Langkau ke kandungan utama

hati yang luka - versi cerpen

Asmidar membelek-belek wajah tampan yang sedang lena tidur di sisinya. Sungguh lena, sungguh nyenyak hingga langsung tidak sedar bila Asmidar sengaja memasukkan jari kelingkingnya ke dalam lubang hidung lelaki itu yang mancung. Tertawa halusnya juga tidak mampu menyedarkan lelaki itu. Nampak penat sangat….. iyalah, orang kena layan dua isteri, kan?

Hati jadi sayu tetiba. Senyumanpun terus hilang. Semakin lenyap bila ‘alarm’ berbunyi, tanda detik pertemuan mereka malam ini akan berakhir.

Kenapa malam bukan untuknya? Kenapa Surin tidak langsung boleh membenarkan dirinya menikmati malam-malam yang indah, seperti pasangan-pasangan lain? Kenapa, bila malam aje, Surin harus pergi meninggalkan dia, meninggalkan rumah mereka ini? Mengapa?

Dia tahu semua soalan-soalannya itu adalah soalan-soalan bodoh. Kerana dia punya jawapan untuk kesemuanya. Kerana dia arif benar apa sebabnya! Tidak lain dan tidak bukan kerana…. kerana dia hanya menumpang kasih.

Kata Surin, sebagai isteri kedua, dia tidak boleh meminta-minta. Dia tidak berhak. Dia mesti tahu kedudukannya. Dia mesti tahu had dalam perhubungan di antara dirinya dengan Surin. Semua ini sudah termaktub dalam perjanjian ketika mereka ingin berumahtangga 5 bulan dulu. Semua ini sudah Surin pinta darinya dulu.

“As, As dah habis fikir dah? Kahwin, cerai, bukan soal main-main tau! Abang tak mahu nanti janji As sekarang ni hanya sekejap. Esok-esok bila dah jadi isteri abang, As mulalah hendak melebih-lebih. Mintak sesuatu yang As tau, abang tak mampu beri.”

Masih teringat kata-kata Surin dulu, ketika dia menerima lamaran lelaki itu. Waktu itu, dia hanya mengiyakan. Mengangguk tanda dia redha dengan apa yang bakal ditempuhi. Tanda redha berkongsi kasih. Tanda redha menerima setiap syarat yang Surin bagi.

“Abang tak boleh selalu dengan As. As kena faham. Abang dah lama kahwin dengan Suhana. Walaupun dia tu pilihan mak abang, kami bahagia. Kami ada anak. Abang tak boleh abaikan mereka.”

Asmidar melepaskan keluhan. Dia tahu janjinya. Tapi, tidak bolehkah kalau malam ini, malam ini sahaja... Surin menjadi miliknya? Surin tidak pernah mahu tidur di rumahnya, walau sekali. Ada tidakpun, pada malam pertama pernikahan mereka dulu, di kampung. Itupun dah macam cacing kepanasan sahaja Surin hendak menjawab panggilan isterinya yang tidak berhenti-henti sepanjang malam.

Hatinya panas mengingati. Surin asyik mahu dirinya beralah. Mematuhi janji yang dia buat. Bagaimana Surin pula? Adilkah apa yang dibuat kepada dirinya ini?
“Arghh, apa nak jadi, jadi lah! Aku tak mahu kejutkan dia.” Berontak hati lalu dengan perlahan-lahan, menarik lengan sasa suaminya dan meletakkan kepalanya di situ. Hati berbunga riang bila Surin terus sahaja mendakap tubuhnya erat-erat. Bibir tersenyum manis ketika mata sengaja dipejamkan.
..................
“As, Asmidar! Bangun! Bangun!” Serentak dengan itu Surin Amzar bangkit terjun dari katil. Melihat jam, hati menjadi cemas. Dah dekat pukul 12 tengah malam. Mak... dah lewat sangat ni!

Melihat Asmidar yang masih sedap lena, hati sedikit terusik. Rasa kasihan menjengah juga tapi apa hendak dikata. Dia perlu balik ke sana. Kalau tidak, jenuh... apa hendak dijawab bila Suhana bertanya nanti?

Kahwin, kahwin jugak. Rahsia tetap rahsia. Keharmonian yang ada tidak boleh diganggu-gugat. Ni, pertama kali dia lambat balik. Buatnya Suhana bercekak pinggang kat tengah-tengah muka pintu, kang? Apa nak jawab?

Pakai baju pun kalut semacam aje. Risau punya pasal. Dalam kepala sedang mencongak-congak apa nak cakap nanti. Alasan apa hendak diberikan. Masak! Masak!

“Nak balik sana aje, mesti kalut. Kenapa? Selama ni dia tanya ‘every detail’ ke bila abang balik lambat? Dia selidik ke abang ke mana? Dengan siapa? Berapa orang? Makan di mana? Makan apa? Semua tu abang mesti ceritakan pada dia?” Asmidar bertanya dari atas katil. Wajahnya cemberut merenung suami yang seolah-olah sudah tidak sabar hendak pergi. Yang seolah-olah tidak sabar hendak meninggalkannya sendiri.

“Sorilah, sayang. Abang kena pergi, okey. Tupun dah lebih 3 jam daripada selalu, kan?” Surin mengusik, menguis hidung Asmidar.

Asmidar mengeluh. “Macamlah lama sangat 3 jam tu.” Bisiknya.

Surin yang mendengar tersentak. Dahinya berkerut. Wajahnya hilang senyum. “Dah mulalah tu!”

“Mula apa?” tanya Asmidar berani.

“Mula meminta-minta! Lupa pada janji lama?” Surin mengungkit.

Asmidar menarik muncung. Geram.

“Yalah! Baliklah! Orang tak ungkit dah. Orang tak lupa janji orang. Orang tak nak mintak apa-apapun. Pergilah! Tu, isteri kesayangan abang tu dah tunggu, penuh rindu!” rajuknya langsung menarik selimut, menutupi tubuh hingga ke kepala.

Surin ingin memujuk namun pada masa itu, telefon yang baru sahaja dihidupkan berbunyi. Dia segera menekan punat hijau.

“Ya, sayang. Abang baru je habis meeting. Ya, on the way nak balik rumah dah ni. Belum makan lagi. Tunggu abang, kita makan sama-sama.”

Talian diputuskan. Sekilas, dia berpaling ke arah Asmidar yang masih berbungkus selimut. Dia tahu, Asmidar kecil hati dengannya. Tapi, sekarang, dia tak ada masa nak pujuk. Esok-esoklah! Bisik hati.

Tanpa pamitan, dia terus berlalu.
Tanpa ciuman di dahi, seperti selalu!

Dan, Asmidar terus kelu. Membiarkan air mata menitis laju.
..................

2
“Sampai bila nak hidup macam ni? Tengoklah, bila ada kenduri kendara, kau datang sorang aje. Dia? Langsung tak sudi nak jenguk.” Marah kak long Besah membuat riak muka Asmidar berubah. Terhambur kemarahan kepada Surin, yang dilepaskan kepada dirinya. Tapi, memang ini kebenaran, nak cakap apa lagi? Tadah ajelah telinga sampai berdarah.

“Tulah! Kitorang dah cakap! Jangan cari penyakit! Jangan cari pasal. Bukan senang kahwin dengan suami orang. Sekarang, rasakan! Ada laki, macam tak ada! Semuanya dibuat sendiri, macam masa zaman belum kahwin dulu. Huh, alang-alang baik dulu lagi. Nak bergerak pun senang. Ni, nak ajak pergi famili gathering pun payah!” sahut Kak Ngah Ton, pula.

“Sudah sudahlah tu! Korang berdua ni tak habis-habis. Budak tu dah lah ada masalah. Korang bukan nak sejukkan hati dia, sengaja pulak jadi batu api. Dah! Tinggalkan As tu. Pergi ke dapur, tengok apa yang patut!”

Asmidar sangat berterima kasih pada babah. Babah yang selalu menyokong tiap tindakannya. Yang selalu menyebelahinya. Yang selalu mengambil berat tentang dirinya.

"Babah, memang... kitorang bagi nasihat, kata kami membebel. Sebab tulah, anak bongsu babah ni jadi perempuan malang. Tengoklah...... dulu lagi Besah dah cakap, jangan rampas hak orang, tak bahagia nanti. Surin tu memanglah pernah jadi kekasih As tapi, dalam berkasih sayang tu pun, dia kahwin jugak dengan pilihan mak dia. Dapat anak jugak. Suruh As lupakan dia, tak mahu. Bila jumpa semula, terus sambung hubungan. Lepas tu, kahwin! Tapi, cuba babah tengok anak babah tu betul-betul. Babah rasa, dia bahagia ke?” Besah terus membebel. Hati yang sakit sebab Asmidar tak dengar cakap, ditambah dengan marah pada pembelaan babah yang tak kena tempat. Huh...

