Langkau ke kandungan utama

MASIHKAH CINTA 9

Assalam. sambungan MC dh masuk. tapi kan.. x bestlah kalau xde muka hero, kan? muka heroin xde, x apa lagi, betul x? So, nnt tempelkanlah wajah Luqman ya. kalau sudilah. kita share2 hehe...
.................


Perutnya yang lapar membawa dia ke sini. Sebaik meletakkan punggung ke atas kerusi tangan laju sahaja melambai ke arah pelayan restoran. 


"Encik nak makan apa?"


"Sate 20 cucuk. Ayam 10, daging 10. Nasi Goreng Kampung, 1. Minuman...  saya nak barli ais." 


Sebaik sudah membuat pesanan, sepasang mata ligat memerhati keadaan di sekeliling. Mata tiba-tiba terpaku ke suatu sudut. Berderau darah mudanya. 


"Qistina? Simon? Apa dia orang buat ni? Dating ke?" tanya hati. 


Kepala segera digeleng. "Takkanlah dia orang ada apa-apa kut? Simon tu!" kutuk hati. 


"Sejak bila? Kenapa aku tak tahu pun?" 


Hati mencongak sendiri, mencari perubahan yang berlaku kebelakangan ini. Yang nyata, dia masih seperti dahulu. Tak ada yang berubah. Dia masih dirinya. Mifzal Luqman yang sama. Happy Go Lucky orangnya. Pembenci wanita tentunya! 


Kalau dia tak berubah, pastilah Simon yang berbeza, bisik hati. Dan, sememangnya, hati sudah lama mengesyakinya. 


"Memang dia! Dia tak minum dah... tak mabuk. Tak mahu ke kelab, no clubbing recently... Ya! Tak salah lagi! Memang Simon yang berubah. Tapi..."


Hati mula berbisik marah. 


"Simon guna taktik aku? Dia ambil kesempatan selepas aku tarik diri? Tapi, dia pun tahu kenapa aku mengalah, bukan?"


Sejak mendengar cerita sedih Qistina daripada Maheran, segala rancangannya untuk mendekati Qistina, dibatalkan. Masakan dia hendak mengenakan wanita yang pernah menjadi mangsa kepada suami sendiri? Masakan dia hendak bertindak zalim kepada seorang isteri yang diceraikan dengan fitnah rekaan suaminya? Dia bukan gila untuk menyusahkan hidup wanita yang pernah menderita akibat perbuatan kaum sejenisnya. Tidak!


Patutlah begitu beria-ia Qistina menolak dirinya. Patutlah begitu bersungguh-sungguh Qistina menolak segala pemberiannya. Mungkin perkataan 'Serik' mengikat hati wanita itu. 


Kerana itu dia cuba menjauhi diri. Dia cuba melupakan wanita itu. Dia tahu, dia tidak layak. Dia lelaki yang penuh dosa sedangkan Qistina? 


Qistina terlalu istimewa. Terlalu baik untuk didekati! 


Tapi, apakah yang dilakukan oleh Sameon? Cuba menggoda? Cuba mengurat Qistina? Potong jalan? Ahh, sahabat baik yang begitu akrab, yang tahu setiap tindak-tanduk dan perbuatannya, dan keinginannya, dan apa mahunya... kini sedang mengambil kesempatan!


Hatinya terluka dengan tingkah Sameon. Sedih kerana Sameon menikamnya daripada belakang. Sanggup Sameon mendekati Qistina menggunakan taktik kotor begini? Setelah tahu yang dia mengalah, kini Sameon pula cuba mengurat wanita itu. 


Dan Qistina? Begitu beria-ia menolak dirinya yang maco ini tetapi dengan si sotong tu elok pula melayan? apa punya selera? 


