apa yang nampak, apa yang rasa, apa yang dengar

12.2.11

B.E.N.C.I.- versi cerpen


1
Suasana pagi nan dingin memang membuat rasa malas untuk bangun. Menggeliatlah! Buat ‘stretching’ lah konon, tapi mata tetap berat hendak dibuka. Apatah lagi, Marina jarang dapat menikmati suasana begini. Sesekali balik ke kampung halaman, tentulah ingin benar rasa hati untuk terus menerus berehat. Tapi, apakan daya. Tadi emak sudah mengetuk pintu biliknya. Orang tua bernama Azizah itu langsung tidak mahu membenarkan dia terus diulit mimpi. 

Setengah jam kemudian, Marina melangkah menuruni 5 anak tangga ke dapur. Ibunya sedang membancuh kopi. Ayahnya, Haji Basir sedang ralit di meja, menatap berita dalam surat khabar.

“Assalamualaikum, mak, ayah.” Dia menyapa.

“Anak dara pemalas dah bangun dah, bang. Itulah agaknya sampai umur 29 tahun pun tak laku-laku lagi. Tak tahulah apa nak jadi dengan anak abang yang sorang ni.” Azizah dah mula membebel. Jelingan tajam hinggap di raut wajah Marina yang polos.

Haji Basir memanggung kepala. Bacaan ditinggalkan seketika. Muka Marina ditatap tajam.

“Bila nak ubah perangai tu jadi rajin sikit, Ina? Tak elok anak dara bangun lambat. Tengok jam! Dah pukul 8 tu. Kamu sembahyang subuh ke tidak, hah?” tanya dia dengan suara garang harimaunya.

Marina sudah mangli mendengar kegarangan itu. Sejak kecil, tidak pernah ayahnya akan cakap dengan lembut dan berhemah. Tahunya, menengking sahaja. Nasib baik, dia tidak dibesarkan di rumah ini. Nasib baik dia dididik oleh Mak Su Timah, adik emaknya yang lemah lembut dan berbudi bahasa. Kalau tidak, mungkin dia akan menjawab segala cakap-cakap ayah dan emak sebagaimana adik beradiknya yang lain. Bukan sekadar menjawab malah mungkin akan menengking balas sepertimana abang long dan kak ngah lakukan.

“Kak Lang dengan abang Lang ni, kan... budak Marina ni bukannya selalu balik ke rumah. Bila dia balik, nak tukar angin, abang dengan kakak mulalah berleter. Marina penat, bang. Di KL tu, kerjanya banyak. Pergi pagi, balik malam. Ni... biarlah dia cuti puas-puas. Yang nak bebel pasal dia tak kahwin lagi tu, buat apa?”

Marina tersenyum ke arah maksunya yang baru masuk ke dalam rumah. Senyuman menzahirkan ucapan terima kasih kerana wanita itu membela dirinya. Sokongan yang tidak pernah berkurang dari dulu hingga kini.

“Kamu, Timah, cakap senanglah. Aku ni ha, tiap kali pergi kenduri aje, mulalah orang tanya tentang dia. Bila nak kahwin? Kenapa tak kahwin? Tak ada kawan lagi ke? Semalam, si Odah perli aku. Hari ni rumah si Kiah buat kenduri doa selamat. Boleh dia tanya aku nak pergi ke idak? Lepas tu kenen pulak, cakap yang si Ikhwan tu pun belum kahwin jugak lagi. Ingatnya aku suka bebeno dengan pencuri tu?”

Bergetar seluruh tubuh bila nama itu disebut oleh ibunya. Ikhwan? Ikhwan Zamir ada di sini? Di kampung ini? Sudah 12 tahun tidak bertemu. Bagaimanakah keadaan lelaki itu sekarang?

“Kak Lang ni tak habis-habis merepek. Kenapalah nak gelar si Ikhwan tu pencuri lagi sedangkan dah lama dah si Marina ni beritahu perkara yang sebenar? Dia pun dah pergi mintak maaf dengan Kak Kiah tu dan Kak Kiah pun dah maafkan kesalahan dia. Tak baik tau, kak! Dahlah akak tuduh dia tanpa usul periksa. Disebabkan tuduhan akak tu, Ikhwan dimasukkan ke Sekolah Henry Gurney. Nasib baik 3 bulan aje. Ingatkan akak dah bertaubat dah, dah tak mahu cakap yang bukan-bukan. Rupa-rupanya masih jugak jahat mulut akak tu. Insaflah sikit, kak lang. Mana tahu, kutuk punya kutuk, betul-betul si Wan tu jadi menantu kakak, baru padan muka.” Maksu Timah dengan lembut mengenakan Azizah.

Azizah menjegilkan matanya. Geram bila cakapnya ditingkah.

“Tak aku ingin bermenantukan dia, Timah. Budak jahat macam dia tu? Hisy! Macam dah tak ada orang lain. Daripada dia, aku lebih rela si Lan anak Cek Dah jadi menantu aku, kamu tahu?” sahut Haji Basir pula. Keras sahaja suaranya itu.

Marina melopong. Hati menolak sekeras-kerasnya. Adakah patut ayahnya ingin menjodohkan dia dengan Lan, budak tiga suku yang tak cukup skru kat dalam otak dia tu? Maksu, tolong!! Tak nak!!

“Ina, yang dok tercegat situ tu, kenapa. Cepat hidangkan nasi lemak ni. Mak dah siap masak dah. Perut pun dah berkeroncong ni.” Azizah menjerit.

Marina segera mencari pinggan kosong untuk dikaut nasi lemak ke dalamnya. Namun hati terus resah. Nama itu.... lelaki itu....

Apa khabarnya? Masih ingatkah kepada dirinya? Macam mana rupa dia sekarang? Rasa sayu hadir tetiba. Entah mengapa, dia dapat merasakan kebencian, kemarahan, kekesalan yang tidak berkesudahan dalam diri Ikhwan Zamir terhadapnya.