“Benda dah terjadi, nak buat macam mana lagi?” babah balas.

“Apa pulak, babah! Suruh aje As minta fasakh, habis cerita.”

“Kak Ngah?” Asmidar tidak menyangka itu mahunya kak Ngah.

“Tak baik bercerai.” Babah berbisik. Wajah anak-anak dipandang silih berganti. “Kecuali kalau As dah tak sanggup hidup dengan Surin.”

Asmidar tunduk. Kata-kata ayahnya tajam hingga ke ulu hati. Seolah-olah babah tahu, bahawa kini, antara dia dengan Surin sudah ada bibit-bibit pertengkaran. Bahawa, antara dia dengan Surin sudah ada tanda kerenggangan.

Kak Ngah pegang tangan As. “Adik.. bukan kak ngah nak menghasut. Bukan! Tapi, kak ngah kesian tengok kau. Ni nak cerita sikit. Minggu lepas, kak ngah bertembung dengan Surin sekeluarga dekat Pizza Hut. Bukan main meriah diorang. Bahagia sungguh! Kak ngah sengaja pergi dekat. Kelam kabut Surin nak kenalkan kak ngah dengan abang ngah pada bini dia. Sudah-sudahnya, dia cakap yang abang ngah kawan bos dia. Berasap kepala kami, dik. Rasa hendak aje kak ngah jerit bagitau Suhana siapa kami sebenarnya tapi, mujurlah abang ngah cepat-cepat tarik kak ngah jauh-jauh. Tengok... dengan kakak ipar sendiripun dia tak ‘respect’. Macam mana nak harap dia jadi pelindung kau? Nak bergantung harap? Boleh ke?”

Asmidar menyeka air mata yang tumpah. Sedih mendengar cerita kak ngah. Sedih bila Surin buat macam tu pada ahli keluarganya. Geram pun ada. Sakit hati pun datang jugak. Tapi, dia sayang Surin. Dia cinta Surin. Dia... dia tak sanggup berpisah dengan Surin. Dia benar-benar tak sanggup.
...................

3
“As pergi mana? Dua hari abang datang sini. Sampai malam abang tunggu, As tak balik-balik. Kenapa tak telefon abang? Kenapa tak beritahu ke mana As pergi? Kenapa buat abang susah hati?” Surin terus menyerangnya sebaik pintu rumah terbuka. Belum sempat duduk, Surin sudah menunjukkan rasa marah.

Asmidar diam, malas hendak bercakap. Dia menonong ke dapur. Dia tahu, Surin mengekorinya. Sengaja dia buat tak tahu.

Pintu peti ais dibuka. Dia terus sahaja meneguk air limau dari botol di tepi pintu itu. Dia tahu, Surin mesti mengamuk tengok kelakuannya.

“As? Kenapa minum macam tu? Tak ada gelas dah ke dalam rumah ni?”

Kan dah cakap? Surin bukan boleh tengok perlakuan yang gelojoh, mesti dia naik darah. Pada masa sama, jam berdenting. Hati menghitung...1, 2, 3......9...

“Dah pukul 9 malam dah. Pergilah balik, bang. Nanti isteri abang cari, susah nak jawab.” Dia menghalau. Tidak peduli pada jegilan mata suaminya.

“Ni, apahal pulak menghalau suami ni? Abang tak balik sana malam ni. Suhana dengan anak-anak tak ada. Diorang balik kampung. Mak buat kenduri sikit.” Surin memberitahu dengan suara sedikit kendur.

Tidak ada keseronokan mendengar ayat-ayat itu. Kalau sebelum ni, dia pasti melonjak riang dan memeluk leher Surin sambil menghadiahkan kucupan mesra, hari ini, dia tidak berasa hendak buat begitu. Semakin kecil hati, adalah... baru tersedar yang dia sentiasa menjadi ‘second best’. Hanya bila Suhana tak ada, baru Surin nampak bumbung rumah dia. Jika tidak, jangan harap hendak menjengah. Hai...

“Kenapa mengeluh, sayang? Tak gembira pulak? Hari tu, beria-ia hendakkan abang tidur sini, 24 jam. Sekarang, bila ada peluang, muka tu masam mencuka pulak. Kenapa?” tanya Surin, cuba meraih pinggang Asmidar tapi Asmidar cepat-cepat mengelak.

“Kenapa tak duduk kampung aje dengan diorang semua? Kenapa balik sini?” tanya dia.

Mata Surin Amzar mengecil. Tidak faham apa yang ada dalam kepala isteri keduanya ini. Dia punyalah berkorban mencipta banyak alasan kepada ibunya, kepada isteri pertamanya, ini sambutan yang diterima? Kenapalah dengan Asmidar ni? Entah-entah dah kena cocok dengan adik beradik dia di kampung, kot?

“Sayang, abang penat tau. Sejak semalam abang rindukan sayang, nak bersama-sama dengan isteri abang ni, tapi sayang balik kampung senyap-senyap, tak beritahu abang pun. Ni, buat hal pulak. Tanya kenapa abang balik ke sini? Takkanlah itupun abang nak kena ‘highlight’? Tentulah abang hendak bersama-sama dengan isteri kesayangan abang ni, kan?” balas Surin, cuba bertenang. Tidak mahu melayan kemarahan Asmidar.

“Esok, As nak tempah piala bagi pada abang. Piala pemujuk terbaik. Piala pembodek nombor 1. Piala, sebab pandai kelentong As.”

Tubuh Asmidar dipusingkan oleh Surin. Dia geram mendengar kata-kata Asmidar tadi. Dia sakit hati, sangat-sangat sakit!

“Abang punyalah ikhlas datang sini. Macam-macam alasan abang dah bagi pada Suhana, pada mak, As sedap-sedap tuduh abang kelentong? As sedar tak, As cakap dengan siapa? Dah tak kenal suami sendiri dah? Ikut sedap mulut aje mengata? Tak ingat dosa pahala?” marahnya.

Asmidar sudah penat bertekak. Tapi dia pun ada perasaan juga. Kemarahan yang lama terbuku, tak kan hendak dibiarkan?

“As ni dah tak tahan tau, bang. Abang letak As jauh... kat bawah dalam senarai keutamaan abang. Kononlah, cipta alasan nak tidur sini? Kenapa selama ni, tak buat alasan tu semua? Karang, kalau As cakap abang takut bini, abang marah. Tapi hakikatnya, memang itulah abang. As terasa, bang.... As ni tak pernah penting dalam hidup abang. Tengoklah...bila bini nombor satu abang tu balik kampung, baru nak datang tengok As.”

“Ni yang abang tak suka ni! Sikit-sikit mengungkit! Awak tu bini muda, kenalah beralah! Awak rampas abang daripada Suhana, As. Kenalah sedar diri tu sikit!” jerkah Surin. Hati yang tadi berbunga-bunga, kini hilang lenyap dah. Layu dah bunga dalam taman hati. Sikap tamak Asmidar buat dia jadi marah. Bosan. Dan, lelah... penat betul melayan kerenah bini. Memanglah.... beristeri dua, senang, tapi... nak jaga hati dua-dua... jenuh!

Asmidar terpaku mendengar kemarahan Surin. Kemanjaan yang kian hilang. Kian punah. Cinta yang kian pudar. Dapat dirasakannya.

“As terlalu tamak!” rintih Surin.

“As tamak? Bang, kalau As tamak, As dah pergi jumpa Suhana abang tu, As beritahu dia tentang kita. As cakap pada dia yang abang tak pernah adil pada As. Kita kahwin, tapi tak macam suami isteri lain. Abang cuma datang pada As bila abang perlukan As. Makan minum As, As guna duit sendiri, tau. Kereta tu pun, duit As. Ada tidak pun, ansuran rumah ni aje yang abang bayar. Itupun, bila As mintak duit abang. Ada As merungut selama ni? Tak? Sebab apa? Sebab As sedar siapa As. Tapi, janganlah pijak kepala As ni! Jangan tuduh As yang bukan-bukan! As tak boleh terima!”

Surin terdiam. Kata-kata Asmidar tidak mampu dinafikan kebenarannya. Semuanya benar.

