Langkau ke kandungan utama

MASIHKAH CINTA? 8


yang ni panjang sikit. harap2 anda semua suka! kali ni kak sofi letak aje. x dan nak tag sebab ada kerja nak dibuat. selamat membaca. 


Qistina mengambil masa yang lama untuk memahami apa yang sedang berlaku ketika ini. Wajah terkejutnya masih jelas terpapar. Rasa ingin sahaja dia menghantukkan kepala ke meja, manalah tahu kot-kot ini satu gurauan dalam mimpi-mimpinya? Tapi, dia tahu bahawa semua ini benar dan dia tidak mengigau, tidak berhalusinasi. Kereta Kia Picanto dengan nombor plat WUU 4321 itu sedang cantik terparkir di hadapan kedainya.


“Lelaki tu memang dah gila!” jeritnya seketika kemudian, menyebabkan semua yang sedang berada dalam ‘One Stop Info and Cafe’ terpegun. Terkejut mereka melihat Qistina. Tidak disangka-sangka, seorang wanita yang selama ini kelihatan tenang dan periang, kini sedang mengamuk sakan. Habis segala yang ada di atas kaunter ditolaknya menyebabkan pasu-pasu hiasan kecil jatuh bertaburan dan pecah berderai.


“Tina...” Maheran cuba memujuk. Risau melihat Qistina yang sedang naik angin itu.


“Dia ingat dia siapa, umi? Dia ingat Tina lahap sangat ke hendakkan kereta baru? Kalau Tina nak beli kereta, Tina boleh beli sendiri! Tina tak perlukan dia untuk berlagak belikan Tina! Tina benci lelaki macam ni! Tak faham-faham ke dia yang Tina tak suka dia? Tak suka! Tak suka!” Tina menjerit lagi, meluahkan rasa geram dan sakit hati. Dia sudah tidak mampu mengawal rasa. Kesabarannya tergugat melihat kereta baru itu!


Sampai ke hari ini, dia masih ingat pada sindiran Luqman ketika melihat dan cuba membaiki kereta kancilnya yang rosak dahulu. Macam-macam kutukan yang lelaki itu lemparkan. Buruklah, enjin berkaratlah, dah macam kereta lembulah... tapi ketika itu dia pekakkan sahaja telinganya. Malah, sebaik sahaja enjin kereta itu dapat dihidupkan, dia terus berlalu tanpa sedikit pun menoleh apatah lagi untuk mengucapkan terima kasih.


Mana mungkin dia menyangka bahawa lelaki itu sampai sanggup memalukan dirinya begini? Membelikan dia kereta baru ini? Gilakah? Untuk apa dilakukannya? Mereka bukan kawan pun? Dan dia memang tidak pernah menganggap lelaki itu kawannya!


“Baru dua tiga kali ke sini, entah siapa-siapa aje dia tu, dah nak berlagak! Dia ingat Tina ni sengkek sangat ke, tak ada duit nak beli kereta? Bodoh!”


Tidak siapa yang berani mencelah atau cuba menasihati Tina, bimbang diri sendiri pula yang jadi mangsa. Jadi, masing-masing hanya diam. Cukuplah sekadar menjadi pemerhati. 


Suasana semakin sepi bila gerangan yang sedang dimarah sudah berdiri di hadapan pintu. Dahinya yang berkerut memerhati ke dalam mungkin menjelaskan rasa hairan melihat keadaan yang sunyi sepi itu. Senyumannya yang sedang menguntum di bibir, tidak siapa menyambutnya. Kerana, masing-masing tahu bahawa tidak lama lagi, lelaki itu pasti menjadi mangsa amukan Qistina.


“Eh hmm!”


Demi mendengar deheman itu, Qistina terus sahaja berpaling sambil membaling gugusan kunci kereta ke arah Luqman. Tepat kunci itu mengena hujung dahi lelaki itu menyebabkan darah terpercik keluar dan menitis laju. Namun hati yang sudah kering, tidak langsung mempedulikan kerutan wajah yang sedang kesakitan.


