Langkau ke kandungan utama

MASIHKAH CINTA? 11

Atas permintaan Sameon, dia dibawa balik ke rumah oleh Luqman. Luqman sendiri telah mengupah seorang jururawat lelaki untuk menguruskan kawan baiknya itu disamping menjaga kebersihan Sameon yang sentiasa ingin dirinya di dalam wuduk.

Dalam diam, Luqman mengkagumi Meon kerana walau sedang tenat, Sameon berusaha untuk bersembahyang sambil berbaring. Luqman dapat melihat titis air mata yang keluar setiap kali rakan baiknya itu bersolat. Dia tahu, Meon sudah benar-benar bertaubat. Dia tahu, Meon sudah benar-benar menyesali segala keterlanjuran dulu. 

Kini baru dia teringat pada perubahan sikap Meon beberapa bulan kebelakangan. Patutlah lelaki itu tidak lagi mahu mengikutnya pergi ke kelab malam. Patutlah lelaki itu sering mengurung diri di dalam biliknya. Malah, Meon juga sering keluar sorang-sorang meninggalkan dirinya setiap hujung minggu. Hanya dia yang tidak tahu. Dia yang tidak mengerti. Sangkanya, Meon sengaja ingin menyakitkan hatinya. Dia fikir, Meon sengaja hendak tunjuk alim.

Kesalnya dia mengenangi keceluparan dulu. Mengenangi kebiadapan bila Sameon menegur kesilapan. Arghh, kenapa dia sebegini alpa? Kenapa dia tidak pernah sedar? Kenapa? Kenapa?

“Man, kau jaga diri kau baik-baik bila aku dah tak ada nanti. Buat pemeriksaan kesihatan, ya!” bisik Sameon di pagi Rabu yang hening. Dia kelihatan sedikit bertenaga.

Luqman hanya mampu mengangguk.

“Man, tinggalkan semua perkara mungkar tu, ya! Jangan minum dah! Jangan....” Sameon terbatuk-batuk kecil, menghilangkan apa yang ingin dikatakan.

“Dahlah tu. Toksah cakap banyak sangat, kau tu semput.” Luqman meminta sambil mengurut dada rakannya.

Hampir 5 minit barulah Sameon dapat bercakap semula.

“Aku nak cakap jugak. Takut nanti, aku dah tak sempat...” 

Lemah suara beralun keluar.


Luqman melihat wajah yang kurus di hadapannya. Sebak rasa hati. Sesak rasa nafas menahan sebak itu.


“Man, aku takut...”


Luqman segera memegang jemari Sameon. Digenggam erat-erat, seolah-olah memberi kekuatan agar ketakutan Sameon hilang menjauh.


“Man, kalau Tuhan tak terima taubat aku, macam mana, Man? Aku tak nak masuk neraka, Man. Aku takut diazab dalam kubur nanti. Aku takut mati dalam keadaan tak bersedia ni, Man. Aku takut!!!”


Luqman tidak tahu bagaimana hendak menenangkan Sameon. Dia tidak punya ayat-ayat yang baik untuk dirangka. Baru dia menyedari betapa cetek akalnya. Betapa kurang pengetahuan agamanya. Betapa dia tidak mampu memberi kekuatan kepada Sameon! Dengkel sungguh akhlaknya! Ya Allah!!


“Man, kau tolonglah mengaji untuk aku! Dulu masa kita kecil, kau selalu baca Quran. Suara kau sedap! Mersik! Kau ngajilah... bagi aku dengar!” pinta Sameon tiba-tiba.

Permintaan yang membuat Luqman tersentap. Permintaan yang membuat Luqman terhenyak. Membuat Luqman tidak tidur memikirkan!


Luqman menangis saat ingin mengambil air sembahyang. Dia mengadap saja air yang meleleh keluar daripada paip tanpa berbuat sewajarnya. Tiba-tiba sahaja dia jadi kaku.


“Kenapa, Tuhan? Kenapa aku lupa? Aku tak ingat apa yang mesti kubuat dulu! Owhhh....”


Akhirnya dia tewas. Dia terduduk di tepi sinki. Dia menangis teresak-esak di situ. Dia malu. Dia marah. Dia kesal. Dia sedih kerana dia tidak memiliki semua kebolehan yang Sameon nyatakan. Kini, untuk mengambil air sembahyangpun, dia sudah tidak tahu bagaimana. Yang mana patut didahulukan? Yang manakah perbuatan yang wajib? Yang manakah sunat? Apakah yang harus dibaca? Niatnya?


Dia sudah lupa! Dia sudah lupa!


“Encik Luqman? Encik Luqman!”


Pintu biliknya diketuk bertalu-talu oleh jururawat bernama Aiman itu. 