“Abang tak adil pada As... tak pernah adil!” Asmidar bangun. Dia hendak masuk ke dalam bilik. Tak larat melayan kerenah suami lagi. Dia sudah penat.

"As...”

Asmidar berpaling. Bukan tidak kasihan melihat mendung di wajah itu tapi, hatinya yang luka ini... macam mana pula?

“Abang baliklah pada dia. Bukan jauh mana Segambut tu. Pergilah! As dah biasa jadi ‘second best’ dalam hidup abang. Selagi As mampu, As bertahan. Tapi, kalau takdirnya nanti, As dah kalah menahan perasaan, izinkan As pergi dari hidup abang.” Bisiknya.

Surin segera menarik Asmidar ke dalam dakapannya. Bibir yang baru meluahkan kata-kata perpisahan itu dikucupinya.

“Jangan ulang lagi! Jangan berani meminta perpisahan. Abang tak rela. Abang tak mahu! As cinta pertama abang. I love you!”

Asmidar menangis sepi. Kata-kata memujuk itu semakin mengguris hati. Namun sentuhan Surin, kata-kata pujukan Surin, belaian Surin........ bagaimanakah hendak ditepis bila hati terlalu cinta? Terlalu kasih?

Abang sayang As. Sayang sangat...” bisikan halus membuai perasaan. Dan, Asmidar hanyut dalam lautan kasih yang Surin berikan. Segala kelukaan bagai hilang..... lenyap... entah ke mana.
..........................

4
Berapa lama dapat menutup kebenaran? Harum atau wangi, baunya cepat dihidu orang. Begitu juga dengan cerita perkahwinan kedua Surin Amzar. Ada mulut sudah cerita sama emak. Ada mulut sudah buka rahsia sama bini tua. Kini, kedua-dua wanita itu sedang menangis.

Surin resah. Hendak pujuk siapa dulu, ya?

“Kenapa, Surin? Kenapa kamu kahwin lain? Apa yang kurang dalam rumah tangga kamu dengan Suhana ni?” tanya puan Ifa kepada anak lelakinya.

Pertemuan dengan Roza dan suaminya beberapa hari lalu masih berbekas di dalam hati. Ketika itu dia dan Suhana di Kamdar. Ingin membeli langsir yang sedang dijual murah. Roza ialah sepupu Suhana. Daripada Rozalah, baru terpecah tembelang. Suaminya, Azlan mendengar cerita itu daripada kawan baik Surin, Ismadi.

Suhana menangis tersedu-sedu. Hati yang sedia sayu semakin sedih bila Surin hanya diam tanpa sedikitpun ingin memujuk rajuknya ini.

“Siapa perempuan tu?” kali ini, suara puan Ifa melengking kuat.

Surin menarik nafas panjang. “Nama dia, Asmidar, mak. Kami berkawan masa kat U. Bukan setakat kawan, dia kekasih saya. Memang saya cadang nak kahwin dengan dia, dah janji dengan dia tapi, bila mak dah pinangkan Suhana untuk saya, dah tetapkan tarikh kahwin kami, saya tak boleh nak kata apa dah. Saya tak mahu mak malu sebab semuanya dah mak buat, siapkan untuk saya. Jadi, saya mintak putus dengan As.”

Cerita lama terbongkar. Memang pedih kenyataan itu. Hatinya tidak merelakan tapi, dia tidak mahu melukakan hati ibunya. Tidak mahu menghampakan harapan ibunya. Dia tahu Asmidar terluka. Hatinya sendiri pedih dan parah. Namun, dia yakin, pilihan ibunya mestilah yang terbaik dan dia tidak silap. Suhana memang gadis yang santun, bersopan dan mentaati suami. Makan minumnya terjaga. Pendek kata, kerana dia anak yang baik, dia mendapat isteri yang sempurna.

“Macam mana boleh jumpa dia semula?” puan Ifa masih tak puas hati lagi.

“Kami jumpa semula masa saya seminar di Kuching tahun lepas.”

“Maklumlah, jumpa kekasih lama, ya, bang? Cinta pertama pulak tu? Tak kira, laki orang pun dia nak kebas, kan?” Suhana membentak. Geram dengan perempuan tu. Rasa ingin sahaja dicilikan! Baru tahu!

“Jangan marah dia, Suhana. Tepuk sebelah tangan tak berbunyi, kan? Abang mengaku, abang yang mulakan dulu. Abang yang ajak dia keluar makan, jumpa, dating...semua abang yang mulakan.”

“Dengarlah tu, mak! Bukan main sayang abang pada perempuan tu! Suhana ni tak bernilai apa-apa pun!”

Surin menggelengkan kepala. Tidak langsung dia berniat hendak mengecilkan hati Suhana. Tidak langsung mahu membela atau menyebelahi Asmidar. Memang ini salahnya. Dia yang tidak mampu menangkis gejolak perasaan. Dia yang tidak sanggup kehilangan Asmidar kali kedua. Hanya dia!

“Sekarang ni, macam mana, Surin? Tak ada perempuan yang sanggup dimadu. Kamu tengok si Suhana ni. Dah bengkak-bengkak mata dia menangis. Takkanlah kamu nak biarkan aje dia? Tak kesian?” puan Ifa melembutkan suara.

"Mak, Suhana, dah 5 bulan saya kahwin dengan As. Selama ni, saya tak pernah abaikan Suhana dengan anak-anak. Malah, saya tak pernah adil pada Asmidar. Tolonglah faham. Saya sayang dua-dua. Baik Suhana, mahupun Asmidar, saya nak dua-dua. Saya mampu, emak tahu, kan? Suhana, jangan pulak awak mintak saya lepaskan Asmidar, saya tak mungkin lakukan. Dia penting dalam hidup saya. Macam mana awak dan anak-anak kita. Tolonglah faham.”

Dia bangun, meninggalkan mentua dengan menantu, cuba memahami kata-kata dan kehendak yang tersembunyi.
...............................

“Jadi, mereka dah tahu tentang As?”

Surin mengangguk.

Asmidar tidak jadi meneruskan suapan. Rasa tersekat dah nasi di kerongkong. Risau.

“Suhana mesti mengamuk, kan?” soalnya lembut. Wajah suami ditatap hiba.

“Dia tak boleh terima abang menduakan dia, tu aje. Sayang jangan susah hatilah...” tangan isteri digenggam erat namun suapan diteruskan. Sejak rahsia terbongkar, dadanya rasa lapang. Dia tidak lagi perlu ke mari secara sembunyi-sembunyi malah sudah pandai membahagi hari. Tidak ada lagi istilah takut atau hendak menjaga hati Suhana.

“Dia mesti terluka. Sedih dan entah-entah asyik menangis sejak tahu tentang As. Kesian dia. As rasa bersalah pulak sekarang. As dah rampas abang daripada dia. As....As...”

Surin ketawa melihat gelagat Asmidar. Hatinya digeletek rasa lucu. Dulu, begitu beria-ia mahukan dia berlaku adil. Kini, bila hajat sudah tercapai, tetiba pula Asmidar bersimpati dengan nasib Suhana. Adoyai.. perempuan, tidak pernah puaskah kau dengan apa yang ada? Bagaimana lagi harus cinta ini aku buktikan?

“Bang, abang buat macam dulu semulalah, ya. Kita balik asal.”

Surin menggeleng-gelengkan kepala. “Abang dah bahagia dengan rutin ni. apasal pulak nak buat macam dulu balik? Suhana kan dah tahu tentang kita? Apa yang jadi masalah pulak ni?” soalnya ketika dia bangun untuk membawa pinggan ke sinki.

Asmidar segera bangun, mengambil pinggan suaminya dan kemudian tolong membasuhkan tangan Surin, siap sabun dan kemudian lap sekali. Ketika Surin duduk semula, dia segera menuang air ke dalam gelas dan menyuakan gelas itu kepada suaminya. Layanan yang sangat Surin hargai daripada seorang isteri.

"As tak sedap hatilah, bang. As tak mahu jadi punca pertengkaran antara abang dengan Suhana. As cuma nak tumpang kasih abang aje. As minta maaf kalau sikap As sejak dua menjak ni sedikit melampau tapi percayalah....As tak ada niat nak rampas abang dari dia.”