“Ambil kunci kereta tu dan bawak kereta awak tu balik. Faham?” jerkahnya.


“Tina!!! Astaghfirullah, apa yang Tina dah buat ni? Habis luka dahi Luqman ni?”


Tiada simpati mengetuk pintu hati Qistina. Tidak ada rasa bersalah juga. Wajah itu dipandang sekilas sebelum dia mendaki anak tangga untuk ke tingkat atas. Noor Qistina Qayyum ingin menenangkan hati dan fikirannya di atas sana.


Dahi Luqman berkerut menahan sakit. Sebaik lengguk Qistina hilang dari pandangan matanya, barulah kesakitan itu semakin terasa.


“Sakit ke, Man? Banyak darah keluar ni. Jom kita ke klinik. Nak kena jahit luka kamu ni,” bebel Maheran sambil menarik tangan Luqman yang masih terkejut. 


Luqman membiarkan sahaja Maheran membawanya ke klinik Dr Rahul, yang terletak di seberang jalan. Di dalam kepala, dia masih belum betul-betul dapat memahami mengapa Tina marah sangat kepadanya.


................


Mereka sudah kembali ke kedai. Akibat lontaran yang menepati sasaran, luka di dahi Luqman menerima 6 jahitan daripada Dr Rahul. Kini, dirinya dijamu dengan kek dan muffin bersama-sama air koko panas. 


Luqman berasa kasihan pada Maheran. Sudah berkali-kali wanita ini memohon maaf biarpun yang bersalah bukan dia, tapi Tina. 


“Makcik, relakslah. Saya tak apa-apa dah." Luqman cuba memujuk. Entah kenapa, bila dia hampir dengan wanita ini, hilang segala rasa marahnya terhadap kaum perempuan. Baginya, sikap prihatin Maheran kepada dirinya selama ini tidak harus dibalas dengan kekasaran.


Maheran sering menyambut kedatangannya sambil tersenyum. Setiap kali dia ke sini, wanita ini melayannya dengan baik. Tutur katanya lembut dan sopan. Malah, kadang-kadang, cerita yang lahir dari mulut perempuan ini berjaya menyebabkan dia melekat berjam-jam untuk mendengarnya. 


Kini, keprihatinan semakin nyata malah Luqman dapat melihat ada air jernih sedang bertakung di kelopak mata. Kenapa?


“Makcik tak sangka dia sanggup baling kunci tu ke muka kamu, Man. Sungguh!"


"Tak apa, mak cik. Dia marah sangat, sebab tu dia baling kunci tu ke muka saya. Tapi saya rasa, dia tak sengaja."


"Entahlah, Man. Susah mak cik nak cakap tentang Tina ni."


Keluhan itu membuat Luqman tersentak. Dia tahu, Maheran kesal dengan apa yang terjadi. Dan, dia juga yakin bahawa ada sebab mengapa Qistina terlalu membenci dirinya. Ataukah membenci semua lelaki? Mengapakah?


“Kamu ambil semula kereta tu, ya Man? Qistina tak perlukan kereta baru.” 


Lembut Maheran menyampaikan hasrat anaknya.


Luqman mendengus. “Salah tu, mak cik. Dia perlukan kereta baru untuk bergerak di KL ni. Kereta dia tu, masa saya tengok hari tu, dah banyak yang teruk. Tunggu masa aje nak rosak lagi. Hari tu, nasib dia baik. Kancil tu rosak kat tempat parkir. Esok-esok? Kalau buatnya kereta tu meragam kat tengah jalan, macam mana? Susah hati saya memikirkannya, mak cik." kata Luqman bersungguh-sungguh. 


"Entahlah, Man," desah Maheran. 