Sameon tahu, Qistinalah wanita dambaan hatinya. Sameon tahu, Qistinalah penyebab kepada segala duka laranya kini. Sameon tahu, Qistinalah... hanya Qistina, satu-satunya perempuan yang telah mengetuk pintu hati seorang Mifzal Luqman. Sameon tahu, amat tahu... betapa dalam hati Luqman hanya ada Qistina.


Tapi tengoklah apa yang terjadi sekarang? 


Sotong itu sanggup merampas Qistina daripada dirinya! Sotong itu sudahpun mengkhianatinya! 


Sedih! Itulah yang dirasainya. Merajuk! Tentulah! Dan, kerana sedih juga kerana merajuk, dia tidak sanggup berada di dalam kedai makan itu lagi. Dia mesti pergi dari situ!


Luqman bangun! Biarlah tidak makan, tidak mengapa! Lagipun perut dah sebu. Asalkan dia dapat menjauhkan diri daripada bayang-bayang yang sedang menhantuinya ini! Dia mesti menjauhkan diri daripada kemesraan yang terlihat. Dia tidak sanggup memandang mereka yang sedang riang bergelak ketawa. Dia tidak sanggup merenung Qistina kesayangannya itu ceria di samping Sameon. Sungguh! Dia tidak mampu menerima hakikat ini!............


"You know what? Sate Hj Samuri ni sate kegemaran Man, tau! Dia,sekali hadap boleh habis 30 cucuk!"


"Sorang?"


Sameon angguk. 


"Kuatnya makan!" 


"Dia memang macam tu. Kalau suka sesuatu, memang overdose la!"


Cara Sameon bercakap tu buat Tina senyum sinis. "Nak kenen sayalah tu!" 


Kali ini Sameon berwajah serius. "Abang risaukan dia, Tina!"


Tina angkat kening namun dia tidak menyahut. sengaja hendak membiarkan Sameon meneruskan bicara tanpa gangguan. 


"Dia asyik minum. Mabuk! Tiap-tiap malam, Tina! tentu sebab dia nak lupakan Tina."


"Dia ada masalah kat syarikat dia kut. Pandai-pandai aje abang cakap semua tu kerana saya pulak!" sangkal Tina.


"Nama Tina kat bibir dia masa dia mabuk, tahu tak? Dia tak pernah sebut nama perempuan lain setiap kali dia minum air syaitan tu..."


"Sebab dia benci saya!"


"Tak! Dia tak benci Tina. Dia benci diri dia sebab dia rasa dia tak layak untuk Tina."


"Bukan itu caranya!"


"Itu cara yang dia duk guna selama ni!"


"Abang pujuklah dia. Kalau abang boleh berubah ke arah kebaikan kenapa dia tak boleh?"


"Kalau abang boleh pujuk dia... Eh, itu Luqmanlah, Tina!"


Tina melihat ke arah yang Sameon tunjukkan. 


"Nampak tergesa-gesa aje dia tu. Nak ke mana agaknya?" tanya Qistina.


"Biar abang panggil dia.  Boleh dia join kita, kan?"


Qistina jongket bahu.     "Luqman!!"


Luqman yang mendengar suara Sameon memanggilnya tiba-tiba berasa sakit hati pula. 


"Dia panggil aku? Kurang ajar punya Sameon! Tu tak lain nak menunjuk!" gumamnya. 


Sameon kerut dahi kerana hairan dengan perangai Luqman yang sengaja pura-pura tak dengar suara dia. Luqman bukannya pekak! 


Ni mesti kes cemburu! hatinya mengomel. 


Dari tempat dia duduk, Qistina memerhati tingkah dua sahabat baik itu. Dia mencebik. "Mamat tu dah pekak agaknya. Tak pun dia tengah mabuk. Eei, tak berkenan betullah aku dengan dia ni!"........


Di luar, kat tempat parkir kereta, Sameon menyauk tangan Luqman. 


"Man!! Takkan kau tak dengar aku panggil kau kut?" tanya Sameon yang dah mula marah. 