“Hei, jangan sedih, okey! Hal abang dengan Suhana, biar abang settlekan sendiri. As jangan susah hati. Sekarang ni, dia memang sedih...biasalah tu....selama ni, dia ingat abang hak dia sorang. Sekarang bila dia kena share abang dengan As, tentulah dia susah nak terima hakikat tu. Tapi, abang dah cakap dengan dia yang korang berdua sama penting dalam hidup abang. Abang tak boleh kehilangan salah sorang pun...” balas Surin sambil merangkul tubuh Asmidar.

Asmidar segera menggeletek pinggang suaminya. “Tamak!” ujarnya bersama senyuman.

Surin ketawa.

“Mungkin?” usiknya.

Wajah Asmidar kembali serius. “Tapi....kalau ditakdirkan abang terpaksa memilih? Si....”

Soalannya tidak dapat diteruskan bila jari telunjuk Surin sudah diletakkan di bibirnya. Kepala Surin sedang menggeleng laju.

"Jangan tanya soalan tu. Abang tak sanggup dengar. Abang tak mahu buat. Kenapa abang mesti memilih? Kenapa salah sorang daripada As dan Suhana mesti memaksa abang membuat pilihan sedangkan kita boleh hidup bahagia macam ni? Kenapa nak jadi tamak?”

Asmidar tidak menyahut sebaliknya dia bangun menuju ke balkoni. Ingin menikmati panorama indah sinaran lampu neon di Kuala Lumpur daripada kondominium yang telah diduduki selama berbulan-bulan.

Surin yang mengekori, memeluk tubuh tinggi lampai itu daripada belakang. Dia tahu, As susah hati. Sebagai isteri kedua yang sering digelar perampas, hati wanita itu sedang tidak enak memikirkan kemungkinan mereka akan terpisah.

Hatinya sendiri sedang resah. Ya, kalau ditakdirkan dia terpaksa memilih, bagaimana nanti? Siapakah yang akan kekal bersamanya? Siapakah pula yang akan diceraikan? Sanggupkah dia melepaskan Suhana, ibu anaknya yang tiga orang itu? Isteri yang setia setelah 5 tahun mereka berumahtangga? Dan.... dapatkah dia melepaskan kekasih hatinya yang ini? Asmidar? Wanita yang sentiasa memiliki sekeping hatinya sejak dulu.

“Tuhan, tidak bolehkah aku memiliki ke dua-duanya?”
................

6
Asmidar, Kak long Besah dan Kak ngah Ton sedang santai duduk di atas tikar, di bawah pokok, berhampiran tasik. Abang long Hasan dan abang ngah Radhi kelihatan seronok melayan kerenah anak-anak mereka, di suatu hujung, tidak jauh daripada situ. Biasalah, suasana di pagi Ahad, agak riuhlah juga keadaan di Taman Tasik Perdana ini. Riuh dengan pelbagai gelagat terutama sekali anak-anak yang keriangan bila mendapat tumpuan dan perhatian ibu dan ayah setelah seminggu masing-masing sibuk membawa haluan.

“Minggu lepas As dengan Surin balik kampung jenguk babah.” Asmidar bercerita sambil tersenyum terutama bila kakak-kakaknya menjungketkan kening. Dia faham, tentulah mereka sukar hendak mempercayai bahawa Surin punya masa untuk balik bersamanya.

“Babah sihat?” kak long bertanya. As mengangguk.

“Mimpi apa Surin ikut kau balik kampung? Dah buang tebiat ke dia?” perli kak ngah Ton.

Asmidar tertawa. “Kak ngah ni, tak baik tau.... Sebenarnya, sekarang ni kami dah selalu keluar rumah bersama-sama. Tak ada sorok-sorok lagi.” Dia memberitahu.

“Tu, berita baik ke atau berita buruk?” kak ngah mengerutkan dahi.

“Isy.. berita baiklah! Kak ngah, sebenarnya, Suhana dah tahu yang dia bermadu. Jadi, Surin tak perlu lagi macam dulu. Selang semalam, dia balik ke rumah As. Lepas tu, dia dah selalu bawak As jalan-jalan. Kami pergi shopping. Ada sekali tu, dia bawak As pergi ke rumah Ismadi. Cukur jambul anak dia. Alhamdulillah, kawan-kawan yang datang boleh terima As. Elok aje berbual dengan As walaupun diorang kenal Suhana jugak.” Panjang lebar Asmidar membuka cerita.

“Macam manapun, kak long nasihatkan kau supaya jangan melebih-lebih sangat, As. Kena sedar jugak yang kau tu ambil hak orang. Kalau Surin terpaksa lebihkan Suhana dan anak-anak, kau kena beralah, tahu.”

Asmidar mengangguk. “As tahulah tu! As sedar siapa diri As ni.”

Kak ngah mencelah, “Kiranya, si Suhana ni baik orangnya, As. Kalau kak ngah kat tempat dia, dah lama dah kak ngah serang kau. Entah-entah dah lama dah aku cilikan kau sebab rampas laki aku! Tapi, dia tidak. Ada dia telefon?”

Asmidar menggeleng. Ya, kalau Suhana segarang kak ngah, tentu hidupnya tidak tenang sekarang. Dia akur dengan keberuntungannya.

Kak long pula terus menasihati. “Dalam masa yang sama, kau tu kena beringat jugak. Kasih sayang suami yang ada dua isteri ni, rapuh.... kalau takdirnya nanti dia terpaksa memilih, kak long yakin, dia akan pilih Suhana, bukan kau. Sebabnya, Suhana tu menantu yang mak dia pilih. Surin tu anak mak. Tak mustahil, kalau mak dia cakap tinggalkan kau, dia mesti patuh aje. Lagipun, kau dengan dia tak ada anak. Suhana dah beri dia 3 orang, anak lelaki pulak tu. Kalau Suhana ugut, mintak cerai dan nak bawak lari anak-anak dia.... dia tak akan teragak-agak tinggalkan kau, As. Percayalah cakap kak long ni.”

"Betul tu kak long. Kak ngah sokong 100%.”

Asmidar kelu. Sanggupkah Surin buat begitu kepada dirinya? Dia menggelengkan kepalanya laju-laju. Mustahil. Surin cintakan dia, bukan Suhana. Anak? Dia pun nanti pasti boleh beranak juga. Hmm, dia ada kelebihan di sini. Dicintai oleh lelaki itu dan dia bakal melahirkan anak untuk Surin. Takkanlah Surin masih hendak memilih Suhana pula?

“Eh, As...Bercakap tentang laki kau, tengok tu!” kak ngah menunjukkan ke suatu arah, di sebelah kanan.

Ketika Asmidar berkalih, dia terpandang Surin yang sedang bermain, berkejar-kejaran dengan 3 orang anak kecil. Mata memandang dengan tekun gelagat suami yang riang, benar-benar riang dan ketawa bahagia di kelilingi anak-anak kecil yang comel-comel itu. Anak-anak sulungnya kembar berusia 4 tahun dan anak ketiganya 3 tahun. Kini, mereka bergumpalan pula di atas tanah. Keriuhan suara-suara sikecil dapat didengari dengan jelas oleh Asmidar di sini.

Hati bagaikan hilang bila melihat bagaimana gelagat Surin yang tidak lama kemudian menarik seorang wanita mendekati mereka. Duduk berlunjur di atas rumput dengan tangan sasanya memeluk tubuh itu rapat sekali. Bila anak-anak mereka hampir, kedua-duanya sama-sama mendakap tubuh halus itu dan Surin tanpa segan silu terus sahaja menghadiahkan kucupan di dahi Suhana. Ya, tentulah itu Suhana... manja, bahagia, di sisi suami..manis senyumannya....

Asmidar segera berpaling bila kedua-dua kakaknya serentak merenungi dirinya. Dia tidak cukup kuat membalas renungan mereka yang tentunya penuh dengan rasa simpati untuk dia. Dan, dia tidak cukup kuat untuk melihat Surin bersama Suhana dan kemesraan yang tidak dia sangka.

“Sabarlah... itukan bini dia jugak? Tak salah dia menunjukkan rasa sayangnya.” Suara kak ngah bagai pisau menikam hatinya yang sedia terluka. Ya, memanglah tidak salah... kerana itu ialah isterinya. Memang, memang... Asmidar tahu... namun kenapa sayu benar hati melihatnya? Cemburukah dia? Tapi, berhakkah dia memiliki rasa itu sedangkan Suhana, sebagai isteri tua, tentu lebih berhak ke atas Surin Amzar?

“Kan, kak long dah cakap? He loves his other family. Ingat pesan kak long tadi. Sentiasa bersedia untuk dilepaskan. Tengok cara dia dengan Suhana tu, memanglah... jelas, kasih sayangnya lebih untuk mereka berbanding untuk kau.”

