Langkau ke kandungan utama

MASIHKAH CINTA? 12

Sayup-sayup, kedengaran suara seseorang sedang mengaji Quran. Suara garau seorang lelaki yang masih terkial-kial mencari sebutan. Sesekali, ada suara lelaki lain mencelah, membetulkan bacaan.

“Tina?”

Qistina segera mendongak memandang wajah ibunya. Dahinya berkerut melihat wajah Maheran yang sedang tersenyum manis kepadanya.

“Amboi, bukan main tekun anak umi dengar suara Luqman mengaji, ya?” Ibunya mengusik. Usikan yang membuat Qistina membuntangkan sepasang mata. Tapi tidak disahutnya. Hanya menggeleng tanda dia malas bertekak di pagi hari. 

"Sedap suara dia. Kalau nanti dia dah pandai, mesti kamu lagi suka. Sekarang ni pun dah mendayu-dayu. Tersentuh hati kita bila mendengar, kan?" sambung Maheran lagi. 

Qistina mengiyakan di dalam hati sahaja kata-kata ibunya itu. 

"Sejak Sameon meninggal, umi tengok Man dah banyak berubah," kata ibunya lagi. 

Qistina angguk. "Dia dah janji nak berubah, umi. Nak tinggalkan zaman jahiliahnya. Nak bersihkan diri. Jadi, janji kena tepatilah!" jawabnya.  

"Bukan senang! Azam kena kuat. Kena gigih. Umi pulak yang risau tengok cara dia tu!"

"Dia nak hapuskan dosa silam dia, umi. Langkah pertama tentulah untuk buang tabiat dan ketagihan meminum minuman keras dan merokok. Cuma, Tina rasa dia terlalu memaksa diri. Dia nak berhenti minum dan berhenti merokok secara serentak. Tu yang dia nampak teruk."

Qistina teringat kisah yang berlaku 3 minggu yang lepas. Saat hati berasa kasihan melihat Luqman menahan gian. Lelaki itu gelisah ya amat. Menggigil-gigil tubuhnya dengan peluh yang membasahi tubuh. 

“Awak, kalau tak mampu nak buat sekaligus, perlahan-lahanlah. Sikit-sikit! Janganlah berhenti terus mendadak begini. Saya kasihan tengok awak macam ni,” ujarnya perlahan. 

"Tak apa, saya belum nak mati lagi." 

"Saya pun tak suruh awak mati. Saya cuma kasihankan awak."

Luqman gelak. “Tina, awak pernah perli saya dulu. Bila saya cakap yang saya minum sikit aje, awak tanya...”

"Apa? Bila?" tanya Qistina.

"Malam tu la! Malam kita jumpa kali pertama tu. Awak tanya saya... Minum sikit tak berdosa, ya? Soalan tu terngiang-ngiang di telinga saya. Berhari-hari. Setiap kali saya tuang arak dalam gelas, saya dengar..."

"Tu yang buat awak marah pada saya. Cari saya sebab nak balas dendam pada perempuan yang berani menegur awak. Tak gitu?"

Luqman sengih tayang gigi. "Mesti Meon dah cerita semua pada awak, kan?"

Qistina hanya tersenyum. Tak kuasa dia hendak mengiyakan kerana sememangnya Sameon pernah memberitahu kenapa Luqman begitu beria-ia mendekatinya. Kerana marah! Kerana sakit hati. Selama ini tidak ada yang berani menegur dan dia bebas buat apa saja. Sekali kena dengan Tina... terus Luqman sentap! Konon marah!

“Tina, saya dah bersumpah untuk tidak lagi minum air setan tu. Jugak, tidak akan merokok. Biarlah saya menderita sekarang, Tina. Mungkin inilah kifarat Tuhan untuk saya. Saya terima. Azab ini tidak setanding azab di sana nanti, kan?”

Qistina diam. Hanya merenung kosong ke hadapan. 

“Banyak dosa saya, Tina. Kalau nak dihitung...”

“Allah itu maha pengampun lagi maha mengasihani, Luqman."

"Saya tahu. Cuma..."

"Dulu, masa Safiy jatuhkan talak pada saya, saya sering tertanya-tanya apa salah yang saya dah buat pada dia. Saya tak faham mengapa dia tergamak ceraikan saya, isterinya yang setiap saat, setiap masa... Dia cakap dia cinta."

