Luahan

apa yang nampak, apa yang rasa, apa yang dengar

Qistina tersenyum memerhati gelagat Luqman yang sedang sibuk melayan kerenah anak kecil comel itu. Rengekan demi rengekan Uwaisy bagaika...

MASIHKAH CINTA? 13

By Januari 11, 2014

Qistina tersenyum memerhati gelagat Luqman yang sedang sibuk melayan kerenah anak kecil comel itu. Rengekan demi rengekan Uwaisy bagaikan nyanyian merdu di telinga lelaki itu. Luqman begitu sabar. Tiap kehendak, tiap kemahuan Uwaisy dibelikan, walau Qistina berkeras menolak.

“Biarkanlah dia. Bukan selalu awak bawak dia jalan-jalan, kan?”


“Memanglah. Tapi tu bukan bermakna yang awak kena belikan semua benda yang dia nak.”


Luqman hanya tersengih.


Hari ini, Qistina membawa keluarga besarnya yang terdiri daripada ayah dan ibu tirinya, ibunya, Kak Raihah dan Abang Musa serta sahabat-sahabat baiknya untuk berkelah di pantai Port Dickson. Dalam perjalanan pulang, mereka singgah sebentar di Giant untuk membeli barang-barang keperluan. Tidak tahu ke mana menghilangnya orang lain sehingga dia ditinggalkan bersama Luqman dan Uwaisy. 

“Kenapa senyum sorang-sorang tu?”


Bisikan Luqman di telinga mengejutkan lamunannya. Senyumnya sendiri semakin lebar menghiasi bibir.


“Jangan senyum! Awak pun tahu yang senyuman awak tu menggoda sangat. Tak tidur saya malam nanti.” Luqman bercanda.


Dari senyum, ia bertukar menjadi tawa halus yang lembut, yang semakin menggetarkan pendengaran Luqman.
Membuat sepasang mata semakin galak menatap wajah mulus yang semakin berseri di hadapannya. Sungguh, rasa indah yang hadir dalam hati, amat membahagiakan dirinya. Ya, Qistinalah sahaja satu-satunya wanita yang berjaya menyentuh hati dan perasaan keras yang terbina bertahun-tahun. Wanita yang bakal menyerikan hari-hari depannya. 


“Tak baik tengok orang perempuan macam gitu.” 


Kini, giliran Qistina pula mengusik. Rimas apabila sepasang mata Luqman menatap wajahnya tidak berkelip-kelip.


“Oh? Tengok yang macam mana tu?”


Qistina ketawa, sengaja mendiamkan diri. Tak mahu memanjangkan cerita.


“Saja aje saya tengok awak macam tu supaya awak pun tak boleh tidur lena. Biar kita sama-sama berjaga. Supaya nanti awak teringat dan menjadi rindu. Kan bagus? Awak rindukan saya dan saya rindukan awak,” bisik Luqman sambil tertawa kecil.


“Tak kuasa! Kalau awak nak berjaga sepanjang malam, itu hak awak. Saya nak tidur. Malaslah nak teringat-ingat pada orang tu. Bukan ada faedah pun,” balas Qistina sambil mengenyitkan mata. 


Dia kemudian bergerak meninggalkan Luqman. Dia ingin pergi ke bahagian lain. Semakin lama berada di tingkat 3, tingkat yang penuh dengan barang-barang permainan kanak-kanak, semakin banyak rengek si Uwaisy. Baru sahaja tadi, baju blaus berwarna merah hati yang Qistina pakai ditarik-tarik, tanda anak kecil itu mahukan sesuatu lagi.


Kini Uwaisy sudah didokong oleh Luqman semula. Dia sedang berusaha memujuk si comel. Qistina membiarkan sahaja kerana dia tahu, Luqman sedang berusaha untuk menolak permintaan Uwaisy secara lembut. Senyuman kembali menghiasi bibir terutama ketika lelaki kacak itu mengenyitkan mata kepadanya, tanda rajuk Uwaisy sudah terpujuk.


Telefon bimbit berbunyi.


