apa yang nampak, apa yang rasa, apa yang dengar

6.2.11

B.E.N.C.I. 7

7-akhir

“Hmm, masuklah pengantin, mak pengantin. Inilah pondok usang kami sejak abang Halim meninggal.” Maksu Timah menjemput Marina, Ikhwan dan Mak cik Kiah memasuki rumah teres setingkat, peninggalan arwah suaminya, di Pandan Jaya. Rumah tempat dia dan Marina tinggal sejak bertahun-tahun.

Majlis kenduri kahwin sudah selamat berlangsung dua hari lepas. Itupun, dibuat serba ringkas sahaja di dewan orang ramai Kampung Mempaga. Meski serba sederhana, ia tetap meriah. Dan, kini, mereka sudahpun berada di bandar raya. Marina perlu ke pejabat untuk memohon menambahkan cutinya. Sementara Ikhwan pula perlu melapor diri ke pejabatnya di Kementerian Pertahanan.

“Kesian kamu, Wan. Macam kahwin koboi dah maksu tengok. Semuanya serba kalut, serba nak cepat. Tengoklah.... bilik pengantin pun tak ada. Entahlah.... maaf, ya, kak Kiah. Tak sangka pulak jadi macam ni.” Ucap maksu penuh kesalan. 

Ya, dia kesal kerana tidak dapat membuat majlis gilang gemilang untuk Marina. Hajatnya untuk melihat anak saudaranya itu bersanding di atas pelamin, ditepung tawar dan dihantar berbulan madu, berkubur begitu sahaja gara-gara sikap kakak dan abang iparnya.

Ikhwan memandang kelibat isterinya yang menatang dulang berisi air minuman untuk mereka. Juga beberapa jenis kuih yang tadi mereka singgah beli di sebuah gerai. Wajah lembut dambaannya itu tidak putus-putus mengukir senyuman. Arghhh.... menggoda sungguhlah!

Sebaik Marina sudah menuangkan air ke dalam cawan, pinggang gadis itu dirangkul sehingga Marina terjatuh di atas ribaan.

“Abang...” dengan wajah yang merah Marina cuba mengelak namun Ikhwan tetap mahukan Marina duduk di sisinya, dalam rangkulannya.

“Duduklah, Ina. Di kampung, tak dapat nak tengok kamu dengan Ikhwan duduk berdua macam gini.” Pinta Mak Kiah.

“Mak, maksu...sebenarnya Wan lagi terkilan. Selama ni, Wan bayangkan kami berdua kahwin penuh dengan istiadat tentera, jalan bawah pedang segala... tapi, dalam masa singkat sangat, tak sempat benda tu hendak Wan aturkan.” Hidung isteri dipicit, geram dalam sayang. “Ina jangan menyesal, ya, kahwin dengan abang. Pilih abang? Abang tak sekaya Ismail tau...”

“Apa ke jadahnya cakap macam tu, Wan?” Mak Kiah menegur anaknya, tidak suka peristiwa lepas diugkit semula.

“Ha’ah, kan..mak. Nasib baik orang dah pilih awak, encik kapten. Lagi mau tanya?” Marina menjeling sayang, mengundang tawa besar suaminya.

“Maksu dah  tempahkan bilik untuk kamu berdua di Seri Malaysia, Bagan Lalang. Pergilah mandi, bersiap. Boleh ke sana lepas makan malam nanti.”

“Habis tu, maksu dengan mak, tidur kat mana malam karang?”

Maksu Timah dengan Mak Kiah berbalas renungan lalu ketawa mendengar soalan polos dari Marina. Ikhwan tersenyum meleret.

“Kami di sini aje. Tak tahan air-cond, sejukkk... kan kak?” jawab Maksu. Mak Kiah mengangguk-anggukkan kepala.
...............

Suasana damai bilik dengan kedudukan mengadap kolam renang dan laut Selat Melaka hanya 100m daripada hotel, sungguh mendamaikan bagi pasangan muda ini. Sebaik sudah mengerjakan solat Subuh, mereka kini berdiri di balkoni, sambil menyaksikan matahari terbit bersama-sama. Keindahan yang baru dikecapi membuat senyum mekar di bibir masing-masing. Dalam hati tentulah berharap agar kebahagiaan ini akan kekal sampai mati.

“No regrets?” tanya Ikhwan perlahan. Marina tertawa menggeleng.

“Sayang?”

Marina mengangguk.

“Abang pun! Sangat sayangkan Ina. Sebab tu, kot... abang tak kahwin-kahwin. Abang tunggu Ina. Ina pun sama, tunggu abang jugak, kan?”

Marina mendongak, menatap wajah dambaannya. “Mungkin kot! Sebab bila tengok orang lain, getar tu tak ada.” Bisiknya manja.

“B.E.N.C.I.?” Ikhwan mengusik.

Marina segera berpaling. Giliran dia memicit hidung Ikhwan. 

“Pandai, ya. Hari tu, masa Ina nak buat keputusan, sengaja aje sebut B.E.N.C.I.  pada Ina, kan? Sengaja dalam diam, bagitau Ina yang abang tu cintakan Ina. Kan?” dia meneka.

Benar, aku benci padamu bila
Engkau jauhkan aku dari hidupmu
Namun kebencianku ini tidak akan lama kerana
Cintaku terhadapmu sepenuh hati ini, wahai....
Inaku........

Ikhwan mengungkapkan semula bait-bait kata janji mereka itu.

“Abang cuma nak Ina tahu yang cinta abang pada Ina tetap ada. Mungkin dulu tu, cinta ni bukan cinta sebenar tapi...”

“12 tahun tak pedulikan Ina pun....tak ambil tahu tentang Ina.”

“Siapa cakap? Abang sentiasa update segala tentang Ina, tau. Tapi, abang mengakulah yang abang ni ego. Sengaja menahan perasaan rindu ni, sayang ni sebab marahkan....”

“Emak dengan ayah?”

Ikhwan tersenyum. 

“Dulu. Sekarang ni, diorang dah serahkan anak perempuan diorang pada abang. Dah tak marah dah. Sayang lagi, adalah....” bisik Ikhwan lalu mengangkat tubuh isterinya menuju ke peraduan.

Marina segera merangkul leher suaminya. Merelakan diri dalam ikatan perkahwinan yang baru dan penuh keharuman. Doanya semoga dia mampu membahagiakan Ikhwan. Menjadi isteri yang romantis, menjadi teman tempat curahan masalah, menjadi ibu tempat bermanja dan menjadi kekasih yang tercinta, yang sentiasa di ingatan walau ke mana Ikhwan pergi. Dekat atau berjauhan. Mendambakan sentuhannya, merindukan dirinya. B.E.N.C.I.? Hmm....

Benar, aku benci padamu bila
Engkau jauhkan aku dari hidupmu
Namun kebencianku ini tidak akan lama kerana
Cintaku terhadapmu sepenuh hati ini, wahai....
Ikhwan Zamirku........
....................

Larilah kemanapun, jika dia jodohmu, kau pasti ketemu juga dengannya satu hari, satu waktu. Semoga cerita ini memberi keriangan kepada anda yang membaca.

sofi.

8 ulasan:

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.