apa yang nampak, apa yang rasa, apa yang dengar

20.11.10

Sekadar di pinggiran 3

Sepasang kaki diatur perlahan-lahan melewati kawasan  yang hingar bingar dengan suara orang ramai yang sedang berpusu-pusu pergi dan balik, ke sana ke mari di sepanjang lorong dan hentian di stesen Putra. Mata melingas mencari kelibat rakan baik yang sudah dihubungi sebelum dia meninggalkan Kuala Kangsar tadi. Salwa sangat-sangat berharap agar Norehan tidak melupakan janjinya.

Seberani-berani dirinya, dia tidak pernah menjejakkan kaki di Kuala Lumpur. Dia terlalu banyak didedahkan dengan kehidupan sosial yang teruk sehingga dia merasakan dirinya dalam bahaya berseorangan di sini. Hanya Rehan sandarannya. Kawan baik yang banyak mengerti penderitaan yang ditanggung oleh Salwa ketika keluarga Rehan menetap di KK dan mereka bersekolah bersama-sama. Kini, Rehan sudah menetap di Kuala Lumpur pula kerana mengikut ayah yang bekerja sebagai pegawai polis, berpindah.

Tidak tahulah dia apakah hubungan rapat mereka dulu masih mesra lagi sekarang. Hanya harapannya, dia boleh menumpang di rumah Rehan untuk sehari dua. Dia akan menggunakan masa itu untuk mencari kerja. Rasanya, masih banyak kerja kosong yang boleh dipohon. Kalau terpaksa menjadi tukang cuci di pusat membeli belahpun, tak apa. Alah, kerja tu halal, apa?   

“Aku yakin itu dia! Mesti dialah! Jom!”

Salwa menoleh bila mendengar suara garang di belakangnya. Dan, sebaik dia menoleh sahaja, dia dapat merasakan ada benda tajam dicucuk ke bahagian pinggangnya. Pisau! Ya, Tuhan! Lemah seluruh anggota tubuhnya.

“Kalau kau hendak selamat, baik kau diam! Kau ikut saja arahan aku, tahu! Kalau tidak....?”

Salwa menganggukkan kepala. Dia sedang panik. Tentu sahaja dia akur dengan perintah lelaki itu, demi keselamatannya.

“Bagus! Sekarang jalan macam biasa. Ikut aje ke mana kawan aku tu melangkah. Ada faham cik adik yang comel?”

Salwa mengangguk sekali lagi sambil menghayun langkah mengikut seperti yang diarahkan. Dia kemudian sampai di tempat letak kereta. Ketika tiba di tepi sebuah kereta besar, dia ditarik memasuki kereta itu.

“Korang nak bawak aku ke mana? Korang nak culik aku ke? Tapi, buat apa? Aku bukan anak orang kaya! Aku ni miskin. Baru sampai dari......”

Belum sempat habis dia bercakap, mulut Salwa disumbat dengan kain. Sepasang matanya ditutup dengan kain hitam. Gelap gelita jadinya.

Mengapakah ini yang terjadi? Siapakah mereka, lelaki-lelaki jahat ini? Mengapa dirinya diculik? Apakah salahnya?


Saat itu wajah ibu menjelma. Salwa menginsafi diri. Ya, dia tahu semua ini ialah padah kerana melukakan hati seorang ibu. Aduhai, begitu cepat Allah memberikan balasan kepadanya. Namun sesal tetap timbul juga. Salahkah apa yang telah dilakukannya? 


Hati semakin gentar bila dirinya dijerkah, 

"Kau tu aset, tahu tak? Bos aku dah lama cari perempuan mcam kau. Muda, lembut dan paling bagus tentunya kau masih...."

"Tidak! Aku tak mahu! Lepaskan aku! Lepaskan aku!" 

"Jeritlah kuat-kuat.  Kuat... lagi! Jeritlah sekarang!"

Salwa menangis semula. Buat pertama kali, dia berasa terlalu takut. Kepada siapa dapat dia mengadu? Arghh, malang sungguh nasib diri. Ke mana sahaja kaki melangkah, hanya derita dan air mata yang menemaninya. 

4 ulasan:

  1. suspen2... ape dah jadi ngn salwa...
    kak nak lagi...

    BalasPadam
  2. menarik...ni cerpen bersmbg ke??sbb xberapa faham..kena bc dr awal ni..tp olahan menarik ;)

    BalasPadam
  3. @Tomato Gurl's Life
    mmg kak sofi wat camni cerpen tp bersambung2 kn baca dr mula. dptkan di recent post, k!

    BalasPadam

terima kasih kerana anda sudi singgah dan sudi komen.