Langkau ke kandungan utama

sekadar di pinggiran

1

Salwa menolak daun pintu rumah teres setingkat itu perlahan-lahan. Bukan kerana dia takut seisi rumah itu terjaga bila bunyi pintu itu berkeriut cuma dia tidak mahu dirinya dijadikan bahan repekan mulut murai ibunya. Dia tidak tahan mendengar bebelan wanita berusia lewat 40-an itu. Dia bosan menjadi mangsa kemarahan. Dia benci dijadikan “punch box” setiap kali dia melakukan kesalahan. Tapi...memang begitulah perangai ibunya. Kalau dirinya, huh...pasti ada sahaja yang tidak kena. Tapi kalau adik-beradiknya yang lain?

Dia masuk ke dalam biliknya sambil menghembuskan nafas panjang-panjang, tanda dia lega dirinya sudah terselamat daripada tertangkap. Rasa hendak ketawa pun ada. Jam baru sahaja melewati pukul 11, namun seisi keluarganya sudah membuta. Undang-undang ketat ibunya yang tidak berkompromi tentang masa menonton TV memang membosankannya.

Sesungguhnya, banyak benar peraturan yang terpaksa dipatuhi. Itu tak boleh, ini tak boleh. Keras sungguh perintah berkurung. Dia tidak mengerti bagaimana kakak-kakaknya, Alya dan Aziah boleh akur. Dia? Kalau dia boleh tahan, boleh bersabar, mengikut telunjuk, tentulah sekarang ini dirinya juga sedang berselimut.

“Baru balik, bohsia?”

Sergahan Puan Hamidah hampir sahaja menggugurkan jantungnya. Di dalam gelap, suara itu begitu garang mengherdiknya. Ketika lampu terpasang, Salwa sedang berdiri, tercegat bagai pak pacak di tepi pintu. Namun, anak yang degil ini dengan cepat dapat mengumpul kembali segala kekuatan. Riak wajah tidak sedikit menunjukkan ketakutan. Cuma satu sifatnya iaitu, dia tidak akan melawan ibunya. Memang tidak pernah dia menjawab walau sepatah. Itu sumpahnya. Itu janjinya.


“Kenapa dengan kamu, Salwa binti Rosli? Kenapa kamu ni degil sangat, hah? Kenapa tak pernah nak dengar cakap aku?”

Serentak dengan herdikan itu, tangan si ibu terus sahaja melepaskan lempang ke muka anak remaja yang baru sahaja tamat menduduki Peperiksaan SPM itu. Salwa yang tidak bersedia ditampar, lagi dan lagi. Pabila anak itu terjatuh, tubuh kurus itu diterajang, disepak, ditendang. Tidak ada belas kasihan seorang ibu. Tiada langsung!



“Sakit, mak.... sakit! Sudahlah! Jangan pukul Wawa lagi. Cukuplah!” rintih anak gadis itu.

“Hati aku ni lagi sakit, tahu! Kamu tak pernah nak dengar cakap aku. Kamu tak pernah peduli apa aku pesan pada kamu. Kamu degil. Aku cakap jangan keluar malam, kamu keluar. Aku cakap, jangan campur dengan mat-mat rempit tu, kamu kawan jugak dengan diorang. Aku cakap duduk di rumah, tak payah kerja, kamu kerja jugak! Kamu degil, kan? Degil!”

Sekali lagi amarah diturutkan. Bibir si anak sudah membengkak. Mulut sudah berdarah. Badan sudah lebam namun Hamidah bagaikan dirasuk. Dia terus memukul lagi. Menendang lagi! Sehingga longlai tubuh si anak...barulah dia berasa puas.

“Aku pukul kamu ni sebab aku nak mengajar kamu. Jangan esok, dah buncit, baru hendak menyesal. Dah tak guna dah masa tu! Kamu dengar ni, Salwa. Kalau esok-esok, kamu buat perangai lagi, mampus kamu aku kerjakan! Ingat tu! Aku tak suka anak yang degil tambah-tambah lagi anak yang sama rupanya dengan rupa si Rosli tu. Aku benci, tahu! Benci!”

Si ibu sudah lama keluar dari biliknya namun Salwa masih terbaring di lantai. Matanya masih terkebil-kebil mengingati kemarahan ibunya tadi. Air mata yang menitis di pipi, diseka dengan kasar kerana dia marahkan dirinya yang lemah, yang menangis setiap kali diamuk oleh si ibu. Dia memang menyedari sikap ibunya yang memilih kasih dalam menunjukkan kemarahan. Hanya dia yang menerima semua ini. Hanya dirinya, tidak Alya, tidak juga Aziah. Sejak kecil, dialah yang menjadi sasaran. Hanya kerana wajahnya mirip wajah lelaki itu!

Tuhan, bencinya dia kepada lelaki yang bernama Rosli itu. Benci yang teramat! Lelaki yang tidak pernah dia kenali. Yang pasti, lelaki itulah menyebabkan dirinya disisihkan oleh ibu dan kakak-kakaknya. Yang pasti, wajah lelaki itu yang diwarisinya menyebabkan dirinya sekadar di pinggiran di dalam keluarga ini. Apakah kehadirannya juga tidak diperlukan? Apakah kalau dia tiada, baru emaknya puas hati? Apakah dia perlu pergi untuk membuang rasa benci di hati?

Dalam lelah memikir, Salwa terlena bersama-sama esak yang masih bersisa.    
............................................

2
Esoknya, pagi-pagi lagi Salwa sudah mengemaskan barang-barang keperluannya. Dia sudah nekad untuk pergi dari situ. Dia sudah tidak tahan dipinggirkan. Dia sudah tidak sanggup menanggung kesakitan. Cukuplah kemarahan yang telah diterima. Cukuplah semua sepak terajang mengena dirinya. Izinkanlah dia pergi. Itu harapannya kepada si ibu. 

Hamidah menjeling tajam ke arah anak bongsunya. Dia kemudian meneruskan kerja menggoreng nasi namun tidak lama selepas itu dia berpaling semula ke arah Salwa. Dahinya berkerut-kerut.

“Kamu nak ke mana?” tanya dia tegas. Wajah anak dipandang garang.

Salwa mengambil masa untuk menjawab. Bila mendapat kekuatan, dia kemudian bersuara, “Wawa nak minta izin mak untuk pergi dari rumah ni. Wawa rasa dah tiba masa untuk Wawa pergi. Wawa nak lepaskan mak daripada rasa terseksa kerana terpaksa tengok muka Wawa yang mak benci ni hari-hari. Boleh kan, mak? Wawa harap sangat agar mak boleh bahagia bila Wawa jauh dari mak. Wawa tak sanggup tengok mak sedih disebabkan Wawa. Ampunkan Wawa, mak.”

Tangan ibu disentuh, dikucupi lama. Setitis air mata jatuh di atas jari-jemari ibunya. Cepat-cepat diseka dan tanpa menoleh, Salwa terus melangkah laju. Dalam hati merintih sedih. Perpisahan ini bukan dipinta namun demi kebahagiaan ibunya, biarlah dia pergi. Ditolak ke tepi rasa sayu yang datang. Dibuang jauh bisikan hati yang kecewa.

Alya dan Aziah yang kebetulan baru keluar daripada bilik tercengang memerhati Salwa yang berlalu melintasi mereka tanpa menoleh ke arah mereka langsung. Cepat-cepat kedua-duanya mendapatkan Hamidah di dapur.

“Mak, budak tu nak pergi mana?” tanya Alya.

“Kenapa dia menangis, mak? Kenapa dia bawak beg macam orang nak pindah aje? Mak halau dia, ke?” Aziah pula mendesak dengan soalan-soalan mahal itu.

Hamidah menggelengkan kepala. Dia tidak mampu berkata-kata. Dia masih dihantui rasa bersalah. Dalam masa yang sama ada juga rasa kelegaan. Ya, dia kini tidak lagi perlu menatap seraut wajah itu. Melihatnya, mengembalikan ingatan kepada suami. Suami yang telah menipunya hidup-hidup.

Rosli dan dirinya menikah di Selatan Thailand tanpa restu dua ibu bapa Hamidah. Kata mereka, Rosli tidak ikhlas menyayanginya. Kata mereka, dia mungkin isteri kedua atau ketiga atau keempat. Yang pasti, dia bukan isteri pertama lelaki itu.

Dia memberitahu bahawa dia tidak peduli. Meski dialah wanita kedua, tiga atau empat, diia redha. Dia merelakan.