Mungkin, tiada kemaafan juga?  

2
Ikhwan memberhentikan kereta Viosnya di hadapan kedai kopi Hj Bakar. Teringin pula hendak merasa air kopi pak haji itu di pagi-pagi begini. Kalau sewaktu di Lubnan, manalah hendak merasa minum kopi dalam suasana santai begini. Disebabkan itulah, dia berazam untuk memanfaatkan cuti kali ini sepenuhnya.

Cutinya masih berbaki 10 hari sebelum dia memulakan semula tugasnya di Kementah. Ya, siapa sangka, bekas budak nakal Henry Gurney sepertinya berjaya mendapat 5A dalam SPM. Siapa juga menyangka dia diterima masuk ke Universiti Pertahanan Malaysia untuk belajar jurusan kejuruteraan mekanikal. Siapa juga menyangka bahawa dia kini seorang pegawai berpangkat kapten di kor Jurutera, ATM. 

Semua ini, berkat doa ibu dan ayahnya. Berkat usaha yang tidak kenal erti jemu. Dengan izin Allah, dia menjadi manusia yang berguna. Namun, jauh di sudut hati, ada sesuatu yang masih berbuku. Ada sesuatu yang masih mengigit-gigit tangkai hati apatah lagi bila dia terpandangkan Haji Basir sedang santai berbual-bual dengan beberapa orang lelaki sebaya arwah ayahnya.

Kalau diikutkan hati yang marah kepada lelaki itu, mahu saja dia memecut semula keretanya dan berlalu. Tapi nanti, apa pula kata orang-orang yang melihat. Pasti mereka mengiyakan segala tuduhan lampau itu. Tidak, dia bukan penakut untuk lari. Haji Basir harus didepani.

Ikhwan melangkah turun dengan bergaya. Tshirt dan seluar slack yang tersarung di tubuh yang sasa tentu sahaja menarik perhatian mereka yang ada di dalam kedai. Berkulit sawo matang yang sedikit gelap kerana sering berada di bawah terik matahari tidak langsung melenyapkan gaya macho itu. Senyum disedekahkan kerana dia tahu, ramai di situ yang bila-bila masa sahaja sudi membuat dirinya menantu, tika dan saat ini. Arghh, perasanlah tu, Wan! Gumamnya.

“Assalamualaikum pakcik-pakcik...” dia menyapa mereka. Masing-masing menjawab salam sambil tersenyum kepada Ikhwan. Kecuali Haji Basir tentunya. Demi terpandang wajah itu, hatinya jadi libang libu. Mustahillah dia dapat menikmati air kopi Hj Bakar pagi ini.

“Aku nak balik. Bakar, kira cepat!” Hj Basir sudah bangun berdiri.

Ikhwan tersenyum sinis. 

“Tak apa, pak haji, biar saya belanja pak haji dan semua pakcik-pakcik pagi ni.” Ujarnya.

Haji Basir merenung Ikhwan dengan garang. 

“Tak payah! Aku ada duit. Pencen aku ni masih boleh aku buat belanja hidup.” Balasnya.

Ikhwan tenang membiarkan Haji Basir berkata begitu. Dari dulu, sikap sombong masih kekal, tidak pernah berubah.

“Kamu ni Sir, orang nak belanja tu, terima ajelah. Ini tidak! Menyombong sangat!” Hj Bakar mengusik.

Hj Basir mendengus kasar. “Ah, tak payah. Korang nak makan dia belanja, lantak koranglah! Tapi kena fikir dua kali jugak. Entah-entah duit apa pulak kali ni. Orang, kalau dah pernah jahat tak mahunya berubah.” Sindirnya lantang.

Terbakar sudah raga mendengar. Wajah merona merah, bukan kerana malu tapi marah. 

“Tapi, rasa saya, anak Pak Haji dah bersihkan nama saya, kan? Kalau tak silap juga, yang ambil segala barang kemas isteri Pak Haji tu nama dia Rosli bin Haji Basir, sebab dia tak cukup duit nak bayar beli rumah, kan? Ke, mak saya silap dengar masa Marina datang ke rumah dulu tu?” santai Ikhwan mengenakan Haji Basir. Dia tahu, ramai yang setia memasang telinga ketika ini. Maklumlah, bukan semua orang tahu segala yang pernah terjadi 12 tahun dulu tu.

Haji Basir bercekak pinggang. 

“Aku pun tak faham kenapa beria-ia si Marina tu cakap kamu tak bersalah. Entah apa agaknya yang kamu dah ugut dia, kan? Kalau tidak, tak kan bersungguh-sungguh sangat dia membela kamu.” Marahnya.

Ikhwan tersenyum. Hari ini, dia sudah nekad hendak menjatuhkan air muka Haji Basir. Selama ini, ibunya sering dihina kerana mempunyai anak sepertinya. Kononnya, dia anak tak guna. Ibunya tanggung semua caci. Terima semua kata-kata kesat penuh nista. Walaupun kisah sebenar sudah terbongkar, namun Haji Basir dan isterinya tetap sahaja tidak mahu menerima hakikat bahawa anak mereka sendiri yang menjadi pencuri. Dibiarkan sahaja fitnah ini berlarutan. Pengakuan Marina bahawa dia nampak abangnya mengambil semua barang kemas dan duit itu, ditolak ke tepi. Dinafikan!

“Pak Haji Basir, Marina tahu saya tak bersalah sebab dia yang beritahu saya apa yang Rosli buat.” Ikhwan membongkar cerita lama. Biarlah! Dengarlah semua orang! Tidak perlu lagi berahsia.

“Kamu jangan nak buat cerita, ya!” Haji Basir menengking.