Giliran Luqman pula untuk berdiam. Mendengar luahan hati Qistina buat pertama kali. 

"Saya murung. Saya kurung diri dalam bilik. Saya hampir hilang akal. Mujur ayah dengan umi ada. Doa dia orang untuk saya Allah makbulkan dan akhirnya saya kembali kepada Dia. Dia, pemilik hati kita semua. Kita mengadu pada Dia, meminta ehsanNya. Dan, saya tenang akhirnya."

Luqman terpukau mendengar kata-kata Qistina. Pandangan tajamnya tanpa disedari membuat Qistina gelisah. Cepat-cepat Qistina meminta diri untuk ke dapur.

"Tina?"

Qistina segera tersedar. "Sori, umi. Apa umi cakap tadi?"

"Mengelamun ya?" sindir Maheran.

Qistina ketawa. 

"Kenangkan Luqman ya?"

"Tak adalah... Tina cuma risau fikirkan dia."

"Risau? Hesy, Man dah okey apa? Rasanya dia dah dapat atasi rasa gian dan ketagih arak tu! Man tu cekal, Tina. Sekalipun dia tak pernah merungut, kan?"

"Ya! Dia tahu matlamatnya, umi. Dia nekad dengan kemahuannya. Dia tabah!" 

Maheran sengih lebar. "Puji melambung nampak?"

Qistina hanya menyengih.

"Tina, umi nak cakap sikit fasal Luqman dengan kamu ni."

Bulat mata Qistina. 

"Tina, Man selalu ke sini..."

"Dah rumah baru dia depan rumah kita ni aje, umi..."

Penthouse cantik itu sudah dijual. Kata Luqman, dia nak kuburkan kenangan dia dengan Sameon di sana. Dia ingin mulakan semua dari bawah semula. Dia ingin hidup secara sederhana. Sebab itu dia beli rumah di hadapan rumah Qistina. Senang untuk dia berulang-alik belajar mengaji Quran dengan Abang Musa, di rumah ini.

"Dia suka kamu!"

Bulat mata Qistina. 

"Umi merepek apa ni? Kalau dia dengar tak ke haru?” marahnya. Sesungguhnya, Tina tidak selesa diusik-usik. Dia malu. Kalau Luqman dengar, lagilah... Ke mana nak sorok muka? 

“Haru apanya? Dia tentu suka. Alah, Tina... Jangan nak sorok dengan umi, okey. Hati Tina tu umi dah scan lama dah.”

Qistina geleng. "Umi ni ada-ada ajelah! Dah scan konon! Tak habis-habis nak serkap jarang. Umi, Tina dengan Luqman tak ada apa-apalah. Kami kawan aje."

Maheran duduk di sisi anaknya. Tangan Qistina digenggam erat. 

“Umi tahu, Tina tak bencikan Luqman lagi.”

"Tina tak bencikan dialah, umi."

“Kalau tak benci...sayanglah kut?”

Qistina ternganga. Perbuatan yang mengundang tawa besar Maheran.

“Umi ni cakap biarlah beralas sikit.” 

Qistina semakin tidak selesa.

Maheran menepuk-nepuk tangan anaknya. 

“Apa kata, kalau Tina ajak Luqman kahwin?” soalnya.

Qistina terus terbangun. Tegak macam patung memandang wajah ibunya dengan geram.

“Umi...”

Maheran tidak peduli. Tubuh Qistina ditarik sehingga wanita itu terus terduduk semula. 

“Mana anak kamu si Uwaisy tu sekarang?” tanya dia.

Perlahan-lahan, Tina menunjuk ke arah satu bilik. Dari situlah tadi suara orang yang mengaji itu kedengaran.

“Apa Uwaisy buat kat dalam tu?"

Qistina angkat bahu sebab dia tak tahu. 

"Apa Uwaisy panggil Luqman, Tina?"

Hati Qistina berdebar. Perbincangan dah masuk zon bahaya. Ah, sudah! 

"Babah, Tina! Jangan buat-buat tak tahu."

Qistina pura-pura belek jari. Hati duk merayu agar Maheran berhenti bercakap tentang Luqman.

Si ibu tak puas hati. Qistina dicubit.

"Adoi, sakitlah umi!" Qistina terjerit halus. 