Luqman segera bangun. Segera mengelap pipinya yang basah lalu memercikkan air ke wajah agar kelihatan seperti baru mencuci muka. Laju-laju, dia ke pintu.


“Ada apa?” tanya dia. 


“Encik ada tamu. Qistina, keluarga dan kawan-kawannya dah sampai.” Aiman memberitahu.


Luqman membiarkan Aiman meninggalkannya untuk bergegas semula memasuki bilik Sameon. Dia segera menutup pintu bilik dan perlahan-lahan melangkah turun. 


Penthouse miliknya ini berkeluasan 1769 kaki persegi. Di sebelah atas, terletak bilik dia dan Sameon. Di bawah, ada dua bilik lain. Dalam setiap bilik dilengkapi bilik air. Kemasan lantai oleh kayu jati. Di sekeliling, cermin memenuhi ruang menampakkannya lebih luas.


Qistina memerhati diri Luqman yang longlai. Kelihatan amat tidak bermaya. Kekuatan dan kegagahannya bagaikan hilang. Rasa kasihan pula hadir tiba-tiba namun segera ditepis.


“Dah lama sampai?” tanya pemuda itu.


Qayyum segera menyambut tangan yang Luqman hulurkan. Begitu juga Abang Musa.


“Baru aje. Abang Meon macam mana? Ada perubahan?” tanya Qistina.


Luqman menggeleng.


“Sabar, ya Man. Insya-Allah, tak lama lagi baiklah tu,” pujuk Maheran pula.


“Terima kasih sebab sudi datang jenguk, mak cik, pak cik, Abang Musa, semua...” bisik Luqman perlahan.

Kesayuan tadi kini terbawa-bawa dalam alun suara yang terlontar.


“Terima kasih pada kamu sebab sudi benarkan kami naik menjenguk masuk penthouse secantik dan sebesar ini, Man. Kalau tidak, tak merasalah kami. Tak sangka, kat atas menara macam ni keadaannya sangat cantik. Semalam, tak perasan pulak pada hiasan dalamannya. Kamu ke yang design rumah ni, Man?”


Sengaja Maheran mengalihkan perhatian dan kesedihan Luqman. Dia kasihan melihatnya. Berbeza benar keadaan Luqman yang ini berbanding Luqman yang datang menghadiahkan kereta kepada Qistina dulu. Keceriaan di wajah sudah hilang lenyap. Begitu terkesannya Luqman dengan kesakitan yang sedang menimpa Sameon.


“Iyalah Kak Ran. Siapa lagi? Rumah arkitek, tentulah arkitek yang reka, kan?” Kak Raihah mencelah, sengaja ingin bercanda.

“Biasa aje, mak cik, Kak Raihah. Dulu, kami beli dan bayar sama-sama. Meon serahkan pada saya untuk tata rias rumah ni. Dia kata, dia jurutera, tak pandai menghias,” balas Luqman perlahan. 


Kenangan dulu terimbau seketika. Saat betapa mereka teruja ketika membeli rumah ini dahulu. Sanggup berhabis seorang RM750, 000 semata-mata untuk memiliki keindahan panorama waktu malam yang mengadap KLCC. Tapi, kini? 


Dia akan keseorangan. Dia akan bersendirian dalam rumah ini. Sameon akan pergi bersama-sama kenangan...


Melihat Luqman yang tenggelam dalam duka, Qistina segera memberi isyarat mata kepada ayahnya, meminta agar lelaki itu mula bangun untuk menjenguk Sameon.


“Jomlah kita masuk tengok Meon. Boleh juga mengaji ke, baca Yaasin ke...” Si ayah yang faham, terus mengajak. 


“Ya tak ya jugak. Jom!” Abang Musa menyahut.


Masing-masing bangun. Sudah bersedia untuk ke tandas di sebelah luar, berhampiran dapur, untuk mengambil wuduk. Lagipun, sekejap lagi akan masuk waktu Maghrib. Sudah sewajarnyalah, mereka berjemaah bersama-sama. Nanti, selepas solat bolehlah bertahlil.


“Tina...”


Panggilan kudus itu menghentikan langkah si gadis. Dia segera memandang wajah Luqman. Ingin mengetahui apa mahunya. Melihat lelaki itu yang masih duduk, Qistina mengambil tempat dan duduk di hadapan lelaki itu.


“Kenapa dengan awak ni?” soalnya bila lama Luqman hanya tunduk menekur merenung lantai. Tidak langsung panggung kepala untuk memandang wajahnya. Apa lagi untuk mengeluarkan suara.


“Saya dah lupa...”


Qistina terpana. Lelaki ini menangis? Luqman menangis? Tapi mengapa? Apa yang dia dah lupa? Dan kenapa perlu menangis hanya kerana terlupa? Dahinya berkerut, tanda tidak memahami perlakuan Luqman kini.