“Di mana kau orang?” Suara ibunya, Puan Maheran kedengaran.


“Ada ni, di tingkat budak-budak.”


“Jangan belikan Uwaisy mainan lagi. Yang ada di rumah tu pun ada yang belum pun dia main.”


Nasihat si ibu membuat Qistina tersengih. Tapi, dia sengaja hendak mengenakan ibunya. 


“Alah, bakal menantu umi tu bukan nak dengar apa Tina cakap. Dia beli semua yang Uwaisy nak. Ni, dah lenguh tangan Tina pegang barang-barang, umi. Dia orang berdua tengah pilih baju pulak.”


Luqman yang mendengar segera merampas telefon daripada Qistina. 


"Tina main-mainlah, umi! Ops, mak cik. Ni, saya sedang pujuk Uwaisy yang tengah menangis kena marah dengan dia.”


Qistina menjegilkan sepasang mata. “Umi dengarlah cakap...”


Di hujung talian, Puan Maheran ketawa mengekeh. 


“Suka hati kau oranglah! Jangan lupa turun, sudah. Dah dekat maghrib ni. Jom balik!” ujarnya sebelum memutuskan talian.


“Awak...”


“Syy!” Luqman menunjukkan diri Uwaisy yang sudah lena di atas dokong.


“Laa, dia dah lena. Luqman, biar saya dukung dia. Kesian awak, tentu dah lenguh, kan?” 


Qistina cuba mengambil anaknya daripada lelaki itu.


“Sayang, Abang Luqman ni masih kuat lagi, tau. Kalau awak mintak saya dukung awak pun, insyaallah, tak ada hal punya,” usik Luqman. Dia ketawa melihat Qistina yang menjuihkan bibirnya.


“Okey! Jom kita turun. Tapi, nanti, kalau awak mengadu awak sakit pinggang...”


“Saya mintaklah awak tolong urutkan.” Luqman mencelah. Ketawanya lepas.


Qistina mengetap bibir. Semakin hari, lelaki ini semakin suka bergurau dengannya. Usikan yang mendebarkan.


Ah, lelaki. Semua sama. Bijak mempermainkan perasaan wanita. Bijak menggoda namun bila cinta mula bersemi, cinta itu akan dipermainkan, dibiarkan hanyut, layu dan terkulai. Safiy dulu pun begitu. Mungkinkah Luqman juga akan sepertinya?


“Jangan buat muka monyok macam tu. Tak cantik!"


Ah, tapi tidak Luqman. Luqman jarang memuji. Mengutuk adalah!


"Saya gurau aje tadi. Saya takkan suruh awak urut saya malam nanti. Kita belum kahwin, kan?"


"Tau pun!"


"Awak takut? Takut nak merasai semula perasaan itu, kan?"


Qistina menghimpun nafas. Dia kemudian menggelengkan kepala. 


"Saya tak tahu. Cuma awak kan lelaki? Saya rasa saya perlu jaga hati saya daripada dicuri lelaki. Takut kisah lama berulang."


"Saya nak sikit aje. Pun tak boleh?"


Qistina ketawa. "Yang sikit tu la yang lebih menyakitkan."


“Tina??”


Dari penjuru sebelah kanan, satu suara garau memanggilnya. Suatu wajah kemudian muncul di hadapan mereka. Wajah yang tidak pernah ingin dilihat lagi oleh Qistina, kini hadir semula selepas sekian lama.


“Tina??”


Dada bergetar hebat. Deru nafas menjadi semakin laju. Hati digasak rasa cemas. Otak ligat memaksa diri untuk pergi. Untuk segera meninggalkan tempat itu. Namun, mengapa masih terpaku, bagai digam sepasang kakinya ini?

Perlahan-lahan, Qistina berpaling. Wajah itu kembali direnungi. Setelah lebih 3 tahun inilah kali pertama mereka berhadapan begitu. Saling menatap wajah masing-masing dengan disaksikan oleh seorang lelaki yang nampak keliru. Namun, Luqman sudah dapat meneka bahawa inilah dia bekas suami bakal isterinya. Bekas suami Qistina.