"Hubungan Uwaisy dengan Luqman dah makin rapat. Uwaisy sayang sangat pada Luqman. Luqman pun umi tengok manjakan sangat si Uwaisy tu. Apa salahnya kalau kamu ajak Luqman kahwin? Umi tahu, dia dah berubah. Kamu pun tahu, dia boleh jadi suami yang baik.” 

"Umi, boleh tak kalau umi ubah topik?"

"Kalau kamu takut sebab dulu si Luqman ni 'nakal', mari umi bagi tahu..."

"Apa?"

“Abang Musa kamu pergi temankan dia check kesihatan dengan darah di KPJ hari tu."

"So?"

"Doktor dah sahkan yang Man tak ada penyakit. Bersih! Clear. No Aids, no syphilis, nothing. He is clean, Tina.”

Qistina ketawa dengan gelagat ibunya. Cukup diselidiki segala-gala. Hai...

“Tina, kamu dah lupakan Safiy, kan?”

Sebaik nama itu disebut oleh ibunya, senyuman di bibir terus pudar. 

"Kenapalah umi sebut nama dia? Potong betul!" marahnya.

"Umi tahu kamu dah lupakan dia. Kata Sya, kau orang ada nampak Safiy di Mid Valley hari Ahad lepas, kan?"

"Ada."

"Dia dengan perempuan muda, kan? Peluk-peluk, cium-cium depan orang, betul?"

"Pandai Sya buat cerita, ya?" marah Qistina. 

"Apa kamu rasa masa kamu nampak dia, Tina?"

"Nak rasa apa, umi? Kami dah bercerai pun!"

"Tak cemburu tengok dia pegang, peluk perempuan lain?"

Qistina ketawa. "Umi, soal siasat apa ni? Tina dah cakap apa Tina rasa. Tengok dia macam tengok lelaki lain aje. Rama-rama tak ada dalam perut ni dah. Tak menggelupur macam dulu!"

Maheran ketawa geli hati. "Tu mesti sebab rama-rama dah asyik masyuk dan gempaq bila tengok Luqman, kan?"

"Umi ni la... Makin Tina layan?"

“Tina?”

Tina mendongak dan terus menggeleng laju. 

“Safiy dah jadi sejarah, umi. Tapi itu tak bermakna yang Tina...” 

“Kamu perlukan Luqman.”

“Umi? Jangan mengarut la! Tak adanya dia hendakkan Tina, janda anak sorang ni.”

Maheran tersengih. Kata-kata Tina tadi membuat dia semakin nekad meneruskan misi.

“Kamu serahkan aje pada umi, ya. Tahulah umi macam mana nak buat. Dah, usah risau sangat. Umi bukan nak paksa Luqman terima kamu. Dia tak perlu dipaksa pun.”  

“Yalah! Umi dah X-ray hati dia, kan?” usik Qistina.

"Tahu pun!"

Qistina tergeleng-geleng. 

“Umi, anak umi ni mampu hidup sorang-sorang lagi, tau. Cuma, sesekali, memanglah sepi dan rindukan... Tapi, Tina selalu mintak pada Tuhan agar Tuhan berikan Tina suami kedua yang jauh lebih baik daripada Safiy. Tina nak sebuah rumah tangga yang bukan saja bahagia tapi jujur. Gembira dan ikhlas. Kalau umi rasa Luqman boleh gantikan Safiy, Tina akan ikut cakap umi. Tina akan terima Luqman, umi.”

Maheran lantas memeluk tubuh Qistina erat-erat. Dalam hati, dia merasakan bahawa pilihannya tepat. Luqman yang sudah berhijrah ini mampu membahagiakan semula anaknya. Menceriakan hidup Qistina dan cucunya, Uwaisy.

Ya, tidak sabar untuk mendengar keputusan Luqman pula.

Ulasan

  1. kesian kat Sameon...
    Luqman ni baran sangat...kata nak berubah....

    akak x sabar nak tunggu n3 baru...kenapa kat Sameon...dia sakit teruk ke...kenapa Qistina kata dia perlu rawatan segera...apa hubungan Sameon dengan Qistina...berdebarlah

    BalasPadam
  2. aduiii ... mesti sameon ni ada penyakit berbahaya tu pasal dia byk kali nasihatkan si lukhman sblm ni..
    tp si lukhman ni salah paham plak.. x pasal2 makn penumbuk member tu..

    kak nk lagi...

