apa yang nampak, apa yang rasa, apa yang dengar

5.2.11

B.E.N.C.I. 4

4
“Amboi-amboi! Bukan main lagi kamu ya, Ikhwan? Ingat kamu, anak aku si Marina ni barang yang boleh kamu beli kat tepi jalan? Mentang-mentang sekarang ni kamu tu berpangkat, kamu ingat mudah-mudah aje aku nak bagi anak aku pada kamu?” suara Azizah melengking kuat. Sakit hati terhadap Ikhwan tidak pernah sirna. Walau sudah lama dia tahu bahawa Ikhwan bukan pencuri barang kemasnya, tetap dia bencikan lelaki ini. Tetap dia tidak suka! Adakah mungkin dia menerima pinangan lelaki yang tidak dia sukai ini? Mustahil!

“Kak Lang? Janganlah menengking. Abang lang kan tengah sakit? Cubalah berdiplomasi sikit!” Maksu Timah menegur kerana dia tidak puas hati melihat gelagat kakaknya yang masih garang tak bertempat. Menunjukkan kebencian kepada Ikhwan secara keterlaluan.

Ikhwan tidak langsung peduli dengan sikap Azizah terhadapnya. Sejak dia kecil, memang begitulah kelakuan wanita sombong ini. Kadang-kadang dia merungut juga di dalam hati. Bagaimanakah seorang yang hidup biasa-biasa, tidak ada harta yang banyak boleh jadi sesombong ini? Bagaimanalah agaknya jika Azizah ini seorang yang kaya raya? Mahu hidungnya membelah awan, kot?    

Tetamu yang ada berbisik-bisik. Dah tentulah sesi mengumpat sedang berjalan. Banyak untuk mereka katakan. Tentang Haji Basir yang cengil, tentang Azizah yang garang, tentang Ikhwan yang selamba dan tentang Marina yang galak dalam diam. Siapa menyangka? Di hadapan semua orang, Marina pijak semut pun tak mati, tapi di sebaliknya, gatal juga orangnya.. huh...

“Ina?”

Marina segera menoleh bila mendengar suara Ismail. Aduh... terlupa pula bahawa dia membawa tamu ke rumah. Tamu yang juga punya harapan yang sama seperti Ikhwan. Masak! Memang masak Marina hari ini!

“Pakcik, makcik, maaf kalau saya menyampuk. Tapi, soal nikah kahwin bukan boleh dibuat terburu-buru. Beri peluang kepada Marina untuk berfikir. Jangan sebab malu, terus sahaja bersetuju nak jodohkan Ina dengan dia ni. Apa yang berlaku, itu kan cerita dulu? Malu atau menyesal, semuanya dah lepas. Kan baik kalau buka lembaran baru dan lupakan aje semua yang lama tu?”

Buntang sepasang mata Marina melihat wajah Ismail. Begitu juga yang lain-lain. Ikhwan lagilah, rasa ingin saja dia menarik mat jambu itu bangun berdiri dan berlawan gusti lengan dengan dia. Dah tentu kalah punya, hati berdetik. Eleh, diri sendiri pun belum tentu boleh dijaga dah merapu nak membela si Marina. Nak jadi hero di tengah-tengah kemelut. Hendak menangguk di air yang keruh. Piirahh....

“Ni siapa pulak ni? Marina, kamu ni dah memang tak tahu nak jaga maruah ke? Ni, bawak balik jantan mana pulak ni?” suara Azizah melengking kuat. Tangan mengusap dada suaminya, Haji Basir yang sedang terbatuk-batuk.

Ismail terkedu. Rasa kasihan membuak-buak kepada Marina yang asyik menerima kemarahan ayah dan ibu.

Maksu Timah segera menegaskan. “Ni, Ismail. Kawan satu pejabat Marina. Marina ni tadi bila dapat berita tentang abang lang, dia terus menangis teresak-esak. Tangannya dah terketar-ketar. Macam mana nak bawak kereta? Tu yang Is hantar dia ke rumah. Dah gitu, saya mintak tolong Is bawak kami balik ke sini. Salah ke?” tanya dia. Persekitaran menjadi sunyi bila mendengar penjelasan itu.