"Mak cik, saya tak ada niat nak buat Tina marah. Pun, bukan nak mengayat ke apa? Cuma risau! Tak sangka pulak dia sampai naik angin.” 


Melihat Maheran yang sedang menyeka air mata, Luqman memberanikan diri untuk bertanya. "Dia benci saya ke, mak cik?" 


"Bukan kamu. Tapi... Tina benci lelaki."


"Mesti ada sebabnya, kan?"


Maheran angguk. 


"Tentu dalam luka yang ditinggalkan sampai begitu sikap dia pada saya. Siapa agaknya yang dah buat Tina jadi macam tu? Kalau boleh saya tahu?" 


Sudah dua bulan dia gagal merebut hati wanita genit itu. Sudah dua bulan dia gagal dalam usahanya menggoda Qistina. Sudah dua bulan juga si Sameon mentertawakannya. Tapi, hari ini, untuk berjaya, dia perlu mengatur strategi baru. Dan langkah itu hanya boleh diatur bila dia tahu kisah silam Qistina. 


Ya, dia perlu mengetahuinya! 


Mesti! 


........................



Luqman mencelikkan sepasang mata secara perlahan-lahan. Dalam keadaan terlentang memandang siling, tangan digerakkan ke arah meja kecil di sudut katil. Dia mendengus kasar melihat jarum jam yang sudah menunjukkan pukul 12 tengah hari. Semakin kuat dengusannya bila kepala dirasakan berputar ketika dia hendak bangun.


“Banyak sangat aku minum semalam. Nak mandilah! Boleh kurangkan sikit sakit kepala ni kut!” bebelnya seorang diri.


Usai mandi, dengan hanya berseluar pendek tanpa baju, menayangkan dada bidangnya, dia melangkah keluar dari bilik. Dia ke dapur, ingin membancuh kopi untuk mengurangkan kesan alkohol dalam kepala.


Langkah yang sedikit terhoyong-hayang itu mendapat perhatian Sameon.


“Mabuk lagi ke kau ni, Man? Banyak mana kau minum semalam sampai Mona pun kau bawak balik sekali ke rumah?” tanya dia. Pagi tadi, dia sedikit terkejut bila keluar dari bilik kerana bertembung dengan gadis bernama Mona itu. Waktu itu Mona sudah hendak pulang.


“Entahlah, aku pun tak ingat. Yang aku tahu, aku memang minum banyak semalam. Mungkin dia yang drive kereta aku, hantar aku balik.” Jawab Luqman selamba. Memang dia tidak langsung dapat mengingati apa yang berlaku kepada dirinya semalam. Mona mengajaknya pergi ke kelab dan mereka telah menghabiskan masa dengan minum, berdansa dan... senyuman sumbing menguntum di bibir.


“She is hot, Simon!” katanya sambil tergelak-gelak namun tawa itu terhenti bila tidak bersambut malah Sameon hanya menggeleng. "Kenapa?"


“Dia marah kau!”


“Apa? Marah aku? Apasal nak marah aku? Apa yang si Mona tu tak puas hati?” balas Luqman, marah.


Sameon lalu memberitahu, “Dia tanya aku, siapa Tina. Dia kata, kau asyik sebut nama Tina sepanjang malam.”


"Burr!" Tersembur minuman yang sedang diteguk. Langsung tersedak si Luqman. Merah padam mukanya. Sesak nafas dan batuk-batuk sekali. 


"Nak tahu apa Mona tu duk bebel pada aku tadi?"


Luqman angkat bahu. Pura-pura tunjuk tak minat nak ambil tahu padahal hati meronta-ronta macam nak rak. 


"Dia cakap, mood dia hilang bila kau asyik sebut nama perempuan tu. Hati dia sakit sangat. Dia kata, kalau kau dah kemaruk sangat hendakkan si Tina tu, pergilah tidur dengan dia!" Sameon mengulangi apa yang dia dengar dari mulut Mona. 


