawa galak mendengar kata-kata Johanna. Hai, seronoknya dia. Tidak rugi menolong orang, kan?

Baru hendak memakai tali pinggang keledar, Johanna mendapat panggilan daripada Liyana.

“Kau ke mana? Kenapa tak lunch dengan Johan?” marah gadis itu tidak menyempat-nyempat.

Johanna menjuihkan bibir. “Kau tahu aje pulak yang aku dengan Johan ada date tengah hari ni, ya? Kenapa? Dia mengadu ke yang aku tak muncul-muncul?” soalnya.

“Patutlahhh.....”

Dahi Johanna sudah berkerut.

“Apa yang patut?”

“Kenapa kau tak pergi? Dia tunggu kau dekat 2 jam, Jo!”

Semakin berkerut dahi Johanna. Dia tengok jam. Iya ke lama sangat Johan tunggu dia. Tapi, dia janji pukul 1. Takkanlah Johan dah terconggok pukul 12 tengah hari pulak? Pelbagai soalan berlegar dalam kepala. Tapi, Johanna tak mahu kalah. Rajuknya masih ada lagi bersisa.

“Aku tak suruh pun dia tunggu aku. Entah-entah dia tunggu dengan Nozi, tak? Eleh...bukan boleh percaya dia tu, Yana.”

Liyana geleng kepala. Geram. Dia menjerit.

“Kau ni, kan... Eh, Jo! Johan tu sayang kau aje. Dia dengan Nozi tak ada apa-apa.”

 Johanna pula naik angin. “Kau kenapa, Yana. Bila kau buta? Rabun jauh? Hari tu...”

“Hari tu..... tak ada apa-apa. Tapi sekarang, ada! Jo, aku nak habaq ni. Johan kena langgar. Kereta dia terbalik di MRR2. Ada kereta sodok kereta dia. Ni, dia tengah koma di Hospital Selayang. Jo...Jo...”

Johanna dah kaku dah. Air mata turun tanpa sedar. Rasa menyesal tak dapat nak diucap.

“Tuhan.... aku belum beritahu dia, aku sayang dia.....”

5

Sudah 2 minggu, Johanna menjadi penunggu setia dalam kamar hospital Selayang. Waktu siang, dia seorang menemani Johan. Waktu malam, dia dan ibu Johan, Puan Rosni bersama-sama menjaga lelaki itu yang semakin pulih.

“I dah serik. Sumpah! Tak berani I mintak mati lagi.” Bisik Johan sebaik dia sedar dari koma selepas 3 hari kemalangan itu berlaku. Mujurlah, kecederaannya tidak terlalu serius. Patah tangan kiri sahaja.

“You marahkan I ke, Han? Sebab tu, you sampai mintak supaya you accident, ya? Untuk I buktikan cinta I ni? Tapi, kenapa?” tanya Johanna penuh sendu.

“Sebab I cemburukan Ikram. You cintakan dia sepenuh hati you dan you tak bagi ruang untuk I bertapak. I buat apa pun, you tak kisah.” Johan memberitahu.

“Siapa cakap I tak kisah? Hati I ni sedih tau tengok you berkepit dengan Nozi.”

Dalam sakit, Johan masih mampu tersengih. “Really?”

Johanna geram melihat sengihan itu lalu dipukulnya lengan Johan. Terjerit-jerit si Johan kerana kesakitan yang teramat sangat. Namun Johanna tidak langsung bersimpati.

“You gelakkan I bila I cemburu? You tunang I, tahu! I sayang you. I cinta you. Cuma I tak sempat nak beritahu lagi. Lagipun, I tak suka nak tunjuk sangat kasih sayang ni secara melampau-lampau masa belum kahwin. Esok-esok kalau dah kahwin tu, lainlah. Tapi, you? Skandal sana, skandal sini. Apa kurangnya I? Perlu ke you cari perempuan lain bila you dah ada I? Cakaplah?”

Johan malas melayan marah Johanna. Dia dah dengar pengakuan gadis itu. Hatinya sedang riang gumbira.... tidak perlu lagi dia berlakon dengan Nozi selepas ini. Yang penting, dia mahu Johanna tahu cintanya hanya untuk gadis itu.

“Jo sayang... I love you too. Tapi, sebelum ni I tak yakin yang you cintakan I. You kan masih belum dapat lupakan Ikram? I cemburu tau?” Johan berbisik perlahan.

“You nak cemburukan bapuk tu apasal?”