“Pak Haji, saya tak bohong. Marina ada bersama-sama saya masa Pak Haji dengan orang-orang kampung tangkap saya dekat taman tu. Masa tu, saya dengan Marina tengah dating. Saya suruh Marina menyorok dalam gelung konkrit tu. Saya tak tahu kenapa Pak Haji memilih untuk menuduh saya. Saya harap sangat supaya Marina cakap perkara sebenar, tapi sampai ke sudah dia diam. Kalau Pak Haji masih ingat, masa tu saya merayu mintak dia berterus terang, kan? Tapi, dia diam. Sikitpun dia tak bersuara. Sudahnya, sebab tak ada saksi, saya dihantar ke Henry Gurney, walaupun bukti tak ada. Inilah kebenarannya, Pak Haji. Tanya anak perempuan Pak Haji tu, kalau masih tak percaya cakap saya.”

Ikhwan berasa tersangat puas. Akhirnya, dia dapat memberitahu perkara sebenar. Dendamnya sekian lama sudah berbalas. Dia rasa menang. Padan muka Haji Basir, fikirnya! Dan Marina? Huh, kerana kebisuannya, segala kerumitan ini timbul. Mampukah dia memaafkan segala khilaf gadis itu? Tidak! Tidak mungkin!

Sebaik sudah menyerahkan wang RM50 kepada Hj Bakar, Ikhwan melangkah keluar. Dia tidak sedar bahawa ketika itu, Haji Basir jatuh dan longlai di lantai simen kedai Haji Bakar.  

Laju-laju Marina mengatur langkah tanpa mempedulikan kiri kanan, depan dan belakang. Dia ingin segera mendapatkan keretanya. Dia ingin cepat pergi dari sini. Dia nak balik kampung. Ayahnya sedang terlantar di rumah. Panggilan daripada maksu tadi memaksa dia meminta cuti daripada bosnya.  

“Hey, dari tadi saya panggil awak, awak macam tak dengar aje. Menonong berjalan tak toleh kiri kanan. Ni apa hal ni?” seseorang menarik tubuhnya, memberhentikan langkah yang diatur. 

“Maaf, Is... Ina kena cepat. Ayah Ina sakit di kampung.” Cepat sahaja dia memberitahu kepada Ismail, pemuda yang baru sahaja menghalang langkahnya.  

“Pakcik sakit? Kenapa tak beritahu Is? Tak pe! Jom!” Ismail terus mengambil kunci di tangan Marina sambil menarik gadis itu ke bahagian tempat duduk di sebelah pemandu. Dia kemudian terus sahaja menjadi pemandu kepada gadis itu.  

Marina tidak mampu bersuara. Dibiarkan sahaja pemuda itu mengambil alih pemanduan. Dia tidak bertanya. Tidak juga peduli jika Ismail mahu menemani dirinya hingga ke Mempaga. Dia rela. Asalkan dia dapat balik dan menjenguk keadaan ayahnya. 

Maksu Timah sudah siap berkemas barang-barang keperluan mereka untuk digunakan di kampung nanti. Di tengah jalan, mereka singgah di rumah Ismail. Lelaki itu ingin berkemas kain baju untuk dibawa ke sana. 

Maksu Timah tahu bahawa Ismail sangat mengambil berat keadaan Marina. Dia juga tahu bahawa lelaki itu menaruh hati kepada anak saudaranya. Tetapi, sampai kini, dia tidak dapat menebak hati Marina. Tidak tahu kenapa gadis itu asyik membiarkan Ismail bersama harapannya.  

“Kak long kamu tunggu laki dia balik dari Sabah, Ina. Dia suruh kita pergi dulu. Rosli, macam biasalah. Ada aje alasan, takut nak balik. Begitulah kalau orang dah buat salah. Tak berani nak jumpa sape-sape pun. Tengok macam Ikhwan. Relaks aje dia balik kampung walaupun macam-macam orang kutuk dia.” 

Mak su Timah melahirkan rasa tidak puas hati dengan perangai kakak dan abang Marina. Dia tidak perasan dahi si Ismail yang sudah berkerut. 

“Siapa Ikhwan tu, Ina? Awak ada abang nama Ikhwan ke?” soalnya ingin tahu.  

Marina ketawa kecil sambil menjeling manja ke  arah Maksu. Geram kerana maksu menimbulkan cerita tentang lelaki itu. Kini, terpaksa pula bercerita tentangnya kepada Ismail.  

“Saya mana ada abang lain, cuma abang Rosli aje. Ikhwan tu orang kampung kami.” Dia memberitahu.  

Ismail kelihatan tidak berpuas hati dengan penjelasan pendek itu. Dia dapat rasa yang Marina menyembunyikan sesuatu tentang Ikhwan. Hati mula berasa tidak sedap. Risau secara tiba-tiba. Dia tahu tanpa diberitahu oleh Marina bahawa lelaki itu ialah pesaingnya. 

Tidak sabar untuk melihat wajah itu. Bagaimanakah rupanya? Biasa-biasa aje kot? Hati disedapkan. 

Marina meluru masuk ke dalam rumah sebaik sampai. Melihat ayah yang sentiasa gagah sedang terbongkang di atas katil, dia terus menjadi lemah. Menitis air mata di pipi.  

“Ayah, kenapa boleh jadi macam gini? Mak... kenapa tak bawak ayah ke hospital?” tanya dia dalam suara dibaluti sendu.  

“Tak payah kamu nak menangis. Ayah belum nak mati lagi ni.” 

Masih garang namun suara itu hanya perlahan keluarnya kini. Sepasang mata tajam merenungi Marina. 

“Ayah tunggu kamu balik. Banyak ayah nak tanya kamu ni.” 

Marina duduk di sisi ayahnya, menanti apa sahaja yang ingin ditanya. Begitupun, dia cuba memujuk agar si ayah bertenang dan berehat. Namun Haji Basir sudah nekad. Dia perlu tahu. Dia perlu mencari kebenaran.  