Luqman berhenti melangkah. Penumbuk sudah dikepal. Dia nekad! Kalau kawan baik sendiri sanggup makan kawan, tidak ada apa-apa lagi untuk dipertahankan. Biar berpatah arang! Biar putus hubungan, tak apa! 


"Man, kau..."


"Dup!" 


Tak sempat habis ayat Sameon dah kena penumbuk si Luqman.


"Tu sebab kau tak jujur dengan aku!" marahnya sambil mengetap bibir. 


Mata Sameon berpinar. Pening sekejap. 


"Aku kawan kau, Meon! Kawan baik kau! Tapi, ini yang aku dapat jadi kawan baik kau? Kau khianat dengan aku! Kau tikam aku dari belakang! Kawan jenis apa kau ni hah?" jerkahnya. 


"Awak! Apa awak buat ni? Kenapa tumbuk muka Abang Sameon ni? Awak dah gila?" jerit Qistina yang baru saja duduk melutut di sebelah lelaki itu.  "Abang tak apa-apa, Tina." 


"Banyak darah ni, bang. Tak boleh dibiarkan ni! Mana sapu tangan? Biar saya lap!" 


Qistina masih berkeras ingin mengelap darah itu namun dengan tangan terketar-ketar, Sameon cuba melakukannya sendirian. Bila Qistina cuba merampas sapu tangan, dia menepis perlahan.


"Toksah! Biar abang buat sendiri!" 


Bulat mata Qistina memandang Luqman yang kini sudah bergerak menjauh. 


"Weh, awak nak pergi ke mana tu?" tanya dia.


Luqman berhenti melangkah. 


"Suka hati akulah nak pergi ke manapun! Yang kau sibuk nak tahu apasal?" tanya dia, kasar.  


Mendengar suara Luqman, Sameon sudah tergelak-gelak.   


"Kau cemburu tengok kami?" soalnya lembut.


"Tak! Aku tak cemburu! Tapi aku marah! Marah sangat pada kau."


"Man, aku dengan Tina tak ada apa-apa. Kami..."


Luqman panas hati semula. Dengan langkah yang laju, dia menghampiri Sameon yang masih terduduk di sisi Qistina. Sekali lagi, tanpa sempat ditahan, dia melayangkan penumbuk di pipi Sameon. Kali ini, bukan sekali malah dua kali sebelum Qistina cuba menolak tubuh lelaki  itu menjauh daripada Sameon. 


"Awak dah gila ke? Awak tak nampak darah yang dah keluar dari mulut abang Meon ni? Awak buta?" 


Luqman mendengus geram. Hatinya sedang terlalu sakit. Terutama bila dilihat sikap Qistina yang terlalu mengambil berat. 


“Man, kau kena percaya cakap aku. Aku dengan Tina tak ada apa-apa.” 


Perlahan suara Sameon kedengaran.


“Diam! Kau jangan bercakap dengan aku dah. Aku tak nak dengar suara kau. Bodoh!” herdik Luqman. Akal waras sudah tewas. Nafsu marahnya sedang menguasai. 


“Man, percaya cakap aku, Man! Please!” 


“Aku peduli apa kalau kau dengan dia ni ada hubungan pun? Aku tak kisahlah!” balas Luqman, angkuh!


Qistina geram melihat sikap Luqman yang bagaikan budak belasan tahun. Langsung tak matang, fikirnya.


Sameon cuba sekali lagi untuk meyakinkan Luqman.


“Man, percaya cakap aku. Aku tak cintakan Tina. Tina tak cintakan aku. Kami memang cadang nak lunch sama-sama tapi hanya untuk makan, bukan dating. Kau dah salah sangka!” 


Luqman semakin panas hati. Laju-laju Sameon dihampiri semula. Sepantas kilat, satu lagi penumbuk mengena pipi lelaki itu tanpa sempat Sameon mengelak. Darah terpancut keluar dengan banyak sekali ini daripada mulut lelaki itu.