“Saya cuma perlukan dia, mak, ayah! Lain-lain semua tak penting bagi saya. Duit saya dah ada. Saya boleh tampung hidup saya sendiri.” Teringat kata-katanya yang angkuh dulu.

Dia menyangka bahawa andaian mereka tidak tepat. Mustahillah Rosli sudah berkahwin sebelum ini, fikirnya. Apatah lagi, Rosli sentiasa bersama-samanya sepanjang setahun perkahwinan mereka sehingga lahirlah anak kembar mereka, Alya dan Aziah. Hanya selepas itu barulah Rosli menunjukkan perubahan sikap. Rosli sentiasa memberi alasan untuk tidak pulang ke rumah. Ya, sehari, dua, memang dia boleh menerima. Rosli tak balik seminggupun, dia tak bising namun ketika hari berganti hari, ketika minggu berganti bulan... semuanya dia tanggung sendiri,  hati mula pandai marah. Dia pergi mencari Rosli di pejabat. Di situlah dia mengetahui tentang isteri pertama suaminya.

Patutlah suaminya boleh bersama-sama dengan dia selama setahun. Perempuan itu berada di luar negara kerana mengikuti satu kursus di New Zealand. Dia sakit hati kerana ditipu. Dia mencari Rosli dan mengamuk sakan. Kerana geram diri diherdik di hadapan semua orang, Rosli terus menceraikan dia dengan talak 1.

Sejak itu, Rosli tidak pernah ditemui lagi. Rosli tidak pernah kembali. Dan, dia tidak pernah memberitahu bahawa ketika itu dia sedang mengandung.

Detik perpisahan itulah menyebabkan kebenciannya hadir terhadap Salwa. Dia tidak mampu menafikan rasa itu. Dia kecundang dibakar api kemarahan. Dan, kini, anak yang dibenci itu sudah pergi. Pergi bersama serpihan hati yang kecewa dengan sikap buruknya. 
....................................

3
Sepasang kaki diatur perlahan-lahan melewati kawasan  yang hingar bingar dengan suara orang ramai yang sedang berpusu-pusu pergi dan balik, ke sana ke mari di sepanjang lorong dan hentian di stesen Putra. Mata melingas mencari kelibat rakan baik yang sudah dihubungi sebelum dia meninggalkan Kuala Kangsar tadi. Salwa sangat-sangat berharap agar Norehan tidak melupakan janjinya.

Seberani-berani dirinya, dia tidak pernah menjejakkan kaki di Kuala Lumpur. Di kaca televisyen, dia terlalu banyak didedahkan dengan kehidupan sosial yang teruk di bandaraya ini. Itu membuatkan dia merasakan dirinya dalam bahaya berseorangan di sini. Hanya Rehan sandarannya. Kawan baik yang banyak mengerti penderitaan yang ditanggung oleh Salwa ketika keluarga Rehan tinggal di Kuala Kangsar dan mereka bersekolah bersama-sama. Kini, Rehan sudah menetap di Kuala Lumpur pula kerana mengikut ayah yang bekerja sebagai pegawai polis, berpindah.

Tidak tahulah dia apakah hubungan rapat mereka dulu masih mesra lagi sekarang. Hanya harapannya, dia boleh menumpang di rumah Rehan untuk sehari dua. Dia akan menggunakan masa itu untuk mencari kerja. Rasanya, masih banyak kerja kosong yang boleh dipohon. Kalau terpaksa menjadi tukang cuci di pusat membeli belahpun, tak apa. Alah, kerja tu halal, apa?   

“Aku yakin itu dia! Mesti dialah! Jom!”

Salwa menoleh bila mendengar suara garang di belakangnya. Dan, sebaik dia menoleh sahaja, dia dapat merasakan ada benda tajam dicucuk ke bahagian pinggangnya. Pisau! Ya, Tuhan! Lemah seluruh anggota tubuhnya.

“Kalau kau hendak selamat, baik kau diam! Kau ikut saja arahan aku, tahu! Kalau tidak....?”

Salwa menganggukkan kepala. Dia sedang panik. Tentu sahaja dia akur dengan perintah lelaki itu, demi keselamatannya.

“Bagus! Sekarang jalan macam biasa. Ikut aje ke mana kawan aku tu melangkah. Ada faham cik adik yang comel?”

Salwa mengangguk sekali lagi sambil menghayun langkah mengikut seperti yang diarahkan. Dia kemudian sampai di tempat letak kereta. Ketika tiba di tepi sebuah kereta besar, dia ditarik memasuki kereta itu.

“Korang nak bawak aku ke mana? Korang nak culik aku ke? Tapi, buat apa? Aku bukan anak orang kaya! Aku ni miskin. Baru sampai dari......”

Belum sempat habis dia bercakap, mulut Salwa disumbat dengan kain. Sepasang matanya ditutup dengan kain hitam. Gelap gelita jadinya.

Mengapakah ini yang terjadi? Siapakah mereka, lelaki-lelaki jahat ini? Mengapa dirinya diculik? Apakah salahnya?

Saat itu wajah ibu menjelma. Salwa menginsafi diri. Ya, dia tahu semua ini ialah padah kerana melukakan hati seorang ibu. Aduhai, begitu cepat Allah memberikan balasan kepadanya. Namun sesal tetap timbul juga. Salahkah apa yang telah dilakukannya? 

Hati semakin gentar bila dirinya dijerkah, 

"Kau tu aset, tahu tak? Bos aku dah lama cari perempuan mcam kau. Muda, lembut dan paling bagus tentunya kau masih...."

"Tidak! Aku tak mahu! Lepaskan aku! Lepaskan aku!" 

"Jeritlah kuat-kuat.  Kuat... lagi! Jeritlah sekarang!"

Salwa menangis semula. Buat pertama kali, dia berasa terlalu takut. Kepada siapa dapat dia mengadu? Arghh, malang sungguh nasib diri. Ke mana sahaja kaki melangkah, hanya derita dan air mata yang menemaninya. 
...........................

4
Ammar Hamdi bin Datuk Sazali meletakkan gagang telefon perlahan-lahan. Dahi lelaki itu berkerut-kerut kerana dia sedang cuba memahami apa yang baru sahaja dia dengari. Arahan untuk dia daripada seseorang bergelar penculik. Penculik kepada tunangannya, Edreena.

“Dengar sini baik-baik, ya! Aku mahu kau bawa wang tebusan RM2 juta  dalam kereta kau menghala ke Klang melalui Lebuhraya Kesas. Ingat, ikut arahan aku! Kalau tidak, tunang kau yang cantik ini akan jadi arwah.”

Ayahnya, Datuk Sazali segera menghampiri. “Apa mereka hendak, Ammar?” tanya dia.

Ammar memandang wajah Encik Bahar dan isterinya Puan Hanum. Kedua-duanya kelihatan terlalu sedih kerana Edreena seorang sahaja anak mereka. Sejak Edreena diberitakan hilang 24 jam yang lepas, Puan Hanum tidak berhenti-henti menangis. Kini, apa yang dibimbangi sudah menjadi kenyataan. Surat yang disangka surat layang semalam rupa-rupanya memang datangnya daripada penculik. Nasib baik mereka sepakat mematuhi arahan pertama yang terdapat di dalam surat itu, iaitu, berita kehilangan Edreena tidak dilaporkan kepada pihak yang berkuasa!

“Polis tidak boleh tahu atau tunang kau akan mati!” begitu yang tertulis pada surat itu semalam.

“Ammar? Berapa banyak yang mereka minta?”

Ammar kembali ke alam realiti. Wajah ayah dan ibu, Datuk Sazali dan Datin Suliza direnung silih berganti. Dia kemudian memberitahu.. “RM2 juta, ayah!”

“MasyaAllah!! Ammar, Datuk, Datin, manalah kami ada duit sebanyak itu?” tukas encik Bahar.

Si isteri pula semakin sedih. Dia terus-terusan mengongoi. Terus-terusan meratap.

“Matilah anak aku! Matilah anak aku! Siapa yang nak selamatkan dia? Siapa yang sayangkan dia? Datuk, datin, tolong selamatkan Edreena. Ammar, tolonglah selamatkan Reena. Makcik tahu kamu marahkan dia. Tapi dia tunang kamu. Kamu cintakan dia, kan? Tolonglah! Makcik hanya ada Reena sorang aje, Ammar. Kesiankan makcik!”

