Langkau ke kandungan utama

B.E.N.C.I. 2

2
Ikhwan memberhentikan kereta Viosnya di hadapan kedai kopi Hj Bakar. Teringin pula hendak merasa air kopi pak haji itu di pagi-pagi begini. Kalau sewaktu di Lubnan, manalah hendak merasa minum kopi dalam suasana santai begini. Disebabkan itulah, dia berazam untuk memanfaatkan cuti kali ini sepenuhnya.

Cutinya masih berbaki 10 hari sebelum dia memulakan semula tugasnya di Kementah. Ya, siapa sangka, bekas budak nakal Henry Gurney sepertinya berjaya mendapat 5A dalam SPM. Siapa juga menyangka dia diterima masuk ke Universiti Pertahanan Malaysia untuk belajar jurusan kejuruteraan mekanikal. Siapa juga menyangka bahawa dia kini seorang pegawai berpangkat kapten di kor Jurutera, ATM. Semua ini, berkat doa ibu dan ayahnya. Berkat usaha yang tidak kenal erti jemu. Dengan izin Allah, dia menjadi manusia yang berguna. Namun, jauh di sudut hati, ada sesuatu yang masih berbuku. Ada sesuatu yang masih mengigit-gigit tangkai hati apatah lagi bila dia terpandangkan Haji Basir sedang santai berbual-bual dengan beberapa orang lelaki sebaya arwah ayahnya.

Kalau diikutkan hati yang marah kepada lelaki itu, mahu saja dia memecut semula keretanya dan berlalu. Tapi nanti, apa pula kata orang-orang yang melihat. Pasti mereka mengiyakan segala tuduhan lampau itu. Tidak, dia bukan penakut untuk lari. Haji Basir harus didepani.

Ikhwan melangkah turun dengan bergaya. Tshirt dan seluar slack yang tersarung di tubuh yang sasa tentu sahaja menarik perhatian mereka yang ada di dalam kedai. Berkulit sawo matang yang sedikit gelap kerana sering berada di bawah terik matahari tidak langsung melenyapkan gaya macho itu. Senyum disedekahkan kerana dia tahu, ramai di situ yang bila-bila masa sahaja sudi membuat dirinya menantu, tika dan saat ini. Arghh, perasanlah tu, Wan! Gumamnya.

“Assalamualaikum pakcik-pakcik...” dia menyapa mereka. Masing-masing menjawab salam sambil tersenyum kepada Ikhwan. Kecuali Haji Basir tentunya. Demi terpandang wajah itu, hatinya jadi libang libu. Mustahillah dia dapat menikmati air kopi Hj Bakar pagi ini.

“Aku nak balik. Bakar, kira cepat!” Hj Basir sudah bangun berdiri.

Ikhwan tersenyum sinis. “Tak apa, pak haji, biar saya belanja pak haji dan semua pakcik-pakcik pagi ni.” Ujarnya.

Haji Basir merenung Ikhwan dengan garang. “Tak payah! Aku ada duit. Pencen aku ni masih boleh aku buat belanja hidup.” Balasnya.

Ikhwan tenang membiarkan Haji Basir berkata begitu. Dari dulu, sikap sombong masih kekal, tidak pernah berubah.

“Kamu ni Sir, orang nak belanja tu, terima ajelah. Ini tidak! Menyombong sangat!” Hj Bakar mengusik.

Hj Basir mendengus kasar. “Ah, tak payah. Korang nak makan dia belanja, lantak koranglah! Tapi kena fikir dua kali jugak. Entah-entah duit apa pulak kali ni. Orang, kalau dah pernah jahat tak mahunya berubah.” Sindirnya lantang.

Terbakar sudah raga mendengar. Wajah merona merah, bukan kerana malu tapi marah. 

“Tapi, rasa saya, anak Pak Haji dah bersihkan nama saya, kan? Kalau tak silap juga, yang ambil segala barang kemas isteri Pak Haji tu nama dia Rosli bin Haji Basir, sebab dia tak cukup duit nak bayar beli rumah, kan? Ke, mak saya silap dengar masa Marina datang ke rumah dulu tu?” santai Ikhwan mengenakan Haji Basir. Dia tahu, ramai yang setia memasang telinga ketika ini. Maklumlah, bukan semua orang tahu segala yang pernah terjadi 12 tahun dulu tu.

Haji Basir bercekak pinggang. “Aku pun tak faham kenapa beria-ia si Marina tu cakap kamu tak bersalah. Entah apa agaknya yang kamu dah ugut dia, kan? Kalau tidak, tak kan bersungguh-sungguh sangat dia membela kamu.” Marahnya.

Ikhwan tersenyum. Hari ini, dia sudah nekad hendak menjatuhkan air muka Haji Basir. Selama ini, ibunya sering dihina kerana mempunyai anak sepertinya. Kononnya, dia anak tak guna. Ibunya tanggung semua caci. Terima semua kata-kata kesat penuh nista. Walaupun kisah sebenar sudah terbongkar, namun Haji Basir dan isterinya tetap sahaja tidak mahu menerima hakikat bahawa anak mereka sendiri yang menjadi pencuri. Dibiarkan sahaja fitnah ini berlarutan. Pengakuan Marina bahawa dia nampak abangnya mengambil semua barang kemas dan duit itu, ditolak ke tepi. Dinafikan!

“Pak Haji Basir, Marina tahu saya tak bersalah sebab dia yang beritahu saya apa yang Rosli buat.” Ikhwan membongkar cerita lama. Biarlah! Dengarlah semua orang! Tidak perlu lagi berahsia.

“Kamu jangan nak buat cerita, ya!” Haji Basir menengking.