“Eee.. awak ni nak bunuh orang ke? Tolong mengucap boleh tak? Istighfar? Banyak sangat hantu, jin dan syaitan yang dah merasuk diri awak ni agaknya!" marah Qistina sambil memangku kepala Sameon. 


Panas dan bahang kemarahan semakin membara. Kini, Qistina pula menjadi sasarannya.


“Memang! Memang aku dah kena rasuk dek jin, syaitan semua! Salah siapa tu? Salah kau! Semua ni salah kau! Kau yang tak mahu tolong aku untuk berubah! Kau yang tak mahu bantu aku. Konon, kau bukan ustazah! Konon, kau bukan orang alim. Tapi, ni apa? Yang aku nampak ni apa? Hipokrit!” jeritnya. 


Qistina tak peduli pada kemarahan Luqman. Saat ini, dia benar-benar risaukan Sameon. Mata Sameon sedang terpejam rapat. Dadanya turun naik tetapi sangat lemah. Hidungnya, mulutnya... dari kedua-duanya, darah merah masih terus mengalir turun. 


"Abang Meon?" Qistina memanggil. 


Sameon sudah tidak berupaya untuk menjawab. Dia berasa sangat lemah. Dia sudah tidak mampu untuk membuka sepasang mata. Suara Qistina dirasakan semakin jauh. Keadaan sekeliling pula sudah semakin gelap. Gelap! Gelap!


Qistina tahu bahawa Sameon sudah tidak sedarkan diri. Dia mendongak merenung wajah Luqman yang kusut. 


“Awak, kalau awak nak marah saya, marahlah. Tapi bukan sekarang, ya! Sekarang, kita kena bawa Abang Sameon jumpa Dr Lily. Abang Sameon sakit. Ni, dia dah pengsan ni, wak! Kita kena bawak dia pergi sekarang juga. Tak boleh tidak! Tolonglah!”


Dahi Luqman berkerut-kerut. Rasanya, tumbukannya tadi bukanlah tumbukan padu. Takkanlah kena tumbuk macam itupun dah boleh pengsan pulak? Dalam marah, risau menjengah rasa.


“Awak?  Cepatlah! Kita kena bawa kawan baik awak ni ke Hospital Pantai, Ampang. Sekarang juga! Abang Meon perlukan rawatan segera. Tolonglah!”


Marah, marah juga tetapi bila mendengar rayuan Qistina yang lembut, cairlah hatinya. Lagi pula, Sameon tu kawan baik dia. Walau sakit hati dengan Sameon, dia tidak tergamak membiarkan lelaki itu terkulai lemah di atas kawasan parkir kereta ini.


Dia kemudian terus mendapatkan Sameon, lalu cuba menggerakkannya. Tetapi, Sameon sudah tidak sedar. Setelah puas mencuba, Luqman terus sahaja mendukung Sameon. Dan tidak lama kemudian, dia menggerakkan kereta menuju ke arah Ampang.


Apakah yang sedang terjadi? Mengapakah begitu payah untuk Sameon sedarkan diri? Apakah benar Sameon dan Qistina bercinta?


Aduhai, kusut fikiran Luqman memikirkannya.

Ulasan

  1. adui tak putus asa lagi si lukhman ni nak pasang jerat ye... hati2 lukhman jgn jerat makan tuan sudah.... merana sendiri nanti...

    kak nk lagi...

    BalasPadam
  2. hehehe....
    perasan juga Mifzal Luqman tu...
    tapi mana tau memang dia jodoh kedua Qistina...
    betul tak kak sofi...:-)

    BalasPadam
  3. @miznza84
    biasalah tu, hehe... tunggu ya nanti

    BalasPadam
  4. @seed169
    mmg betul, kan? ntah2 dialah jodoh si tina pulak, hehe

    BalasPadam

Catat Ulasan

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.

Catatan popular daripada blog ini

Cerpen: Dia Idaman Jiwa

1
“Hi, boleh aku duduk kat sini?”