Datin Suliza memeluk tubuh bakal besan tidak jadinya. Rasa kasihan timbul mendengar rintihan wanita itu. Dia tahu betapa kecewa Puan Hanum apabila beberapa hari yang lepas, dia, suaminya dan beberapa ahli keluarga terdekat telah pergi untuk memutuskan ikatan pertunangan di antara Ammar dengan Edreena. Kata Ammar, dia tidak mahukan seorang perempuan curang menjadi isterinya. Ammar telah menceritakan bagaimana dia telah melihat dengan mata kepalanya sendiri tunang yang juga kekasih hati berjalan berdua-duaan penuh mesra dengan seorang lelaki menuju ke arah sebuah hotel. Dia telah meminta pihak hotel menelefon JAIS dan bahagian pencegah maksiat untuk memerangkap Edreena.

Setelah tertangkap, Edreena cuba memujuk rayu. Dia ingin kembali ke pangkuan Ammar namun, Ammar tidak mengendahkan. Bukti sudah di hadapan mata. Perpisahan adalah perkara terbaik untuk dilakukan.

Kini ini pula yang terjadi. Meski kemarahan kepada gadis itu belum reda, rasa kasihan terhadap bakal mentua tidak jadinya ini, menghalang dia daripada bersikap acuh tak acuh. Dia tahu, dia perlu menyelamatkan Edreena.

“Ayah, saya akan pergi serahkan duit tu sebagaimana yang pihak penculik mahu. Ayah telefonlah uncle Joe. Lagi cepat kita dapatkan duit tu, lagi besar peluang untuk kita selamatkan Reena.” Ammar akhirnya berkata dengan tegas.      
.............................

“You rasa dia percaya dan akan ikut cakap dan arahan you, Zam?”

Zaman merenung wajah buah hatinya. Senyuman terukir di bibir. Soalan itu menunjukkan seolah-olah gadis itu tidak yakin dengan dirinya. Dia menghampiri si jelita. Pipi diusap dengan belakang tangannya. Suaranya cuba meyakinkan...

“Baby, I ni Zaman, tahu! I dah biasa buat kerja-kerja ni semua. You hanya perlu yakin dengan I. Bila kita dapat aje duit tu nanti, kita akan tinggalkan negara ini. I nak bawak you menetap di Australia dengan I.”

“Seronoknya.....tapi, apa you nak buat dengan budak perempuan tu?”

Lelaki yang bernama Zaman itu tersengih lebar. 

“Baby, you kenalah mati, kalau tidak, macam mana kita nak pergi luar negeri? Budak perempuan itu.....hmm, katakan saja yang nasib dia tak baik. Siapa suruh bentuk badan dia tu sama macam you, kan, baby, kan?”

“You nak bu....bu....bu...nuh dia, Zam? Tapi?” tergagap-gagap gadis cantik itu bertanya. Seolah-olah tidak dapat hendak mempercayai.

Zaman terus memeluk tubuh gadis cantik kesayangannya. Kerana gadis ini, dia sanggup melakukan apa sahaja walaupun terpaksa membunuh. Kini, peluang yang tiba tidak akan dipersia-siakan. Demi kebahagiaan dirinya dan Edreena, drama yang sudah sekian lama dirancang ini tetap perlu diteruskan. Dia sudah nekad!

“Dia akan mati terbakar, di dalam kereta bersama sebentuk cincin pemberian tunangnya dahulu. Dia akan mati sebagai Edreena. Baby, you toksah kasihankan dia. Nasib malang dia, untung untuk kita, kan?”

Edreena menguntum senyum. Sepasang mata memerhati wajah budak perempuan yang sedang terikat di atas kerusi di tengah-tengah ruang tamu rumah usang entah milik siapa di ladang tinggal itu. Dia amat yakin bahawa perempuan itu mendengar kata-kata mereka. Tapi, dia juga yakin bahawa perancangan Zaman tidak pernah gagal. Dia tahu bahawa apabila mayat wanita ini ditemui nanti, mereka sudah selamat berada di bumi asing!       
...............................

5
Ammar menyelusuri sepanjang lebuhraya Kesas dengan tenang. Sesekali, sepasang mata mengerling ke sebelah melihat keadaan beg yang berisi sejumlah wang yang diminta oleh lelaki di dalam telefon kelmarin. Dia harus sampai ke persimpangan LDP dan memberhentikan kereta itu di lorong kecemasan. Dia kemudian mesti berjalan dalam 50 meter, dan meletakkan beg yang dijinjit di tepi jambatan. Dan, dia dikehendaki pergi meninggalkan kawasan itu dengan segera.

‘Hanya ada 2 kemungkinan... sama ada lelaki itu mengekori aku atau dia meletakkan kereta dia di bahu jalan di Lebuhraya Damansara-Puchong. Antara 2 ini, lebih mudah untuk dia berlari turun dari atas dan ambil beg berbanding kalau dia ikut aku dan memecut memintas kereta ni. Itu lebih selamat bagi dia. Tapi, Edreena?’ hati berbisik-bisik...

“Kau boleh ambil tunang kau, sebaik saja aku sudah kira duit tu. Tapi, ingat! Kalau ada polis, kalau aku kena tangkap, kau tak akan jumpa tunang kesayangan kau tu sebab aku akan bunuh dia, kau faham?”

Masih terpandang-pandang wajah Puan Hanum yang menangis teresak-esak bila mendengar kata-kata penculik tersebut. Kata-kata berupa ugutan. Masih terlihat bagaimana ketakutan merantai jiwa dan perasaan seorang ibu mendengar ungkapan bahawa anaknya akan dibunuh. Itulah yang menyebabkan dirinya, Ammar, tidak dibenarkan menghubungi pihak polis. Itulah juga yang menyebabkan dirinya terpaksa bertindak sendirian.

“Ammar, biarlah lelaki itu ambil RM2 juta tu. Janji Edreena selamat. Kesian makcik Hanum dengan Pakcik Bahar kamu ni.”

Ibunya seakan-akan tahu betapa hati Ammar tidak menyukai apa yang mereka lakukan ini. Ammar memang lebih suka jika pihak polis dibenarkan mengambil-alih. Bukan apa, ini sudah melibatkan jenayah berat, melibatkan nyawa. Bahaya!

Ammar sudahpun melakukan seperti yang diarahkan. Beg sudah diletakkan di tempat yang dikehendaki. Namun, dia masih berdiri di situ. Dia mahu lelaki itu menghubunginya. Kerana dia mahu jaminan bahawa Reena masih selamat!

Telefon bimbitnya berbunyi.

“Kenapa kau masih di situ? Kau degil ya? Hahaha....memang patutpun! Sebab...kalau kau bawak kereta kau ke hadapan sikit, dalam 100m, kau akan jumpa satu kereta sedang terbakar. Dan, encik Ammar, tunang kau ada dalam tu!”

“Sial, kau!” jerit Ammar lalu berlari menuju ke kereta Kia Picantonya. Dia terus sahaja memecut. Wang tidak lagi penting. Misinya ialah untuk menyelamatkan Edreena. Bukan untuk dirinya, tetapi untuk ibu dan ayah gadis itu!

“Hahaha....” sambil berlari menuruni jalan, Zaman mengilai panjang. “Bodoh! Tunang kau dengan akulah, bangang! Dia tak suka kau. Dia pilih aku!”
..................................

Hati berdebar sebaik terpandang sebuah kereta di bahu jalan. Kereta itukah yang dimaksudkan oleh penjahat tadi?

Oh Tuhan, janganlah terjadi apa-apa pada Reena. Izinkan aku selamatkan dirinya, ya, Allah. Berikan dia peluang untuk hidup.

Di dalam bonet kereta, Salwa sedang cuba bernafas. Salwa sedang cuba bertenang. Bau minyak tanah yang disimbah ke atas tubuhnya subuh tadi, begitu menyengat. Bibir tidak berhenti-henti mengucap syahadah. Hati jenuh meminta ampun.

“Ampunkan Wawa, mak. Kalau dah takdir Wawa mati dibakar hidup-hidup macam ni, mak tentu tak kenal Wawa sebab Wawa dah jadi abu. Halalkan makan minum dan kasih sayang mak untuk Wawa, ya. Wawa sayang mak. Kak Alya, kak Aziah, ampunkan dosa Wawa pada korang, ya!”