“Siapa Ikhwan pada kamu, Ina?”  

Marina terpana mendengar pertanyaan ayahnya. Kelu terus lidah. Macam orang bisu sekejap. Tak mampu hendak bercakap.  

“Wan kata, masa ayah tangkap dia di taman dulu tu, kamu ada dengan dia. Dia kata, dia suruh kamu menyorok dalam gelung konkrit. Tapi, kenapa masa di rumah Tok penghulu Deraman, bila ayah tuduh dia, kamu tak cakap apa-apa? Kenapa kamu tak bela dia? Kenapa kamu biarkan ayah kata dia macam-macam? Kenapa, Ina?” tanya Haji Basir. Wajah anak bongsunya ditatap dalam-dalam. Dia keliru dengan sikap Marina. Kalaulah Marina berterus terang.... 

“Maafkan Ina, ayah. Masa tu, Ina takut sangat-sangat. Ayah tengah marah jadi Ina bimbang kalau ayah nampak Ina dengan Ikhwan, ayah jadi lagi baran. Sebab tu bila Wan suruh Ina menyorok, Ina ikut. Ina tak buka rahsia, Ina biarkan aje Wan kena sebab Ina risaukan keselamatan dia. Takut ayah pukul dia sebab bawa Ina ke taman malam-malam.”  

“Astaghfirullahil’azim... Ina... kamu tahu tak? Ayah malu sangat bila Ikhwan bukak cerita tentang kamu dengan dia. Mana ayah tahu apa yang kamu dah buat? Kenapa ayah mesti tahu cara macam ni?” 

“Tapi, ayah...sumpah! Kami kawan aje. Ina dengan Wan....” 

“Sudah! Ayah tak nak dengar. Cukuplah! Kamu pun sama macam Rosli jugak malah kamu lagi teruk. Kamu robekkan maruah ayah. Malu ayah dengan Ikhwan, dah satu hal. Malu sekampung pulak dah bila semua orang tahu tentang kamu berdua. Mana ayah nak letak muka ayah ni?” rintih Haji Basir dalam genang air mata di tubir yang bakal luruh. Sesungguhnya, kesedihan menghambat diri.  

“Tak ada apa yang pak haji nak sedih atau malu. Saya yang salah masa tu. Saya yang ajak Ina ke taman. Jadi, izinkan saya tebus balik kesilapan saya dulu. Izinkan saya jadikan Ina isteri saya, pakcik. Ya, di hadapan semua orang yang ada malam ini, saya ingin melamar Marina menjadi isteri saya.” 

Marina berpaling untuk melihat seraut wajah yang begitu lama hilang dari hidupnya. Wajah lelaki yang dulu merupakan cinta monyetnya. Wajah lelaki yang dulu amat dipuja ketika mereka remaja. Lelaki yang dahulu sikapnya gila-gila, kini membuat satu kenyataan gila.  

Arghh..... Ikhwan Zamir, kenapa dengan awak ni? 

4
“Amboi-amboi! Bukan main lagi kamu ya, Ikhwan? Ingat kamu, anak aku si Marina ni barang yang boleh kamu beli kat tepi jalan? Mentang-mentang sekarang ni kamu tu berpangkat, kamu ingat mudah-mudah aje aku nak bagi anak aku pada kamu?” suara Azizah melengking kuat. Sakit hati terhadap Ikhwan tidak pernah sirna. Walau sudah lama dia tahu bahawa Ikhwan bukan pencuri barang kemasnya, tetap dia bencikan lelaki ini. Tetap dia tidak suka! Adakah mungkin dia menerima pinangan lelaki yang tidak dia sukai ini? Mustahil!

“Kak Lang? Janganlah menengking. Abang lang kan tengah sakit? Cubalah berdiplomasi sikit!” Maksu Timah menegur kerana dia tidak puas hati melihat gelagat kakaknya yang masih garang tak bertempat. Menunjukkan kebencian kepada Ikhwan secara keterlaluan.

Ikhwan tidak langsung peduli dengan sikap Azizah terhadapnya. Sejak dia kecil, memang begitulah kelakuan wanita sombong ini. Kadang-kadang dia merungut juga di dalam hati. Bagaimanakah seorang yang hidup biasa-biasa, tidak ada harta yang banyak boleh jadi sesombong ini? Bagaimanalah agaknya jika Azizah ini seorang yang kaya raya? Mahu hidungnya membelah awan, kot?    

Tetamu yang ada berbisik-bisik. Dah tentulah sesi mengumpat sedang berjalan. Banyak untuk mereka katakan. Tentang Haji Basir yang cengil, tentang Azizah yang garang, tentang Ikhwan yang selamba dan tentang Marina yang galak dalam diam. Siapa menyangka? Di hadapan semua orang, Marina pijak semut pun tak mati, tapi di sebaliknya, gatal juga orangnya.. huh...

“Ina?”

Marina segera menoleh bila mendengar suara Ismail. Aduh... terlupa pula bahawa dia membawa tamu ke rumah. Tamu yang juga punya harapan yang sama seperti Ikhwan. Masak! Memang masak Marina hari ini!

“Pakcik, makcik, maaf kalau saya menyampuk. Tapi, soal nikah kahwin bukan boleh dibuat terburu-buru. Beri peluang kepada Marina untuk berfikir. Jangan sebab malu, terus sahaja bersetuju nak jodohkan Ina dengan dia ni. Apa yang berlaku, itu kan cerita dulu? Malu atau menyesal, semuanya dah lepas. Kan baik kalau buka lembaran baru dan lupakan aje semua yang lama tu?”

