Sekadar di pinggiran 5

Sekadar di pinggiran 5

Ammar menyelusuri sepanjang lebuhraya Kesas dengan tenang. Sesekali, sepasang mata mengerling ke sebelah melihat keadaan beg yang berisi sejumlah wang yang diminta oleh lelaki di dalam telefon kelmarin. Dia harus sampai ke persimpangan LDP dan memberhentikan kereta itu di lorong kecemasan. Dia kemudian mesti berjalan dalam 50 meter, dan meletakkan beg yang dijinjit di tepi jambatan. Dan, dia dikehendaki pergi meninggalkan kawasan itu dengan segera.

‘Hanya ada 2 kemungkinan... sama ada lelaki itu mengekori aku atau dia meletakkan kereta dia di bahu jalan di Lebuhraya Damansara-Puchong. Antara 2 ini, lebih mudah untuk dia berlari turun dari atas dan ambil beg berbanding kalau dia ikut aku dan memecut memintas kereta ni. Itu lebih selamat bagi dia. Tapi, Edreena?’ hati berbisik-bisik...

“Kau boleh ambil tunang kau, sebaik saja aku sudah kira duit tu. Tapi, ingat! Kalau ada polis, kalau aku kena tangkap, kau tak akan jumpa tunang kesayangan kau tu sebab aku akan bunuh dia, kau faham?”

Masih terpandang-pandang wajah Puan Hanum yang menangis teresak-esak bila mendengar kata-kata penculik tersebut. Kata-kata berupa ugutan. Masih terlihat bagaimana ketakutan merantai jiwa dan perasaan seorang ibu mendengar ungkapan bahawa anaknya akan dibunuh. Itulah yang menyebabkan dirinya, Ammar, tidak dibenarkan menghubungi pihak polis. Itulah juga yang menyebabkan dirinya terpaksa bertindak sendirian.

“Ammar, biarlah lelaki itu ambil RM2 juta tu. Janji Edreena selamat. Kesian makcik Hanum dengan Pak Bahar kamu ni.”

Ibunya seakan-akan tahu betapa hati Ammar tidak menyukai apa yang mereka lakukan ini. Ammar memang lebih suka jika pihak polis dibenarkan mengambil-alih. Bukan apa, ini sudah melibatkan jenayah berat, melibatkan nyawa. Bahaya!

Ammar sudahpun melakukan seperti yang diarahkan. Beg sudah diletakkan di tempat yang dikehendaki. Namun, dia masih berdiri di situ. Dia mahu lelaki itu menghubunginya. Kerana dia mahu jaminan bahawa Reena masih selamat!

Telefon bimbitnya berbunyi.

“Kenapa kau masih di situ? Kau degil ya? Hahaha....memang patutpun! Sebab...kalau kau bawak kereta kau ke hadapan sikit, dalam 100m, kau akan jumpa satu kereta sedang terbakar. Dan, encik Ammar, tunang kau ada dalam tu!”

“Sial, kau!” jerit Ammar lalu berlari menuju ke kereta Kia Picantonya. Dia terus sahaja memecut. Wang tidak lagi penting. Misinya ialah untuk menyelamatkan Edreena. Bukan untuk dirinya, tetapi untuk ibu dan ayah gadis itu!

“Hahaha....” sambil berlari menuruni jalan, Zaman mengilai panjang. “Bodoh! Tunang kau dengan akulah, bangang! Dia tak suka kau. Dia pilih aku!”
..................................

Hati berdebar sebaik terpandang sebuah kereta di bahu jalan. Kereta itukah yang dimaksudkan oleh penjahat tadi?

Oh Tuhan, janganlah terjadi apa-apa pada Reena. Izinkan aku selamatkan dirinya, ya, Allah. Berikan dia peluang untuk hidup.

Di dalam bonet kereta, Salwa sedang cuba bernafas. Salwa sedang cuba bertenang. Bau minyak tanah yang disimbah ke atas tubuhnya subuh tadi, begitu menyengat. Bibir tidak berhenti-henti mengucap syahadah. Hati jenuh meminta ampun.

“Ampunkan Wawa, mak. Kalau dah takdir Wawa mati dibakar hidup-hidup macam ni, mak tentu tak kenal Wawa sebab Wawa dah jadi abu. Halalkan makan minum dan kasih sayang mak untuk Wawa, ya. Wawa sayang mak. Kak Alya, kak Aziah, ampunkan dosa Wawa pada korang, ya!”

‘Hisy, tak adapun tanda-tanda terbakar? Ke, jantan tu dah bubuh bom jangka? Elok aku dekat aje.... boom!! Dengan aku sekali jalan! Wassalam!’ Hati Ammar mereka-reka cerita. Bagaimanapun, dia tetap mendekat. Cuba mengintai melalui cermin tingkap yang sedikit gelap.

“Hello... ada orang tak? Reena???” diketuk-ketuk dinding kereta itu. Telinga dipastikan peka dengan bunyi dari dalam. Maklumlah, kenderaan banyak yang lalu lalang, bimbang mengganggu konsentrasinya.

Di masa yang sama, Salwa mula lemah, mungkin udara sudah semakin sedikit di dalam bonet kereta itu. Nafas mula sesak. Ingin meronta namun tidak berdaya kerana sudah lebih 48 jam dia tidak makan atau minum. Lagipun tangan dan kakinya terikat kemas.

“Reena.... Reena.....”

Salwa mendengar laungan seorang lelaki memnggil nama Reena. Arghh...kalau sahaja lelaki itu memanggil namanya, tentulah dia insan paling bahagia saat ini. Tentulah dia amat mensyukuri nikmat Allah yang menghantar lelaki itu untuk menyelamatkan dirinya. Tapi, bukan nama dia yang diseru. Bukan dia yang ingin diselamatkan. Bukan dia....   

Ulasan

Catat Ulasan

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.

Catatan popular daripada blog ini

Cerpen: Dia Idaman Jiwa

Yang Terakhir: Versi Cerpen

Inikah Cinta? : Versi Cerpen