Langkau ke kandungan utama

Bukan niatku...cerpen penuh

1

Sarah berlari dengan laju dalam kepekatan malam, tanpa tahu ke mana kaki dibawa. Apa yang dia tahu, dia mesti pergi. Kalau boleh, dia harus segera jauh meninggalkan segala-gala yang dia ada di belakangnya. Dia takut! Tidak pernah dia merasa setakut ini.

Tanpa sedar, dia sudah berada di pesisiran pantai. Angin malam yang berhembus, dingin bayu yang bertiup, kesejukan dan kedinginan seakan-akan tidak memberi kesan kepada dirinya. Dia masih berlari. Masih juga tertoleh-toleh ke belakang. Gundah hatinya, usah ceritalah, hanya dia yang tahu!   

Dalam pelariannya, dia terpandang sebuah khemah berwarna oren yang didirikan di satu ruang yang agak tersorok di antara batu-batu besar yang teguh dan kukuh. Kedudukannya agak tinggi kerana yang pasti ia tidak akan dimasuki air bila air laut pasang tengah malam nanti.

Demi terpandang khemah itu, Sarah tahu apa yang patut dia lakukan. Dia segera bergerak ke arahnya. Dia ingin masuk ke dalam khemah itu. Dia yakin, orang-orang yang mencarinya tidak akan menduga bahawa dia menyorok di situ. Dan, dia tahu, dia akan selamat di dalam persembunyian.  
.....................................
2

“Malam ni gelap pulak, ya, Amri?”

Sebaik mendengar kata-kata Tok Penghulu, anak muda itu tersenyum seraya mendongak ke langit. Sungguh, memang gelap pekat keadaan di atas sana. Bulan dilitupi awan dan bintang-bintang mungkin malu untuk menampilkan diri. Tiada apa yang terlihat. Malah sunyi dengan bunyi desiran ombak sahaja yang dapat didengari.

“Eh, kereta siapa tu, Tok? Bukan orang sini nampaknya?” Soal Amri kepada Tok Penghulu di sebelahnya. Kereta jenama BMW itu siapakah yang mampu memilikinya kecuali orang-orang dari bandar besar yang datang?

Tok Penghulu Shuib terpaksa memerhati betul-betul kereta yang terletak lebih kurang 40 m di hadapan.

“Oh..itu! Orang Kolumpo, Amri. Tadi, dia ke rumah aku, mintak izin nak pasang khemah di tepi laut ni hah!” Tok Penghulu memberitahu. Kepalanya tergeleng-geleng memikirkan kepelikan perangai anak muda zaman sekarang. Dah elok-elok ada rumah, boleh pulak nak tidur atas tanah? Tepi laut pulak tu? Boleh ke tidur bila dengar bunyi ombak menghempas ke pantai yang kuat di malam sepi ini?   

Amri ketawa bila Tok Penghulu bertanyakan soalan-soalan itu kepadanya.

“Apa pulak, Tok? Orang bandar memang begitulah mereka. Tilam empuk, rumah besar, bilik mandi macam toilet di hotel, tapi, semua tu tak dapat tenteramkan hati. Tu, bila dengar bunyi ombak, bunyi angin...baru boleh lena, Tok. Stress jadi orang kaya ni!” Amri mengomel.

Tiba-tiba kedua-duanya melihat seseorang berlari menuju ke arah mereka. Semakin lama, semakin jelas di mata bahawa gerak lenggok itu milik seorang wanita. Hati masing-masing bertanya. Perempuan mana pulak ni? Mengapa malam-malam buta berlari di tepi pantai bagai ada orang yang mengejar? Kenapa memilih ke sini?

Beberapa ketika kemudian, kedua-dua lelaki itu memperolehi jawapannya. Perempuan itu kelihatan terhendap-hendap dan bergerak perlahan-lahan mendekati khemah. Sebelum menghilangkan diri memasuki khemah, perempuan itu memanjangkan leher merenung arah dia datang. Sekelip mata, dia kemudian menyelinap masuk, meninggalkan dua lelaki ini bersama-sama andaian mereka.
....................

3

Tiba-tiba satu jeritan halus kedengaran diikuti dengan suara garau seorang lelaki mengaduh, kesakitan. Beberapa detik kemudian, perempuan itu keluar daripada khemah dengan keadaan kalut. Diikuti oleh satu lagi gerakan yang hampir merobohkan khemah itu.

“Siapa kau? Apa kau buat masuk dalam tempat tidur aku? Perempuan tak malu! Perangai tak senonoh! Dah kemaruk sangat ke?” Lelaki itu mengamuk, menghambur kemarahan kepada gadis yang mengganggu kedamaiannya. Gadis yang mengganggu tidurnya yang lena. Gadis yang kini menampar kuat pipinya!

“Tu, sebab mulut awak tu kurang ajar sangat! Saya dah cakap yang saya tak sengaja, kenapa tak mahu percaya? Saya takut, saya lari dari orang yang mengejar saya, saya nampak khemah ni, sebab itu saya masuk. Saya cuma nak berlindung. Mana saya tahu ada orang di dalam?” Sarah membela diri.

Irham Farouq mengusap pipi yang baru sahaja dilempang. Tidaklah sesakit mana namun keberanian gadis ini meletakkan jari ke pipinya membuat dia terpana seketika. Hati yang hangat menjadi semakin panas.

“Nak berlindung, konon! Entah-entah, kau sengaja nak perangkap aku, kan? Maklumlah, aku ni lelaki macho, datang dari KL, memandu kereta besar.... kalau kita ditangkap khalwat, tentu kau akan paksa aku kahwin dengan kau, kan?” bidasnya sesedap rasa.