Asmidar rasa dunia bahagianya hilang... terbang... meninggalkan dirinya terawang-awang. Dia baru ingin mengecapi kebahagiaan.... baru tak sampai sebulan.... manis madunya masih terasa namun di saat madu itu meniti kerongkong....terasa pahitnya yang tidak sanggup ditelan. Bagaikan sudah berubah madu itu menjadi racun, sedang menurunkan bisanya di sepanjang esofagus.... membunuh tunas-tunas harapan yang ingin bercambah.

Kenapa dia harus dipertontonkan dengan kebahagiaan mereka?

Kenapa dia harus nampak wajah ceria Surin bersama keluarganya?

Kenapa dia harus mengakui kebenaran kata-kata kak long?

Kenapa bahagianya seakan akan berakhir?

Janjimu.....
Kini jadi kenangan saja
Kau berdusta
Hidupku kini jadi sengsara
Remuk luka
Terguris hati nan suci
Cintaku setia
Namun kau mungkiri janji
Berlinangan air mata
Mengenangkan kembali
Segala kisah asmara
Suka duka kuharungi......
......................................

7

“Betul ke, Su? Su tak salah orang? Memang dia?” Puan Ifa begitu beria-ia bertanya. Mendengar cerita isteri pertama Surin, hatinya puas. Biar dia rasa, fikirnya.

“Alah, mak... bukan jauh mana dia dengan kitorang. Cuma...abang, biasalah, kan. Dia kalau dengan anak-anak, lupa dunia. Tak nampak orang lain dah.”

Mereka berdua ketawa mengekeh. Suka benar bila mendapati yang Surin langsung tidak menyedari kehadiran Asmidar di Taman Tasik Perdana tempoh hari.

“Muka dia sedih aje, mak. Masa dia balik, kan, langsung dia tak pusing belakang, tengok abang. Sebenarnya, Su cuak juga. Buatnya dia datang dekat kami, hilang mood Su. Tapi, mujurlah. Dia tu sedar diri jugak, ya, mak?”

Bukan sengaja hendak memuji tetapi hakikatnya begitulah. Suhana dapat melihat betapa Asmidar tidak berusaha untuk mendekati mereka. Mungkinkah perempuan itu cemburu melihat kemesraan Surin kepada dirinya dan anak-anak?

“Budak tu baik, Su. Bukanlah mak hendak memuji, tapi...dulu waktu dekat universiti, ada jugak Surin bawak kawan-kawan dia datang. Tapi, dah datang ramai-ramai, manalah mak tahu yang dia tu buah hati Surin, kan? Surin pun tak cakap.” Puan Ifa mengimbas kenangan lama.

"Mungkin betul cakap mak tu. Su pun rasa, dia tu baik jugak orangnya. Tapi, sebab dia baiklah, Su takut, mak. Abang cintakan dia sedangkan Su ni...”

“Jangan nak merepek, Su. Mak tengok, Surin tak berubahpun sikap dia dengan kamu. Lembut aje. Romantis pun ada jugak.”

Suhana ketawa. Gelihati bila mentua memenangkan anaknya.

“Yalah, dia kan anak mak? Mestilah mak menangkan dia, kan?”

“Hisy, kamu ni.... anak ke, menantu, ke, mak sayang sama rata, Suhana. Cuma, kalau Surin suruh mak terima si Asmidar tu, susahlah sikit. Mak tak suka perempuan yang merampas suami orang ni. Tapi, tak boleh nak buat apa. Laki kamu tu, telinganya macam telinga kuali. Besar tapi pekak. Mak cakap apa pun, bukan hendak dia dengar.”

“Apa mak cakap pada dia?”

Puan Ifa merenung wajah menantunya lalu menyambung, “Mak suruh dia ceraikan Asmidar tu.”

Suhana melopong. Rasa tidak percaya.

“Dia tak hendak, kan?”

Puan Ifa menggeleng. “Entahlah, mak. Su rasa tak sanggup dah. Su cemburu. Kadang-kadang, bila tengah malam, abang jaga.... dia mesti telefon si As tu, mak. Lama... sampai sejam lebih. Dia ingat Su tidur agaknya.”

“Selalu macam tu?”

Suhana mengangguk. “Tapi, sejak dua tiga hari ni, tak pulak. Macam diorang ada krisis aje.” Dia memberitahu.

"Tengok! Mak dah cakap. Tak guna kamu marah-marah. Tak payah berbomoh-bomoh. Yang penting, kamu ikhlas tunjukkan kasih sayang pada Surin. Kamu ada anak-anak. Itu senjata kamu. Percayalah cakap mak ni. Esok-esok, Surin akan jemu jugak dengan perempuan tu. Usahlah kamu risau. Kita berdoa aje pada Tuhan supaya Surin nanti berjaya lupakan dia.”
.........................

Surin menggelengkan kepala. Mendengar perbualan isteri dengan ibunya secara tidak sengaja membuat jiwanya berkocak seribu rasa. Begitu mereka mengharapkan dia dan Asmidar berpisah. Bercerai! Begitu mereka menitipkan doa agar mahligai bahagianya yang kedua runtuh bagai istana pasir yang hilang, lenyap tanpa kesan bila badai melanda pantai.

Patutlah Asmidar dingin dengannya sejak berhari-hari. Sangkanya, As murung bulanan, rupa-rupanya As terpandang dia dan keluarga di taman tasik.

Hai, la.. perempuan. Kenapa merajuk? Kenapa tidak diluahkan apa yang dirasa? Terkilankah? Sedihkah? Hamburkanlah!

Susah juga hendak menjaga dua hati. Baru kini terasa jerihnya. Usikan teman-teman yang mengatakan dirinya semakin kurus, mungkin ada kebenarannya. Makan hati dengan sikap bini-bini, huhu..... yang sorang, yang tua....manjanya semakin melebih-lebih. Dah naik muak pula dengan sikapnya yang mengada-ngada. Yang sorang sudah banyak memencilkan diri. Kurang bercakap, kurang mesra. Adui...sakit kepala!
................................

8
Sudah 3 hari Surin tidak bertandang ke rumah Asmidar. Menelefon pun tidak. Asmidar di sini runsing. Bukan dia tidak menyedari keadaan suami yang terbatuk-batuk beberapa hari lepas, ketika Surin datang. Cuma, ketika itu, dia sedang bersedih, membawa rajuk di hati jadi, memang kurang perhatian diberikan kepada suaminya itu. Kini, rasa menyesal, menghantui. Bimbang batuk itu melarat pula.

Dia melihat nombor yang tertera di skrin. Tadi, dia memberanikan diri meminta nombor itu daripada isteri Ismadi. Hati berbolak-balik, bimbang untuk menghubungi namun Surin menjadi keutamaannya. Bukan dia hendak buat apa-apa pun...sekadar mengetahui keadaan suami, sudah memadai. Jika sihat, hatinya tumpang gembira. Jika sakit? Arghh, jangan fikir yang bukan-bukanlah, Asmidar.

Dia menunggu orang di sebelah sana menjawab dalam getar perasaan. Takut, bimbang... semua ada. Bagaimana kalau dirinya terus dijerkah? Padan muka? Alamak.... kesian aku, bisik hatinya.

“Assalamualaikum. Nak cakap dengan siapa?”

Mak... lembutnya suara dia....

“Ehh...errr....mmm, salam. Saya Asmidar, Suhana. Maaf, kalau saya kacau awak. Tapi, saya cuma nak tanya sikittt... aje. Boleh?”

Suhana tersentak. Tidak menyangka, senekad ini si Asmidar. Berani dia menelefon madunya ini, bisik hati. Bertenang, bertenang...dengar dulu apa dia nak cakap. Tapi, kena jawab jugak, kan? Gumamnya.

“Nak apa?” tanya dia setelah lama dibiarkan soalan As tidak berjawab.

“Saya cuma nak tahu sama ada Surin sihat ke tidak, itu aje. Hari tu, dia datang ke rumah, batuk-batuk. Saya pulak, tak berapa pedulikan dia. Dia okey?” Asmidar bertanya.
Arghhh...geramnya!! geramnyaaa.........

Asmidar menjauhkan telefon bimbit dari telinganya. Jeritan itu sungguh membingitkan. Dan, dia tahu, Suhana sedang marahkan dirinya tapi, dia bukan hendak melebih-lebih. Dia tahu had dia. Dia hanya ingin tahu keadaan Surin, itu sahaja.

