Luahan

apa yang nampak, apa yang rasa, apa yang dengar

Sebaik sahaja kereta dimatikan enjinnya, seorang kanak-kanak datang berlari menghampiri  tingkap yang terbuka. Demi melihatnya, wajah ...

MASIHKAH CINTA? 15

By Januari 11, 2014

Sebaik sahaja kereta dimatikan enjinnya, seorang kanak-kanak datang berlari menghampiri  tingkap yang terbuka. Demi melihatnya, wajah lelaki itu yang tadinya jelas keletihan bertukar menjadi ceria. Dia melemparkan senyuman kepada si kecil, sebagai tanda menghargai dan mengucapkan terima kasih kerana sentiasa menanti kepulangannya.

“Mia, mari sini, sayang. Kasi papa turun daripada kereta dulu, ya. Mari!” 

Suara Mak Tam, orang gajinya yang nyaring hampir sahaja menyebabkan anak kecil berusia 3 tahun itu terkejut dan menangis. Namun, wanita berusia 50an itu juga bijak memujuk. Sebelum sempat Mia menjerit, tubuh kecil itu sudahpun berada di atas dokongannya.

Selepas mengunci kereta, dia  terus masuk ke dalam rumah. Beg kerja diserahkan kepada Mak Tam. Wajah Mia terus dicium. Tubuh kecil itu dirangkul kemas. 

“Anak papa dah makan?” soalnya penuh kasih sayang.

Mia mengangguk.

“Mama mana?” tanya dia lagi.

Mia mendongak memandang ke tingkat atas. Waktu itu, Mak Tam membawa segelas air milo ais kepadanya.

Air milo disisip perlahan-lahan. Ketika Mak Tam melangkah semula untuk ke dapur, dia bertanya. “Mak Tam dah gerak dia?”

Tahu siapa yang dimaksudkan, Mak Tam memandang ke atas sebelum kembali melemparkan pandangan ke wajah lelaki di hadapannya.

“Tadi, dia bangun makan tengah hari. Lepas tu, dia naik semula. Nak tidur lagi katanya.” Jujur Mak Tam memberitahu.

Lelaki itu mendengus. “Mana tak mengantuk? Malam hari, waktu orang tidur, dia berjaga. Ke disko, ke kelab malam, tak ingat dunia. Balik rumah dalam keadaan mabuk! Meluat saya tengok perangai dia, Mak Tam. Cakap betul ni! Saya benar-benar menyampah!”

“Eleh, Safiy! Toksahlah you nak kutuk I depan Mak Tam. Kalau perangai you tu elok daripada perangai I, ampunlah jugak. Ini tak! Lebih teruk lagi. Buat malu aje, sayang...bila you kutuk-kutuk I sebab I ni bini you. Menyampah ke, benci ke, meluat ke, I tetap bini you, tau!”

Kata-kata sinis itu terlontar ketika si isteri menuruni anak tangga dengan hanya memakai T-shirt separas lutut.

Zara Khalida ialah anak kepada Datuk Ibrahim. Zara Khalida ialah punca keretakan rumah tangganya. Zara Khalida ialah isteri yang dinikahi sehari selepas dia menceraikan Noor Qistina.

Rasa berombak dadanya bila terkenangkan si dia. Rasa hilang dan menjauh semangatnya apabila seraut wajah penuh kesedihan itu menyapa angannya. Terbang segala rasa menjauh bersama-sama jauhnya Tina daripada dirinya kini.

“Tu, berangan-angan teringatkan dia, kan?” Zara menyindir.

Mak Tam terus angkat Mia, nak bawa anak kecil itu masuk ke dalam bilik. Dia ingin menidurkan anak kecil itu. Dia perlu menjauhkan si kecil daripada ibu bapa yang hendak berperang ini. 

Safiy memang pantang bila ‘dia’ disebut. Sudah berkali-kali Zara diingatkan supaya tidak menyebut tentang ‘dia’. Kenapalah berdegil sangat?

“Isteri kesayangan you tu anggap you macam musuh dia, kan? Toksahlah berangan nak berbaik semula! Dia tak akan mahu lagi bersuamikan lelaki dayus macam you.”

Safiy mendengus. "Siapa yang punya angkara? I jadi dayus, I ceraikan dia, kami bercerai tu kerana siapa? Cakap!” jeritnya.