Kali ini, dia sudah bersedia. Tangan yang ingin menamparnya buat kali kedua berjaya ditangkap. Dia kemudian menolak tubuh Sarah sehingga gadis itu jatuh terduduk di atas pasir.

“Kau ni sama aje dengan perempuan-perempuan lain, tahu! Murah! Kau nak duit sangat, kan?” Farouq segera mengeluarkan dompet dari kocek belakang jeansnya lalu mengeluarkan kepingan-kepingan not RM50 dan membalingnya di wajah Sarah. “Ambil! Guna duit tu untuk beli mana-mana jantan yang nak tubuh kau tu!”

Menitis air mata Sarah mendengar penghinaan itu. Amri dan Tok Penghulu yang menyaksikan lakonan itu turut tergamam. Semakin tergamam bila melihat lelaki itu menonong menuju ke arah keretanya. Begitu tergesa-gesa dia hendak meninggalkan tempat itu sehinggakan khemah pun tidak dipedulikannya. Malah kehadiran dua lelaki yang menjadi saksi, tidak disedarinya. Yang Farouq tahu, dia mesti pergi dari situ. Dia tidak mahu ditangkap khalwat. Dia tidak rela!
.........................

4

Bangunan yang berdiri gagah di hadapannya direnung. Pandangan tertumpu kepada nama yang tertera. “Hayat Prints Sendirian Berhad.” Mata dituntas pula kepada kad nama yang ada dalam genggaman. Memang tidak salah lagi. Dia berada di tempat yang betul.

Sudah lama dia ingin ke sini namun dia rasa berat hati. Walau banyak yang ingin dia katakan kepada lelaki itu, dia masih belum berani bersemuka. Dia bimbang lelaki itu masih mengenalinya. Namun, kata-kata perangsang dari Amri memberi dia kekuatan.

“Sarah beranikanlah diri tu. Cuba berterus terang dengan dia. Saya yakin, dia akan faham.”

Entah ya, entah tidak. Lelaki itu bukan seorang yang mudah bertolak ansur. Sarah merasakan bahawa bukan mudah untuk mendekati lelaki yang bernama Irham Farouq bin Zawawi, pengurus merangkap pemilik syarikat percetakan di hadapannya ini. Ketegasan lelaki itu menakutkannya tetapi ketegasan itulah yang membawa dirinya ke sini. Ketegasan itu telah merantai hatinya.

Ya, dia asyik teringat. Dia asyik terkenang. Ada rindu! Ada rasa yang tidak pernah dialami selama ini. Dan, dia sudah bertekad. Sebaik dia menamatkan pengajiannya, dia akan mencari lelaki ini. Dia akan mendekati. Akan cuba membuat lelaki itu  jatuh cinta kepadanya kerana sejak kejadian malam itu, dia tahu, hanya lelaki ini yang layak memiliki hatinya.   
........................

5

“Jadi, awak nak mintak kerja kat sini? Kerja apa yang awak boleh buat?” Farouq menyandarkan tubuh ke belakang kerusi empuknya sebaik dia selesai membaca resume dan meneliti setiap dokumen yang diserahkan oleh gadis yang memohon kerja di pejabatnya itu. Sepasang mata kini melekat pada seraut wajah. Wajah ayu yang lembut dengan tahi lalat besar bertenggek di hujung mata.

“Saya boleh menaip.”

“Semua orang boleh tekan huruf dan nombor pada papan kekunci komputer tu, bukan awak sorang aje.” Sinis suara dilantunkan.

“Saya boleh mengira.”

Farouq menjegilkan sepasang mata. Geram! “1, 2, 3? Budak kecil pun boleh!” bidasnya.

Gulp! Rasa pahit air liur yang ditelan oleh Sarah.

“Awak datang sini nak mintak kerja, kan? Kelulusan awak, Diploma in Banking. Apasal awak datang ke pejabat percetakan saya ni? Nak bukak kaunter bank ke?” Sindir Farouq sambil mencampakkan fail berwarna biru di hadapan Sarah.

Sarah berasa lemah. Ingin sahaja dia berundur dan mengalah. Lelaki ini garang betul dengannya. Hendak dikatakan lelaki ini masih ingat peristiwa 2 tahun dulu, rasanya, tidak. Kerana dia tidak langsung mengungkit tentang itu. Hendak dikatakan si Farouq ni masih cam suara dia, tak mungkinlah. Tidak ada tanda-tanda yang lelaki ini mengenalinya. Habis, mengapa sombong sangat?

“Sekarang, susah dapat kerja, encik. Jadi, dah kebetulan saya lalu di sini, tu yang saya masuk dan mohon apa-apa jawatan pun. Saya sudi, encik. Saya rela.”

‘Eh, kenapa dia bangun? Ke mana dia hendak pergi? Nak buka pintu dan halau aku keluar ke? Alah, janganlah! Takkan sampai hati, kut?’

“Err, encik.... aduh!”

Sakitnya! Mangkuk ayun betul mamat ni! Bila masa dia berdiri di belakang aku pulak? Aduh! Bengkaklah kepala aku macam ni!

Farouq turut menjerit sakit. Serasa hidung mancungnya patah sudah. Hisy! Minah kerek!

“Maaf, ya! Encik......, maaf! Saya tak sengaja, tapi, encik pun salah juga. Siapa suruh encik berdiri kat situ?” ujar Sarah sambil menggosok-gosok kepala yang disaluti tudung berwarna biru firus.