“Apa khabar, Tina?”


Argh, kenapa lembut benar suara itu bertanya? Kenapa soalan itu membikin hati ini menjadi sebak? Mengapa sesak rasa nafas? Di manakah kemarahan yang membuak-buak dulu? Di mana?


“Tina? Kan dia tanya awak tu? Kenapa tak jawab?” 


Suara lembut Luqman membuat Qistina melontar pandangan redupnya ke arah lain. Tidak mahu lelaki itu perasan bahawa di kelopak mata, ada air jernih sedang bertakung. 



Mengapa? Mengapa masih sedih? Bukankah peristiwa itu sudah terlalu jauh berlalu bersama masa?


“Abang tak sangka jumpa Tina di sini. Tina masih macam dulu. Cantik.” Safiy memuji sambil mengukir senyum pada bibir nipisnya. Ya, ucapan itu ikhlas lahir daripada lubuk hati paling dalam. Sesungguhnya, hanya Qistina, Qistina sahaja satu-satunya wanita tercantik baginya di alam maya ini. Meski jarak waktu memisahkan mereka, ingatannya tidak pernah pudar pada wajah yang satu ini. Meski sudah menjatuhkan talak, wanita ini masih dianggap sebagai isterinya.


Gila! Ya, gila! Dia masih gilakan Qistina.


Pujian itu bagaimanapun menyedarkan Qistina kepada segala luka. Segala duka. Segala kenangan pahit itu menerpa dengan tiba-tiba. Wajah yang sedang tersenyum itu tidak sedikit pun berjaya membuat dia bahagia. Dia segera sedar bahawa di antara mereka berdua sudah tidak ada apa-apa. Ikatan sudah lama terlerai.


Hati Luqman sakit mendengar Qistina dipuji-puji. Rasa nak tumbuk orang aje! Tapi... kalau dulu, memang dialah hero! Sekarang, dia tak mahu berkasar tanpa sebab.


“Man, jom kita balik. Tiba-tiba... Tina rasa panaslah kat sini. Jom!”


Luqman tersenyum. Safiy terkedu. 

"Tina, tunggu!" Safiy menahan sambil cuba mendekati Qistina. 

“Tina...”


Pergerakannya dihalang oleh Luqman.


“Dia tak kenal awak, sebab itu dia tak nak bercakap dengan awak. Maaf ya!"


"Aku suami dialah! Dia kenal aku!" marah Safiy.


“Tina, awak kenal dia ni?" tanya Luqman. 

Qistina berhenti. "Kenal, Man. Dulu, dia suami saya. Kami dah bercerai," balasnya bersahaja.

"Tina, we have to talk. We..."

"Tak ada dah perkataan kita antara awak dengan saya, okey!"

"Tina, jangan macam ni!"

"Man, jomlah!"

"Tina, abang masih sayangkan Tina. Tahu tak yang abang cari Tina di merata-rata. Abang rindu!"

Terhenti langkah yang diatur Luqman. Rindu konon? Boleh tak kalau aku bagi penumbuk pada muka tak sudah dia? 

"Awak nak saya tumbuk dia?"


Qistina gelak. “Awak ni... garang eh? Asyik nak tumbuk orang aje!"


"He is tresspassing, la!"


"Biarkan dia. Usah dilayan. Jom kita balik. Nanti umi tertanya-tanya pulak kenapa kita lambat turun.”


“Dia tu?”


“Alah, dia boleh cakap apa aje yang dia nak. Hakikatnya, kami dah bercerai. Pedulikanlah! Sengaja nak memalukan diri sendiri. Lantak dialah!”


Dan suara itu terus-terusan memanggil nama Qistina sehingga wanita muda itu hilang daripada pandangan sepasang matanya.       

You Might Also Like

5 comments

  1. moga2 jalan utk mereka terbentang luas.... kak nak lagi....

    BalasPadam
  2. teng teng teng..
    dlm hati ada taman..

    BalasPadam
  3. Padan muka Safiy tu...harap2 Tina akan berkahwin dan kekal bahagia dengan Luqman..

    BalasPadam

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.