rindu dan air mata

1

Umar melangkah dengan tenang dalam samar-samar sinaran lampu di sepanjang jalan pulang ke rumahnya. Mendongak ke atas, hati terasa damai melihat kerlipan bintang-bintang yang bertaburan di dada langit. Bulan sudah mula mengecil, menandakan bilangan hari berpuasa sudah mahu sampai ke penghujungnya. Ya, malam ini, malam ke 21 bulan Ramadhan, bererti tinggal 9 hari lagi untuk umat Islam mengerjakan ibadah puasa, 9 hari sahaja lagi untuk meningkatkan amalan sebelum Syawal menjelang. Terasa sayu hendak berpisah. Hati dilanda resah dan gelisah bila memikirkan apakah tahun hadapan mereka akan diketemukan lagi. Apakah dirinya masih diizinkan Tuhan untuk menikmati keindahan Ramadhan seperti mana yang dikecapi pada tahun ini? Wallahu’alam. Hanya Dia yang Maha Mengetahui!

Malam ini dia agak lambat sampai ke rumah. Sebaik sudah mengerjakan solat sunat terawih tadi, dia berjalan kaki menuju ke gerai Pak Amir untuk membeli kuih pau berintikan kacang hitam yang dipesan oleh si cilik, Ika, kepadanya, sejak pagi-pagi lagi. Ika, satu-satunya permata hati, baru berusia 5 tahun. Tahun ini, anak sulungnya itu menjalani ibadah puasa buat kali pertama. Alhamdulillah sehingga ke hari ini, Zalika, berjaya menyempurnakannya. Tapi, itulah, ada sahaja yang diidamkan semasa berbuka. Semalam, Ika mahu makan nasi ayam. Hari ini, dia mahukan mi bandung dan esok katanya dia teringin hendak makan mertabak pula. Umar amat bersyukur kerana mendapat isteri yang sangat sabar melayan kerenah anak mereka. Alya tidak pernah merungut malah bila Umar mahu membeli sahaja apa kehendak Ika di Bazar Ramadhan, Alya menghalang. Katanya, dia boleh menyediakan semua makanan itu.

Sedar tidak sedar dia sudahpun sampai di hadapan rumah. Dari dalam, suara Ika sedang bertingkah dengan suara Alya. Umar mengukir senyum. Entah apa pula yang direngekkan kepada ibunya kali ini! Ika! Ika! Ada-ada sahaja ragamnya.

“Kawan-kawan Ika semua balik kampung raya ni, ibu!”

Di luar, Umar yang sudah duduk di atas buaian mengerutkan dahi.

Suara lembut isterinya kedengaran, “Semua?”

“Ya, bu! Semua! Habis tu,  macam mana Ika nak pergi ke rumah diorang? Tak ada siapa nak bagi Ika duit, kan? Sebab semua uncle dengan aunty balik kampung.” Balas Ika.

Alya ketawa. “Ika, Ika pergi berhari raya tu nak duit lah, ya? Isy, tak baik tu! Patutnya, bila beraya, Ika bersalam-salam dan minta maaf sambil makan-makan.” Katanya.

“Alah, ibu dengan ayahpun bagi duit raya pada kawan-kawan Ika jugak, kan? Ika pun hendak juga dapat duit raya daripada diorang!”

Umar menggelengkan kepala mendengar kepetahan anaknya. Memang Ika, kalau pasal berdebat, hmm, mesti hendak menang sahaja.

Lama suasana bisu sebelum Ika bertanya, “Ibu, kenapa kita tak balik ke kampung?”

Umar terkedu mendengar soalan itu. Kaki yang sedang mengayun buaian, terhenti dengan sendiri.

“Kita mana ada kampung?”

“Ibu bohong!”

“Ika?” keras suara Alya menegur.

“Sori!”

Aduhai, si cilik sudah mula menangis. Kasihannya dia!

“Dah, jangan nangis, okey. Ika budak baik, kan!”

Mungkin saat ini, Alya sedang menghentikan apa juga yang sedang dilakukan untuk memujuk Ika. Rajuk Ika akan berpanjangan jika dibiarkan. Alya memang tidak suka jika Ika merajuk. Sunyi seisi rumah, katanya.

Umar melepaskan keluhan. Pertanyaan Ika tadi menyentap tangkai hati. Sakit tertusuk jauh ke dalam. Sudah lama cuba dilupakan namun soalan itu menggamit memori kepada kenangan 10 tahun dahulu, kenangan di Kg Durian Sebatang, Teluk Intan, Perak. Kampung halaman, tempat dirinya dilahir dan dibesarkan di dalam keluarga yang terdiri daripada emak, ayah, dua orang abang dan seorang kakak. Keluarga yang serba sederhana.....

.........................

2

“Ulang balik apa kamu cakap, Umar. Kamu nak kahwin? Umur baru 21 tahun, kerja pun tak tetap, hidup pun masih lagi bergantung pada aku, kamu dah gatal nak kahwin?”  Pak Mansor (Pak Cot) menjerit. Wajah Umar, anak bongsunya direnung bagai ingin menelan.

“Siapa kata, saya kerja tak tetap? Kan saya dok kerja cedok pasir kat depan tu? Bukankah saya bekerja membuat bata dengan taukeh Ah San tu? Saya ada gajilah, ayah! Saya boleh bagi makan anak dara orang. Tak kebulur punya si Alya tu nanti!”

Untuk jawapan yang kasar itu, dia dihadiahkan penampar oleh Pak Cot. Berdarah bibirnya.

“Kamu ni, memang anak tak guna, tahu! Dari kecik, ada-ada aje yang kamu nak buat untuk menyakitkan hati aku dengan mak kamu!” Pak Cot mengherdik.

Mak Esah mengangguk. “Hmm, betul cakap ayah kamu tu! Eh Umar, tak boleh ke kamu jadi macam abang-abang, macam kakak Noni kamu, hah? Tengok diorang, UPSR cemerlang, dapat duduk di sekolah berasrama penuh. Keputusan PMR pun terbaik. Tengok Along. Lepas SPM, dah terbang ke Ireland. Sekarang dah bukak klinik sendiri dah! Berjaya dia! Angah pulak? Pun dah ada syarikat guamannya sendiri. Kak Alang kamu, dah jadi arkitek. Kamu? UPSR? A pun tak ada. PMR? Sama! SPM? Hanyut! Eh, kamu tak malu ke dengan diorang?” rungutnya.

Umar mengeluh. Balik-balik, itulah yang dilakukan oleh kedua-dua orang tuanya. Asyik sahaja membanding-bandingkan dirinya dengan abang-abang dan kakaknya. Menyesal sungguh mereka mendapat anak yang bodoh sepertinya. Menyesal sungguh mereka mendapat anak bongsu ini yang malas belajar. Dirinya digelar dengan pelbagai nama. Pemalas? Manusia bodoh? Bahlul? Macam-macam yang tidak tersenaraikan!

“Ni, dah nak kahwin pulak! Umur baru 21 tahun dah gatal nak kahwin. Dah banyak duit yang kamu simpan untuk belanja kahwin tu?” Mak Esah bertanya sambil menjeling.

Umar membayangkan wajah buah hatinya, Alya Ishak. Gadis itu juga masih muda. Baru berusia 20 tahun. Baru sahaja menamatkan persekolahan di Tingkatan Enam dan sudah mendapat keputusan Peperiksaan STPM yang baik. Malangnya, gadis itu tinggal bersama-sama ayah tiri dan ibunya. Ayah tirinya, Pak Sameon mahu mengahwinkan Alya dengan anak kawan karibnya. Dia sudah menyatakan bahawa dia mahu perkahwinan itu berlangsung dalam masa terdekat.

Alya yang bercita-cita untuk menyambung pelajaran hingga ke universiti menolak dengan kerasnya. Dia tidak mahu berkahwin apatah lagi dia sudah mempunyai kekasih hati, iaitu Umar. Katanya, kalau dia berkahwin, tentu pilihannya ialah Umar! Ibu yang memahami, meminta supaya Umar datang ke rumah. Apabila diceritakan apa yang berlaku, tanpa berfikir panjang tentu sahaja Umar mengaku mahu berkahwin dengan Alya. Yalah, tak mungkin dia sanggup melepaskan buah hati kepada lelaki lain, kan? Namun wang simpanan selama 3 tahun hasil penat lelah sebagai seorang buruh kasar tidaklah sebanyak mana, hanya ada dalam RM 1500 sahaja.

“Ai, si Enah tu sanggup jugak nak kahwinkan kamu berdua? Kenapa? Dia nak bagi percuma aje ke anak perempuan dia tu?”

Geramnya Umar namun ditahankannya. “Kata Mak Enah, cukuplah sekadar duit mas kahwin RM101. 00. Lain-lain tak perlu!”

“Hah! Jual lelonglah tu!” Mak Esah mengutuk.

“Mak?” suara Umar sudah menjadi nyaring.
...........................
3

Tanpa restu daripada kedua-dua ibu dan ayah, dia dan Alya berkahwin juga. Pak Sameon, walaupun pada asalnya merasa marah, namun demi isterinya, dia merelakan perkahwinan ini dengan syarat, Alya dan Umar tidak lagi menjejakkan kaki ke rumahnya. Mak Enah terpaksa akur dengan kehendak Pak Sameon.