“Pak Haji, saya tak bohong. Marina ada bersama-sama saya masa Pak Haji dengan orang-orang kampung tangkap saya dekat taman tu. Masa tu, saya dengan Marina tengah dating. Saya suruh Marina menyorok dalam gelung konkrit tu. Saya tak tahu kenapa Pak Haji memilih untuk menuduh saya. Saya harap sangat supaya Marina cakap perkara sebenar, tapi sampai ke sudah dia diam. Kalau Pak Haji masih ingat, masa tu saya merayu mintak dia berterus terang, kan? Tapi, dia diam. Sikitpun dia tak bersuara. Sudahnya, sebab tak ada saksi, saya dihantar ke Henry Gurney, walaupun bukti tak ada. Inilah kebenarannya, Pak Haji. Tanya anak perempuan Pak Haji tu, kalau masih tak percaya cakap saya.”

Ikhwan berasa tersangat puas. Akhirnya, dia dapat memberitahu perkara sebenar. Dendamnya sekian lama sudah berbalas. Dia rasa menang. Padan muka Haji Basir, fikirnya! Dan Marina? Huh, kerana kebisuannya, segala kerumitan ini timbul. Mampukah dia memaafkan segala khilaf gadis itu? Tidak! Tidak mungkin!

Sebaik sudah menyerahkan wang RM50 kepada Hj Bakar, Ikhwan melangkah keluar. Dia tidak sedar bahawa ketika itu, Haji Basir jatuh dan longlai di lantai simen kedai Haji Bakar.  

Ulasan

  1. oho..
    berpacaran ngan marina yea..

    BalasPadam
  2. alamak jgnla jd ape2 kat hj basir... kang bertambah plak perasaan benci keluarga marina kat ikhwan.. makin rumit jdnya...

    BalasPadam

Catat Ulasan

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.

Catatan popular daripada blog ini

Cerpen: Dia Idaman Jiwa

1
“Hi, boleh aku duduk kat sini?”

Aliah mendongak. Demi terpandang sahaja wajah itu, air mukanya terus berubah. Riak tidak senang ditunjukkan kepada lelaki itu.

“Cepatlah jawab! Senang aje soalan aku tu. Boleh, jawablah boleh...”

“Kalau saya jawab tak boleh?”

Abid terus menarik kerusi yang bertentangan dengan gadis itu.

“Aku tetap duduk sini jugak.” Balasnya sambil tersengih-sengih.

“Macam tak ada tempat lain!”

“Banyak! Sana kosong. Tu, di belakang kau tu pun kosong. Tapi, aku saja aje nak duduk depan kau. Dah sebulan aku cari kau tapi tak jumpa-jumpa. Alhamdulillah, hari ini dapat juga. Kau apa khabar? Sihat?”

Aliah tidak menyahut. Sebaliknya, dia terus menyuap dan kali ini suapannya sengaja dilajukan, tidak lagi menikmati nasi campur yang dimakan. Ketika itu, dia hanya berkeinginan untuk cepat-cepat menyudahkan makan tengah harinya supaya dia dapat pergi dari situ dengan segera. Dia tidak mahu mengadap muka lelaki yang kini sedang berada di hadapannya walau sehebat, sekacak mana se…

Yang Terakhir: Versi Cerpen

1
“Kau dah habis fikir ke, Khairi? Perempuan macam Najiha tu kau nak bawak ke majlis Annual Dinner kita? Tak malu ke nanti bila orang gelakkan kau?” tanya Hafiz sambil mengerutkan dahi. Dia keliru dengan sikap Khairi Iqbal. Rasanya, selama mereka berkawan, belum pernah walau sekali pun, Khairi memuji gadis yang seorang itu. Gadis yang bernama Izzatul Najiha. Tup tup, hari ini, dia buat keputusan hendak menjadikan Najiha pasangannya semasa majlis kemuncak nanti. Hisy, pelik betul!
“Malu, memanglah aku malu! Tapi aku cuma nak gunakan dia saja. Nak buat Amalina cemburu.” Balas Khairi sambil menyisip air lemon perlahan. Sejuk rasa kerongkongnya bila air itu menerobos masuk ke dalam rongga.
Mata Hafiz buntang. Kepala tergeleng-geleng.
“Kenyataan kau tu lagi buat aku tak faham! Kalau kau nak buat Amalina cemburu, kau patut bawak perempuan lain. Bukan si Najiha yang macam hantu bungkus tu!”
Terlambak tawa Khairi Iqbal mendengar kata-kata sahabat baiknya itu. Hantu bungkus? Si Najiha tu?…

Inikah Cinta? : Versi Cerpen

1

"Ouch!"

Cepat-cepat Janet menghisap jari telunjuk yang terhiris tadi. Setelah kesakitan itu hilang, dia segera membasuh jari itu. Dia kemudian mengelap lalu membalut luka dengan plaster.

"Sakit? Itulah pasal. Mak Nah dah cakap, biar mak Nah aje yang buat tapi Janet degil sangat. Hendak jugak main-main pisau," sindir orang gajinya menyebabkan Janet ketawa besar.

"Inilah yang orang cakap, luka di tangan nampak berdarah. Luka di hati tak siapa tahu. Kan, mak Nah?"

Mak Nah melepaskan keluhan sebelum mencuri pandang ke arah wajah ayu di sisinya yang kini sedang tunduk dan berpaling ke arah lain. Hati mak Nah kini turut melagukan irama sedih yang pasti sedang berdendang dalam hati Janet. Biarpun sudah lama ia berlalu, pasti kenangan itu hadir kembali sebaik rangkap pepatah itu diungkap. Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula kisah cinta penuh keindahan. Ke mana hendak dicampakkan?

"Dah enam tahun... dia tentu dah lupakan saya. Tentu dah kahwin…