apa yang nampak, apa yang rasa, apa yang dengar

20.2.11

hati yang luka 3

“As pergi mana? Dua hari abang datang sini. Sampai malam abang tunggu, As tak balik-balik. Kenapa tak telefon abang? Kenapa tak beritahu ke mana As pergi? Kenapa buat abang susah hati?” Surin terus menyerangnya sebaik pintu rumah terbuka. Belum sempat duduk, Surin sudah menunjukkan rasa marah.

Asmidar diam, malas hendak bercakap. Dia menonong ke dapur. Dia tahu, Surin mengekorinya. Sengaja dia buat tak tahu.

Pintu peti ais dibuka. Dia terus sahaja meneguk air limau dari botol di tepi pintu itu. Dia tahu, Surin mesti mengamuk tengok kelakuannya.

“As? Kenapa minum macam tu? Tak ada gelas dah ke dalam rumah ni?”

Kan dah cakap? Surin bukan boleh tengok perlakuan yang gelojoh, mesti dia naik darah. Pada masa sama, jam berdenting. Hati menghitung...1, 2, 3......9...

“Dah pukul 9 malam dah. Pergilah balik, bang. Nanti isteri abang cari, susah nak jawab.” Dia menghalau. Tidak peduli pada jegilan mata suaminya.

“Ni, apahal pulak menghalau suami ni? Abang tak balik sana malam ni. Suhana dengan anak-anak tak ada. Diorang balik kampung. Mak buat kenduri sikit.” Surin memberitahu dengan suara sedikit kendur.

Tidak ada keseronokan mendengar ayat-ayat itu. Kalau sebelum ni, dia pasti melonjak riang dan memeluk leher Surin sambil menghadiahkan kucupan mesra, hari ini, dia tidak berasa hendak buat begitu. Semakin kecil hati, adalah... baru tersedar yang dia sentiasa menjadi ‘second best’. Hanya bila Suhana tak ada, baru Surin nampak bumbung rumah dia. Jika tidak, jangan harap hendak menjengah. Hai...

“Kenapa mengeluh, sayang? Tak gembira pulak? Hari tu, beria-ia hendakkan abang tidur sini, 24 jam. Sekarang, bila ada peluang, muka tu masam mencuka pulak. Kenapa?” tanya Surin, cuba meraih pinggang Asmidar tapi Asmidar cepat-cepat mengelak.

“Kenapa tak duduk kampung aje dengan diorang semua? Kenapa balik sini?” tanya dia.

Mata Surin Amzar mengecil. Tidak faham apa yang ada dalam kepala isteri keduanya ini. Dia punyalah berkorban mencipta banyak alasan kepada ibunya, kepada isteri pertamanya, ini sambutan yang diterima? Kenapalah dengan Asmidar ni? Entah-entah dah kena cocok dengan adik beradik dia di kampung, kot?

“Sayang, abang penat tau. Sejak semalam abang rindukan sayang, nak bersama-sama dengan isteri abang ni, tapi sayang balik kampung senyap-senyap, tak beritahu abang pun. Ni, buat hal pulak. Tanya kenapa abang balik ke sini? Takkanlah itupun abang nak kena ‘highlight’? Tentulah abang hendak bersama-sama dengan isteri kesayangan abang ni, kan?” balas Surin, cuba bertenang. Tidak mahu melayan kemarahan Asmidar.

“Esok, As nak tempah piala bagi pada abang. Piala pemujuk terbaik. Piala pembodek nombor 1. Piala, sebab pandai kelentong As.”

Tubuh Asmidar dipusingkan oleh Surin. Dia geram mendengar kata-kata Asmidar tadi. Dia sakit hati, sangat-sangat sakit!

“Abang punyalah ikhlas datang sini. Macam-macam alasan abang dah bagi pada Suhana, pada mak, As sedap-sedap tuduh abang kelentong? As sedar tak, As cakap dengan siapa? Dah tak kenal suami sendiri dah? Ikut sedap mulut aje mengata? Tak ingat dosa pahala?” marahnya.

Asmidar sudah penat bertekak. Tapi dia pun ada perasaan juga. Kemarahan yang lama terbuku, tak kan hendak dibiarkan?