"Laa, nak salahkan orang pulak?" Terjuih-juih mulut Zara. Jelek dia dengan sikap lembik Safiy. 

“Ya. Salah engkaulah! Kau!" Safiy menjerit bagaikan orang gila. “Kau yang pisahkan kami tapi aku nak beritahu kau satu perkara. Aku dah jumpa dia semula. Lepas ni, kisah kau dengan aku akan tamat sebab aku akan ceraikan kau. Dan, kemudian kau boleh berambus dari rumah ini sebab aku akan pujuk dia, rujuk dengan dia dan bawak dia masuk semula ke mari, membesarkan Mia sama-sama. Kau faham, tak?”

Zara ketawa besar. Wajah itu ditatap tajam. bibir tidak mengungkapkan apa-apa namun hati mengomel lucu...

‘Kau ni dah gila! Mia tu anak aku, bukan anak kau. So, jangan nak berangan sangatlah! Nak bela Mia dengan Qistina konon? Macamlah kau akan berjaya dapat dia semula? Perasan!’
....................

Di hadapan kedai, Safiy sudah sedia menunggu. Melihat Qistina yang keluar terus dia meluru mendapatkan bekas isterinya. itu. Mujur petang itu, semua orang ada berkumpul di dalam kerana menyambut majlis hari jadi Norsya.

“Tina, dengar dulu penjelasan abang, Tina. Jangan pergi! Dengar dulu cakap abang ni!”

Sedihnya Qistina memandang lelaki yang sedang berlutut dan menangis di hadapannya. Sebak melihat Safiy begitu. Safiy yang dia kenal ialah seorang lelaki yang cukup kuat. Seorang lelaki yang tidak mudah bersedih. Tapi, kenapa sekarang, di tempat terbuka, di hadapan semua orang, Safiy beria-ia menangis. Merayu dirinya agar mendengar segala yang seharusnya terungkap tiga tahun dulu. Mengapa sekarang?

“Safiy, jangan macam ni. Tak baik memalukan diri sendiri. Tina dengan kamu dah bercerai. Dah tiga tahun. Tak payahlah nak jelaskan apa-apa pada dia. Semua tu sepatutnya kamu buat lama dulu. Bukan sekarang!"

Qistina berasa lega mendengar suara ayahnya yang cuba menenteramkan Safiy. Tapi, nampaknya Safiy yang tak faham bahasa. Masih ingin membuka kisah dulu. “Saya cuma mintak sikit masa, ayah. Sikit aje… supaya saya dapat jelaskan apa yang dah berlaku dulu. Tolonglah ayah, izinkan…” 

"Tak payahlah, Safiy. Tina dah lupakan kamu. Dia dah lupakan perbuatan kamu."

Safiy menyeka air mata yang masih mengalir. Dia sedih kerana Qistina tidak langsung mahu mendengar alasannya. Qistina tercegat dengan wajah tanpa riak. Macam dah lupakan semua kisah lama. Mana boleh!

“Tina, please! Sekali ini saja. Abang dah tak tahan memendam beban ni. Abang rasa macam nak mati. Tolonglah, Tina! Bagi abang peluang untuk jelaskan semuanya,” rayu Safiy lagi.  

“Baliklah! Simpan saja apa yang nak awak nak cakapkan tu, tak payahlah nak beritahu saya. Tak ada gunanya pun. Dah basi!" kata Qistina, perlahan.

Lembut di pendengaran Safiy. Lembut dan berjaya menyebabkan rindunya terbebat. "Lembutnya suara Tina," katanya.

Maheran menjeling marah. "Tak payah kamu nak puji suara Tina, Safiy! Muka tak tahu malu. Dulu, masa hendak bercerai jenuh Tina merayu pada kamu. Ada kamu peduli? Tak, kan? Sekarang, bukan main mendayu-dayu suara kamu. Dasar muka tembok!" kutuknya. 

"Umi..."

"Hubungan kita dah putus, Safiy! Kamu tak perlu panggil aku umi lagi. Kamu tak layak!"

"Bagi saya peluang, umi."

"Peluang? Untuk apa?"

"Saya nak Tina. Saya nak kahwin dengan Tina, umi!"