Mulanya, mereka suami isteri tinggal bersama Pak Cot dan Mak Esah. Hati terusik melihat layanan ibu dan ayah terhadap Alya berbanding layanan mereka kepada menantu-menantu perempuan yang lain. Alyalah yang akan memasak. Alyalah yang akan membasuh dan melipat kain, mencuci rumah, mengelap habuk. Alya dianggap sebagai orang gaji di rumah itu.

“Ah, dah dia sorang yang tak ada pelajaran. Orang bodoh, mestilah buat kerja berat!” Kata ibunya, disambut senyuman sinis Along Rahman dan isterinya, Asiah. Sementara Angah Reza dan isterinya, Fida, ketawa besar. Kak Noni? Tersengih tentunya.

Dia rasa amat bersalah terhadap Alya. “Kalau Alya kahwin dengan Ashraf, anak Pak Hamid tu, tentu hidup Alya tak macam ni.” Bisiknya di dalam bilik kecil mereka, yang terletak berhampiran dengan dapur.

Alya ketawa. “Tapi, Alya dah serahkan diri Alya pada abang. Tentu Ashraf dah tak mahu.” Usiknya. Senyuman melebar menatap wajah suami yang tegang. Marahlah tu!

“Kita pindah, nak?” tanya Umar kepada isterinya. Dia ingin lari dari kehidupan yang tidak bahagia ini. Baginya, lebih baik dia menjauh daripada ibu, ayah dan adik-beradik yang tidak pernah menghargai dirinya.

Alya meletakkan jari telunjuk di bibir Umar. “Jangan cakap macam tu. Nanti mak dengar, kecik hati dia.”

“Tapi...”

Alya meyakinkannya bahawa apa yang dilakukan sekarang adalah untuk suaminya. Pengorbanannya ini supaya Umar disayangi ibu dan ayah. Dia rela melakukan selagi terdaya. Dengan syarat, kasih sayang Umar hanya untuknya.
     
Namun, kenangan pada pagi hari raya, 1421 H, amat melukakan. Isteri Along, Kak Asiah kehilangan kalung berlian pemberian suaminya. Tanpa segan silu, dia menuduh Alya dan Umar yang mencuri kalung itu.

“Kak Long dah gila ke? Kami nak buat apa dengan kalung tu? Takkan saya nak hadiahkan pada Alya? Bodoh sangat ke saya, nak pakaikan dia dengan kalung Kak Long?” Umar membentak demi terpandang wajah isteri yang sedih.

“Memanglah! Bodohlah kamu kalau kamu pakaikan dia dengan kalung tu! Tapi, tentu kamu tak bodoh untuk jual dan beli barang kemas lain yang dah melekat pada badan dia tu, kan?”

Semua mata tertumpu kepada Alya. Masing-masing sedang memandang ke pergelangan tangan kiri isterinya. Ada seutas rantai tangan yang baru dibelinya, ketika mereka ke pekan kelmarin. Alya dan Umar saling berpandangan. Tiba-tiba, ibunya Mak Esah, terus sahaja mengamuk. Belakang tubuh Umar dipukul dengan batang penyapu yang sedang dipegang.

“Aku tak pernah ajar anak aku jadi pencuri, tahu! Aku tak pernah ajar anak aku jadi orang jahat! Itulah! Kalau dah anak pungut tu, anak pungut jugak! Tak sedar diri! Kita bagi dia tempat menumpang hidup, bagi dia madu, dibalasnya racun! Puas dididik untuk jadi manusia, tapi kalau dah memang keturunan tak baik, tak mahunya!”

Umar tidak mampu bergerak mendengar caci maki Mak Esah. Yang lain-lain juga turut terpaku di tempat mereka berdiri. Masing-masing sedang mencerna apa yang baru sahaja didengari.

Pak Cot baru naik ke atas rumah. “Apa yang bising-bising ni, Esah?”

Mak Esah masih belum puas lagi. “Ni, anak pungut ni! Anak adik awak yang mati kat penjara tu..”

“Esah?” suara Pak Cot bergetar, bagaikan memberi amaran kepada isterinya.

“Apa, bang? Sampai bila nak dirahsiakan? Memang si Umar ni anak adik awak, si Zetty, penagih dadah tu. Adik yang sudah dibuang oleh mak dan bapak awak, kan? Awak aje yang kesian pada dia. Yang sanggup bela anak dia! Tengoklah! Perangai jahat tu dah turun dah. Ni, mula-mula jadi pencuri. Kalung Asiah dicuri, dijual lepas tu beli gelang tangan untuk bini dia. Baguslah tu! Padan dah! Lama-lama nanti jadi pengedar dadah pulak!”

Umar terus menarik tangan Alya. Dibuka gelang tangan itu, dan diletakkan di atas lantai. Dia kemudian menarik tangan Alya lagi, kali ini mereka memasuki bilik pula. Beg pakaian dikeluarkan. Baju diisi ke dalamnya. Kemudian, mereka melangkah keluar.

Umar lantas berkata, “Sepatutnya, saya berterima kasih atas ehsan mak dengan ayah membesarkan saya. Terima kasih kerana memberitahu asal usul saya. Terima kasih kerana cuba membesarkan saya menjadi orang yang berguna dan memang bukan salah mak atau ayah, saya jadi macam ni. Mulai hari ini, saya tak mahu membebankan mak ayah lagi. Halalkan makan minum saya. Halalkan semua yang dah mak ayah beri kepada saya sebab saya tahu, sampai saya mati, budi baik ini tak akan mampu saya balas. Hari ini, izinkan saya memutuskan perhubungan kita. Saya harap, mak dengan ayah dengan abang-abang dan kakak-kakak semua bahagia sebab lepas ni, kita jadi orang asing. Semoga aman hidup semua tanpa kami suami isteri yang menyusahkan ini. Kami pergi!”
...........................
4

Dari tadi, Alya asyik memerhati suami yang termenung jauh di atas buaian. Ketika Zalika pergi mengambil kuih pau dari tangannya, diserahkan begitu sahaja tanpa mengusik seperti selalu. Ketika dia sendiri menghidangkan air dan meletakkan di meja di tepi buaian, suaminya hanya tersenyum tanpa berkata apa-apa.

Melihat suami menyeka air mata, dia tahu, lelaki itu sedang mengimbau kenangan dulu. Begitulah selalunya di setiap Ramadhan. Pasti, hati Umar akan terusik. Apatah lagi di pagi hari raya, air mata pasti menitis kerana kenangan tak bisa dilupakan.

Mereka membawa diri ke Kuala Lumpur, mencari kawan karib suaminya, Musa. Mereka menumpang di rumah lelaki itu selama dua hari. Musa membantu Umar mendapatkan kerja di sebuah stesen minyak.

Mereka berpindah ke sebuah rumah sewa satu bilik di Sri Gombak. Di sana, Alya meminta kerja di sebuah tadika. Hanya sebulan dia di situ kerana Alya mendapat tawaran menyambung pelajaran di UKM. Dia tersenyum mengingati kejadian yang berlaku di suatu hari.

“Alya? Apa ni?”

Alya mengerdipkan mata. Dia kemudian menjawab acuh tak acuh, “Surat tu! Alah, buangkan aje, bang!”

“Kenapa? Sebab abang miskin dan tak mampu nak tanggung pelajaran Alya? Gitu?” marah Umar.

“Alya tak cakap macam tu pun!” balas Alya lembut.
 
“Abang dah fikirkan tentang ini semua. Abang dah pergi ke pejabat zakat. Mereka beritahu, Alya boleh isi borang untuk meminta bantuan memasuki U nanti. Ni, PTPTN pun dah bagi pendahuluan sebanyak RM1500. Percayalah, abang akan bekerja keras untuk kejayaan Alya. Yang penting, Alya berjaya!”

Pengorbanan suaminya terlalu besar. Alya hanya perlu belajar dan belajar. Segala perbelanjaan hidup, Umar telah bertungkus lumus menyediakannya. Umar bekerja keras untuk menampung hidup mereka. Selain bekerja di Stesen Minyak, Umar mengambil inisiatif menjadi pemotong rumput di rumah-rumah di sekitar Gombak. Hanya bermodalkan tulang 4 kerat, mesin pemotong rumput dan minyak, mereka dapat hidup di KL dengan ceria. Hati pun senang sentiasa. Kelahiran Ika tentu sahaja menambahkan kasih sayang dan cinta.

Kini, dia sudah dapat membalas pengorbanan suaminya. Dia sudah memegang segulung ijazah dan kini ialah seorang guru di SMK Taman Kosas. Ya, mereka sudah berpindah kerana Alya sudah membuat pinjaman bank untuk membeli sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Bukit Indah. Itupun, duit muka dibayar oleh suaminya yang sangat berjimat orangnya.

“Abang, Alya nak buat permintaan.” Pintanya pada suatu hari.

Umar merenung wajah isteri yang kelihatan manis di matanya. “Hmm, abang tahu! Alya nak anak lagi. Nak bagi adik pada Zalika, kan?” usiknya nakal.

“Itu pun okey jugak. Tapi, ada yang lebih utama.”

“Apa dia?” tanya Umar sambil menepuk-nepuk tubuh Ika yang sedang lena. Tidak jemu-jemu juga pipi si kecil diciuminya.