‘Macam pernah kudengar suara ini...tapi, mustahil! Takkanlah perempuan tu jadi tersangat berani hendak menjejakkan kakinya di pejabat aku ni? Takkan tak malu kut?’ bisik hati yang tetiba sahaja bergetar. Apakah sudah terkena panahan cik cupid? Karut!
........................  
6

Akhirnya, Sarah ditawarkan jawatan.... kerani. ‘Take it or leave it’, kata lelaki itu kepadanya. Oh, sudah tentu dia menerima. Dia ingin mendekati si dia. Walau disuruh menjadi tukang cuci, dia tetap dan pasti menyanggupi.

“Hai, suami I ada di dalam?”

Tercampak pen di tangan. Jatuh bergolek-golek sehingga menyentuh kaki si dia yang bertanya. 

‘Suami? Encik Farouq dah kahwin? Dah ada isteri? Owh...betul ke ni? Tapi, kenapa tak ada siapa beritahu aku pun? Arghh, sedihnya! Encik Farouq, awak suami orang rupa-rupanya? Nak nangis! Tolongg!’

“Weh, kenapa kau ni macam cicak terberak kapur aje? Susah sangat ke nak jawab soalan aku tadi tu?” perempuan cantik bergaya itu bertanya lagi.

‘Aik, hilang dah ganti nama I dan you berganti kau dan aku. Marah ke dia pada aku ni?’ Sarah terus bermonolog lagi.

“Maaf, Cik Azrina. Dia ni, baru masuk kerja minggu lepas. Tu yang lambat ‘pick up’ tu. Jemputlah masuk ke dalam bilik. Bos ada tu, mungkin tengah tunggu cik, kut!” kak Aya menyelamatkan keadaan.

Perempuan bernama Azrina itu berpaling mengadap kak Aya.

“Berapa kali I nak cakap pada you, you kena panggil I, Puan Azrina bukan cik? Kenapa you degil? Ke, you ada hati hendak mengurat hubby I tu?” tanya dia, kasar. Soalan yang menyebabkan mulut Sarah terlopong.

‘Err, kalau dia tahu bukan kak Aya tapi aku yang hendakkan suami dia? Mahu digulainya aku, tak?’ hati Sarah bertanya.

“Siapa nak ‘tackle’ I?”

Mereka dikejutkan dengan suara garau yang sudah sebati di pendengaran Sarah. Masing-masing berkalih memandang ke arah tuan punya suara itu. Wajah lelaki itu sedang merona merah. Dan, Sarah amat tahu maksudnya. Itu menunjukkan lelaki itu sedang menahan marah.    

“Siapa hendakkan I?” lelaki itu bertanya lagi. Sepasang mata berhijrah dari satu wajah ke satu wajah lain. Dan, bila memndang Sarah perhatiannya agak lama kepada seraut wajah itu. Membuat Sarah jadi tidak menentu. Menyebabkan Azrina menjadi keliru.

Azrina segera mendapatkan Farouq, lalu memeluk lengannya. Sepasang mata menjeling Sarah.

‘Jangan dekat! Dia ni dah menjadi hak cipta terpelihara, tau!’ begitulah kut, amaran yang ingin disampaikan.

“Jom, lunch, sayang!”

Mata Sarah yang membulat hampir sahaja menyebabkan Farouq ketawa besar. Dia geli hati melihat gadis itu yang naif, mempercayai semua yang dilihat tanpa ada apa-apa persoalan di minda.

“Sarah, jom pergi makan dengan kami berdua!” dia mempelawa.

Sarah sekali lagi dilanda kejutan. Tapi, belum pernah dirinya diajak makan oleh lelaki itu. Perlukah dia melepaskan peluang ini?

“Tak apalah, encik. Kacau daun aje nanti. Kitorang nak makan dekat gerai mak Mah aje nanti. Kan, Sarah?”

Sarah merasakan bahawa inilah saat paling kejam untuknya. Dia sudah bersedia untuk bangun dan menerima pelawaan lelaki idamannya. Aduhai, mengapakah kak Aya mengacau daun? Tak mahu! Dia tak mahu makan di gerai mak Mah. Dia nak makan dengan encik Farouq. Duduk satu meja dengannya. Dia nak tengok encik Farouq makan. Dia nak....

“Adui!” jeritnya bila satu cubitan hinggap di paha.

“Kuat betul berangan! Sampai encik Farouq dah pergi pun, kau masih macam orang tak cukup tidur. Kenapa?” tanya kak Aya.

Sarah tersengih. Tidak menyangka perbuatannya menarik perhatian teman sepejabat merangkap teman serumahnya ini. Apakah perempuan ini juga dapat menyelami isi hatinya? Terlalu teluskah dirinya ini? Janganlah! Ini rahsia hatinya! Rahsia di hati, tidak siapa pun boleh tahu, kan?   
.................................
7

Perasaan cinta ini semakin membara. Dia cuba menidakkan namun semakin ingin melupakan, semakin dia gagal menghilangkan wajah itu daripada ingatan. Dia tahu lelaki itu sudah beristeri malah sekarang ini, cik puan Azrina sering benar datang, eh bukan, bermastautin, di pejabat ini. Pagi hingga petang kadang-kadang membawa ke malam, dia bertunggu bertangga di sini. Yang peliknya, dia akan duduk di atas sofa di bilik rehat. Dia tidak pula duduk di dalam bilik bos. Musykil sungguh Sarah memikirkan kelakuannya. Sama seperti dia kehairanan melihat cara encik Farouq melayan isterinya. Tidak langsung berciri romantika.