Qistina dan Maheran saling memandang sebelum Maheran bertanya keras. “Melampau betul kamu ni, Safiy? Dulu, masa Tina merayu pada kamu, ada kamu dengar rayuan dia? Ada kamu peduli tangisan dia? Ada kamu pujuk dia? Sekarang, pandai pula kamu menangis, ya? Nak kahwin dengan Tina, konon? Kenapa? Dah tak bahagia dengan bini baru ke?"

"Tina aje yang boleh bahagiakan saya, umi!"

"Sudahlah, Safiy! Baliklah! Karang, tak fasal-fasal kamu kena tumbuk dengan aku!" Qayyum, ayah Qistina dah mula hilang sabar. Geram kerana Safiy cakap yang bukan-bukan. 

"Tak guna nak menyesal sekarang. Ada bini baik, kamu tak hargai dia. Kamu campak Tina ni macam sampah! Masa tu, tak ada pula kamu nak terangkan apa-apa pada dia." 

Puas hati Maheran dapat melampiaskan apa yang selama ini terbuku dalam dada. Lapang hatinya bila dapat membela anak yang sedang termangu di hadapan kereta.    

Luqman yang tenang sedari mula memandang riak wajah Qistina yang berubah-ubah. Sebagai lelaki, mana mungkin dia tidak berasa apa-apa? Macam rindu, macam sedih, macam geram... 

Luqman bimbang. Rasa nak bawa Tina lari sekarang juga. Tak mahu membiarkan Tina dengar rintihan Safiy. Tapi, dia tak dapat nak buat macam tu. Sebab, pilihan untuk pergi atau mendengar, hanya Qistina yang perlu buat. Bukan orang lain!

Namun, mengapa dia sendiri rasa kasihan pada Safiy? Dan kerana rasa kasihan itu, dia mendekati Qistina. Wajah Tina ditatap.  

"Tina, buatlah pilihan. Kalau rasa dia layak dikasihani, biar dia jelaskan semuanya. Kalau tidak, jom kita balik." 

Qistina pandang wajah Luqman yang tegas, yang tidak ada senyuman. "Awak rasa, perlukah saya beri dia peluang tu?"

"Mungkin dia terbeban dengan rasa bersalah kerana menceraikan awak dulu. Mungkin, ada benda yang terpaksa dia buat yang dia tak boleh beritahu awak masa tu,” tegas Luqman.

“Tapi...”

“Awak pernah cakap pada saya, marah itu datangnya daripada syaitan. Awak nak syaitan tepuk tangan sekarang? Syaitan seronok masa kau orang berdua bercerai dulu. Takkan nak biar syaitan bersorak lagi kerana putus pula silaturrahim?”

Safiy segera menyampuk. “Tina, kita semua tahu yang abang dah terlambat. Abang dah tiga tahun lewat. Tina pernah cakap pada abang dulu yang Tina hanya nak tahu semuanya masa tu tapi abang tak mampu nak luahkan. Sekarang...”

“Sekarang, saya tak mahu dengar apa-apa pun. Awak dah lambat! Dah terlalu lambat!” 

"Sampai hati Tina! Tina kejam!" tuduh Safiy.

"Awak dengan saya, siapa lebih kejam? Jawablah, Safiy! Siapa lebih kejam, hah?" 

Maheran menjuihkan bibir. Safiy dihadapnya. "Kan aku dah cakap, jangan buat Tina marah! Kamu ingat, Tina tu sayang lagi pada kamu ke? Sudahlah, Safiy! Pergilah balik dan jangan datang cari Tina lagi!"

Qistina pandang Luqman. Dia mahu segera meninggalkan kedai. Dia hendak berehat di rumah.

“Bawa saya balik, awak! Saya rimas dah ni. Jom!” pintanya. 

Jeritan Safiy memanggilnya sedikitpun tidak diendahkan. 

You Might Also Like

4 comments

  1. alhamdulillah...akhirnya luqman berubah jua...berubah ke arah kebaikan...
    suke sangat kalau qistina dengan luqman...x salah kalau beri peluang buat luqman...mungkin ini hikmah di sebalik penceraian qistina...
    qistina jangan tolak ye kalau luqman mengaku suka...
    akak nak lagi...sikit sangat...x puas baca...

    BalasPadam
  2. alhamdunillah ... moga semuanya berjalan dengan lancar..

    BalasPadam
  3. hihihi..
    hope gud news

    BalasPadam

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.