“Hmm, Alya nak abang sambung belajar.”

Umar tergelak besar. “Buat apa? Alya, kalau dibandingkan gaji Alya dengan pendapatan abang menebas rumput tu, abang punya lagi banyak, tahu!” katanya.

Alya turut ketawa bersama-sama suaminya. “Sebab itu Alya nak abang belajar di universiti. Ambillah jurusan pentadbiran perniagaan. Takkan selamanya abang nak menebas? Kan baik kalau abang belajar mengurus syarikat? Boleh buka syarikat perkhidmatan memotong rumput. Boleh mengambil pekerja. Dah dapat pahala membantu orang, kan?” Secara lembut, dia memujuk suaminya. Secara lembut, dia memberitahu bahawa tidak rugi jika suaminya menambah ilmu. Ilmu dapat menjadikan Umar manusia yang disegani masyarakat.

Umar terdiam, mungkin dia cuba menyerap kata-kata isteri yang cuba memberitahunya bahawa, hidup mesti berilmu dan ilmu itu perlu diamalkan. Ya, dia dihina kerana malas belajar. Dia dituduh menjadi pencuri kerana dia miskin, miskin harta, miskin wang ringgit, miskin ilmu! Tidakkah mahu berubah? Relakah dihina sampai bila-bila?

“Universiti mana hendakkan orang tua macam abang ni?”

Senyuman Alya manis sekali mendengar soalan itu. Soalan yang membawa maksud persetujuan suaminya. “Sebenarnya, kan, bang, Alya dah daftarkan abang di Sage College. Ijazah Pertama dalam Pentadbiran Perniagaan. Kursusnya antara 3 ke 4 tahun.” Dia memberitahu.
...........................................

5
Alya duduk di sisi suaminya. Kaki halusnya cuba menggerakkan buaian itu. Ika sudahpun lena. Mungkin keletihan berpuasa agaknya.
    
“Abang, kalau rindu, jomlah kita balik ke kampung.”

Umar merenung wajah isterinya dalam-dalam. “Rindu pada siapa? Arwah mak Alya dengan Pakcik Sameon dah meninggal pun. Kalau tidak, boleh kita balik ke sana.” Jawabnya.

Ya, selepas 2 tahun di Kuala Lumpur, mereka mendapat berita yang Pak Sameon sakit. Umar terus mengajak Alya pulang ke kampung walau Alya berat hati untuk mengikut. Alhamdulillah, lelaki itu menerima kedatangan mereka dengan baik malah sudah meminta maaf atas perbuatannya memisahkan Mak Enah dengan Alya. Bahagia sungguh Alya kerana sejak hari itu, mereka sentiasa balik ke kampung untuk menziarahi kedua-dua orang tuanya. Malah sewaktu pesta Konvokesyen Alya, Mak Enah dan Pak Sameon turut hadir meraikan kejayaannya.

Pak Sameon meninggal dunia tidak lama selepas itu dan Mak Enah pula mengikut jejaknya tidak lama kemudian. Tidak sempat masing-masing melihat cucu mereka lahir namun Umar dan Alya puas kerana dapat berkhidmat kepada kedua-dua orang tua tersebut, menjadi anak dan menantu yang disayangi juga akhirnya.

“Rindu dah tentu rindu, Alya. Mereka yang membesarkan abang. Walau dah tahu siapa diri ni, abang masih anggap mereka emak dan ayah abang. Tapi, abang tak boleh nak lupa kata-kata penghinaan mak dulu tu. Rasa kecik hati betul sampai sekarang tak boleh dilupakan. Sebenarnya, Alya, setiap kali kita balik ke Teluk Intan ke rumah Mak Enah, abang mesti pergi ke kampung abang. Tapi, langkah kaki sampai di tempat kerja abang dulu aje, kat kedai si Ah San. Tersekat dan tak mampu nak terus melangkah ke rumah mak. Abang teringat semuanya dan abang tak boleh teruskan langkah.” Umar berbisik sedih.

Alya mengusap tangan suaminya, membawa telapak tangan lelaki itu ke pipi, dan diciumi serta dikucupi penuh kasih sayang.

“Satu masa dulu, abang pernah cakap pada Alya tentang tanggungjawab seorang anak. Abang cakap, Alya kena belajar menerima pakcik, sebab dia suami mak. Abang cakap, kalau Alya menganggap pakcik orang asing, mak akan rasa terasing. Kalau Alya buang pakcik, Alya sebenarnya turut membuang mak yang sayangkan pakcik. Alya dah turut kehendak abang supaya menerima pakcik. Alhamdulillah, hidup Alya amat bahagia sejak Alya berubah. Bolehkah Alya buat yang sama pada abang?”

Umar merenung wajah isterinya lagi. Menanti!

“Jomlah kita balik ke Durian Sebatang. Mana tahu, kut-kut mak rindukan abang? Mana tahu, kut-kut ayah akan sambut kepulangan abang? Dah 10 tahun, bang! Tentu hati yang keras menjadi lembut. Alangkan kerikil menipis dihakis air, inikan pula hati manusia yang kerdil, kan? Lagipun, Ika kan nak beraya di kampung? Tentu dia seronok kalau tahu yang kita nak balik kampung.”

Alya tidak tahu mengapa Umar tersenyum secara tiba-tiba. Tangannya pula terus sahaja merangkul tubuh isteri, menarik rapat tubuh itu kepada dirinya. Umar kemudian menghadiahkan suatu kucupan syahdu di dahinya sebelum membisikkan kata..

“Abang beruntung dijodohkan Allah dengan Alya. 10 tahun lamanya, Alya tak pernah jemu mengajak abang balik berjumpa mereka. Dengan lembut! Dengan pujukan. Ya, mungkin betul cakap Alya. Mungkin mereka juga rindukan abang. Rindukan Alya. Lagipun, sekarang abang dah tak risau dah. Abang dah berjaya memiliki ijazah. Abang dah berjaya membina hidup abang. Bisnes pun bagus. Anak comel. Isteri pulak seorang cikgu yang komited. Apa lagi, ek?”

“Hmm, Allah cakap, Dia paling benci dengan hambanya yang ujub, riak, takbur, som....”

Umar menutup mulut isterinya dengan tapak tangannya. “Terima kasih kerana menasihati abang, ya, sayang.”
.............................
6

Zalika terlalu gembira. Di sepanjang perjalanan, keletihan mengerjakan ibadah puasa tidak langsung melelahkannya untuk memerhati persekitaran. Mulut kecilnya tidak berhenti-henti bertanya. Sawah padi di sepanjang Pekan Sekinchan menarik perhatiannya. Gerai-gerai yang menjual buah-buahan turut menjadi tumpuan. Buah jambu madu sudah dibeli. Dia kata, dia ingin makan buah itu bersama-sama dengan datuk dan neneknya.

Mereka ke Bazar Ramadhan, singgah membeli makanan. Sudah kurang yang berjual di hari terakhir bulan mulia ini. Umar membeli popiah dan nasi ayam untuk ayah. Untuk ibunya, dia membelikan mi bandung dan air tebu.  Itulah makanan dan minuman kesukaan mereka berdua di sepanjang bulan puasa. Arghh, tidak sabar-sabar rasa hati ingin menjejakkan kaki ke rumah itu!

‘Kenapa rumah ini berkunci? Di mana ayah dan emak? Tidak pernah mereka meninggalkan rumah ini sampai berkunci pintu segala. Mengapa?’
 
“Cari siapa, nak?” seorang lelaki menyapa.

Umar menoleh. Demi melihat lelaki itu, dia terus memeluk. Lama. Kejap pelukannya! “Apa khabar, Pak Abu?” tanya dia lalu meleraikan pelukan.

“Umar!” giliran Pak Abu pula untuk memeluknya. “Kamu balik jugak, nak! Betul kata Cot, satu hari, kamu mesti balik ke sini! Macam ginilah. Kita pun dah nak berbuka ni. Apa kata kalau kamu bawak anak bini kamu berbuka di rumah Pak Abu. Makcik Minah kamu tentu seronok. Taklah kami asyik mengadap muka masing-masing aje!”

Pak Abu meramas rambut Ika, “Siapa nama?” tanya dia.

Ika menarik tangan itu lantas menciumnya. “Ika. Kata ayah, hari ini Ika dapat jumpa atuk dengan nenek.”

Kata-katanya membuat Pak Abu tertawa. “Petahnya, ya! Ini atuklah ni! Nanti, kejap lagi, kita jumpa nenek pulak, ya!”

Ika begitu gembira menikmati hidangan. Dia makan dengan berselera sekali. Makcik Minah melayannya seperti puteri. Gembira sungguh mereka dengan kehadiran Umar dan keluarganya.

“Cot dah meninggal dunia 3 bulan yang lepas, Umar. Asmanya menyerang secara tiba-tiba.”

“Innalillahiwainnailaihiroji’un!”

Lama suasana hening sehinggalah akhirnya Umar mengeluh, “Salah saya, Pak Abu. Sejak kami pergi, tiap-tiap tahun Alya ajak saya balik. Tapi, hati saya ni keras. Degil! Padan muka saya, sampai ke sudah tak dapat minta maaf pada ayah!”