“Hah? You dah tahu yang dia tu...”

“I tahu tapi yang I sakit hati ni ialah kenapa you dan Yana tak beritahu I? Kenapa rahsiakan dari I?”

Waktu itu Liyana memasuki bilik bersama sejambak bunga lili yang segar. “Kitorang takut kau sedih laa...”

“Itu aje alasannya?”

Kedua-dua insan di hadapannya mengangguk.

Johanna hanya mampu melepaskan keluhan. Jawapan yang terlalu mudah. Kerana takut dirinya bersedih?

Alahai.... sedih pun, bukannya sampai nak membunuh diri? Sedih pun, dia bukannya lemah sehingga hendak merayu, menangis.... Sedih kerana putus cinta? Eleh... bunga bukan sekuntum, kumbang bukan seekor. Tengok ni... dia redha Ikram pergi dan Allah anugerahkan dirinya Johan. Baginya, Johan lelaki yang jauh lebih sempurna di mata. Syyy... Johan tak boleh dengar pujian ini. Nanti... naik tocang...

“Jo, you fikir apa tu?” Johan kegelisahan.

Johanna senyum. “Nampaknya, kita kena tunda majlis kita, kan? I sekarang sedang fikir apakah cara terbaik untuk beritahu semua orang yang kita terpaksa menangguhkan majlis perkahwinan kita tu. You rasa elok tak kalau kita hebahkan di facebook?”

“No!!!”

Johan menjegilkan sepasang mata. “You jangan mengada. I tak nak bertangguh-tangguh. Semua benda kita dah tempah. Kad, katering, hotel... oh no...kita mesti kahwin jugak! I tak peduli!!” katanya.

Johanna hanya ketawa. Dia pun sekadar mengusik sahaja. Mana mungkin menangguhkan majlis perkahwinan mereka? Dia terlalu ingin menjadi isteri Johan. Ingin menikmati alam bahagia bersuami isteri. Dan, yang paling dinanti-nanti, Johan sudah berjanji untuk membawanya berbulan madu ke Bora-Bora. Siapakah yang mahu melepaskan peluang itu? Dan, siapakah yang mahu melepaskan lelaki yang mahu membawanya ke sana? Tentu bukan dirinya...

“Jo... janji, ya! Tak tunda?” pinta Johan lembut.

Johanna ketawa. “Han.....ni....”

“Oh yess.... oh yess..... Yana, kau dengar tu? Johanna panggil aku ‘honey’. Hmm... ya, sayang. Kenapa?” usiknya dalam bahagia.

“Sebenarnya, kan Jo. Rancangan kami dah gagal. Johan geram pada kau sebab buat tak kisah pada dia. Dia dah nak bawak diri ke Langkawi tu. Tapi, tak dapat sebab dah accident.” Liyana membuka rahsia.

“I thought you still love him.” Johan memberitahu.

“So sekarang tak nak lari dah?” Johanna mengusik.

Johan pantas menggeleng.

“Cinta bukan keutamaan dalam hidup, Han. Jangan sebab cinta, you buat dan fikir macam-macam yang tak elok. Kan baik kalau bersederhana sahaja. Maksud I, cintakan I secara sewajarnya lelaki sayang seorang perempuan tapi toksahlah melebih-lebih dalam menunjukkan sayang you tu. Nanti I muntah. Kalau lebih-lebih sangat you tunjukkan cinta you sekarang, nanti lagi 20 tahun, macam mana? I tak nak kasih tu hilang. So, tunjukkan sikit-sikit. Hari demi hari. Sampai kita tua, insya-allah..kasih sentiasa mewangi. Macam papa sayang mummy I. Macam uncle sayang your mama. I want your everlasting love...honey...”
............................

Sekadar melepaskan tension anda. Bacaan ringan saja ni. Harap anda suka. 

10 ulasan:

  1. betul tu masa bercinta kena lah berpada-pada tunjukkan rasa sayang. simpan dulu idea2 romantik tu untuk lepas kawin barulah dirahmati
    bahagia dunia akhirat

    BalasPadam
  2. @Anonymous
    toksah terburu-buru nak curah kasih sayang... sikit2 lama2 jadi bukit hehe

    BalasPadam
  3. hehehe...suke..suke...happy ending...
    akhirnya johanna mengaku jua..tapi betul jua kata johanna walaupun sayang jangan tunjuk lebih2...saya sokong...

    BalasPadam
  4. betul...betul...betul...kak sofi..hehehehe....

    BalasPadam

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.