“Engkau ni, kan....”

“Please... saya bukan nak suruh Surin balik sini. Tidak! Bukan nak suruh dia telefon saya, pun tidak. Saya hanya nak tahu keadaan dia aje. Kalau dia sihat, alhamdulillah. Saya bersyukur sangat kalau awak boleh beritahu saya itu aje. Pleasee....” pintanya perlahan.

Suhana menarik nafas dalam-dalam. Cuba mengawal geram. Cuba menahan marah. Beraninya perempuan ini. Aku jerit pun dia tak peduli!

“Suhana, tolonglah... saya bukan nak kacau. Kalau dia lebih gembira duduk di rumah awak, saya okey aje. Saya tahu, awak dan anak-anak awak lebih berhak pada dia. Dia sihat, kan? Kan?”

“Tentulah sihat. Ni, isteri tua dia ni, bukannya kerepot sangat tau. Umur aku lebih muda daripada kau, kan? Tentu aku boleh jaga dia dengan baik. Dah, jangan telefon sini lagi, ya. Surin sihat aje.”

Cepat-cepat Asmidar mencari tisu untuk mengelap sepasang mata yang basah. Padan muka kau, As. Apa yang kak long cakap, kak ngah dah bagi warning dulu, semua betul. Tengok, dia sihat aje. Dia saja malas nak telefon kau ke, sms ke. Dah mulalah tu, tunjuk benci pada kau. As, As.... nasiblah!!!

Esoknya, Asmidar tidak ke pejabat. Dia ambil cuti rehat. Malu hendak tunjuk muka bila sepasang mata bengkak akibat terlalu banyak menangis. Lagipun, kepalanya terlalu sakit. Berdenyut-denyut sangat. Tak larat hendak bergerak pun.

Dia terbaring di atas sofa, ketika Surin sampai. Wajah lelaki itu kelihatan cemas. Apatah lagi bila melihat dirinya yang lemah tidak bermaya.

“Sayang, kenapa ni? Ni, muka ni, pucatnya. Sayang demam ke? Kalau demam, kenapa tak call abang? Mujur hati abang tergerak nak call ofis As tadi. Terkejut abang bila diorang cakap As ambil cuti.”

Surin geram melihat Asmidar berpaling membelakanginya. Dia terus berlutut di tepi sofa. Mengintai wajah ayu yang kini jelas sedang menangis.

“Hei, kenapa sedih sangat ni? Marah sebab abang lama tak balik, ya? Alah, ni kan abang dah ada depan mata? Buat apa nak menangis lagi?” getar suara jelas seperti sedang menahan sabar.

Asmidar berpaling. Dia cuba duduk. “Kalau balik sini sebab nak marah As, baik tak payah.” Desahnya.

“Macam mana tak marah. As buat tak peduli pada abang. As marah pada abang sebab As nampak abang dengan Suhana dekat taman tasik, kan? Kenapa tak berterus terang? Yang monyok tak tentu pasal, kenapa? Takkanlah As tak faham yang itu keluarga abang. Anak-anak abang, isteri abang. Kenapa cemburu bila abang peluk Suhana? Abang suami dia jugak, kan?” akhirnya sakit di hati dilepaskan kepada Asmidar. Tidakkah nampak kelukaan yang jelas terpamer? Tidakkah nampak kesakitan dalam renungan sepasang mata Asmidar?

“Abang rasa penat tak? Penat dengan perangai As?”

“Kenapa kalau abang penat?”

“As tak nak abang susah hati fikirkan As. As tahu, As dah banyak susahkan abang. Kalau abang rasa As ni memenatkan abang.............”

“As nak kita berpisah? Gitu?” Surin terus terduduk di atas sofa. Dia sudah nampak arah lorong perbincangan mereka. Malah, dia sudah berhari-hari memikirkan perkara yang sama. Penat? Ya, dia sudah terlalu penat. Mana hendak menghadapi kerenah isteri dan anak-anak. Mana dengan kerja pejabat yang bertimbun, mana dengan permintaan ibunya yang saban hari mengganggu tidurnya.... dia tercungap-cungap kelemasan dalam arus rumahtangga ciptaannya yang menyakitkan.

"As tak sayang abang? Kemana cinta kita As campakkan?” tanya Surin, lemah.

“Cinta? Cinta kian pudar bila hati semakin terluka, bang.”

Surin memandang tepat seraut wajah itu. Baru jelas di pandangan wajah yang kian cengkung. Baru nampak di mata, sendu pandangan terlontar.

“Abanglah pisau yang menghiris hati As, kan?” tanya dia dengan mata yang berkaca.

“Jangan cakap macam tu. Abang dah cuba bahagiakan As. Salah As, As tamak. As sedih tengok abang dengan Suhana. Bila abang peluk dia, cium dahi dia.... hati As sakit. Masa tu, baru As sedar itulah perasaan Suhana bila As rampas abang dari dia. Masalahnya, As tak sekuat dia. As tak mampu lawan rasa cemburu ni. Abang, As bukan Suhana. As boleh ambil hak dia, tapi, As tak sanggup tengok dia dengan abang. Maafkan As.”
.................................

Asmidar kini berada di kampung, menghumban jauh segala kepedihan demi babah tersayang. Sejak dia pulang, hanya senyuman plastik dilemparkan agar babah tidak bertanyakan kisah rumah tangganya. Tapi, orang tua terlebih dulu makan garam. Senyumlah.... ketawalah.... babah tetap dapat membaca setiap helah tersembunyi. Babah tetap dapat menghitung setiap kesan luka yang diguris.

“As ada masalah dengan Surin, kan? As jugak ada masalah dengan isteri pertama dia. Ada masalah dengan ibunya. Malah, bagi As, semua adalah masalah, kan?” babah memulakan bicara.

Asmidar diam, tenang dan tabah untuk mendengar babah memulangkan paku buah keras kerana sebenarnya, babahlah dulu yang amat menentang pernikahan dia dengan Surin. Sebelum kak long dan kak ngah memarahinya, babah orang pertama yang memberikan 1001 alasan mengapa dia dengan Surin tidak boleh berkahwin. Babahlah orang pertama yang memarahi Surin, menuduh dengan pelbagai kata-kata kesat. Babahlah juga yang berkali-kali berkata, Surin tidak akan mampu berlaku adil. Namun, kerana degil, dia dan Surin ingkar. Kemarahan babah tidak memberi bekas. Mereka tetap gatal juga hendak meneruskan perkahwinan sehingga babah, sesungguhnya tidak berdaya hendak menasihati lagi. Ya, benar! Orang yang sedang mabuk asmara tidak akan pernah mendengar nasihat. Itu kenyataan dan kini Asmidar percaya sangat-sangat akan kenyataan itu!

“Surin suruh As balik kampung, berehat. Suruh As tenangkan fikiran.” Akhirnya Asmidar mula bercerita.
Babah duduk di kerusi di hadapan Asmidar.

“Kelmarin, Surin balik sini jumpa babah. Dia minta maaf dengan babah. Dia cakap dia kelahi dengan kamu. Dia cakap, kamu mintak dia lepaskan kamu.”
Asmidar terkejut. Wajah babah direnung seolah-olah tidak percaya dengan apa yang dia baru dengar. Surin balik ke sini? Tapi....

“Kamu pun tahu, cerai ialah satu-satunya perkara halal yang dibenci Allah. Kenapa kamu mintak dari Surin benda yang Allah murka. Yang Allah tak suka? Yang Allah benci?” suara babah sedikit tinggi. Asmidar tahu bahawa babah sedang menahan marah terhadapnya.

“As ingat itulah yang terbaik, babah. As tak suka jadi orang ketiga ni. Baru As tahu, sakit jadi perampas kasih orang. Sakit, bila hidup menumpang kasih. As tak sanggup lagi dah.” Jawab Asmidar, lemah.

“Kamu ingat, Surin tak sakit? Tak letih layan kerenah kamu? Layan kerenah bini tua dia? Layan kehendak emak dia?” babah tenang bertanya. Asmidar terkelu lidah.

“As, kalau nak tahu, Surin tu dah lelah dengan sikap semua perempuan di sekelilingnya, yang tak tahu menghargai kasih sayang dia.”

“Tapi, babah.....”

“Tunggu! Babah tak habis cakap lagi ni.”

Asmidar terdiam. Jerkahan babah mematikan kata.

