Langkau ke kandungan utama

sekadar di pinggiran 1

inilah cerpen terbaru dari sofi... silalah baca kawan2...

Salwa menolak daun pintu rumah teres setingkat itu perlahan-lahan. Bukan kerana dia takut seisi rumah itu terjaga bila bunyi pintu itu berkeriut cuma dia tidak mahu dirinya dijadikan bahan repekan mulut murai ibunya. Dia tidak tahan mendengar bebelan wanita berusia lewat 40-an itu. Dia bosan menjadi mangsa kemarahan. Dia benci dijadikan “punch box” setiap kali dia melakukan kesalahan. Tapi...memang begitulah perangai ibunya. Kalau dirinya, huh...pasti ada sahaja yang tidak kena. Tapi kalau adik-beradiknya yang lain?

Dia masuk ke dalam biliknya sambil menghembuskan nafas panjang-panjang, tanda dia lega dirinya sudah terselamat daripada tertangkap. Rasa hendak ketawapun ada. Jam baru sahaja melewati pukul 11, namun seisi keluarganya sudah membuta. Undang-undang ketat ibunya yang tidak berkompromi tentang masa menonton TV memang membosankannya.

Sesungguhnya, banyak benar peraturan yang terpaksa dipatuhi. Itu tak boleh, ini tak boleh. Keras sungguh perintah berkurung. Dia tidak mengerti bagaimana kakak kakak-kakaknya, Alya dan Aziah boleh akur. Dia? Kalau dia boleh tahan, boleh bersabar, mengikut telunjuk, tentulah sekarang ini dirinya juga sedang berselimut.



“Baru balik, bohsia?”

Sergahan Puan Hamidah hampir sahaja menggugurkan jantungnya. Di dalam gelap, suara itu begitu garang mengherdiknya. Ketika lampu terpasang, Salwa sedang berdiri, tercegat bagai pak pacak di tepi pintu. Namun, anak yang degil ini dengan cepat dapat mengumpul kembali segala kekuatan. Riak wajah tidak sedikit menunjukkan ketakutan. Cuma satu sifatnya iaitu, dia tidak akan melawan ibunya. Memang tidak pernah dia menjawab walau sepatah. Itu sumpahnya. Itu janjinya.

“Kenapa dengan kamu, Salwa binti Rosli? Kenapa kamu ni degil sangat, hah? Kenapa tak pernah nak dengar cakap aku?”

Serentak dengan herdikan itu, tangan si ibu terus sahaja melepaskan lempang ke muka anak remaja yang baru sahaja tamat menduduki Peperiksaan SPM itu. Salwa yang tidak bersedia ditampar, lagi dan lagi. Pabila anak itu terjatuh, tubuh kurus itu diterajang, disepak, ditendang. Tidak ada belas kasihan seorang ibu. Tiada langsung.

“Sakit, mak.... sakit! Sudahlah! Jangan pukul Wawa lagi. Cukuplah!” rintih anak gadis itu.

“Hati aku ni lagi sakit, tahu! Kamu tak pernah nak dengar cakap aku. Kamu tak pernah peduli apa aku pesan pada kamu. Kamu degil. Aku cakap jangan keluar malam, kamu keluar. Aku cakap, jangan campur dengan mat-mat rempit tu, kamu kawan jugak dengan diorang. Aku cakap duduk di rumah, tak payah kerja, kamu kerja jugak! Kamu degil, kan? Degil!”

Sekali lagi amarah diturutkan. Bibir si anak sudah membengkak. Mulut sudah berdarah. Badan sudah lebam namun Hamidah bagaikan dirasuk. Dia terus memukul lagi. Menendang lagi! Sehingga longlai tubuh si anak...barulah dia berasa puas.

“Aku pukul kamu ni sebab aku nak mengajar kamu. Jangan esok, dah buncit, baru hendak menyesal. Dah tak guna dah masa tu! Kamu dengar ni, Salwa. Kalau esok-esok, kamu buat perangai lagi, mampus kamu aku kerjakan! Ingat tu! Aku tak suka anak yang degil tambah-tambah lagi anak yang sama rupanya dengan rupa si Rosli tu. Aku benci, tahu! Benci!”

Si ibu sudah lama keluar dari biliknya namun Salwa masih terbaring di lantai. Matanya masih terkebil-kebil mengingati kemarahan ibunya tadi. Air mata yang menitis di pipi, diseka dengan kasar kerana dia marahkan dirinya yang lemah, yang menangis setiap kali diamuk oleh si ibu. Dia memang menyedari sikap ibunya yang memilih kasih dalam menunjukkan kemarahan. Hanya dia yang menerima semua ini. Hanya dirinya, tidak Alya, tidak juga Aziah. Sejak kecil, dialah yang menjadi sasaran. Hanya kerana wajahnya mirip wajah lelaki itu!