Luqman sudah tidak peduli. Rasa malu dibuang jauh. Dia dihantui rasa kesal. Dia dihantui rasa bersalah. Ya, dia bersalah jika tidak mampu hendak membaca ayat-ayat suci al Quran seperti yang diminta oleh Sameon. Dia akan terkilan sekiranya dia tidak dapat membaca surah Yaasin untuk sahabat baiknya itu. Dia pasti akan menyesal seumur hidup jika tidak dapat menghadiahkan al Fatihah.


Dengan sepasang mata yang berkaca, Luqman merenung wajah Qistina. Renungan penuh kesalan, penuh kecundang.


“Saya dah lupa semuanya, Tina. Nak ambil air sembahyang, saya tak tahu. Yang mana dulu, yang mana kemudian? Niat wuduk pun saya tak reti nak baca.” 


Air mata kesalan laju menuruni pipi. Dia tidak malu menangis di hadapan wanita ini. Kerana sesungguhnya, kini, dia lebih malu kepada Allah. Sudah terlalu lama dia ‘hilang’. Sudah terlalu lama dia ‘hanyut’. Kini, dia takut! Tersangat takut! Takut dia tidak berpeluang untuk ‘pulang’. Takut dia tidak berpeluang untuk ‘kembali’ kerana dia tidak sebertuah Sameon, yang terlebih dahulu menemui cahaya keinsafan itu.


“Meon mintak saya mengaji untuk dia. Tapi, saya tahu saya tak boleh! Saya tahu, saya tak mampu. Bila tadi, saya lupa semuanya, saya jadi takut. Saya sedih. Saya tak dapat tunaikan permintaan Meon, Tina. Saya tak boleh...”


Noor Qistina mengelap matanya yang basah. Kesedihannya jelas bila mendengar kata-kata Luqman tadi. Rasa simpati menular dalam diri. Namun rasa syukur mengatasi semua rasa itu. Ya, dia dapat merasai bahawa Luqman ingin kembali, ingin mencari diri, ingin mencari Tuhan yang satu.


“Luqman, saya percaya, kalau awak nak, awak boleh ingat semuanya semula.”


“Tak! Saya tak boleh!"


"Luqman..."


"Saya tahu, Tuhan benci saya! Saya jahat! Saya kotor! Saya dah buat semua benda yang ditegah agama, Tina. Saya kuat minum. Saya tidur dengan perempuan-perempuan tu semua. Saya...”


“Awak dah insaf atau tidak?”


“Hah?” 


Ternganga mulut Luqman mendengar soalan keras itu.


“Awak tanya diri awak, Luqman. Awak dah insaf ke? Awak dah sedar ke? Awak ingin bertaubat? Tanya lagi, ni awak menangis ni kerana awak menyesal ke? Atau marah? Atau geram? Kalau marah, kenapa awak marah? Awak marah pada siapa? Kalau geram, awak geramkan apa sebenarnya?” 


Kekeliruan pada seraut wajah itu tidak dipedulikan apabila Qistina terus menyambung kata. 


“Hanya awak yang tahu apa yang ada dalam hati awak, Luqman. Hanya awak yang boleh jawab semua soalan-soalan tu. Bila awak dah temui jawapannya, barulah awak akan temui cara untuk menyelesaikannya.”


Qistina segera berpaling sehabis cakap. Biarlah Luqman fikirkan maksud yang dia ingin sampaikan. Biarlah Luqman menilai sendiri kemahuan akalnya. Dan, biarlah Luqman sendiri yang meminta dirinya dipandu. Keinsafan yang lahir dalam hati, berteraskan taubat nasuha, boleh merangsang iman. Kalau sekadar cakap dan merintih, siapa-siapapun boleh.


“Tina, tolong saya. Tolong bawak saya balik. Saya nak berubah. Saya nak bertaubat. Saya nak jadi orang baik. Saya nak tinggalkan semua kejahatan. Bantulah saya supaya hati saya yang hitam ini jadi putih semula. Saya takut! Saya takut saya tak bernasib baik macam Meon. Dia sempat berubah dan bertaubat. Dia sempat jadi baik. Tapi, saya? Kalau jadi apa-apa pada saya sekarang? Lagi pula, saya teringin nak baca surah Yaasin di sisi Meon. Saya nak dia dengar suara saya macam dulu. Saya akan menyesal kalau saya tak dapat tunaikan permintaannya. Saya pasti akan menyesal... Tolonglah saya! Tolonglah saya, Tina!”