Pak Abu sudah mengetahui segala cerita. Sewaktu hayatnya ada, hanya Umar topik perbualan yang boleh membuat lelaki itu tersenyum. Hanya nama Umar akan disebut dengan penuh kasih sayang.

~~~“Inilah kata orang, Abu. Sesal dulu, pendapatan. Sesal kemudian, tidak berguna. Dulu, masa Umar depan mata aku, dia, tak pernah elok! Tak pernah baik! Jahat aje dia tu! Malas! Apa yang aku tak kutuk dia?” Pak Cot melahirkan kekesalan. Pak Abu hanya mendengar. Biarlah jika rakan baiknya ingin bercerita. Boleh juga dijadikan iktibar. “Pada hal, Abu, dia yang menanggung perbelanjaan seisi rumah. Dia yang isi minyak motor aku. Dia yang belikan rokok aku. Semua tu aku tak kenang. Tak nampak!”~~~

“Ayah kamu menyesal sangat membiarkan kamu pergi. Setiap pagi raya, dia tak balik ke rumah. Kata dia, dia sedih bila mengenangkan macam mana kamu pergi tinggalkan mereka. Dia rindukan kamu tapi dia redha kamu pergi sebab dia kata, dia yang salah sebab tak menahan kamu. Dia kata, satu hari, kamu pasti balik cari dia. Kalau ada rezeki dia nak jumpa kamu masa dia masih hidup, syukur kepada Allah. Tapi, kalau ditakdirkan dia dah tak ada masa kamu balik, dia suruh aku cakap dia minta maaf sebab dia bukan ayah yang baik pada kamu. Dia jugak tahu yang kamu tentu nak mintak maaf pada dia. Dia suruh aku cakap, dia dah maafkan kamu, setiap kali lepas dia sembahyang. Dia suruh aku cakap, dia sayang kamu.”

Umar menangis teresak-esak. Arghh, kenapa terlalu lambat aku pulang? Kenapa setelah dia tiada baru hati ini tergerak untuk kembali? Tuhan, beri aku keampunanMu. Bukan niatku menyisihkan mereka. Bukan niatku membuang mereka.

“Dahlah tu, Umar. Kalau kamu rasa kamu nak menebus balik masa 10 tahun yang hilang tu, pergilah kamu ambil Kak Esah, dan bawak dia balik duduk dengan kamu.” Makcik Minah memujuk.

“Mak di mana, Pak Abu?”
.................................
7

Di pagi raya, takbir bergema daripada corong-corong masjid. Alunan suara beralun memuji kebesaran Ilahi dan kekuasaanNya, menyentuh hati nurani. Kaum lelaki berpusu-pusu menuju ke arah masjid dengan memakai pelbagai fesyen Baju Melayu. Corak pelbagai warna membuat semua orang kelihatan bergaya.

Sudah lama waktu berlalu. Hari juga sudah meninggi. Matahari memancar sinarnya dengan terang. Namun, perempuan itu masih termenung di kerusi batu, di dalam taman. Wajah yang disimbahi terang tetap tidak mengganggu khayalan.    

“Bencilah aku dengan perempuan tua ni! Hisy, kalau tangan tu asyik bergoyang, buat apa pegang gelas kaca. Pakailah gelas plastik yang aku dan beli untuk kau tu!”

Masih terngiang-ngiang bunyi herdikan itu. Rasa tersentap tangkai hati. Tidak disangka-sangka menantu kesayangan sanggup berbuat begitu kepadanya.

“Eh, giliran you all lah pulak jaga orang tua tu! Ingat Noni ni apa? Mentang-mentang Noni perempuan, jadi Noni kena asuh dia? Sori! Noni dah penat, okey!”

Itu, kejadian sewaktu dirinya demam. Tidak berupaya untuk bangun dan banyak kali pula terpaksa ke tandas. Si anak hanya perlu memimpin namun itupun dirasakan amat membebankannya.

“Mak, mak tahu tak berapa harga cadar ni? Dekat seribu, tahu tak? Boleh mak berak kat atas katil ni? Huh! Aku dah tak sanggup! Tak sanggup!”

Kerana sudah tidak sanggup, anak-anaknya berpakat menghantar dia ke sini. Di Pusat Jagaan orang-orang Tua di Ipoh, Perak. Mereka sanggup mengeluarkan wang beribu-ribu, konon supaya dia selesa hidup di sini. Yalah tu! Macam dia tak tahu? Siapakah yng lebih selesa tanpa dirinya? Hmm, konon!

Kalaulah suaminya masih hidup?

Dia ingin bangun. Dia ingin mendapatkan suaminya. Dia sudah kehilangan. Kaca dianggap permata, menyebabkan kini dirinya diguris luka oleh kaca-kaca yang pecah berderai itu. Permata? Permatanya sudah hilang! Dia yang membuangnya dengan kata-kata hinaan. Dia yang merelakan permata hatinya pergi.

“Maafkan, mak, Umar. Mak malu hendak menatap wajah kamu. Mak tak layak menunggu kamu. Mak tak layak......”

Ketika Umar, Alya, Zalika, Pak Abu dan Makcik Minah sampai, pihak pengurusan sedang ingin memandikan jenazah Mak Esah. Umar hanya dapat merenung sayu. Ya, dia terlewat lagi. Terlewat dalam menyedari bahawa ibu bapa, walau pun hanya bergelar ibu bapa angkat, tetaplah merupakan mereka yang pernah mencurahkan kasih sayang yang penuh kepadanya. Janganlah diambil hati dengan segala kata-kata mahupun umpat keji kerana marah mereka tidak akan lama. 

Bilakah rasa kesal ini akan berakhir?

“Abang, apabila mati anak Adam, ada 3 perkara akan mengiringinya ke sana. Ilmu yang dimanfaatkan, sedekah jariah yang diberi dan...”

Kata-kata Alya bersambut, “Dan doa daripada anak yang soleh. Tapi Alya, layakkah abang?”

Alya tersenyum, menyeka air mata yang bergenang di tubir mata suaminya. “Tugas kita sebagai hambaNya ialah mengerjakan suruhanNya. Layak atau tidak kita bergelar anak yang soleh, biar Dia yang menentukan. Layak atau tidak kita masuk ke syurgaNya, biar Dia yang menentukan." 

..........................
Ya, hubungan sesama insan sering akan ada perbalahan. Tanganilah dengan bijaksana. Agar tidak ada kesalan di waktu kemudian. Sofi ingin mengucapkan selamat mengakhiri ibadah puasa dengan sesempurna mungkin dan selamat menyambut hari raya juga. Maaf zahir dan batin.     

   

Ada bahagia

1

Huda menggeleng-gelengkan kepala melihat suami yang masih sedap lena di atas katil empuk mereka. Di atas meja hias, jam loceng sudah lama berbunyi nyaring namun Fauzan masih belum mahu jaga. Tidurnya pulas. Letih sangat agaknya? Huda tersengih bersama soalannya.

Suami dihampiri. Pipi dicium sebelum dia berbisik lembut di telinga kanan Fauzan.

“Sayang, bangunlah! Makan sahur! Dah dekat pukul 5 pagi ni.”

Fauzan membuka mata perlahan-lahan sambil menggeliat. Tangan kemudian meraih tubuh isteri untuk didakap erat-erat. Suatu kucupan hinggap di dahi sebelum dia duduk dan bertanya, “Baby, you masak apa tadi?”

“Kan sayang cakap nak makan kurma aje pagi ni? Jadi, I tak masaklah!” balas si isteri sambil tersenyum kecil.

Lama Fauzan merenungi wajah isterinya sebelum dia tersengih dan membalas, “Kalau itu rezeki kita subuh ni, Alhamdulillah! Baby, you tunggu kat meja, ya! I nak masuk bilik air.”

Huda mengambil peluang itu untuk mengemas katil. Selepas itu dia mengeluarkan baju kerja mereka berdua, baju untuk dipakai ke pejabat masing-masing nanti. Hati tersenyum puas kerana dapat menyediakan pakaian berwarna sedondon. Baginya, berpakaian sebegitu menunjukkan betapa hati mereka sekata, betapa utuh kasih dan sayang dalam ikatan perkahwinan yang baru meniti usia 5 bulan ini.

Mereka berkahwin kerana mereka saling menyintai. Panahan cinta pandang pertama yang tidak mudah dilupakan. Selepas yakin dengan suara hatinya, dia meminta Fauzan masuk melamar. Mulanya, Fauzan agak keberatan kerana dia sedang berada di tahun akhir pengajian di universiti, namun Huda berjaya memujuknya. Mereka disatukan dengan restu ibu dan ayah masing-masing.

Ini ialah Ramadhan pertama mereka setelah bergelar suami isteri. Ramadhan, bulan yang penuh rahmat. Limpah kurnia Allah melimpah ruah kepada hambanya di bulan ini. Dan, Huda bersyukur kerana sepanjang 5 hari Ramadhan disambut, dia dapat menyediakan juadah berbuka dan bersahur dengan air tangannya untuk suami tercinta. Melihat Fauzan makan dengan berselera, hati berasa terlalu bahagia. Apatah lagi, bila Fauzan selalu memuji. Diri dirasakan amat bertuah sekali!