“Kamu teringatkan siapa senja-senja begini, Sarah?”

Soalan ibunya, Mak Yon, mengembalikan diri ke alam realiti. Melihat seraut wajah separuh abad ibunya, ingatan lampau itu terimbas semula.

Malam itu malam kedua dia berada di kampung. Dia ada 5 hari lagi untuk menghabiskan percutian semester universiti bersama-sama dengan ibunya. Bukan selalu dapat balik ke kampung nelayan di pinggir pantai Mersing itu. Apatah lagi, tempat belajar nun jauh di UiTM Arau.

Semalam, mereka berdua beranak berbual-bual hingga dinihari. Dia dengan manja tidur di atas ribaan ibunya. Bagaimanapun, malam itu, emaknya dijemput oleh abang Ayob untuk pergi ke rumah lelaki itu. Isterinya, kak Bedah terjatuh di dalam bilik air dan kakinya terseliuh. Abang Ayob datang untuk meminta tolong emak mengurut kaki isterinya yang sudah membengkak. Mak Yon memang pandai mengurut. Dia juga biasa menjadi bidan terjun.

Entah mengapa, hati berasa tidak sedap sejak emaknya pergi. Rumah separuh papan itu sudah berkunci dengan elok namun dia masih diburu ketakutan. Bagaikan ada sesuatu yang buruk akan berlaku. Dan, jangkaannya tidak meleset. Pada jam 10 malam, ada orang mengumpil pintu dapur. Dia yang sedia takut terus mencari tempat persembunyian.

Ada dua orang lelaki yang masuk. Dia tidak kenal mereka. Dia tidak cam. Mungkin dari kampung seberang kut, fikirnya. Nampak macam budak sekolah sahaja. Jadi, tanpa berfikir panjang dia telah menjerkah mereka. Malangnya, sebaik terpandangkan dia, lain pula yang terjadi. Hilang niat untuk mencuri. Sebaliknya, tubuh Sarah yang mereka ingini. Mujurlah Sarah lebih pantas. Pengalaman menjadi ratu pecut di sekolah dan di universiti, digunakan untuk melepaskan diri.          

Di dalam pekat malam, dia berlari sambil tertoleh-toleh ke belakang. Sehinggalah kakinya membawa dia ke khemah milik encik Farouq. Dia menonong masuk. Tidak pernah dia terfikir, ada seorang lelaki sedang enak tidur di dalam khemah itu. Tidak pernah terlintas di fikiran untuk mengganggu. Kerana, waktu itu, dia hanya memikirkan dirinya. Memikirkan keselamatannya.

Dia baring sambil mengerekot. Dia kedinginan. Namun baru hendak menarik nafas kelegaan, tiba-tiba dia terasa ada sesuatu menjalar di atas kakinya. Dia menjerit kerana berasa geli. Dan, pada ketika itulah, lelaki itu terjaga lalu menyalakan lampu suluh. Demi melihatnya, encik Farouq terus melontarkan kata-kata cemuhan tanpa sempat dibalas oleh Sarah.

“Seronok ke dapat bekerja dengan si Farouq tu?”  soalan ibunya mengganggu kenangan. Terlontar jauh kesemuanya.

“Seronok! Tapi, rupa-rupanya, dia dah kahwin, mak!” balasnya.

Mak Yon mengerutkan dahi. “Amri tak cakap pun.” Ucapnya keliru.

“Alah, bukan semua benda abang Amri tu tahu, mak.” kata Sarah.

“Tapi, dah alang-alang dia tu menolong kamu, susah payah mencari maklumat tentang si Farouq yang langsung kamu tak kenal, kenapa perkara mudah macam tu boleh pulak terlepas pandang?” bebel ibunya. Dia risau dengan sikap Sarah. Dari kecil, kalau Sarah mahukan sesuatu, akan dicuba mendapatkannya. Tidak boleh tidak! Apakah kini, Sarah masih begitu. walau encik Farouq itu suami orang, Sarah tetap mahukan lelaki itu?

“Tak apalah, mak. Nampaknya, encik Farouq ni bukan untuk Sarah, ya, mak? Biar ajelah. Azam Sarah sekarang ni ialah, Sarah nak kerja elok-elok di situ."

Mak Yon bagaikan tidak percaya mendengar kata-kata Sarah itu. Tidak tercapai akalnya bahawa Sarah sanggup mengundur diri. Namun dia bersyukur. Amat bersyukur!

"Oh ya, mak. Abang Amri nak kahwin. Bulan 3, kalau tak silap hari Ahad, 10 haribulan. Mak datanglah KL, tidur rumah Sarah. Kak Aya pun cakap dia dah rindu sangat pada emak.” Sarah mengubah tajuk perbualan. 

"Mak tahu. Amri jemput semua orang masa majlis tahlil di masjid hari tu. Kamu tahu, Sarah, bakal isteri dia kerja di pejabat Agama juga. Comel budaknya. Makcik Liah, isteri Tok Penghulu yang beritahu. Alah, mereka tu kan emak, bapak angkat si Amri tu? Diorang pergi sama meminang budak tu tempohari." panjang lebar Mak Yon memberitahu anaknya. 

Sarah hanya tersenyum. Bahagianya orang yang cintanya berbalas. Dia? Usah kata hendak dibalas, encik Farouq tahu pun tidak. Entah sampai bila harus ditahankan perasaan ini? Eh, bukankah tadi dia cakap dia hendak melupakan lelaki itu? Makk...kenapa berbolak-balik perasaan ini?