Tuhanku dalam termangu
Kusebut namaMu
Biar susah sungguh
Mengingatkan kau penuh seluruh

Tuhanku cahayaMu
Panas suci
Bagai kerdip lilin
Di kelam sunyi

Tuhanku aku hilang bentuk
Kembara di negeri asing
Tuhanku pintumu ku ketuk
Aku tak bisa berpaling

ni lagu doa nyanyian Zubir Ali tu. http://youtu.be/m7JXX2euxqE

Ulasan

  1. hehehe...Luqman x nak mengaku ye...
    jgn menyesal bila sudah terlambat...
    nanti diambil orang...
    jangan kerana marahkan seseorang semua perempuan dianggap sama....
    akak nak lagi

    BalasPadam
  2. hehehehe ...akhirnya.. sangkut jugak abg lukhman dgn tina..
    tu la niat jhat lagi kn dah terkena..

    BalasPadam
  3. pdn muka lukman...
    dah jtuh cnta kat tina...

    BalasPadam

Catat Ulasan

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.

Catatan popular daripada blog ini

Cerpen: Dia Idaman Jiwa

1
“Hi, boleh aku duduk kat sini?”

Aliah mendongak. Demi terpandang sahaja wajah itu, air mukanya terus berubah. Riak tidak senang ditunjukkan kepada lelaki itu.

“Cepatlah jawab! Senang aje soalan aku tu. Boleh, jawablah boleh...”

“Kalau saya jawab tak boleh?”

Abid terus menarik kerusi yang bertentangan dengan gadis itu.

“Aku tetap duduk sini jugak.” Balasnya sambil tersengih-sengih.

“Macam tak ada tempat lain!”

“Banyak! Sana kosong. Tu, di belakang kau tu pun kosong. Tapi, aku saja aje nak duduk depan kau. Dah sebulan aku cari kau tapi tak jumpa-jumpa. Alhamdulillah, hari ini dapat juga. Kau apa khabar? Sihat?”

Aliah tidak menyahut. Sebaliknya, dia terus menyuap dan kali ini suapannya sengaja dilajukan, tidak lagi menikmati nasi campur yang dimakan. Ketika itu, dia hanya berkeinginan untuk cepat-cepat menyudahkan makan tengah harinya supaya dia dapat pergi dari situ dengan segera. Dia tidak mahu mengadap muka lelaki yang kini sedang berada di hadapannya walau sehebat, sekacak mana se…

Yang Terakhir: Versi Cerpen

1
“Kau dah habis fikir ke, Khairi? Perempuan macam Najiha tu kau nak bawak ke majlis Annual Dinner kita? Tak malu ke nanti bila orang gelakkan kau?” tanya Hafiz sambil mengerutkan dahi. Dia keliru dengan sikap Khairi Iqbal. Rasanya, selama mereka berkawan, belum pernah walau sekali pun, Khairi memuji gadis yang seorang itu. Gadis yang bernama Izzatul Najiha. Tup tup, hari ini, dia buat keputusan hendak menjadikan Najiha pasangannya semasa majlis kemuncak nanti. Hisy, pelik betul!
“Malu, memanglah aku malu! Tapi aku cuma nak gunakan dia saja. Nak buat Amalina cemburu.” Balas Khairi sambil menyisip air lemon perlahan. Sejuk rasa kerongkongnya bila air itu menerobos masuk ke dalam rongga.
Mata Hafiz buntang. Kepala tergeleng-geleng.
“Kenyataan kau tu lagi buat aku tak faham! Kalau kau nak buat Amalina cemburu, kau patut bawak perempuan lain. Bukan si Najiha yang macam hantu bungkus tu!”
Terlambak tawa Khairi Iqbal mendengar kata-kata sahabat baiknya itu. Hantu bungkus? Si Najiha tu?…

Inikah Cinta? : Versi Cerpen

1

"Ouch!"

Cepat-cepat Janet menghisap jari telunjuk yang terhiris tadi. Setelah kesakitan itu hilang, dia segera membasuh jari itu. Dia kemudian mengelap lalu membalut luka dengan plaster.

"Sakit? Itulah pasal. Mak Nah dah cakap, biar mak Nah aje yang buat tapi Janet degil sangat. Hendak jugak main-main pisau," sindir orang gajinya menyebabkan Janet ketawa besar.

"Inilah yang orang cakap, luka di tangan nampak berdarah. Luka di hati tak siapa tahu. Kan, mak Nah?"

Mak Nah melepaskan keluhan sebelum mencuri pandang ke arah wajah ayu di sisinya yang kini sedang tunduk dan berpaling ke arah lain. Hati mak Nah kini turut melagukan irama sedih yang pasti sedang berdendang dalam hati Janet. Biarpun sudah lama ia berlalu, pasti kenangan itu hadir kembali sebaik rangkap pepatah itu diungkap. Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula kisah cinta penuh keindahan. Ke mana hendak dicampakkan?

"Dah enam tahun... dia tentu dah lupakan saya. Tentu dah kahwin…