apa yang nampak, apa yang rasa, apa yang dengar

21.11.10

Sekadar di pinggiran 6

Sekadar di pinggiran 6

Sepasang tangan bergerak-gerak ligat seakan-akan ingin menolak apa juga benda yang berada hampir dengannya. Minda teruja bila mendapati diri boleh menggerakkan tangan yang disangkanya masih berikat. Kemudian dia cuba menggerakkan sepasang kaki pula. Keadaan kakinya juga sudah bebas. Oh, alangkah bahagia. Dia akhirnya boleh menggerak-gerakkan anggota tubuh. Lalu semakin kuat dan semakin laju dia menggerakkan semua seolah-olah ingin memastikan dia tidak bermimpi.

Tiba-tiba, tangannya digenggam erat. Pergerakannya dihentikan oleh genggaman perkasa seorang lelaki. Ya, dia amat pasti seorang lelaki sedang menyentuhnya. Tangan itu kasar. Arghh, benci! Lelaki bodoh! Kenapa pegang tangan aku! Lepaslah! Jeritnya di dalam hati.

“Syy, awak dah selamat. Jangan risau, tak ada sesiapa boleh buat apa-apa yang buruk pada awak lagi. Percayalah cakap saya. Awak berada di hospital sekarang.”

Suara yang begitu meyakinkan berjaya membuat rontaan Salwa terhenti. Perlahan-lahan, sepasang mata terbuka terus bertemu pandang dengan sepasang mata yang irisnya berwarna hazel. Cepat-cepat dia berkalih merenung di sekeliling. Benarlah! Dia di dalam wad hospital sekarang. Dia belum mati lagi.

Kerana merasa terlalu bersyukur, Salwa menangis. Mulanya perlahan sahaja lama-lama ia menjadi esakan.

“Laa, dah menangis pulak! Hei, boleh tolong berhenti tak? Awak belum mati lagi. Bersyukurlah!” bentak Ammar.

“Sebab saya bersyukurlah, saya menangis ni. Tadi, masa saya jaga, saya ingat saya dalam kubur. Tapi, rupa-rupanya, tidak! Allah masih sayangkan saya. Bolehlah saya balik kampung jumpa emak dan mintak maaf pada dia. Saya nak tebus balik semua kesalahan saya. Ni, Allah dah bagi peluang kedua untuk saya, takkan saya nak sia-siakan pulak, kan, awak?”

Ammar terkelu memandang wajah gadis itu. Amboi, bila dapat bercakap, bukan main riuh! Hisy, orang kampung rupanya! Dan, fikirnya, mudah-mudah sahaja dirinya hendak dilepaskan balik ke kampung? Banyak persoalan belum lagi berjawab, cik adik manis, oi!

  1. siapa awak?
  2. macam mana awak boleh berada dalam kereta tu?
  3. kenapa di jari manis awak tu ada cincin pemberian saya untuk Reena?
  4. apakah perkaitan di antara awak dengan lelaki tu?
  5. di mana Edreena?
  6. ....

Salwa memandang wajah lelaki di hadapannya. Tepat dan tajam. Jadi, inilah dia Ammar, tunang perempuan cantik bernama Edreena yang bodoh itu, fikirnya. Ya, memang gadis itu bodoh dan mungkin juga buta. Lelaki ini sikit punya macho, handsome, tinggi, tegap, bergaya....., apa lagi? Hmm, cukuplah memuji! Si Zaman tu pula.... sedikit berumur, tetapi macho juga, tegap juga, handsome juga, berkulit cerah tapi..... jahatlah! Tak suka!  

“Awak, awak nak bercerita ke tidak ni? Kalau awak diam aje, saya hantar awak ke balai polis. Biar awak masuk penjara. Nak?” Ammar mengugut bila gadis di hadapannya ini masih kelu. Entah apa yang difikirkannya?

Kerana takut mendengar suara Ammar yang keras dan ugutan itu, Salwa menceritakan semuanya. Dia tidak tahu sama ada lelaki ini mahu mempercayainya. Yang penting, dia harus bertegas bahawa dia tidak terlibat. Zaman memerintahkan konco-konconya menangkap dirinya yang dikatakan sama tinggi dan mempunyai sosok seperti Edreena.

“Saya dah ceritakan semuanya, awak. Saya tak bohong.” Salwa melihat Ammar cuba menghubungi seseorang. “Awak, saya dah beritahu semua pada awak. Kenapa awak telefon polis lagi?” tanya dia penuh kaget.

Hisy, budak ni! Bila masa pulak aku telefon polis? Pandai-pandai aje! Kang, aku telefon betul-betul baru tahu!

“Awak...”

“Weh, budak! Saya telefon mak sayalah, bukannya telefon polis. Boleh tak kalau awak tolong pejamkan mata tu dan pura-pura tidur? Saya rimas bila awak bising. Saya tak boleh berfikir, tahu?”

Kena jerkah lagi! Uisy, patutlah tunang lari, garang sangat dia ni! Hello, pakwe, muka macho tapi mulut tu tak jaga, siapa nak sayang, kan?

“Apa awak cakap?”

Salwa mengerutkan dahi. Biar betul dia ni! Dia dengar apa yang aku cakap dalam hati? Bahaya ni!  

8 ulasan:

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.