“Baby, kan I dah suruh you tunggu I kat meja makan? Ni yang mengelamun kat sofa ni, apahal?” tanya Fauzan sambil mencubit pipi isterinya.

“Sakitlah, yang! Sayang, you ni kan! Macam tak tahu? Baby you ni tunggu youlah, sayang!” balas Huda sambil mengusap pipi yang kesakitan.

Fauzan tersengih melihat isterinya.
.......................

2

Bunyi ketukan di pintu hadapan yang baru didengari, menyebabkan Fauzan terkocoh-kocoh meninggalkan ruang dapur. Sambil tangan kiri ligat hendak membuka apron, tangan kanan pula digunakan untuk membuka pintu. Sebaik terpandang gerangan yang berdiri di hadapannya, Fauzan terus mengukir senyuman.

“Mak! Laila!” Pintu rumah dibuka semakin luas. “Masuk, masuklah mak, Laila! Marilah!” Dia mempelawa sambil menyalami tangan yang ibunya hulurkan.

Laila memerhati ke sekeliling ruang tamu. Keadaannya bersih dan kemas. Tidak ada benda-benda yang berselerakan. Memandang wajah lelaki di hadapannya, dia amat pasti bahawa tentu sahaja Fauzan yang membersih dan mengemas, bukan setakat ruang tamu malah seluruh rumah kini. Hendak diharap kepada isterinya? Hmm....

“Mak dengan Laila berbuka di sini, kan? Alhamdulillah! Saya pun tengah masak ni! Bolehlah mak dengan Laila rasa air tangan saya hari ini!” Fauzan memberitahu dengan wajah yang ceria.

“Kamu masak, Fauzan?” Suara nyaring Puan Amnah kendengaran jelas dan bergema ke seluruh rumah berkembar setingkat milik anak dan menantunya. Seperti sengaja mahu mengalunkan agar dapat didengari oleh Huda.

Fauzan mengangguk sambil melirik ke wajah Laila. Gadis itu sedang tersenyum ke arahnya.

“Alahai, kalau untuk makan kamu berdua dengan bini kamu si Huda tu, buat apalah hendak masak, Fauzan? Kan senang kalau kamu beli aje? Ni balik kerja penat-penat, terpaksa pulak ke dapur. Apa ke halnya?” Puan Amnah mula melahirkan rasa tidak puas hati yang sentiasa berbuku di dalam diri selama ini.

“Yalah Abang Fauzan ni. Dahlah kerja kat ofis melambak, ni, bulan puasa tentulah abang tu letih. Terpaksa ke dapur pulak. Kesiannya!” Laila turut melahirkan rasa tidak puas hati.

Fauzan tetap menguntum senyum sambil menyarung semula apron kerana dia ingin menyambung kerja yang terbengkalai di dapur tadi. Melirik ke arah jam, hati sedikit lega. Baru pukul 6 petang. Dia masih punya banyak masa untuk menyediakan juadah berbuka puasa hari ini.

“Makan lauk tunjuk hari-hari pun jemu jugak, kan? Lagipun, Huda teringin nak makan sup ayam hari ini. Kebetulan saya balik awal, tu yang saya masakkan untuk dia tu!” balas Fauzan perlahan. Dia bimbang perbualan mereka didengari oleh isterinya. Bimbang menambah rusuh hati si isteri.

Puan Amnah menjuihkan bibir. “Eleh! Bini kamu tu mengada-ada. Banyak songeh! Dah sakitpun, masih nak menyusahkan laki. Masih nak makan itu ini. Tak tahu nak bersyukur!” Lancar sahaja bibir mengutuk. Rasa sakit benar hatinya kerana melihat anak lelaki kesayangan terpaksa bertungkus lumus di dapur demi menyediakan juadah berbuka puasa untuk dia dan isterinya.

“Mak!”

Puan Amnah terus terduduk di atas kerusi. Air mata bercucuran tanpa dapat ditahan. Dia benar-benar sedih melihat penderitaan yang ditanggung oleh Fauzan. Bukan calang-calang lelaki sanggup menghadapi situasi ini!

“Dah 3 tahun kamu menanggung biawak hidup tu, Fauzan! Dah 3 tahun dia jadi keutamaan kamu. Dah 3 tahun kamu serah hidup kamu untuk jaga dia! Bila pulak masanya untuk kamu memikirkan tentang diri sendiri, hah?” sergah Puan Amnah. Kekecewaan menyebabkan dia tidak mampu mengawal perasaan.

“Mak, cukup-cukuplah tu! Nanti kalau Huda dengar, kecik hati dia!” Fauzan memujuk ibunya. Rasa serba salah menyerbu diri. Di kanan ibu, di kiri isteri. Ibu disayangi, isteri dicintai. Dia tidak mahu menjadi anak derhaka. Dalam masa sama dia tidak juga mahu menjadi seorang suami yang tidak bertanggungjawab.

“Tengoklah tu, Laila! Hati isteri dia, dia nak jaga. Hati emak dia ni? Dibiarkannya hancur lebur tengok nasib dia. Fauzan, kamu tak tahu betapa kecewanya hati emak ni bila emak tengok anak jantan mak hidup menderita macam gini! Makan, pakai, semuanya tak terurus. Nama aje ada bini tapi bini yang dah tak berguna macam tu! Buat apa?” rintih Puan Amnah beria-ia. Laila di sisi turut menangis bersama-sama dengannya.
.....................................................

3

Di dalam bilik utama, Huda sedang menangis tersedu-sedu mendengar kata-kata yang penuh penghinaan terhadap dirinya yang meniti dengan lancang di bibir ibu mentuanya. Tidak pernah dia menyangka Puan Amnah sanggup mengeluarkan kata-kata yang sebegitu menyakitkan. Kata-kata yang menyebabkan Huda sangat-sangat berkecil hati. Dia kini sangat-sangat tersinggung.
            
            Senyumku tak seghairah,
            Gerak gaya tidak selincah,
            Wajahku tak seayu,
            Kicau burungpun tak semerdu....

            Namun kuPUNYA HATI.....

“Mak, Huda tak pernah mintak jadi cacat macam ni! Huda jugak tak pernah mintak supaya abang manjakan Huda, kasihkan Huda bagai dulu. Huda tahu diri Huda ni dah tak berguna. Dan, Huda tidak pernah merayu bantu simpatinya, mak! Tak pernah!” tangisnya sendirian.

Dalam sepi yang mencengkam, peristiwa lampau mengimbau ingatan. Saat-saat manis ketika berbulan madu di Pulau Sipadan, seminggu selepas menyambut hari raya Aidil Fitri, tidak pernah dapat dilupakan. Segala-galanya cukup indah! Cukup membahagiakan! Betapa dirinya disayangi dan dimanjai sepenuh hati. Betapa dia membalas tanpa ada sempadan kasih. Cinta milik mereka ketika itu. Hangat dan mengasyikkan!

Namun, keindahan itu direnggut bila Allah menguji. Seminggu selepas kembali bekerja, ketika dalam perjalanan pulang, tayar kereta mereka meletup, kereta terbabas dan inilah akhirnya! Huda disahkan oleh doktor sebagai lumpuh dari pinggang ke kaki! Bukan itu sahaja berita buruknya. Doktor juga mengesahkan bahawa Huda keguguran. Dia kehilangan kandungan yang baru berusia 2 bulan.

“Huda tak mintak kemalangan tu berlaku, mak! Abang Fauzan pun sama. Tapi, ini takdir. Mak faham tak? Ini takdir!” rintihnya lagi. Perlahan-lahan!

Lama dia belajar mengepung hati, agar tabah menghadapi segala kemungkinan. Lama dia belajar mengawal diri agar mampu bertahan bila berhadapan dengan Puan Amnah dan Laila nanti. Tak selamanya dia terperuk di dalam bilik ini. Dia perlu menonjolkan diri juga. Mereka akan berbuka puasa bersama-sama!

Setelah yakin akan dirinya, Huda menolak kerusi roda keluar. Sebaik pintu terbuka, dia melihat Puan Amnah menyeka air mata. Melihatnya, sebuah jelingan dihadiahkan. Huda redha. Dia tahu, dia bukan lagi sesempurna dahulu, untuk ditatang sebagai menantu kesayangan wanita itu.

Laila segera menghampiri bila melihat Huda. Sebaik berdiri di hadapannya, tangan bersambut dalam salam yang lama. Huda cuba mengukir senyum kepada gadis yang merupakan sepupu kepada suaminya.

“Dah lama sampai?” Huda menyapa.

“Dah! Kamu buat apa kat dalam bilik tu? Ni, si Fauzan tengah bersusah payah nak masak sup ayam untuk kamu. Kenapa? Kamu tak boleh masak sendiri ke?” Tidak habis lagi rasa marah di dalam dada. Semakin sakit matanya melihat keadaan menantu yang tidak berupaya. Dia tahu, namun hati yang sakit ingin menyakiti juga!

Huda menatap wajah suami yang mengungkapkan bisikan ‘I am sorry’ kepadanya. Senyuman hambar menghiasi bibir.

“Kalau mak sakit hati tengok abang macam ni, kan baik mak carikan calon isteri untuk dia? Mudah-mudahan, hidup abang sempurna semula.” Huda akhirnya nekad membalas.