Buntang sepasang mata Marina melihat wajah Ismail. Begitu juga yang lain-lain. Ikhwan lagilah, rasa ingin saja dia menarik mat jambu itu bangun berdiri dan berlawan gusti lengan dengan dia. Dah tentu kalah punya, hati berdetik. Eleh, diri sendiri pun belum tentu boleh dijaga dah merapu nak membela si Marina. Nak jadi hero di tengah-tengah kemelut. Hendak menangguk di air yang keruh. Piirahh....

“Ni siapa pulak ni? Marina, kamu ni dah memang tak tahu nak jaga maruah ke? Ni, bawak balik jantan mana pulak ni?” suara Azizah melengking kuat. Tangan mengusap dada suaminya, Haji Basir yang sedang terbatuk-batuk.

Ismail terkedu. Rasa kasihan membuak-buak kepada Marina yang asyik menerima kemarahan ayah dan ibu.

Maksu Timah segera menegaskan. 

“Ni, Ismail. Kawan satu pejabat Marina. Marina ni tadi bila dapat berita tentang abang lang, dia terus menangis teresak-esak. Tangannya dah terketar-ketar. Macam mana nak bawak kereta? Tu yang Is hantar dia ke rumah. Dah gitu, saya mintak tolong Is bawak kami balik ke sini. Salah ke?” tanya dia. Persekitaran menjadi sunyi bila mendengar penjelasan itu.

Ismail mengeluh. Penjelasan begini bukan mahunya. Dia mahu dilihat sebagai teman lelaki Marina. Dia mahu dilihat sebagai kekasih yang mengambil berat. Bila Maksu dah cakap cenggini, payahlah dia hendak meyakinkan semua orang tentang rasa hatinya kepada gadis itu. Akan semakin jauhlah Marina daripadanya. Dan.... owhhh tidak! Dia tidak suka begitu kerana pastinya Ikhwan akan datang menghimpit gadis kesayangannya! Tidak! Marina miliknya. Gadisnya. Ikhwan tidak boleh merebut gadis itu daripada dia!

Ikhwan yang tajam memandang Ismail tahu bahawa lelaki itu punya rasa yang berbeza. Dia tahu, Ismail cuba merebut hati Marina. Tingkahnya, gayanya, kata-katanya menunjukkan dia mengambil berat. Apakah dirinya rela membiarkan Marinanya diambil oleh lelaki yang lemah lembut ini?

Dan, pandangan berkalih ke arah Marina. Getar hatinya datang bertandang demi melihat seraut wajah yang matang itu. Dulu senyumnya ke anak-anakan. Kini kejelitaan semakin terserlah. 

Hati budi sudah dia kenali. Dari dulu, Marina selalu menjaga kepentingannya. Dia juga sudah mendengar sebab, mengapa gadis itu tidak berterus terang dulu. Semua dilakukan demi keselamatannya. Ya, dia sudah faham. Jika Marina berterus terang bahawa malam itu mereka berdua berada bersama-sama di dalam taman permainan itu, pastilah dirinya akan menjadi mangsa kerakusan dan kekerasan. Tentu tubuhnya lumat ditendang terajang. Mungkin dah patah riuk agaknya. Arghh, bolehkah dia melepaskan gadis ini kepada lelaki yang beria-ia menunjukkan kesungguhan untuk memiliki?

“Ayah, Ina hanya nak ayah sembuh aje. Jangan fikir yang bukan-bukan... ya?” pinta Marina kudus. Sedih melihat keadaan ayah yang tidak bermaya.

Haji Basir melepaskan keluhan berat sambil sepasang mata merenung ke arah semua yang hadir di sekelilingnya. Tiba-tiba, dia tidak mahu dilihat lemah. Tiba-tiba dia tidak mahu dianggap kalah. Dia tidak mahu dianggap tewas dalam permainan perasaan.

“Ayah hanya akan tenang kalau kamu kahwin, Ina. Jadi, ayah nak kamu fikir dalam-dalam. Dua lelaki ini mengharapkan kamu. Ismail tak cakap tapi ayah tahu apa dalam hati dia. Jadi, kamu ada dua hari untuk memilih. Esok, ayah   mahu kamu pergi kursus kahwin. Lusa, ayah mahu jawapannya. Pilih baik-baik sebab kamu tak akan dapat peluang lain dah lepas ni. Bila kamu dah buat pilihan, musuh atau tidak, ayah suka atau tidak, tak penting dah. Kamu kahwin dan binalah hidup baik-baik. Faham?”

Haji Basir membiarkan Marina dengan keadaan terkejut. Kini dia memandang Ikhwan dan Ismail silih berganti.

“Ikhwan, aku tak suka pada keyakinan kamu. Aku tak suka pada kesungguhan kamu. Tapi, aku bagi peluang pada Ina untuk pilih kamu. Ismail, pakcik baru kenal kamu hari ini tapi, pakcik tahu, kalau Marina pilih kamu, kamu boleh jadi suami dia yang baik. Tapi, kamu sabarlah tunggu keputusan Ina. Biar dia buat pilihannya sendiri. Pakcik tak mahu paksa dia.” Dia menyambung.

Ismail mengukir senyum, cukup sinis pada pandangan Ikhwan.

Marina terkedu. Dia tahu, ayahnya memberi sesuatu yang sukar untuk dibuatnya. Tapi, mengapa? Bukankah ayahnya boleh terus sahaja menurunkan kuasa vetonya yang memihak kepada Ismail? Aduh... mengapa harus begini? Kenapa dia harus memilih?

5
Mak Kiah memerhati anak bujangnya sedari tadi kegelisahan. Puas duduk di bangku rotan, berpindah berdiri di tepi tingkap. Dari tingkap, pandangan dilempar jauh ke gelap malam. Nampak benar susah hatinya.