Aliah mendongak. Demi terpandang sahaja wajah itu, air mukanya terus berubah. Riak tidak senang ditunjukkan kepada lelaki itu.

“Cepatlah jawab! Senang aje soalan aku tu. Boleh, jawablah boleh...”

“Kalau saya jawab tak boleh?”

Abid terus menarik kerusi yang bertentangan dengan gadis itu.

“Aku tetap duduk sini jugak.” Balasnya sambil tersengih-sengih.

“Macam tak ada tempat lain!”

“Banyak! Sana kosong. Tu, di belakang kau tu pun kosong. Tapi, aku saja aje nak duduk depan kau. Dah sebulan aku cari kau tapi tak jumpa-jumpa. Alhamdulillah, hari ini dapat juga. Kau apa khabar? Sihat?”

Aliah tidak menyahut. Sebaliknya, dia terus menyuap dan kali ini suapannya sengaja dilajukan, tidak lagi menikmati nasi campur yang dimakan. Ketika itu, dia hanya berkeinginan untuk cepat-cepat menyudahkan makan tengah harinya supaya dia dapat pergi dari situ dengan segera. Dia tidak mahu mengadap muka lelaki yang kini sedang berada di hadapannya walau sehebat, sekacak mana se…

Yang Terakhir: Versi Cerpen

1
“Kau dah habis fikir ke, Khairi? Perempuan macam Najiha tu kau nak bawak ke majlis Annual Dinner kita? Tak malu ke nanti bila orang gelakkan kau?” tanya Hafiz sambil mengerutkan dahi. Dia keliru dengan sikap Khairi Iqbal. Rasanya, selama mereka berkawan, belum pernah walau sekali pun, Khairi memuji gadis yang seorang itu. Gadis yang bernama Izzatul Najiha. Tup tup, hari ini, dia buat keputusan hendak menjadikan Najiha pasangannya semasa majlis kemuncak nanti. Hisy, pelik betul!
“Malu, memanglah aku malu! Tapi aku cuma nak gunakan dia saja. Nak buat Amalina cemburu.” Balas Khairi sambil menyisip air lemon perlahan. Sejuk rasa kerongkongnya bila air itu menerobos masuk ke dalam rongga.
Mata Hafiz buntang. Kepala tergeleng-geleng.
“Kenyataan kau tu lagi buat aku tak faham! Kalau kau nak buat Amalina cemburu, kau patut bawak perempuan lain. Bukan si Najiha yang macam hantu bungkus tu!”
Terlambak tawa Khairi Iqbal mendengar kata-kata sahabat baiknya itu. Hantu bungkus? Si Najiha tu?…

Inikah Cinta? : Versi Cerpen

1

"Ouch!"

Cepat-cepat Janet menghisap jari telunjuk yang terhiris tadi. Setelah kesakitan itu hilang, dia segera membasuh jari itu. Dia kemudian mengelap lalu membalut luka dengan plaster.

"Sakit? Itulah pasal. Mak Nah dah cakap, biar mak Nah aje yang buat tapi Janet degil sangat. Hendak jugak main-main pisau," sindir orang gajinya menyebabkan Janet ketawa besar.

"Inilah yang orang cakap, luka di tangan nampak berdarah. Luka di hati tak siapa tahu. Kan, mak Nah?"

Mak Nah melepaskan keluhan sebelum mencuri pandang ke arah wajah ayu di sisinya yang kini sedang tunduk dan berpaling ke arah lain. Hati mak Nah kini turut melagukan irama sedih yang pasti sedang berdendang dalam hati Janet. Biarpun sudah lama ia berlalu, pasti kenangan itu hadir kembali sebaik rangkap pepatah itu diungkap. Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula kisah cinta penuh keindahan. Ke mana hendak dicampakkan?

"Dah enam tahun... dia tentu dah lupakan saya. Tentu dah kahwin…