apa yang nampak, apa yang rasa, apa yang dengar

22.11.10

Sekadar di pinggiran 9

Sekadar di pinggiran 9

Sudah hampir 3 minggu Salwa mengelak dirinya. Bukan tidak disedari, cuma dia malas hendak bersuara. Bimbang pula kalau-kalau usikannya nanti semakin menjauhkan gadis itu daripada dirinya.

Sejak kebelakangan ini, menurut kata ibunya, Salwa sering termenung. Apakah yang dirunsingkannya? Patutlah wajah tidak nampak ceria seperti selalu. Mengapa?

“Apa yang kamu fikirkan tu, Ammar? Sampai berkerut-kerut dahi tu?” soalan datin mengejutkan lamunannya. Dia tidak menyedari bilakah ibunya datang dan duduk dengannya di ruang tamu itu.

“Err... Wawa mana mak?”

Ibunya tersengih serta merta. Ammar menjadi malu. Sesungguhnya, dia memang tidak pandai menyembunyikan perasaannya. Mudah benar untuk diteka apa yang tersirat di dalam hati.

“Kat luar. Dia nak gembur tanah, bubuh baja pada pokok-pokok bunga tu semua. Elok juga kalau kamu hendak menolong dia, Ammar. Pergilah..”

Ammar segera berdiri. Dia tahu dia tidak perlu menukar pakaian. Track suit yang dipakai dengan t-shirt dunhill tiruan ini sudah cukup sesuai untuk berkebun.

Ketika ingin melangkah, dia dikejutkan dengan gelagat pelik Salwa yang berlari masuk ke dalam rumah lalu terus menutup pintu...rapat. Yang pasti, gadis itu sedang ketakutan. Dia termengah-mengah.

“Kenapa?” kerisauan menyebabkan Ammar mendekat.

Salwa hanya mampu menunjuk-nunjuk ke arah luar. Nafasnya masih semput. Dia masih terkejut. Tidak mampu bercakap lagi.

Ammar merasa pelik namun dia segera ke tingkap untuk mengintai ke arah pagar. Pada ketika itu, sebuah kereta baru sahaja bergerak meninggalkan jalan di hadapan rumah. Dia kembali merenungi Salwa. Wajah itu kelihatan pucat.

“Kenapa ni? Siapa yang dalam kereta tu? Orang jahat ke? Orang jahat yang pernah culik dan kurung awak dulu? Orang yang bawa lari duit saya?” soal Ammar bertubi-tubi. Perasaan ingin tahu membuak-buak.

“Awak, saya terkejut. Memang dia tadi tu. Apa dia hendak lagi? Isk, bodohlah dia tu! Dah dapat duit, kata nak ke Australia, pergi ajelah! Ni, yang datang balik ke sini, buat apa?”

Datin Suliza segera memeluk tubuh yang masih menggigil itu. Dia cuba mententeramkan perasaan Salwa. Ketakutan yang jelas pada wajah itu merisaukannya.

“Mak, macam mana dia tahu Wawa ada di sini? Tadi, dia tengok Wawa macam nak telan. Takut! Dia nak apa pulak kali ni, mak? Takkan nak culik Wawa lagi, kut?” Salwa mengomel.

“Orang macam tu ingat dia pandai sangat, cik Wawa oi. Hari tu, dia culik Reena, dia dapat 2 juta. Dia ingat, awak lagi berharga! Jadi, jaga diri tu! Jangan keluar rumah sesuka hati mulai dari sekarang, tahu! Kalau dia culik awak dan dia minta 10 juta, macam mana?” Ammar menggertak.

“Ammar!” Datin Suliza tidak suka bila Ammar menakut-nakutkan Salwa. Dicubitnya paha anak lelakinya itu. Bila Ammar terjerit kecil, Salwa ketawa geli hati. Dia menjuihkan bibir. Tulah! Suka sangat mengusik...kan dah kena cubit?
............................

“Bila you nak tangkap budak tu, Zam? I dah tak sabar ni. Kali ni, I nak you hapuskan dia terus. Dan, ingat! Jangan sesekali you nak belot dengan I macam dulu. Nahas you nanti!” suara Edreena melantun dengan kuat di dalam rumah kosong di sebuah aparment di Putrajaya.

Ya, dia bersekongkol lagi dengan lelaki jahat itu. Dia sudahpun memaafkan semua kesalahan Zaman terhadapnya. Cintanya terlalu agung untuk lelaki jahat itu. Apapun kesalahan dibuat Zaman, dia rela melupakan asalkan Zaman mahu menerima dirinya semula. Lagipun, dia berdendam dengan Ammar. Dulu, Ammar menolak cintanya. Ammar meminta pertunangan mereka diputuskan. Amanat arwah datuk yang mahukan mereka berkahwin tidak mahu Ammar tunaikan. Ammar kata, mereka tidak saling mencintai maka tidak ada sebab untuk mereka bersatu.

Ammar dan keluarganya perlu diajar. Dengan menculik budak perempuan itu, mereka akan meminta wang tebusan yang banyak. Dan sekali ini, selepas mendapat wang itu, budak perempuan yang berjaya membuat Ammar dan keluarga menyayanginya itu akan dihapuskan daripada muka bumi ini. Biar padan muka lelaki sombong itu! Dia tidak kenal siapa Edreena! 

4 ulasan:

  1. wah....
    tamaknya edreena 2...
    hrp2 pas ni mrk dpt blsan stimpalnya....

    BalasPadam
  2. eiiii.... jahat betul edreena tu... tak serik2... tak takut balasan agaknya....

    BalasPadam
  3. kak..
    nak lagi..
    hikhikhik

    BalasPadam
  4. salam epy, nz n maylin, jahat sgt ke? hehe...jgn marah, k!

    BalasPadam

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.