‘Hisy, tak adapun tanda-tanda terbakar? Ke, jantan tu dah bubuh bom jangka? Elok aku dekat aje.... boom!! Dengan aku sekali jalan! Wassalam!’ Hati Ammar mereka-reka cerita. Bagaimanapun, dia tetap mendekat. Cuba mengintai melalui cermin tingkap yang sedikit gelap.

“Hello... ada orang tak? Reena???” diketuk-ketuk dinding kereta itu. Telinga dipastikan peka dengan bunyi dari dalam. Maklumlah, kenderaan banyak yang lalu lalang, bimbang mengganggu konsentrasinya.

Di masa yang sama, Salwa mula lemah, mungkin udara sudah semakin sedikit di dalam bonet kereta itu. Nafas mula sesak. Ingin meronta namun tidak berdaya kerana sudah lebih 48 jam dia tidak makan atau minum. Lagipun tangan dan kakinya terikat kemas.

“Reena.... Reena.....”

Salwa mendengar laungan seorang lelaki memanggil nama Reena. Arghh...kalau sahaja lelaki itu memanggil namanya, tentulah dia insan paling bahagia saat ini. Tentulah dia amat mensyukuri nikmat Allah yang menghantar lelaki itu untuk menyelamatkan dirinya. Tapi, bukan nama dia yang diseru. Bukan dia yang ingin diselamatkan. Bukan dia....
............................

6
Sepasang tangan bergerak-gerak ligat seakan-akan ingin menolak apa juga benda yang berada hampir dengannya. Minda teruja bila mendapati diri boleh menggerakkan tangan yang disangkanya masih berikat. Kemudian dia cuba menggerakkan sepasang kaki pula. Keadaan kakinya juga sudah bebas. Oh, alangkah bahagia. Dia akhirnya boleh menggerak-gerakkan anggota tubuh. Lalu semakin kuat dan semakin laju dia menggerakkan semua seolah-olah ingin memastikan dia tidak bermimpi.

Tiba-tiba, tangannya digenggam erat. Pergerakannya dihentikan oleh genggaman perkasa seorang lelaki. Ya, dia amat pasti seorang lelaki sedang menyentuhnya. Tangan itu kasar. Arghh, benci! Lelaki bodoh! Kenapa pegang tangan aku! Lepaslah! Jeritnya di dalam hati.

“Syy, awak dah selamat. Jangan risau, tak ada sesiapa boleh buat apa-apa yang buruk pada awak lagi. Percayalah cakap saya. Awak berada di hospital sekarang.”

Suara yang begitu meyakinkan berjaya membuat rontaan Salwa terhenti. Perlahan-lahan, sepasang mata terbuka terus bertemu pandang dengan sepasang mata yang irisnya berwarna hazel. Cepat-cepat dia berkalih merenung di sekeliling. Benarlah! Dia di dalam wad hospital sekarang. Dia belum mati lagi.

Kerana merasa terlalu bersyukur, Salwa menangis. Mulanya perlahan sahaja lama-lama ia menjadi esakan.

“Laa, dah menangis pulak! Hei, boleh tolong berhenti tak? Awak belum mati lagi. Bersyukurlah!” bentak Ammar.

“Sebab saya bersyukurlah, saya menangis ni. Tadi, masa saya jaga, saya ingat saya dalam kubur. Tapi, rupa-rupanya, tidak! Allah masih sayangkan saya. Bolehlah saya balik kampung jumpa emak dan mintak maaf pada dia. Saya nak tebus balik semua kesalahan saya. Ni, Allah dah bagi peluang kedua untuk saya, takkan saya nak sia-siakan pulak, kan, awak?”

Ammar terkelu memandang wajah gadis itu. Amboi, bila dapat bercakap, bukan main riuh! Hisy, orang kampung rupanya! Dan, fikirnya, mudah-mudah sahaja dirinya hendak dilepaskan balik ke kampung? Banyak persoalan belum lagi berjawab, cik adik manis, oi!

  1. siapa awak?
  2. macam mana awak boleh berada dalam kereta tu?
  3. kenapa di jari manis awak tu ada cincin pemberian saya untuk Reena?
  4. apakah perkaitan di antara awak dengan lelaki tu?
  5. di mana Edreena?
  6. ....

Salwa memandang wajah lelaki di hadapannya. Tepat dan tajam. Jadi, inilah dia Ammar, tunang perempuan cantik bernama Edreena yang bodoh itu, fikirnya. Ya, memang gadis itu bodoh dan mungkin juga buta. Lelaki ini sikit punya macho, handsome, tinggi, tegap, bergaya....., apa lagi? Hmm, cukuplah memuji! Si Zaman tu pula.... sedikit berumur, tetapi macho juga, tegap juga, handsome juga, berkulit cerah tapi..... jahatlah! Tak suka! 

“Awak, awak nak bercerita ke tidak ni? Kalau awak diam aje, saya hantar awak ke balai polis. Biar awak masuk penjara. Nak?” Ammar mengugut bila gadis di hadapannya ini masih kelu. Entah apa yang difikirkannya?

Kerana takut mendengar suara Ammar yang keras dan ugutan itu, Salwa menceritakan semuanya. Dia tidak tahu sama ada lelaki ini mahu mempercayainya. Yang penting, dia harus bertegas bahawa dia tidak terlibat. Zaman memerintahkan konco-konconya menangkap dirinya yang dikatakan sama tinggi dan mempunyai sosok seperti Edreena.

“Saya dah ceritakan semuanya, awak. Saya tak bohong.” Salwa melihat Ammar cuba menghubungi seseorang. “Awak, saya dah beritahu semua pada awak. Kenapa awak telefon polis lagi?” tanya dia penuh kaget.

Hisy, budak ni! Bila masa pulak aku telefon polis? Pandai-pandai aje! Kang, aku telefon betul-betul baru tahu!

“Awak...”

“Weh, budak! Saya telefon mak sayalah, bukannya telefon polis. Boleh tak kalau awak tolong pejamkan mata tu dan pura-pura tidur? Saya rimas bila awak bising. Saya tak boleh berfikir, tahu?”

Kena jerkah lagi! Uisy, patutlah tunang lari, garang sangat dia ni! Hello, pakwe, muka macho tapi mulut tu tak jaga, siapa nak sayang, kan?

“Apa awak cakap?”

Salwa mengerutkan dahi. Biar betul dia ni! Dia dengar apa yang aku cakap dalam hati? Bahaya ni! 
................................

7
“Saya dah okey, kan, doktor?” sepasang matanya bulat memandang wajah doktor yang sedang mengambil denyutan jantungnya. Tangan doktor yang sebelah lagi sedang mencari nadinya.

Doktor Andrew tersenyum manis. “Cik dah okey, tapi kita nak tengok perkembangan cik untuk 24 jam nanti.” Balasnya.

“Why? Is something wrong with her?” Ammar bertanya.

Doktor Andrew meletakkan tangannya di atas bahu Ammar dan kemudian menerangkan sesuatu di dalam bahasa Inggeris yang tidak dapat difahami oleh budak kampung bernama Salwa. Salwa menjeling geram. Sepatutnya dialah pesakit jadi penerangan itu mestilah untuk dirinya. Kenapa kepada lelaki itu harus doktor Andrew menerangkan dengan panjang lebar?

Dia tiba-tiba tersengih. Mesti lelaki itu susah hati sebab hospital ni mahal bayarannya. Macam mana Salwa tahu? Alah, bukan dia tak pernah ke hospital. Kalau dia dimasukkan ke hospital kerajaan, tak mungkinlah dia duduk di dalam bilik ini yang lengkap berhawa dingin, ada set sofa, ada tv, ada peti ais lagi.

Lama mata merenung peti ais itu. Hati meronta-ronta ingin melihat apa isinya. Ada cokelat tak? Teringinnya nak makan...kit kat? Salwa melompat turun daripada katil. Dia terus sahaja membuka pintu peti ais itu. Wallaaa.... tu dia! Apa yang diidamkan berada di hadapan mata. Dia terus duduk di situ.

“Hmm, cedapnya!”

Dia terus membuka balutan dan dengan lahap, cokelat kit kat itu dipatahkan dan dimasukkan ke dalam mulut. Mata terpejam menikmati keenakannya.

Ammar terus duduk di atas sofa. Terpesona melihat perangai anak gadis belasan tahun itu. Gadis yang bernama Salwa binti Rosli, berumur 17 tahun, baru menamatkan peperiksaan SPM dan berasal daripada Kuala Kangsar. Dari mana Ammar tahu semua itu?

