apa yang nampak, apa yang rasa, apa yang dengar

17.12.10

TEPATI WAKTU, TAKLAH PERLU DIDENDA, KAN?


tinggal di KL memang jerih. jadual hidup perlu diatur dengan baik terutama yang melibatkan pergerakan di jalanraya. maklum, kesesakan lalulintas sentiasa mengganggu urusan.

bagi mereka yang ada kedai di pusat-pusat membeli-belah ataupun di pasar seni, mereka terikat pula dengan jadual harian membuka dan menutup kedai mereka itu. di pasar seni, kedai mesti dibuka sebelum jam 10.30 pagi. kalau buka lewat, bermakna RM50 melayang untuk membayar denda. RM50 bukan sedikit, tau! sayanggg...


KUALA LUMPUR: Denda RM50 yang dikenakan pengurusan sekiranya lewat lima minit membuka atau menutup premis menimbulkan ketidakpuasan hati dan didakwa menyusahkan peniaga di Pasar Seni, di sini.

Peraturan denda yang dikenakan lebih setahun lalu itu membebankan kerana peniaga perlu membayar duit tambahan selain sewa bulanan sebanyak RM3,000.

Seorang peniaga, M Sumathi, 26, berkata peraturan itu tidak adil kerana kedainya selalu diambil tindakan hampir setiap bulan antara RM100 hingga RM200 bergantung kepada kelewatannya membuka gerai.

Katanya, sebagai peniaga tindakan itu menyusahkan berikutan kelewatan membuka gerai yang tidak disengajakan memandangkan jalan sesak pada waktu pagi.

“Lewat lima minit pun kena kompaun RM50 bayangkan sekiranya setiap hari denda itu dikenakan kepada kami. RM50 bukannya kecil bagi kami kerana pendapatan sebagai peniaga bukannya besar pun. Saya harap pihak berkenaan mengkaji semula peraturan ini bagi meringankan beban kami,” katanya ketika ditemui di kedainya di Pasar Seni, di sini.

Pengusaha kedai cermin mata, Wendy, 54, berkata kedainya juga pernah dikenakan denda disebabkan kelewatan membuka premis kerana jalan sesak.

Katanya, pihak pengurusan mengenakan peraturan ketat kerana mahu peniaga membuka kedai tepat pada waktunya tetapi ia memberi kesan buruk kepada peniaga.

“Sewa kedai mahal ditambah denda dan jualan yang tidak memberangsangkan membebankan dan kami sangat berharap pengurusan bertimbang rasa,” katanya.

Peniaga cenderahati, Amirah Yahya, 30, berkata tindakan yang dikenakan pengurusan ada baik dan buruknya kerana ia boleh mendisiplinkan peniaga memandangkan tempat itu menjadi tumpuan pelancong asing.

Katanya, sekiranya peniaga tidak mahu dikenakan tindakan mereka perlu membuka kedai sebelum jam 10 pagi dan menutupnya selepas jam 9.30 malam.

“Ia juga boleh menjaga imej peniaga Malaysia kerana menepati masa dan gigih berusaha mencari rezeki,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Pasar Seni, Cheong Wai Mun berkata, peniaga sudah bersetuju dengan peraturan itu apabila mereka menandatangani perjanjian dan surat tawaran di pejabatnya.

“Mereka perlu mengikut peraturan ditetapkan bagi menjaga imej negara di mata pelancong selain membantu meningkatkan pendapatan. Kita membuat peraturan itu sama seperti pusat beli-belah lain kerana tidak mahu pelanggan menunggu peniaga yang lewat membuka kedai,” katanya ketika dihubungi.

aku sokong dengan apa yang amirah cakap. nak berniaga, buat cara nak berniaga. kita menumpang tempat orang, kenalah ikut peraturan yang orang sediakan. aku juga sokong kata si pengurus tu, imej malaysia perlulah juga dijaga di mata dunia sebab pasar seni tempat favourite mereka.

sumber: hmmetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.