Ikhwan anak tunggalnya. Sewaktu kecil, sememangnya nakal. Kenakalannya kadang-kadang boleh membuat orang marah. Contoh mudah tentulah Azizah. Sememangnya, sikap Azizah yang suka marah-marah itu sering membuat anak-anak suka mengganggu dan mengusiknya dulu. Termasuklah Ikhwan. Kadang-kadang usikan itu agak keterlaluan sehingga Azizah tidak boleh tahan. Tetapi semakin dimarah, semakin galak dirinya dijadikan mainan.....

Kerana nakal itulah, sering saja Ikhwan menjadi orang pertama untuk dituduh jika berlaku kecurian di dalam kampung terutama jika melibatkan Azizah. Tanpa usul periksa, anaknya pasti menjadi mangsa. Kemuncaknya ialah peristiwa 12 tahun dulu itu. Azizah tega meletakkan kesalahan atas Ikhwan meski tanpa apa-apa bukti.

Demi kebaikan anaknya, Mak Kiah rela menerima nasihat Tok Penghulu supaya Ikhwan dihantar ke sekolah budak jahat di Melaka. Hatinya luluh, tak seorangpun tahu. Ikhwan pula benar-benar tersinggung dan malu. Walaupun tidak lama lepas tu, si Marina datang memberitahu perkara sebenar kepadanya dan pencuri sebenar sudah diketahui, Ikhwan tetap enggan pulang. Mak Kiah menanggung rindu sendirian.

Resah memikirkan Ikhwan. Sebagai ibu, Mak Kiah tidak faham mengapa Ikhwan mahu lagi kepada Marina. Entah apa yang ada pada gadis itu. Argh, memang tak faham dia dengan hati orang muda. Yang banyak di depan mata buat tak kisah, yang ‘bunga terlarang’ itu jadi rebutan.

......................
“Awak tak boleh pilih dia, Ina. Dia dibenci keluarga awak. Awak tak akan bahagia kalau kahwin tanpa restu.”

Marina merenung wajah Ismail dalam-dalam. Ismail ada ‘point’ di situ. Kahwin tanpa restu hanya akan mengundang sedih dan derita. Dia pun tahu tentang itu. Tapi, Ismail tak pernah masuk dalam senarai lelaki idamannya. Memang Ismail cintakan dia, tapi dia tak ada rasa itu untuk Ismail. Bolehkah mereka bahagia selepas berkahwin nanti?

“Saya mampu bahagiakan awak. I’m your better choice..” bisikan  halus penuh romantis di telinga membuat Marina tersentak. 

Entah bila Ismail merapatkan jarak di antara mereka yang sedang duduk di atas pangkin, di bawah pokok ketapang di depan rumah separa batu itu. Entah kenapa Ismail tiba-tiba bagaikan dirasuk terus merangkul tubuh Marina dan menggomoli gadis itu. Semakin Marina meronta, semakin kuat cengkamannya. Bibir gadis itu disambar rakus. Tubuh gadis itu didakap dan ditarik rapat ke dirinya. Dia seolah-olah ingin memiliki.

Marina menangis lalu menolak Ismail sekuat hati. Dia benar-benar tidak menyangka Ismail sanggup buat begini kepada dirinya. Di hadapan rumahnya, dengan ayah yang terbaring lemah di atas. Sungguh! Dia tidak menyangka...

“Awak hak saya, Ina. Esok, awak akan pilih saya. Kalau tidak, saya akan beritahu pada semua, apa yang kita dah buat ini. Saya tahu, awak tak nak malukan keluarga awak lagi, kan? Jadi, terimalah saya. Saya janji, saya akan jadi suami terbaik awak. Jauh lebih baik daripada Ikhwan awak tu.” 

Dengan kata-katanya, dengan ugutannya, Ismail memasuki rumah. Dia tidak tahu apakah ada orang yang melihat mereka tadi. Di dalam hati berharap, biarlah ada. Supaya, segala-galanya akan lancar esok. Supaya, kemenangan pasti miliknya.

Marina terduduk semula di atas pangkin. Dia masih keliru dengan perbuatan Ismail. Dia masih tidak percaya Ismail sanggup melakukan begitu hanya untuk memilikinya. Ismail yang selama ini amat dia hormati kerana tidak pernah berkeras dengannya tiba-tiba bertindak di luar batas nafsu hanya untuk memastikan........

Owhhh....wajah Ikhwan terbayang. Airmata mengalir deras bila terkenang kepadanya. Semakin laju bila janji dulu seakan-akan terngiang-ngiang di telinga....

“Benci? Wan bencikan Ina?”

Masih terdengar suara Ikhwan ketawa bahagia.

“Hmm, benci. B.E.N.C.I. Nak tahu apa maksudnya?”

Teringat bagaimana dia bersungguh-sungguh mengangguk.

Benar, aku benci padamu bila
Engkau jauhkan aku dari hidupmu
Namun kebencianku ini tidak akan lama kerana
Cintaku terhadapmu sepenuh hati ini, wahai....
Inaku........

B.E.N.C.I. sampai kini, tidak pernah dapat Marina melupakan. Tiap kali teringat, wajah Ikhwan yang tersenyum ketika menuturkannya, terbayang. Biar usia mereka terlalu muda kala itu, masing-masing tahu dalamnya rasa yang membakar hati. menghangatkan perhubungan. Biar masa memisahkan, namun cinta itu tidak pernah pudar.

Tapi.... mudahnya Ismail membina pusara cintanya....owhhhh

Dan, Marina menangis dan terus menangis di sepanjang malam itu. 

6
Sesuatu yang tak disangka
Seringkali mendatangi kita
Inikah suratan dalam kehidupan
Atau sekadar satu kebetulan

Semua orang menanti dengan sabar. Menunggu penuh debar bila pintu bilik di hujung rumah itu akan terbuka. 

Ikhwan dan ibunya sudah duduk dengan beberapa orang jiran terdekat. Ismail tenang berbaju Melayu di sudut yang lain. 