Dia menemui secebis kertas di dalam poket seluar jeans Salwa. Pada kertas itu tercatat nombor telefon seseorang. Dia menghubungi orang itu, seorang gadis bernama Norehan, kawan Salwa yang menetap di Kuala Lumpur. Gadis itulah yang telah menceritakan tentang latar belakang Salwa dan sebab-sebab mengapa dia datang ke KL. Kata Norehan tadi, mereka sepatutnya berjumpa 2 hari yang lepas. Malangnya, ketika dia sampai di Hentian Putra, bayang Salwa tidak kelihatan. Jenuh dia menunggu namun Salwa tidak muncul-muncul.

Wajah Salwa ditatap lagi. ‘Aik, kuatnya makan? Tak berhenti-henti dari tadi? Dia ingat free ke apa cokelat tu?’ bisik di hati.

Tiba-tiba Salwa sendawa dengan kuat membuat Ammar terkejut.

“Hisy, tak malu betul awak ni!” marahnya.

Salwa tersengih. “Dah kenyang! Terima kasih, ya, awak.” Katanya. Salwa naik semula ke atas katil, terus berbaring dan tidak lama kemudian, dia terus tertidur semula.

Pintu bilik terbuka dari luar. Ammar tersenyum sambil merenung mereka yang masuk. Ibu dan ayahnya kelihatan sedikit kelam kabut. 

“Mana pakcik Bahar dengan makcik Hanum?” Ammar terlebih dahulu bertanya sambil berbisik, tidak mahu mengejutkan Salwa.

“Dah balik rumah diorang. Si bertuah tu datang ke rumah kita, menangis-nangis dia cakap yang dia dah kena tipu dengan lelaki jahat yang dia cintakan sangat itu. Puas dia tunggu di KLIA tapi kelibat jantan tu pun tak ada. Jantan tu lesap dengan duit yang diambilnya! Padan muka si Edreena tu. Bodoh! Tak tahu nak bezakan yang mana kaca, mana intan! Hah, sekarang dah dua-dua dia melepas. Kalau mak ikut hati mak yang panas ni, mahu aje mak tampar muka budak tu tadi. Geram...grrr...” bagai bertih, Datin Suliza melepaskan kemarahan.

“Yang kamu ni, apa hal pulak? Kenapa suruh mak dengan ayah datang ke hospital ni?” tanya Datuk Sazali.

Giliran si Ammar pula untuk menceritakan apa yang dia tahu. Berbagai perubahan di air wajah pasangan suami isteri itu bila mendengar cerita anak mereka. Berkaca sepasang mata Datin Suliza yang sensitif bila mendengar keadaan gadis itu semasa Ammar berjaya mengumpil bonet kereta.

“Sebaik saya bukak bonet tu, mak, bau minyak tanah kuat sangat. Dia dah pengsan masa tu. Saya angkat dia, terus aje saya bawak dia ke sini.”

Datin Suliza mendekati katil. Dia merenung wajah lembut yang sedang lena. Diusapi rambut gadis itu. Dan, Salwa, entah apa mimpinya, tersenyum manis di dalam tidur, bagaikan anak kecil yang tidak mempunyai sebarang masalah sahaja.

“Nanti, bila dia dah boleh keluar wad, kita bawak dia balik ke rumah.” Kata Datin Suliza dengan tegas.

Ammar merenung wajah ibunya dalam rasa tidak percaya. “Tapi, kenapa? Saya baru bercadang nak hantar dia balik kampung.” Tukasnya.

“Ammar, selagi polis tak jumpa lelaki tu, tentu bahaya untuk kita biarkan dia sendiri, kan? Buatnya nanti lelaki tu cari dia, nak bunuh dia, amacam? Kamu tak rasa bersalah ke nanti?” tanya si ayah pula.

Ammar tergaru-garu kepalanya bagaikan kutu penuh di dalam rambutnya yang pendek dan kemas itu. Tiba-tiba dia rasa risau. Membenarkan budak kecil ini tinggal di rumah bererti mereka akan sentiasa berjumpa. Macam mana nanti? Takut pula dengan hati yang tetiba berdegup tidak berhenti-henti. Bimbang ada rasa yang mengisi jiwa. Kacau!

“Bila dia boleh keluar hospital?”

“Apa, ayah?”

“Hai, dah mengelamun pulak? Apa yang kamu dok fikirkan tu?” sindir Datuk Razali. Geli hati melihat anak lelakinya yang gelabah.
.......................................
           
8
Salwa mengintai di sebalik langsir tingkap, memerhati sehingga kereta kecil itu keluar daripada garaj dan hilang daripada pandangan. Dia menarik nafas kelegaan. Dia berjaya mengelak lelaki itu pagi ini. Untuk masa-masa lain? Bagaimana dia dapat mengelakkan diri? Alah, nantilah fikir, bisik hatinya.

Sudah sebulan dia tinggal di dalam rumah agam itu. Dia tidak dapat mengelak bila dipujuk dengan lembut oleh Datin Suliza. Wanita itu terlalu baik. Lembut tutur kata dan sangat-sangat menyayanginya. Dia yang gersang kasih sayang seorang ibu begitu mudah terpujuk oleh belaian kasih yang datin berikan. Kalau datin menganggap dirinya sebagai anak perempuan wanita itu, dia tidak teragak-agak untuk menganggap wanita itu sebagai ibunya. Sebab itu bila Datin Suliza meminta dia memanggil emak, dia akur sahaja.

Datuk Sazali juga telah menerima kehadirannya dengan gembira. Mungkin kerana dirinya seorang yang periang maka mudah sahaja dia disayangi lelaki itu. Datuk seorang yang murah hati. Sering sahaja membelikan Salwa sesuatu setiap kali dia dan datin keluar rumah untuk membeli belah.

Sungguh dia tidak menyangka bahawa nasib dirinya akan menjadi sebertuah ini. Segembira sekarang. Hidupnya serba lengkap di sini. Cukup semuanya sehingga kekadang dia terlupa bahawa dirinya itu sekadar menumpang sahaja.

“Wawa, boleh mak tanya sikit?” tiba-tiba, dia teringat perbualan semalam.

Dia yang sedang mengurut-urut tengkuk ibu angkatnya segera duduk mengadap wanita itu. Menunggu soalan yang bakal ditanya.

“Dah sebulan Wawa duduk di rumah ni. Jadi orang gaji mak. Buat semua kerja mencuci, mengemas rumah walaupun sebenarnya bukan itu yang mak suka.”

Salwa ketawa kecil, teringat kepada saat mula-mula berita itu disampaikan oleh Ammar kepadanya. Waktu itu dia bermati-matian menolak. Baginya, dia tidak ada sebab untuk tinggal di dalam rumah ini.

“Kalau susah sangat, awak jadi orang gaji kitorang, boleh?” tanya Ammar kepadanya.

“Orang gaji?”

“Ya, orang gaji! Dah awak tak mahu jadi tuan puteri, awak rasa awak layak tak jadi orang gaji di rumah mak saya nanti?” tanya Ammar bersungguh-sungguh.

Waktu itu Salwa sudah diberitahu tentang Zaman yang menghilangkan diri dan Edreena yang tidak jadi ke Australia. Dia juga tahu kebimbangan yang dirasai seisi keluarga Ammar terhadap keselamatannya dan dia rasa tersentuh dengan keprihatinan mereka. Sebab itu dia akhirnya bersetuju tinggal di rumah agam itu, bekerja sebagai orang gaji berpendapatan RM400 sebulan.

Dia sudahpun mendapat gaji pertamanya semalam. Wang itu akan disimpan untuk dia membuat belanja masuk ke universiti nanti.

“Wawa?”

Suara datin mengejutkan gadis itu. Wajah anggun di hadapannya dipandang. “Apa soalan mak tu?” tanya dia.

Datin Suliza tersenyum manis. “Kenapa Wawa tak panggil Ammar tu, abang? Kan dia anak emak? Kan umur dia 10 tahun lebih tua daripada Wawa?”

Salwa merasa bahang naik ke muka. Dia benar-benar tidak tahu apa yang harus dijawabnya. Dia sendiri tidak ada jawapan mengapa dia tidak boleh memanggil Ammar ‘abang’.

“Mak teringin nak dengar Wawa panggil abang pada Ammar. Barulah sopan sikit! Tak adalah dok hoi, awak, kan?”

“Nantilah Wawa praktis, ya, mak...”