    BalasPadam
  3. @seed169
    jap ek... nnt kak sofi sambung

    BalasPadam
  4. ei..
    pela nak jadi ngan luqman ni

    BalasPadam

Catat Ulasan

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.

Catatan popular daripada blog ini

Cerpen: Dia Idaman Jiwa

1
“Hi, boleh aku duduk kat sini?”

Aliah mendongak. Demi terpandang sahaja wajah itu, air mukanya terus berubah. Riak tidak senang ditunjukkan kepada lelaki itu.

“Cepatlah jawab! Senang aje soalan aku tu. Boleh, jawablah boleh...”

“Kalau saya jawab tak boleh?”

Abid terus menarik kerusi yang bertentangan dengan gadis itu.

“Aku tetap duduk sini jugak.” Balasnya sambil tersengih-sengih.

“Macam tak ada tempat lain!”

“Banyak! Sana kosong. Tu, di belakang kau tu pun kosong. Tapi, aku saja aje nak duduk depan kau. Dah sebulan aku cari kau tapi tak jumpa-jumpa. Alhamdulillah, hari ini dapat juga. Kau apa khabar? Sihat?”

Aliah tidak menyahut. Sebaliknya, dia terus menyuap dan kali ini suapannya sengaja dilajukan, tidak lagi menikmati nasi campur yang dimakan. Ketika itu, dia hanya berkeinginan untuk cepat-cepat menyudahkan makan tengah harinya supaya dia dapat pergi dari situ dengan segera. Dia tidak mahu mengadap muka lelaki yang kini sedang berada di hadapannya walau sehebat, sekacak mana se…

Yang Terakhir: Versi Cerpen

1
“Kau dah habis fikir ke, Khairi? Perempuan macam Najiha tu kau nak bawak ke majlis Annual Dinner kita? Tak malu ke nanti bila orang gelakkan kau?” tanya Hafiz sambil mengerutkan dahi. Dia keliru dengan sikap Khairi Iqbal. Rasanya, selama mereka berkawan, belum pernah walau sekali pun, Khairi memuji gadis yang seorang itu. Gadis yang bernama Izzatul Najiha. Tup tup, hari ini, dia buat keputusan hendak menjadikan Najiha pasangannya semasa majlis kemuncak nanti. Hisy, pelik betul!
“Malu, memanglah aku malu! Tapi aku cuma nak gunakan dia saja. Nak buat Amalina cemburu.” Balas Khairi sambil menyisip air lemon perlahan. Sejuk rasa kerongkongnya bila air itu menerobos masuk ke dalam rongga.
Mata Hafiz buntang. Kepala tergeleng-geleng.
“Kenyataan kau tu lagi buat aku tak faham! Kalau kau nak buat Amalina cemburu, kau patut bawak perempuan lain. Bukan si Najiha yang macam hantu bungkus tu!”
Terlambak tawa Khairi Iqbal mendengar kata-kata sahabat baiknya itu. Hantu bungkus? Si Najiha tu?…

Inikah Cinta? : Versi Cerpen

1

"Ouch!"

Cepat-cepat Janet menghisap jari telunjuk yang terhiris tadi. Setelah kesakitan itu hilang, dia segera membasuh jari itu. Dia kemudian mengelap lalu membalut luka dengan plaster.

"Sakit? Itulah pasal. Mak Nah dah cakap, biar mak Nah aje yang buat tapi Janet degil sangat. Hendak jugak main-main pisau," sindir orang gajinya menyebabkan Janet ketawa besar.

"Inilah yang orang cakap, luka di tangan nampak berdarah. Luka di hati tak siapa tahu. Kan, mak Nah?"

Mak Nah melepaskan keluhan sebelum mencuri pandang ke arah wajah ayu di sisinya yang kini sedang tunduk dan berpaling ke arah lain. Hati mak Nah kini turut melagukan irama sedih yang pasti sedang berdendang dalam hati Janet. Biarpun sudah lama ia berlalu, pasti kenangan itu hadir kembali sebaik rangkap pepatah itu diungkap. Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula kisah cinta penuh keindahan. Ke mana hendak dicampakkan?

"Dah enam tahun... dia tentu dah lupakan saya. Tentu dah kahwin…