apa yang nampak, apa yang rasa, apa yang dengar

22.11.10

Sekadar di pinggiran 8

Sekadar di pinggiran 8

Salwa mengintai di sebalik langsir tingkap, memerhati sehingga kereta kecil itu keluar daripada garaj dan hilang daripada pandangan. Dia menarik nafas kelegaan. Dia berjaya mengelak lelaki itu pagi ini. Untuk masa-masa lain? Bagaimana dia dapat mengelakkan diri? Alah, nantilah fikir, bisik hatinya.

Sudah sebulan dia tinggal di dalam rumah agam itu. Dia tidak dapat mengelak bila dipujuk dengan lembut oleh Datin Suliza. Wanita itu terlalu baik. Lembut tutur kata dan sangat-sangat menyayanginya. Dia yang gersang kasih sayang seorang ibu begitu mudah terpujuk oleh belaian kasih yang datin berikan. Kalau datin menganggap dirinya sebagai anak perempuan wanita itu, dia tidak teragak-agak untuk menganggap wanita itu sebagai ibunya. Sebab itu bila Datin Suliza meminta dia memanggil emak, dia akur sahaja.

Datuk Sazali juga telah menerima kehadirannya dengan gembira. Mungkin kerana dirinya seorang yang periang maka mudah sahaja dia disayangi lelaki itu. Datuk seorang yang murah hati. Sering sahaja membelikan Salwa sesuatu setiap kali dia dan datin keluar rumah untuk membeli belah.

Sungguh dia tidak menyangka bahawa nasib dirinya akan menjadi sebertuah ini. Segembira sekarang. Hidupnya serba lengkap di sini. Cukup semuanya sehingga kekadang dia terlupa bahawa dirinya itu sekadar menumpang sahaja.

“Wawa, boleh mak tanya sikit?” tiba-tiba, dia teringat perbualan semalam.

Dia yang sedang mengurut-urut tengkuk ibu angkatnya segera duduk mengadap wanita itu. Menunggu soalan yang bakal ditanya.

“Dah sebulan Wawa duduk di rumah ni. Jadi orang gaji mak. Buat semua kerja mencuci, mengemas rumah walaupun sebenarnya bukan itu yang mak suka.”

Salwa ketawa kecil, teringat kepada saat mula-mula berita itu disampaikan oleh Ammar kepadanya. Waktu itu dia bermati-matian menolak. Baginya, dia tidak ada sebab untuk tinggal di dalam rumah ini.

“Kalau susah sangat, awak jadi orang gaji kitorang, boleh?” tanya Ammar kepadanya.

“Orang gaji?”

“Ya, orang gaji! Dah awak tak mahu jadi tuan puteri, awak rasa awak layak tak jadi orang gaji di rumah mak saya nanti?” tanya Ammar bersungguh-sungguh.

Waktu itu Salwa sudah diberitahu tentang Zaman yang menghilangkan diri dan Edreena yang tidak jadi ke Australia. Dia juga tahu kebimbangan yang dirasai seisi keluarga Ammar terhadap keselamatannya dan dia rasa tersentuh dengan keprihatinan mereka. Sebab itu dia akhirnya bersetuju tinggal di rumah agam itu, bekerja sebagai orang gaji berpendapatan RM400 sebulan.

Dia sudahpun mendapat gaji pertamanya semalam. Wang itu akan disimpan untuk dia membuat belanja masuk ke universiti nanti.

“Wawa?”

Suara datin mengejutkan gadis itu. Wajah anggun di hadapannya dipandang. “Apa soalan mak tu?” tanya dia.

Datin Suliza tersenyum manis. “Kenapa Wawa tak panggil Ammar tu, abang? Kan dia anak emak? Kan umur dia 10 tahun lebih tua daripada Wawa?”

Salwa merasa bahang naik ke muka. Dia benar-benar tidak tahu apa yang harus dijawabnya. Dia sendiri tidak ada jawapan mengapa dia tidak boleh memanggil Ammar ‘abang’.

“Mak teringin nak dengar Wawa panggil abang pada Ammar. Barulah sopan sikit! Tak adalah dok hoi, awak, kan?”

“Nantilah Wawa praktis, ya, mak...”

Demi menyenangkan hati ibu angkatnya, dia mencuba panggilan itu buat pertama kali sewaktu mereka makan malam. Bulat sepasang mata Ammar melihatnya. Lelaki itu terkejut, itu yang pasti.

Tidak disangka-sangka, Ammar menunggu dia di hadapan pintu biliknya ketika dia hendak masuk tidur.

“Kenapa panggil saya abang?” suara Ammar tegas sungguh.

“Emak suruh!” balas Salwa bersahaja.

“Awak akan buat semua yang emak suruh?”

Bulat mata Salwa merenung lelaki itu tapi dia segera menganggukkan kepala.

“Kalau dia suruh awak kahwin dengan abang?”

Eh, tiba-tiba pula suara jadi lembut ni... Kenapa? Salwa terlopong. Tidak menyangka itu yang akan ditanya oleh Ammar kepadanya.

“Wawa, jawablah! Kalau emak suruh Wawa kahwin dengan abang, Salwa ikut juga, ya?”

Hisy, apa kena dengan mamat sewel ni? Sengaja dekat-dekatkan diri, tersenyum-senyum, perasan! Siapa yang hendak kahwin dengan dia, entah! Kecoh betullah! Perkataan ‘abang’ buat mamat ni macam orang tak betul. Hantar ke Tanjung Rambutan baru tahu! Gumam Salwa di dalam hati.

“Wawa, kenapa diam ni? Kita kahwin ya?”

Makkk.... tolong!! Ni ada orang tak siuman kat sini. Tak pasal-pasal dia ajak Wawa kahwin! Takut!!

Sebab itu, pagi ini, dia sengaja mogok dan tidak turun ke dapur seperti selalu. Dia malu hendak tengok muka Ammar. Tapi, pelik pula. Bukankah Ammar yang patut malu sebab ajak dia yang masih remaja ini berkahwin? Ke, Ammar bergurau saja? Dia yang terlebih perasan? Hisy, ni yang tak sanggup ni! Macam mana hendak berdepan dengan lelaki itu lagi nanti?             

8 ulasan:

  1. hahaha. ammar da tangkap cintan la tu.

    BalasPadam
  2. hehehe...
    Ammar dah jatuh hati kat Salwa...

    BalasPadam
  3. ala suweetnya... ammar dah start pasang jerat nmpaknya....

    BalasPadam
  4. hehe... mmg nakal kan, dia?

    BalasPadam

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.