Ismail mengeluh. Penjelasan begini bukan mahunya. Dia mahu dilihat sebagai teman lelaki Marina. Dia mahu dilihat sebagai kekasih yang mengambil berat. Bila Maksu dah cakap cenggini, payahlah dia hendak meyakinkan semua orang tentang rasa hatinya kepada gadis itu. Akan semakin jauhlah Marina daripadanya. Dan.... owhhh tidak! Dia tidak suka begitu kerana pastinya Ikhwan akan datang menghimpit gadis kesayangannya! Tidak! Marina miliknya. Gadisnya. Ikhwan tidak boleh merebut gadis itu daripada dia!

Ikhwan yang tajam memandang Ismail tahu bahawa lelaki itu punya rasa yang berbeza. Dia tahu, Ismail cuba merebut hati Marina. Tingkahnya, gayanya, kata-katanya menunjukkan dia mengambil berat. Apakah dirinya rela membiarkan Marinanya diambil oleh lelaki yang lemah lembut ini?

Dan, pandangan berkalih ke arah Marina. Getar hatinya datang bertandang demi melihat seraut wajah yang matang itu. Dulu senyumnya ke anak-anakan. Kini kejelitaan semakin terserlah. Hati budi sudah dia kenali. Dari dulu, Marina selalu menjaga kepentingannya. Dia juga sudah mendengar sebab, mengapa gadis itu tidak berterus terang dulu. Semua dilakukan demi keselamatannya. Ya, dia sudah faham. Jika Marina berterus terang bahawa malam itu mereka berdua berada bersama-sama di dalam taman permainan itu, pastilah dirinya akan menjadi mangsa kerakusan dan kekerasan. Tentu tubuhnya lumat ditendang terajang. Mungkin dah patah riuk agaknya. Arghh, bolehkah dia melepaskan gadis ini kepada lelaki yang beria-ia menunjukkan kesungguhan untuk memiliki?

“Ayah, Ina hanya nak ayah sembuh aje. Jangan fikir yang bukan-bukan... ya?” pinta Marina kudus. Sedih melihat keadaan ayah yang tidak bermaya.

Haji Basir melepaskan keluhan berat sambil sepasang mata merenung ke arah semua yang hadir di sekelilingnya. Tiba-tiba, dia tidak mahu dilihat lemah. Tiba-tiba dia tidak mahu dianggap kalah. Dia tidak mahu dianggap tewas dalam permainan perasaan.

“Ayah hanya akan tenang kalau kamu kahwin, Ina. Jadi, ayah nak kamu fikir dalam-dalam. Dua lelaki ini mengharapkan kamu. Ismail tak cakap tapi ayah tahu apa dalam hati dia. Jadi, kamu ada dua hari untuk memilih. Esok, ayah   mahu kamu pergi kursus kahwin. Lusa, ayah mahu jawapannya. Pilih baik-baik sebab kamu tak akan dapat peluang lain dah lepas ni. Bila kamu dah buat pilihan, musuh atau tidak, ayah suka atau tidak, tak penting dah. Kamu kahwin dan binalah hidup baik-baik. Faham?”

Haji Basir membiarkan Marina dengan keadaan terkejut. Kini dia memandang Ikhwan dan Ismail silih berganti.

“Ikhwan, aku tak suka pada keyakinan kamu. Aku tak suka pada kesungguhan kamu. Tapi, aku bagi peluang pada Ina untuk pilih kamu. Ismail, pakcik baru kenal kamu hari ini tapi, pakcik tahu, kalau Marina pilih kamu, kamu boleh jadi suami dia yang baik. Tapi, kamu sabarlah tunggu keputusan Ina. Biar dia buat pilihannya sendiri. Pakcik tak mahu paksa dia.” Dia menyambung.

Ismail mengukir senyum, cukup sinis pada pandangan Ikhwan.

Marina terkedu. Dia tahu, ayahnya memberi sesuatu yang sukar untuk dibuatnya. Tapi, mengapa? Bukankah ayahnya boleh terus sahaja menurunkan kuasa vetonya yang memihak kepada Ismail? Aduh... mengapa harus begini? Kenapa dia harus memilih?

4 ulasan:

  1. adui... pengsan marina nk buat pilihan.. 1 kekasih zaman sekolah..1 lagi org yg selalu ada bile marina perlukan bantuan....

    BalasPadam
  2. @miznza84hehe... rasa-rasa ina pilih siapa ya?

    BalasPadam
  3. pilihlah yang Ina rasa terbaik untuk anda...pilihan di tangan anda

    BalasPadam

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.