Demi menyenangkan hati ibu angkatnya, dia mencuba panggilan itu buat pertama kali sewaktu mereka makan malam. Bulat sepasang mata Ammar melihatnya. Lelaki itu terkejut, itu yang pasti.

Tidak disangka-sangka, Ammar menunggu dia di hadapan pintu biliknya ketika dia hendak masuk tidur.

“Kenapa panggil saya abang?” suara Ammar tegas sungguh.

“Emak suruh!” balas Salwa bersahaja.

“Awak akan buat semua yang emak suruh?”

Bulat mata Salwa merenung lelaki itu tapi dia segera menganggukkan kepala.

“Kalau dia suruh awak kahwin dengan abang?”

Eh, tiba-tiba pula suara jadi lembut ni... Kenapa? Salwa terlopong. Tidak menyangka itu yang akan ditanya oleh Ammar kepadanya.

“Wawa, jawablah! Kalau emak suruh Wawa kahwin dengan abang, Salwa ikut juga, ya?”

Hisy, apa kena dengan mamat sewel ni? Sengaja dekat-dekatkan diri, tersenyum-senyum, perasan! Siapa yang hendak kahwin dengan dia, entah! Kecoh betullah! Perkataan ‘abang’ buat mamat ni macam orang tak betul. Hantar ke Tanjung Rambutan baru tahu! Gumam Salwa di dalam hati.

“Wawa, kenapa diam ni? Kita kahwin ya?”

Makkk.... tolong!! Ni ada orang tak siuman kat sini. Tak pasal-pasal dia ajak Wawa kahwin! Takut!!

Sebab itu, pagi ini, dia sengaja mogok dan tidak turun ke dapur seperti selalu. Dia malu hendak tengok muka Ammar. Tapi, pelik pula. Bukankah Ammar yang patut malu sebab ajak dia yang masih remaja ini berkahwin? Ke, Ammar bergurau saja? Dia yang terlebih perasan? Hisy, ni yang tak sanggup ni! Macam mana hendak berdepan dengan lelaki itu lagi nanti?
..................................

9
Sudah hampir 3 minggu Salwa mengelak dirinya. Bukan tidak disedari, cuma dia malas hendak bersuara. Bimbang pula kalau-kalau usikannya nanti semakin menjauhkan gadis itu daripada dirinya.

Sejak kebelakangan ini, menurut kata ibunya, Salwa sering termenung. Apakah yang dirunsingkannya? Patutlah wajah tidak nampak ceria seperti selalu. Mengapa?

“Apa yang kamu fikirkan tu, Ammar? Sampai berkerut-kerut dahi tu?” soalan datin mengejutkan lamunannya. Dia tidak menyedari bilakah ibunya datang dan duduk dengannya di ruang tamu itu.

“Err... Wawa mana mak?”

Ibunya tersengih serta merta. Ammar menjadi malu. Sesungguhnya, dia memang tidak pandai menyembunyikan perasaannya. Mudah benar untuk diteka apa yang tersirat di dalam hati.

“Kat luar. Dia nak gembur tanah, bubuh baja pada pokok-pokok bunga tu semua. Elok juga kalau kamu hendak menolong dia, Ammar. Pergilah..”

Ammar segera berdiri. Dia tahu dia tidak perlu menukar pakaian. Track suit yang dipakai dengan t-shirt dunhill tiruan ini sudah cukup sesuai untuk berkebun.

Ketika ingin melangkah, dia dikejutkan dengan gelagat pelik Salwa yang berlari masuk ke dalam rumah lalu terus menutup pintu...rapat. Yang pasti, gadis itu sedang ketakutan. Dia termengah-mengah.

“Kenapa?” kerisauan menyebabkan Ammar mendekat.

Salwa hanya mampu menunjuk-nunjuk ke arah luar. Nafasnya masih semput. Dia masih terkejut. Tidak mampu bercakap lagi.

Ammar merasa pelik namun dia segera ke tingkap untuk mengintai ke arah pagar. Pada ketika itu, sebuah kereta baru sahaja bergerak meninggalkan jalan di hadapan rumah. Dia kembali merenungi Salwa. Wajah itu kelihatan pucat.

“Kenapa ni? Siapa yang dalam kereta tu? Orang jahat ke? Orang jahat yang pernah culik dan kurung awak dulu? Orang yang bawa lari duit saya?” soal Ammar bertubi-tubi. Perasaan ingin tahu membuak-buak.

“Awak, saya terkejut. Memang dia tadi tu. Apa dia hendak lagi? Isk, bodohlah dia tu! Dah dapat duit, kata nak ke Australia, pergi ajelah! Ni, yang datang balik ke sini, buat apa?”

Datin Suliza segera memeluk tubuh yang masih menggigil itu. Dia cuba mententeramkan perasaan Salwa. Ketakutan yang jelas pada wajah itu merisaukannya.

“Mak, macam mana dia tahu Wawa ada di sini? Tadi, dia tengok Wawa macam nak telan. Takut! Dia nak apa pulak kali ni, mak? Takkan nak culik Wawa lagi, kut?” Salwa mengomel.

“Orang macam tu ingat dia pandai sangat, cik Wawa oi. Hari tu, dia culik Reena, dia dapat 2 juta. Dia ingat, awak lagi berharga! Jadi, jaga diri tu! Jangan keluar rumah sesuka hati mulai dari sekarang, tahu! Kalau dia culik awak dan dia minta 10 juta, macam mana?” Ammar menggertak.

“Ammar!” Datin Suliza tidak suka bila Ammar menakut-nakutkan Salwa. Dicubitnya paha anak lelakinya itu. Bila Ammar terjerit kecil, Salwa ketawa geli hati. Dia menjuihkan bibir. Tulah! Suka sangat mengusik...kan dah kena cubit?
............................

“Bila you nak tangkap budak tu, Zam? I dah tak sabar ni. Kali ni, I nak you hapuskan dia terus. Dan, ingat! Jangan sesekali you nak belot dengan I macam dulu. Nahas you nanti!” suara Edreena melantun dengan kuat di dalam rumah kosong di sebuah aparment di Putrajaya.

Ya, dia bersekongkol lagi dengan lelaki jahat itu. Dia sudahpun memaafkan semua kesalahan Zaman terhadapnya. Cintanya terlalu agung untuk lelaki jahat itu. Apapun kesalahan dibuat Zaman, dia rela melupakan asalkan Zaman mahu menerima dirinya semula. Lagipun, dia berdendam dengan Ammar. Dulu, Ammar menolak cintanya. Ammar meminta pertunangan mereka diputuskan. Amanat arwah datuk yang mahukan mereka berkahwin tidak mahu Ammar tunaikan. Ammar kata, mereka tidak saling mencintai maka tidak ada sebab untuk mereka bersatu.

Ammar dan keluarganya perlu diajar. Dengan menculik budak perempuan itu, mereka akan meminta wang tebusan yang banyak. Dan sekali ini, selepas mendapat wang itu, budak perempuan yang berjaya membuat Ammar dan keluarga menyayanginya itu akan dihapuskan daripada muka bumi ini. Biar padan muka lelaki sombong itu! Dia tidak kenal siapa Edreena!
.....................................
   
10
Salwa, Datin Suliza dan Ammar sedang berjalan-jalan di KLCC. Salwa yang baru pertama kali menjejakkan kaki ke kompleks Menara Berkembar itu kelihatan sangat mengkagumi keindahannya. Sesekali Ammar mengajuk tingkah gadis itu menyebabkan Salwa menjelirkan lidah tanda geram.

“Awak, boleh jalan jauh sikit tak? Rimaslah dekat-dekat camni? Mak, kenapa anak mak ni mengada-ngada sangat?”

Datin Suliza tidak menjawab. Dia hanya tersenyum sahaja.

“Awak?”

Diam.

“Awak?”

Diam lagi!

“Hisy, kenapa dengan awak ni? Nak minta tolong sikit pun tak nak jawab bila kita panggil! Sakit hati!” marah Salwa. Beberapa buah beg yang dari tadi dijinjit terpaksa di angkat semula. Nampaknya lelaki itu memang sengaja hendak membiarkan dirinya membawa semua beg plastik berisi barang-barang yang telah dibeli tadi.

“Mana panggilan tu? Kenapa tak panggil saya dengan panggilan yang sepatutnya? Saya ni tua daripada awak, tahu! Awak kenalah hormatkan saya!” balas Ammar serta merta. Wajahnya menunjukkan dia marah dengan sikap Salwa yang tidak mengendahkannya.

