apa yang nampak, apa yang rasa, apa yang dengar

29.1.11

cintaku dimukabuku 3

3  
Sudah sebulan peristiwa itu berlalu namun renungan sepasang mata itu sentiasa di ingatan. Wajah tampan itu tidak dapat dilupakan. Suara garau itu masih terdengar-dengar. Dia tahu dia sudah gila bayang. Pertemuan pertama dan yang sekali itu sungguh-sungguh memberi kesan kepada dirinya. Dia sudah diserang penyakit angau!

“Tak habis-habis dengan termenung. Duduk sini, menung. Duduk sana, menung! Apa yang kamu dapat dengan buat macam tu?”

Aisyah menggosok-gosok bahu yang baru ditepuk dengan kuat oleh ibunya, Puan Badariah.

“Sakitlah, mak!” marahnya.

“Aik, orang yang tengah angau pun boleh rasa sakit?” Badariah bertanya dalam tawa yang kuat. Kali ini, dia melihat Aisyah menjeling pula. “Hah, jeling! Nanti juling biji mata tu!”

Aisyah menjuihkan bibir mungilnya. Sejak sebulan, ibunya asyik menyindir dia dan memberi gelaran ‘mak sanggup’ kepadanya. Ibunya juga sentiasa mengungkit peristiwa pada malam itu. Iyalah, kan... dari restoran, Aisyah terus balik ke rumah keluarganya di Kg Bahagia. Mahu tidak mahu, dia terpaksalah menceritakan apakah yang telah berlaku sehingga dia terpaksa balik menaiki teksi (melanggar arahan ayahnya yang tidak pernah membenarkan dia menaiki kenderaan awam itu!). Lagipula, ketika dia sampai, jam menunjukkan pukul 10 malam. Ayahnya memang pantang kalau anak-anak balik lewat apalagi kalau anak itu ialah anak dara. Berasap kepalanya! Semakin bertambah angin satu badan bila mendengar cerita Aisyah. Langsung Aisyah disuruh pindah balik dan duduk di rumah. Yang pasti, bila ayahnya, Muhamad mengamuk, tidak ada kompromilah jawabnya. Hitam tetap hitam takkan boleh menjadi putih!

Aisyah menghampiri ibunya. Duduk di bawah, memeluk lutut ibunya sambil mendongak. 

“Mak, sampai bila ayah nak hukum Syah?” tanya dia.

Badariah mengusap rambut anaknya, satu-satunya anak perempuan dalam keluarga. Anak bongsu pula tu. Lurus bendul sifatnya sebab itu mudah sahaja dipermainkan orang.

“Syah nak kerjalah, mak. Bosan tau duduk rumah aje. Mimi cakap, ada...”

“Kamu masih kawan dengan budak Mimi tu, Syah? Dia dah mainkan kamu, jaja gambar kamu di mukabuku tu, kamu masih berbaik dengan dia lagi? Kamu ni memang nak kena cubit!”

Aisyah menjerit-jerit kesakitan bila ketam emaknya menyepit seluruh lengan dan paha. Tapi, sempat juga dia membalas, “Mak! Mak juga cakap, mana boleh orang Islam putuskan silaturrahim! Mimi kan kawan Syah, jadi kawan tetaplah kawan. Takkan nak jadi musuh pulak!”

Badariah menggeleng-gelengkan kepala. Dipiatnya telinga si Aisyah. Geram betul mendengar Aisyah menjawab.

“Kawan yang baik, takkan buat apa yang Mimi buat, Syah.”

“Alah, kenapa pulak? Dia cuma letak gambar Syah aje. Bukannya dia buat yang tak senonoh pada gambar Syah tu!” balas si anak tak puas hati.

“Apapun, dia tak boleh buat begitu! Salah tu! Dia yang hendak bercinta, berpakwe. Gunalah gambar sendiri, buat apa nak guna kamu punya? Dah tu, kenapa pulak dia suruh kamu pergi jumpa dak jantan tu? Bukannya dia kenal budak tu! Syah, nasib baik si .... siapa namanya?”

“Alif!”

“Hah, Alif! Nasib baik si Alif tu tak sempat buat apa-apa pada kamu, Syah. Kalau dia tu orang jahat, kalau dia masukkan dadah dalam minuman kamu, lepas tu dia bawak kamu lari entah ke mana-mana, dia dagangkan tubuh kamu, macam mana tu?”

Aisyah tersentak. Lama wajah ibunya ditatap. Mendengar kata-kata ibunya itu, hati tersentap. Perlahan-lahan kepala diangguk-anggukkan tanda setuju. Ya, dia amat bernasib baik pada malam itu. Dia tidak menurut perasaan sangat! Dia ikut kata akal yang menyuruh dia berterus terang dan balik ke rumah. Nasib baik! Kalau tidak?? Mungkin dia dah mati sekarang kot! Nauzubillah.

“Bukan main berani kamu malam tu, ya? Inilah.. kebanyakan anak dara sekarang terkena, terjerat dengan lelaki sebab diorang bodoh macam kamu nilah! Cakap cinta dalam komputer, terus percaya. Tak fikir panjang lagi dah! Tak fikir tentang bahaya yang menanti. Syah, Syah! Kalau ya pun kamu sayangkan si Mimi tu, janganlah ikut semua yang dia cakap tanpa berfikir. Dia nak kenakan kamu pun kamu tak faham. Adui, bilalah kamu ni nak matang Syah oi!”

Mimi tidak berani datang ke rumah jadi mereka hanya berhubung melalui sms. Kata Mimi, Alif pernah datang ke rumah sewa mereka. Malah, Alif pernah mengajak Mimi keluar bersama-sama. Bukan sekali malah sudah berkali-kali. Nampaknya, mereka memang berjodoh. Mimi memberitahu bahawa dia menyesal menyuruh Aisyah menyamar dulu. Katanya lagi, nasib baik Alif berusaha mencarinya, dapatlah dia melihat lelaki itu dengan mata kepalanya sendiri dan dia tentunya merasa amat bertuah kerana Alif mempunyai ciri-ciri lelaki idamannya.

Aisyah mengeluh. Buang karan aje dia menyamar menjadi Hamimah Hamid dahulu, sudahnya Alif dan Mimi bercinta juga. Mimi, Mimi! Menyusahkan aku betul! Kerana kau, Mi, aku dah kena kuarantin dengan ayah. Langsung tak boleh keluar. Hmm....

4 ulasan:

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.