Haji Basir sudah siap duduk menunggu. Di dalam hati, dia sudah merancang. Sebaik keputusan Marina diketahui, dia akan mengatur kenduri. Ala kadar sahaja kerana yang penting baginya, Marina menikah!

Marina melangkah keluar dengan berbaju kurung warna jingga. Dirasakan langkahnya kaku bila seluruh pandangan tertumpu padanya. Tangan maksu digenggam erat-erat.

Lama suasana bisu. Sepi. Haji Basir hanya memerhati dari satu wajah ke satu wajah yang lain. Ikhwan dilihatnya sedikit resah. Beberapa kali, anak muda itu dilihatnya mengelap peluh di dahi. Namun Ismail nampak konfiden. Tersenyum dan berbual dengan orang-orang di sekelilingnya dengan mesra dan ramah.

“Apa keputusan kamu, Marina?” kali ini suara Haji Basir tidak terlontar jauh. Perlahan dan lembut menujah telinga.

Ikhwan merenung seraut wajah itu dengan tenang. Air wajah tidak dapat diagak, apa mahunya. Dia kemudian menoleh merenung Haji Basir. 

“Boleh saya cakap sikit, pakcik?”

Azizah mencebik, menyampah.

Haji Basir mengangguk menyebabkan Ikhwan menghembus nafas kelegaan.

“Ina, jangan teragak-agak dalam buat keputusan. Percayalah, saya tak akan marah kalau awak pilih dia. Jauh sekali nak benci. Tak mungkin saya benci awak. B.E.N.C.I.? Hmm....”

“Saya pun nak cakap jugak, pakcik.” Ismail mencelah.

“Ya, ya... cakaplah, Ismail.” Balas Haji Basir.

“Ina, saya maksudkan apa yang saya cakap semalam. Saya cintakan awak. Saya sayang sangat-sangat pada awak. Awak sorang aje. Tak ada yang lain, awak faham, ya?”

Marina tidak menyahut. Tidak berkutik. Dia tunduk merenung lantai. Dia sudah membuat keputusan. Dia tidak mungkin berpaling daripada keputusan itu.

“Apa kata kamu Ina? Apa keputusan kamu?” giliran Haji Basir berkeras pula.

“Ayah, Ina.... Ina.... pilih Ikhwan, ayah. Kalau dia sudi terima Ina.”

Ikhwan terkejut, benar-benar terkejut. Walau harapannya mencecah awan namun rasa bimbang dirinya tidak dipilih gadis itu amat ketara. Tapi, ucapan Marina menyebabkan dia mengucap syukur ke hadrat Ilahi. Restu ibu terus diperoleh bila dia segera mengucup dahi ibunya dan merangkul tubuh ibunya erat-erat sambil melafazkan terima kasih kerana turut mendoakan kebahagiaannya.

"Selalu kita dengar orang cakap, kita hanya merancang, tapi Allah yang menentukan. Ismail, Is  boleh merancang, Is boleh buat dan cakap apa saja. Kalau Dia kat atas sana dah tentukan Ina bukan jodoh kamu, janganlah sedih. 

Kamu silap perhitungan sebenarnya, Is. Marina memang dah bersedia nak pilih kamu tapi perbuatan kamu pada dia buat dia berfikir semula. Selama ini, dia anggap kamu lelaki yang baik. Dia hormat kamu tapi kamu sendiri yang buang rasa hormat tu. Dan, Ikhwan......., sekalipun kamu cemarkan nama baik Ina sekarang kat depan semua orang, dia tetap akan terima Ina, maksu amat yakin tentang itu. Is, cinta ialah pengorbanan. Hati kita menangis bila dia bahagia. Itu cinta. Bukan nafsu. Bukan simpati. Kamu faham?”

Ismail mengeluh, menyalahi diri. Ya, dia sudah faham. Tentu saja, dia faham. Dia yang menyebabkan Ina berpaling. Salah dia! Bukan salah sesiapa...

Azizah tidak mampu hendak membantah pilihan Marina. Dia sudah dinasihati oleh Haji Basir untuk menerima sahaja apa jua keputusan anak mereka. Biarlah, senang atau susah hidup Marina nanti, bukan lagi perlu dia mengambil tahu. Hati mengatakan Marina bodoh tetapi tidak tergamak pula hendak bersuara begitu di hadapan anaknya. Ya, pandai-pandailah Marina menentukan jalan masa depannya bersama Ikhwan nanti....

7-akhir
“Hmm, masuklah pengantin, mak pengantin. Inilah pondok usang kami sejak abang Halim meninggal.” 

Maksu Timah menjemput Marina, Ikhwan dan Mak cik Kiah memasuki rumah teres setingkat, peninggalan arwah suaminya, di Pandan Jaya. Rumah tempat dia dan Marina tinggal sejak bertahun-tahun.

Majlis kenduri kahwin sudah selamat berlangsung dua hari lepas. Itupun, dibuat serba ringkas sahaja di dewan orang ramai Kampung Mempaga. Meski serba sederhana, ia tetap meriah. Dan, kini, mereka sudahpun berada di bandar raya. Marina perlu ke pejabat untuk memohon menambahkan cutinya. Sementara Ikhwan pula perlu melapor diri ke pejabatnya di Kementerian Pertahanan.

“Kesian kamu, Wan. Macam kahwin koboi dah maksu tengok. Semuanya serba kalut, serba nak cepat. Tengoklah.... bilik pengantin pun tak ada. Entahlah.... maaf, ya, kak Kiah. Tak sangka pulak jadi macam ni.” Ucap maksu penuh kesalan. 

Ya, dia kesal kerana tidak dapat membuat majlis gilang gemilang untuk Marina. Hajatnya untuk melihat anak saudaranya itu bersanding di atas pelamin, ditepung tawar dan dihantar berbulan madu, berkubur begitu sahaja gara-gara sikap kakak dan abang iparnya.