Tuhan, bencinya dia kepada lelaki yang bernama Rosli itu. Benci yang teramat! Lelaki yang tidak pernah dia kenali. Yang pasti, lelaki itulah menyebabkan dirinya disisihkan oleh ibu dan kakak-kakaknya. Yang pasti, wajah lelaki itu yang diwarisinya menyebabkan dirinya sekadar di pinggiran di dalam keluarga ini. Apakah kehadirannya juga tidak diperlukan? Apakah kalau dia tiada, baru emaknya puas hati? Apakah dia perlu pergi untuk membuang rasa benci di hati?

Dalam lelah memikir, Salwa terlena bersama-sama esak yang masih bersisa.    

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Cerpen: Dia Idaman Jiwa

1
“Hi, boleh aku duduk kat sini?”

Aliah mendongak. Demi terpandang sahaja wajah itu, air mukanya terus berubah. Riak tidak senang ditunjukkan kepada lelaki itu.

“Cepatlah jawab! Senang aje soalan aku tu. Boleh, jawablah boleh...”

“Kalau saya jawab tak boleh?”

Abid terus menarik kerusi yang bertentangan dengan gadis itu.

“Aku tetap duduk sini jugak.” Balasnya sambil tersengih-sengih.

“Macam tak ada tempat lain!”

“Banyak! Sana kosong. Tu, di belakang kau tu pun kosong. Tapi, aku saja aje nak duduk depan kau. Dah sebulan aku cari kau tapi tak jumpa-jumpa. Alhamdulillah, hari ini dapat juga. Kau apa khabar? Sihat?”

Aliah tidak menyahut. Sebaliknya, dia terus menyuap dan kali ini suapannya sengaja dilajukan, tidak lagi menikmati nasi campur yang dimakan. Ketika itu, dia hanya berkeinginan untuk cepat-cepat menyudahkan makan tengah harinya supaya dia dapat pergi dari situ dengan segera. Dia tidak mahu mengadap muka lelaki yang kini sedang berada di hadapannya walau sehebat, sekacak mana se…

Yang Terakhir: Versi Cerpen

1
“Kau dah habis fikir ke, Khairi? Perempuan macam Najiha tu kau nak bawak ke majlis Annual Dinner kita? Tak malu ke nanti bila orang gelakkan kau?” tanya Hafiz sambil mengerutkan dahi. Dia keliru dengan sikap Khairi Iqbal. Rasanya, selama mereka berkawan, belum pernah walau sekali pun, Khairi memuji gadis yang seorang itu. Gadis yang bernama Izzatul Najiha. Tup tup, hari ini, dia buat keputusan hendak menjadikan Najiha pasangannya semasa majlis kemuncak nanti. Hisy, pelik betul!
“Malu, memanglah aku malu! Tapi aku cuma nak gunakan dia saja. Nak buat Amalina cemburu.” Balas Khairi sambil menyisip air lemon perlahan. Sejuk rasa kerongkongnya bila air itu menerobos masuk ke dalam rongga.
Mata Hafiz buntang. Kepala tergeleng-geleng.
“Kenyataan kau tu lagi buat aku tak faham! Kalau kau nak buat Amalina cemburu, kau patut bawak perempuan lain. Bukan si Najiha yang macam hantu bungkus tu!”
Terlambak tawa Khairi Iqbal mendengar kata-kata sahabat baiknya itu. Hantu bungkus? Si Najiha tu?…

Inikah Cinta? : Versi Cerpen

1

"Ouch!"

Cepat-cepat Janet menghisap jari telunjuk yang terhiris tadi. Setelah kesakitan itu hilang, dia segera membasuh jari itu. Dia kemudian mengelap lalu membalut luka dengan plaster.

"Sakit? Itulah pasal. Mak Nah dah cakap, biar mak Nah aje yang buat tapi Janet degil sangat. Hendak jugak main-main pisau," sindir orang gajinya menyebabkan Janet ketawa besar.

"Inilah yang orang cakap, luka di tangan nampak berdarah. Luka di hati tak siapa tahu. Kan, mak Nah?"

Mak Nah melepaskan keluhan sebelum mencuri pandang ke arah wajah ayu di sisinya yang kini sedang tunduk dan berpaling ke arah lain. Hati mak Nah kini turut melagukan irama sedih yang pasti sedang berdendang dalam hati Janet. Biarpun sudah lama ia berlalu, pasti kenangan itu hadir kembali sebaik rangkap pepatah itu diungkap. Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula kisah cinta penuh keindahan. Ke mana hendak dicampakkan?

"Dah enam tahun... dia tentu dah lupakan saya. Tentu dah kahwin…