apa yang nampak, apa yang rasa, apa yang dengar

29.1.11

cintaku dimukabuku 2

2
Aisyah mengelap peluh dingin di dahi. Dia masih berdiri tegak di tempat di mana dia turun daripada motosikal Yamaha si Hamimah tadi. Dia belum mampu melangkah. Masih menarik dan menghembuskan nafas untuk menenangkan diri.

“Hisy, kenapalah aku sanggup buat kerja gila ni? Kenapalah aku mesti ikut cakap Mimi? Nanti, bukannya senang nak berlakon jadi orang lain sedangkan mak cakap, kita mesti sentiasa jadi diri kita sendiri. Mak cakap, kita mesti cakap benar, walaupun apa yang kita cakap tu sesuatu yang boleh merosakkan diri. Aduiii.... belum apa-apa aku dah sakit kepala. Bencilah Mimi ni!” mata merenung jarum jam. “Alamak dah lewat 10 minit. Baik aku masuk ke dalam, sekarang.”

Menurut perjanjian mereka, kata Hamimah, Alif akan menunggu dirinya di dalam restoran Seri Bayu ini. Jadi tentu lelaki itu sudahpun sampai, fikir Aisyah sambil sepasang mata memerhati deretan kereta di hadapannya. Alah, dia tu kan mat dispatch aje, mana mampu beli kereta. Tambah-tambah kalau kereta ini.... detik hati yang nakal sambil menggosok-gosok badan kereta Volkswagen Polo berwarna merah di sisinya. Dia mengintai-intai ke dalam kereta itu., mengkagumi keselesaan yang terlihat.

“Entah bilalah nak merasa naik kereta hebat sebegini?” detik hatinya penuh rasa kagum. “Babai...kereta, cakap pada tuan kau, dia bertuah dan mesti jaga kau baik-baik, okey!”

Di hadapan pintu, sepasang mata mencari lelaki bernama Alif yang tidak dikenali. Hati tetap mengutuk kerana dia tahu bahawa lelaki itu pasti camkan dirinya sedangkan dia? Atau Mimi? Bodohlah Mimi, marahnya. Gambar aku dia tunjuk, gambar lelaki tu dia tak mintak, bebal punya sahabat!

“Hai! Cik Hamimah Hamid? Saya, Alif. Alif Fizwan bin Sharifudin.”

Aisyah berpaling mencari suara lelaki yang betul-betul berada di belakangnya. Rambutnya yang panjang itu turut beralun bagaikan iklan syampu Sunsilk.    

Tidak berkelip-kelip sepasang mata merenung. Rasa macam bermimpi pula. Nak bersuarapun, tidak boleh dilakukannya. Memang terkejut melihat lelaki ini.

“Saya tak salah orang, kan? Awak ni.... Mimi?”

‘Awak tak salah orang, Alif, tapi saya ni yang dah silap. Tadi, Mimi cakap Alif mestilah datang pakai selipar, baju T yang kumal, dengan seluar jeans yang koyak. Tapi, kenapa pulak semua tu tak betul? Yang awak ‘smart’ sangat, kenapa? Betul ke awak orang biasa aje ni?’ bisik di dalam hati.

Aisyah tidak bersedia bertemu dengan seorang yang begini berlainan daripada andaiannya. Cahaya lampu yang suram tidak mampu menafikan ketampanan wajah yang kini sedang mengukir senyum kepadanya.

“Janganlah terkejut sangat! Nak jumpa awak, saya kenalah kemaskan diri saya ni. Kalau pakai baju T yang dah lusuh atau kalau saya pakai seluar buruk, awak lari pulak nanti, kan?”

Akhirnya, Aisyah tersenyum mendengar kata-kata lelaki itu.  

Buat pertama kali dalam hidupnya, Aisyah makan malam bersama seorang lelaki yang langsung tidak dikenali. Namun apa yang pasti, inilah makan malam terindah pernah dialami. Walau baru berkenalan, lelaki bernama Alif Fizwan begitu ramah dengannya. 

Aisyah lebih  suka berdiam diri dan dia hanya menyampuk bila perlu. Dibiarkan sahaja Alif mengulangi detik ‘perkenalan’ mereka di mukabuku. Tidak berani dia hendak menyampuk, dibimbangi terbongkar rahsia pula.

“Mimi, awak ni pendiamlah pulak. Kalau dekat fb tu, bukan main ramah lagi. Macam-macam celoteh awak.” Usik Alif. Dia menatap sepasang anak mata gadis di hadapannya dalam-dalam. Hatinya sudah lama berkenan. Dan, pertemuan ini semakin meyakinkannya bahawa dia sudah bertemu dengan calon isteri. Cuma, dia tahu bahawa mulai saat ini dia perlu membuat gadis ini menyintainya. Bila tiba masa yang sesuai nanti, dan bila cintanya berbalas, sudah pasti dia akan melamar. Mereka akan berkahwin satu hari nanti! Itu harapannya.

“Saya tak tahu nak cakap apa.” Bisik Aisyah perlahan.

“Mungkin awak tak seronok bersama saya? Maklum ajelah, saya ni kan budak penghantar surat sahaja? Miskin! Comot!”

Aisyah ketawa. Macam-macamlah si Alif ni.....

“Saya pun bukanlah doktor, atau nurse atau cikgu lepasan universiti. Saya cuma pekerja kilang aje.” Aisyah merendah diri. Tiba-tiba dia jadi takut. Takut pada perasaannya sendiri. Bagaimana kalau nanti dia jatuh cinta kepada lelaki ini? Pastinya dia akan berdosa kepada Mimi kerana mengkhianatinya. Oh tidak! Lebih baik berterus terang sekarang, sebelum keadaan menjadi kusut.

Dia cuba mengatur bicara...

“Err... awak! Saya nak cakap sikit tapi saya sangat berharap yang awak tak jerit marahkan saya nanti, ya!” kata Aisyah menatap tajam wajah lelaki di hadapannya.

Alif menyandarkan tubuh di kerusi. Menjungkitkan kening sambil menanti kata-kata yang bakal lahir.

“Nama saya, Aisyah Humaira binti Muhamad. Saya ni kawan Hamimah Hamid. Mimah....ehhh...Mimi, dia letak gambar saya kat mukabuku tu. Saya tak tahu menahu tentangnya sehinggalah semalam, bila dia minta saya datang sini jumpa awak. Mimi suruh saya jadi dia malam ni, tapi saya rasa, saya tak mahulah berlakon. Saya tak pandai. Saya minta maaf, ya.”

Aisyah tidak berani menentang pandangan tajam lelaki itu malah dia takut untuk berada di dalam restoran itu lagi. Bimbang lelaki itu naik hantu lalu mengamuk padanya. Hisy.... takuttt!

Dia berlari keluar dan kebetulan teksi lalu. Dia menahan teksi itu dan pergi tanpa sempat Alif hendak menahannya lagi.      

4 ulasan:

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.