Dia sudah letih menerima kutukan. Dia sudah jemu dipersalahkan. Dia inginkan ketenangan. Dia inginkan keharmonian. Kedamaian. Semua itu sudah hilang sejak dia lumpuh! Semua itu sudah tidak ada dalam kamus hidupnya! Dan, dia sudah tidak mampu lagi menanggung! Dia sudah benar-benar tidak mampu!

“Baby?” bulat mata Fauzan merenungi isterinya.

“Betul ni, Huda? Huda izinkan Fauzan kahwin lain? Alhamdulillah! Mak tahu, Huda bukan kejam untuk membiarkan Fauzan menderita....” tiba-tiba kesedihan terubat dengan ungkapan Huda. Tiba-tiba hati Puan Amnah berdegup hebat mendengar kata bicara yang sekian lama dinanti-nanti. Akhirnya, selepas 3 tahun, Huda memberi keizinan untuk Fauzan mencari kebahagiaannya. Alhamdulillah.

“Mak....”

“Abang, dengarlah cakap mak untuk sekali ini. Mak mahukan yang terbaik untuk abang. Abang anak kesayangan dia. Abang menderita, dia lagilah! Abang susah, dia lagi susah! Saya rasa, cukuplah pengorbanan yang dah abang buat selama 3 tahun ini. Saya dah tak sanggup hidup dengan rasa bersalah menghantui diri ini. Tolonglah! Fikirkan masa depan abang! Fikirkan juga tentang saya. Saya tak mahu menyusahkan abang sepanjang hidup saya ni!” Huda meluahkan perasaannya, mengharap pengertian Fauzan.

“Tapi, sayang, I tak pernah rasa you menyusahkan hidup I, baby. Tak pernah!”

Puan Amnah pantas mencelah, “Fauzan, kenapa? Apakah Laila ni tak cukup baik buat kamu? Kamu macam menolak tuah, Fauzan! Laila ni dah lama tunggu kamu. Tak kesian ke kamu pada dia?”

“Mak, tolonggglah!! Jangan serabutkan kepala saya ni!” Fauzan mula pening menghadapi situasi ini. Dia kegelisahan! Rimas!

“Mak, anggap saja abang dah terima Laila! Mak buatlah persiapan. Lagi cepat, lagi bagus! Perkara yang baik, tak baik bertangguh-tangguh! Kahwinkanlah Laila dengan abang, mak! Saya izinkan!” Huda berkata dengan penuh ketegasan. 
.....................................

4

“Baby, Laila dah selamat melahirkan anak sulung kami. I dapat anak lelaki, B! Comel sangat! Beratnya 3 kg. Baby, ucaplah tahniah pada I! Janganlah diam aje!”

Masih terngiang-ngiang di telinga, keriangan dalam nada suara Fauzan tadi. Masih terdengar-dengar nada kebahagiaan itu. Dalam titis air mata, Huda memanjatkan rasa syukur ke hadrat Ilahi. Akhirnya, suaminya menemui kebahgiaan. Akhirnya, lengkaplah kehidupan Fauzan bersama Laila. Cahaya mata lelaki yang baru dilahirkan lambang penerimaan Fauzan terhadap gadis itu.  

Bahunya ditepuk perlahan. Terkejut, Huda mendongak, memandang siapa gerangan yang mengganggu lamunannya. Demi melihat wajah ibunya, dia tersenyum.

“Tak habis-habis dengan bermenung. Kenapa?” soal Puan Suri kepada anak tunggalnya.

Huda memberitahu, “Laila dah bersalin, umi. Abang Fauzan dapat anak lelaki.”

Puan Suri menatap wajah Huda dalam-dalam. Jauh di sudut hati, dia tahu, Huda sedang terluka. Jauh di sudut hati, dia tahu, jiwa Huda sedang parah. Dia pernah mengalami. Dia pernah bermadu. Dia tahu, betapa pahit hidup yang dilalui anaknya. Tambah pula Huda tidak sempurna, tentu semakin tertekan jiwa dan perasaan.

“Sabar ya, sayang. Ini semua dugaanNya.” Puan Suri memujuk lembut. Mengharap agar Huda mampu menjalani kehidupan dengan tenang. 

“Umi, Huda bimbanglah! Macam mana kalau nanti abang lupa jalan balik ke rumah kami? Macam mana kalau nanti, dia bahagia sangat dengan Laila dan anak-anak diorang sampai dia tak ingat pada Huda? Macam mana Huda nanti, umi?”

Puan Suri mendakap tubuh anaknya erat-erat. Di dalam kepala, perkara itu sudah lama difikirkannya. Kerana dia pernah mengalami. Kerana dia pernah ditinggal pergi oleh bapa Huda, Azwan, lama dahulu. Beza di antara dia dan Huda ialah, dia sihat sewaktu ditinggal pergi. Sedangkan, Huda? Huda menempah bala ini sendiri!

Dari dulu, dia marahkan Huda bila dia mendengar cerita bahawa Huda mengizinkan Fauzan berkahwin lain. Dari dulu, dia sudah menyangka keadaan ini pasti berlaku. Antara Laila dan anaknya ini, pastilah Laila menggunakan kelebihan diri untuk menguasai suami. Dia serba sempurna, tetapi tidak Huda! Sebaik-baik Fauzan pun, pastinya akan berubah hati juga. Kini, mereka sudah mempunyai cahaya mata. Pastilah, masa Fauzan akan lebih banyak diluangkan ke sana. Dalam sedar atau tidak, isteri yang lumpuh ini akan mula merasa disisihkan! Pasti Huda akan merasakan bahawa kasih sayang Fauzan kepadanya beransur hilang!

“Huda kena belajar menerima hakikat hidup, kan, umi? Huda kena belajar hidup sendiri. Kena faham, yang Huda sedang kehilangan kasih sayang Fauzan.” Huda berbisik, seolah-olah semua itu untuk menguatkan hatinya. Seolah-olah untuk meminta Allah memberi ruang waktu untuk dirinya belajar menghadapi penolakan Fauzan suatu hari nanti. Belajar menangani sebuah kehilangan. Walau pahit! Walau payah! Walau tanpa rela!
.................................

5

“Kenapa dengan kamu, Fauzan? Gelisah aje tu?” Puan Amnah yang sedang sibuk memakaikan baju ke tubuh cucunya, bertanya.

“Ni, si Huda ni! Dah berkali-kali saya telefon, tak dijawabnya! Dah dekat 10 minit! Ke mana perginya?” Fauzan melahirkan kebimbangan.

“Mak, dengarlah tu! Kalau dengan si Huda tu, mak, bukan main risau anak mak ni! Lela yang dah berikan dia anak ni, tetap nombor dua pada dia!” Laila menyindir. Ya, memang selama ini, hatinya sentiasa disakiti oleh Fauzan dan tindakannya. Dia yang serba sempurna tidak dapat menyaingi Huda yang lumpuh!

“Abang tak pernah membeza-bezakan di antara isteri-isteri abang, Lela!” tukas Fauzan.

“Yalah tu!”

“Abang nak balik tengok Huda. Entah apa yang dah jadi pada dia. Risau rasa hati abang ni.” Fauzan memberitahu.

“Tapi, malam ni, giliran abang di sini, tahu! Mana adil macam ni?” Laila membentak.

“Lela, cubalah bertimbang rasa sikit! Dia cacat tahu! Entah-entah, dia jatuh kat bilik air ke? Dia tinggal berdua aje dengan mak! Mana mak larat nak angkat dia?” Marah Fauzan.

“Fauzan, sudahlah tu! Bini kamu tu, sihat aje! Janganlah sebab sayang yang di sana, yang kat sini kecil hati dengan kamu. Dah! Tak payah pergi sana. Mari sini, tolong jagakan Alif. Mak dengan Lela nak ke dapur sekejap!”

Mahu tidak mahu, Fauzan akhirnya akur. Dia tidak tahu bahawa di saat ini, Huda sedang diusung di atas stretcher, di dalam ambulans, untuk di bawa ke Hospital Kuala Lumpur.

Setengah jam yang lalu, Huda terjatuh di luar pintu bilik air ketika dia ingin masuk mengambil air sembahyang. Dia yang sedang mencuba untuk berdiri tersungkur di tepi pintu dengan kepala terhantuk di dinding dan berdarah. Puan Suri ingin menghubungi Fauzan namun nombor telefon lelaki itu tidak terdapat dalam senarai kontek di telefon anaknya.

Satu keluhan dilepaskan. Lepas satu, satu, ujian untuk Huda. Bilakah ia akan berakhir?
.................................

6

Fauzan bergegas menuju ke wad yang telah ditunjukkan oleh jururawat bernama Mila kepadanya. Hati dipenuhi kemarahan. Rasa geram tidak dapat ditahan. Marah? Usah ceritalah! Pasti akan dihamburkan nanti!

Sepanjang malam dia tidak boleh lena. Sebaik usai mengerjakan solat Subuh, dia terus meninggalkan rumah Laila dan memandu ke rumah Huda. Sebaik ingin membuka pintu pagar, jiran sebelah rumahnya, Puan Malar segera datang kepadanya dan bertanya,

“How is she? Is she okay now? You know what, Fauzan, when we saw blood on her head, we were so scared.”

Fauzan memandang wajah perempuan India di hadapannya dan meminta wanita itu menceritakan apa yang berlaku. Dia diserbu rasa malu! Sungguh, begitu jelas sikap tidak bertanggungjawabnya! Isteri sendiri terjatuh dan terpaksa dihantar ke hospital dengan menaiki ambulans. Kesalnya dia!