"Mona tu memang dah gila agaknya!" 


"Mona tak gila. Engkau tu yang..."


"Simon!"


"Gila bayang!"


"Simon!!!" jerit Luqman sambil menghentak gelas kat atas permukaan meja. Mata mencerlung memandang wajah kawan baiknya itu. 


Sameon sikit pun tak berkutik. Terus saja dia luahkan lagi. “Aku tengok sekarang ni, kau makin kuat minum. Dari apa yang aku nampak, kau macam tengah cuba melawan perasaan kau. Tapi, kau tetap tak dapat lupakan dia. Sebab itu agaknya, bila dengan Mona pun, nama dia yang kau sebut. Kan?”


“Karut! Aku minum sebab aku nak minum. Mona tu memang dah gila! Cakap yang bukan-bukan. Aku tenyehkan mulut dia dengan cili, baru dia tahu!” marah Luqman sambil memicit-micit dahi. Kalau tadi, kepalanya berdenyut perlahan-lahan, kini dirasakan kepalanya sedang berputar-putar pula. Rasa hendak pitam pun ada.


“Sampai bila kau nak lawan perasaan kau, Man? Kau tu dah angau teruk sangat dah! Buat apalah kau cuba nak lupakan dia. Dah tu, cara yang kau guna untuk melupakan tu pun memang tak berkesan punya! Masa kau mabuk, memanglah! Bolehlah kau lupakan dia kejap. Nanti bila kau dah waras? Menung sana, murung sini. Apalah yang kau susah sangat? Cakap aje apa yang kau rasa pada dia, habis cerita!” Sameon memberikan pendapatnya. Bagi dirinya, inilah masa untuk Luqman berubah. Mana tahu kalau nanti Qistina benar-benar mampu membimbing Luqman menjadi manusia yang lebih baik?


Luqman memandang wajah Sameon dengan geram. Sejak kebelakangan ini, dia perasan tentang sikap Sameon yang sudah berubah. Bila diajak ke kelab, Sameon menolak malah menasihatkannya supaya duduk di rumah sahaja. Lagi satu yang juga ganjil ialah Sameon tidak langsung marah bila dipanggil Meon. Kalau dulu???


“Kau ni kenapa, Meon? Aku dah tak tahan dengan sikap lain macam kau ni sekarang. Kau dah insaf ke hapa ni? Ke, kau dah kemaruk nak kahwin? Nak tunjuk pada bakal isteri kau yang kau ni budak baik? Camtu?” soalnya lantang. 


Ah, lantaklah! Siapakah yang boleh mendengar suaranya di hari Ahad ini? Penthouse mereka terletak di kedudukan paling strategik. Tersorok di tengah-tengah menara yang menghadap KLCC. Tak siapa yang mengambil pusing pun!


Sameon merenung wajah tampan di hadapannya. Dia menghela nafas yang panjang. Dia tahu fikiran Luqman sedang kusut. Hati dan perasaan sedang serabut. Sikap yang sering marah-marah kini beserta pelarian yang dilakukan hanya untuk menutup gejolak yang sedang dihantui perasaan aneh. Perasaan yang baru bertapak di dalam hati Luqman.


Seorang yang hidup di rumah anak-anak yatim, yang tidak pernah tahu apa itu erti kasih sayang, yang selama ini merasakan diri serba mampu dan hidup penuh kebebasan tiba-tiba jatuh hati. Tiba-tiba berasa ingin mencintai dan dicintai. Berasa ingin disayangi dan menyayangi. Lumrah Tuhan yang disiram ke dalam hati nurani insan bernama manusia. Rasa hati seorang lelaki kepada seorang wanita. Namun rasa itu ingin Luqman nafikan. Ingin Luqman tolak. Hanya kerana bencikan wanita. Hanya kerana diri pernah ditinggalkan oleh ibu yang kejam. 


Namun, selama manakah mampu bertahan? Selama manakah mampu berselindung di sebalik arak dan perempuan lain?