‘Eleh, nak kena panggil dia abang, konon? Kempunanlah awak! Masa orang panggil hari tu, awak jadi gatal sangat. Tak kuasa!” sela Salwa dalam hatinya. Ingin sahaja dia berjalan jauh mendahului mamat ini, namun dia takut. Takut kalau-kalau peristiwa di Hentian Putra akan berulang.

Pihak polis telah menasihatkan mereka supaya berhati-hati. Lelaki bernama Zaman itu memang seorang yang dikehendaki polis. Sudah banyak penipuan yang dilakukannya. Ada juga terlibat dalam beberapa kes samun, rompakan dan penculikan.

Dari jauh, ketika bergerak ke arah kereta di tempat parkir, Ammar dapat melihat ke empat-empat tayar keretanya yang pancit. Hati mula berasa tidak sedap. Dia berbisik sesuatu kepada ibunya. Datin Suliza terangguk-angguk, memberhentikan langkah dan mengeluarkan telefon bimbit.

Salwa turut berhenti melangkah. Bukan kerana dia sudah nampak keadaan tayar tetapi kerana di hadapan mereka, ada 3 orang lelaki yang sedang datang. Dia cam salah seorang daripada mereka. Itulah lelaki yang menculiknya dahulu. Dan, paling menakutkan dirinya saat itu, si Zaman juga ada. Sahlah! Nyawa mereka dalam bahaya sekarang.

Ammar turut menyedari kehadiran tetamu yang tidak diundang. Dia segera menarik tubuh Salwa untuk dilindungi di belakangnya. Segala ilmu seni mempertahankan diri sudah cuba diingati. Dia sudah bersedia untuk menyelamatkan gadis kesayangannya.

Pencak silat pun terjadi. Tae kwan do pun ada digunakan. Bukan mudah untuk seorang melawan tiga. Tegap-tegap pulak tu.

Tiba-tiba sebuah kereta bergerak dengan laju ke arah mereka. Entah mengapa, Salwa begitu pasti bahawa kereta itu dipandu oleh Edreena. Dia risau. Silap-silap, mereka akan dilanggar oleh gadis itu. Ataupun, dirinya akan ditarik memasuki kereta itu. Jadi dia perlu menghentikannya.

Teringat pada ‘dumb bell’ yang dibeli oleh Ammar untuknya tadi, Salwa lantas mengeluarkannya daripada beg. Ketika kereta itu terlalu hampir, dibalingnya alat sukan itu ke arah cermin pemandu. Arghh, masa kecil dulu, dia juara main tuju-tuju guli. Tentu sahaja, balingannya mengena! Dan, yang pasti, Edreena sudah tidak dapat mengawal pemanduan. Tidak lama selepas itu, kereta yang dipandu melanggar tembok!

Zaman naik angin. Sudahlah dia teruk dibelasah oleh Ammar, kini Edreena pula sudah kemalangan. Dia geram! Dia marah. Dia benci kepada Salwa. Lalu, tanpa amaran, dia bangun dan dengan menggunakan pisau lipat yang ada, dia terus meluru ke arah Salwa yang masih berdiri tegak.

“Wawa!!!” Datin Suliza menjerit, cuba memberi amaran kepada Salwa.

Mendengar suara cemas ibunya, Ammar tidak berfikir panjang. Dia terus melonjakkan dirinya sambil menjatuhkan Salwa. Pada masa sama, kakinya menahan langkah Zaman lalu Zaman tersadung jatuh ke atas mereka.

Ketiga-tiganya kini tidak bergerak namun yang pasti ada darah yang meleleh seolah-olah ada perut yang sudah tertusuk dengan pisau si Zaman. Siapakah yang menjadi mangsa?


Kebetulan, pada masa itu, beberapa orang anggota polis sampai di tempat kejadian. Turut sama membantu termasuk orang ramai yang sudah menyedari apa yang berlaku. Dua penjahat yang masih kesakitan telah berjaya diberkas. Edreena pula yang hanya mengalami cedera ringan telah juga berjaya ditahan.

Perlahan-lahan, Ammar menolak tubuh lelaki yang berada di atasnya. Dia amat bersyukur kerana Allah menyelamatkan dirinya tadi. Pisau yang sepatutnya menujah dia, telah memakan tuannya sendiri. Entah bagaimanalah keadaan itu berlaku dalam kekalutan tadi. Apa yang pasti, segalanya sudah selamat kini.

“Awak? Beratnya awak ni! Cepatlah bangun, saya tak larat, awak!”

Ammar tersenyum mendengar suara lembut Salwa. Kalau ikutkan hati, dia ingin sahaja kekal terbaring di situ. Tapi, apa pula kata orang ramai nanti? Tak eloklah dia mengambil kesempatan atas diri gadis yang malang ini, bukan?

“Ammar, apa lagi tu? Bangun cepat! Kesian Wawa! Kamu ni....! Mak kahwinkan kamu berdua nanti, baru tahu!” sindir datin.

Serentak, Ammar dan Salwa membalas.

“Nak!” kata Ammar.

“Tak nak!” kata Salwa sambil bergegas bangun.

Ammar bercekak pinggang. Garang sahaja lagaknya. “Kenapa awak tak nak kahwin dengan saya?” tanya dia.

Salwa membulatkan matanya. Dia geram. Dia tidak peduli. Dia mesti memberitahu dan meluahkan isi hatinya sekarang juga.

“Ammar Hamdi bin Datuk Sazali, umur saya baru 17 tahun. Saya ni kecik lagi, tau! Tak lama lagi keputusan SPM akan keluar dan saya yakin saya boleh masuk matrik. Lepas tu, saya nak masuk universiti. Saya nak capai cita-cita saya untuk jadi seorang arkitek. Lepas tu, saya nak kumpul duit, nak hantar emak saya pergi Mekah. Lepas tu, saya nak beli rumah. Lepas tu, saya nak....”

“Okey, tak payah cakap apa-apa dah. Saya dah faham.”
.............................

11

Enam tahun kemudian......

Segulung ijazah sudah berada di dalam genggaman. Berkat kesungguhan, dia sudah berjaya mencapai cita-citanya. Kerana kegigihan, dia menerima anugerah dekan. Namun, yang pasti, kejayaan ini bukan kejayaan dia seorang. Di sekelilingnya, ramai yang tidak putus-putus memberi sokongan. Dia perlu mengucapkan terima kasih kepada mereka. Untuk itu, dia tercari-cari wajah-wajah mereka.

Orang pertama yang dipandang tentu sahaja lelaki bernama Ammar. Lelaki yang sudahpun bergelar suaminya, sebaik dia selesai menduduki peperiksaan akhir. Lelaki itu kini datang mendekat. Terus memeluk pinggang rampingnya.

“Tahniah, Puan Wawa. Semua yang puan idamkan dah tercapai, kan?” bisik Ammar di telinga.

Salwa tersenyum manis. Ya, sesungguhnya, semua cita-cita dan keinginan sudahpun menjadi miliknya. Dirinya sudah lama kembali ke pangkuan emak dan kakak-kakak. Segala kesilapan lalu sudah dilupakan. Emak sudah menyesali perbuatan pilih kasihnya dan dia sudah tidak lagi merasa tersisih di dalam keluarganya sendiri.

Ayah yang hilang sudah ditemui. Ketika ingin menikah dulu, dia sudah mengisytiharkan untuk mencari ayahnya. Diwar-warkan di merata-rata. Segala media digunakan. Alhamdulillah, mereka dipertemukan buat kali pertama. Rasa marah satu masa dulu hilang kerana dia tahu, dia sangat bertuah kini. Hidupnya dilimpahi kasih dan sayang. Rahmat Tuhan terlalu besar.

“Perhatian! Perhatian! Sekejap lagi kita akan bergambar beramai-ramai. Jadi, rapi-rapikan diri tu. Bedak-bedak sikit! Tapi sebelum tu, di sini ada satu pengumuman. Sila dengar!” Pelukan dieratkan. Wajah isteri ditatap penuh kasih sayang. Ingin sahaja dia mengucupi dahi Salwa ketika itu sebagai tanda terima kasih, namun ditahankan. Kasih sayang bukan untuk ditunjukkan. Cukuplah hanya dia dan isterinya yang merasai.

“Salwa dah mengandung, kan?” tanya Alya.

“Laa, dah tahu, ke? Ingat nak buat kejutan!” Salwa mencelah.