Ikhwan memandang kelibat isterinya yang menatang dulang berisi air minuman untuk mereka. Juga beberapa jenis kuih yang tadi mereka singgah beli di sebuah gerai. Wajah lembut dambaannya itu tidak putus-putus mengukir senyuman. Arghhh.... menggoda sungguhlah!

Sebaik Marina sudah menuangkan air ke dalam cawan, pinggang gadis itu dirangkul sehingga Marina terjatuh di atas ribaan.

“Abang...” dengan wajah yang merah Marina cuba mengelak namun Ikhwan tetap mahukan Marina duduk di sisinya, dalam rangkulannya.

“Duduklah, Ina. Di kampung, tak dapat nak tengok kamu dengan Ikhwan duduk berdua macam gini.” Pinta Mak Kiah.

“Mak, maksu...sebenarnya Wan lagi terkilan. Selama ni, Wan bayangkan kami berdua kahwin penuh dengan istiadat tentera, jalan bawah pedang segala... tapi, dalam masa singkat sangat, tak sempat benda tu hendak Wan aturkan.” Hidung isteri dipicit, geram dalam sayang. “Ina jangan menyesal, ya, kahwin dengan abang. Pilih abang? Abang tak sekaya Ismail tau...”

“Apa ke jadahnya cakap macam tu, Wan?” Mak Kiah menegur anaknya, tidak suka peristiwa lepas diugkit semula.

“Ha’ah, kan..mak. Nasib baik orang dah pilih awak, encik kapten. Lagi mau tanya?” 

Marina menjeling sayang, mengundang tawa besar suaminya.

“Maksu dah  tempahkan bilik untuk kamu berdua di Seri Malaysia, Bagan Lalang. Pergilah mandi, bersiap. Boleh ke sana lepas makan malam nanti.”

“Habis tu, maksu dengan mak, tidur kat mana malam karang?”

Maksu Timah dengan Mak Kiah berbalas renungan lalu ketawa mendengar soalan polos dari Marina. Ikhwan tersenyum meleret.

“Kami di sini aje. Tak tahan air-cond, sejukkk... kan kak?” jawab Maksu. Mak Kiah mengangguk-anggukkan kepala.

..............

Suasana damai bilik dengan kedudukan mengadap kolam renang dan laut Selat Melaka hanya 100m daripada hotel, sungguh mendamaikan bagi pasangan muda ini. Sebaik sudah mengerjakan solat Subuh, mereka kini berdiri di balkoni, sambil menyaksikan matahari terbit bersama-sama. Keindahan yang baru dikecapi membuat senyum mekar di bibir masing-masing. Dalam hati tentulah berharap agar kebahagiaan ini akan kekal sampai mati.

“No regrets?” tanya Ikhwan perlahan. 

Marina tertawa menggeleng.

“Sayang?”

Marina mengangguk.

“Abang pun! Sangat sayangkan Ina. Sebab tu, kot... abang tak kahwin-kahwin. Abang tunggu Ina. Ina pun sama, tunggu abang jugak, kan?”

Marina mendongak, menatap wajah dambaannya. 

“Mungkin kot! Sebab bila tengok orang lain, getar tu tak ada.” Bisiknya manja.

“B.E.N.C.I.?” Ikhwan mengusik.

Marina segera berpaling. Giliran dia memicit hidung Ikhwan. 

“Pandai, ya. Hari tu, masa Ina nak buat keputusan, sengaja aje sebut B.E.N.C.I.  pada Ina, kan? Sengaja dalam diam, bagitau Ina yang abang tu cintakan Ina. Kan?” dia meneka.

Benar, aku benci padamu bila
Engkau jauhkan aku dari hidupmu
Namun kebencianku ini tidak akan lama kerana
Cintaku terhadapmu sepenuh hati ini, wahai....
Inaku........

Ikhwan mengungkapkan semula bait-bait kata janji mereka itu.

“Abang cuma nak Ina tahu yang cinta abang pada Ina tetap ada. Mungkin dulu tu, cinta ni bukan cinta sebenar tapi...”

“12 tahun tak pedulikan Ina pun....tak ambil tahu tentang Ina.”

“Siapa cakap? Abang sentiasa update segala tentang Ina, tau. Tapi, abang mengakulah yang abang ni ego. Sengaja menahan perasaan rindu ni, sayang ni sebab marahkan....”

“Emak dengan ayah?”

Ikhwan tersenyum. 

“Dulu. Sekarang ni, diorang dah serahkan anak perempuan diorang pada abang. Dah tak marah dah. Sayang lagi, adalah....” bisik Ikhwan lalu mengangkat tubuh isterinya menuju ke peraduan.

Marina segera merangkul leher suaminya. Merelakan diri dalam ikatan perkahwinan yang baru dan penuh keharuman. Doanya semoga dia mampu membahagiakan Ikhwan. 

Menjadi isteri yang romantis, 
menjadi teman tempat curahan masalah, 
menjadi ibu tempat bermanja 
dan 
menjadi kekasih yang tercinta, yang sentiasa di ingatan walau ke mana Ikhwan pergi. Dekat atau berjauhan. Mendambakan sentuhannya, merindukan dirinya. 

B.E.N.C.I.? 

Hmm....

Benar, aku benci padamu bila
Engkau jauhkan aku dari hidupmu
Namun kebencianku ini tidak akan lama kerana
Cintaku terhadapmu sepenuh hati ini, wahai....
Ikhwan Zamirku........
....................

Larilah kemanapun, jika dia jodohmu, kau pasti ketemu juga dengannya satu hari, satu waktu. Semoga cerita ini memberi keriangan kepada anda yang membaca.

sofi.

7 ulasan:

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.