Tak.... aku tidak akan sekali-kali membiarkan diri hanyut di laut cinta yang tidak berpenghujung! Aku mesti melupakannya! Mesti!
..........................
8

Ketika kaki memasuki pintu pejabat, Kak Aya dan beberapa orang kakitangan pantas sahaja meletakkan jari telunjuk di bibir masing-masing. Itu tandanya mereka menyuruh dirinya diam. Sarah mengerutkan dahi sambil melangkah menghampiri. Semakin dia dekat ke meja, semakin dia dapat mendengar bunyi orang berkelahi di dalam bilik ketuanya.

“I tak peduli. Selagi you macam ni, selagi itulah, I akan duduk di sini tunggu you, Farouq.”

“You dah gila? Ni, suami you yang baru ni, you nak bubuh di mana?”

Bulat sepasang mata Sarah mendengar soalan daripada suara garau encik Farouq. ‘Suami you yang baru? Isy, apa maksud soalan itu? Tak pe! Tak pe! Dengar dulu, Sarah! Dengar! Ni, macam ada peluang untuk kau ni!’ hati mengomel.

“Azrina, I dah cukup bersabar dengan you. Dengan perangai you. Tapi, bila you buat bodoh kat pejabat I, bila you menimbulkan gosip yang bukan-bukan tentang kita, macam mana I nak  bertahan?”

Suasana sepi seketika. Hanya esakan Azrina yang mula kedengaran ketika itu.

“I kahwin dengan you sebab I rasa I boleh terima you seadanya walaupun masa tu you baru jadi janda, baru habis edah. I punyalah kesian dekat you yang siang malam pagi petang, menangis mengenangkan si Haris ni. I nak hiburkan hati you yang gundah gulana kononnya. Tanpa berfikir panjang, I ajak you kahwin. Tapi apa I dapat?”

Masing-msing berpandangan. Memanglah kalau sudah dasar penyibuk, semua begitu asyik memasang telinga. Takut terlepas episod paling menarik dari dalam  bilik.

“Malam yang sepatutnya indah untuk kita, jadi malam jahanam untuk I bila you cakap you gunakan I untuk buat cina buta. You cakap pada I, you terpaksa kahwin dengan I sebab Haris ceraikan you dengan talak 3. Azrina? Haris? Do you both know how hurt I was?"

Beku sekejap di dalam. Di luar, mulut masing-masing sedang ternganga. Melopong gitu!

“You tahu tak apa perasaan I bila you mintak I ceraikan you? You tahu tak apa perasaan I bila you cakap, you sengaja menangis, mengongoi sebab you nak I kasihankan you dan kahwin, jadi pak sanggup? You tahu tak apa I rasa bila you cakap I kena ceraikan you secepat mungkin sebab you nak nikah balik dengan Haris ni?”

Rasa kasihan memenuhi seluruh ruang hati Sarah untuk encik Farouq. Kini, dia tahu, dia semakin menyayangi lelaki itu. Sungguh besar pengorbanan yang telah dibuat. Bertuah sungguh si Azrina. Kalau lelaki lain, apakah yang akan terjadi agaknya?

“Tentu dah jadi arwah! Yalah, dia mempergunakan  lelaki untuk kepentingan dia dengan bekas suaminya. Elok bunuh aje, kasi mati! Hisy, nasib dia baik dapat kahwin dengan encik Farouq! Patutlah! Patutlah sekarang ni dia bersungguh-sungguh hendak balik ke pangkuan bos aku tu? Baru dia sedar kebaikan encik Farouq agaknya?” bebel Sarah.

Semua mata tertumpu kepada Sarah ketika ini. Gempaq! Iyalah, dia meluahkan dengan sangat kuat, tentu sahaja mengundang renungan tajam mereka di sekelilingnya.  

“Awak cakap apa tadi?” tiba-tiba suara garau itu benar-benar berbunyi dekat di telinga Sarah. Membuat dia terkejut yang teramat sangat. Membuat dia termalu sendiri. Membuat dia rasa ingin bersembunyi!
...............................
9

Sudah dua hari Sarah tidak pergi ke pejabat. Bukan dia sengaja, tapi disebabkan dia terlalu terkejut dan terus demam. Di rumah, Kak Aya tidak sudah-sudah mentertawakannya. Tak boleh blah betul! Kawan sendiri demam, dia boleh gelak tak hengat! Nyampes!

“Kau tau, Sarah?”

Sarah menggelengkan kepala. Hendak tahu apa kalau tidak ada yang bercerita? Uisy!

“Perempuan macam tu, betul-betul tak tahu malu. Dahlah buat perkara keji macam tu pada bos, lepas tu terhegeh-hegeh menagih kasih bos semula. Patutlah selama ni encik Farouq buat dek aje pada dia. Rupa-rupanya ada sejarah pahit, kan?” omel Kak Aya lalu dia menceritakan apa yang berlaku sebaik sahaja Sarah berlari keluar dan balik ke rumah, hari itu.

Kata kak Aya, perempuan itu menangis dan merayu kepada Haris supaya menceraikan dia. Dia juga merayu agar encik Farouq sudi menerima dirinya semula. Dia ingin membetulkan kesilapannya. Dia ingin encik Farouq melupakan semua kisah lama. Kata Azrina, hanya dengan bersama Farouq, dia mampu menjadi seorang isteri yang baik.