“Ek eleh, kejutan apanya kalau dah tiap pagi asyik meloya, Wawa? Hisy, budak ni, tak hilang-hilang lagi perangai budak kecilnya tu?” kata Hamidah. Besannya tersengih di sebelah.

Ammar memandang wajah isteri tanpa jemu. Dalam hati, rasa bersyukur tidak pernah surut. Bagi dirinya, dipertemukan dengan gadis ini adalah saat-saat terindah di dalam hidupnya. Mengenali gadis ini adalah keistimewaan yang amat dihargai namun mencintai dan dicintai oleh Salwa adalah kebahagiaan yang selama ini tidak pernah terfikirkan.

"Abang sayang awak, Wawa. Sungguh-sungguh sayang!" Ammar membisikkan dalam nada yang cukup romantis.

"Sayang aje tak cukup, tahu! Janji mesti ditunaikan." Salwa membalas nakal.

Ammar mengerutkan dahi. "Eh, bukan abang dah bagi semuanya, ke?" tanya dia penuh keliru.

Salwa ketawa besar melihat suami yang masih terpinga-pinga memikirkan apa lagi yang belum lengkap. Memang ketara, Ammar tidak pernah memikirkan tentang perkara itu. Nampaknya terpaksalah dia mengingatkan semula.

"Wawa kan dah cakap pada abang yang Wawa nak pergi daki Gunung Kinabalu dengan........."

"Apa? No! Tak boleh! Jangan nak buat benda mengarut! Awak tu baru aje mengandung, tahu!" Jerkah Ammar. Bukan apa, dia terkejut tadi.

"Tapi..."

"Abang cakap tak boleh, tak bolehlah! Faham?" Ammar bertegas.

"Faham! Dah teka memang tak dapat punya! Sebab itu, Wawa dah tempah tiket untuk pergi ke Awana Genting, bang. Tak dapat panjat Kinabalu, naik Genting Highlands pun jadilah! Taklah meleleh air liur anak Wawa ni nanti, kan?"

Bulat sepasang mata Ammar memandang isteri. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya. Pandai sungguh Wawa mengenakannya. Namun, senyuman di bibir merekah itu terlalu mempesona untuk dia berkata tidak.

"Okey, kita ke Genting." Ammar berkata akhirnya.

"Terima kasih. Dan, Wawa nak bagi tahu abang yang Wawa dengan anak kita kat dalam ni, kan... sayang sangat pada abang. Sungguh-sungguh sayang."

Bukan semua orang menemui cinta yang diingini. Bukan semua orang menikmati keindahan bercinta. Kerana itu, hargailah cinta yang anda miliki, Hargailah orang yang memberikan anda cinta itu. Ia bukan sekadar di pinggiran. Dia anugerah Tuhan untuk anda.

sekian.  
.......................

Ulasan

  1. bessssttttt...sgt2 best...cg sofi mmg terbaik dr ladang r..hehehe

    BalasPadam
  2. kpd miz ruha dan bibiey... terima kasih krn terus menyokongku...

    BalasPadam
  3. hahhha...
    sweet r....
    best2x....

    BalasPadam
  4. thanks kak.. cete ni best.. tp kalo akak jadikan novel lagi best..

    BalasPadam
  5. cutenya citer ni...best sgat..x puas rasa bila baca cerpen ni..hehehhe

    BalasPadam
  6. sangat suke...
    best dan sweet..tapi ending macam x puas baca.
    hehehe...

    BalasPadam
  7. salam kak..cita ni best, aku suka idea2 akak,santai juga membacanya..tapi mungkin sebab ia cerpen, jd semuanya mcm tergesa2 je.. :) peace...
    ps:sori kak, byk komen la aku ni

    ozzy

    BalasPadam
  8. comei je citer ni...suke2...

    BalasPadam
  9. @miznza84
    hehe.. belum terfikir lg nak jadikan novel

    BalasPadam
  10. @cik ayyu
    hehe... kenalah puaskan juga, kan sbb da habis dah...

    BalasPadam
  11. @seed169
    iya ke?... alah itu yg termampu kak sofi ideakan hehe

    BalasPadam
  12. @Anonymous
    x pe, ozzy komen dan akak cuba baiki lain kali...peace..

    BalasPadam
  13. tadi baca 1 cerpen psl adik ipar segala,..rasa xkena. tp terubat dgn cerpen neh. hehe. sgtlah best cerpen ni....cute. tp, sy 17 tahun. slalu tertanya mcm manalah nak jadi seecute budak ni...hakhakhak.

    BalasPadam

Catat Ulasan

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.

Catatan popular daripada blog ini

Cerpen: Dia Idaman Jiwa

1
“Hi, boleh aku duduk kat sini?”

Aliah mendongak. Demi terpandang sahaja wajah itu, air mukanya terus berubah. Riak tidak senang ditunjukkan kepada lelaki itu.

“Cepatlah jawab! Senang aje soalan aku tu. Boleh, jawablah boleh...”

“Kalau saya jawab tak boleh?”

Abid terus menarik kerusi yang bertentangan dengan gadis itu.

“Aku tetap duduk sini jugak.” Balasnya sambil tersengih-sengih.

“Macam tak ada tempat lain!”

“Banyak! Sana kosong. Tu, di belakang kau tu pun kosong. Tapi, aku saja aje nak duduk depan kau. Dah sebulan aku cari kau tapi tak jumpa-jumpa. Alhamdulillah, hari ini dapat juga. Kau apa khabar? Sihat?”

Aliah tidak menyahut. Sebaliknya, dia terus menyuap dan kali ini suapannya sengaja dilajukan, tidak lagi menikmati nasi campur yang dimakan. Ketika itu, dia hanya berkeinginan untuk cepat-cepat menyudahkan makan tengah harinya supaya dia dapat pergi dari situ dengan segera. Dia tidak mahu mengadap muka lelaki yang kini sedang berada di hadapannya walau sehebat, sekacak mana se…

Yang Terakhir: Versi Cerpen

1
“Kau dah habis fikir ke, Khairi? Perempuan macam Najiha tu kau nak bawak ke majlis Annual Dinner kita? Tak malu ke nanti bila orang gelakkan kau?” tanya Hafiz sambil mengerutkan dahi. Dia keliru dengan sikap Khairi Iqbal. Rasanya, selama mereka berkawan, belum pernah walau sekali pun, Khairi memuji gadis yang seorang itu. Gadis yang bernama Izzatul Najiha. Tup tup, hari ini, dia buat keputusan hendak menjadikan Najiha pasangannya semasa majlis kemuncak nanti. Hisy, pelik betul!
“Malu, memanglah aku malu! Tapi aku cuma nak gunakan dia saja. Nak buat Amalina cemburu.” Balas Khairi sambil menyisip air lemon perlahan. Sejuk rasa kerongkongnya bila air itu menerobos masuk ke dalam rongga.
Mata Hafiz buntang. Kepala tergeleng-geleng.
“Kenyataan kau tu lagi buat aku tak faham! Kalau kau nak buat Amalina cemburu, kau patut bawak perempuan lain. Bukan si Najiha yang macam hantu bungkus tu!”
Terlambak tawa Khairi Iqbal mendengar kata-kata sahabat baiknya itu. Hantu bungkus? Si Najiha tu?…

Inikah Cinta? : Versi Cerpen

1

"Ouch!"

Cepat-cepat Janet menghisap jari telunjuk yang terhiris tadi. Setelah kesakitan itu hilang, dia segera membasuh jari itu. Dia kemudian mengelap lalu membalut luka dengan plaster.

"Sakit? Itulah pasal. Mak Nah dah cakap, biar mak Nah aje yang buat tapi Janet degil sangat. Hendak jugak main-main pisau," sindir orang gajinya menyebabkan Janet ketawa besar.

"Inilah yang orang cakap, luka di tangan nampak berdarah. Luka di hati tak siapa tahu. Kan, mak Nah?"

Mak Nah melepaskan keluhan sebelum mencuri pandang ke arah wajah ayu di sisinya yang kini sedang tunduk dan berpaling ke arah lain. Hati mak Nah kini turut melagukan irama sedih yang pasti sedang berdendang dalam hati Janet. Biarpun sudah lama ia berlalu, pasti kenangan itu hadir kembali sebaik rangkap pepatah itu diungkap. Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula kisah cinta penuh keindahan. Ke mana hendak dicampakkan?

"Dah enam tahun... dia tentu dah lupakan saya. Tentu dah kahwin…