“Man, umur kita dah masuk 30. Nyawa kita ni pulak, bila-bila masa aje boleh Allah ambil. Kau nak mati dalam keadaan macam gini? Hidup penuh dosa tanpa sempat bertaubat?”


Luqman ketawa, ketawa yang mematikan kata-kata Sameon. 


“Wow, Simon! Badi si Qistina tu dah kena pada kau nampaknya? Tiba-tiba aje beri ceramah macam ustaz ni, apa kes? Come on! Kita muda lagilah!!”


Sameon bangun untuk meninggalkan Luqman. Dia hendak masuk ke dalam bilik. Ada sesuatu yang lebih penting untuk dilakukan di dalam sana. 


“Man, aku pun macam kau, tak mahu mati lagi. Tapi, janji Tuhan tu pasti, Man. Aku takut! Aku dah banyak buat dosa. Tengok kau sekarang ni pun, aku jadi lagi takut. Takut tak ada siapa nak nasihatkan kau bila...”


Entah bila Luqman mendekat, tahu-tahu sahaja bahu Sameon dipaut erat. 


“Dah, dah! Kau jangan cakap yang bukan-bukan, okey! Listen, kalau kau nak aku kurangkan minum, baik, aku ikut cakap kau. Cuma, jangan kaitkan aku dengan budak tu, ya! Janda macam dia tu buat semak kepala otak aku saja. Boring!”


Dengan kata-katanya itu, Luqman meninggalkan Sameon sendiri. Dia ingin masuk semula ke dalam bilik. Dia hendak menyambung tidur.


Sameon melepaskan keluhan. Dia kesal dengan sikap sahabat baiknya itu. Sejak mengetahui kisah hidup Noor Qistina, Luqman tidak lagi berangan-angan untuk menggoda wanita itu. Malah, dia tidak langsung pergi ke kedai internet itu. Sameon tahu, Luqman cuba untuk melupakan Qistina. Setiap tindakan dan sikapnya jelas menunjukkan kesungguhan untuk melenyapkan ingatan terhadap si dia. 


Tapi, Sameon juga tahu, bukan mudah untuk Luqman melakukannya. Ya, tidak mungkin Luqman dapat melakukannya. Dia yakin, jauh di sudut hati kecil Luqman, ada harapan. Ada keinginan dan... 


Ada cinta untuk Qistina! 

Ulasan

  1. kejam sungguh luqman ni..
    buat dia jatuh cinta kat tina ya kak..
    hihihihi

    BalasPadam
  2. @MaY_LiNsudah semestinya, maylin hehe

    BalasPadam
  3. hah!!..ka betul Luqman tu ada udang disebalik mee...
    Apa Luqman ingat Qistina tu seperti perempuan lain yang mudah terpikat dgn Luqman...
    Hati2 Luqman takut awak yang tangkap cintan dengan Qistina...bahaya tu...
    Hehehehe..betul x kak sofi..
    akak nak lagi...

    BalasPadam
  4. hampeh punye luqman... ingat betul1 nk taubat.. ghupannya makin tau buat la plak.. nk main2 kan org biar dia sendiri yg terkna.. riak sgt..

    BalasPadam
  5. @seed169hehe... mmg bahaya, kita nak buat sampai dia x boleh lupa langsung, amacam?

    BalasPadam
  6. best sambung lg cepat.
    luqman tu nk bls dendam konon. satg dia yg tangkap cinta. abih smua planning ke mn dia yg thegeh2 kejar tina. padan muka tina xlayan. ahaks... ;D

    BalasPadam
  7. @IVORYGINGER
    betul tu. mcm mana kl luqman yg sangkut? huhu..yunggu!

    BalasPadam

Catat Ulasan

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.

Catatan popular daripada blog ini

Cerpen: Dia Idaman Jiwa

1
“Hi, boleh aku duduk kat sini?”