“Apa khabar Huda, mak?”

Puan Suri segera menoleh memerhati wajah menantunya. Wajah yang selalu kelihatan tenang itu nampak kemerah-merahan, seolah-olah sedang menahan marah.

“Doktor cakap, dia tak apa-apa, Fauzan.”

“Kenapa tak telefon saya?”

Puan Suri menghulurkan telefon bimbit Huda kepada menantunya. “Mak tak jumpa nama dan nombor telefon kamu.” Dia memberitahu.

Berkali-kali Fauzan membelek-belek telefon bimbit Omnia itu. Hatinya sakit kerana namanya tiada di dalam senarai. Huda sengaja membuangnya. Tentu alasannya mudah sahaja. Kalau terjadi apa-apa, dia tidak mahu Fauzan diganggu.

Tangan Huda digenggam dan dibawa ke bibir.

“Baby, berapa banyak lagi pengorbanan yang you nak berikan pada I, hah? Kenapa tak mahu faham hati I ni? I cintakan you, B. Cintakan you sepenuh hati I ini, biar di hadapan I ada 100 malah ada 1000 Laila, pun! You faham tak, baby?” desahnya.

“Sayang, you dah ada anak dengan Laila. Dah sepatutnya, I dibuang jauh daripada hidup you. Kasih sayang you kena penuh pada diorang. Jangan biarkan rasa bersalah you mengikat you pada I.” Huda yang baru tersedar, berbisik lemah.

Fauzan menatap seraut wajah yang penuh duka itu dalam-dalam. “Masa I akur dengan permintaan you untuk kahwin dengan Lela, B, I dah berjanji untuk bersama-sama dengan you sampai kita mati. Jadi, janganlah you nak mintak berpisah dengan I pulak. I yang menyebabkan you jadi macam ni. I yang bawak kereta tu, kan? Kalau I lebih berhati-hati...”

“Jangan! Jangan menyesal! Semua ini kehendakNya!” Huda mendesah bersama linangan air mata. Sesungguhnya, dia tidak suka mendengar Fauzan menyalahkan diri. Dia tidak mahu Fauzan terus dihantui rasa bersalah. Sungguh! Dia pasrah dengan keadaan dirinya jadi dia juga mahu Fauzan begitu!

“You ni kan, baby..... I tak tahu sama ada nak marah atau nak cium you. Dengan I, pandai aje you suruh supaya tak mengingati kejadian tu. You suruh I lupakan kesilapan I! Tapi, you, baby? You nak kita berpisah. You nak mintak I tinggalkan you. Mana boleh macam tu, baby? Mana boleh!” bentak Fauzan bersungguh-sungguh.

Huda menolak juntaian rambut Fauzan di dahi. Membelai rambut suami dengan penuh kelembutan. “Sebab I ni tak berguna, sayang. I hanya akan buat you susah. Tengok macam hari ini, you terpaksa datang tengok I sedangkan you sepatutnya dah berada di pejabat.”

Fauzan tidak berpuas hati, “You ni dah gila ke apa, baby? I ni suami you. Tentulah I datang bila diberitahu yang you sakit. Ni, yang you buang nombor I dari fon you, kenapa? I dah tak penting dalam hidup you ke, baby? You sengaja menolak I jauh-jauh daripada hidup you. I dah rasa tak berdaya, B. Kalau you terus-terusan buat I macam ni, kita akan makin jauh, you tahu tak?”

“Mohd Fauzan, I nak ceritakan perasaan I pada you. Maafkan I, sebab panggil nama aje, ya. Dengar dulu, tolong jangan marah, okey!”

Fauzan mengangguk lesu.

“I bukan sebaik yang you harapkan. Tiap malam bila giliran you di sana, I tak boleh lena. I benci diri I yang cacat ni. I benci menjadi seorang perempuan yang tidak sempurna. I asyik menyalahkan takdir. Bila you called beritahu you dapat anak lelaki dengan Lela, hati I hancur sangat. I yang sepatutnya beri anak pada you dulu, bukan dia. Fauzan, tolong hentikan penderitaan I ini. Hanya you yang boleh menghentikannya. Bila you bebaskan I, I akan melupakan you dan you dah ada pengganti I. Please...., kasihankan I. I rayu pada you, demi cinta kita yang dah tak ada makna apa-apa lagi tu, let me go. Please, let me go!”
.............................................

7

5 tahun kemudian

Di Taman Permainan Kanak-kanak, Taman Permata

Sepasang mata redup memandang sekumpulan kanak-kanak sedang bermain-main dengan riang gembira. Arghh, namanya pun kanak-kanak, kan? Manalah mereka kenal erti letih, penat, malas, benci...Bagi mereka, hidup ialah keseronokan dan keriangan.

Sudah hampir sejam dia duduk di atas bangku ini namun pemandangan di hadapannya tidak langsung menjemukan. Hati tersentuh melihat mereka. Sesekali senyuman tersungging di bibir menyaksikan gelagat-gelagat lucu yang dipersembahkan. Sesekali bibir diketap geram bila ada di antara anak-anak kecil itu yang sedikit nakal dan mengusik yang lain. Namun, dia tetap terhibur melihat mereka.

“Nasib baik, petang ni, suami saya ajak makan di luar. Kalau tidak tak tahulah betapa kalut nak menyediakan menu berbuka puasa. Nak diajak pulang, tak mahu dia! Ni terpaksa tunggu ayah dia datang ambil. Kalau tidak.....”

Masing-masing tersentak bila saling berpandangan. Berderau darah dari wajah. Pertemuan yang tidak disangka-sangka akan terjadi, terjadi juga.

“Huda...” Laila menyapa perlahan. Seraut wajah itu ditatap dalam-dalam.

Huda menguntum senyum. Tangan dihulur untuk bersalam. “Apa khabar, Lela? Tak sangka kita jumpa lagi, kan?” Tangan yang baru dilepaskan mengusapi perut Laila yang memboyot. “Anak ke berapa ni?” tanya dia.

“Ketiga.” Laila menunjuk ke arah kanak-kanak lelaki yang memakai seluar pendek berwarna biru dan baju nipis berwarna putih. “Itu anak sulung kami, Alif.” Kemudian jari menuding pula ke arah anak kecil yang sedang diawasi oleh seorang pengasuh berketurunan Indonesia. “Yang tu, anak kami yang nombor 2, Humaira.”

“Dua-dua nampak cerdas dan cergas, ya?”

“Alhamdulillah! Huda tinggal di kawasan ini ke?”

Huda dapat mengesan nada kerisauan dalam suara Laila yang bergetar. Dia menguntum senyum. Hati nakal merasa ingin mengusik wanita ini.

“Ya. Saya baru beli rumah Corner Lot, tu!” Ibu jarinya menuding ke arah rumah yang dimaksudkan. Sebuah rumah dua tingkat yang baru sudah diubahsuai.

“Owhh, Hudalah pemilik rumah tu? Kitorang hari-hari pergi tengok rumah tu masa tengah ‘renovate’. Cantik sungguh! Tak sangka pulak itu rumah Huda.” Entah apa yang melintasi fikiran Laila ketika itu, Huda tidak mahu memikirkannya namun bila pandangan wanita itu tertuntas pada kedua-dua belah kakinya, dia tersenyum sinis.

Mungkinkah Laila memikirkan dirinya membazirkan wang kerana membeli rumah dua tingkat sedang diri lumpuh tidak berkudrat?

Tiba-tiba sepasang mata menangkap satu pergerakan di kalangan kanak-kanak itu. Seorang lelaki sedang mengangkat tubuh seorang kanak-kanak lelaki dan kini sedang menggomolnya, membuat anak kecil itu ketawa dalam kegelian. Mereka kelihatan bahagia. Ya, Fauzan jelas bahagia sekarang. Ketawa riangnya mengisi taman.

Laila mencuri pandang wajah Huda yang kini sedang leka memerhati suaminya. Hati tiba-tiba merasa tidak enak. Bimbang memikirkan kemungkinan-kemungkinan.

‘Tuhan, janganlah kehadirannya merosakkan hubungan antara aku dan Fauzan. Tak rela! Tak rela! Fauzan sedang cuba melupakannya. Mengapa dia harus kembali?’

Dada Fauzan bergetar demi melihat wanita yang duduk di sisi Laila. Sudah 5 tahun, dia melepaskan Huda pergi dari hidupnya. Dengan segala kepayahan, dia berusaha melupakan kenangan mereka. Dengan segala kesusahan, dia berusaha untuk memberi sepenuh tumpuan kepada keluarganya. Kepada Laila, Alif dan Humaira. Dan, 2 bulan lagi, anak perempuan keduanya pula akan menjengah dunia.

“Huda rupanya! Hampir tak kenal tadi.” Fauzan menyapa dalam debar.

“Kenapa? Saya nampak tua ke?” Huda mempersenda.

“Eh tak adalah! Nampak makin cantiklah, you ni, baby!”

Huda menggelengkan kepalanya. Fauzan masih seperti dahulu. Tidak pandai mengawal emosi. Tidakkah dapat melihat wajah Laila yang sudah berubah kelat? Sudah masam mencuka? Buta ke apa? Desis hati Huda.   