“Mentang-mentanglah, encik Farouq tak pernah halau dia setiap kali dia datang ke pejabat? Dia ingat, dia boleh kotak-katikkan perasaan lelaki tu? Ikut suka dia aje, dia nak orang ni, dia pergi. Dia nak orang tu, dia mintak. Wei, kau percaya tak Sarah yang perempuan macam ni wujud?”

Sarah segera bertanya, “Kak Aya, akak rasa, encik Farouq nak rujuk balik dengan cik Azrina tu?”

Kak Aya meletakkan belakang tangan di dahi Sarah. “Huh, nasib baik kau ni demam! Kalau tidak, memang aku luku kepala biul kau tu! Ada ke orang yang hendak menjilat ludah dia balik? Ada?” tanya dia geram.

Sarah menggelengkan kepala.

“Dua tahun lepas......”

“Dua tahun?”

“Ha’ah, diorang kahwin 2 tahun lepas? Kau tahu apa encik Farouq kata semalam? Dia kata, dia tak boleh lupa dua tarikh keramat di bulan Oktober 2008 itu. 12, dan 13 Oktober. Tapi, bila kitorang tanya apa cerita yang satu lagi tu, dia jawab....”

Sarah menanti dengan debaran menggila di dalam dada......

“Dia kata, perkara tu nanti, kau yang akan beritahu kitorang semua.”
...............................
10

Kejam! Menakutkan! Zalim! Jerit hati Sarah. Semua itu ditujukan khas kepada pujaan hatinya, Encik Irham Farouq. 3 bulan lamanya dia bekerja di syarikat percetakan milik lelaki itu, tidak sekali, ulang..... tidak sekalipun, encik Farouq menunjukkan tanda-tanda bahawa lelaki itu mengenalinya. Rupa-rupanya selama ini....argh....malunya!!

“Ada tak dia cakap kenapa Sarah yang kena beritahu semua orang?” Sarah pura-pura bertanya padahal dia bimbang sangat-sangat sekarang ini. Takut rahsia dia menerjah masuk ke dalam khemah lelaki itu diketahui semua orang. Ke mana hendak disorokkan muka yang cantik ini?

“Tak pulak, tapi...! Sarah, kenapa encik Farouq cakap macam tu? Korang ada affair ke? Skandal?” tanya kak Aya tidak berlapik. Sepasang mata memandang wajah Sarah dengan penuh rasa ingin tahu. Maklumlah, selama ini tidak nampak pun gelagat ‘dua insan bercinta’ pada kedua-duanya terutama encik Farouq. Serius memanjang! Si Sarah ni pun sama. Tak pernah pula selama Sarah tinggal dengannya, gadis itu membuka mulut memberitahu dia minat ke, dia suka ke, kepada bos mereka. Aduhai, percintaan alaf barukah ini? Yang tidak perlu diucap? Tidak perlu dilafaz? Pening kepala kak Aya memikirkannya.      

Sarah sudah nekad untuk berhenti kerja. Dia takut hendak pergi ke pejabat. Dia malu! Dia tidak berani bersemuka dengan lelaki itu. Baginya, kalau encik Farouq masih ingat tanggal 13 Oktober itu, itu bermakna bahawa encik Farouq sudah mengecop tarikh itu sebagai hari ‘Tragedi Oktober’nya. Kalau dirinya yang terpaksa bercerita tentang keterlanjurannya hari itu, tentu sahajalah lelaki itu masih menganggap dirinya perempuan tidak senonoh sepertimana dirinya pernah dituduh dahulu. Yang pasti...

Tiada cinta di hati.....

Tak pernah ada walau sekelumit...

Tidak pernah terselit walau secebis....

Rasa sayang, rasa kasih, rasa rindu, segala macam rasa....

Hanya dialah burung pungguk yang merindui bulan.....

Hanya dialah purnama yang merindu......  
.............................
11

Petang itu, ketika mereka sedang berehat di depan kaca televisyen, Sarah menyerahkan sampul surat berwarna kuning kepada kak Aya.

“Esok, akak bagi sampul tu pada bos. Dia akan faham!”

“Apa isinya?”

“Surat perletakan jawatan Sarah!”

Dahi kak Aya sudah mula berkerut semula. “Kenapa sampai terpaksa berhenti kerja segala?”

Sarah tersenyum hambar. “Satu hari, semua orang akan faham.” Bisiknya lemah.

Tiba-tiba telefon bimbit kak Aya berbunyi.

“Baik, bos...... ya, okey, bos! Boleh...boleh, bos! Ya! Sekarang? Mantap!”

“Sarah nak masuk dalam biliklah...” Suara Sarah sudah tersekat-sekat. Dia sedang sedih. Air mata ingin menitis. Cinta sepinya bakal berakhir.

“Tunggu kejap!” kata kak Aya, memaut tangan Sarah bagi menghentikan langkah gadis itu. Sepasang matanya terarah ke pintu.

“Satu, dua..... tiga...em.... yes!” senyuman tersungging di bibir bila kak Aya menyuruh Sarah pergi membukakan pintu.

“Tak lain, mesti si Koko! Awalnya pulak dia datang petang ni? Selalunya pukul 6 baru sampai!” omel Sarah. Koko ialah panggilan yang mereka beri kepada Khalidah, anak kak Timah, jiran sebelah rumah. Kenapa Koko? Biasalah! Sebab Koko suka makan cokelat.

Sebaik pintu terbuka, Sarah berkata, “Silakan masuk Kkk....”