Aliah mendongak. Demi terpandang sahaja wajah itu, air mukanya terus berubah. Riak tidak senang ditunjukkan kepada lelaki itu.

“Cepatlah jawab! Senang aje soalan aku tu. Boleh, jawablah boleh...”

“Kalau saya jawab tak boleh?”

Abid terus menarik kerusi yang bertentangan dengan gadis itu.

“Aku tetap duduk sini jugak.” Balasnya sambil tersengih-sengih.

“Macam tak ada tempat lain!”

“Banyak! Sana kosong. Tu, di belakang kau tu pun kosong. Tapi, aku saja aje nak duduk depan kau. Dah sebulan aku cari kau tapi tak jumpa-jumpa. Alhamdulillah, hari ini dapat juga. Kau apa khabar? Sihat?”

Aliah tidak menyahut. Sebaliknya, dia terus menyuap dan kali ini suapannya sengaja dilajukan, tidak lagi menikmati nasi campur yang dimakan. Ketika itu, dia hanya berkeinginan untuk cepat-cepat menyudahkan makan tengah harinya supaya dia dapat pergi dari situ dengan segera. Dia tidak mahu mengadap muka lelaki yang kini sedang berada di hadapannya walau sehebat, sekacak mana se…

Yang Terakhir: Versi Cerpen

1
“Kau dah habis fikir ke, Khairi? Perempuan macam Najiha tu kau nak bawak ke majlis Annual Dinner kita? Tak malu ke nanti bila orang gelakkan kau?” tanya Hafiz sambil mengerutkan dahi. Dia keliru dengan sikap Khairi Iqbal. Rasanya, selama mereka berkawan, belum pernah walau sekali pun, Khairi memuji gadis yang seorang itu. Gadis yang bernama Izzatul Najiha. Tup tup, hari ini, dia buat keputusan hendak menjadikan Najiha pasangannya semasa majlis kemuncak nanti. Hisy, pelik betul!
“Malu, memanglah aku malu! Tapi aku cuma nak gunakan dia saja. Nak buat Amalina cemburu.” Balas Khairi sambil menyisip air lemon perlahan. Sejuk rasa kerongkongnya bila air itu menerobos masuk ke dalam rongga.
Mata Hafiz buntang. Kepala tergeleng-geleng.
“Kenyataan kau tu lagi buat aku tak faham! Kalau kau nak buat Amalina cemburu, kau patut bawak perempuan lain. Bukan si Najiha yang macam hantu bungkus tu!”
Terlambak tawa Khairi Iqbal mendengar kata-kata sahabat baiknya itu. Hantu bungkus? Si Najiha tu?…

Inikah Cinta? : Versi Cerpen

1

"Ouch!"

Cepat-cepat Janet menghisap jari telunjuk yang terhiris tadi. Setelah kesakitan itu hilang, dia segera membasuh jari itu. Dia kemudian mengelap lalu membalut luka dengan plaster.

"Sakit? Itulah pasal. Mak Nah dah cakap, biar mak Nah aje yang buat tapi Janet degil sangat. Hendak jugak main-main pisau," sindir orang gajinya menyebabkan Janet ketawa besar.

"Inilah yang orang cakap, luka di tangan nampak berdarah. Luka di hati tak siapa tahu. Kan, mak Nah?"

Mak Nah melepaskan keluhan sebelum mencuri pandang ke arah wajah ayu di sisinya yang kini sedang tunduk dan berpaling ke arah lain. Hati mak Nah kini turut melagukan irama sedih yang pasti sedang berdendang dalam hati Janet. Biarpun sudah lama ia berlalu, pasti kenangan itu hadir kembali sebaik rangkap pepatah itu diungkap. Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula kisah cinta penuh keindahan. Ke mana hendak dicampakkan?

"Dah enam tahun... dia tentu dah lupakan saya. Tentu dah kahwin…