“Babah tanya Surin, apa mahunya? Kalau dia nak lepaskan kamu, babah cakap pada dia yang kalau itu penyelesaian terbaik, buatlah. Kamu tahu apa dia jawab?”

Asmida menggeleng tanda tidak tahu. Namun wajah babah ditatap sayu.

“Dia sayang kamu.”

“Dia cakap macam tu?”

Babah mengangguk.

“Surin cakap, kalau boleh biarlah maut jadi pemisah. Surin cakap, walau penat, dia dah pilih untuk ada 2 bini, jadi dia nak cuba bahagiakan dua-dua. Surin cakap, dia memang takut bila dia tak dapat bersikap adil, tapi kalau isteri-isteri dia sanggup luah apa yang diorang masing-masing tak puas hati, dia akan cuba memberi keadilan. Tapi, Surin jugak cakap, isteri-isteri dia kena belajar terima hakikat dirinya. Belajar untuk tidak terlalu cemburu. Belajar untuk memahami bahawa mereka berkongsi.” Lama babah berjeda sebelum menyambung, “Sekarang ni, Surin serahkan kepada kamu aje. Kalau masih mahu berpisah, dia tak boleh nak cakap apa-apa. Tapi kalau hendak memulakan semuanya, esok, pukul 8 malam, dia nak jumpa kamu di Restoran Big Plate, Shah Alam.”

Ketika pulang, Asmidar memeluk tubuh babahnya erat-erat. Dia sudah membuat keputusan. Sudah diberitahupun kepada babah. Senyuman babah menjadi restu.

“As nak setia pada Surin sebab As kagum pada kesetiaan babah pada mama. Tak apalah kalau As dapat separuh saja daripada hati dia, tak apa. As tetap akan berusaha menjadi isteri sebaik mama, yang sentiasa di dalam ingatan Surin bila As dah tak ada. Kekuatan babah, perangsang untuk As. Lepas ni, As tak akan lemah lagi. Babah restukanlah As, ya.”
.............................

“Abang, kita buat apa kat sini? Bukan nak makan ke?” Soal Suhana keras. Geram dengan gelagat selamba suaminya.

“Yang gelisah sangat tu, kenapa? Kan abang dah order chicken chop? Air epal? Tunggu jelah!” balas Surin.

“Su nak makan cepat-cepat. Nanti, bila bini abang tu sampai, Su tak selera, tau!” Suhana meluahkan perasaan. Ketawa Surin membuat dia memberi jelingan maut. Sudahlah dia dipaksa ke mari, nanti dia kena menghadap pula muka perempuan tak tahu malu tu. Arghh, sakitnya hati!

“Suka ya... nak dating dengan dua isteri sekaligus? Kepit sorang sebelah kiri, sorang sebelah kanan dia? Kenapa? Nanti nak suap mulut kitorang bergilir-gilir, ek? Ke, nak suruh kitorang yang suapkan abang?”

Surin ketawa semakin lepas. Semakin galak. Lucu sungguh mendengar sindiran Suhana. Entahlah.... mungkin inilah keistimewaan isteri pertama dia kot? Mampu membuat dia ketawa besar.

“Abang ni, kan... memanglah hati tu hati batu, kayu, simen.... keras. Tak ada perasaan! Orang sindir pun gelak! Suka! Hisyyy...geram!” marah Suhana lagi.

“Su, Su tahu tak.... Su dah berjaya hiburkan hati abang tadi, hati suami. Tak suka dapat pahala menceriakan suami? Huh? Mana Su mahu? Kata-kata Su yang buat abang marah dan tak tegur Su kemudian Su dilaknat semua malaikat atau abang ketawa dengan kata-kata Su dan Su dilimpahi rahmat? Mana Su nak?” tanya Surin setelah ketawanya reda.

Belum sempat menjawab, Surin terpandangkan Asmidar yang matanya sedang meliar mencari mereka. Surin bangun, melambai ke arah wanita yang anggun berbaju kurung berwarna biru. Melirik Suhana di sisi, wajah itu sudah berubah menjadi masam mencuka. Namun tidak diendahkan. Kepada Asmidar, perhatian diberikan.

Asmidar mampir, sedikit gugup. “Maaf lambat.” Suara pun sukar hendak melepasi kerongkong. Namun, dia tetap duduk di kiri Surin, sepertimana yang dipinta lelaki itu.

“Tak apa! Abang bukan kisah pun. Aku boleh buat dia gelak lagi. Kan, bang?” Suhana sengaja mendekatkan diri kepada Surin. Surin tersengih, geli hati melihat gelagat isteri.

Pada masa sama, hidangan sampai. 1 pinggan besar berisi chicken chop. Dan air... uwaa...air epal dalam mug sebesar jug.

“Bang, mintaklah pinggan dengan cawan. Macam mana nak makan camni?” Suhana merengek.

“Kita kongsi. Makan dalam pinggan ni. Minum dalam mug ni.” Balas Surin selamba.

Mulut dua isteri melopong. Biar betik....

“Life is sharing, my dears. And, sharing is caring. Do you both care for me? Love me? Hmm? Makan!” Surin guna jari untuk membahagi-bahagikan ayam untuk dia, untuk Suhana dan untuk Asmidar. Dia terus mengunyah tanpa peduli akan gelagat kedua-duanya.

Suhana tengok Asmidar. Untuk buktikan dia sanggup buat apa saja demi Surin, dia segera patuh. Ayam masuk mulut. Asmidar akhirnya akur juga. Yalah, dah lama teringin nak makan chicken chop. Peduli apa dengan Suhana. Janji dia kenyang.

Tindakan yang mengundang senyum Surin.

Begitu juga semasa minum. Surin minum dulu. As biarkan saja Suhana minum lepas tu. Walau hati sakit bila hanya ciput yang tinggal untuk dia yang kepedasan, namun dia bersyukur, dapat juga dia seteguk dua. Jadilah.... daripada tak minum langsung?

“Jadi, abang nampaklah, kan, yang dua-dua isteri abang ni boleh berkongsi. Dan, Su pun dah nampak, kan, yang As boleh pun beralah.”

“Abang ni... itu makanan. Mana sama dengan kehidupan?” rengek Suhana.

“Apa bezanya?”

“Err...”

“Kita mula yang basic dulu, baru kita tengok yang complicated. Su, As... abang tak bangga jadi rebutan korang, ingat tu! Jangan fikir abang seronok bila korang bergaduh sebab abang. Jangan fikir yang bila abang kahwin dua, semua sebab nafsu abang meluap-luap. Tak! Abang lelaki normal aje. Biasa! Tak ada magical power. Tak ada! Apa yang terjadi ialah... abang jumpa As semula, dan abang tak boleh tepis rasa cinta dulu yang datang balik. Bukan abang tak sayang Su..... tapi, perasaan...kehendak, semua tu datang dan walau cuba menepis, kami tewas. Bukan kami tak lawan rasa yang datang, bukan abang lupa pada tanggungjawab, pada Su, pada anak-anak... tapi, kami tewas pada apa yang kami rasa. Akhirnya, abang lamar As. As bukan tak menolak, dia tolak. Su kena tahu tu. Asmidar tidak terima abang dengan mudah. Macam-macam alasan dia bagi tapi, ya, kalau Su nak cakap abang ni gatal, gatallah abang. Abang yang mahu sesangat agar kami kahwin. Su, selama Su tak tahu, selama itu, abang tak pernah adil pada As. Banyak yang di buat sendiri. Malah, ke klinik pun pergi sorang-sorang.....”

“Abang tak habis-habis puji dia.” Suhana membebel.

“Abang selalu puji Su pada As. Dia cakap, Su pandai bergurau. Tiap kali balik dari pejabat, penat dia hilang bila tengok Su yang sentiasa senyum walau penat urus anak-anak. Abang cakap, tiap kali abang demam, Su tak tidur jaga dia sampai kadang-kadang... Su pulak yang jatuh sakit lepas tu. Abang cakap, Su akan bersengkang mata sama-sama dengan dia, kalau banyak kerja yang dia bawak balik ke rumah. Semua tu dan banyak lagi..... memang As tak dapat tandingi.”

Mata Suhana berkaca. Rupa-rupanya, pengorbanan dia selama ini tidak pernah Surin terlepas pandang. Sangkanya, dia hanya seorang isteri yang tidak pernah dihargai oleh Surin. Iyalah, bukan pernah dapat bunga. Puji? Langsung tak ada. Hari Valentine? Hari kekasih? Surin cakap, orang Islam tak sambut. Kad ucapan untuk hari jadi? Anniversary? Tak mandang, kata orang perak. Maksudnya, tak ada. Tapi, bila Asmidar sebut semua kebaikan yang dia buat.... makk.... sungguh, dia makin sayang pada Surin. Saaaaayang sangat!