“As cakap, abang marah. Tapi, As ni dah tak tahan tau, bang. Abang letak As jauh... kat bawah dalam senarai keutamaan abang. Kononlah, cipta alasan nak tidur sini? Kenapa selama ni, tak buat alasan tu semua? Karang, kalau As cakap abang takut bini, abang marah. Tapi hakikatnya, memang itulah abang. As terasa, bang.... As ni tak pernah penting dalam hidup abang. Tengoklah...bila bini nombor satu abang tu balik kampung, baru nak datang tengok As.”

“Ni yang abang tak suka ni! Sikit-sikit mengungkit! Awak tu bini muda, kenalah beralah! Awak rampas abang daripada Suhana, As. Kenalah sedar diri tu sikit!” jerkah Surin. Hati yang tadi berbunga-bunga, kini hilang lenyap dah. Layu dah bunga dalam taman hati. Sikap tamak Asmidar buat dia jadi marah. Bosan. Dan, lelah... penat betul melayan kerenah bini. Memanglah.... beristeri dua, senang, tapi... nak jaga hati dua-dua... jenuh!

Asmidar terpaku mendengar kemarahan Surin. Kemanjaan yang kian hilang. Kian punah. Cinta yang kian pudar. Dapat dirasakannya.

“As terlalu tamak!” rintih Surin.

“As tamak? Bang, kalau As tamak, As dah pergi jumpa Suhana abang tu, As beritahu dia tentang kita. As cakap pada dia yang abang tak pernah adil pada As. Kita kahwin, tapi tak macam suami isteri lain. Abang cuma datang pada As bila abang perlukan As. Makan minum As, As guna duit sendiri, tau. Kereta tu pun, duit As. Ada tidak pun, ansuran rumah ni aje yang abang bayar. Itupun, bila As mintak duit abang. Ada As merungut selama ni? Tak? Sebab apa? Sebab As sedar siapa As. Tapi, janganlah pijak kepala As ni! Jangan tuduh As yang bukan-bukan! As tak boleh terima!”

Surin terdiam. Kata-kata Asmidar tidak mampu dinafikan kebenarannya. Semuanya benar.

“Abang tak adil pada As... tak pernah adil!” Asmidar bangun. Dia hendak masuk ke dalam bilik. Tak larat melayan kerenah suami lagi. Dia sudah penat.

“As...”

Asmidar berpaling. Bukan tidak kasihan melihat mendung di wajah itu tapi, hatinya yang luka ini... macam mana pula?

“Abang baliklah pada dia. Bukan jauh mana Segambut tu. Pergilah! As dah biasa jadi ‘second best’ dalam hidup abang. Selagi As mampu, As bertahan. Tapi, kalau takdirnya nanti, As dah kalah menahan perasaan, izinkan As pergi dari hidup abang.” Bisiknya.

Surin segera menarik Asmidar ke dalam dakapannya. Bibir yang baru meluahkan kata-kata perpisahan itu dikucupinya.

“Jangan ulang lagi! Jangan berani meminta perpisahan. Abang tak rela. Abang tak mahu! As cinta pertama abang. I love you!”

Asmidar menangis sepi. Kata-kata memujuk itu semakin mengguris hati. Namun sentuhan Surin, kata-kata pujukan Surin, belaian Surin........ bagaimanakah hendak ditepis bila hati terlalu cinta? Terlalu kasih?

“Abang sayang As. Sayang sangat...” 


Bisikan halus membuai perasaan. Dan, Asmidar hanyut dalam lautan kasih yang Surin berikan. Segala kelukaan bagai hilang..... lenyap... entah ke mana.      



6 ulasan:

  1. aduiiii mcm ni sampai sudah takde penyelesaian... asmidar2...

    BalasPadam
  2. ya.....rumahtangga mmg sukar....
    perlu persefahaman.....even takda bini no 2 pun.............
    apapun, best!!!!!!!!!!!!

    BalasPadam
  3. 'As cinta pertama abang...'
    'Awak tu bini muda, kenalah beralah! Awak rampas abang daripada Suhana, As...'

    err...sbnrnya sape yg rmps drp sape ni???
    huhuhu... :D

    BalasPadam
  4. @aqilah

    mmg sukar terutama utk meneka apa mahunya seorang bernama lelaki

    BalasPadam
  5. @Anonymous

    cinta pertama yg terpaksa dilepaskan krn mak sudah ada pilihan. ingat x jumpa dah rupanya jumpa, kahwin... masalahlah jwbnyerr hehe

    BalasPadam

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.