Koko apanya? Tinggi lampai, besar gajah...Ayoyo ma, ayoyo pa.... help!

Sarah berlari memasuki bilik! Menghempas daun pintu sebelum bersandar di belakangnya. Denyut jantung berombak kuat.

Tok, tok, tok! Daun pintu bilik diketuk.

“Sarah?” suara garau encik Farouq memanggilnya dengan lembut.

“Sarah...., dengar ya! Saya beri awak masa seminit lagi untuk awak pakai tudung, kemaskan diri awak  dan keluar jumpa saya dan ahli keluarga saya.”

Tamo... tamooo...

“Kalau awak tak mahu keluar, nanti, saya yang akan masuk ke dalam. Awak nak saya dukung awak, eh?”  
.........................
12

Irham Farouq membuka sampul yang dihulurkan oleh kak Aya kepadanya. Dengan kaedah ‘speed reading’ isi surat itu dibaca dan mudah sahaja difahami.

“Apa yang bakal menantu mak tulis?” tanya wanita separuh abad yang duduk di sebelahnya. Soalan yang membuat mata kak Aya terbeliak.

“Kenapa mata awak tu, Aya? Nak kena cucuk?” tanya jejaka berusia 35 tahun itu. Dia memang geli hati melihat gelagat kak Aya tetapi dia sengaja menunjukkan wajah yang serius. Belum masa untuk dia bergumbira... Apa-apa pun, dia kena tunggu kata putus daripada si Sarah yang masih juga belum keluar-keluar daripada bilik itu.

“Farouq, dalam ni ada duitlah! Tengok ni! Ada RM3 ratus. Banyaknya?”

Farouq memandang wajah ibunya, Puan Siti, dengan wajah keliru. Duit? Duit apa pulak?

“Duit tu duit awak, encik Farouq. Duit yang awak lemparkan ke muka saya dulu.” Sarah yang berpakaian cantik, berbaju kurung berwarna biru dengan bertudung putih, memberitahu, sebagai menjawab pertanyaan emak lelaki itu.

“Owhh... iya ke? Awak tak buat apa yang saya suruh, ek?" 

Sarah menjeling geram. sakit hatinya mendengar lawak bodoh lelaki itu. pukul kang, baru tahu! gumamnya. 

"Sarah, meh sini! Saya nak kenalkan awak dengan emak saya.”

Lemahnya lutut Sarah. Takut betul dia walaupun di hadapannya ini, wanita itu sedang tersenyum memerhati. Namun, langkah terpaksa digagahi.

Tangan wanita itu dikucup lembut. Hati rasa terharu bila kepalanya diusapi dengan lembut. Semakin sayu jiwa bila wajahnya dipegang dan dahinya dikucup penuh syahdu oleh wanita itu. Saat itu, Sarah menitiskan air mata kesyukuran kerana dia tahu, perlakuan ini menunjukkan bahawa lelaki bernama Irham Farouq bin Ahmad Faqrul itu sudah pun meluahkan rasa hati kepada ibunya. Yang bererti, selama ini, dirinya tidak bertepuk sebelah tangan. Alhamdulillah!

“Sarah, saya cukup takut untuk jatuh cinta lagi. Pengalaman dengan Azrina terlalu jerih. Saya malu. Emak, bapak dan kaum keluarga saya jugak malu. Bukan mudah nak sembuhkan luka tu! Tapi, bila saya kenal awak, semuanya dah berubah. Maaflah, sebab saya tak pandai nak mengurat awak. Sebab tu, saya datang hari ini.”

Sarah yang duduk bersimpuh baik punya di depan Puan Siti, terus sahaja menunggu bicara hati Farouq. Hati sedang berbunga riang. Senyum menguntum di bibir. Seronok juga bila melihat lelaki setegas Farouq berubah menjadi jiwang kini.

“Sarah, hari ini, di depan emak saya, di depan kawan awak, Aya ni, saya mengaku yang saya dah lama sukakan awak. Rasanya, sejak hari pertama awak masuk kerja, kut. Dan, saya jugak tahu yang awak dah lama cintakan saya. Saya tahu, awak memang sengaja datang cari kerja di pejabat saya sebab awak nak dekat dengan saya. Saya tahu, awak seronok bila saya ambil awak bekerja dengan saya. Saya tahu...”

Sarah segera mencelah. “Mana ada? Awak ni perasanlah, encik Farouq! Pandai aje main tuduh-tuduh!” Marahnya. Malulah dia! Nampak sangat yang dia umpama perigi mencari timba. Encik Farouq ni..kut iya pun dia tahu, ‘cover’lah sikit! Sampai hati betul!

“Kamu ni, Farouq! Tengok, dah merah padam muka Sarah. Kesian dia.” Puan Siti menepuk paha anaknya. Dia kemudian menyambung, “Eloklah kalau korang berdua dah suka sama suka, boleh mak pergi jumpa dengan.......”

“Assalamualaikum.”

Sarah saling berpandangan dengan kak Aya. Tiba-tiba, dia menjerit, “Mak datang!”

Di muka pintu, Mak Yon tersenyum manis. “Maklah ni! Siapa lagi? Amri pun ada ni hah!” katanya sambil mempelawa Amri masuk. 

“Awak pun ada di sini, Farouq?” Amri bertanya. Kepada Mak Yon, tanpa selindung dia memberitahu, “Mak Yon, inilah Farouq, yang anak Mak Yon gila-gilakan tu!”

“Abang Amri! Sampainya hati cakap camtu? Malunya orang! Kat mana nak sorok muka ni?”