“Suhana, As janji, As tak akan melebih-lebih sebagai isteri kedua abang. Cuma, As harap Su relakan abang ada untuk As. Kalau Su tak suka As, As janji, As akan jauhkan diri, tak kacau Su dan anak-anak. Tapi, janganlah suruh As tinggalkan abang. As tak boleh.”

“Macam mana you all boleh kahwin tanpa restu dari Su? Surat izin pun Su tak bagi, kan?” Suhana mengutarakan soalan bodohnya, sekali lagi mencetuskan tawa Surin.

“Itulah...suruh membaca, malas! Su, sayang... As orang Perlis. Di Perlis, boleh kahwin tanpa surat kebenaran isteri pertama.”

“Owwhh....”

“Malam ni, giliran abang di rumah siapa?”

Mata Surin bulat mendengar pertanyaan Suhana. Semakin hairan bila Suhana bangun seperti hendak meninggalkan dirinya dan Asmidar.

“Abang baliklah dengan dia ni. Su balik sorang. Dada Su dah sakit ni maknanya baby kita nak menyusu dah. Bawak kereta baik-baik, tau. Esok, pagi-pagi, mesti sampai rumah Su pulak. Kita dah janji nak pergi kenduri mak long di Gombak.”

Dengan kata-kata itu, Suhana berlalu pergi. Tanda merelakan diri dalam ikatan yang ramai wanita tidak mahu. Tiada kesalan. Tidak juga ada kemarahan. Surin sudah berterus terang dan Asmidar tidak berkeras dengannya. Dia masih menjuarai hati suaminya.

Surin memandang wajah Asmidar yang tersenyum. “Suka nampak?” usiknya.

“Isteri abang tu baik, ya.” Puji As.

“Kenapa? Isteri abang yang ini tak baik ke?” usik lagi.

Asmidar ketawa.

“Abang bertuah dapat dua orang isteri yang baik. Dan, As, terima kasih kerana sanggup beralah. Terima kasih kerana masih mahu bersama abang.”

Asmidar tersenyum meleret. Sebenarnya, terima kasih Tuhan, kerana masih beri ketiga-tiga mereka kewarasan fikiran. Kerana beri mereka menggunakan kelebihan akal, bukan nafsu.
.............................................

Ada yang marah? Ada yang kata tak logik? Sebenarnya, itulah yang terjadi. Kini pasangan kawanku dan suaminya masih begitu. Dah dapat anak tiga dah malah... tidak lama lagi, mereka berdua bakal menyambut menantu. Hubungan dua madu tersebut? Madulah, katakan.... senyum, okeylah... tegur? Sikit-sikit. Nak tidur sebantal? Whoa..... sori!!

Semoga jadi pengajaran untuk kita bersama. sofi

Ulasan

  1. Best kak Sofi. Percaya? Of course. Banyak aje kes kat luar sana isteri bermadu. Keluar kat dalam TV, lelaki bermadu 4. Tinggal serumah, tapi yelah kan, rumah besar ya amat. Anak? 22 orang. Ada business keluarga lagi dan anak-anak tolong uruskan. Lepas makan malam, semua madu hurung suami, siap tolong picit dan urut badan.

    Satu kes lagi, pengetua sekolah anak saya. 4 isteri. Anak? Ramai tapi tak sure berapa ramai. Setiap isteri menguruskan satu business yang maju. Keluarga jutawan? Mungkin dah kot... tapi low profile...

    BalasPadam
  2. cik sofi pun tak suka dimadukan hi..hi...sakit weh

    BalasPadam
  3. @Anonymous
    kalau boleh, x naklah bermadu.. sakittt

    BalasPadam
  4. seriously paling suka cite ni. knape pulak xlogik? ramai je skeliling sy yg bermadu, and xde smpy bercakaran pulak.

    BalasPadam
  5. suka sgt... kita kene ubah tanggapan bermadu itu x indah... ada kawan abr ipar saya punyai 2 isteri, & duduk serumah... bahagia je... alangkan kita yg x bermadu pun selalu jugak gaduh suami isteri... tq kak coz bawa cerita ni dengan cara penyelesaian positif.. x yah cerai berai, x yah bomoh2..

    BalasPadam
  6. bestttt...tp kisah bermadu ni banyak yang pahit dari manis nyer....

    BalasPadam

Catat Ulasan

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.

Catatan popular daripada blog ini

Cerpen: Dia Idaman Jiwa

1
“Hi, boleh aku duduk kat sini?”

Aliah mendongak. Demi terpandang sahaja wajah itu, air mukanya terus berubah. Riak tidak senang ditunjukkan kepada lelaki itu.

“Cepatlah jawab! Senang aje soalan aku tu. Boleh, jawablah boleh...”

“Kalau saya jawab tak boleh?”

Abid terus menarik kerusi yang bertentangan dengan gadis itu.

“Aku tetap duduk sini jugak.” Balasnya sambil tersengih-sengih.

“Macam tak ada tempat lain!”

“Banyak! Sana kosong. Tu, di belakang kau tu pun kosong. Tapi, aku saja aje nak duduk depan kau. Dah sebulan aku cari kau tapi tak jumpa-jumpa. Alhamdulillah, hari ini dapat juga. Kau apa khabar? Sihat?”

Aliah tidak menyahut. Sebaliknya, dia terus menyuap dan kali ini suapannya sengaja dilajukan, tidak lagi menikmati nasi campur yang dimakan. Ketika itu, dia hanya berkeinginan untuk cepat-cepat menyudahkan makan tengah harinya supaya dia dapat pergi dari situ dengan segera. Dia tidak mahu mengadap muka lelaki yang kini sedang berada di hadapannya walau sehebat, sekacak mana se…

Yang Terakhir: Versi Cerpen

1
“Kau dah habis fikir ke, Khairi? Perempuan macam Najiha tu kau nak bawak ke majlis Annual Dinner kita? Tak malu ke nanti bila orang gelakkan kau?” tanya Hafiz sambil mengerutkan dahi. Dia keliru dengan sikap Khairi Iqbal. Rasanya, selama mereka berkawan, belum pernah walau sekali pun, Khairi memuji gadis yang seorang itu. Gadis yang bernama Izzatul Najiha. Tup tup, hari ini, dia buat keputusan hendak menjadikan Najiha pasangannya semasa majlis kemuncak nanti. Hisy, pelik betul!
“Malu, memanglah aku malu! Tapi aku cuma nak gunakan dia saja. Nak buat Amalina cemburu.” Balas Khairi sambil menyisip air lemon perlahan. Sejuk rasa kerongkongnya bila air itu menerobos masuk ke dalam rongga.
Mata Hafiz buntang. Kepala tergeleng-geleng.
“Kenyataan kau tu lagi buat aku tak faham! Kalau kau nak buat Amalina cemburu, kau patut bawak perempuan lain. Bukan si Najiha yang macam hantu bungkus tu!”
Terlambak tawa Khairi Iqbal mendengar kata-kata sahabat baiknya itu. Hantu bungkus? Si Najiha tu?…

Inikah Cinta? : Versi Cerpen

1

"Ouch!"

Cepat-cepat Janet menghisap jari telunjuk yang terhiris tadi. Setelah kesakitan itu hilang, dia segera membasuh jari itu. Dia kemudian mengelap lalu membalut luka dengan plaster.

"Sakit? Itulah pasal. Mak Nah dah cakap, biar mak Nah aje yang buat tapi Janet degil sangat. Hendak jugak main-main pisau," sindir orang gajinya menyebabkan Janet ketawa besar.

"Inilah yang orang cakap, luka di tangan nampak berdarah. Luka di hati tak siapa tahu. Kan, mak Nah?"

Mak Nah melepaskan keluhan sebelum mencuri pandang ke arah wajah ayu di sisinya yang kini sedang tunduk dan berpaling ke arah lain. Hati mak Nah kini turut melagukan irama sedih yang pasti sedang berdendang dalam hati Janet. Biarpun sudah lama ia berlalu, pasti kenangan itu hadir kembali sebaik rangkap pepatah itu diungkap. Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula kisah cinta penuh keindahan. Ke mana hendak dicampakkan?

"Dah enam tahun... dia tentu dah lupakan saya. Tentu dah kahwin…