“Janganlah ‘baby’ kan I, Fauzan. Dah tua ni. Lagipun...”

Huda mengukir senyum namun Fauzan tahu bahawa senyuman itu bukan untuknya. Dia segera berpaling ke belakang. Di hadapannya kini, seorang lelaki sedang bergerak merapati mereka. Lelaki itu berpakaian seluar track dan baju sukan. Sempoi kelihatannya.

“Wah, kejapnya isteri abang ni dapat kawan?” ucap lelaki itu sambil merapati Huda. Tangan Huda ditarik dan kini Huda sedang berdiri di sisi lelaki itu. Sepasang tangan sasa meraih pinggang Huda untuk dipeluk erat. “Kenalkanlah abang dengan kawan-kawan Huda ni!” pintanya manja.

“Abang, kenalkan, ini Fauzan, bekas suami Huda. Dan, ini Laila, isterinya. Laila, Fauzan, ini Dr Fuad, suami saya.”

“Alhamdulillah! Abang tumpang gembira mendengar berita ini. Kan, Laila?” Fauzan berkata setelah agak lama suasana hening sepi. Laila hanya mampu mengangguk.

“Huda, jom! Dah dekat nak berbuka dah ni!” Dr Fuad mengajak Huda pulang.

Huda mengangguk. Wajah Fauzan ditatap seketika sebelum tubuh Laila dirangkul erat-erat. “Saya doakan awak bahagia selalu dengan Fauzan dan anak-anak!” bisiknya di telinga.

Laila berasa amat terharu. “Terima kasih, Huda. Terima kasih.” Balasnya.

Fauzan memerhati Dr Fuad memimpin tangan isterinya, tangan bekas isterinya, Huda, ke kereta. Air mata bergenang kerana dia merasa amat kehilangan. Namun dia segera sedar. Jodohnya bersama Huda sudah tiada. Kini, Huda pastinya sedang meniti bahagia bersama-sama Fuad. Bertuahlah Fuad, fikirnya. Kini, Huda tidak lumpuh lagi!
...................................

8

Huda ketawa, mula-mulanya perlahan sahaja namun lama-kelamaan, ia menjadi kuat dan semakin kuat.

Fuad mengerutkan dahi. Tidak memahami mengapa Huda segirang ini.

“Seronok sangat jumpa bekas suami, ya, sayang? Sampai lupakan abang kat sebelah ni!” Sengaja Fuad menuduh begitu, untuk menguji perasaan isteri yang sudah dua tahun dinikahi. Yalah, mungkin hati tercuit berjumpa cinta pertama, kan? Itu lelaki pertama bertakhta di hati. Lelaki pertama mencuri hati, pertama dalam serba serbi!

“Janganlah nak cemburu buta, bang. Dia kisah lama Huda. Tak ada sikitpun hati Huda ni terusik bila nampak dia tadi, okey!” Huda membalas manja.

“Habis tu, kenapa ketawa?”

“Abang nampak tak rumah yang dekat penjuru padang tadi tu?” Bila Fuad mengangguk, Huda terus memberitahu, “Huda cakap, itu rumah Huda. Pucat muka Laila, bang. Agaknya sekarang ni, dia sedang mengurut dada kalau dia tahu yang Huda sengaja mempermainkan dia.”

“Iya, kalau macam tu, bukan Laila sorang aje yang merasa lega. Abang pun! Hisy, memang nasib baik, kan, itu bukan rumah kita? Kalau duduk dekat-dekat, mana tahu kut-kut bunga-bunga cinta kan mek........  Aduiii, duiiii....janganlah cubit! Aduh! Sakitnya mak oi!”

Huda menjeling wajah tampan di sisi yang masih menyeringai kesakitan. ‘Biar dia rasa! Suka sangat mengusik!’ dengusnya.

Fuad memberi signal untuk ke bahu jalan. Sebaik kereta diberhentikan, dia berpaling memerhati Huda. Dia kemudian bertanya dengan suara yang cukup tegas.

“Siapa suami Huda sekarang?”

“Ahmad Fuad bin Roslan.”

“Huda cintakan dia?”

“Dia menceriakan hidup Huda sejak hari pertama Huda mendapat rawatan fisioterapi daripada dia. Dia mengisi semula hati Huda dengan cinta, selepas Huda terluka. Kerana cintanya, Huda berusaha untuk sembuh. Kerana cintanya, Huda beusaha untuk melupakan semua derita lama. Puas hati?”

“Okey! Itu aje abang nak tahu! Dah nak Maghrib dah ni. Nanti tak sempat sampai ke rumah pulak, bising mak-mak kita yang dua orang tu! Ada apa-apa Huda nak cakap lagi?” tanya Fuad.

“Mmm, tak ada kut?”

“Abang sayang awak!”

Huda tersenyum senang. Bisikan itu menggetarkan sukma.
.........................................
Untuk anda, bacalah, k!
sofi  







    
                   

84. bakal tiba

Aku kembali atas desakan rindu ini! 5 tahun aku di sana, Zulfi. Setiap detik, setiap waktu, aku belajar untuk melupakanmu. Mencuba menjadi seorang wanita yang kuat setelah cinta pertama ini gagal sebelum sempat kuluahkan......
- Fatin Nadia

Kau tahu, selama itu aku tak pernah dapat melupakanmu. Rinduku, kupendam jauh di laman hati. Mengharap agar satu waktu kau kembali kepadaku. Cintaku masih ada untukmu. Andai kau sudi, akan kuhulurkan tangan ini dan tidak kulepaskanmu menjauh untuk sekali lagi!
- Zulfi Rahimi.

Melihat mereka, hatiku tertanya-tanya... Masih adakah cinta? Bagaimana aku? Bagaimana anak-anakku? Akan kubiarkankah atau mesti kupertahankan milikku? Aku tidak mahu tewas! Tapi, sememangnya dia lebih berhak, bukan?
- Husna Kamilla

Sudah berkali-kali kuketuk pintu hatimu. Kau malah tidak berkisah! Katamu, aku hanya kawan, namun sesekali bila kau alpa, aku dapat menyingkap topeng yang sengaja kau hamparkan di permukaan. Kau bisikkan padaku bahawa aku sudah terlewat! Tapi, sayangku, aku tidak kenal erti jenuh. Aku tidak akan pernah jemu! Menunggumu! Menyintaimu!
- Danial Edwards Hakim.
........................................................................................
tunggu dan nantikan episod 1 Di Persimpangan Kasih. Adaptasi dari cerpen, Antara Dua. harap anda setia bersama sofi, hehe!

Tip 3: merawat luka...

salam...

ditinggalkan pergi, amat menyeksakan.
jiwa sesak, fikiran kacau malah diri penuh resah.
namun sampai bila mesti merintih?
sampai bila harus bersedih?
sampai bila hendak melayan perasaan?

situasi yang manakah yg dialami?

1.putus kasih? si dia pergi kerana kamu berdua sudah tidak sehaluan?
kalau begitu, usah bersedih. .tak ada yg perlu kamu sesalkan!.bergaullah dengan masyarakat. jangan biarkan orang lain berbincang tentang perpisahan kamu. usah biar mereka mengata-ngata. yang penting, jangan bersendirian (untuk sementara waktu sahaja) sebab kamu akan asyik teringatkan dia. membayangkannya! Payah tu! ingatlah bahawa satu yang pergi, akan ada pengganti yang mendambakanmu. 


2. ditinggal kekasih yang pergi tak kembali?
inilah yang paling sukar diterima. saat dia diperlukan, dia tidak ada menjadi peneman. kawan, jika inilah kamu, bacalah novel P.S I LOVE YOU. atau totonilah cerita lakonan adam sandler dalam filem bertajuk sama yang diangkat drpd novel tsb. kamu pasti tersentuh


jika kamu merasakan hidupmu sudah tidak bererti lagi, maka cuba bayangkan nasib anak2 yg terbuang di rumah-rumah kebajikan. anak2 yang ditinggal pergi oleh ibu dan ayah yang tidak sanggup berdepan dengan masyarakat selepas mereka melakukan kesilapan. apakah nasib anak2 malang ini lebih baik daripada kamu?


sekiranya kamu ada masalah, yahoo answers boleh membantu kamu.(iklanlah pulak!)


sekadar meluahkan!

83. sinis

LUAHAN

salam...
bukan hobi menukar template sebenarnya....tetapi mencuba mencari yg cantik dlm masa sama cepat dibuka. sebab itu template luahan ini selalu berubah-ubah. yg berkenan di mata, dah susah dilihat. kdg2 ambil masa berminit2 nak load. tu yg buat aku geram tu!

jd selepas berfikir2, aku menetapkan hati pd template ini. harap kekallah kecintaanku walau msh tidak puas hati dlm beb aspek.

aku suka pd comment form wordpress tp bila msk template wp2b, hancus!
aku suka read more kat sblh knn tp x dpt dibuat sampai skrg.

kesimpulan: tak semua yg kita nk, kita dapat.... hehe, boleh jd novel / cerpen baru ni, kan? kan?

so, u all dah baca cerpen cintanya yg gila....
aku buat tu ms kepala tgh biul kut huhu...

cheerio dr sofi.