Kini semua orang sudah tahu. Apa yang ada di dalam hati Sarah sudah bukan rahsia dirinya seorang. Semuanya sudah tersingkap.

Dia ingin bersembunyi namun untuk apa? Salahkah jika dia jatuh cinta? Salahkah jika Farouq tahu?

Puan Siti menyelamatkan keadaan. “Tak ada apa-apa yang kamu hendak malukan, Sarah! Bukan satu dosa untuk jatuh cinta. Lagipun, Farouq suka kamu. Lama-lama, dia cintalah tu. Jangan susah hati!” kepada mak Yon, Puan Siti berkata, “Elok benar langkah kita berdua hari ini. Dah kebetulan berjumpa, baik kita bincangkan hal mereka. Rasa saya,  eloklah kalau kita cari tarikh yang sesuai untuk nikahkan mereka. Apa kata awak?”

Mak Yon tersenyum mengangguk.

“Lagi cepat, lagi baik, mak!” bisik Farouq sambil mengenyitkan mata pada Sarah.

Aw, panah asmara melanda jiwa.

“Iyalah, memang nak buat cepat-cepat, pun! Benda baik, buat apa bertangguh, kan?”

Ya, memang betul! Perkara yang baik, eloklah disegerakan. kalau sudah suka sama suka, ikatkan sahaja tali perhubungan. Cinta pasti akan bersemi nanti. 
..............
kawan2, ada beberapa bahagian ditukar sedikit dpd yang asal, k!





Ulasan

Catat Ulasan

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.

Catatan popular daripada blog ini

Cerpen: Dia Idaman Jiwa

1
“Hi, boleh aku duduk kat sini?”

Aliah mendongak. Demi terpandang sahaja wajah itu, air mukanya terus berubah. Riak tidak senang ditunjukkan kepada lelaki itu.

“Cepatlah jawab! Senang aje soalan aku tu. Boleh, jawablah boleh...”

“Kalau saya jawab tak boleh?”

Abid terus menarik kerusi yang bertentangan dengan gadis itu.

“Aku tetap duduk sini jugak.” Balasnya sambil tersengih-sengih.

“Macam tak ada tempat lain!”

“Banyak! Sana kosong. Tu, di belakang kau tu pun kosong. Tapi, aku saja aje nak duduk depan kau. Dah sebulan aku cari kau tapi tak jumpa-jumpa. Alhamdulillah, hari ini dapat juga. Kau apa khabar? Sihat?”

Aliah tidak menyahut. Sebaliknya, dia terus menyuap dan kali ini suapannya sengaja dilajukan, tidak lagi menikmati nasi campur yang dimakan. Ketika itu, dia hanya berkeinginan untuk cepat-cepat menyudahkan makan tengah harinya supaya dia dapat pergi dari situ dengan segera. Dia tidak mahu mengadap muka lelaki yang kini sedang berada di hadapannya walau sehebat, sekacak mana se…

Yang Terakhir: Versi Cerpen

1
“Kau dah habis fikir ke, Khairi? Perempuan macam Najiha tu kau nak bawak ke majlis Annual Dinner kita? Tak malu ke nanti bila orang gelakkan kau?” tanya Hafiz sambil mengerutkan dahi. Dia keliru dengan sikap Khairi Iqbal. Rasanya, selama mereka berkawan, belum pernah walau sekali pun, Khairi memuji gadis yang seorang itu. Gadis yang bernama Izzatul Najiha. Tup tup, hari ini, dia buat keputusan hendak menjadikan Najiha pasangannya semasa majlis kemuncak nanti. Hisy, pelik betul!
“Malu, memanglah aku malu! Tapi aku cuma nak gunakan dia saja. Nak buat Amalina cemburu.” Balas Khairi sambil menyisip air lemon perlahan. Sejuk rasa kerongkongnya bila air itu menerobos masuk ke dalam rongga.
Mata Hafiz buntang. Kepala tergeleng-geleng.
“Kenyataan kau tu lagi buat aku tak faham! Kalau kau nak buat Amalina cemburu, kau patut bawak perempuan lain. Bukan si Najiha yang macam hantu bungkus tu!”
Terlambak tawa Khairi Iqbal mendengar kata-kata sahabat baiknya itu. Hantu bungkus? Si Najiha tu?…

Inikah Cinta? : Versi Cerpen

1

"Ouch!"

Cepat-cepat Janet menghisap jari telunjuk yang terhiris tadi. Setelah kesakitan itu hilang, dia segera membasuh jari itu. Dia kemudian mengelap lalu membalut luka dengan plaster.

"Sakit? Itulah pasal. Mak Nah dah cakap, biar mak Nah aje yang buat tapi Janet degil sangat. Hendak jugak main-main pisau," sindir orang gajinya menyebabkan Janet ketawa besar.

"Inilah yang orang cakap, luka di tangan nampak berdarah. Luka di hati tak siapa tahu. Kan, mak Nah?"

Mak Nah melepaskan keluhan sebelum mencuri pandang ke arah wajah ayu di sisinya yang kini sedang tunduk dan berpaling ke arah lain. Hati mak Nah kini turut melagukan irama sedih yang pasti sedang berdendang dalam hati Janet. Biarpun sudah lama ia berlalu, pasti kenangan itu hadir kembali sebaik rangkap pepatah itu diungkap. Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula kisah cinta penuh keindahan. Ke mana hendak dicampakkan?

"Dah enam tahun... dia tentu dah lupakan saya. Tentu dah kahwin…